Pelakon
Izzue Islam memberitahu dia menghangatkan rumah tangga selepas
berkahwin dengan Nurinafilah Waharudin (Awin), 32, dengan cara memberi
kejutan kepada isterinya itu pada setiap hari.
Izzue atau nama
sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 24, berkata, kejutan yang
diberikan itu bukanlah berbentuk pemberian barangan tetapi lebih kepada
perbuatan agar masing-masing akan berasa dihargai.
"Saya percaya
setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk menghangatkan rumah
tangga mereka. Saya pula lebih suka memberi kejutan seperti mencium dahi
isteri ketika bangun pagi.
"Walaupun kecil perbuatan itu, isteri
semestinya akan berasa dihargai. Begitu juga dengan Awin, ada saja
kejutan yang dia lakukan untuk saya. Keadaan itu membuatkan kami berasa
seronok dan lebih memerlukan antara satu sama lain," katanya.
Tambah
anggota kumpulan Forteen ini, walaupun sudah lima tahun berkenalan
sebelum mendirikan rumah tangga, sehingga kini mereka yang meraikan
ulang tahun perkahwinan pertama pada 2 Jun lalu masih lagi berasa
seperti sepasang kekasih yang baharu menjalinkan hubungan cinta.
Kata
Izzue, dia telah menghadiahkan Awin sebuah jam tangan semepna ulang
tahun itu dan tidak sangka pula isterinya itu turut memberikan hadiah
serupa kepadanya.
"Memandangkan sekarang ini saya sibuk dengan
persiapan pementasan teater Projek Kahwin, jadi saya tidak ada masa nak
cari hadiah untuk diberikan kepada isteri.
"Kebetulan pula saya
mempunyai sedikit masa waktu rehat, jadi saya terus beli jam tangan
untuknya kerana dia pernah meluahkan hasrat mahu beli jam tangan baru.
"Tak
sangka pula dia pun menghadiahkan barangan sama kepada saya. Apa-apapun
saya bersyukur kerana sudah setahun kami melayari bahtera sebagai
pasangan suami isteri. Doakan kami sehingga akhir hayat Insya-Allah,"
ujarnya.
Sementara itu, lakonan Izzue boleh disaksikan menerusi
pementasan teater muzikal Projek Kahwin yang dipentaskan pada 6 hingga
14 Jun ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
- mSTAR