Memaparkan catatan dengan label air asia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label air asia. Papar semua catatan

Khamis, Januari 20, 2022

AirAsia perkenal empat laluan domestik baharu

 

AirAsia Malaysia memperkenalkan empat laluan baharu yang menghubungkan bandar-bandar di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak bulan ini.

Laluan berkenaan adalah Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu, Pulau Pinang-Sibu dan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu.

Laluan Kuching-Langkawi bermula sejak 5 Januari lalu dengan tambang termasuk semua sehala daripada RM99, manakala Johor Bahru-Bintulu akan bermula 28 Januari ini dengan tambang daripada RM119.

Sementara itu, laluan Pulau Pinang-Sibu akan bermula 27 Januari ini dengan tambang daripada RM139 dan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu pula akan bermula 30 Januari dengan tambang daripada RM159.

Sempena pelancaran laluan baharu. tetamu boleh mendapatkan tawaran penerbangan dan hotel bernilai hebat dengan menekan ikon 'SNAP' di airasia Super App bermula daripada RM239 dari sekarang hingga 16 Januari 2022 untuk tempoh perjalanan dari 25 Januari hingga 30 Jun 2022.

Mereka yang ingin menempah penginapan secara berasingan boleh menekan ikon 'Hotels' untuk menikmati diskaun tambahan 10 peratus dengan kod promosi AAHOTEL10.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata memandangkan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi, syarikat penerbangan itu bersedia sepenuhnya untuk menawarkan lebih banyak laluan ke bandar utama di Malaysia.

Katanya, laluan baharu terbabit akan mengukuhkan lagi rangkaian pelancongan AirAsia di Malaysia selain menyediakan lebih banyak pilihan untuk pelancong antarabangsa untuk melancong antara negeri.

"Kami berharap dapat meneruskan usaha untuk meneroka lebih banyak laluan baharu dari lapangan terbang di Malaysia ke destinasi lain di rangkaian ASEAN kami.

"Dari segi operasi, kami bersedia dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat yang dikuatkuasakan dalam semua penerbangan dengan kru kabin terlatih yang terus memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia dalam masa pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan.

AirAsia memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama 20 bulan yang lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan tetamu dan kakitanga.

Syarikat itu hanya akan menerima tetamu yang sudah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan dan memastikan semua dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang sudah divaksin sepenuhnya.

Selain itu, AirAsia menjaminkan standard keselamatan tertinggi, seiring dengan rancangan mitigasi COVID-19, termasuk hanya menerima tetamu yang sudah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan, mewajibkan proses daftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App dan melancarkan sistem pengecaman wajah FACES menjadikan keseluruhan pengalaman perjalanan secara digital.

Walaupun hanya menyediakan perkhidmatan terhad selama 20 bulan yang lalu, semua pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak pengeluar pesawat.

AirAsia juga menubuhkan unit penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) dalaman iaitu Asia Digital Engineering yang mampu menyelenggara bukan hanya pesawat AirAsia, tetapi pesawat syarikat penerbangan lain.

Selain itu, semua juruterbang dan kru kabin diberikan latihan dan kursus penyegaran agar sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.

Sumber dari Berita Harian

 

 

Selasa, September 14, 2021

AirAsia tawar lebih 90 penerbangan ke Langkawi

 

Air Asia  menawarkan lebih 90 penerbangan mingguan ke Langkawi susulan pengumuman Prosedur Operasi Standard (SOP) gelembung perjalanan ke Langkawi.

Ia adalah berikutan permintaan yang tinggi dan menyokong usaha kerajaan serta Tourism Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi menjayakan program ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya melihat peningkatan penjualan tiket ke Langkawi, terutamanya melalui tawaran tambang serendah RM12 dan kombo SNAP bernilai RM99.

"Sebagai permulaan, AirAsia memulakan penerbangan semula ke Langkawi dengan keseluruhan 90 penerbangan dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh dan Kota Bharu.

AirAsia telah mencapai 200,000 jualan tiket susulan pembukaan semula pulau itu kepada pelancong domestik yang telah lengkap divaksinasi, bermula 16 September ini.

"Bagi (tempahan) hari pertama sahaja (9 September), kita telah menjual hampir 30,000 tiket.

"Malah, kekerapan penerbangan juga akan ditambah dengan 90 penerbangan mingguan ke Langkawi dan dari Langkawi iaitu berlepas dari Kuala Lumpur (63 kali seminggu), Pulau Pinang (14 kali seminggu), Johor Bahru (tujuh kali), Ipoh (tiga kali) dan Kota Bharu (tiga kali)," katanya.

Menurutnya tiket penerbangan AirAsia Malaysia bagi September dan Oktober laris dijual, menyebabkan syarikat penerbangan itu yakin momentum tersebut akan berterusan.

Antara langkah kesihatan yang diambil adalah inovasi terbaru sistem daftar masuk kendiri Superapp yang dapat mengintegrasikan data dari penyedia perkhidmatan kesihatan yang diperakui bagi mengesahkan kelayakan perjalanan berdasarkan sijil vaksinasi pelanggan. 

Tempahan boleh dibuat di www.airasia.com

 

Khamis, September 03, 2020

70 hari naik bas New Delhi-London



Syarikat ekspedisi, Adventures Overland menawarkan perkhidmatan pengembaraan dengan menaiki bas dari New Delhi, India ke London dalam tempoh 70 hari.

Berkonsepkan perkhidmatan ‘hop on hop off, bas ke London mampu membawa 20 penumpang di dalam kabin mewah yang diubah suai.

Lapor CNN, bas tersebut akan melintasi 18 negara dengan penumpang berpeluang mengembara ke Myanmar, Tembok Besar China dan bandar bersejarah termasuk Moscow dan Prague.

Syarikat itu ditubuhkan usa­hawan, Tushar Agarwal serta Sanjay Madan.

Menurut Agarwal, idea itu tercetus selepas dia melakukan kembara solo dari London ke Delhi pada 2010.

“Kami dapati pelancong mahu menikmati perjalanan darat tetapi tidak gemar memandu. Jadi timbul idea me­nempatkan pelancong dalam bas dan mereka boleh duduk selesa bagi perjalanan jauh.

“Begitulah lahirnya idea bas ke London,” katanya.

Beliau berkata, bas ke London dijangka beroperasi perte­ngahan tahun depan.

“Waktu terbaik adalah antara April dan Jun. Pada ketika itu cuaca amat sesuai bagi memulakan perjalanan dari India ke Myanmar dan melintasi pergunungan tinggi China serta Kyrgyzstan,” katanya.

Katanya, tiket perjalanan berharga AS$20,000 (RM83,413).

“Mereka boleh memilih sama ada mahu mula dari London atau India kerana sebaik sahaja tiba di London, penumpang sedia ada akan balik menerusi pesawat.

“Kemudian bas akan patah balik dengan 20 penum­pang lain,” katanya.

Pihaknya menerima maklum balas baik sehingga 40,000 orang sudah menyatakan minat menggunakan perkhidmatan itu.

Sumber : Utusan

Rabu, Mei 18, 2016

Daftar Masuk Sendiri Air Asia Sepenuhnya Di KLIA2



AirAsia melaksanakan proses daftar masuk sendiri sepenuhnya untuk kesemua penerbangan AirAsia dan AirAsia X yang berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mulai 18 Mei, 2016 (Rabu). Justeru, kesemua kaunter daftar masuk di klia2 akan ditutup.

Menurut kenyataan AirAsia pada Selasa, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat penerbangan itu untuk memberi pengalaman perjalanan yang lebih lancar kepada semua pelanggannya.

Para tetamu dinasihatkan melakukan proses daftar masuk sendiri melalui pelbagai pilihan yang ada seperti web dan aplikasi mudah alih selain menggunakan kios yang terdapat di lapangan terbang, sebelum ke kaunter bagasi untuk mendaftar masuk bagasi.

Bagi penerbangan AirAsia, daftar masuk melalui web dan aplikasi mudah alih boleh dilakukan seawal 14 hari sehingga sejam sebelum waktu berlepas.

Sementara itu, bagi pelanggan AirAsia X pula mereka boleh melakukan daftar masuk melalui web dan aplikasi mudah alih seawal 14 hari sehingga empat jam sebelum perlepasan yang dijadualkan.

Maklumat lanjut mengenai AirAsia boleh dilayari di Facebook dan Twitter AirAsia atau layari airasia.com untuk melihat video tutorial serta mengetahui proses layan diri untuk perjalanan yang lebih cepat dan lancar.

Selasa, April 12, 2016

MAS dan AirAsia Tawar Diskaun Tambang Untuk Penumpang Rayani Air


MAS tawar diskaun

Penumpang yang memegang tiket perjalanan Rayani Air boleh menempah semula penerbangan mereka yang telah dibatalkan melalui Malaysia Airlines (MAS).

Syarikat penerbangan nasional itu kini menawarkan harga tambang dengan diskaun kepada penumpang Rayani Air yang terjejas susulan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Tawaran tambang itu boleh didapati mulai 11 April sehingga 30 April, 2016 bagi perjalanan segera sehingga 31 Julai, 2016, menurut Malaysia Airlines.

Ketua Pegawai Komersial, Paul Simmons berkata sebagai syarikat penerbangan nasional dan atas rasa mengambil berat terhadap rakyat Malaysia, adalah menjadi  tanggungjawab syarikat itu untuk memberi sebarang bantuan bagi mengurangkan beban yang menjejaskan penumpang Rayani Air.

Dalam hal ini, kami menawarkan tambang istimewa kepada penumpang yang terjejas untuk membawa mereka ke destinasi yang dihasratkan. Kami berharap tawaran ini akan meringankan masalah perjalanan yang dihadapi penumpang, katanya.

Bagi menikmati tambang istimewa ini, penumpang yang terjejas perlu mengemukakan emel mereka berkenaan bukti tempahan perjalanan dengan Rayani Air.

Mereka boleh menghubungi 1-300-88-3000 atau lawati kaunter tiket Malaysia Airlines di seluruh negara.

Air Asia beri diskaun 50 peratus

Syarikat penerbangan AirAsia kini menawarkan tambang pada potongan harga 50 peratus untuk penumpang Rayani Air yang terjejas berikutan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Syarikat tambang rendah itu berkata tawaran berkenaan melibatkan penerbangan bagi destinasi ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Baharu, Kuching serta Kota Kinabalu untuk tempoh perjalanan mulai 11 April hingga 27 April 2016.

Ia bagaimanapun khusus untuk semua penumpang Rayani Air yang memiliki tempahan penerbangan yang sudah disahkan.

Penumpang terbabit boleh mengemukakan tempahan itu di Pusat Perjalanan dan Perkhidmatan AirAsia di klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kota Baharu), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Kami amat bersimpati dengan kesemua penumpang Rayani Air yang terjejas ini. Kami berharap pemberian diskaun ini dapat membantu mereka membuat urusan perjalanan baharu, terutamanya menerusi kekerapan penerbangan kami di semua destinasi terlibat, kata Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee.

AirAsia mengendalikan sejumlah 11 penerbangan sehari masing-masing dari Kuala Lumpur ke Langkawi serta Kuala Lumpur ke Kuching; lapan penerbangan sehari masing-masing dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu dan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu serta tiga penerbangan sehari dari Kota Kinabalu ke Kuching.

- mSTAR

Recent Posts