Sabtu, April 30, 2016

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 diadakan di MAEP Serdang


Info 1 : Buat pertama kalinya PBAKL 2016 diadakan di MAEP Serdang.

Info 2 : PBAKL 2016 diadakan selama 11 hari bermula 29 April hingga 9 Mei 2016.

Info 3 : PBAKL 2016 kini berwajah baru dengan berkonsepkan destinasi percutian keluarga! Terdapat pelbagai tarikan di MAEPS seperti SPA Kasih Anana (berasaskan herba & nanas), Lookout Tower (Pemandangan seluruh kawasan MAEPS), Laman Sayur (Sayuran yang segar & hijau), Laman Herba (Terdapat 150 herba & rempah), Laman Padi, ‘Bench’ yang banyak di Street Mall, Kota Buku (terdapat tempat baca & rehat)

Info 4 : PBAKL 2016 akan lebih meriah dengan adanya ‘Food Truck’!

Info 5 : Masalah parking? Tiada masalah! Terdapat lebih kurang 7000 tempat letak kereta di MAEP Serdang.

Info 6 : 2 Zon letak kereta di MAEPS; Zon 1 – Berhampiran/Sekitar Dewan A, C & D. Kadar minimum RM5 per entry, Zon 2 – Zon parking pelawat. Percuma. (Tram disediakan)

Info 7 : Perkhidmatan bas ulang alik disediakan – di komuter Serdang, LRT Bukit Jalil & Putrajaya Sentral.

Info 8 : Terdapat Drop Off/Pick Up point di belakang Dewan D untuk teksi, rapid KL, Nadi Putra & Tram (pengangkutan awam)

Info 9 : Tiga dewan utama PBAKL 2016 di MAEPS adalah Dewan A (A1,A2 & A3) , C dan D2.

Info 10 : Isnin – Khamis (10 pagi hingga 7 malam) | Jumaat – Ahad & Cuti Umum (10 pagi hingga 9 malam)

MASUK ADALAH PERCUMA!

Maklumat lanjut  http://kualalumpurbookfair.my/

Bocey Juara Maharaja Lawak Mega 2016


Kumpulan Bocey muncul sebagai juara pada pentas akhir program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016.

Kemenangan kumpulan yang dianggotai oleh Abam, Fad dan Acey itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

Acey turut memenangi kategori Man of The Match pada pentas akhir MLM2016.

Gelaran naib juara pula dimiliki kumpulan Joras yang dianggotai oleh Shuk, Rahim dan Joey sekali gus layak  menerima wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Bagi tempat ketiga, ia menjadi milik Puteh sekali gus membawa pulang wang tunai RM150,000 dan trofi manakala kumpulan LOL pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat seterusnya memenangi RM50,000.

Semua hadiah disampaikan oleh pelawak veteran, Wahid Satay manakala Datuk AC Mizal bertindak sebagai pengacara.

Pada malam itu, semua peserta diwajibkan membuat dua persembahan yang bertemakan bebas dan muzikal.

Mereka diadili oleh empat juri tetap iaitu Bunga Citra Lestari, Ziana Zain, Shaheizy Sam dan Najip Ali yang mewakili 70 peratus pemarkahan manakala bakinya menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Program realiti komedi itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima (saluran 105), Astro Warna (saluran 132), Astro Mustika HD (saluran 134) dan Astro Maya HD (saluran 135) dari Stadium Tertutup Perbadanan Pasir Gudang, Johor Bahru.

Dr Zeti Bersara Gabenor Bank Negara


Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan bersara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, keluar daripada mesyuaratnya yang panjang untuk menemui media, dua hari sebelum menamatkan tugasnya sebagai gabenor wanita pertama BNM dan yang ketujuh negara.

Pada jam 7.35 malam, Zeti yang memakai baju kurang biru tersenyum dan melayani media selama lima minit di bank pusat berkenaan.

"Saya masih mengemas barang saya di pejabat. Enam belas tahun punya barang," katanya.

Ketika ditanya apa perasaan beliau, Zeti berkata: Saya sangat fokus. Saya akan lakukan apa yang perlu saya lakukan. Malangnya saya tidak mempunyai masa untuk bertemu semua kakitangan saya serta bersalam setiap seorang daripada mereka dan berterima kasih atas sokongan mereka."

Zeti, yang bersara pada 30 April telah dipilih sebagai seorang daripada ketua bank pusat terbaik dunia oleh majalah Global Finance pada 2009.

Anak perempuan Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid dan tokoh budaya Allahyarham Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, beliau menyertai BNM pada 1985 sebagai Timbalan Pengurus di Jabatan Ekonomi.

Beliau dinaikkan pangkat sebagai gabenor pada 2000 menggantikan Tan Sri Ali Abul Hassan Suleiman, menjadikan Zeti wanita pertama memegang jawatan berkenaan.

Sebelum itu, iaitu antara 1979 dan 1984, Zeti berkhidmat dengan Pusat Penyelidikan dan Latihan Seacern sebagai Penyelidik Ekonomi.

Beliau akan digantikan Datuk Muhammad Ibrahim pada 1 Mei.

- Bernama

Jumaat, April 29, 2016

Pilihan Lepasan SPM & STPM



Oleh: AHMAD ABD HAMID

Ke mana arah tuju pelajar selepas keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan? Inilah soalan rutin yang dihadapi oleh majoriti lepasan STPM dan SPM pelajar, malah ibu bapa, apabila keputusan kedua-dua peperiksan itu diumumkan setiap tahun.

Bagi tahun 2015, sejumlah 440,682 calon telah menduduki SPM dengan 9,721 mencapai kejayaan cemerlang dalam semua mata pelajaran (A+, A, A-). Bagi STPM pula seramai 4,711 calon mendapat Purata Nilai Gred Kumalatif (PNGK) 3.5 ke atas dengan 335 calon memperoleh PNGK 4.

Calon yang berjaya dan memenuhi syarat kelayakan pasti mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Mereka memilih untuk mengikuti kursus yang mereka minati di pusat pengajian tinggi.

Ada yang bernasib baik mendapat apa yang dihajati. Ada yang berjaya mendapat tempat tetapi  gagal mendapat pusat pengajian tinggi atau kursus yang diharapkan, sebaliknya diberi pilihan lain di luar bidang yang diminati. Tidak kurang pula yang gagal sama sekali.

Bagi kebanyakan mereka, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) secara tradisi menjadi pilihan utama. Selain yuran pengajian yang lebih rendah kerana menerima subsidi kerajaan berbanding Institusi pengajian Tinggi swasta (IPTS), mereka berasa lebih `selamat’ dan selesa belajar di institusi milik kerajaan yang menawarkan pelbagai kursus sebagai pilihan.

PERMINTAAN MELEBIHI PENAWARAN

Namun 20 IPTA yang ada sekarang tidak dapat menampung ribuan lulusan SPM dan STPM. Jumlah yang layak berkali ganda daripada kekosongan yang ditawarkan sama ada untuk program ijazah pertama, diploma, atau asasi. Itu pun nasib baik ada program matrikulasi Kementerian Pendidikan. Sebahagian yang diterima belajar di program matrikulasi akan membuka peluang kepada yang lain untuk bersaing kerusi dan tempat di IPTA yang lain.

Oleh kerana terlalu ramai jumlah lulusan yang layak berbanding tempat yang ditawarkan oleh IPTA, akibatnya ramai yang gagal mendapat tempat. Selepas rayuan, masih ramai yang gagal. Mereka yang berada mungkin boleh memilih untuk meneruskan pengajian di IPTS. Bagi yang lain, perlu merancang semula apa yang terbaik demi masa depan mereka.

Pada masa yang sama, ramai juga lepasan SPM khususnya berpendirian bahawa keutamaan adalah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berteraskan akademik tanpa mengambil kira kursus apa yang diambil.  Apabila gagal mendapat tempat mereka beranggapan masa depan dan kerjaya mereka akan suram.

Tetapi kini ada yang sudah menyedari bahawa selain berteras akademik semata-mata, kursus berteraskan vokasional dan kemahiran adalah alternatif yang boleh memberi jaminan masa depan. Kerana itu, ramai kini yang lebih berminat menyambung pelajaran dalam bidang  kemahiran, malah menjadikannya pilihan utama.

Justeru, ramai yang memohon memasuki politeknik, institut kemahiran, pusat latihan belia dan lain-lain. Dahulu, tempat-tempat ini mungkin hanya berfungsi sebagai pilihan terakhir tetapi kini persepsi tersebut telah bertukar.

Anggapan bidang kemahiran atau vokasional sebagai kurang menarik berbanding memasuki IPT adalah tidak tepat. Pembangunan pesat negara dan kemajuan sektor industri dalam era menuju negara maju, memerlukan ramai tenaga kerja mahir.

Kemahiran adalah aset menyediakan diri menceburi dunia pekerjaan. Sektor guna tenaga masa kini menekankan kepada kemahiran berbanding akademik semata-mata. Peluang kerjaya kepada mereka yang memiliki kemahiran lebih terbuka luas. Mereka boleh terus diambil untuk bekerja tanpa perlu banyak latihan berbanding mereka yang hanya ada kelayakan akademik semata-mata.




KELEBIHAN KEMAHIRAN

Aspek kemahiran bukan sahaja berguna untuk menyediakan diri dengan keperluan pasaran kerja. Sebaliknya ia juga sangat berguna untuk menyediakan seseorang meneroka kerjaya sendiri, tanpa mengharapkan pekerjaan di pasaran terbuka.

Contohnya,  dengan ilmu kemahiran yang ditimba dan latihan amali yang dilalui, pelajar kemahiran fesyen boleh membuka kedai fesyen atau butik. Yang belajar mengenai automotif boleh membuka bengkel.

Yang berkemahiran komputer boleh membuka kedai memperbaiki komputer. Begitu juga dengan bidang kemahiran lain. Bekerja sendiri bukan sahaja membolehkan seseorang merancang dan menentukan hala tuju perniagaan menurut acuan sendiri malah apabila telah berkembang maju boleh pula membuka peluang pekerjaaan kepada orang lain. Itu adalah lebih baik daripada makan gaji.

Harus diingat bahawa suasana dunia pekerjaan kini sudah berubah daripada era tahun 70-an dan sebelumnya. Pada era tersebut, peluang kerja mudah dan banyak. Malah ada pelajar universiti yang sudah menerima tawaran kerja sekalipun masih belum menamatkan pengajian. Ertinya ‘kerja mencari orang’.

Dahulu dengan kelulusan SPM atau Malaysian Certificate of Education (MCE) bagi aliran Inggeris, seseorang boleh terus memohon jawatan Inspektor dalam perkhidmatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) atau Leftenan Muda dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Apabila calon semakin ramai, jawatan semakin mengecil dan saingan semakin sengit serta tahap profesionalisme makin meningkat, kelayakan permohonan sebagai Inspektor dinaikkan kepada STPM atau Higher School Certificate (HSC). Kemudian ditingkatkan kepada Diploma.

Kini kelayakan masuk minimal adalah Ijazah Sarjana Muda yang mana dengannya dahulu seseorang layak terus memohon jawatan Penolong Penguasa Polis (ASP).

Gambaran ini menunjukan persaingan mendapat kerja semakin sengit dan taraf kelayakan untuk sesuatu jawatan semakin meningkat dan terus meningkat. Ini ditambah dengan hakikat bahawa setiap tahun, ribuan graduan baharu dilahirkan oleh IPT atau institusi pendidikan tinggi lain seperti politeknik serta institut-institut latihan kemahiran.

Sementara ada di antara graduan ini yang mendapat kerja selepas menamatkan pengajian, ramai pula masih menganggur selepas dua tahun selesai konvokesyen. Malah ada yang lebih lama daripada itu. Pelajar berkemahiran pula dikatakan lebih terbuka peluang mendapat kerja, khususnya untuk jawatan peringkat pertengahan.

Berdasarkan senario inilah  pelajar mesti lebih bijak menyusun dan merancang arah tuju selepas tamat persekolahan. Pendidikan memang penting tetapi memilih bentuk pendidikan yang boleh menjamin kejayaan masa depan tidak kurang pentingya. Justeru pilihlah bidang yang boleh memberi laluan lebih lancar dalam menempa kecemerlangan hidup.

- mSTAR


Jumaat, April 22, 2016

Bil Elektrik Meningkat Kerana El-Nino



Cuaca panas terik dan kering berpanjangan sehingga ke hari ini mengakibatkan penggunaan elektrik meningkat, kata Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Permintaan tertinggi elektrik di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan 17,788 MW pada Rabu (20 April), meningkat 37.82 peratus berbanding 1 Januari  lepas (12,906 MW), kesan fenomena El-Nino.

Keadaan panas pada siang hari yang meninggalkan kesan bahang sehingga keawal pagi telah mempengaruhi tabiat penggunaan peralatan elektrik khususnya pendingin hawa, yang secara relatifnya menggunakan lebih banyak elektrik berbanding peralatan lain.

Secara amnya, pengguna pendingin hawa lebih cenderung menurunkan suhu pada tahap lebih rendah, meningkatkan kelajuan kipas pendingin hawa dan menggunakan pendingin hawa untuk tempoh yang lebih lama.

Menurut TNB, faktor lain termasuk penggunaan peralatan lama yang tidak diselenggara dengan baik juga boleh mengakibatkan penggunaan elektrik meningkat.

Kesemua faktor ini akan meningkatkan penggunaan elektrik secara mendadak, sekali gus memberi kesan ke atas bil elektrik pengguna.

Satu kajian kes di Selangor menunjukkan penggunaan tiga unit pendingin hawa oleh seorang pengguna meningkat daripada lima jam sehari pada Disember 2015 kepada lapan jam sehari pada bulan ini.  

Penggunaan elektriknya meningkat 40 peratus daripada 428kWh kepada 598kWh.

Kenaikan ini menyebabkan bilnya meningkat daripada RM125.52 kepada RM231.69," menurut kenyataan itu.

Pengguna yang ingin mendapatkan tip-tip penjimatan tenaga boleh memuat turunnya dari www.tnb.com.my.

- Bernama


Selasa, April 19, 2016

Kenaikan Gaji Untuk Kakitangan Awam


Kakitangan awam akan menerima gaji permulaan minima sebanyak RM1,200, melebihi paras gaji minimum kebangsaan di bawah langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam.

Skim tersebut yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai ini akan memperlihatkan kakitangan Gred 11 akan mendapat gaji permulaan sebanyak RM1,200 berbanding RM837 sebelum ini.

Digabungkan dengan elaun sedia ada, kakitangan gred ini akan menikmati gaji bulanan kira-kira RM1,500.

Gaji minimum kebangsaan adalah RM900 hingga RM1,000 sebulan di Semenanjung Malaysia manakala RM800 hingga RM920 untuk Sabah dan Sarawak.

Pekeliling yang diedarkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pada Khamis turut menyatakan Gred 17 dan Gred 27 akan dihentikan dan kakitangan bagi kedua-dua gred itu masing-masing akan dinaikkan ke Gred 19 dan 29.

Gred 17 diberikan kepada pekerja yang memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala Gred 27 kepada mereka yang mempunyai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Diploma.

Mereka yang berada di Gred 17 dengan gaji semasa RM935 akan menikmati kadar gaji minimum RM1,350 sebulan selepas dinaikkan ke Gred 19.

Bagi penjawat awam dengan Gred 27 yang menerima gaji permulaan sebanyak RM1,362 akan memperolehi sekurang-kurangnya RM1,493 selepas naik ke Gred 29.

"Langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam bertujuan untuk memastikan perkhidmatan tersebut mempunyai tenaga kerja yang kompeten selain mampu membantu merealisasikan visi dan agenda negara.

"Ini juga bertujuan untuk memperkemas pengurusan skim perkhidmatan tersebut dalam usaha untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik, untuk mewujudkan beberapa fleksibiliti dalam pengurusan perkhidmatan awam dan juga menyediakan peluang dalam kemajuan kerjaya," kata Mohamad Zabidi dalam pekeliling tersebut.

Skim saraan baharu itu juga memperlihatkan 252 skim perkhidmatan awam sedia ada di naik taraf.

Beliau berkata langkah merasionalkan skim itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pekerja sedia ada tetapi juga mereka yang akan menyertai perkhidmatan awam pada masa akan datang dengan gred dan gaji permulaan lebih tinggi.

Langkah rasionalisasi itu juga melihat pengiktirafan yang lebih baik terhadap pelatih Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Di bawah skim baru, mereka yang mempunyai sijil politeknik akan diiktiraf setanding dengan mereka yang mempunyai kelulusan Diploma atau STPM.

Sebelum ini, mereka yang mempunyai sijil politeknik diletakkan pada tahap yang sama dengan lepasan SPM.

"Kami mahu memberi peluang lebih besar kepada mereka yang mempunyai kelayakan dalam bidang kemahiran untuk menyertai perkhidmatan awam dengan memasukkan TVET dalam skim perkhidmatan tertentu," kata Mohamad Zabidi.

Penjawat Awam Diberi Pilihan Terima Atau Tolak - Ali Hamsa

Penjawat awam diberi pilihan untuk menerima atau menolak tawaran terhadap 252 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik berkuat kuasa 1 Julai ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau yang mengulas rasionalisasi skim perkhidmatan awam itu berkata penambahbaikan itu akan memberi kesan kepada kenaikan gaji dan gred termasuk gaji permulaan minima sebanyak RM1,200 dalam sektor awam.

"Namun saya tidak nampak sebarang sebab untuk mereka menolaknya," kata beliau kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan reka cipta logo 'My High Speed Rail' (MyHSR) di sini Khamis.

Penambahbaikan itu akan memperlihatkan kenaikan tahunan kepada kesemua 1.6 juta penjawat awam, manakala penambahbaikan skim yang bermula dari gred 11 hingga 40 akan membabitkan 1.3 juta kakitangan kerajaan, katanya.

"Ini satu berita terbaik untuk penjawat awam dan berharap mereka akan meningkatkan produktiviti dan daya usaha dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Katanya walaupun hasil negara pada tahun ini berkurangan disebabkan faktor seperti penurunan harga minyak dunia, kerajaan tetap menunaikan janjinya untuk memberi kenaikan gaji seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016, sebelum ini.

Mengenai permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar kerajaan mengkaji semula kadar gaji yang ditawarkan supaya selaras dengan keperluan hidup penjawat awam, Ali menyifatkan ia permintaan yang menarik.

"Namun, kita juga mengharapkan Cuepacs turut sama memberi idea bagaimana untuk meningkatkan hasil negara di samping menggalakkan penjawat awam meningkatkan produktiviti mereka...itu yang sangat penting," katanya.

- BERNAMA

Khamis, April 14, 2016

Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 Pada 7 Mei 2016



Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan diadakan pada 7 Mei 2016 dan hari penamaan calon pada 25 April 2016.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh itu selepas mengadakan mesyuarat khas pagi Khamis berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 11 April lalu.

Dengan ini SPR mengumumkan 14 April sebagai tarikh keluar writ iaitu Khamis, 15 April tarikh notis pilihan raya, 25 April hari penamaan calon, dan 7 Mei sebagai tarikh pengundian.

Katanya pilihan raya negeri (PRN-11) akan menggunakan senarai daftar pemilih induk 2015 yang telah dikemas kini sehingga 10 April 2016.

PRN-11 diadakan selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan dengan perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud setelah dirujuk Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.


Alasan Popular Untuk Memohon Pertukaran Guru



1. Cukup Tempoh Berkhidmat
Alasan ini hanya boleh digunapakai oleh guru yang sudah berkhidmat lebih 4 tahun di sekolah semasa. Namun, alasan ini belum tentu menjamin anda dapat bertukar.

2. Mengikut Pasangan
Alasan ini dikatakan lebih kukuh, kerana keprihatinan pihak bertanggungjawab terhadap pasangan yang terpaksa berjauhan. Perlu dikepilkan dengan dokumen sokongan sebagai bukti. Namun tidak semua pemohon yang menggunakan alasan ini berjaya.

3. Ancaman Keselamatan
Keselamatan merupakan antara aspek penting dalam memastikan guru dapat berkhidmat dengan baik. Maka jika ada gangguan kepada anda, beserta dengan laporan polis, maka gunakan alasan ini untuk menyokong permohonan pertukaran anda.

4. Sakit atau Menghidap Penyakit Kritikal
Kesihatan juga antara aspek yang diberi perhatian dalam faktor menentukan permohonan pertukaran guru. Surat doktor dan dokumen sokongan lain perlu disertakan sebagai bukti mengukuhkan permohonan anda.

5. Menjaga Ibu dan bapa
Ini adalah antara alasan popular digunakan oleh guru yang memohon bertukar, terutamanya yang belum berkahwin. Namun, alasan ini agak kurang kukuh.

6. Tidak Mengajar Subjek Major
Alasan ini digunakan dengan harapan pihak bertanggungjawab akan melihat itu sebagai satu pembaziran modal insan dan seterusnya menghantar cikgu berpindah ke tempat yang dipohon.

7. Menyambung Pelajaran
Alasan sambung belajar juga merupakan satu lagi alasan popular yang sering digunakan semasa memohon pertukaran.

8. Menjaga Rumah Yang Dibeli
Ada sebilangan guru yang mendapat pertukaran kerana menggunakan alasan ini selepas rumah beliau dimasuki pencuri. Maka beserta repot polis dan juga dokumen sokongan, alasan menjaga rumah digunapakai.

9. Stress dan Tekanan di Tempat Mengajar
Ada juga sebahagian guru yang lebih berani menggunakan alasan stress ini untuk pertukaran.

10. Tidak Serasi Dengan Budaya Setempat
Bagi yang ditugaskan di tempat yang jauh dari kampung halaman, budaya semasa dan tidak dapat membiasakan diri dengan budaya setempat, mungkin anda boleh gunakan alasan ini untuk memohon pertukaran.

11. Cari Jodoh
Ada juga kes yang menggunakan alasan ini dan berjaya.

12. Perlukan Suasana Baru
Bagi guru yang mahu alasan anda kelihatan lebih positif, anda boleh gunakan alasan ini, iaitu anda mahukan suasana baru yang positif. Seperti yang kita ketahui, tempoh yang berpatutan bagi seseorang guru untuk berada di sesebuah sekolah adalah dalam 5-6 tahun. Maka ini adalah alasan terbaik untuk anda gunakan jika mahu persekitaran baru.

13. Motivasi Diri
Ini juga alasan positif yang boleh digunakan.  Nyatakan bahawa tujuan anda berpindah adalah untuk meningkatkan motivasi diri di sekolah baru. Mungkin jika ketua jabatan terbuka hati, maka permohonan anda akan diluluskan.

14. Mencabar Kebolehan Diri
Bagi guru yang mahu berpindah ke kawasan atau sekolah yang lebih mencabar, maka lebih baik anda gunakan alasan 'mencabar kebolehan diri' bagi menunjukkan kesungguhan anda.

15. Mencari Pengalaman Baru
Alasan terakhir yang anda boleh gunakan adalah untuk mencari pengalaman di sekolah baru.

Kredit : http://www.cikguhailmi.com/


Selasa, April 12, 2016

Akademi Binaan Malaysia (ABM) berjaya lahirkan 270,011 pekerja mahir


Seramai 270,011 pekerja mahir tempatan dilahirkan sejak Akademi Binaan Malaysia (ABM) ditubuhkan pada 1997, sekali gus membuktikan akademi itu platform terbaik melahirkan tenaga kerja pakar dalam bidang pembinaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Holdings, Abdul Latif Hitam, berkata daripada jumlah itu, program belia yang disediakan di ABM melahirkan 92,783 pelatih, manakala bagi program personel, seramai 177,228 orang mengikuti kursus berkenaan.

Katanya, institut kemahiran di bawah kelolaan CIDB itu menawarkan 59 tred atau jurusan binaan yang boleh didapati di enam cawangan di seluruh negara iaitu di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Johor; Sintok, Kedah; Jenagor, Terengganu; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

Di ABM, kami menawarkan pelbagai kursus berimpak tinggi yang memenuhi kelayakan diperlukan industri pembinaan tempatan dan luar negara. Antaranya, kursus pengendalian kren, chargeman, kimpalan, juruwayar dan operator jentera berat.

Kesemua kursus yang kami tawarkan bertepatan dengan kehendak pasaran. Tidak perlu risau kerana ABM mengadakan usaha sama dengan syarikat dari dalam dan luar negara. Kerjasama ini dapat memastikan setiap pelatih di ABM akan mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian di sini, katanya kepada pemberita sempena Karnival Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2016 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Abdul Latif berkata, ABM turut membekalkan pelatihnya aspek keusahawanan sebagai persediaan sebelum terbabit dalam industri pembinaan. Katanya, jika mereka sukar memperoleh pekerjaan khususnya ketika negara dilanda ketidaktentuan ekonomi seperti yang berlaku sekarang, pengetahuan dalam bidang keusahawanan dapat membantu.

Mereka boleh mengaplikasikan kemahiran tertentu untuk dijadikan satu perkhidmatan berbayar. Misalnya, jika pelatih mengikuti kursus kimpalan, mereka boleh buka sebuah kedai yang menawarkan khidmat berkenaan, katanya.

Laman Web ABM : http://www.akademibinaan.com.my/

MAS dan AirAsia Tawar Diskaun Tambang Untuk Penumpang Rayani Air


MAS tawar diskaun

Penumpang yang memegang tiket perjalanan Rayani Air boleh menempah semula penerbangan mereka yang telah dibatalkan melalui Malaysia Airlines (MAS).

Syarikat penerbangan nasional itu kini menawarkan harga tambang dengan diskaun kepada penumpang Rayani Air yang terjejas susulan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Tawaran tambang itu boleh didapati mulai 11 April sehingga 30 April, 2016 bagi perjalanan segera sehingga 31 Julai, 2016, menurut Malaysia Airlines.

Ketua Pegawai Komersial, Paul Simmons berkata sebagai syarikat penerbangan nasional dan atas rasa mengambil berat terhadap rakyat Malaysia, adalah menjadi  tanggungjawab syarikat itu untuk memberi sebarang bantuan bagi mengurangkan beban yang menjejaskan penumpang Rayani Air.

Dalam hal ini, kami menawarkan tambang istimewa kepada penumpang yang terjejas untuk membawa mereka ke destinasi yang dihasratkan. Kami berharap tawaran ini akan meringankan masalah perjalanan yang dihadapi penumpang, katanya.

Bagi menikmati tambang istimewa ini, penumpang yang terjejas perlu mengemukakan emel mereka berkenaan bukti tempahan perjalanan dengan Rayani Air.

Mereka boleh menghubungi 1-300-88-3000 atau lawati kaunter tiket Malaysia Airlines di seluruh negara.

Air Asia beri diskaun 50 peratus

Syarikat penerbangan AirAsia kini menawarkan tambang pada potongan harga 50 peratus untuk penumpang Rayani Air yang terjejas berikutan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Syarikat tambang rendah itu berkata tawaran berkenaan melibatkan penerbangan bagi destinasi ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Baharu, Kuching serta Kota Kinabalu untuk tempoh perjalanan mulai 11 April hingga 27 April 2016.

Ia bagaimanapun khusus untuk semua penumpang Rayani Air yang memiliki tempahan penerbangan yang sudah disahkan.

Penumpang terbabit boleh mengemukakan tempahan itu di Pusat Perjalanan dan Perkhidmatan AirAsia di klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kota Baharu), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Kami amat bersimpati dengan kesemua penumpang Rayani Air yang terjejas ini. Kami berharap pemberian diskaun ini dapat membantu mereka membuat urusan perjalanan baharu, terutamanya menerusi kekerapan penerbangan kami di semua destinasi terlibat, kata Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee.

AirAsia mengendalikan sejumlah 11 penerbangan sehari masing-masing dari Kuala Lumpur ke Langkawi serta Kuala Lumpur ke Kuching; lapan penerbangan sehari masing-masing dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu dan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu serta tiga penerbangan sehari dari Kota Kinabalu ke Kuching.

- mSTAR

Larangan Ceramah Dr Zakir di UTEM kerana tajuk 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam'



Polis menegaskan pihaknya tidak pernah mempertikaikan kewibawaan dan ketokohan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik dalam ilmu agama.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar keputusan polis tidak membenarkan forum pendakwah itu di Melaka atas faktor keselamatan.

Berpandukan tajuk forum itu sendiri yang boleh dimanipulasi sehingga membangkitkan kontroversi keagamaan.

Apa yang jelas, walaupun forum tersebut belum berlangsung, ianya telah mewujudkan perdebatan di kalangan pelbagai pihak sehingga menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Sebelum ini, Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) mendesak kerajaan segera membatalkan program yang melibatkan Dr Zakir termasuk melarangnya memasuki negara ini.

Semalam, Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya telah memutuskan untuk tidak membenarkan forum Dr Zakir Naik bertajuk 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam' di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada Ahad, 17 April 2016 demi ketenteraman awam dan sensitiviti beragama di negara ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, polis konsisten dalam sebarang isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sebarang keputusan yang dibuat adalah berlandaskan aspek-aspek keselamatan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, demi mengekalkan ketenteraman awam.

PDRM tidak menghalang sebarang bentuk wacana ilmiah atau program intelektual yang boleh mengukuhkan pembangunan rohani masyarakat di negara ini.

Namun pihak penganjur program-program sedemikian harus memastikan tajuk dan pengisiannya tidak mengundang sebarang kegusaran di kalangan masyarakat.

- Sinar Harian


Cara Tuntutan Bayaran Balik Tiket Rayani Air

Syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air kini mula melakukan bayaran balik kepada penumpang berikutan penggantungan operasi yang diumumkan syarikat itu pada 9 April 2016 (Isnin).

Pemiliknya, Ravi Alagendrran berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membuat bayaran balik bermula 11 April 2016 bagi tiket yang telah ditempah penumpang sebelum ini.

Kami telah mula melakukan proses bayaran balik kepada penumpang pagi ini (Isnin). Penumpang-penumpang yang telah membuat tempahan tiket boleh datang ke pejabat kami di Shah Alam untuk mendapatkan bayaran balik.

Kami mohon maaf di atas sebarang kesulitan. Kami akan cuba menyelesaikan perkara ini.

Sementara itu, Ravi dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin berkata, pihaknya sedang berusaha keras untuk menyelesaikan urusan dalaman bagi memastikan Rayani Air kembali beroperasi.

Beliau turut memohon maaf kepada para penumpang yang terjejas akibat masalah yang dihadapi syarikat penerbangan itu.

Kami memahami agenda rancangan dan jadual anda (penumpang) terganggu, kami memohon maaf. Kami akan membalas setiap emel berhubung pertanyaan dan bayaran balik anda, katanya sambil menambah Rayani Air menghargai kerjasama dan sokongan dari semua penumpang.

Selain mendapatkan bayaran balik di pejabat operasi di Shah Alam, sebarang pertanyaan juga boleh dibuat dengan menghubungi pusat panggilan di 03-27214925 atau emelkan ke info@rayaniair.com

Telur ayam tidak dibasuh punca keracunan


Kulit telur ayam yang tidak dibasuh sehingga menyebabkan dua jenis bakteria mencemari hidangan roti jala disahkan menjadi punca seramai 63 orang pelajar dan guru Sekolah Menengah Sains (SMS) Tapah mengalami keracunan makanan pada 2 April lalu.

Ini kerana kulit telur yang kotor dan masih diselaputi najis ayam bukan saja membuatkan makanan menjadi tidak bersih, tetapi juga mengundang penyakit keracunan Salmonella.

Pengarah Kesihatan ne­geri, Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, hasil analisis di Makmal Kesihatan Awam di sini, mendapati dua jenis bakteria iaitu Salmonella dan Bacillus cereus disyaki te­lah mencemari roti jala itu.

Katanya, bakteria tersebut dipercayai disebabkan oleh kulit telur ayam yang tidak dibasuh semasa pembuatan kuih tersebut sekali gus turut mengotorkan tangan pengendalinya.

- Kosmo!


Rayani Air digantung tiga bulan


Sijil Operasi Udara (AOC) syarikat penerbangan patuh syariah, Rayani Air digantung selama tiga bulan berkuat kuasa 11 April 2016.

Penggantungan itu di­umumkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tiga hari selepas syarikat tersebut memaklumkan penggantungan operasinya selama dua bulan sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula me­reka.

Bagaimanapun, Ketua Pe­ngarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mahu mendedahkan punca sebenar sehingga memaksa tindakan tegas itu diambil.

Katanya, ini merupakan tindakan kali pertama dalam sejarah penerbangan negara.

AOC Rayani Air yang dikeluarkan mengikut Pe­raturan 54 Peraturan Penerbangan Awam 1996 digantung selama tiga bulan mulai hari ini (semalam) selaras dengan Peraturan 87(1).

Satu sidang inkuiri akan diadakan pada 12 Mei ke atas syarikat tersebut, katanya selepas memberi taklimat media mengenai kadar baharu caj perkhidmatan penerbangan.

Menurut Azharuddin, DCA berpegang teguh kepada prinsip bertegas dan tidak berkompromi mengenai keselamatan pengangkutan udara selain tidak boleh membiarkan tindakan yang bertentangan dengan peraturan penerbangan.

Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran menerima notis penggantungan operasi selama tiga bulan dengan berat hati, namun tetap menyifatkan ia sebagai permulaan untuk syarikat penerbangan itu 'terbang lebih tinggi' pada masa akan datang.

Beliau berkata, walaupun syarikat berkenaan awalnya terlebih dahulu mengumumkan penggantungan operasi pada Sabtu lalu, tetapi ia terpaksa dilakukan susulan tindakan mogok juruterbangnya sehingga masalah berkaitan dapat diatasi.

Menurut Ravi, pihaknya menerima notis penggantungan operasi selama tiga bulan yang dikeluarkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia pada petang Isnin.

Kami terima notis ini dengan berat hati. Bagaimanapun kami melihat apa yang berlaku sebagai permulaan untuk Rayani Air terbang lebih tinggi pada masa akan datang.

Dalam tempoh ini (penggantungan), kami akan berusaha untuk memperbaiki dan menyelesaikan segala masalah berkaitan operasi.

Ravi yang mengakui Rayani Air mengalami masalah kewangan sehingga menjejaskan operasi ketika ini berkata, pihaknya akan mewujudkan pelan baharu menerusi penstrukturan semula syarikat penerbangan itu.

Tambahnya, pelan baharu tersebut termasuk perolehan dana, menyelesaikan tunggakan gaji pekerja, mendapatkan lebih ramai juruterbang dan menambah pesawat. Semuanya berkaitan dana dan operasi, kami akan berusaha untuk mengatasinya sebaik mungkin.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan dan penumpang yang terus memberikan sokongan, sambil memberi jaminan bahawa syarikat penerbangan itu akan beroperasi kembali.

Rayani Air juga mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Malaysia Airlines dan AirAsia kerana memberi sokongan secara tidak langsung dengan menawarkan diskaun kepada penumpang kami yang terjejas akibat penggantungan ini.Kami melihatnya sebagai satu sokongan dalam industri penerbangan negara demi kebaikan penumpang Rayani Air.

Malaysia Airlines dan AirAsia pada Isnin menawarkan harga tambang dengan diskaun kepada penumpang Rayani Air yang terjejas susulan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Rayani Air merupakan syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia dan keempat di dunia selepas Royal Brunei Airlines, Saudi Arabian Airlines dan Iran Air.

- mSTAR


DUN Sarawak dibubar 11 April 2016 Untuk PRN 11


Sarawak kini berada di bawah kerajaan sementara mengikut perlembagaan negeri selepas Dewan Undangan Ne­geri (DUN) dibubarkan secara rasmi pada 11 April 2016 (Isnin).

Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, surat rasmi pembubaran DUN yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada 31 Mac lalu sudah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, mengikut Artikel 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, persidangan DUN perlu diadakan dalam tempoh 120 hari bermula 11 April.

Pilihan raya juga harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Sepanjang tempoh itu, kedudukan Ketua Menteri dan jemaah menteri Kabinet negeri masih kekal sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Bagaimanapun, kerajaan sementara akan meneruskan urusan dan berfungsi seperti kerajaan negeri. Namun, kerajaan sementara itu tidak boleh meluluskan sebarang projek dalam tempoh itu.

- Kosmo!


Bank Muamalat Perkenal Emas Muamalat Gold-i



Bank Muamalat Malaysia Bhd menyasar menjual 320 kilogram (kg) Muamalat Gold-i (MGi) bernilai kira-kira RM56 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2017.

Ketua Pegawai Operasinya (Perniagaan), Mashitah Osman berkata, MGi merupakan inisiatif terbaharu bank itu untuk meningkatkan segmen pengurusan hartanya yang termasuk Takaful, pelaburan dan penulisan wasiat.

MGi adalah instrumen pelaburan alternatif bagi pengedaran patuh syariah jongkong emas fizikal kepada orang awam yang tersedia dengan berat lima, 10, 20, 50 dan 100 gram.

Tanpa sebarang publisiti, ia terjual lebih 80 kilogram bernilai RM14 juta sejak dibuka kepada orang ramai dua bulan setengah lalu.

Sementara itu, Naib Presiden/Ketua Jabatan Pengurusan Harta Bank Muamalat, Nur Ain Ramli berkata bank itu menjangka perniagaan emas menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah pendapatan fi bagi segmen pengurusan harta bagi Tahun Kewangan 2017.

Beliau berkata sejak 1 Januari, 2016, jualan emas telahpun menyumbang 40 peratus daripada pendapatan fi.

Permintaan adalah kukuh. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia disasar menyumbang kira-kira 10 hingga 20 peratus kepada jumlah hasil fi bank.

Kami agak berbeza berbanding bank-bank lain dari segi proses pembelian emas kerana kami akan memastikan emas fizikal tersedia semasa urus niaga dan bukannya menyerahkan emas kertas kepada pelanggan.

Beliau berkata oleh kerana pulangan bagi MGi tertakluk kepada turun naik harga emas, pelanggan dinasihatkan untuk mempelbagaikan pelaburan mereka dalam keadaan ekonomi sekarang dan menimbang memilih emas sebagai instrumen pelaburan jangka panjang mereka.

Pelanggan juga boleh memilih menjual emas pada bila-bila masa berdasarkan kepada harga terkini harian tetapi bagi memudahkan urus niaga, mereka perlu terlebih dahulu membuka akaun semasa atau simpanan dengan bank ini.

Tiada had bahawa ia mesti dijual hanya di Bank Muamalat. Mereka juga boleh menjual emas itu pada mana-mana peniaga barang kemas atau meletakkannya di cawangan ArRahnu bagi mendapatkan tunai.

- Bernama

Jumaat, April 08, 2016

Panduan Soalan Peperiksaan Pegawai Teknologi Maklumat F41



Untuk rujukan Peperiksaan Memasuki Jawatan Pegawai Teknologi Maklumat Gred F41, anda boleh dapatkan di : http://infotambahan.com/ptm/28

4 ciri penting Pakej ini:
- Huraian format soalan 2016
- 185 contoh soalan Ujian Psikometrik- 50 contoh soalan Pengetahuan Am- 40 contoh soalan Daya Menyelesaikan Masalah