Khamis, Oktober 25, 2012

Kuala Lumpur Di Tempat Ke-18 Senarai "CitiesOf Opportunity"

Kuala Lumpur berada dalam kedudukan lima teratas dua kategori penting perkembangan ekonomi dalam edisi kelima "Cities of Opportunity", yang dikeluarkan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Partnership Bandar Raya New York.

Merupakan pendatang baharu untuk kajian 2012 berkenaan, Kuala Lumpur, secara keseluruhan, berada di tangga ke-18, di tengah-tengah ranking antara Shanghai dan Beijing.

Dalam ranking 2012, "Cities of Opportunity" melaporkan yang Kuala Lumpur berada di tempat ketiga di dunia untuk kos rendah dan ke-10 untuk kelegaan menjalankan perniagaan.

Dari segi menjadi bandaraya yang berkos rendah, Kuala Lumpur berada di belakang Seoul dan Berlin, tetapi mendahului Istanbul dan Mexico City.

Langkah-langkah petunjuk kos mengukur kos untuk ahli perniagaan yang tinggal di bandar raya termasuk kos transnasional, cara hidup kelas pertengahan.

Pengarah Eksekutif PwC Advisory Services Malaysia, Andrew Chan Yik Hong berkata kos rendah Kuala Lumpur dan kelegaan menjalankan perniagaan mewakili poin permulaan transformasi bandar menjadi hab dunia untuk bakat dan daya saing.

"Dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan kita, kita berada di landasan yang baik," kata beliau.

Antara yang memberikan pemarkahan yang baik untuk Kuala Lumpur ialah kos penginapan perniagaan, kos sewa, indeks harga pengguna dan kadar cukai yang rendah.

Dari segi kelegaan menjalankan perniagaan, Kuala Lumpur terikat dengan San Francisco di nombor 10 dalam petunjuk, di belakang Tokyo dan mendahului bandar raya mesra-perniagaan seperti Sydney dan Seoul.

Kedudukan kukuh Kuala Lumpur dari sudut ini, secara asasnya disokong daripada perlindungan pemegang saham, peraturan pekerja dan dasar visa yang agak fleksibel.

Bandar ini juga berada di tempat keenam dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dan kelima dalam aktiviti pembinaan utama.

Chan berkata Kuala Lumpur dipilih untuk laporan "Cities of Opportunity" 2012 kerana ia adalah antara ibu negara Asia paling dinamik dan pesat berkembang sebagai bandar global utama.

Kaji selidik 27 pusat kewangan, perdagangan dan kebudayaan turut mengunjurkan Kuala Lumpur untuk meneruskan pertumbuhannya ke tahun 2025.

- BERNAMA

Selasa, Oktober 23, 2012

Jawatan Kosong di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) - Okt 2012

JAWATAN:
1. Akauntan
2. Penolong Akauntan
3. Pembantu Akauntan

IKLAN JAWATAN:
http://www.ptptn.gov.my/docs/Iklan-Jawatan-Okt2012.pdf

BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://eform.ptptn.gov.my/jawatanOktober/borang-pengambilan.cfm

Tarikh Tutup : 30 Oktober 2012

Jawatan Kosong di Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Kelantan - Okt 2012

JAWATAN:
1. Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E27
2. Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N17
3. Pegawai Khidmat Pelanggan Gred N17
4. Pembantu Setiausaha Pejabat / Setiausaha Pejabat Gred N17
5. Pembantu Ehwal Ekonomi Gred E17
6. Pemandu Kenderaan Gred R3

IKLAN JAWATAN:
http://www.lktn.gov.my/news.php?item.44

Tarikh Tutup : 28 Oktober 2012


Jawatan Kosong di Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) - Okt 2012

JAWATAN:
1. Penolong Pegawai Perancang Bandar Dan Desa
2. Pembantu Kesihatan Awam
3. Pembantu Penguatkuasa
4. Pekerja Awam

IKLAN JAWATAN:
http://www.mdhs.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=28a0e4b0-6093-46a1-afef-7bf622d1e520&groupId=191637

BORANG PERMOHONAN:
http://www.mdhs.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=bc7ff1f7-d034-4cbc-8f2d-7607c457b01f&groupId=191637

Tarikh Tutup : 30 Oktober 2012

Dato' Lee Chong Wei dan Mew Choo berkahwin 9 November 2012


Majlis perkahwinan wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan pasangannya, Wong Mew Choo akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 dan 10 November 2012 ini.

Pengumuman mengenai tarikh dan persiapan perkahwinan pasangan badminton itu diumumkan oleh adik Chong Wei, Joe Lee pada sidang akhbar di Bandar Puteri, Kuala Lumpur.

Lee berkata, kira kira 2,500 tetamu dijemput dengan 10 orang peminat bertuah akan menghadiri malam perkawinan pasangan itu.

- BERNAMA
 

Keajaiban Habbatus Sauda - Khasiat makanan sunah Rasulullah


SEJAK tahun 1998, Abdul Malek Faisal Mohd. Hyffny tidak pernah cuai dalam jadual pengambilan kapsul habbatus sauda atau jintan hitam sebagai makanan tambahan setiap pagi dan malam. Jarang sekali beliau terlupa untuk memakannya.

Bekerja sebagai pengamal media membuatkan rutin hidupnya sentiasa berdepan dengan tekanan. Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan Abdul Malek diserang hipertensi.

Justeru, Abdul Malek berikhtiar merawat kesihatan dirinya. Selain mendapatkan rawatan di hospital, beliau turut menggunakan kaedah alternatif bagi mengawal penyakit yang dihidapnya.

Dalam tempoh dua minggu mengamalkan pengambilan habbatus sauda atau nama saintifiknya Nigella sativa, Abdul Malek menyedari perubahan positif pada kesihatan dirinya.

“Saya mengambil dua biji kapsul habbatus sauda pada waktu pagi dan dua biji pada waktu petang.

“Apa yang menggembirakan, saya dapat menghidupkan salah satu daripada sunah Rasulullah SAW dalam aspek pemakanan,” ujar Abdul Malek, 46, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu, beliau membuat keputusan meletak jawatan kerana mahu menimba ilmu di Syria. Berada di negara Asia Barat itu selama tiga tahun membuka peluang kepada Abdul Malek untuk mengenali tumbuhan habbatus sauda.

Di Syria, beliau mengunjungi sebuah ladang hijau yang subur dengan tumbuhan hababtus sauda di Hama.

Hama merupakan sebuah bandar di tebing Sungai Orontes yang terletak di bahagian tengah Syria atau 213 kilometer ke utara Damsyik.

Memiliki populasi kira-kira 700,000 orang, Hama merupakan bandar keempat terbesar di negara itu selepas Aleppo, Damsyik dan Homs.

Rentetan daripada itu, Abdul Malek tidak teragak-agak untuk menjalankan perniagaan memasarkan produk berasaskan habbatus sauda ke Malaysia.

Niatnya semata-mata untuk mempromosikan produk dan amalan pemakanan yang mengikut sunah Rasulullah SAW.

“Melalui kerjasama dengan seorang sahabat di Syria, saya menubuhkan syarikat M Faisal Sdn. Bhd.

“Visi kami adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebaikan produk ini di samping menjadi peneraju penghasilan produk berkenaan,” jelas Abdul Malek sambil memaklumkan bahawa perkataan M itu merujuk kepada sahabatnya, Shaikh Markhzan Jalani selaku pengarah bersama syarikat itu.

Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang berbunga secara tahunan. Asalnya ia tumbuh meliar di negara-negara sekitar Mediterranean.

Kemudian ia ditanam secara meluas di utara Afrika terutama Mesir, selatan Eropah, Syria dan Asia Tengah seperti Iran dan India.

Ketinggian khasiat tumbuhan itu diperakui oleh ramai cendekiawan silam, ratusan saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia.

Ibnu Sina dalam bukunya The Canon of Medicine menyatakan habbatus sauda mampu merangsang tenaga serta membantu memulihkan kepenatan dan semangat.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Carolina Selatan di Amerika Syarikat pula mendapati, ekstrak habbatus sauda memiliki khasiat antitumor tanpa kesan sampingan.

Makam Firaun

Mengikut catatan sejarah, habbatus sauda pada awalnya ditemui di dalam makam Firaun Tutankhamen. Penemuan tersebut memberi gambaran bahawa tumbuhan itu amat penting dalam kehidupan orang Mesir purba.

Walaupun kegunaan sebenarnya tidak diketahui secara tepat, ia dipercayai mampu memberi manfaat kepada raja mereka selepas mati.

Bagaimanapun, hakikatnya kegunaan habbatus sauda dalam perubatan tercetus selepas kedatangan Islam.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kekallah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati.”

Prof. Dr. Latiffah A. Latiff dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia menjelaskan, tumbuhan Nigella sativa adalah salah satu anugerah Allah yang amat bernilai buat manusia.

Justeru, sebagai saintis dan pakar perubatan kesihatan awam, beliau bertanggungjawab untuk menghuraikan hakikat tersebut dengan fakta sains bagi membuktikan kebenaran sabda Nabi Muhammad.

“Habbatus sauda memang menakjubkan kerana setiap butir bijirin ini terdiri daripada berjuta-juta sel yang menyerupai sel darah manusia,” ujar beliau yang menjalankan penyelidikan tentang habbatus sauda selama sedekad.

Latiffah mengakui semakin banyak kajian dilakukan, semakin banyak pendedahan baharu ditemui.

“Apa yang pasti terdapat lebih 100 bahan aktif yang terkandung dalam bijirin hitam dengan timokuinon mendominasi antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhannya.

“Hasil beberapa kajian yang kami jalankan membuktikan bahawa bahan timokuinon yang diekstrak daripada habbatus sauda berupaya menurunkan paras kolesterol, glukos dalam darah dan berat badan sekali gus mengurangkan risiko penyakit sindrom metabolik dan penyakit jantung,” jelas beliau.

Lewatkan penuaan

Ujar Latiffah, kajian pada haiwan makmal yang diaruh penyakit Alzheimer atau nyanyuk dan diberi makan bahan aktif timokuinon daripada minyak habbatus sauda turut mempunyai kesan tersendiri.

“Penyelidikan itu merumuskan bahawa habbatus sauda telah menurunkan paras beta amiloid iaitu sejenis protein yang terdapat pada otak haiwan nyanyuk berbanding haiwan kawalan yang tidak menerima suplemen habbatus sauda.

“Kajian pada tisu kultur dan sel kultur pula menunjukkan bahan aktif asid linoleinik daripada ekstrak minyak habbatus sauda mampu mengurangkan pertumbuhan sel kanser payu dara secara signifikan.

“Di samping itu, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan berupaya melambatkan proses penuaan,” terang Latiffah yang turut mengkaji keberkesanan habbatus sauda terhadap wanita menopaus dalam aspek peningkatan kualiti kehidupan seperti kecergasan mental, spiritual dan hubungan kelamin.

Tambah beliau, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan dalam tempoh dua minggu mampu melancarkan sistem penghadaman, melawaskan pembuangan najis terutamanya bagi mereka yang mengalami sembelit, meningkatkan tenaga dan kadar kecekapan seseorang.

“Buat masa ini, saya masih mengkaji tentang persediaan habbatus sauda yang terbaik untuk diambil iaitu sama ada dalam bentuk asli, minyak atau dicampur dengan bahan lain.

“Namun, secara saintifik sukar untuk dipastikan keberkesanan makanan yang bercampur. Misalnya, mengambil habbatus sauda dengan madu.

“Kita tidak tahu yang mana satu antara kedua-duanya yang menjadi penyembuh dan memberi kesan positif kepada sesuatu keadaan,” jelas beliau.

- KOSMO!

Novel : Adam dan Hawa


NOVEL - ADAM DAN HAWA

AIN HAWANI, zaman solonya ternoktah pada usia remaja. Hanya kerana silap perhitungan, timbul prasangka buruk, menyebabkan dia dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuannya tidak dipedulikan. Lelaki itu pula diam membisu, seolah-olah benar apa yang berlaku.

Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela. Sayangnya, hubungan suami isteri ini hanya tertulis di atas kertas sahaja. Ain yang kecewa, pergi jauh mencari harga diri. Adam yang ditinggalkan, menghitung hari-hari nan sepi. Setiap saat rindunya terus melimpah. Namun Ain tidak pernah berpaling melihat cinta yang mekar di hatinya. Ah... Adam pasrah! Semua itu salahnya kerana tidak berani memaknakan kata-kata.

Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan pintu Majidilharam. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan sekian lama. Ain pula terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah terputus. Hanya lafaz Adam yang ditunggu. Tapi tegarkah Ain? Sejak pertemuan itu, hati Ain berbolak-balik. Nafasnya bagai berombak, perasaannya jadi gementar dan hidupnya sudah tidak keruan hanya kerana Adam.

Benarkah dalam hati ada cinta? Tapi keegoannya cuba menidakkan. Ingin diluah, mulut tak terkata. Ingin disimpan hati tak tertanggung. Bagi Adam, dia tetap menanti Hawanya biarpun lapan tahun lagi...

Novel ini boleh dibeli secara online di : http://mall.karangkraf.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=466

http://mall.karangkraf.com/

 

Guru perlu fahami Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

BAHAGIAN Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran berdepan tugas berat bagi melengkapkan kemahiran kira-kira 420,000 guru sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menghadapi perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Pengarahnya, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, pihaknya perlu menyediakan program latihan yang sesuai dan mencukupi bagi meningkatkan pemahaman di kalangan guru terhadap perlaksanaan PBS sekali gus menepati hasrat kerajaan melahirkan pelajar yang lebih berkualiti.

Menurutnya, guru perlu dilengkapi dengan latihan kemahiran yang memenuhi tahap perlaksanaan PBS sebelum sistem pembelajaran baharu tersebut dilaksanakan sepenuhnya tahun depan.

"Paling penting, guru perlu memahami konsep perlaksanaan sistem PBS ini kerana jika tidak faham, macam-macam masalah yang mungkin akan ditimbulkan oleh guru misalnya pertambahan bebanan kerja dan lain-lain isu, " katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi.

Ia mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun 2011 dan dijadualkan menjelang tahun 2016, murid-murid sekolah rendah akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah ditambah baik.

Bagi peringkat sekolah menengah, sistem PBS baru digerakkan dan dijangka dalam tempoh dua tahun berikutnya, ia akan mula dilaksanakan bagi penambahbaikan pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pada masa yang sama, kata Mohd. Ghazali, latihan dan pemahaman yang disalurkan kepada guru perlu dilaksanakan secara berperingkat sebelum sistem baharu dapat dilaksanakan sepenuhnya nanti.

Tegasnya, selain guru, para ibu bapa juga perlu diberikan pemahaman yang jelas mengenai perlaksanaan PBS agar tidak timbul kecelaruan dengan membuat tanggapan negatif terhadap sistem pembelajaran baharu itu.

"Pada masa ini, kita sudah mengerakkan program latihan kepada guru sehingga ke peringkat tingkatan dua dan kita jangkakan menjelang tahun depan, sistem PBS ini sudah boleh dilaksanakan.

"Kita bimbang jika guru tidak diberi latihan pemahaman yang secukupnya, mereka akan laksanakan pembelajaran cara lama dan akhirnya timbul masalah," ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya menerima reaksi yang positif daripada guru yang pernah menjalani latihan pemahaman PBS dan turut mengakui bahawa perlaksanaan konsep pembelajaran baharu itu lebih menyeronokkan serta bersesuaian dengan keperluan pendidikan semasa.

- UTUSAN

Kewajaran PBS ganti PMR

KEMENTERIAN Pelajaran menjelaskan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bertujuan menambah baik sistem peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan dimansuhkan menjelang tahun 2014.

Menurut Unit Komunikasi Media kementerian, sistem pembelajaran baharu itu telah dimulakan pada tahun 2012 bagi pelajar tingkatan 1.

Sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi merupakan penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran.

Kemajuan dan pertumbuhan seseorang murid dinilai secara adil dengan menggunakan Standard Prestasi.

Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan Standard Prestasi.

"Kementerian juga akan meningkatkan secara sistematik bilangan peratusan soalan kemahiran berfikir aras tinggi melalui PBS dan peperiksaan awam'' kata kenyataan itu yang disiarkan pada laman rasmi kementerian baru-baru ini

Kementerian memberitahu, soalan yang berasaskan Taksonomi Bloom ini akan menguji kemahiran seperti aplikasi, analisis, dan penilaian.

Menjelang 2016, peratusan soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan ditambah sehingga 80 peratus daripada keseluruhan soalan UPSR, 80 peratus dalam pentaksiran pusat untuk Tingkatan 3.

Selain itu, 75 peratus daripada keseluruhan soalan bagi mata pelajaran teras SPM dan 50 peratus dalam soalan mata pelajaran elektif SPM.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan bermaksud guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.

Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan.

Format pentaksiran baharu ini membolehkan murid dinilai berdasarkan keberhasilan yang lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang, seperti yang dihasratkan oleh dasar kementerian.

- UTUSAN

Recent Posts