Selasa, Disember 11, 2012

Kesulitan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) diatasi

Kementerian Pelajaran sedang dalam usaha menambah baik perlaksanaan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memudahkan penggunaannya oleh kira-kira 412,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Ketika ini, kementerian dalam tindakan menyediakan hosting baharu bagi memudahkan guru mengakses ke dalam sistem yang sebelum ini menimbulkan rungutan dalam kalangan guru yang terpaksa memperuntukkan masa agak lama untuk mengakses sistem tersebut.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian, tindakan yang diambil Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian adalah dengan memindahkan SPPBS ke hosting baharu dalam usaha mengatasi tersebut pada masa ini.

Tindakan itu adalah bagi menampung bilangan pengguna yang mengakses secara serentak sehingga 40,000 orang pada satu-satu masa untuk mengakses sistem berkenaan.

''Pihak kementerian juga telah menggandakan bilangan server daripada 4 kepada 20 buah server mulai November lalu bagi mengurangkan kesesakan pengguna yang ramai'', kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada Ruangan SMS Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai rungutan 'Guru Kini' yang mendakwa PBS menambah bebanan guru kerana sukar memasuki laman web sistem tersebut walaupun pada waktu awal pagi.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian amat prihatin dengan kesukaran dan masalah yang terpaksa dihadapi guru berhubung perlaksanaan sistem baharu itu namun yakin masalah yang timbul akan dapat diatasi dalam tempoh terdekat ini.

Kira-kira 5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah.

Melalui sistem baharu ini, guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.

Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan malah format pentaksiran baharu itu membolehkan murid dinilai berdasarkan hasil lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang.

Ia bertujuan untuk menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan sejajar usaha kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.

Ia merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.

Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran Psikometrik.

PS dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah iaitu contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.

Bagi PP pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan.

Selain itu, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).

Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.

- UTUSAN

Petua Panjang Usia

GAYA hidup masyarakat semakin berubah. Remaja hari ini lebih banyak menghabiskan masa bermain komputer dan berinternet berbanding di padang bersama rakan-rakan. Mereka lebih seronok menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak mengeluarkan peluh. Dari segi pemakanan pula, anak-anak kita hari ini terdedah kepada pelbagai makanan yang siap diproses berbanding makanan segar hinggakan buah-buahan dan sayur-sayuran tidak digemari oleh mereka. Mereka lebih suka makan makanan segera dan minuman berkarbonat.

Maka tidak hairanlah jika masalah obesiti atau lebihan berat badan banyak melibatkan remaja dan anak-anak moden terutamanya yang hidup di bandar-bandar besar. Bukan sahaja anak-anak, malah orang dewasa juga kurang melakukan senaman rutin. Meskipun sudah hampir lewat malam atau sudah awal pagi masih berada di kedai makan lagi. Sedangkan esok perlu bangun awal dan bekerja. Akhirnya, produktiviti kerja menurun dan kualiti hidup terjejas.

Usia yang panjang itu boleh didoa dan diusahakan. Cuba fikirkan apakah penyebab kepada kematian? Memanglah jawapannya takdir dan ketentuan Allah. Tetapi dalam masa yang sama manusia boleh berdoa untuk meminta dipanjangkan usia. Kalau diperhatikan penyebab utama kepada kematian adalah kemalangan, pembunuhan (termasuk bunuh diri), penyakit kronik (termasuk jantung) dan usia tua. Ini bermakna mati itu pada kebiasaannya bersebab. Oleh itu jika kita meminta panjang umur tetapi dalam masa sama tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan sengaja mendedahkan diri pada aktiviti berisiko seperti memandu laju dan cuai, maka kemungkinan doa kita untuk panjang umur tidak dimakbulkan oleh Allah. Kerana setiap doa itu perlu diiringi dengan usaha.

Rahsia kepada usia panjang dan bahagia adalah kehidupan yang seimbang. Terdapat empat perkara yang utama dan perlu diberikan perhatian jika mahu hidup lebih lama dan bahagia.

Fikir sebelum makan

Ada orang kata makanan sayang mahu dibuang sebab itu adalah rezeki. Betul, tapi mereka lupa kesihatan tubuh badan juga adalah satu rezeki. Kalau sudah tahu tidak mahu membazir, usah ambil makanan terlalu banyak. Kalau diberikan oleh orang kepada kita, agih-agihkanlah pula kepada orang lain agar tidak membazir. Fikirkan juga sama ada apa yang dimakan itu berkhasiat atau tidak. Budaya terlalu banyak makan makanan yang berlemak, berminyak, bersantan dan bergula hanya memudaratkan kesihatan sendiri.

Lakukan senaman secara rutin

Seharian bekerja memang meletihkan. Namun penat bekerja yang tidak mengeluarkan peluh tidak sama dengan penat bersenam yang mengeluarkan peluh. Senaman yang dilakukan secara rutin memastikan badan dalam keadaan baik sehingga ke usia tua. Kalau sudah tidak larat untuk bersukan, cukuplah dengan berlari-lari anak. Kalau berlari-lari anak juga sudah tidak mampu maka usahakanlah untuk berjalan laju beberapa kilometer sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Sedikit senaman yang dilakukan secara konsisten boleh mencegah tubuh badan daripada pelbagai masalah penyakit kesan daripada lebihan kalori dan kolestrol.

Senaman yang berterusan juga menguatkan otot-otot serta sendi dan ini penting dalam proses pembakaran lemak. Mereka yang mengalami masalah berat badan biasanya malas bersenam. Sebaliknya mereka menjadi kuat makan dan kuat tidur. Gejala ini memburukkan lagi keadaan hingga membawa kepada pelbagai masalah penyakit serta keyakinan diri yang rendah.

Sentiasa positif

Ada ketikanya berfikiran positif itu tidak menyelesaikan masalah yang ada, tetapi tanggapan ini mengubah cara kita melihat masalah itu dan ini secara tidak langsung mengurangkan tekanan emosi pada diri. Malah berfikiran positif juga ada ketikanya membolehkan kita memecah kebuntuan terhadap sesuatu masalah yang selama ini terasa begitu rumit. Apa yang menariknya, berfikiran positif mampu mendorong orang yang positif kepada kita untuk membantu menyelesaikan masalah. Mereka yang positif percaya setiap yang berlaku ada sebab-sebabnya dan mereka belajar sesuatu daripadanya. Dari segi hubungan sosial, mereka yang positif sentiasa bersangka baik, berusaha memperbaiki hubungan, berlapang dada dan suka memaafkan orang lain.

Menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah

Mereka yang mencari bahagia, menyerahkan sepenuh jiwa raganya kepada Allah. Hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Apa juga yang dilakukan diniatkan kerana Allah. Mereka ini menjaga ibadah wajib dan menambah ibadah sunat. Mereka sentiasa mencari ruang untuk membuat kebajikan, pemurah, suka menolong orang dan hatinya sentiasa mengingati Allah dalam apa juga keadaan dan perbuatan. Mereka percaya tidak ada satu pun musibah yang boleh berlaku melainkan dengan izin Allah. Tahap keyakinan dan tawakalnya terhadap qada' dan qadar Allah cukup tinggi. Hidupnya tidak dalam keluh kesah, apa lagi merintih atau merungut. Sebaliknya hatinya dididik untuk sentiasa reda dan syukur dengan apa yang diperolehi setelah segalanya diusahakan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Hidup mereka berpaksikan akidah yang mantap, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

- UTUSAN

Mualaf Tidak Wajib Tukar Kad Pengenalan, Digalak Daftar Dengan JPN

Tiada sebarang peruntukan undang-undang mewajibkan mualaf untuk menukar nama kepada nama Islam dan menukar kad pengenalan dengan maklumat baharu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau bagaimanapun berkata individu yang memeluk Islam akan diberi kad akuan masuk Islam sebagai dokumen pengesahan status agamanya.

"Mereka hanya dinasihat menukar status agama dan nama di Jabatan Pendaftaran Negara," katanya menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader pada persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Syed Ibrahim ingin tahu tindakan kerajaan untuk menggalakkan penukaran kad pengenalan golongan mualaf supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

Mashitah berkata terdapat segelintir mualaf yang mahu berbuat demikian tetapi terhalang oleh beberapa sebab tertentu seperti soal keselamatan atau tidak mahu diketahui keluarga.

Beliau bagaimanapun meminta golongan itu memaklumkan status agama mereka kepada saudara terdekat agar tidak berlaku pertikaian seperti perkahwinan atau perebutan jenazah apabila mereka meninggal dunia.

Terdahulu, menjawab soalan Senator Rohani Abdullah mengenai langkah kerajaan menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), Mashitah berkata usaha itu dilakukan melalui dua cara iaitu pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang.

Tegasnya, pelaku LGBT beragama Islam boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Katanya, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bekerjasama dengan jabatan-jabatan agama Islam negeri selain beberapa kementerian berkaitan bagi mencegah penularan kegiatan LGBT ke akar umbi.

Dalam perkembangan sama, Mashitah berkata jumlah sebenar individu yang terlibat dalam kegiatan LGBT tidak dapat dipastikan memandangkan tidak mudah untuk membuktikan berlakunya perbuatan songsang meskipun terdapat pertanda yang menjurus ke arah itu.

- BERNAMA

Khasiat ubi kentang

KALAU kanak-kanak mungkin mereka boleh makan kentang goreng tetapi saya mesti makan nasi setiap hari," kata seorang rakan apabila mendengar saranan menggantikan hidangan nasi kepada ubi kentang.

Sebenarnya, hidangan ubi kentang bukan hanya kentang goreng seperti yang terdapat di restoran-restoran segera yang menjadi sumber lemak, meningkatkan kolesterol, melonjakkan risiko darah tinggi dan penyebab obesiti.

Hakikatnya, bukanlah ubi kentang yang menentukan sama ada baik atau buruk untuk kesihatan. Yang penting bagaimana bahan ini disediakan untuk dimakan.

Umum mengetahui ubi kentang sumber nutrisi karbohidrat popular di seluruh dunia.

Bagi menikmati khasiat sebenar ubi kentang, anda boleh menghasilkan hidangan seperti kek coklat kentang atau sup berkrim kentang.

Tahukah anda selain membekalkan sumber karbohidrat, kentang mempunyai khasiat lain untuk kesihatan?

Kajian menunjukkan dengan mengambil kira-kira 150 gram kentang, kita dapat memenuhi keperluan vitamin C untuk satu hari. Kandungan kalium dalam kentang pula boleh melegakan hipertensi.

Pakar Kesihatan dan Kesejahteraan, Carina Lipold memberitahu, ubi kentang mengandungi banyak manfaat kesihatan sekiranya dijadikan sebahagian amalan diet.

Katanya, ubi kentang kaya dengan serat, vitamin, mineral, fitokimia, rendah kalori dan pada masa sama mempunyai indeks kekenyangan tinggi.

"Sebiji kentang bersaiz sederhana (kira-kira 150 gram) yang dikukus dan dimakan dengan kulitnya, memberi sehingga 48 peratus daripada pengambilan harian Vitamin C yang disyorkan untuk seseorang, lebih kalium atau potasium daripada pisang serta mineral penting lain.

"Secara kesimpulan, saya boleh katakan kentang adalah ubi yang banyak kebaikan dan sesuai untuk sebarang amalan diet," katanya pada majlis pengenalan menu dengan ramuan ubi kentang oleh Lembaga Kentang Amerika Syarikat di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

GlutenSelain itu, ubi kentang dikenali sebagai makanan yang bebas gluten.

Menurut Carina, gluten merupakan bahan protein yang terdapat pada bijirin seperti gandum, barli dan rai.

Para pesakit yang menghidap penyakit gangguan gastrousus akan mendapat manfaat besar daripada kentang kerana makanan ini dinyah hidrat amat sesuai sebagai pengganti tepung yang mengandungi gluten.

Jadi tidak hairanlah, makanan ini sesuai untuk semua peringkat umur dan budaya, kentang malah menjadi makanan bayi yang baru bercerai susu.

Dalam piramid makanan, dua biji kentang bersaiz kecil sama dengan satu mangkuk nasi, dua keping roti dan satu setengah mangkuk mi.

Ubi kentang juga mengandungi potasium tinggi yang mampu mengurangkan risiko hipertensi, strok, melindungi jantung dan menolong transmisi pusat saraf serta melawan dinyah hidrat.

- UTUSAN

Imbangi keperluan dunia dan akhirat

Daripada Abu Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” (Riwayat Bukhari)

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Konsep ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan diniatkan kerana Allah.
Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung pada tiga perkara iaitu Islam, ikhlas dan ittiba' (dilakukan sesuai dengan perintah Allah SWT dan mencontohi Rasulullah SAW).

Sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Malah apa yang dimaksudkan dalam hadis sebagai ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan dirinya seperti mencari nafkah menyara hidup ahli keluarga.

Bertentangan kehendak Islam

Perkara ini ternyata bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam juga menyuruh manusia berusaha gigih mencari penghidupan yang baik di dunia, bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat semata-mata hingga melupakan dunia sedangkan dunia adalah jambatan ke akhirat.

Oleh itu manusia mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi.
Orang yang beriman hendaklah sentiasa bermuhasabah dan beramal seperti dituntut agama, kerana ganjaran pahala adalah berasaskan amalan yang dilaksanakan, bukan dengan angan-angan kosong.

Manusia yang bijak itu ialah orang yang memperjuangkan hidupnya untuk kebahagiaan di akhirat. Akal yang dianugerahkan oleh Allah hendaklah digunakan untuk memikirkan persediaan hidup di akhirat.

Sumber koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sektor hartanah kukuh 20 tahun

KUALA LUMPUR 9 Dis. 2012 - Sektor hartanah tempatan mempunyai prospek yang sangat kukuh bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang didorong antaranya oleh peningkatan populasi serta pertambahan golongan berpendapatan sederhana tinggi dan kaya.

Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama PropertyGuru, Steve Melhuish berkata, ekonomi Malaysia yang mengukuh serta pelbagai inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor tersebut memberi impak positif yang signifikan.

"Ini merupakan pemacu utama kepada pengukuhan sektor hartanah Malaysia dalam tempoh jangka panjang, lebih ramai rakyat Malaysia yang akan membeli hartanah seiring dengan peningkatan gaya hidup dan sebagai pelaburan masa depan.

"Sejak beberapa tahun lalu, sektor hartanah Malaysia melalui fasa yang baik walaupun terpaksa mengharungi ketidaktentuan ekonomi global, ia hanya mencatat pertumbuhan mendatar dan ia sudah mencukupi di dalam situasi seperti ini," katanya Utusan Malaysia di sini.

Katanya, bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang akan terus mendapat perhatian pembeli dan pelabur kerana lokasinya yang strategik.

Tambah beliau, permintaan terhadap hartanah seperti kondominium dan ruang pejabat akan kekal tinggi di Kuala Lumpur manakala Pulau Pinang lebih diminati oleh golongan pesara.

Pembangunan bandar baharu seperti Iskandar Malaysia yang terletak di Johor Bharu katanya, amat diminati oleh rakyat Singapura dan ekspatriat yang bekerja di republik tersebut kerana faktor lokasi yang berhampiran.

Malah harga rumah yang tinggi di negara tersebut memberi kelebihan kepada Malaysia.

" Penduduk Singapura amat berminat dengan projek-projek di Iskandar Malaysia kerana mereka dapat memiliki rumah yang lebih luas pada harga yang kompetitif.

"Kecenderungan mereka adalah kediaman bertanah berbanding strata kerana ia lebih selesa dan berbeza dengan apa yang ditawarkan di Singapura, " ujar beliau.

Bagaimanapun, Melhuish realistik dengan unjuran pertumbuhan sektor hartanah jangka pendek tempatan, terutama pada suku pertama tahun depan yang terpaksa menerima kesan daripada kesuraman persekitaran ekonomi global.

Beliau meramalkan sektor hartanah tempatan mengalami kelembapan yang menyebabkan kadar sewaan kondominium serta pembukaan ruang pejabat baharu merosot.

Namun begitu, situasi tersebut katanya, adalah bersifat sementara dan dijangka pulih semula seiring dengan pemulihan ekonomi global.

- UTUSAN

Jumaat, Disember 07, 2012

57,766 mangsa penipuan pelaburan

5 Dis. - Seramai 57,766 orang telah menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam Skim Kepentingan dan Skim Kutu bagi tempoh 2010 hingga Oktober 2012.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 66 kes yang ada kaitan dengan skim cepat kaya telah diambil tindakan undang-undang.

Jelas beliau, tindakan tersebut dibuat di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, Akta Syarikat Malaysia 1965 dan Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

"Di antara punca orang ramai mudah terlibat dalam skim cepat kaya ialah sikap tamak kerana dijanjikan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat.

"Selain itu, pengaruh daripada kawan-kawan, rakan sekerja dan saudara mara serta kemudahan mendapatkan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Boon Som Inong yang bertanyakan berapa banyak kes skim cepat kaya dikesan di dalam negara, bilangan mangsa terlibat serta langkah-langkah pencegahan bagi mewujudkan kesedaran masyarakat.

Menurut Rohani, selain mengadakan kempen kesedaran masyarakat, kementeriannya juga menubuhkan Jawatankuasa Bersama Bagi Menangani Jenayah Kolar Putih dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa bagi membendung aktiviti skim tersebut.

"Kementerian juga menjalankan program advokasi pematuhan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 kepada syarikat-syarikat jualan langsung dan pengedar-pengedar di seluruh negara," katanya.

Jelasnya, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, segala wang dan aset yang diperoleh daripada penganjur aktiviti haram tersebut dirampas dan dilucutkan.

- UTUSAN

Daftar PR1MA lebih mudah



Pendaftaran permohonan pemilikan rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dilaksanakan secara online (dalam talian) mulai 8 Disember 2012, bagi proses pengundian.

Ia menggantikan sistem manual secara pos yang digunakan sebelum ini dan boleh diakses melalui laman web www.pr1ma.my selepas dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pulau Pinang, Sabtu ini.

Sistem pendaftaran yang bertujuan mengumpul data utama pemohon itu juga bertujuan mendapat maklumat mengenai permintaan rumah masa kini sesuai dengan kumpulan sasar yang ratarata mempunyai kemudahan internet.


Ketua Pegawai Eksekutif Unit PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata selain menjadi cara utama untuk memohon, sistem ini juga akan menentukan kelayakan seseorang pemohon di samping memperoleh data lain seperti permintaan rumah masa kini, jenis rumah dan kemampuan mengikut tangga gaji tertentu.

“Ini bukan saja akan memudahkan pelaksanaan pembinaan mengikut permintaan terkini, malah dapat memastikan proses cabutan dijalankan dengan telus kerana ia akan dipantau firma akauntan bertauliah dalam mengendalikan audit dengan semua pemohon yang mempunyai peluang sama rata,” katanya dalam taklimat kepada media, di sini, semalam.

Mereka yang berminat memohon perlu mengikuti kriteria seperti mempunyai pendapatan isi rumah di antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan, warga negara Malaysia berumur 21 tahun ke atas dan tidak mempunyai rumah lebih dari satu.

Mutalib berkata, melalui peruntukan diberikan kerajaan, pihaknya akan memulakan pembinaan hampir 50,000 rumah PR1MA tahun depan khusus bagi individu bujang atau berkeluarga yang tinggal di kawasan bandar.
“Mereka yang layak diharap segera mendaftarkan diri dan pihaknya juga akan menjalankan beberapa proses cabutan undi dalam tempoh dua ke tiga bulan akan datang.

“Maklumat terkini mengenai pembukaan pembinaan baru di bawah projek PR1MA ini akan dimaklumkan kepada pemohon melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel mengikut pilihan kawasan mereka yang pilih ketika proses pendaftaran,” katanya.

Katanya, nama bagi pemohon yang sudah berdaftar akan kekal dalam sistem sehingga terpilih dalam cabutan untuk memiliki rumah, sebarang penambahan maklumat seperti pertukaran status boleh dikemas kini dari semasa ke semasa.

- BERITA HARIAN

Posmen kerja 5 hari seminggu mulai 1 Janurai 2013

Seramai 8,500 posmen di seluruh negara bakal menikmati waktu bekerja lima hari seminggu mulai 1 Januari depan berbanding enam hari sekarang.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata mereka sebahagian daripada 16,500 kakitangan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang layak untuk menikmati waktu bekerja baru itu selain pekerja sektor perkeranian.
Rais berkata, bagi kakitangan di Sabah dan Sarawak, penyelarasan waktu bekerja baru itu hanya berkuat kuasa pada 1 Februari depan kerana Pos Malaysia memerlukan lebih masa bagi membuat penyelarasan termasuk dari segi pentadbiran.

“Kedua-dua negeri ini (Sabah dan Sarawak), Pos Malaysia perlu tempoh empat minggu lebih daripada di Semenanjung untuk membuat penyusunan operasi dan pentadbiran dengan mengambil kira keadaan geografi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama wakil Kesatuan-Kesatuan Sekerja Pos Malaysia di sini, semalam.

Rais berkata, bagi kakitangan yang perlu bekerja pada hujung minggu layak menikmati bayaran atau imbuhan lebih masa yang munasabah.

Katanya, penyelarasan waktu bekerja baru daripada enam hari kepada lima hari seminggu adalah satu daripada bukti pelbagai transformasi dilakukan kerajaan adalah bersifat kasih sayang.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Penolong Eksekutif Pos Malaysa Berhad, Jamaluddin Kassim, warga Pos Malaysia terutama posmen kini mempunyai lebih masa untuk bersama keluarga.

- BERNAMA

Rabu, Disember 05, 2012

Jawatan Kosong di Taman Botani Negara Shah Alam - Dis 2012

JAWATAN:
1) Juruteknik Komputer F17
2) Pengawal Keselamatan Gred KP11

TAMAN BOTANI NEGARA SHAH ALAM (TBNSA) BERCADANG UNTUK MEMBUAT PENGAMBILAN JAWATAN BARU LANTIKAN SECARA KONTRAK (CONTRACT OF SERVICE) SELAMA SATU (1) TAHUN. JAWATAN-JAWATAN TERSEBUT ADALAH SEPERTI BERIKUT:

a) Satu (1) Jawatan Juruteknik
Komputer Gred FT17

SYARAT LANTIKAN
(i) Sijil Pelajaran Malaysia serta lulus subjek elektrik atau elektronik atau teknologi maklumat pada peringkat peperiksaan tersebut atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan; atau

(ii) Sijil Pelajaran Malaysia serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang berkaitan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau

(iii) Sijil Pelajaran Malaysia serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam bidang berkaitan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau

(iv) Sijil dalam bidang teknologi maklumat atau prosesan data yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada politeknik-politeknik tempatan atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau

(v) Sijil dalam bidang kejuruteraan elektronik (komputer) yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada politeknik-politeknik tempatan atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya.

b) Dua (2) Jawatan Pengawal Keselamatan Gred KP11

SYARAT LANTIKAN
(i) Penilaian Menengah Rendah/Sijil Rendah Pelajaran atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan; atau

(ii) Bekas Konstabel Polis Diraja Malaysia atau Prebet Angkatan Tentera Malaysia yang telah disahkan dalam jawatan tersebut serta mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan berkebolehan bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia dengan memuaskan.

Jawatan adalah bertaraf Contract of Service selama satu (1) tahun dan diperbaharui berdasarkan prestasi tahunan. Sila hantar resume dan sekeping gambar berukuran paspot sebelum atau pada 15 Januari 2013 ke norlin@moa.gov.my ataupun ke alamat di bawah.

PENGURUS
Taman Botani Negara Shah Alam
Bahagian Khidmat Sokongan dan Pembangunan Industri
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia
40000 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan

Tel: 03-5510 6922/23
Faks: 03-5510 0922