Memaparkan catatan dengan label panas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label panas. Papar semua catatan

Rabu, Mei 10, 2023

Monsun Barat Daya diramal bermula 15 Mei 2023

 


Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei dan berterusan sehingga September ini, menyebabkan taburan hujan lebih rendah berlaku di kebanyakan tempat pada tempoh itu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah. berkata sepanjang Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil.

"Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.

"Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak dan keadaan ini menyebabkan taburan hujan lebih rendah.

"Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah, terutama awal pagi," katanya dalam kenyataan.

Garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh Monsun Barat Daya, jerebu juga boleh berlaku jika pembakaran terbuka tidak terkawal terutama antara Julai hingga September.

Katanya, pembakaran terbuka perlu dielak bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar manakala orang ramai dinasihat supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Julai 22, 2021

Cuaca lebih panas dan kering hingga September 2021

 

Malaysia kini mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September, namun tiada gelombang haba berlaku setakat ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk status gelombang haba di seluruh negara dan menyebarkan maklumat kepada agensi berkaitan untuk tindakan penguatkuasaan dan persiapan menghadapi bencana.

"Berdasarkan pemantauan MetMalaysia terhadap gelombang haba hingga hari ini, tiada kawasan di negara ini yang terdedah dengan sebarang gelombang haba," katanya menerusi e-emel bagi mengulas cuaca panas yang dialami negara pada masa ini.

MetMalaysia berkata, stesen meteorologinya tidak merekodkan suhu lebih 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, justeru pihaknya tidak menjangka suhu akan melebihi 40 darjah Celsius.

Katanya, suhu 40.1 darjah Celsius adalah yang tertinggi direkodkan di Malaysia ketika fenomena El Nino melanda negara pada 1998.

"Dari segi perubahan cuaca, kami menjangka berlaku hujan lebat, angin kencang dan kelembapan tinggi disebabkan Malaysia sedang beralih monsun khususnya di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, selain pantai barat Sabah dan wilayah tengah dan barat Sarawak," katanya.

Sementara itu, Pakar Klimatologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang berkata, gelombang haba di Malaysia dikaitkan dengan kebolehubahan cuaca iaitu Madden-Julian Oscillation (MJO) dan El Nino.

"Madden-Julian Oscillation adalah fenomena biasa yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20 ke 60 hari.

"Ketika Monsun Barat Daya, ia boleh meningkatkan suhu satu ke dua darjah hingga sekitar bawah 40 darjah Celsius bergantung kepada kawasan. Malah, kita sudah mengalaminya sekarang," katanya.

Beliau berkata, ini kejadian biasa disebabkan pengaruh pusat perolakan MJO yang dipertingkat, membawa ketidakstabilan kelembapan dan cuaca ke Malaysia, selepas itu, pusat perolakan dipertingkat disusuli pusat perolakan dikurangkan yang menyebabkan cuaca panas dan kering di Malaysia.

Katanya, ini bukan gelombang haba yang luar biasa kerana Madden-Julian Oscillation adalah fenomena berulang yang menyederhanakan suhu basah-kering di negara ini.

Seorang lagi pakar perubahan iklim, Dr Renard Siew berkata, gelombang haba ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia berlaku setiap tahun dengan variasi.

"Kesan pulau haba bandar (kawasan bandar mengalami suhu lebih tinggi dari luar bandar), juga satu lagi penyebab peningkatan suhu," katanya.

Beliau berkata, dari sudut pandang perubahan iklim, ia tidak banyak memberi kesan daripada perspektif pemanasan global, namun ia juga menyebabkan kawasan yang biasanya mendapat jumlah air yang banyak tidak lagi mendapat taburan hujan seperti itu.

Katanya, disebabkan ia kejadian biasa, gelombang haba ini perlu dipantau turun naik suhunya. 

Sumber : BERNAMA

 

Rabu, April 06, 2016

Viral buka tingkap kereta 30 peratus adalah palsu



Satu mesej dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) tersebar di WhatsApp berkenaan peringatan kepada orang ramai agar membuka cermin kenderaan seluas 30 peratus sekiranya kenderaan mereka berjemur di bawah panas melebihi dua jam.

Mesej penuh yang diterima orang ramai berbunyi; ATTENTION NOTICE  (By TNB)   Malaysia sedang dilanda El Nino sekarang ini. Bacaan suhu persekitaran melebihi 39.7°c.  Bagi pengguna semua jenis kenderaan  bertingkap, sekiranya kenderaan anda berjemur di bawah panas melebihi 2 jam, pastikan cermin kereta anda dibuka 30%. Jika cermin ditutup habis (sepenuhnya), tekanan suhu yang terlampau tinggi dalam kereta akan mengakibatkan keretakkan pada cermin, tangki minyak meletup dan enjin kereta terbakar.  Ambil peduli. Sebarkan kepada semua pengguna kenderaan di Malaysia.  Ir.Yusouf Bahaman TNB Dist.  Jln Bangsar KL

FAKTA SEBENAR

Mesej mengingatkan orang ramai supaya membuka cermin tingkap 30 peratus berikutan El Nino disahkan viral palsu oleh TNB melalui kenyataan rasmi kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automotif dan Samudera dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Pakharuddin Mohd Samin berkata, jika benar dakwaan itu maka sudah tentu banyak kereta di negara Asia Barat yang cuacanya lebih panas berbanding Malaysia meletup.

“Sewaktu saya belajar di Texas, Amerika Syarikat, ketika musim panas suhunya boleh mencecah lebih 40 darjah Celsius tetapi tiada kejadian kereta meletup atau terbakar sepanjang berada di sana.

“Sebenarnya perkara itu tidak berlaku dan apa yang disebarkan di laman sosial itu mengarut dan tidak perlu dipercayai," katanya ketika diminta mengulas viral berkenaan yang tersebar sejak kelmarin melalui aplikasi WhatsApp.

Sumber: Sinar Harian

Recent Posts