Khamis, April 04, 2013

Pos Malaysia bakal laksanakan peti surat digital



Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) bakal melaksanakan perkhidmatan peti surat digital dalam usaha mempelbagaikan produk seiring dengan perkembangan teknologi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, perkhidmatan itu akan dilaksanakan bagi menangani masalah penurunan kiriman surat yang secara purata menurun dua hingga tiga peratus setiap tahun.

Tambah beliau, perkhidmatan peti surat digital ini masih dalam proses pelaksanaan dan akan dijalankan sepenuhnya pada suku keempat tahun hadapan.

Menurutnya, produk peti surat digital ini akan memudahkan pelanggan melunaskan segala pembayaran bil dalam satu portal yang akan dikendalikan oleh Pos Malaysia nanti.

"Ini bermakna pelanggan tidak perlu pergi ke mana-mana pejabat pos untuk membayar bil, tetapi boleh melunaskan pembayaran bil secara dalam talian tanpa perlu membuka banyak portal.

"Melalui peti surat digital ini, bagi pelanggan mempunyai 10 bil yang perlu dibayar, mereka hanya perlu membuka satu portal sahaja dan membuat pembayaran melalui servis Pos Online," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian hadiah utama Peraduan Senang Menang@POS di Kuala Lumpur.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi One-Stop Solution, Datuk Mearia Hamzah.

- UTUSAN
 

Rabu, April 03, 2013

Kakitangan Awam Negeri Perak Dapat Insentif Tambahan RM500



IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Rabu mengumumkan pemberian insentif tambahan sebanyak RM500 kepada setiap penjawat awam kerajaan negeri.

Beliau berkata pemberian yang akan dimasukkan dalam pembayaran gaji bulan ini melibatkan lebih 8,000 penjawat dengan peruntukan RM7.5 juta.

Ia sebagai menghargai usaha penjawat awam ekoran peningkatan hasil kerajaan negeri tahun lepas, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri menjangka kutipan hasil RM865 juta bagaimana kita berjaya mencapai RM905 juta," katanya.

Antara penjawat awam yang bakal menerima insentif itu ialah yang berkhidmat di Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan yang merangkumi Majlis Daerah serta Majlis Perbandaran.

Zambry turut menyangkal pemberian itu sebagai 'gula-gula' pilihan raya.Beliau berkata tahun sebelum ini, kerajaan negeri juga memberi insentif tambahan.

Sementara itu beliau berkata mesyuarat exco hari ini merupakan yang terakhir sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Beliau dijadual mengadap Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah petang Rabu untuk memohon perkenan pembubaran DUN.

- BERNAMA

Teladani gaya hidup semut

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Tiada suatu benda pun di dunia ini dijadikan sia-sia oleh Allah. Semuanya memberikan manfaat kepada manusia. Cuma, kita perlulah membuka mata zahir dan mata hati untuk memungut seberapa banyak kebaikannya.
Antara makhluk ciptaan Allah yang unik dan memiliki keajaibannya tersendiri ialah semut. Mengikut kajian, terdapat lebih daripada 47 ribu spesies semut di dunia ini. Ada bersaiz besar seperti semut kerengga atau nama saintifiknya ‘Ocoephyla amaradgina’ yang mendatangkan kesakitan apabila digigitnya.

    Sabda Rasulullah SAW: “Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia membabitkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad )


Namun, dalam siri kehidupan makhluk keluarga serangga itu tersirat aneka hikmah yang sewajarnya kita pelajari dan ‘berguru’ dengannya. Karakter paling menarik yang terdapat pada semut ialah kesungguhan dalam mencari nafkah hidup.

Badan kecil berjiwa besar

Usaha begitu gigih tanpa mengenal erti putus asa, seakan-akan menempelak kita kerana sikap yang ada kalanya berkeluh kesah dan berputus harapan dalam memperoleh sumber pendapatan bagi menyara kehidupan diri serta keluarga.

Tetapi, tidak pada semut. Makhluk Allah ini tubuhnya saja kecil tetapi berjiwa besar. Telitilah dengan rapi akan pergerakan semut, pasti fakta kekuatan daya juang mencari rezeki terpancar dan akan menyentuh hati kecil kita bahawa Allah menyediakan rezeki buat semua makhluk tanpa pengecualian.
Naluri dan kehendak untuk mengusahakan sesuatu misi mencari sumber kehidupan tidak pernah padam dalam diri semut, malah, atas faktor itulah maka semangat untuk bertebaran memperoleh sumber kehidupan dipacu.

Tak mampu tiru gaya hidup semut

Sikap tidak pernah putus asa terhadap rahmat Allah tercermin menerusi gaya hidup semut yang kadangkala kita sendiri tidak mampu menirunya. Inilah kelebihan semut dan inilah juga satu pengajaran buat kita.

Sedangkan kita dididik supaya tidak berputus asa dengan rahmat Allah termasuklah dalam urusan mencari sumber rezeki hidup wajar berjiwa perkasa dan bulat tekad untuk memberdayakan ikhtiar. Selepas selesai mendirikan solat, Allah mengarahkan kita keluar mencari rezeki.

Firman Allah SWT: “Dialah yang menciptakan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah, dan (ingatlah), kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutlah kemurkaan-Nya).” (Surah al-Mulk, ayat 15)

Sikap dan gaya kerja mencari sumber rezeki yang ada pada semut sangat cemerlang dan penuh iltizam. Inilah juga sebenarnya yang dikehendaki oleh Allah pada diri kita.

Rasulullah SAW berpesan: “Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang.” (Riwayat Abu Ya’la dan at-Tabrani)

Toleransi, saling kerjasama

Aspek kedua yang terpancar dalam spektrum kehidupan semut ialah sikap toleransi dan saling bekerjasama. Inilah kekuatan yang Allah kurniakan kepada semut yang memegang prinsip ‘Ke gunung sama mendaki, ke lurah bersama-sama menuruninya.’

Koloni semut walaupun dalam sistem berkasta, iaitu ada ratu, raja dan golongan pekerja, namun kedudukan itu tidak pernah menimbulkan konflik dan krisis sesama mereka sehingga membibitkan rasa tidak puas hati dan jauh sekali mahu melancarkan protes terhadap golongan pemerintah.

Sikap saling membantu, kasih sayang dan saling bersimpati dalam diri semut seolah-alah mereka bergerak dalam satu jemaah yang padu. Inilah juga sebenarnya nilai peribadi yang wajib kita miliki. Baginda Rasulullah ada menghuraikan pentingnya bersatu hati dan saling bermuafakat.

Sabda Rasulullah SAW: “Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia membabitkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad )

Seterusnya Baginda bersabda: “Kalian antara seorang beriman dengan yang lainnya adalah sama seperti sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita nampaknya semakin meninggalkan pesanan Baginda SAW dan akibatnya, lihatlah bagaimana fenomena semasa dalam masyarakat dan dunia Islam peringkat global dewasa ini yang kian terhakisnya semangat bersatu dalam satu jemaah yang padu.

Nampaknya kita perlu banyak belajar daripada kehidupan semut. Biarlah semut dijadikan teladan kerana makhluk Allah ini kaya dengan khazanah nilai peribadi yang unggul seperti saling bekerjasama, kepatuhan kepada pemerintah selain gigih bekerja.

- BERITA HARIAN

10 Sebab Jepun Mencapai Kemajuan


1. Di Jepun di ajar pada awal sekolah rendah sehingga darjah enam dengan satu matapelajaran yang dinamakann “Jalan kearah Akhlak” dimana pelajar mempelajari akhlak/etika dan cara berdepan dengan orang.

2. Tidak ada kegagalan/failure pada awal sekolah rendah sehingga ke peringkat tiga pertengahan, kerana objektifnya ialah mendidik dan menanamkan konsep dan pembentukan pribadi/watak, bukan sahaja pendidikan dan indoktrinasi(dictation).

3. Jepun walaupun salah satu Negara terkaya didunia, mereka tidak mempunyai orang gaji (servants), ibu dan bapa bertanggungjawab di rumah dan keatas anak-anak mereka.

4. Kanak-kanak Jepun membersihkan sekolah mereka setiap hari selama 20min bersama-sama guru mereka. Faktor ini membawa kearah kemunculan generasi Jepun yang sederhana dan minat kearah kebersihan.

5. Kanak-kanak disekolah akan membawa berus gigi yang telah di “disinfected”/sterilkan, dan mereka membersihkan gigi mereka disekolah setiap kali lepas makan bagi mengekalkan kesihatan pada usia yang muda.

6. Pengetua sekolah akan memakan makanan pelajarnya selama setengah jam bagi memastikan keselamatan mereka, kerana pengetua menganggap pelajar adalah masa depan Jepun yang perlu diberi perlindungan.

7. Pekerja pembersihan di Jepun digelar sebagai “Jurutera Kesihatan” yang gajinya sebanyak 5000 hingga 8000 USD sebulan, tertakluk kepada ujian bertulis dan lisan.

8. Di larangan mengunakan handphone didalam tren/keretapi, restoran dan tempat-tempat yang tertutup, dan dinamakan status ‘silent’ di handphone sebagai “akhlak/etika”

9. Jika anda pergi ke restauran buffet di Jepun, anda akan dapati bahawa setiap orang akan mengambil makanan dengan kadar yang di perlukan sahaja, dan tidak akan meninggalkan apa-apa makanan diatas pingan.

10. Kadar kelambatan keretapi/tren adalah sebanyak 7 saat sahaja dalam satu tahun, ini kerana mereka adalah orang yang tahu akan nilai masa, dan gemar kepada ketepatan saat dan minit.

Sumber Asal: http://www.facebook.com/photo.php?fbid=521265741257650&set=a.140501556000739.30439.140501459334082&type=1&theater

Kredit To: Dr Abu Anas Madani

SPA lantik 14,257 calon isi pelbagai jawatan Mac lalu

Seramai 14,257 calon dilantik mengisi pelbagai jawatan tetap dan kontrak dalam perkhidmatan awam sejak Januari hingga Mac 2013 lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam, berkata daripada jumlah itu, 7,043 dilantik sebagai petugas tetap manakala 7,214 petugas bertaraf kontrak.
Beliau berkata, SPA menerima lebih 1.4 juta permohonan bagi jawatan tetap dengan pecahan masing-masing 1.1 juta Melayu, Cina (24,491), India (44,380), bumiputera Sabah dan Sarawak (218,622) serta kaum lain (27,008).

"Ia adalah angka tertinggi berbanding tahun sebelum ini. Ini jelas bahawa ramai belia terutamanya kaum Cina dan India menunjukkan minat bekerja dalam sektor awam yang bukan sahaja menjanjikan pelbagai kemudahan, bahkan gaji yang lebih baik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan kementerian, jabatan dan pentadbiran negeri, di Putrajaya, hari ini.

Mahmood Adam berkata, dengan pengisian itu masih ada 66,185 jawatan kosong yang belum disisi sebelum hujung tahun ini daripada jumlah keseluruhan 80,442 jawatan yang ditawarkan.

- BERNAMA


UCAPAN PEMBUBARAN PARLIMEN KE-12


foto BERNAMA

BERIKUT ialah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembubaran Parlimen Malaysia ke-12 pada Rabu.

Bismillahirahmanirahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatnya saya, Timbalan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri dapat bersama-sama secara langsung dengan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian pada pagi ini.

2. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013. Sehubungan dengan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

3. Sehubungan dengan itu saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap Ketua-ketua Negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

4. Hari ini, 4 tahun yang lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah pun mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta. Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala ikhtiar serta upaya mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan berpaksikan kepada Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.

5. Dalam tempoh empat tahun yang lepas rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional yang melibatkan Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.

6. Kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya. Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan “Track record” kami sepanjang empat tahun yang lalu.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

7. Pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas untuk negara semenjak tahun 1959 iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum pertama pasca merdeka.

8. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.

9. Sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi Malaysia telah berjaya menyediakan asas yang subur untuk kestabilan dan kemakmuran nasional yang telah dinikmati warganegara ini selama lebih lima dekad.

10. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.

11. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

12. Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.

13. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia semenjak merdeka lagi proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi sarwajagat.

14. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia. Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.

15. Marilah kita sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar, aman dan selamat.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

16. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya. 17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi, inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik, inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.

18. Kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia, pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

19. Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.

20. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tetap juga memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

21. Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.

22. Di sini saya selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional ingin merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu rakyat di seluruh pelosok negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa kami BN perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.

23. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua. Ayuh teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang ada.

24. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia yang maju, makmur dan selamat, penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. Demi Malaysia, usaha bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Sumber: MSTAR

 

PM Umum Parlimen Bubar Hari Ini 3 April 2013


Parlimen Malaysia penggal ke-12 dibubar secara rasmi pada Rabu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Pembubaran berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira pukul 11.30 pagi.

Hari ini adalah genap 4 tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Menurut Najib, pembubaran berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika beliau menghadap baginda awal pagi Rabu.

"Pada pagi ini saya telah pun menghadap Yang Di-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini.

"Sehubungan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan agar Parlimen ke-12 dibubarkan berkuat-kuasa hari ini," katanya.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Kabinet terkahir di Putrajaya.

Pada sidang media khas itu juga Perdana Menteri meminta semua ketua kerajaan negeri mendapatkan perkenan daripada ketua negeri masing-masing bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak seluruh negara," katanya.

- BERNAMA

 

 

Tak cukup duit! - Irfan Khairi

Oleh Irfan Khairi

Pernahkah anda mengalaminya? Satu keadaan yang menakutkan apabila pendapatan yang kita peroleh tidak cukup untuk membayar perbelanjaan dari bulan ke bulan. Duit yang masuk tidak banyak, tetapi pelbagai bil pula tiba dan bertambah di rumah.

Tidak cukup dengan itu, pemiutang juga memberi tekanan meminta wang pinjaman. Walaupun anda sudah cuba berjimat, duit masih tidak cukup!

Bukan saja menakutkan, situasi sebegini juga membawa kepada stres yang berlanjutan. Sedihnya, ramai yang mengalami keadaan sedemikian. Tanpa menanganinya, ia boleh mengakibatkan muflis. Namun, muflis bukanlah satu jalan mudah untuk menyelesaikan segala masalah.

Saya akui, keadaan tidak cukup duit bukan segala-galanya berpunca daripada kesilapan seseorang itu. Adakalanya ia terjadi akibat kemalangan, sakit, kecacatan, penutupan tempat kerja, keadaan keluarga, ditipu dan pelbagai lagi sebab. Namun begitu, kita sendiri perlu memikul tanggungjawab dalam menangani keadaan yang penuh cabaran ini. Sememangnya sukar, tetapi terpaksa juga lakukan sesuatu dan tiada guna hanya membiarkan keadaan menjadi lebih teruk.

Langkah pertama adalah mencari pendapatan lebih, mungkin mencari kerja tambahan secara separuh masa. Tanya pada majikan anda sama ada terdapat kerja lebih yang boleh anda lakukan secara lebih masa. Terdapat banyak kerja sambilan yang ditawarkan.

Ketepikan ego dalam memilih kerja sambilan. Pepatah Inggeris, "Beggers can't be choosers" bermaksud pengemis tidak boleh terlalu memilih.

Satu ketika dulu ketika saya masih belajar dan menghadapi masalah tidak cukup wang, saya bekerja sebagai tukang cuci untuk mendapat wang tambahan. Zaman Internet ini, terdapat juga pelbagai peluang pekerjaan untuk mendapat pendapatan tambahan yang boleh dilakukan dari rumah. Selain itu, memulakan perniagaan kecil-kecilan juga satu pilihan yang bijak.

Langkah seterusnya adalah menjual apa yang anda tidak perlu. Mungkin di rumah anda terdapat perabot atau barangan yang tidak digunakan dan hanya mengumpul habuk. Inilah masanya untuk menjual dan mendapat wang daripada barangan terbabit. Bukan saja membantu memperoleh pendapatan, tetapi ia juga membantu menambah ruang di rumah anda.

Sekiranya melakukan perkara dinyatakan itu masih tidak mencukupi, tiba masanya untuk ubah gaya hidup dalam mengurangkan perbelanjaan besar anda. Keputusan yang lebih besar perlu dilakukan seperti berpindah ke rumah yang lebih kecil dan murah mengikut kemampuan anda.

Sekiranya kos kereta agak tinggi, mungkin tiba masanya beralih kepada motosikal atau menggunakan pengangkutan awam buat sementara waktu. Seperti yang dikatakan, ketepikan ego dalam menangani masalah tidak cukup wang.

Terdapat juga badan yang membantu dari segi nasihat dan kaunseling kepada mereka yang mempunyai masalah sebegini. Ini termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara. Dapatkan bantuan dan sokongan kerana tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

- METRO AHAD


Buku : Seni Bahasa Badan


Buku Seni Bahasa Badan mendedahkan rahsia komunikasi bukan lisan sebagai penggenap komunikasi lisan kita. Buku ini akan memberikan kita lebih pengaruh, keyakinan dan kuasa dalam komunikasi. Penulisnya juga membongkar rahsia bagaimana membaca niat yang terselindung di sebalik bahasa badan seseorang. Antara perkara yang wajib dibaca:

- Ketahui teknik memperbaiki cara senyuman

- Bagaimana memek muka memberi kesan pada mesej

- Ketahui ‘sihir’ menggunakan mata bagi mengawal proses komunikasi

- Bagaimana membocorkan rahsia rakan kita Cuma dengan menganggukkan kepala

- Membina komunikasi mesra dengan teknik mirroring

- Tip mengetahui magnet sentuhan yang dapat menarik lebih ramai orang

- Meneka niat seseorang dengan melihat kakinya

Bertindak segera! Jadikan buku ini azimat bagi memperbaiki diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Jangan biarkan orang lain terlebih dahulu mengetahui rahsia membaca bahasa badan kita.


ISI KANDUNGAN

Bahagian 1: Mantera Pembuka Bicara

Bab 1: Bahasa Cetusan Hati

Bab 2: Bicara Tanpa Suara

Bab 3: Bahasa Nan Indah

Bab 4: Ruang Angkasa Gaban

Bahagian 2: Kuasa Ekspresi Wajah

Bab 5: Wajah Kesayangan Hamba

Bab 6: Dari Mata Turun ke Hati

Bab 7: Menyihir dengan Mata

Bab 8: Senyum Seindah Suria

Bab 9: Angguk-Angguk Geleng-Geleng

Bahagian 3: Cerita di Sebalik Isyarat Tangan

Bab 10: Kuasa Sakti pada Tangan

Bab 11: Liuk Lentok Penari Ngajat

Bab 12: Salam nan Sejahtera

Bab 13: Gemala Hikmat Magnet Sentuhan

Bahagian 4: Pengaruh Postur Badan dan Rahsia Kaki

Bab 14: Cetus Kemesraan dengan Cermin Sakti

Bab 15: Postur Terbuka, Minda Dibuka

Bab 16: Berdiri Lebih Tinggi

Bab 17: Ada Udang di Sebalik Batu

Bahagian 5: Mempesona Tanpa Kata-kata

Bab 18: Impresi Pandang Pertama

Bab 19: Pakaian Lambang Keperibadian

Bab 20: Perhati Konteks dan Keadaan

Bab 21: Cakap Bohong Lama-Lama Panjang Hidung

Bahagian 6: Luahan Cinta Tanpa Bicara

Bab 22: Bahasa Sang Pencinta

Bab 23: Cinta Adam dan Hawa

Bahagian 7: Bahasa Badan Pelaris Jualan

Bab 24: Taktik Memukau Prospek

Bab 25: Umpan Memancing Pelanggan

Bab 26: Ilmu Pelaris Jualan

Bahagian 8: Ilmu Penunduk Segalanya

Bab 27: Rahsia Cemerlang Temu Duga

Bab 28: Tip Memilih Tempat Duduk

Bab 29: Mencipta Ceria di Bilik Mesyuarat

Bab 30: Menjadi YB di Pejabat

Bab 31: Menjadi Guru Super di Sekolah

Bab 32: Wau! Persembahan yang Hebat

Bahagian 9: Azimat Pemimpin Berkarisma

Bab 33: Beta Berkuasa di Sini

Bab 34: Aura Pemimpin Superstar

Bab 35: Donald Trump: Anda Dipecat!

Bab 36: Mencipta Karisma Sehebat Obama

Penutup: Rahsia Komunikasi Bahasa Badan

Bab 37: Teka-Teki Bahasa Badan

Bab 38: Lain Padang Lain Belalang

Bab 39: Bukan Sihir Tetapi Zahir

Bonus:

Bahasa Badan Muhammad bin Abdullah

Kuiz Interaktif

Bibliografi

Biodata Penulis


* Buku ini boleh diperolehi secara online di : http://www.bookcafe.com.my/my/self-improvement/seni-bahasa-badan-my.html


 

Calon PKR yang disahkan Bertanding pada PRU 13

Calon PKR yang disahkan Bertanding pada PRU 13

1. Mohamed Azmin Ali - P98 Gombak
Timbalan Presiden, Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya
Pertahan kerusi

2. Datuk Saifuddin Nasution Ismail - P18 Kulim-Bandar Baharu
Setiausaha Agung
Pindah kawasan

3. Tian Chua - P115 Batu
Naib Presiden
Pertahan kerusi

4. N Surendran - P17 Padang serai
Naib Presiden
Calon baru

5. Fuziah Salleh - P83 Kuantan
Naib Presiden
Pertahan kerusi

6. Nurul Izzah Anwar - P121 Lembah Pantai
Naib Presiden
Pertahan kerusi

7. Datuk Dr Mansor Othman - P47 Nibong Tebal
Naib Presiden, Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang
Pindah kawasan

8. Rafizi Ramli - P100 Pandan
Pengarah Strategi
Calon baru

9. Dr Muhammad Nur Manuty - P58 Bagan Serai
Ketua Penerangan, Pengerusi KEADILAN Perak
Calon baru

10. William Leong - P97 Selayang
Bendahari Agung
Pertahan kerusi

11. Onn Abu Bakar - P153 Sembrong
Ketua KEADILAN Cabang Putrajaya
Calon baru

12. Dr Abdul Aziz Bari - P92 Sabak Bernam
Bekas Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
Calon baru

13. Datuk Dr Tan Kee Wong - P116 Wangsa Maju
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin
Calon baru

14. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - P124 Bandar Tun Razak
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Menteri Besar Selangor
Pertahan kerusi

15. Shamsul Iskandar Mohd Akin - P137 Bukit Katil
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Pengerusi KEADILAN Melaka
Pindah kawasan

16. Gooi Hsiao Leung - P9 Alor Setar
Ketua Biro Perundangan KEADILAN Kedah
Bertanding semula

17. Dr Azman Ismail - P10 Kuala Kedah
Ketua Cabang KEADILAN Kuala Kedah
Calon baru

18. Datuk Fauzi Abdul Rahman - P82 Indera Mahkota
Pengerusi KEADILAN Pahang
Calon baru

19. Baru Bian - P221
Pengerusi KEADILAN Sarawak
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menang DUN

20. Murnie Hidayah Anuar - P084 Paya Besar
Peguam Hak Asasi Manusia
Calon baru

21. Ali Biju - P205 Saratok
Timbalan Pengerusi KEADILAN Sarawak
PRN Sarawak menang DUN

22. Abang Zulkifli Abang Engkeh - P1201 Batang Lupar
Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya KEADILAN Sarawak
PRN Sarawak tanding DUN

23. Abun Sui Anyit - P216 Hulu Rajang
Setiausaha KEADILAN Hulu Rajang, pejuang hak tanah adat
Calon baru

24. Roland Engan - P220 Baram
Peguam, pejuang melawan pembinaan empangan Baram
Calon baru


* Tertakluk kepada perubahan.


Klinik Usahawan Warga Industri 1Malaysia (KUW1M) bersama Dr. Azizan Osman

Klinik Usahawan Warga Industri 1Malaysia (KUW1M) bersama Dr. Azizan Osman yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat penyertaan kira-kira 14,000 peserta di lima lokasi baru-baru ini.

Setakat ini lebih 35,000 orang mendaftar secara online untuk menyertai program yang memberi peluang kepada golongan muda warga industri (kolar biru) menceburi bidang perniagaan secara sepenuh masa atau separuh masa.

Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda BN, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, program itu bermula di Kuala Lumpur pada 23 Mac dengan penyertaan 3,000 peserta diikuti Melaka pada 24 Mac melibatkan hampir 2,000 peserta.

Pada 29 Mac, KUW1M di Kota Bharu mencatatkan kehadiran 3,000 peserta diikuti 30 Mac di Kuantan (2,000 peserta) dan pada 31 Mac di- Shah Alam (hampir 4,000 peserta).

"Jumlah kehadiran ini menunjukkan sambutan luar biasa terhadap penganjuran yang pertama kali dianjurkan di negara ini dengan melibatkan agensi-agensi kerajaan melalui kaedah 'non political'," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, matlamat utama KUW1M adalah untuk memberi ilmu atau tip-tip perniagaan kepada peserta-peserta yang berminat menceburi bidang perniagaan melalui pelbagai peluang yang ditawarkan kerajaan.

Menurut Nazir Hussin, sebagai mentor, Dr. Azizan yang juga Pakar Potensi Diri dan Pemasaran telah memberi jalan atau ilmu terbaik kepada peserta-peserta bagi membantu kejayaan dalam bidang perniagaan.

"Sebahagian besar kegagalan khususnya Bumiputera dalam bidang pernigaan adalah disebabkan tiadanya ilmu perniagaan yang berkesan atau secara praktikal dan terperinci," katanya.

Melalui KUW1M juga, peserta-peserta didedahkan dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat berkenaan peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan selama ini melalui agensi-agensi tersebut.

"Sebahagian besar peserta atau rakyat negara ini masih tidak menyedari bahawa kerajaan di bawah Perdana Menteri telah mewujudkan pelbagai skim bantuan perniagaan melalui geran dan pinjaman dengan peruntukan besar dalam Bajet 2013," katanya.

Melalui program ini, para peserta juga diterapkan dengan sikap berani mengubah hidup melalui bidang perniagaan walaupun menceburi bidang perniagaan secara separuh masa.

Beliau berharap, melalui KUW1M, golongan muda khususnya warga industri (kolar biru) tidak lagi menuding jari menyalahkan mana-mana pihak dengan apa yang mereka alami dalam hidup hari ini kerana peluang untuk membina kejayaan sehingga menjadi jutawan amat terbuka.

"Bagi pihak penganjur KUW1M, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas komitmen dan sokongan beliau bagi merealisasikan program ini serta kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan yang terlibat,'' katanya.

Bagi mereka yang berminat bolehlah mendaftar dan memilih lokasi KUW1M yang akan diadakan pada 5 April di Kolej Insaniah, Alor Star, Kedah; 6 April di Sunway Convention Centre, Seberang Jaya, Pulau Pinang; 7 April di Hotel Riverfront, Ipoh, Perak, 13 April di Menara PGRM, Cheras, 14 April di The Zon Expo, Johor Bahru dan pada 4 Mei di Kota Kinabalu.

Pendaftaran dan maklumat lanjut boleh dilayari di laman web rasmi program www.beraniberniaga.com

- UTUSAN


PRU13: Statistik Komposisi Pemilih Mengikut Negeri


Berikut adalah statistik umum pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut negeri:

JOHOR

> Jumlah kerusi Parlimen: 26

> Jumlah kerusi DUN: 56

> Komposisi pemilih:

Melayu 53.23% (838,871)

Cina 39.30% (619,402)

India 6.54% (103,077)

Pengundi Awal (Polis) 11,040

Pengundi Awal (Tentera) 13,736

> Jumlah keseluruhan: 1,575,904

Kedah

> Jumlah kerusi Parlimen: 15

> Jumlah kerusi DUN: 36

> Komposisi pemilih:

Melayu 76.18% 778,709

Cina 15.52% 158,610

India 6.79% 69,416

Pengundi Awal (Tentera) 10,170

Pengundi Awal (Polis) 6,120

> Jumlah keseluruhan: 1,022,136

Kelantan

> Jumlah kerusi Parlimen: 14

> Jumlah kerusi DUN: 45

> Komposisi pemilih:

Melayu 94.46% 853,609

Cina 3.78% 34,171

India 0.33% 2,944

Orang Asli 0.54% 4,885

Lain-lain 0.75% 6,748

Pengundi Awal (Tentera) 7,522

Pengundi Awal (Polis) 4,619

> Jumlah keseluruhan: 903,670

Melaka

> Jumlah kerusi Parlimen: 6

> Jumlah kerusi DUN: 28

> Komposisi pemilih:

Melayu 58.04% 252,172

Cina 34.18% 148,520

India 6.42% 27,895

Pengundi Awal (Tentera) 12,004

Pengundi Awal (Polis) 4,619

> Jumlah keseluruhan: 434,485

Negeri Sembilan

> Jumlah kerusi Parlimen: 8

> Jumlah kerusi DUN: 36

> Komposisi pemilih:

Melayu 52.59% 286,657

Cina 30.69% 167,280

India 14.87% 81,063

Pengundi Awal (Tentera) 15,340

Pengundi Awal (Polis) 6,291

> Jumlah keseluruhan: 545,071

Pahang

> Jumlah kerusi Parlimen: 14

> Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri: 42

> Komposisi pemilih:

Melayu 69.73% 505,665

Cina 21.35% 154,854

India 4.65% 33,744

Orang Asli 3.72% 26,971

Pengundi Awal (Tentera) 14,013

Pengundi Awal (Polis) 5,735

> Jumlah keseluruhan: 725,186

Perak

> Jumlah kerusi Parlimen: 24

> Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri: 59

> Komposisi pemilih:

Melayu 48.30% 673,975

Cina 38.01% 530,460

India 11.63% 162,239

Orang Asli 1.50% 20,883

Pengundi Awal (Tentera) 25,159

Pengundi Awal (Polis) 12,800

> Jumlah keseluruhan: 1,395,492

Perlis

> Jumlah kerusi Parlimen: 3

> Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri: 15

> Komposisi pemilih:

Melayu 84.14% 113,313

Cina 11.66% 15,706

India 1.52% 2,050

Pengundi Awal (Tentera) 1,691

Pengundi Awal (Polis) 1,755

> Jumlah keseluruhan: 134,674

Pulau Pinang

> Jumlah kerusi Parlimen: 13

> Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri: 40

> Komposisi pemilih:

Melayu 34.76% 289,644

Cina 53.92% 449,267

India 10.84% 90,349 Pengundi Awal (Tentera) 4,790

Pengundi Awal (Polis) 5,690

> Jumlah keseluruhan: 833,159

Sabah

> Jumlah kerusi Parlimen: 14

> Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri: 42

> Komposisi pemilih:

Melayu 14.80% 145,647

Cina 17.08% 168,111

India 0.38% 3,725

Bumiputera Sabah 61.59% 606,093

Lain-lain 5.43% 53,471

Pengundi Awal (Tentera) 10,802

Pengundi Awal (Polis) 8,764

> Jumlah keseluruhan: 984,034

Sarawak

> Jumlah kerusi Parlimen: 31

> Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri: 71 (tidak dipertandingkan)

> Komposisi pemilih:

Melayu 19.70% 209,528

Cina 32.51% 345,771

India 0.19% 1,998

Bumiputera Sabah 0.41% 4,358

Bumiputera Sarawak 46.98% 499,716

Pengundi Awal (Tentera) 12,242

Pengundi Awal (Polis) 8,133

> Jumlah keseluruhan: 1,063,740

Selangor

> Jumlah kerusi Parlimen: 22

> Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri: 56

> Komposisi pemilih:

Melayu 50.21% 1,007,612

Cina 34.06% 683,597

India 14.39% 288,709

Pengundi Awal (Tentera) 6,826

Pengundi Awal (Polis) 16,525

> Jumlah keseluruhan: 2,006,868

Terengganu

> Jumlah kerusi Parlimen: 8

> Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri: 32

> Komposisi pemilih:

Melayu 95.87% 602,714

Cina 3.59% 22,567

India 0.25% 1,603

Pengundi Awal (Tentera) 2,482

Pengundi Awal (Polis) 4,229

> Jumlah keseluruhan: 628,689

Wilayah Persekutuan & Putrajaya

> Jumlah kerusi Parlimen: 8

> Jumlah Dewan Undangan Negeri: Tiada

> Komposisi pemilih:

Melayu 36.62% 292,659

Cina 51.42% 410, 969

India 10.51% 83,985

Pengundi awal (Tentera) 24,979

Pengundi Awal (Polis) 15,845

> Jumlah keseluruhan: 799,266


Sumber : MSTAR



Raja Lawak 7 Astro Bermula 12 April 2013



Seramai 11 peserta berkumpulan dan tiga peserta solo berjaya memasuki program realiti popular Astro, Raja Lawak untuk musim ketujuh.

Sebelas peserta berkumpulan yang bertanding adalah Bora, Kintan, Pahat, Gamat, Taras, Okay, Sakan, Wala, Tuah, Xtra dan Ganu serta tiga peserta solo iaitu Ali, Emy dan Boy.

Menariknya, Raja Lawak musim terbaharu itu juga buat pertama kalinya membuka penyertaan kepada warga Singapura untuk memeriahkan lagi program tersebut.

Dua peserta dari Singapura yang berjaya menyertai Raja Lawak 7 ialah kumpulan Bora dan Ali.

Ali atau nama sebenarnya Muhammad Ali Abdul Manab dilihat bakal memberi saingan hebat kepada peserta-peserta lain berikutan kepandaiannya meniru gaya ramai artis terkenal termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sharifah Aini.

Raja Lawak 7 bakal bersiaran pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 12 April ini menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Menurut Ketua Kumpulan Premium Astro, Nizam Sani, pemilihan peserta pada musim ini adalah lebih ketat kerana mereka perlu menjalani bootcamp untuk dinilai sebelum layak beraksi di gelanggang sebenar.

Jelasnya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan peserta yang dipilih berkualiti tinggi sekali gus ia dapat mengekalkan standard dan kandungan yang disampaikan mengikut peredaran industri semasa.

“Adalah menjadi hasrat kami untuk membuka mata orang ramai bahawa komedi merupakan satu industri yang serius dan berada di aras tinggi.

“Sempena slogan yang kami perkenalkan tahun ini iaitu Takkan Lawak Hilang Di Dunia, ia juga menggambarkan komitmen kami dalam menyampaikan kandungan program yang lebih segar dan berkualiti,” jelasnya ketika ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas mengenai barisan juri untuk Raja Lawak musim terbaharu itu, kata Nizam, sesuai dengan temanya, barisan juri juga akan membariskan pelawak-pelawak legenda yang akan menjadi pengkritik.

Bagaimanapun, barisan juri hanya akan didedahkan pada minggu pembukaan program itu untuk memberikan elemen kejutan buat penonton.

“Barisan juri bukan sahaja bertindak sebagai pengkritik tetapi juga melatih para peserta untuk menjadi pelawak yang berkaliber,” ujarnya.


Masih relevan

Ditebak soalan adakah program Raja Lawak masih relevan diadakan, ulas Nizam, program realiti itu masih lagi diterbitkan berikutan ia mendapat permintaan yang tinggi daripada penonton.

Malah, Raja Lawak berjaya mencapai rating yang memberangsangkan sepanjang enam musim lalu.

“Pihak kami membuat kajian penonton tentang Raja Lawak dan mereka mahu program ini dikekalkan. Peningkatan peserta menghadiri uji bakat yang diadakan setiap tahun juga mencatat angka membanggakan selain jumlah undi yang diterima kami adalah konsisten.

“Untuk tahun ini, lima buah negeri yang kami pergi untuk sesi uji bakat mendapat sambutan hangat daripada peserta apabila hampir 400 orang menghadirkan diri di setiap lokasi,” ujarnya lagi.

Raja Lawak musim terbaharu itu masih mengekalkan format terdahulu yang mana sistem pemarkahan para peserta ditentukan sepenuhnya kepada undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas.

Musim terbaharu itu juga masih mengekalkan Johan dan Zizan sebagai pengacara.

Juara program Raja Lawak bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM30,000.

Berikut adalah senarai peserta Raja Lawak 7:
1. Kumpulan Bora-SIngapura
2. Kumpulan Kintan- Selangor
3. Kumpulan Pahat- Putrajaya
4. Kumpulan Gamat-Perak
5. Kumpulan Taras- Perak
6. Kumpulan Okay-Selangor
7. Kumpulan Sakan-Perlis
8. Kumpulan Tuah-Kedah
9. Kumpulan Wala-Sabah
10. Kumpulan Xtra-Kedah
11. Kumpulan Ganu-Terengganu
12. Emy-Pahang
13. Ali-Singapura
14. Boy-Sabah
 
- KOSMO!

Anda juga boleh menonton rancangan-rancangan menarik Astro secara online di www.astrogempak.com.my