Khamis, Mei 02, 2013

TNB Jelaskan Caj Tambahan 1 Peratus Bagi Dana Tenaga Boleh Baharu

Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada Khamis berkata caj tambahan satu peratus kepada pengguna elektrik bagi Dana Tenaga Boleh Baharu (RE Fund) bukan suatu yang baharu atau satu skim untuk mengutip wang daripada pelanggan.

Syarikat utiliti itu berkata ia hanya bertindak sebagai ejen pengutip sebagai mewakili Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), agensi di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, bagi dana tenaga boleh baharu.

"Bermula Disember 2011, caj satu peratus dikenakan bagi semua pengguna, kecuali bagi pelanggan domestik yang menggunakan kurang daripada 300 jam kilowatt elektrik atau bersamaan dengan RM77 sebulan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan bagi menjelaskan tentang tuduhan yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini berkaitan dengan caj satu peratus bagi Dana Tenaga Boleh Baharu.

Syarikat itu berkata caj satu peratus itu dikenakan susulan pelancaran sistem galakan, mekanisme pembiayaan di bawah Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 dan Akta SEDA 2011, untuk menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui menerusi perkongsian kos dalam kalangan pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia.

- BERNAMA

Keputusan Ujian MUET Sesi Mac 2013 Diumum 6 Mei 2013

Keputusan ujian Malaysian University English Test (MUET) Sesi Mac 2013 melibatkan 40,378 calon akan dikeluarkan pada 6 Mei 2013 ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), dalam kenyataan hari ini berkata calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah atau institusi masing-masing mulai 10 pagi hari berkenaan manakala calon persendirian individu akan memperoleh keputusan mereka melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan ujian mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip MUET<jarak>RESULT<jarak><Nombor Kad Pengenalan> dan menghantarnya ke 15888, mulai 12.01 tengah malam 6 Mei 2013.

Mereka juga boleh bebuat demikian melalui sistem dalam talian dengan melayari portal MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 9 pagi, 6 Mei.

"Calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan MUET boleh membuat rayuan penyemakan semula keputusan MUET dengan bayaran RM70," menurut kenyataan itu.

Tarikh tutup rayuan semak semula ialah 14 Mei dan maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh didapatkan melalui portal MPM.

Calon yang ingin mengambil semula MUET boleh membuat pendaftaran untuk menduduki MUET Sesi Julai 2013 secara dalam talian melalui portal MPM atau www.mesp.gov.my/online. Tarikh tutup pendaftaran ialah 13 Mei ini.


Rabu, Mei 01, 2013

Permohonan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Putrajaya



Permohonan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di kawasan Putrajaya – terbuka kepada anggota perkhidmatan awam dan badan berkanun persekutuan keutamaan yang bekerja di Putrajaya dan pendapatan isi bulanan tidak melebihi RM8,000. Borang PPA1M-1 boleh diperolehi di www.ppj.gov.my mulai 18 April/ Tarikh Tutup Fasa Pertama pada 9 Mei 2013 jam 5.00 petang.

MAKLUMAT LANJUT



BORANG PERMOHONAN




http://www.ppj.gov.my/cpnavigation/general/PPA1M.html 



Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk Kakitangan Awam

 




Pegawai Penjara Gred KX17

Jawatan : Pegawai Penjara Gred KX17

Kumpulan: Sokongan    
         
Kementerian / Jabatan : Jabatan Penjara    
         
Jadual Gaji:    
         
Gaji Minimum     Gaji Maksimum     Kadar Kenaikan Gaji Tahunan
RM935.57          RM3,118.70          RM95.00
   
Syarat Lantikan:    

    a)     Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.
[ Gaji Permulaan : RM935.57 ]    
                     
    b)     mempunyai syarat-syarat ukuran fizikal dan pancaindera seperti berikut:    
          i)     tinggi sekurang-kurangnya 1.57m bagi lelaki dan 1.53m bagi wanita tanpa bersepatu;    
                     
          ii)     berat badan sekurang kurangnya 48 kg bagi lelaki dan 46 kg bagi wanita;    
                     
          iii)     mempunyai ukuran dada yang biasa sekurang-kurangnya 79sm dan semasa menarik nafas 84sm (lelaki sahaja);    
                     
          iv)     lulus dalam Ujian Penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasingan dengan ketetapan V/6/9 tanpa menggunakan cermin mata atau kanta lekap;    
                     
          v)     pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat; dan    
                     
          vi)     diperiksa dan diperakui sihat untuk berkhidmat oleh pengamal perubatan berdaftar.    
                     
    c)     lulus Bahasa Malaysia / Bahasa Melayu (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan    
                     

Deskripsi Tugas:    

- Melaksanakan tugas-tugas operasi berbentuk fizikal dan rutin dalam menjalankan tugas-tugas kawalan keselamatan, melaksanakan prosedur penahanan dan pelaksanaan hukuman, merealisasikan program-program pemulihan serta memberikan layanan yang adil terhadap penghuni berdasarkan kepada undang-undang dan peraturan yang telah diperuntukkan.


JAWATAN PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT S41




JAWATAN PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT S41

Kumpulan: Pengurusan dan Profesional

Kementerian/Jabatan: Pelbagai Kementerian/Jabatan

Jadual Gaji:

Peringkat Gaji Minimum - Gaji Maksimum

P1 : RM1,908.45 - RM5,466.95
P2 : RM2,015.37 - RM5,781.39
P3 : RM2,127.01 - RM6,122.73

Kadar Kenaikan Gaji Tahunan
RM225.00


Syarat Lantikan:


Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh kerajaan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya;
[ Gaji Permulaan P1 : RM1,908.45 ] atau
Ijazah Sarjana Muda Kepujian yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya;
[ Gaji Permulaan P1 : RM2,112.86 ] dan
lulus B.M. (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.


Syarat Kenaikan Pangkat Secara Lantikan:
Pegawai sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat adalah layak dipertimbang oleh Pihak Berkuasa Melantik berkenaan untuk KPSL ke jawatan Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S41 tertakluk kepada kekosongan jawatan, apabila telah disahkan dalam perkhidmatan dan:

mempunyai kelayakan di atas; atau
lulus Peperiksaan Khas; dan
berumur kurang dari 54 tahun pada tarikh lantikan.


Deskripsi Tugas:
Melaksanakan dasar, urusan pentadbiran di peringkat Jabatan dan naziran pelaksanaan program-program latihan yang telah dirancang oleh Kementerian.


PANDUAN PEPERIKSAAN MEMASUKI JAWATAN PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT S41 : http://www.pembangunanmasyarakat.com/hop.php?ref=my



SOALAN EXAM PEPERIKSAAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT PEGAWAI

 

Kerjaya Secara Kontrak


Rutin kerja harian, N. Ganesan, 33, bermula seawal 7.30 pagi. Tugas utamanya sebaik masuk ke pejabat adalah mengambil surat khabar, menyelak helaian demi helaian dan memotong artikel yang berkaitan dengan majikannya.

Tugasnya sebagai Pembantu Am Pejabat Gred N1 secara kontrak di Jabatan Perancangan Korporat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu kedengaran mudah. Bagaimanapun, setiap hari anak jati Kuala Lumpur itu perlu menyemak 10 naskhah surat khabar iaitu berbahasa Melayu, Inggeris dan Tamil.

"Setiap hari kerja, saya perlu menyemak kesemua surat khabar tersebut. Jika terdapat artikel berkaitan DBKL saya akan potong, masukkan dalam fail dan hantar ke Majlis Tertinggi DBKL. Sekiranya, ada artikel yang memerlukan jawapan balas untuk disiarkan di akhbar, saya perlu mendapatkan respons tersebut sebelum diserahkan kepada akhbar terbabit," katanya yang tinggal di Flat Sri Sabah, Cheras.

Kerjaya awal

Sebelum bekerja di DBKL, Ganesan bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Astro. Pekerjaan itu dilakukan selama tiga tahun juga secara kontrak.

Ketika berusia 27 tahun, Ganesan terlihat iklan di akhbar berkaitan kerja kosong yang ditawarkan di DBKL iaitu sebagai pengawas Gred N11. Membina kerjaya dengan pihak kerajaan merupakan impiannya sejak dahulu. Dia yang masih bujang ketika itu, telah menghantar permohonan dan menghadiri temuduga sebelum berjaya mendapat jawatan tersebut iaitu secara kontrak selama tiga tahun.

"Saya rasa sangat seronok mendapat pekerjaan tersebut, walaupun secara kontrak saya memperoleh pelbagai faedah sama seperti pekerja tetap kecuali tiada pencen. Saya juga mendapat elaun perumahan, sara hidup, perkhidmatan rawatan percuma, kenaikan gaji dan bonus. Apabila kontrak selama tiga tahun tamat dan saya ditawarkan kontrak lanjutan selama setahun," katanya yang kini telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.

Pada tahun 2010, kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan jawatan tersebut. Ganesan perlu membuat pilihan sama ada untuk berhenti kerja atau turun gred kerana jawatan baharu itu memerlukan kelayakan akademik lebih tinggi. Ini kerana, jawatan lamanya cuma memerlukan kelayakan minimum Sijil Rendah Pelajaran manakala jawatan baharu memerlukan kelayakan minimum iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk kredit subjek Bahasa Malaysia.

"Walaupun saya bekerja secara kontrak, syukur hak saya sebagai pekerja tetap terjamin. Dalam keadaan tersebut, saya mengambil keputusan untuk turun gred kerana tidak menepati kriteria yang ditetapkan.

Selepas itu, saya dihantar ke jabatan sekarang. Saya tidak menyesal membuat pilihan tersebut kerana masih mempunyai kerja, malah berpeluang untuk memohon jawatan tetap jika ada kekosongan," katanya yang seronok melakukan tugas tersebut.

Bersyukur dapat kerja

Dalam pada itu, rakan sepejabatnya, Laili Noor Hila Talib, 28, juga bersyukur kerana memperoleh pekerjaan iaitu Pekerja Am Gred R1 walaupun secara kontrak.

Menganggur selama beberapa tahun selepas tamat SPM, pekerjaan pertama tersebut sangat mengujakannya.

"Saya gembira bekerja di sini, kerjanya pun tidak susah dan kerja-kerja banyak dilakukan dalam pejabat seperti mengirim, merekod dan memfail surat-surat yang diterima. Jika ada program pejabat pada hujung minggu, saya turut diberikan elaun kerja lebih masa," katanya yang mampu memperoleh gaji sehingga RM2,000 sebulan.

Sejak masuk kerja pada tahun 2006, ibu kepada dua anak itu turut berpeluang menyertai program-program yang dihadiri pemimpin-pemimpin negara.

"Jika lihat kepada jawatan saya, siapa sangka saya boleh bertemu ramai pemimpin negara atau pergi ke acara-acara yang diadakan di hotel-hotel besar. Ini kerana apabila berlaku acara melibatkan pemimpin negara di ibu negara saya akan bertugas sebagai penyambut tetamu," katanya.

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, tidak ada apa yang perlu dimalukan atau dibimbangkan jika bekerja secara kontrak.

"Layanan yang kami terima jika dibandingkan dengan pekerja tetap tidak ada bezanya. Kerjaya sebagai pekerja kontrak juga bagus untuk menimba pengalaman selain membina reputasi kerja sebelum memohon secara tetap," katanya yang memberitahu gaji pekerja kontrak dipotong untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala pekerja tetap mempunyai pencen.

Laili tidak bimbang tentang lanjutan kontrak ekoran majikannya hanya membuang pekerja yang mempunyai masalah disiplin.

Dia juga tidak berhasrat untuk mencari kerja di tempat lain berikutan keistimewaan yang diperoleh sebagai pekerja DBKL memuaskan hatinya.

"Saya mendapat kenaikan gaji, elaun lebih masa dan faedah perubatan. Jika ada program hari keluarga, kami juga tidak ketinggalan menyertainya," katanya.

Penyanyi kontrak

Dalam pada itu, Norhaslina Mohd., 31, pula walaupun berstatus pekerja kontrak, namun lapangan kerjayanya jauh berbeza daripada Ganesan dan Laili.

Norhaslinda bertugas sebagai penyanyi di hotel-hotel atau kelab-kelab. Menggunakan nama pentas iaitu Sally, anak kelahiran Tampoi, Johor Bahru, Johor itu telah terbabit secara aktif sebagai penyanyi sejak berusia 19 tahun lagi.

Berminat dalam bidang nyanyian sejak kecil, aktiviti nyanyian Sally terus berkembang ketika zaman persekolahan terutamanya ketika di sekolah menengah.

"Pada usia 14 tahun saya telah menyertai banyak aktiviti nyanyian bukan sahaja di Johor, malah di negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Ketika itu, saya mendapat undangan pentas yang diuruskan oleh ejen-ejen dengan bayaran paling banyak sehingga RM150 untuk satu persembahan nyanyian.

"Saya berhenti seketika daripada menyanyi apabila ingin menduduki SPM. Selepas itu, pada usia 19 tahun, kakak saya yang bekerja di sebuah hotel di Johor Bahru telah mengesyorkan saya untuk menyanyi secara kontrak di tempat kerjanya. Ia merupakan kontrak pertama saya sebagai penyanyi yang dilakukan pada tahun 2001. Kontrak tersebut selama tiga bulan dengan kadar bayaran sebanyak RM1,500 tidak termasuk komisen," katanya.

Sejak itu, Sally tidak menoleh kebelakang lagi dan terus terbabit sebagai penyanyi sama ada di hotel atau kelab malam. Dalam tempoh 12 tahun pembabitan, banyak kontrak ditanda tanganinya yang kesemuanya diuruskan oleh ejen.

"Bidang nyanyian merupakan minat saya bagaimanapun, kerjaya seperti ini masa depanny tidak menentu. Bayaran kontrak yang diterima juga tidak tinggi iaitu sekitar RM3,000 sebulan. Sesetengah majikan memberikan tempat tinggal, makanan, dobi dan minuman percuma. Masalahnya, cuti tidak menentu dan sakit pun kena kerja atau cari pengganti dengan gajinya saya bayar.

"Selain itu, tiada kemudahan perubatan dan KWSP. Untuk mendapatkan kontrak juga bukan mudah kerana ramai penyanyi tempatan dan luar negara yang berebut untuk mendapatkannya," katanya yang pernah hampir tiga bulan tidak menerima sebarang tawaran kerja.

Untuk perancangan masa depan, Sally yang turut berbakat dalam bidang lukisan berhasrat untuk berhenti menyanyi ketika berusia 35 tahun.

"Saya mungkin membuka restoran atau menjadi guru vokal," katanya yang tidak pernah menyesal menceburi bidang tersebut.

- KOSMO!

 

Penggunaan Dakwat Kekal Tidak Jejas Ibadah




Penggunaan indelible ink atau dakwat kekal adalah harus dan dibenarkan dari aspek syarak kerana ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada ibadah umat Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan hari ini berkata indelible ink tidak mengandungi bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memberi kesan mudarat dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit (telap air) apabila digunakan.

"Ini diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 11 Januari 2012 mengenai hukum penggunaan indelible ink yang akan digunakan sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

"Muzakarah memutuskan perkara ini berdasarkan pembentangan laporan analisis kimia, taklimat dan penjelasan daripada Jabatan Kimia serta penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau berkata kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi penjelasan kepada sesetengah pihak yang masih khuatir dan ragu-ragu sejauh mana penggunaan dakwat kekal itu dibenarkan oleh syarak dan telah dibincangkan di peringkat Muzakarah Fatwa.

Anggota keselamatan terdiri daripada pasukan tentera dan polis serta pasangan masing-masing yang menunaikan hak sebagai pengundi awal hari ini dicalit dakwat kekal berwarna merah buah saga di jari telunjuk kiri.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata warna dakwat kekal yang digunakan ke atas pengundi awal pada hari ini berbeza dengan warna dakwat kekal yang akan digunakan Ahad ini.

Dakwat Kekal Tidak Boleh Hilang 100 %

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi memberi jaminan bahawa dakwat kekal yang dicalitkan di jari pengundi pada Ahad ini tidak boleh hilang 100 peratus.

Tidak kira bagaimana anda berusaha untuk membersihkan dakwat di jari anda itu, ia masih kelihatan sedikit di atas kulit.

"Saya yakin ia tidak mungkin dapat dibersihkan 100%. Dakwat itu diperbuat daripada nitrat perak. Mungkin seseorang boleh mengikis dakwat pada kuku mereka tetapi ia masih boleh kelihatan di atas kulit sekitar kuku.

"Kerani-kerani di pusat mengundi dilengkapi dengan kanta mata pembesar dan mereka akan memeriksa kesemua jari pengundi sebelum membenarkan mana-mana individu untuk mengundi," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Malah jika seseorang dapat mencuci dakwat tersebut, beliau berkata, adalah mustahil untuk individu tersebut mengundi sebanyak dua kali.

"Sebaik saja seorang invidivu mengundi, namanya akan dipotong dari senarai daftar pengundi. Jadi, tiada cara bagi sesiapa saja untuk mengundi dua kali," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan di Internet kononnya beberapa pengundi yang mengundi awal boleh membersihkan dakwat tersebut dari jari mereka.

Wan Ahmad berkata, beliau memantau beberapa pengundi yang cuba membersihkan jari mereka dengan kertas tisu sebaik saja dakwat tersebut dicalitkan.

"Mereka mungkin mengelap sedikit dakwat tersebut kerana ia tidak kering sepenuhnya. Saya mencadangkan supaya SPR tidak menyediakan kertas tisu di pusat mengundi pada 5 Mei nanti," katanya.

- BERNAMA

 

Penyimpanan cakera keras tanpa wayar


Seagate Technology mengumumkan peranti mudah alih Seagate Wireless Plus sebagai evolusi seterusnya untuk kategori penyimpanan tanpa wayar.

Direka untuk mengalir kandungan tanpa wayar sehingga lapan telefon pintar ataupun tablet dengan ruang simpanan sehingga 500 filem HD, produk tanpa wayar ini akan melanjutkan lagi gaya gaya hidup mudah alih kini.
Seagate Wireless Plus baru ini mempunyai daya tahan bateri selama 10 jam untuk menandingi tablet dan telefon pintar. Dengan pemacu 1TB yang diintegrasi, anda akan mempunyai semua yang diperlukan untuk hiburan di mana-mana termasuk dalam penerbangan ataupun perjalanan yang panjang tanpa sambungan Internet.


Peranti storan Seagate Wireless Plus ini boleh diakses melalui aplikasi Seagate Media mudah alih untuk Apple IOS, Android dan peranti Kindle Fire HD.

Aplikasi Seagate Media direka untuk semua alat-alat peranti mudah-alih, termasuk Android, Kindle Fire HD, Apple iOS dan juga akan berfungsi dengan mana-mana alat yang boleh disambungkan kepada rangkaian Wi-Fi.

Membolehkan anda menggunakan Seagate Wireless Plus untuk menikmati tontonan video, foto, muzik dan juga dokumen melalui skrin besar dengan Apple Airplay, DLNA atau aplikasi yang direka khusus untuk televisyen pintar Samsung dan pemain Blu-ray.

Info

- Wireless Plus ini mencipta rangkaian Wi-Fi sendiri - tiada keperluan untuk aliran atau muat turun kandungan dari internet.

-  Direka untuk mengalir kandungan tanpa wayar sehingga lapan pintar ataupun tablet dengan ruang simpanan sehingga 500 filem HD.

- Aplikasi Seagate Media direka untuk semua alat-alat peranti mudah-alih, termasuk Apple iOS, Android, Kindle Fire HD, dan juga akan berfungsi dengan mana-mana alat yang boleh disambungkan kepada rangkaian Wi-Fi.

- Seagate Wireless Plus adalah pemenang Anugerah Inovasi baru CES 2013.

- BERITA HARIAN

 

Pemegang kad MyKas dan Pemastautin Tetap tidak berhak mengundi


Pemegang kad pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) dan Pemastautin Tetap (PR) yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berhak mengundi seperti pemegang kad pengenalan Malaysia (MyKad).

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Pendaftaran, Datuk Jariah Mohd Said, dalam satu kenyataan semalam, menafikan sama sekali isu dibangkitkan beberapa media sosial kononnya MyKas dikeluarkan kepada warga asing untuk tujuan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Dakwaan ini juga ternyata berniat jahat terhadap kerajaan, khususnya JPN dan dilihat sebagai usaha untuk mengelirukan orang ramai.

“Sebelum 2009, semua kad pengenalan menggunakan kad sama berwarna biru, sama ada kepada pemegang bertaraf Warga Negara atau Bukan Warga Negara.

Ada perbezaan di muka depan

“Bagaimanapun, bagi kad pengenalan MyKas, terdapat perbezaan di muka depan iaitu mempunyai catatan tarikh luput, catatan Pemastautin Sementara dan terdapat lima segi tiga berwarna hijau,” katanya.

Jariah berkata, MyKas dikeluarkan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) di bawah Peraturan 5(3)(c)(ii) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2001) kepada seseorang yang lahir di Malaysia tetapi status kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan atau belum ditentukan.

Beliau berkata, pada 2008, MyKas yang baru dikeluarkan berwarna hijau sepenuhnya dengan mengekalkan catatan Pemastautin Sementara dan dicatat sebagai Bukan Warga Negara pada kad berkenaan serta mempunyai tempoh sah laku selama lima tahun, selain boleh diperbaharui.

Katanya, status sebagai Pemastautin Sementara bermakna mereka bukan warga Malaysia, sekali gus pemiliknya tidak mempunyai hak untuk mengundi.

- BERITA HARIAN

 

Aditif di dalam minyak petrol menghakis enjin?



Setiap syarikat minyak mengadunkan pelbagai pakej aditif (bahan tambahan) tersendiri ke dalam minyak petrol, yang mengandungi kandungan kompaun dan molekul yang berbeza. Bahan aditif boleh memberikan perbezaan ketara kepada prestasi petrol.

Ada aditif dipanggil 'Detergen' dalam minyak petrol menjadi parasit dalam enjin. Aditif ini dalam jangka masa tertentu bertindak 'memakan' minyak enjin sedikit demi sedikit dan merosakkan bahagian enjin tertentu. Adalah merugikan jika aditif itu berguna untuk menanggalkan deposit tetapi mempunyai kesan sampingan sendiri terhadap enjin pada jangka masa tertentu.

Satu-satunya jenama yang menjalankan ujian anti-parasit ini adalah CALTEX yang menjalankan ujian 'No-Harm Test' di Amerika Syarikat. Ujian ini dilakukan untuk mengesan samaada terdapat mana-mana bahan aditif yang digunakan akan menjadi deposit atau tidak selepas proses pembakaran. Juga, ujian dilakukan untuk melihat sama ada aditif berkenaan akan menyebabkan hakisan atau pengurangan minyak pelincir atau tidak.

Hasilnya, terbukti penggunaan Caltex Techron selain dapat membersihkan enjin, ia juga dapat melindungi bahagian-bahagian tertentu di dalam enjin supaya berada di dalam prestasi terbaik. Selain itu, teknologi Techron juga menjadikan proses pembakaran lebih baik di mana kereta mudah dihidup di dalam apa jua suhu.

Pengguna yang sudah biasa dengan Caltex Techron pasti akan dapat merasai perbezaan dan kelebihan minyak ini berbanding jenama lain. Disebabkan itulah Caltex Techron merupakan petrol paling unggul di Eropah.






Iklan jenama tingkatkan jualan dan raih keyakinan pengguna


Jenama Samsung muncul sebagai pemenang utama Anugerah Jenama Putra 2013 anjuran Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), apabila ia dinobatkan sebagai Putra Brand of the Year.

Acara itu turut menyaksikan 31 jenama memenangi pingat emas, 33 pingat perak dan 27 pingat gangsa membabitkan 21 kategori berlainan bermula daripada peralatan dan pakaian sehingga kepada pengangkutan dan pelancongan.

Jenama yang melakukan perbelanjaan besar dalam penawaran jenama mereka kepada pelanggan menerusi pelbagai platform pengiklanan adalah jenama paling disambut pengguna” Johnny Mun, Presiden Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia

Pilihan pengguna

Antara jenama lain yang memenangi pingat emas adalah Nike, 100 Plus, Toyota, Maxis, Taylor’s University College, Gardenia, Dynamo, Sime Darby Property dan McDonald’s.

Mengulas perkembangan itu, Presiden 4As, Datuk Johnny Mun, berkata 106 pemenang dalam pelbagai kategori dipilih oleh 6,000 pengguna dari seluruh negara.

Katanya, pada anugerah kali ini, 4As mendapati media sosial membawa perubahan dalam trend komunikasi pemasaran dan ia menjangkakan perubahan itu adalah sesuatu yang kekal dan bukan bersifat sementara atau bermusim.
“Apa yang penting, kita sebagai peserta industri khususnya pemilik jenama dan pengiklan perlu memahami bagaimana media baru berfungsi dan bagaimana ia memberikan kesan kepada masyarakat secara realiti.

“Selain itu, kami turut mendapati bahawa jenama yang melakukan perbelanjaan besar dalam menyampaikan mesej dan penawaran jenama mereka kepada pelanggan menerusi pelbagai platform pengiklanan adalah jenama yang paling disambut pengguna,” katanya kepada media selepas acara pengumuman pemenang Anugerah Jenama Putra 2013 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Dr Wong Lai Sum serta ketua agensi pengiklanan kreatif, pemimpin jenama utama dan ketua pegawai eksekutif pelbagai syarikat terkemuka tempatan dan antarabangsa.

Mencetus inspirasi

Wong berkata, syarikat perlu meneruskan tumpuan mereka terhadap usaha pengiklanan jenama sebagai kaedah utama untuk meningkatkan jualan, membina identiti boleh dipercayai dan meraih keyakinan pengguna.

“Setiap jenama mesti mempunyai kisah tersendiri yang boleh disampaikan dengan menarik dan mencetus inspirasi. Selain itu, kekalkan prinsip berpegang pada janji, kotakan janji itu dan anda akan menambat hati pengguna dalam jangka panjang,” katanya.

- BERITA HARIAN

 

Recent Posts