Rabu, Julai 04, 2012

Dilema orang kurus, Sukar tambah berat badan


OBESITI sudah kita maklum sejenis gejala milenium baharu yang melanda masyarakat di kebanyakan negara sedang membangun. Seiring kewujudannya dalam kehidupan kini, telah terbentuk satu impak dalam gaya hidup semasa hinggakan media dibanjiri pelbagai iklan untuk menurunkan berat badan.

Fenomena itu menyebabkan ramai pihak semakin bimbang apatah lagi hampir 2.5 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia mengalami masalah obesiti.

Seiring keresahan mengenai statistik tersebut, kerajaan terpaksa mengambil pelbagai langkah bagi menanganinya. Ini termasuk usaha menjalankan kempen kesedaran mengenai obesiti dan menyarankan rakyat Malaysia agar mengamalkan gaya hidup yang sihat selain menjaga pemakanan dalam kehidupan seharian mereka.

Namun, di sebalik keprihatinan pelbagai pihak itu, terdapat segelintir golongan yang berasa diri mereka tersisih lantaran kurang mendapat maklumat dan rujukan. Golongan yang dimaksudkan itu ialah mereka yang mengalami masalah fizikal terlalu kurus.

Mereka mengeluh kerana tidak banyak iklan atau maklumat menerusi televisyen, majalah, surat khabar dan radio yang memusatkan perhatian terhadap isu mereka yang sukar menambahkan berat badan.

Paling hampir, lima tahun dahulu, terdapat iklan sebuah produk makanan tambahan khas untuk orang kurus. Mungkin ramai yang masih ingat pada iklan itu yang berjaya menarik perhatian penonton. Ia dilakonkan seorang lelaki kurus memakai cawat sumo yang berusaha untuk menonjolkan dirinya.

Produk itu sedikit sebanyak telah membantu segolongan orang yang kurus untuk menambahkan berat badan. Begitupun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, iklan produk melangsing badan dan meramping pinggang pula yang terlalu mendominasi siaran iklan di media massa.

Bagi seorang pekerja swasta, Norfadilla Senin, 28, dia yang hanya seberat 45 kilogram (kg) mengakui bahawa agak sukar baginya mendapatkan produk untuk menambahkan berat badan.

Bagi anak keempat daripada enak beradik itu, dia bukan tidak bersyukur memiliki bentuk fizikal yang kurus, cuma dia mahu kelihatan lebih 'berisi' sedikit. Begitupun, tidak banyak sumber yang boleh membantunya.

Pernah gagal

Menceritakan dilema yang dialami sejak dia berumur 20 tahun, Norfadilla memberitahu, dia pernah mencari produk untuk menaikkan berat badan namun ia hanya sia-sia. Kegagalan itu membuatkannya hampir berputus asa.

Pada masa yang sama, dia juga tidak pernah mengabaikan pemakanannya malah menurut Norfadilla, dia akan 'makan apa sahaja yang berada di depan mata'.

Katanya, memiliki bentuk badan yang kurus sebenarnya menyebabkan emosinya terganggu, lebih-lebih lagi apabila sering ditegur atau diusik rakan-rakan.

"Saya akan makan empat atau lima kali sehari dan hidangannya berbeza-beza namun berat badan tidak pernah bertambah.

"Sebab itu saya tercari-cari makanan tambahan yang membolehkan badan saya nampak berisi," ujarnya yang mempunyai ketinggian 1.62 meter.

Dengan memiliki badan yang kurus berbanding dengan adik-beradik yang lain, keadaan fizikalnya membuatkan kedua ibu bapa gadis ini tidak berasa bimbang terhadap keadaan dirinya kerana menganggap anak mereka itu sihat.

"Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak menghidap sebarang penyakit," katanya sambil memberitahu, kadangkala dia menjadi rimas dengan teguran beberapa kali mengenai tubuhnya itu.

Sementara itu, bagi seorang pekerja pemprosesan makanan, Siti Farah Adnan, 26, dia tidak terkecuali daripada dilema itu. Begitupun, dia sudah lama tidak ambil peduli terhadap tanggapan negatif daripada rakan-rakannya.

Di sebalik memiliki tubuh badan umpama seorang pelajar yang masih menuntut sekolah menengah, gadis seberat 43kg itu mengakui bahawa dia sering bersabar apabila teman-teman mengusiknya dengan panggilan 'kering'.

Begitupun, gadis yang memiliki ketinggian 1.52 meter menjelaskan bahawa dia semakin lali dengan usikan itu. Dia bagaimanapun tidak patah semangat untuk menambahkan berat badannya.

Untuk itu, dia juga telah mencuba dua hingga tiga produk berbeza yang mendakwa mampu menambahkan berat. Namun, selepas lima tahun, semua produk itu tidak meninggalkan apa-apa kesan perubahan pada fizikalnya.

"Kalau hendak tunggu produk penambah berat badan keluar menerusi iklan akhbar atau televisyen, memang susah.

"Oleh itu, saya terpaksa mencari sendiri produk yang boleh menambahkan berat badan. Cuma, kadangkala saya khuatir sekiranya produk yang dibeli itu tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati Siti Farah, dia masih memasang niat untuk menambah berat badan.

"Sekiranya saya sakit, berat badan saya akan menyusut lagi. Saya akan kehilangan berat badan hampir 3kg jika demam kerana hilang selera makan. Lebih buruk, sendi saya juga akan berasa sakit.

Menurutnya, jika mahu kembali kepada berat badan yang asal, ia akan mengambil masa lama.

Sehingga hari ini, dia masih berusaha mendapatkan rujukan daripada pakar-pakar kesihatan selain mencari produk kesihatan yang ideal untuk membantunya menangani dilema tersebut.

- KOSMO!

Buku : Apabila Dia Menyapa, Jodohkah Namanya


Jodoh itu penuh keunikan.

Apabila semakin dikejar, semakin dia berlalu pergi.

Apabila kita hanya menanti, usahkan hadir, bayangnya

juga belum pasti.

Kadangkala, antara jodoh dan nafsu, kita sering

terkeliru.

Adakah dia jodoh ditunggu, ataupun dia sekadar

menyapa sambil berlalu.

Kadangkala hadirnya tidak disangka.

Dia rupa-rupanya, jodoh untuk kita.

Rencam jodoh, manisnya dapat mendamaikan hati,

pahitnya dapat menghancurkan diri.

Misterinya dia, hanya Tuhan Maha Mengetahui.

Apabila dia menyapa, jodohkah namanya

ISI KANDUNGAN :

FALSAFAH PERKAHWINAN DALAM ISLAM

RENCAM JODOH
  1. Tersalah Pilih Jodoh?
  2. Bersekedudukan Tanpa Ikatan Perkahwinan.
  3. Apabila Diri Sudah Ternoda, Masih Adakah yang Sudi? 

  1. Hati Terpikat Suami Orang.
  2. Impian Kahwin Tiga.
  3. Jodoh Merentas Benua.
  4. Jodoh Bergelar Datuk.
  5. Akibat Diri Kasonava, yang Dikejar Tidak Dapat, yang Dikendong Keciciran.
  6. Dilema Diri Digelar Andartu.
  7. Kahwin Paksa: Bahagia atau Sengsara?
  8. Berapa Kali Mahu Kahwin Cerai?
  9. Pinangan Ditolak, Akhirnya Kekasih Dibawa Lari.
  10. Belum Sampai Seru Ingin Berkahwin.
  11. Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi. Dilema Kekasih Hati Dirampas Sahabat Sendiri…
  12. Bersediakah Kahwin Ketika Belajar?
  13. Nasi Lemak Buah Bidara, Sayang Selasih Hamba Lurutkan, Buang Emak Buang Saudara, Kerana Kasih Hamba Turutkan.
  14. Antara Dua Darjat. 
  15. Kahwin Selepas Ditangkap Basah.
  16. Tidak Dapat Berkahwin, Hantaran Terlalu Mahal.
  17. Bercinta Sampai ke Syurga.
  18. Rombongan Pengantin Tidak Kunjung Tiba.
  19. Pinangkan Dia untuk Aku Wahai Ibu…
  20. Cinta Muka Buku.
  21. Dilema Bapa Berkahwin dengan Bekas Kekasih
  22. Bermain Cinta dengan Abang Ipar.
  23. Cinta monyet.
  24. Cerewet Memilih Jodoh.
  25. Akhirnya Bercerai Walaupun Usia Perkahwinan Mencecah 40 Tahun.
  26. Biar Tiada Rupa, Asal Berbudi Bahasa.
  27. Rumahtangga Musnah Akibat Orang Ketiga.
  28. Kahwin Sepupu Sendiri.
  29. Janda Berhias.
  30. Izinkan Abang Kahwin Lagi.



Menzalimi diri jika liat bayar hutang

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memburu hampir 100,000 peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka berjumlah RM1.9 bilion sejak 1997. Biarpun beberapa kali notis amaran dikirim kepada mereka, namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas daripada peminjam liat itu.

Sepatutnya peminjam bersikap lebih positif, berterima kasih kepada PTPTN yang menyediakan dana besar untuk membiayai pengajian masing-masing.

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, amalan berhutang berlaku seperti kisah Nabi Muhammad SAW berhutang seekor unta, kemudian Baginda membayar hutang untanya tadi dengan unta yang lebih besar dan lebih baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu, ialah orang yang melebihkan hutang dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil).”

Kini, berhutang sudah jadi ‘trend’ dalam kehidupan masyarakat. Untuk memiliki apa saja keperluan hidup dengan cepat, maka tidak dapat tidak seseorang itu perlu berhutang.

Tetapi malangnya, ramai pula yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak pula berusaha melangsaikan hutang mengikut perjanjian dibuat. Adakalanya orang yang membuat jaminan terpaksa memikul beban kerana kedegilan si penghutang itu.

Islam sebagai agama yang syumul dalam segala aspek menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membuat bayaran balik sesuatu hutang yang dibuat.

Rasulullah SAW mengingatkan kita, orang berharta yang asyik menangguhkan pembayaran hutang adalah termasuk dalam perbuatan zalim.

Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara ini dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah bin Amir yang bermaksud: “Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda: Hutang.”

Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-Qardhu atau potongan. Dari segi bahasa ia membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan.

Dalam Islam hutang dan sedekah mempunyai hubungan yang amat rapat. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barang siapa memberikan, lebih dua pahalanya daripada pahala sedekah”. (Hadis Hasan).

Dalam kisah perjalanan Rasulullah SAW. bersama malaikat Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah sebuah pintu syurga kata-kata bermaksud, ‘Sedekah bersamaan 10 kali ganda dan hutang bersamaan 18 kali ganda’.

Lalu baginda bertanya kepada Jibril, “Mengapa demikian? Jawab Jibril, “sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagiannya. Sementara hutang, orang tidak akan meminta berhutang kalau tidak kerana sebab-sebab yang mendesak”.

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba itu suka menolong saudaranya”. (Riwayat Muslim)

Pun begitu, memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib bila ia bertujuan memenuhi keperluan yang begitu mendesak, seperti membantu orang yang sangat memerlukan, menghadapi musibah atau apa jua bencana alam dan golongan manusia yang termasuk dalam golongan kurang upaya.

Ini bersesuaian dengan kehendak Allah seperti yang tercatat di dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya”.

Bagi pihak orang yang berhutang pula Rasulullah SAW mengingatkan bahawa orang yang berhutang akan terus terikat dengan pembayaran balik atas segala hutang dibuat. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa hidup di dunia. Ini kerana apabila seseorang yang berhutang itu meninggal sewaktu masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehinggalah dijelaskan hutang tersebut.

- BERITA HARIAN

Tak faham peraturan punca kes mahkamah tertangguh

Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Peguam adalah pegawai mahkamah, ungkapan yang biasa kita dengar. Bagaimanapun, segelintir saja yang memahami konsep peguam sebagai pegawai mahkamah atau kadangkala disebut 'sahabat mahkamah'. Peguam sebagai pegawai atau sahabat mahkamah membawa maksud mereka bertanggungjawab membantu mahkamah apabila mewakili anak guamnya.

Proses perbicaraan di mahkamah mempunyai peraturannya sendiri. Proses ini rumit, sukar difahami orang awam dan ia bukan dibuat secara suka-suka. Proses perbicaraan terkandung dalam undang-undang bertulis berkenaan tatacara mahkamah.

Kegagalan memahami dan mematuhi proses tatacara perbicaraan akan mengundang kelewatan dalam menyelesaikan kes yang telah difailkan di mahkamah.

Dalam konteks Mahkamah Syariah, kelewatan biasa akan dianggap kelewatan melampau disebabkan hampir keseluruhan kes Mahkamah Syariah membabitkan hal ehwal keluarga yang diselubungi emosi dan semua pihak mahukan penyelesaian pantas dan memihak kepada mereka.

Kehadiran peguam untuk mewakili pihak yang bertelingkah sepatutnya menjadi satu bantuan besar kepada semua pihak termasuk mahkamah yang mengendalikan perbicaraan. Peguam mampu membantu melancarkan proses perbicaraan dan memudahkan mahkamah mendapatkan fakta yang relevan dan bukti yang benar.

Perlu juga diingatkan, tugas peguam adalah membantu menyampaikan dan membentangkan fakta serta bukti kes di hadapan mahkamah. Peguam mampu mengubah sesuatu kes yang lemah menjadi kuat adalah satu tanggapan yang salah.

Sebagai peguam yang ditauliahkan pihak berkuasa negeri, tidak boleh membuat bukti baru atau mengubah fakta kes yang dibicarakan.

Oleh itu, apabila seseorang berhasrat melantik peguam, tujuannya bukan untuk menang dalam permohonan, tetapi bagi melancarkan penyampaian kes di mahkamah supaya berjalan sempurna dan teratur bagi mendapatkan keadilan.

Di Mahkamah Syariah khususnya, sesetengah permohonan atau kes yang dibicarakan bukan setakat selesai dalam mahkamah, tetapi ada kala memberi kesan besar sepanjang hayat seperti permohonan pengesahan cerai atau nikah yang memberi kesan terhadap keturunan.

Maka, memberi fakta bersalahan seperti menafikan perceraian yang telah berlaku atau mengakui nikah yang tidak berlaku, akan memberi kesan besar terutama kepada status anak dan generasi berikutnya.

Oleh itu, semua pihak harus memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing, semoga selepas ini orang ramai lebih memahami tugas seorang peguam sebagai sahabat mahkamah yang membantu mereka berurusan dengan pihak mahkamah.

Adanya bantuan peguam dapat membantu ke di Mahkamah Syariah dikendalikan dengan lebih lancar dan sempurna.

Memahami tugas serta peranan peguam akan menjadikan masyarakat lebih menghargai peraturan perbicaraan yang mesti diikuti di mahkamah. Peraturan bukan untuk melengahkan permohonan atau perbicaraan, tetapi membantu orang ramai memahami prosedur ditetapkan.

Banyak kes lambat selesai atau tertangguh lama disebabkan pihak yang bertelingkah tidak memahami peraturan mahkamah dan gagal menyediakan bukti diperlukan bagi membolehkan perbicaraan berjalan lancar.

Disebabkan tiada pihak yang membantu seperti peguam syarie, maka kes sedang dibicarakan akan berlanjutan. Perbicaraan tidak akan selesai selagi perkara dikehendaki mahkamah gagal dikemukakan pihak bertelingkah.

Kehadiran peguam dapat membantu masyarakat memahami selok- belok kes, situasi ketika perbicaraan serta perkara perlu dilakukan mereka supaya permohonan atau kes berjalan lancar seterusnya mendapat keadilan.

- BERITA HARIAN

Penjawat awam digesa ubah mentaliti dan cara kerja

Penjawat awam perlu melakukan anjakan sikap drastik seiring dengan gagasan dan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata penjawat awam tidak seharusnya berasa selesa berada pada takuk lama sehingga pencen dan sentiasa cepat berpuas hati dengan pencapaian serta urusan harian yang biasa. “Penjawat awam perlu menyahut saranan Perdana Menteri sebagai satu cabaran bagi meningkatkan daya saing mereka. Mahu naik gaji tapi sikap pada tahap lama tidak mahu berubah macam mana?

“Kita menyokong untuk menjadikan penjawat awam berpendapatan tinggi tapi mesti seimbangkan pendapatan dengan sikap serta kerja yang dilakukan,” katanya hari ini, semalam.

Kelmarin, Najib berkata, penjawat awam perlu sentiasa mengambil sikap Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) sebagai panduan dalam melaksanakan tugas harian. Sikap itu pula perlu disokong dengan satu lagi akronim - PCI - ‘Productivity, Creativity and Inovation’ (Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi).

Perdana Menteri yang dikenali ramai sebagai ‘peminat bola,’ turut memberi contoh kejayaan Sepanyol menjuarai Euro 2012 menumpaskan Itali 4-0 yang menurutnya dicapai apabila pasukan itu menampilkan pendekatan baru dengan beraksi tanpa pemain penyerang, sebaliknya bergantung kepada enam pemain tengah untuk menjaringkan gol.

Omar berkata, bahagian latihan dan sumber manusia setiap agensi kerajaan perlu memainkan peranan dalam membentuk minda penjawat awam supaya mampu berfikir di luar daripada kebiasaan bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

“Dengan menggunakan kaedah bukan konvensional, mekanisme baru bagi menyelesaikan masalah rakyat dan melakukan kerja harian akan terbentuk dan mekanisme ini akan membantu penjawat awam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih baik dan berkesan,” katanya.

- BERNAMA

Pereka kereta Ferrari meninggal dunia


MILAN - Pereka bentuk kereta sport Ferrari, Sergio Pininfarina meninggal dunia pada usia 85 tahun di kediamannya di sini semalam.

Punca kematiannya tidak didedahkan tetapi dia pernah sakit sebelum ini.

Sergio dibimbing bapanya, Gian Battista yang merupakan pengasas firma reka bentuk kereta Farina pada tahun 1930-an, untuk menggantikannya sejak beliau masih kanak-kanak.

Dilahirkan pada 1926, beliau menyertai firma keluarga itu selepas memperoleh ijazah kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Politeknik Turin.

Sergio dilantik ketua eksekutif Farina pada 1961 dan pengerusi apabila bapanya meninggal dunia pada 1966.

Ketika itu, firma berkenaan telah mencipta nama dalam mereka bentuk kereta bercirikan aerodinamik terkini yang menjadi tumpuan orang ramai.

Nama Farina kemudian ditukar kepada Pininfarina pada 1961 selepas mendapat restu presiden syarikat berkenaan.

Antara kereta terkenal yang direka bentuk firma tersebut termasuk kereta coupe Cisalfa pada 1947 yang kini dipamerkan di Muzium Seni Moden di New York.

Hubungan Pininfarina dengan Ferrari dimulakan oleh Gian Battista pada 1952 dan dipopularkan oleh Sergio sehingga menjadi jenama yang terkenal di seluruh dunia.

Sejak 50 tahun beliau menerajui Pininfarina, pengeluaran kenderaan syarikat itu meningkat daripada 524 unit setahun kepada lebih 50,000 kenderaan.

Selain perkongsian bersejarah dengan Ferrari, Alfa Romeo dan Maserati (kesemuanya dimiliki oleh Fiat), Pininfarina turut mereka bentuk kereta untuk Rolls-Royce dan beberapa jenama luar lain.

Antaranya kereta Chevrolet Corvette Rondine pada 1963, Cadiilac Alante pada 1986, Bentley Azure pada 1996 dan kereta coupe Peugeot 406 pada 1996.

Sergio turut mereka bentuk kereta Fiat 124 Spider keluaran 1986, Ferrari Testarossa pada 1984 dan dan Ferrari Scagliettia pada 2004.

- Reuters

Kerajaan Sasar 90 Peratus Perkhidmatan Dilaksana Secara Online Pada 2015

Kerajaan mensasarkan 90 peratus daripada perkhidmatannya dilaksanakan secara online menjelang tahun 2015, menurut Ketua Setiausaha Negara yang baru, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, sasaran itu penting bagi memastikan agensi-agensi kerajaan beralih menjadi kerajaan pintar bagi menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Untuk mencapai sasaran itu, Ali berkata satu kajian kes untuk berkongsi projek Pusat Sehenti (OSC) yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi pihak berkuasa tempatan di seluruh Malaysia baru-baru ini, telah meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan.

"Sehingga Mac 2012, sebanyak 1,957 permohonan projek pembangunan diterima menerusi sistem itu," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Digital Kebangsaan 2012 di sini Selasa.

Beliau percaya menerusi inisiatif itu, pelbagai proses yang terlibat dalam permohonan itu boleh dilakukan serentak manakala masa pemprosesan dikurangkan kepada kira-kira empat hingga enam bulan berbanding satu hingga dua tahun sebelum ini.

"Kelulusan bagi pelan bangunan dan kebenaran perancangan meningkat daripada 72 peratus kepada 90 peratus manakala prestasi OSC di negeri-negeri juga telah menunjukkan peningkatan ketara.

"Baru-baru ini, purata permohonan menerusi OSC juga meningkat daripada 84.7 peratus kepada 92.5 peratus.

"Sehingga kini, 35 peratus daripada perkhidmatan kerajaan dilaksana secara online menerusi portal myGovernment sejak teknologi itu digunakan dalam semua aspek penyampaian dan operasi dalaman kerajaan," katanya.

Beliau berkata ini termasuk perkhidmatan yang membolehkan pesara dan warga emas akses kepada pelbagai faedah mereka secara online, bayaran cukai pintu, pembaharuan lesen, permit dan pembayaran saman menerusi satu portal sahaja.

Katanya Kaji Selidik e-Kerajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2012, yang menilai ciri-ciri teknikal laman-laman web negara serta dasar-dasar e-kerajaan dan strategi yang diguna pakai oleh sektor spesifik telah meletakkan Malaysia di ranking ke-40 di kalangan 193 negara anggotanya.

"Oleh yang demikian, kita perlu bergerak lebih pantas dan patut menjadi peneraju malahan lebih strategik dan menggunakan teknologi-teknologi moden seperti 'cloud computing', tablet dan media sosial dalam menambah baik perkhidmatan kita.

"Kita juga perlu memanfaat janji teknologi untuk terus meningkatkan perkhidmatan penyampaian kerajaan dan melancarkan momentum transformasi digital untuk menjadi peneraju global dalam pembangunan e-kerajaan," katanya.

Ali juga menggesa sektor awam dan swasta untuk saling bekerjasama untuk meningkatkan lagi kesiapsiagaan teknologi negara seperti meningkatkan penembusan kadar internet dan kapasiti jalur lebar.

Persidangan dua hari itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G. Palanivel.

- BERNAMA

Selasa, Julai 03, 2012

SPA Perkenal Dua Dasar Baru Bagi Permohonan Ke Perkhidmatan Awam



Suruhanjaya Perkhimatan Awam (SPA) memperkenal dua dasar baru, yang berkuat kuasa 1 Julai 2012, bagi meningkatkan peluang permohonan jawatan dalam perkhidmatan awam.

Dasar pertama SPA ialah membenarkan pemegang Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan semua calon bersaing dalam memohon mana-mana jawatan yang bersesuaian tanpa sekatan tahap kelayakan akademik.

Menurut kenyataan SPA, sehingga kini, seramai 852 calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda mengemukakan permohonan ke jawatan yang berkelayakan SPM.

Dasar kedua pula membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan dalam Borang Permohonan Pekerjaan Online SPA8i berbanding lima jawatan sebelum ini.

Langkah itu bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada calon untuk dilantik ke jawatan bersesuaian.

Sejak semalam, seramai 5991 calon mengemukakan permohonan untuk lebih daripada lima jawatan.

Laman Web Suruhanjaya Perkhimatan Awam (SPA) : http://www.spa.gov.my

- BERNAMA


PANDUAN LENGKAP SOALAN PEPERIKSAAN PTD

Anda boleh mendapatkan Panduan Lengkap Peperiksaan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) M41 di : http://www.tipsptd.com/hop.php?ref=my

Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) Bantu Kurangkan Kos Sara Hidup Pelajar IPT


Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) yang berobjektif membantu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini mengurangkan kos sara hidup, dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin.

KDS1M menawarkan diskaun antara 5 hingga 60 peratus bagi pembelian di 31 syarikat dan 14 koperasi yang menyertai program itu setakat ini. Antara sektor perniagaan yang terlibat ialah buku, alat tulis, pakaian, makanan dan minuman, produk IT, penginapan dan kesihatan.

Cadangan KDS1M dikemukakan oleh pelajar pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 21 Nov tahun lalu.

Ketika berucap melancarkan KDS1M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa mendengar dan melaksanakan pandangan dan cadangan bernas dikemukakan pelajar IPT demi menjamin kebaikan serta kesejahteraan mereka.

Beliau berkata pelancaran kad diskaun itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup dan bebanan hampir 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta tempatan sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

"Ini membuktikan dengan jelas bahawa pandangan-pandangan pemimpin pelajar di seluruh negara mengenai perkara-perkara yang ada hubung kait dengan kehidupan dan kepentingan sentiasa diberi perhatian," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga mahu lebih banyak syarikat dan koperasi menyertai program tersebut demi kebaikan pelajar IPT di negara ini.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut hadir pada majlis itu berkata kad diskaun itu akan mula diedarkan pada sesi pengajian bermula September nanti.

"Bila sesi pengajian bermula kita mula edarkan kepada pelajar tahun akhir dahulu, diikuti pelajar-pelajar lain. Kita harap (pelajar) menggunakannya dengan bijak," katanya.

Katanya siswa hanya perlu menunjukkan KDS1M bersama-sama kad pelajar atau kad pengenalan bagi mendapatkan diskaun yang ditawarkan oleh syarikat yang menyertai program itu.

Beliau berkata kerajaan juga bercadang memperluaskan kad diskaun itu kepada pelajar asing di negara ini.

Maklumat lanjut mengenai KDS1M boleh didapati di www.1pengguna.com.

- BERNAMA

Haiwan ajaib Galapagos


HARAPAN para saintis untuk melihat Lonesome George - seekor kura-kura gergasi Galapagos, meninggalkan baka berakhir apabila haiwan itu ditemui mati di Puerto Ayora, Pulau Santa Cruz, Ecuador pada 24 Jun lalu.

Puerto Ayora terletak di selatan Taman Negara Galapagos.

Dianggarkan berusia lebih 100 tahun, kura-kura berstatus duta Kepulauan Galapagos itu berjaya menarik lebih 180,000 pelancong untuk mengunjungi pulau itu tahun lepas.

George dipercayai kura-kura terakhir daripada subspesies Geochelonenigra abingdoni. Kepulauan itu masih dihuni kira-kira 20,000 ekor kura-kura gergasi daripada 13 subspesies.

"Pada waktu pagi semasa seorang renjer sedang meronda, dia menemui George mati di pusat pembiakan kura-kura gergasi.

"Kehidupan kura-kura ini telah berakhir, namun kami merancang untuk mengawet bangkainya bagi dijadikan tatapan pelancong pada masa hadapan," kata ketua taman itu, Edwin Naula.

Bangkai haiwan bertaraf selebriti itu ditempatkan di dalam sebuah kebuk sejuk bagi mengelakkannya daripada mereput. Saintis berkata, kematian George akan melenyapkan spesies itu.

George mempunyai kisah hidup yang tersendiri. Ia ditemui pada tahun 1972 di Pulau Pinta, salah sebuah pulau di Kepulauan Galapagos.

Sama seperti namanya Lonesome George, haiwan itu hidup bersendirian dan kesepian sepanjang hayatnya.

George tidak mempunyai anak. Walaupun ia cuba dibiakkan bersama dua kura-kura betina berlainan spesies, hasilnya mengecewakan.

Diburu

Pada tahun 2009, pegawai Ecuador mengumumkan seekor daripada dua kura-kura betina yang tinggal bersama George telah menghasilkan sebanyak lima biji telur. Malangnya kesemua telur itu gagal menetas.

George hidup bersama dengan kura-kura betina daripada jenis Geochlone becki itu sejak tahun 1993.

Populariti George bukan calang-calang bahkan berjaya menarik perhatian ikon terkenal Angelina Jolie dan Brad Pitt untuk melawat taman negara itu.

Lokasi tempat kura-kura itu tinggal juga dikunjungi oleh ribuan pelancong setiap tahun.

Mereka mengambil peluang bergambar dengan makhluk pelik di muka bumi itu.

Bagaimanapun, sejak kedatangan manusia ke kepulauan itu, jumlah kura-kura gergasi menurun secara signifikan.

Ia sering diburu kerana dagingnya manakala habitat semula jadinya turut dirampas oleh gerombolan kambing yang dibawa oleh penternak.

Namun, usaha penyelamatan oleh Taman Negara Galapagos dan Yayasan Charles Darwin untuk menambah kembali populasi kura-kura itu mula berhasil.

Secara umum, populasi kura-kura gergasi Galapagos meningkat daripada hanya 3,000 ekor pada tahun 1974 kepada 20,000 ekor sekarang.

Selain kura-kura gergasi, Kepulauan Galapagos juga terkenal sebagai rumah kepada berbagai spesies haiwan dan tumbuhan yang unik.

Keajaiban alam dan kebiasaan kura-kura Galapagos yang boleh hidup sehingga 200 tahun telah mencetuskan idea kepada saintis Britain, Charles Darwin untuk memperkenalkan teori evolusinya.

Ketua Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah, berkata usaha untuk memastikan kura-kura gergasi terus hidup sememangnya agak sukar.

"Selain masalah kesihatan kerana usia yang lanjut, haiwan ini sensitif terhadap makanan yang diberikan.

"Selain itu, ia sukar menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berbeza daripada habitat asal," katanya kepada Jurnal.

Jelasnya, pihak Zoo Negara juga mempunyai kura-kura gergasi daripada spesies Aldabran iaitu kura-kura kedua terbesar di dunia selepas spesies Galapagos tetapi usaha untuk membiakkan haiwan itu bukan mudah.

"Namun, itu tidak bermakna kita akan berhenti berusaha membiakkannya sebaliknya banyak lagi penyelidikan saintifik perlu dilakukan," beritahu beliau.

- KOSMO!

Isnin, Julai 02, 2012

Juara EURO 2012 Sepanyol belasah Itali 4 - 0


Sepanyol mencipta sejarah dengan memenangi tiga gelaran utama berturut-turut termasuk kejuaraan Euro buat kali kedua.

Sepanyol mengatasi Itali 4-0 untuk mengekalkan gelaran Euro di Stadium Kiev, Ukraine sebentar tadi menerusi jaringan yang berkualiti dan menarik serta menghiburkan para penontotn di arena itu dan seluruh dunia.

Kemenangan ini juga bermakna kerana Sepanyol muncul juara Kejohanan Eropah buat kali ketiga. Pada 2010, Sepanyol muncul juara Piala Dunia.

Trofi disampaikan oleh Presiden Uefa, Michel Platini di Stadium Olimpik, Ukraine yang menghimpunkan 65,000 penonton. Ukraine dan Poland menganjurkan secara bersama edisi Euro kali ini.

Euro 2016 akan berlangsung di Perancis.

Kejayaan berpesta gol ini juga mengikis kritikan dan kecaman bahawa Sepanyol gagal menyajikan persembahan yang menghiburkan kali ini.

Itali dan Sepanyol telah pun bertemu pada perlawanan peringkat kumpulan, tetapi bilangan gol pada hari ini sesuatu di luar dugaan ketiga ramai meramalkan Itali akan mengatasi Sepanyol.

Bilangan gol itu juga dilihat sesuatu 'yang malang' apabila Itali bermain 10 orang selepas Thiago Motta terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan dialaminya. Ketika itu Itali sudah pun membuat tiga pertukaran.

Itali menggantikan Chiellini dengan Balzaretti pada minit ke-21, Cassano (Di Natale, 46) dan Montolivo (Motta, 56).

Sepanyol juga menggunakan tiga pemain gantian iaitu Iniesta digantikan oleh Mata (87). Sebelum itu,. Fabregas digantikan oleh Torres (75) dan Silva (Pedrito, 59).

Gol pertama Sepanyol dijaringkan oleh David Silva pada minit ke-14 dan disusuli jaringan Jordi Alba pada minit ke-41. Gol ketiga dijaringkan oleh Fernando Torres pada minit ke-84 dan disusuli gol minit ke-88 menerusi Juan Mata.

Sepanyol turun untuk mencipta nama sebagai negara yang memenangi tiga gelaran antarabangsa berprestij secara berturut-turut - Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 serta Euro 2012.

Itali pula mahu meneruskan peningkatan prestasi selepas permulaan hambar pada awal saingan di samping memasang impian untuk mengulangi sejarah 1968.


Senario di arena:

90+4: Sepanyol lakar sejarah dengan mempertahankan kejuaraan edisi kali ini. Juara 2008 dan 2012.

90: Sepanyol terus melakukan serangan. Itali semakin hilang semangat dalam mencipta jaringan.

89: Stadium semakin riuh dengan sorokan penyokong Sepanyol. Itali kelihatan kecewa apabila terus gagal menjaringkan gol.

88: Juan Mata menjaringkan gol keempat Sepanyol

84: Gol ketiga dijaringkan oleh Fernando Torres.

77: Sepanyol berada dalam kedudukan ofsaid, hampir menjaringkan gol ketiga.
75: Francesc Fabregas digantikan oleh Fernando Torres.

74: Perlawanan semakin rancak - Itali terus terdesak mencari gol manakala Sepanyol hampiri pertahankan kejuaraan

73: Gawang Itali cemas apabila sepanyol hampir melebarkan jurang mata-berjaya dipatahkan

71: Penyokong sepanyol terus bersorok riang

70: Tinggal lagi 20 minit perlawanan - kedudukan masih 2-0.

69: Sepanyol mengawal bola - cuba mencari peluang melakukan asakan

67: Itali semakin terdesak mencari gol - terus melakukan serangan.

65: Serangan Sepanyol berjaya diselamatkan oleh pertahanan Itali.

64: Handball oleh Mario Balotelli. Gerard Pique sempurnakan 'direct free kick'
62: Itali tidak berputus asa untuk menjaringkan gol. Tendangan cuma Itali gagal disempurnakan.

61: Kedudukan gol Sepanyol (2) - Itali (0).

58: Rodriguez Pedro menggantikan David Silva (penjaring gol pertama Sepanyol).

57: Tendangan percuma kepada Itali berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Sepanyol.

56: Thiago Motta dibawa masuk menggantikan Ricardo Montolivo

55: Serangan Sepanyol berjaya dihalang pertahanan Itali

54: Penyerang Itali, Mario Balotelli nyata kecewa apabila pengadil menyatakan mereka dalam keadaan ofsaid

53: Sepanyol mula melakukan asakan untuk terus selesa di depan, namun dihalang oleh pemain-pemain Itali

51: Itali terus menguasai perlawanan dengan melakukan serangan ke gawang Sepanyol

50: Statistik perlawanan: 47 peratus dikuasai Sepanyol, 53 peratus oleh Itali.

50: Itali hampir menjaringkan gol pertama namun diselamatkan oleh Iker Casillas

49: Mario Balotelli cuba menyerang tapi dihalang oleh dua pemain Sepanyol

48: Jurulatih Itali, Cesare Prandelli kelihatan gelisah di luar padang

47: Sepanyol hampir menyumbat gol ketiga tetapi dapat diselamatkan oleh pemain pertahanan Itali. Tendangan sudut kepada Sepanyol.

46: Itali melakukan serangan ke atas Sepanyol-gagal membolosi gawang

46: Cassano diganti oleh Di Natale.

45: Perlawanan separuh masa pertama sudah berakhir.

44: Andrea Barzagli dilayang kad kuning.

41: Gol kedua Sepanyol menerusi Jordi Alba. Itali terus tersentak dengan dua jaringan Sepanyol. Peminat Itali nyata kecewa apabila pasukannya ketinggalan di belakang. Kedudukan menjadi Sepanyol 2 di depan.

38: Perlawanan terus rancak-sepanyol selesa di depan manakala Itali terus mencari peluang menjaringkan gol

37: serangan Itali berjaya dipatahkan sepanyol-hampa untuk mencari gol penyamaan. Tendangan kencang Mario Balotelli melambung tinggi.

35 - Statistik perlawanan: 48% dikuasai Sepanyol, 52% Itali. Ada perubahan berbanding minit ke-30. Kedudukan masih sama 1-0, Sepanyol di depan. Sasaran ke gawang, 6 di pihak Sepanyol dan 5 oleh Itali.

30: Statistik perlawanan: 54% dikuasai Sepanyol, 46% Itali. Kedudukan masih sama 1-0, Sepanyol di depan.

29: Serangan Itali gagal mencari gol penyamaan apabila di selamatkan penjaga gol Sepanyol.

26: Itali cuba mencari gol penyamaan tapi gagal apabila serangan dipatahkan pertahanan Sepanyol

25: Sepanyol melakukan asakan namun pertahanan rapuh Itali berjaya menyelamatkan daripada dibolosi kali kedua

24: Kedua-dua pasukan terus mengasak kubu masing-masing

20: Kedudukan masih kekal 1-0

19: Gawang Itali cemas apabila terus di asak oleh Sepanyol-berjaya diselamatkan oleh pertahanan Itali.

18: Perlawanan semakin rancak dari kedua-dua pasukan

17: Itali menemui rentak-terus melakukan serangan ke atas Sepanyol. Tendangan sudut kepada Itali-berjaya diselamatkan penjaga gol Sepanyol

15: Tendangan percuma dari Itali-gagal membolosi gawang sepanyol kerana tersasar

14: Gol pertama oleh sepanyol oleh David Silva. Kedudukan sepanyol mendahului 1-0

12: Sepanyol mempamerkan aksi cemerlang-terus mendominasi perlawanan dengan asakan ke gawang Itali

11: Kedudukan masih 0-0


9: Sepanyol melakukan percubaan pertama di dalam kotak penalti tapi gagal menjaringkan gol awal

7: Sepanyol terus menguasai perlawanan dengan melakukan serangan bertubi-tubi

7: Statistik perlawanan: Penguasaan permainan / bola 50:50 setakat ini

6: Sepanyol terus mengasak tetapi dikekang pertahanan Itali

5: Tendangan percuma kepada Sepanyol

3: Sepanyol melakukan serangan balas ke arah gawang Itali - berjaya dipatahkan pertahanan The Azzuri

1: Serangan awal dilakukan Itali ke gawang Sepanyol - tapi tendangan melambung tinggi

00.1: Pperlawanan bermula-sepak mula oleh Sepanyol



Statistik perlawanan (Separuh masa kedua):

- Kedudukan gol: Sepanyol (4) - Itali (0)

- Penguasaan bola: Sepanyol (51%) - Itali (49%)

- Sasaran ke gawang: Sepanyol (14) - Itali (11)

- Sepakan penjuru: Sepanyol (3) - Itali (3)

- Kad kuning: Sepanyol (1) - Itali (1)




Barisan pemain Sepanyol:

1 Iker Casillas
17 Alvaro Arbeloa
15 Sergio Ramos
18 Jordi Alba
8 Xavi Hernandez
16 Sergio Busquets
14 Xabi Alonso
21 David Silva
10 Cesc Febregas
6 Andres Iniesta


Barisan pemain Itali

1 Gianluigi Buffon
6 Federico Balzaretti
15 Andrea Barazagli
19 Leonardo Bonucci
3 Giorgio Chiellini
8 Claudia Marchisio
18 Ricardo Montolivo
16 Daniele De Rossi
21 Andrea Pirlo
9 Mario Balotelli
10 Antonio Cassano

- SINAR HARIAN

Recent Posts