Jumaat, April 08, 2016

Diskaun 50 Peratus Bagi Peminjam Mara Yang Gagal Pengajian



Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus kepada peminjam Pinjaman Pelajaran Mara yang gagal dalam pengajian mereka, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata tawaran itu diberi kepada pelajar yang gagal menamatkan pengajian atas apa jua sebab termasuk mereka yang sedang menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah berhubung pinjaman berkenaan.

"Jika sebelum ini pelajar yang gagal pengajian perlu membayar 100 peratus pinjaman mereka, tetapi untuk meringankan beban mereka, kita tawarkan 50 peratus diskaun terhadap baki pinjaman mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini pada Khamis.

Pada sidang media itu, Annuar berkata peminjam pada tahun 2010 dan sebelumnya yang lulus pengajian tetapi tidak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik, telah diberi tawaran diskaun 50 peratus ke atas baki pinjaman mereka pada 25 Mac lepas dan kini mendapat tambahan 20 peratus diskaun.

Turut diumumkan tambahan 20 peratus diskaun kepada peminjam yang layak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik dan telah memperoleh pengurangan bayaran balik.

"Sebagai contoh, sekiranya pelajar B mendapat tajaan pinjaman katalah berjumlah RM200,000 serta lulus pengajian dan mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik misalnya berjumlah 75 peratus diberikan atas baki pinjaman semasa dan kini diberi tambahan 20 peratus lagi, jadi peminjam hanya bayar RM40,000,"katanya.

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata semua tawaran berkenaan tertakhluk pada peminjam yang membuat bayaran sekali gus daripada baki pinjaman mereka.

Katanya permohonan mestilah dibuat secara dalam talian di portal Mara http://insentif50.mara.gov.my dan dibuka sehingga 31 Disember 2016 ini sahaja.

"Selepas tarikh itu, kadar pinjaman adalah seperti sebelum diskaun,"katanya.

Beliau berkata Mara adalah agensi yang mendapat peruntukan daripada kerajaan dan tidak wajar menyamakannya dengan Perbadanan Tabung PendidikanTinggi Nasional (PTPTN) yang memang meminjam dengan jaminan kerajaan untuk memberi pinjaman kepada pelajar.

"Tawaran ini pun bukan kita buat setiap tahun, tetapi sambutan 50 tahun Mara ini kita berikan, selain daripada mengurangkan beban pelajar, kita akan gunakan kutipan untuk beri pinjaman kepada lebih ramai pelajar dan pelaksanaan aktiviti bermanfaat," katanya.

- Bernama


Sistem Global Untuk Komunikasi Mudah Alih (GSM) di Malaysia


Tahun 2016 genaplah 25 tahun usia Sistem Global Untuk Komunikasi Mudah Alih atau lebih dikenali sebagai GSM.

Ia adalah rangkaian telekomunikasi digital yang paling banyak digunakan di seluruh dunia meliputi lebih 80 peratus bahagian dunia ini daripada 670 rangkaian komersialnya di 200 negara dan jajahan.

Rangkaian GSM pertama yang dipasang 15 tahun dulu dibangunkan Ericsson, pembekal terkenal sistem rangkaian telekomunikasi. Pemasangan pertama itu dikendalikan Mannessmann, di Jerman.

Sejak itu, penggunaan rangkaian GSM berkembang begitu pesat membolehkan sebahagian besar penduduk di dunia ini berkomunikasi hanya menggunakan telefon bimbit.

Empat gelombang GSM digunakan iaitu 850MHz, 900Mhz, 1800Mhz dan 1900Mhz, namun dua gelombang paling terkenal dan digunakan di Malaysia iaitu 900 dan 1800MHz, manakala yang lainnya lebih terkenal di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea.

Rangkaian telekomunikasi digital yang jauh lebih baik berbanding rangkaian analog itu berkembang pantas hingga menerajui sistem mudah alih dunia hingga sekarang.

Ia mencatatkan kira-kira 387 juta pelanggan baru pada 2005 berbanding teknologi pesaing terdekatnya iaitu CDMA yang hanya mencatatkan pertumbuhan kira-kira 51 juta pelanggan.

Dianggarkan satu daripada tiga orang di dunia ini memiliki telefon bimbit GSM dan angka pelanggan GSM ke 2 bilion berjaya dicatatkan bulan lalu.

Daripada segi pengguna, belum ada teknologi komunikasi lain yang mendapat kesan signifikan seperti itu. GSM melepasi kadar pengguna telefon berwayar, komputer peribadi dan internet.

Di Malaysia, tiga penyedia utama sistem telekomunikasi tanpa wayar iaitu Maxis, DiGi dan Celcom menyediakan perkhidmatan telekomunikasi tanpa wayar di atas rangkaian GSM.

Jika anda masih ingat rangkaian GSM pertama diperkenalkan di Malaysia pada 1994 oleh Mobikom Sdn Bhd (Mobikom 018) yang beroperasi di atas platform rangkaian AMPS/D-AMPS (TDMA), sekali gus menjadi pengendali rangkaian telekomunikasi tanpa wayar digital pertama di Malaysia.

Pada 1995, Mutiara Telecommunications Sdn Bhd yang kini lebih dikenali sebagai DiGi Telecommunications menerusi gelombang pertama GSM 1800Mhz (DiGi 016).

Ia diikuti Cellular Communications Network (Malaysia) Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai Celcom menjadi pengendali pertama beroperasi menggunakan platform rangkaian gelombang GSM 900Mhz (Celcom 019).

Untuk merancakkan pasaran, Maxis Commnications pula melancarkan perkhidmatan telekomunikasi tanpa wayar Malaysia menerusi gelombang GSM 900Mhz (Maxis 012).

Pasaran telekomunikasi digital yang masih mentah itu dihangatkan lagi dengan Time Telekom yang menawarkan Adam 017 menggunakan gelombang GSM 1800Mhz dan MRCB menerusi Emartel 013 juga menggunakan gelombang GSM 1800Mhz.

Pada awalnya, gelombang GSM 1800MHz dikenali sebagai Rangkaian Komunikasi Personal (PCN). Tapi nama itu tidak digunakan lagi.

Dalam kerancakan dan perkembangan pesat dunia telekomunikasi hari ini, ada tiga syarikat telekomunikasi besar bersaing di negara kita iaitu Maxis, Celcom dan DiGi berikutan saranan kerajaan supaya penggabungan dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Akhirnya Mobikom diambil Telekom Malaysia, diikuti pengambilalihan Emartel (TM Touch) dan Celcom. Ketiga-tiganya beroperasi di bawah satu jenama iaitu Celcom tapi mengekalkan nombor awalan iaitu 013 dan 019. Sementara Mobikom 018 tidak ditawarkan lagi.

Maxis pula mengambil alih Adam daripada Time Telekom dan hanya menggunakan jenama Maxis 012 dan 017. Dalam pada itu DiGi yang kini dikuasai sebahagian besarnya oleh syarikat telekomunikasi terbesar Norway, Telenor terus unggul tanpa sebarang penggabungan hingga ke hari ini.

Menurut kelakuan pasaran di Malaysia, perkhidmatan prabayar lebih popular dan kadar langganannya jauh lebih besar berbanding pasca bayar. Mungkin ia lebih mudah dan menjimatkan kerana pelanggan membayar mengikut keperluan.


Rabu, April 06, 2016

Usah bebankan bakal suami dengan belanja perkahwinan - Mufti Perlis



Ibu bapa atau waris kepada bakal pengantin perempuan seharusnya tidak membebankan pihak lelaki dalam urusan berkaitan perbelanjaan untuk sesebuah majlis perkahwinan. Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihati masyarakat umum mengenai perkara itu yang disifatkan sebagai perbuatan menambah beban bakal suami serta boleh menjurus kepada pembaziran.

Beliau berkata dalam Islam itu sendiri tidak ada istilah belanja kahwin, sebaliknya Islam hanya mewajibkan pemberian mahar atau mas kahwin daripada bakal suami untuk bakal isteri. "Justeru jika ada ibu bapa yang meletakkan belanja kahwin untuk anak perempuan atau jagaan mereka, ini bukan dituntut oleh Islam lebih-lebih lagi sekiranya belanja yang ditetapkan itu pula terlalu tinggi," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Alwi di Kangar, Perlis.

Mohd Asri berkata sesetengah waris meletakkan belanja tinggi bagi perkahwinan anak perempuan mereka atas alasan ia berbaloi dengan belanja yang telah ditanggung dalam membesarkan anak berkenaan serta sesuai dengan taraf pendidikan bakal pengantin perempuan. Pendapat sedemikian amat tidak berasas kerana perbelanjaan yang dikeluarkan ketika membesarkan anak-anak merupakan amanah dan tanggungjawab yang wajib dipikul bagi mereka yang bergelar ibu bapa," katanya.

Masyarakat umum juga sering mengharapkan wang belanja perkahwinan untuk mengadakan kenduri secara besar-besaran kerana mahu menunjuk kemewahan atau 'berlawan' dengan mana-mana pihak serta malu dilihat sebagai keluarga yang tidak berkemampuan dari segi kewangan. "Seharusnya ibu bapa mengutamakan perkara yang wajib dan dituntut dalam Islam serta memahami tanggungjawab yang bakal ditanggung oleh anak menantu dalam kehidupan baharu di alam perkahwinan," katanya.

Mohd Asri turut mengingatkan umat Islam di negeri ini agar tidak mencemarkan kemuliaan masjid dengan melakukan sebarang perbuatan yang ditegah seperti bergaduh, membuat bising dan bersantai serta menggunakan kawasan di dalam dan luar masjid sebagai tempat menghisap rokok.

- BERNAMA


RTM beralih kepada siaran TV digital sepenuhnya pada 2018


Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyasarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) beralih kepada siaran televisyen (TV) digital sepenuhnya pada tahun 2018. Timbalan Menteri, Datuk Jailani Johari, berkata ketika ini, RTM sedang merangka beberapa program untuk tujuan peralihan itu.

"Pihak kementerian dalam program pendigitalan RTM, kita sedang merangka beberapa program terutama apabila kita merangka dari segi migrasi (beralih) analog kepada digital dengan sasaran pada sekitar tahun 2018. "Syarikat MYTV Broadcasting Sdn Bhd yang dilantik telah melakukan siaran percubaan membabitkan kawasan-kawasan di pantai timur termasuk Sabah dan Sarawak.

Dengan ada pendigitalan ini, liputan (siaran televisyen) akan bertambah baik dan proses migrasi diharap dapat berjalan seperti tarikh yang ditetapkan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) mengenai siaran televisyen digital berikutan siaran stesen televisyen berbayar Astro sering mengalami gangguan dan langkah kementerian bagi mengawal harga perkhidmatan syarikat penyiaran berbayar itu yang dilihat seolah-olah tiada kawalan sehingga membebankan pengguna.

MYTV adalah syarikat yang diberi lesen oleh kerajaan untuk membangun dan menguruskan infrastruktur serta kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan 'Label Pengguna Alat Penerima DTTB' sebagai usaha melaksanakan penghijrahan sistem penyiaran nasional daripada analog kepada digital.

Mengenai caj yuran Astro, Jailani berkata, syarikat itu perlu memaklumkan cadangan kenaikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana kali terakhir caj dinaikkan ialah pada 2014. Beliau berkata, pihak SKMM perlu menyiasat kewajaran cadangan kenaikan harga tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan mengikut seksyen 198 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Selepas itu, Menteri KKMM dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah seksyen 199 AKM 1998 bolehlah menentukan harga setiap perkhidmatan yang ditawarkan demi kepentingan orang ramai," katanya. Ketika ini, katanya kadar yang dikenakan oleh Astro adalah serendah RM42.35 sebulan bagi pakej asas dan setinggi RM241.68 sebulan bagi pakej premium.

Di samping itu, katanya, Astro juga menawarkan pelan tanpa langganan yang dikenali sebagai NJOI bermula awal tahun lalu yang diperkenalkan bagi membolehkan pelanggan menikmati 22 saluran TV dan 20 stesen radio dengan hanya membayar RM328 pada permulaan tanpa bayaran bulanan. "Dengan julat yang luas dan kepelbagaian dalam pakej dan harga langganan, ia memberi peluang kepada pengguna untuk membuat penyesuaian berdasarkan kemampuan mereka untuk melanggan," katanya.

- BERNAMA


Viral buka tingkap kereta 30 peratus adalah palsu



Satu mesej dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) tersebar di WhatsApp berkenaan peringatan kepada orang ramai agar membuka cermin kenderaan seluas 30 peratus sekiranya kenderaan mereka berjemur di bawah panas melebihi dua jam.

Mesej penuh yang diterima orang ramai berbunyi; ATTENTION NOTICE  (By TNB)   Malaysia sedang dilanda El Nino sekarang ini. Bacaan suhu persekitaran melebihi 39.7°c.  Bagi pengguna semua jenis kenderaan  bertingkap, sekiranya kenderaan anda berjemur di bawah panas melebihi 2 jam, pastikan cermin kereta anda dibuka 30%. Jika cermin ditutup habis (sepenuhnya), tekanan suhu yang terlampau tinggi dalam kereta akan mengakibatkan keretakkan pada cermin, tangki minyak meletup dan enjin kereta terbakar.  Ambil peduli. Sebarkan kepada semua pengguna kenderaan di Malaysia.  Ir.Yusouf Bahaman TNB Dist.  Jln Bangsar KL

FAKTA SEBENAR

Mesej mengingatkan orang ramai supaya membuka cermin tingkap 30 peratus berikutan El Nino disahkan viral palsu oleh TNB melalui kenyataan rasmi kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automotif dan Samudera dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Pakharuddin Mohd Samin berkata, jika benar dakwaan itu maka sudah tentu banyak kereta di negara Asia Barat yang cuacanya lebih panas berbanding Malaysia meletup.

“Sewaktu saya belajar di Texas, Amerika Syarikat, ketika musim panas suhunya boleh mencecah lebih 40 darjah Celsius tetapi tiada kejadian kereta meletup atau terbakar sepanjang berada di sana.

“Sebenarnya perkara itu tidak berlaku dan apa yang disebarkan di laman sosial itu mengarut dan tidak perlu dipercayai," katanya ketika diminta mengulas viral berkenaan yang tersebar sejak kelmarin melalui aplikasi WhatsApp.

Sumber: Sinar Harian

Yogurt kurangkan tekanan darah tinggi



Pengambilan yogurt sebanyak lima kali seminggu berupaya mengurangkan risiko darah tinggi sebanyak 20 peratus.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Pusat Perubatan Universiti Boston, Amerika Syarikat mendapati, yogurt mempunyai kandungan bakteria baik yang dapat membantu menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

Selain itu, pengambilan yogurt juga didapati mempunyai manfaat yang sama dengan memakan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin dan kekacang.

Menurut penyelidik, Prof. Justin Buendia, pengambilan yogurt boleh dilakukan dengan cara menambahkan yogurt ke dalam makanan untuk membantu mengawal masalah darah tinggi.

Golongan wanita pula dilihat mempunyai kesan penurunan darah tinggi yang lebih ketara berbanding lelaki kerana golongan tersebut lebih gemar memakan yogurt.

- Kosmo!

Amaran Virus Ransomware



Pusat pakar keselamatan siber kebangsaan, CyberSecurity Malaysia mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai ancaman virus Ransomware yang berupaya merampas data di dalam komputer pengguna individu dan komersial.

Menerusi virus ter­sebut, penggodam akan mengunci data-data penting milik pengguna dan meminta mereka untuk membayar wang tebusan.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr. Ami­rudin Abdul Wahab berkata, Ransomware adalah sejenis perisian jahat atau malware yang menjangkiti komputer dan mengehadkan akses sehingga wang tebusan dibayar untuk mendapatkan semula data-data penting milik individu atau syarikat ter­tentu.

Jelas beliau, perisian tersebut telah mula tersebar sejak beberapa tahun lalu dan modus operan­dinya ialah memeras wang daripada mang­sa dengan memaparkan mesej telah menceroboh komputer milik pengguna pada skrin.

Mesej pada skrin berkenaan akan keluar dengan kerap dan memberitahu bahawa komputer mereka telah dikunci atau semua fail pengguna telah disulitkan, kemudian mereka akan menuntut wang tebusan untuk memulihkan akses terhadap data atau komputer mereka.


Skim Pembiayaan ‎Deposit Rumah Pertama (MyDeposit)



Perasmian Skim Pembiayaan ‎Deposit Rumah Pertama (MyDeposit)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perlaksanaan Skim Pembiayaan ‎Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2016.

Beliau berkata, skim ini dilaksanakan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai pendapatan isi rumah di antara RM3,000 dan RM10,000.

Skim ini melibatkan pemberian sumbangan‎ sebanyak 10 peratus daripada harga jualan atau maksima RM30,000, yang mana lebih rendah, kepada pembeli rumah pertama untuk membantu mereka membeli rumah yang berharga kurang RM500,000".

Najib berkata, pemohon boleh mengemukakan permohonan dalam talian bagi skim tersebut bermula esok melalui laman web Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ‎Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, MyDeposit terbuka kepada semua jenis rumah daripada semua pemaju berdaftar, kecuali Perbadanan PR1MA Malaysia.

Skim ini juga katanya, tidak hanya terhad kepada pembelian rumah baharu, tetapi juga kepada pembelian rumah sedia ada.

Pada majlis yang sama, Najib turut mengumumkan perlaksanaan penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 kepada hanya pembeli rumah pertama, yang telah diumumkan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016, pada bulan ini.

Bagi menggalakkan pemaju swasta membina rumah di bawah harga RM300,000, Najib berkata, KPKT menawarkan beberapa insentif‎ kepada pemaju termasuk pengekalan nilai deposit di paras RM200,000 daripada 3.0 peratus, anggaran kos buat masa sekarang.

Bagi pembangunan bercampur, Perdana Menteri berkata, nilai deposit adalah berdasarkan baki pemajuan rumah-rumah yang berharga lebih RM300,000.

Mengenai status perlaksanaan satu juta rumah mampu milik menjelang 2018, Najib memaklumkan sehingga 31 Disember 2015, sebanyak 183,755 unit telah siap dibina, 214,011 sedang dalam pembinaan dan 309,571 sedang di dalam pelbagai peringkat perancangan.

Beliau turut mengumumkan ‎perlaksanaan Karnival Rumah Mampu Milik secara bersepadu mengikut zon, bermula dengan Zon Tengah, di MAEPS, Serdang, pada Julai 2016 yang akan menawarkan lebih daripada 50,000 unit rumah untuk dijual.

- Bernama


Selasa, April 05, 2016

Cuaca di Malaysia bakal cecah 40 darjah Celsius

Suhu di Malaysia bakal me­nyamai suhu di negara-negara Arab apabila ia diramal mencecah suhu 40 darjah Celsius dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengarah Kampus Lestari Universiti Teknologi Malaysia (UTM-CS), Profesor Madya Dr. Mohd. Fadhli Md. Din berkata, ke­adaan itu berlaku disebabkan suhu di kawasan bandar dan luar bandar di negara ini mengalami peningkatan sebanyak 1.2 darjah Celsius setahun.

Kadar suhu yang sangat tinggi itu bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada tubuh manusia yang hanya mampu bertahan dalam suhu maksimum 39.5 darjah Celsius malah mengakibatkan negara berisiko mengalami musim kemarau berpanjangan. Kadar suhu purata di Malaysia adalah antara 32 hingga 33 darjah Celsius.

Beliau berkata, peningkatan kadar suhu secara berperingkat itu berpunca daripada pelepasan gas karbon dioksida dari kilang dan kenderaan yang semakin banyak di negara ini pada masa depan.

- Kosmo!

Jumaat, April 01, 2016

Peperiksaan Online Pegawai Teknologi Maklumat Gred F41 - April 2016



PEPERIKSAAN ONLINE MEMASUKI PERKHIDMATAN PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT GRED F41

Tarikh Peperiksaan : 15 April 2016 (Jumaat)
Masa : 08:00 malam - 10:25 malam
Sila layari laman web :
http://e-semakan.spa.gov.my

Calon boleh menyemak maklumat peperiksaan melalui aplikasi mobile (MySPAv2). Segala pemakluman terkini mengenai peperiksaan yang berlangsung akan dipaparkan di Portal SPA dan Laman Facebook SPA di www.facebook.com/Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia SPA semasa peperiksaan dijalankan. Kedua-dua pautan ini boleh diakses walaupun tanpa akaun yang aktif. Pastikan anda tidak ketinggalan dengan maklumat mutakhir pihak SPA. Semua calon akan menduduki peperiksaan pada sesi dan masa yang sama, bermula pada jam 8:00 malam hingga 10:25 malam.

Format Soalan :

Seksyen A : Ujian Psikometrik - 78 soalan
Seksyen B : Pengetahuan Am - 50 soalanSeksyen C : Daya Menyelesaikan Masalah - 40 soalan


Untuk rujukan Peperiksaan Memasuki Jawatan Pegawai Teknologi Maklumat Gred F41, anda boleh dapatkan di : http://infotambahan.com/ptm/28


Permohonan Pertukaran Guru Secara Online (eGTukar) Sesi Jun 2016




Permohonan Pertukaran Guru Secara Online (eGTukar) Sesi Jun 2016 dibuka dari 1 April sehingga 25 April 2016. Permohonan Pertukaran Guru Sesi Jun 2016 adalah untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG29, DG32 (KUP Time-based), DG34 (KUP Time-based), DG38 (KUP Time-based), DG41, DG42, DG44 (KUP Time-based), DG48 (KUP Time-based), DG52 (KUP Time-based) dan DG54 (KUP Time-based).

Terdapat tiga kriteria utama yang melayakkan guru lulus bertukar ke negeri yang dimohon iaitu:
a. Kepentingan perkhidmatan
b. Kekosongan jawatan
c. Keperluan opsyen di negeri yang dimohon

Guru  boleh  memohon  bertukar  ke mana-mana  daerah/sekolah.  Namun  begitu, kelulusan akan mengambil kira bilangan keseluruhan permohonan ke daerah/sekolah tersebut berdasarkan kepentingan  perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen.

Untuk soalan lazim : https://epgo.moe.gov.my/surat_siaran/FAQ.pdf

Permohonan hendaklah dibuat secara online di Aplikasi eGTukar

https://epgo.moe.gov.my/

Recent Posts