Isnin, Disember 05, 2011

KTMB terima koc kereta api berwarna biru dari Jepun


WAKAF BAHARU: Empat belas koc (gerabak) kereta api berwarna biru dari Jepun yang pernah mengangkut penumpang dari Tokyo ke daerah baratnya di Pulau Kyushu kini berpindah ke Malaysia.

Setelah 30 tahun koc-koc ini menjadi teman setia rakyat Jepun yang memang meminati perjalanan dengan menaiki kereta api sejak dulu sehingga kini, koc-koc biru ini menjadikan Malaysia sebagai rumah barunya.

Bagi menghargai hubungan baik antara kerajaan Jepun dengan negara-negara di rantau ini, gerabak kereta api itu dibahagi-bahagikan di antara beberapa buah negara Asean termasuk Indonesia, Thailand dan Malaysia.

Thailand menerima 126 buah koc yang sama manakala Indonesia pula menerima lebih 70 buah koc jenis keretap api elektrik.

Pemberiannya adalah secara percuma daripada Jepun. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hanya membayar untuk mengangkutnya ke Malaysia melalui kargo jalan laut dan mengubahsuai bahagian bawah atau 'roda' kereta api supaya sesuai dengan keadaan dan saiz landasan di negara ini.

Nama baru koc kereta api itu, Harimau Malaya, dilancarkan Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan di Stesen Keretapi Wakaf Baharu di sini baru-baru ini.

Bila ditanya tentang kos yang dikeluarkan pihak KTMB untuk menerima hadiah 14 buah koc ini, Dr Aminuddin memberitahu: "Hampir RM6.5 juta."

"Pulangan pelaburan ini dijangkakan selama lima tahun dan koc-koc ini kami yakin akan terus beroperasi sekurang-kurangnya untuk sepuluh tahun lagi.

"Yang pasti koc-koc ini akan menyumbang terhadap kelancaran perkhidmatan kereta api di sektor Pantai Timur dari Tumpat ke Singapura yang dijangka bermula pada awal tahun 2012 nanti," kata beliau.

INTERCITY

Atas jasabaik pihak Kementerian Pengangkutan, pihak KTMB memohon untuk mendapatkan koc-koc ini daripada kerajaan Jepun bagi perkhidmatan KTM 'Intercity' atau antara bandar.

KTMB mensasarkan lebih 185 ribu penumpang bakal menggunakan perkhidmatan koc kereta api yang baru ini setiap tahun.

"Koc-koc ini tiba di Westport, Pelabuhan Klang pada Disember 2010. Kereta api Harimau Malaya ini diharap dapat merancakkan sektor pelancongan domestik terutamanya bagi mereka dari Singapura dan Indonesia," kata Dr Aminuddin.

Para wartawan baru-baru ini telah dibawa untuk menaiki koc ini dari Stesen Wakaf Baharu menuju ke Johor Baharu.

Kerajaan Jepun diwakili Dr Hiroki Yajima, Setiausaha Pertama, perihal Pengangkutan dan Pelancongan, di Kedutaan Jepun serta pegawai-pegawai lain turut serta di majlis pelancaran itu.

SELENGGARA

Kereta api biru ini telah diselenggara mengikut waktu yang dijadualkan.

"Perabot dan kemasan dalaman koc-koc ini masih baik dan dalam keadaan hampir sempurna kerana ia diselenggara mengikut waktu yang tepat. Walaupun sudah berusia, namun koc-koc ini kelihatan seperti baru.

"Ia dicuci mengikut jadual dan perabotnya telah ubahsuai dan diganti fabriknya. Ia tidak perlu sebenarnya. Orang Jepun amat berhati-hati semasa menggunakan peralatan di dalam kereta api malah mereka memastikan ia boleh digunakan untuk jangka waktu yang panjang tanpa perlu membazir kos tambahan," kata Mohd Azami Mohd Zain, pengurus KTMB.

Tempat duduk kelas dua kereta api Harimau Malaya ini tidak dipasangkan alat audio visual seperti televisyen atau perakam DVD.

Ini mungkin disebabkan penggunaan koc-koc ini sejak 30 tahun dulu berbeza keperluan penumpangnya.

Tambahan pula warga Jepun lebih minat membaca buku dan mengelakkan bunyi bising yang boleh mengganggu ketenteraman yang mereka inginkan di dalam perjalanan.

Perjalanan dari Wakaf Baharu ke Johor Baharu itu mengambil masa kira-kira 16 jam.

Jika dibandingkan koc kereta api KTMB yang sedia ada, tempat tidur koc biru kurang lebar dan tilamnya lebih nipis.

Walaupun begitu, tangga yang perlu dipanjat untuk naik ke tempat tidur atau 'bunk' di atas, boleh dilipat.

Ini menjimatkan ruang selain lebih praktikal untuk ruang yang agak sempit di antara empat tempat tidur yang bersebelahan.

Tidak dapat dinafikan, kemasan dalaman koc-koc ini, baik di dalam kabin, tempat duduk mahupun tempat tidur bertingkat selain tandas, singki membasuh muka dan bilik asap untuk perokok, masih elok keadaannya.

Dindingnya juga bersih kerana sikap menconteng 'grafiti' tidak menjadi budaya hidup warga Jepun yang penuh beradab.

Diharapkan kereta api Harimau Malaya ini berupaya memperkembang industri pelancongan rel di sektor Pantai Timur selain boleh ditingkatkan dengan promosi pakej perjalanan yang menarik di negara ini.

- MSTAR

UMT Wujud Fakulti Perikanan Dan Akua Industri Mulai Januari 2012

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melangkah setapak dalam usaha mengembangkan ilmu pengetahuan dengan mewujudkan Fakulti Perikanan dan Akua Industri mulai 1 Januari 2012.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Aziz Deraman berkata ia adalah menyahut seruan kerajaan untuk UMT menceburkan diri dalam bidang berkenaan dan bersesuaian dengan penubuhan awal universiti itu bagi meneroka ilmu samudera.

Bercakap kepada pemberita di sini Ahad, beliau berkata penubuhan fakulti baru itu dibuat kerana menyedari negara bergantung pada makanan laut yang diimport dengan jumlah yang tinggi.

Langkah itu juga sesuai dengan hasrat kerajaan supaya negara boleh bergantung kepada bekalan makanan asas sendiri suatu masa nanti, katanya.

Sudah sampai masanya UMT menonjolkan keberkesanan universiti sebagai sebuah fakulti yang penting untuk negara terutamanya bagi bekalan ikan dan hasil laut yang lain, tambah beliau.

"Kita harap dengan adanya fakulti ini, UMT akan menjadi lebih kukuh dalam ilmu samudera kerana setakat ini UMT telah mempunyai Fakulti Bio Teknologi Marin yang melibatkan hidupan laut," katanya.

Beliau berkata dengan adanya fakulti baru itu UMT akan dapat mengadakan banyak lagi kerjasama dengan universiti-universiti asing terutamanya universiti di Indonesia dalam bidang berkenaan.

Penubuhan fakulti baru itu telah diluluskan Kementerian Pengajian Tinggi pada September lalu, kata Aziz.

- BERNAMA

Senarai ujian kesihatan

Oleh Dr. Nurhalina Azly Minhat

Mulakan tahun 2012 dengan memperbaiki kesihatan diri. Badan yang sihat berpunca dari aktiviti yang sihat.

Pemakanan sihat

Amalan yang sihat bermula dari pemakanan yang sihat. Kurangkan makanan berkanji dan berlemak. Lebihkan protein, sayur dan buah-buahan. Makan makanan yang mengandungi glicemic indeks yang rendah contohnya beras basmati, roti serat. Apabila berbelanja di kedai, bacalah kandungan pada label. Kandungan pertama merupakan kandungan terbanyak dalam sesuatu makanan itu. Sekiranya anda sukakan makanan yang manis, tukarkan gula pada stevia yang lebih elok dimakan. Kesederhanaan dalam pemakanan dan berhenti sebelum kenyang merupakan amalan yang baik diamalkan.

Minum banyak air yang telah ditapis. Elakkan minuman bergas dan berkafein.

Elakkan makanan ringan dan makanan yang mengandungi pengawet.

Senaman

Mulakan hari anda dengan senaman. Lakukan senaman yang sesuai setiap hari untuk menguatkan otot dan tulang. Berikut adalah komponen kecergasan yang kita perlu untuk mengekalkan tahap kesihatan iaitu:

* Kekuatan

* Kelajuan

* Ketahanan Aerobik

* Ketahanan Anaerobik

* Keseimbangan badan

* Koordinasi

* Fleksibiliti

Bagi individu yang mampu, senaman berselang antara intensiti tinggi dan rendah (High Intensity Interval Training atau HIIT) bagus untuk jantung yang sihat. Contohnya, apabila berlari, anda boleh melakukan sprinting atau memecut untuk beberapa minit diselang dengan larian perlahan. Lakukan juga senaman mengangkat berat untuk menguatkan otot dan tulang.

Sebelum memulakan program senaman sama ada secara sendirian, berkumpulan atau dengan pelatih senam pastikan anda mendapat nasihat dan kelulusan doktor untuk mengetahui jenis senaman yang paling sesuai dengan usia, kebolehan dan tahap kesihatan anda. Ini akan memastikan keselamatan dan keberkesanan senaman tersebut.

Tidur

Pastikan rutin seharian berakhir dengan tidur yang cukup. Tidur sekurang-kurangnya 7-8jam dapat memulihkan hormon dan merehatkan otot. Elakkan minum minuman berkafein seperti minuman bergas, kopi, teh pada sebelah petang dan malam kerana kafein akan menganggu tidur. Seelok-eloknya, makan malam 4 jam sebelum tidur. Berdengkur semasa tidur akan menyebabkan letih dan lesu keesokan hari. Jika anda kerap berdengkur, dapatkan rawatan doktor, anda mungkin menghidap sleep apnea yang boleh mengganggu prestasi kerja di siang hari.

Pemeriksaan kesihatan

Pastikan tahap kesihatan kita berada pada tahap yang sihat. Berjumpalah dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan kesihatan penuh.

Tekanan darah normal systolik 120mmHg, diastolik 70mmHg, BMI 18-23 (mengikut ketinggian dan berat), waist-hip ratio 0.75-0.85

Sekiranya anda kini di tahap obes, dapatkanlah rawatan penurunan berat badan daripada doktor supaya berat dapat dikurangkan dengan cara yang tidak memudaratkan.

Vaksinasi

Pastikan anak-anak anda telah mendapat imunisasi yang lengkap. Sekiranya ada yang tertinggal, rujuk kembali dengan doktor untuk mendapatkan nasihat. Imunisasi pneumococcal, chicken pox, hepatitis A merupakan imunisasi pilihan yang digalakkan diambil. Bagi kaum wanita, dapatkan vaksinasi HPV bagi mencegah kanser servik.

Sekiranya anda mempunyai penyakit kronik seperti lelah, dapatkan "flu vaccine" setiap tahun.

Ubat dan vitamin

Sekiranya anda disahkan menghidap sesuatu penyakit oleh doktor, makanlah ubat dengan teratur. Jangan sesekali mengubah dos ubat sendiri atau memberi ubat anda pada ahli keluarga atau kawan-kawan.

Amalkan pengambilan pil kalsium dan minyak ikan bagi wanita. Sekiranya ingin melahirkan zuriat, amalkan pengambilan asid folik. Berhati-hati apabila memilih pil kesihatan tradisional. Jika mengambil ubat untuk menurunkan tahap kolesterol, ambillah juga pil co-Q 10, untuk menstabilkan enzim ini di dalam badan. Antioksidan seperti Vitamin A, C dan E elok diamalkan untuk kesihatan badan dan kulit.

Bagi individu yang merokok, berhentilah merokok kerana ia tidak mendatangkan kebaikan langsung. Merokok merupakan punca penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, angin ahmar, kanser paru-paru, kanser pundi kencing, keguguran dan susah mendapat zuriat.

Dengan mulanya tahun baru, marilah kita berazam untuk meningkatkan tahap kesihatan kita kerana hanya dengan tubuh yang sihat dapat kita beribadat dengan lebih mudah, InsyaAllah.

- MINGGUAN MALAYSIA

Ciri-ciri BlackBerry Bold, Curve dipertingkatkan


Pengeluar telefon pintar Blackberry, Research In Motion (RIM), memperkenalkan model telefon pintar terbaharunya, BlackBerry Bold 9790 dan BlackBerry Curve 9380 di pasaran tempatan.

BlackBerry Bold 9790 menampilkan beberapa penambahbaikan berbanding generasi sebelumnya, seperti sistem operasi BlackBerry 7 yang menggunakan cip pemprosesan 1 gigahertz yang menawarkan operasi lebih licin dan pantas untuk melayari laman web dan pelbagai aplikasi lain.

BlackBerry Curve 9380 pula hadir dengan skrin sesentuh 3.2 inci (8.1 sentimeter) dan integrasi ke dalam laman rangkaian sosial seperti BlackBerry Messenger, Facebook dan Twitter.

Naib Presiden RIM Indochina, Nick Harton berkata, pihaknya berbesar hati untuk melancarkan kedua-dua telefon pintar terbaharu itu di pasaran tempatan.

"BlackBerry Bold 9790 dan BlackBerry Curve 9380 menawarkan reka bentuk yang nipis dan bergaya dengan ciri-ciri perhubungan sosial, komunikasi dan multimedia yang telah dipertingkatkan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Kedua-dua model terbaharu itu boleh mula didapati di pasaran pada harga RM1,488 untuk BlackBerry Bold dan BlackBerry Curve pula ialah RM1,166 seunit.

- KOSMO!

Persoalan Agama: Pondan, tomboy, pengkid dilaknat jika tak berubah

Oleh Ustaz Zahazan

Soalan: APAKAH hukum suami yang tidak menegur isterinya berkelakuan ‘tomboy’ (berpakaian dan berperangai seperti lelaki). Apabila ditanya, jawapan suaminya, isterinya memang begitu sebelum berkahwin. Bagaimana cara untuk mengubah isteri yang sebegini.

Jawapan: AL-HAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Abu Daud dan lain-lain, daripada Ibnu ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai perempuan.”

Dalam riwayat lain disebut: “Allah melaknat pondan dalam kalangan lelaki dan wanita yang (berlagak) seperti lelaki. Iaitu kalangan wanita yang menyerupai lelaki dalam hal pakaian dan tutur kata mereka.”
Fenomena tomboy dan pengkid adalah isu yang sepatutnya tidak diambil remeh dan sememangnya perlu ditangani. Tomboy iaitu perempuan yang berwatak atau berimej lelaki manakala pengkid adalah perempuan berwatak lelaki dan mempunyai keinginan dengan perempuan. Untuk mengenalinya, biasanya mereka berambut pendek serta memakai seluar jeans dan kemeja-T. Ada yang mengatakan sampai mengikat buah dadanya dengan kain agar kelihatan rata.

Mereka cuba berlagak seperti lelaki dan berasakan mereka ini ada sifat kelelakian. Mereka cenderung untuk melakukan hubungan intim dengan perempuan. Ia berbeza dengan tomboy yang hanya menampilkan imej lelaki tetapi mereka masih mempunyai perasaan seperti perempuan biasa.

Berbalik kepada soalan saudari, jika seorang perempuan itu memakai pakaian yang biasanya dipakai oleh lelaki bererti ia sudah menyerupai lelaki dan tentu saja ia diancam oleh laknat Allah SWT dan Rasul-Nya.

Bagi suaminya yang tidak menegurnya iaitu dia tahu tetapi kemudian rela keadaan itu berlaku pada isterinya dan ia tidak mencegah isterinya, maka suaminya juga mendapat laknat Allah SWT sama dengan isterinya. Ini disebabkan ia sudah diperintahkan untuk membimbing agar isterinya taat kepada Allah SWT dan mencegahnya daripada segala maksiat. Allah SWT berfirman dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu...”

Ertinya, didik dan ajarlah mereka serta peliharalah mereka agar taat kepada Allah SWT dan cegahlah mereka daripada kemaksiatan sebagai kewajipan yang perlu dilakukan terhadap diri kamu sendiri.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab atas kepemimpinannya. Seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan bertanggungjawab atas mereka di akhirat kelak.”

Dalam riwayat Muslim dan lainnya daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah akan rosaklah orang lelaki jika mentaati wanita.”

Oleh itu suami yang mempunyai isteri berwatak sedemikian, maka wajiblah beliau menegurnya tetapi hendaklah dengan cara yang berhemah. Sebagai contoh, bawa isteri pergi ke majlis ceramah agama yang diadakan di masjid atau surau, hadiahkan isteri majalah atau buku yang berbentuk agama dan kewanitaan, belikan isteri pakaian wanita dan seumpamanya. Kewajipan menegur ini hendaklah dilaksanakan oleh pihak suami agar tidak ditimpa laknat Allah seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubah dengan lidah, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. Demikianlah wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

MYCESMM Tingkatkan Penyampaian Projek Pembinaan Malaysia

Penggiat industri yakin pengenalan Kaedah Pengukuran Standard Kejuruteraan Awam Malaysia (MyCESMM) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan meningkatkan penyampaian projek industri pembinaan negara.

Presiden MCM Value Sdn Bhd Mohd Mazlan Che Mat yang juga seorang juruukur bahan berkata dokumen itu yang menyamai standard antarabangsa, akan memandu industri itu supaya lebih berhemat dari segi perancangan dan pengurusan kos.

"Ia memang perkara baharu dalam industri dan kita perlu bersikap positif. Lazimnya apa yang diamalkan di negara maju merupakan amalan terbaik dan kita tidak ada pilihan tetapi melaksanakannya (liberalisasi)," katanya di sini, Ahad.

Beliau berkata dokumen baharu itu mengekalkan konsep dan prinsip yang sama dalam Kaedah Standard Pengukuran Kerja Kejuruteraan Awam Malaysia (CESMM), yang diperkenal pada 2003, namun mengandungi maklumat item dan teknikal yang lebih terperinci.

Dari segi penerimaannya, beliau berkata penggiat industri perlu menerima pakai standard pengukuran baharu itu secepat mungkin memandangkan mereka akan melalui liberalisasi industri pada 2015.

"Ia merupakan piawaian tempatan, sesuai dengan persekitaran dalam negara, dan terserahkanlah kepada penggiat industri tempatan untuk menggunakannya bagi meningkatkan diri supaya lebih memahami MyCESMM.

"Kita perlu membuat lonjakan dari segi masa memandangkan kita memperoleh kelebihan kerana berjaya melancarkannya sekarang."

Mohd Mazlan berkata menerusi MyCESMM, peserta tempatan akan menyedari bahawa standard baharu itu mengurangkan risiko, yang merupakan elemen penting dalam sesebuah projek.

"Semakin besar ketidaktentuan dalam dokumen projek, risiko dan harga oleh kontraktor akan lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata penyelarasan item dan memaklumkannya kepada orang ramai akan mengurangkan ketidaktentuan, mengurangkan risiko dan menjadikan kos lebih kompetitif.

"Saya berpendapat (elemen risiko) merupakan rasional terbesar pelaksanaan MyCESMM, selain pembidaan, pemantauan dan harga," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bahagian Juruukur Bahan Institut Juruukur Malaysia Eddie Wong Weng Hong berkata MyCESMM akan meningkatkan standard operasi syarikat tempatan jika mereka mematuhi sepenuhnya piawaian itu.

Tambahan pula, penggunaan sepenuhnya standard pengukuran itu akan membolehkan CIDB memperoleh maklum balas mencukupi untuk meningkatkan MyCESMM untuk dipeluaskan ke peringkat serantau.

Beliau berkata dalam Asean sendiri, banyak negara seperti Indonesia, Thailand Mynamar dan Filipina, tidak mempunyai standard pengukuran mereka sendiri dan menggunakan standard luar.

Beliau berkata MyCESMM ibarat dokumen buku warisan yang merangkumkan adat lama yang melambangkan budaya pembinaan tempatan.

"Orang asing apabila mereka datang (selepas liberalisasi) akan mengetahui ia adalah adat resam budaya pembinaan tempatan, kaedah kerja kita, cara kita mengukur dan kaedah pembayaran.

"Dan apabila mereka datang ke sini, mereka perlu ikut adat resam itu," katanya.

Beliau turut memuji CIDB yang mengeluarkan dokumen itu yang turut meliputi buku panduan MyCESMM dan Perpustakaan Deskripsi Standard BQ bagi MyCESMM.

"Ia merupakan set menyeluruh dan kegunaannya memudahkan industri," katanya.

- BERNAMA

Ahad, Disember 04, 2011

Cara Mencapai Internet kelajuan tinggi

SOALAN:

Bagaimanakah cara untuk membuat capaian Internet pada kelajuan yang tinggi?

JAWAPAN:

KELAJUAN capaian Internet bergantung kepada kapasiti akaun servis Internet yang dilanggan.

Namun begitu, terdapat beberapa kaedah atau panduan penggunaan komputer yang boleh diamalkan untuk dapatkan prestasi kelajuan capaian internet pada tahap optimum daripada kadar kapasiti yang dilanggan.

1. Cuba dapatkan masa yang sesuai untuk melayari Internet iaitu masa pada ketika dijangkakan tidak ramai orang-orang lain melayari internet seperti di awal pagi dan sebagainya.

2. Nyah pasangkan program-program tambahan atau add-on program pada pelayar web atau Internet yang digunakan.

Program-program tambahan ini akan memberi fungsi tambahan kepada pelayar internet dan seterusnya akan memberi kesan kepada kelajuan capaian Internet.

3. Sentiasa mengemaskini sistem pengoperasian yang digunakan. Pastikan sistem pengoperasian yang digunakan adalah versi yang terkini dan stabil.

4. Sentiasa mengosongkan kandungan cache yang terdapat pada pelayar Internet. Ini akan memberikan keadaan yang bersih pada komputer digunakan.

Di samping itu, kaedah sambungan Internet juga akan menjadi mudah dan berfungsi dengan lebih baik.

Ini kerana kandungan cache pada pelayar web akan mengambil banyak ruang yang terdapat dalam memori komputer memberi kesan buruk kepada prestasi komputer dalam memberi maklum balas pada permintaan sambungan Internet.

Sekiranya menggunakan capaian Internet tanpa wayar, pastikan penggunaannya selamat dan lokasi capaiannya juga dalam keadaan yang baik.

Ini kerana sekiranya ada orang lain yang menggunakan akaun internet tersebut akan menyebabkan capaian Internet menjadi perlahan.

Begitu juga dengan lokasi yang tidak baik akan menyebabkan isyarat capaian Internet akan menjadi lemah dan perlahan.

Pengurusan capaian jalur lebar internet juga boleh dilakukan dengan menggunakan aplikasi-aplikasi komputer seperti QoS Packet Scheduler bagi mendapatkan prestasi kelajuan Internet yang dikehendaki.

Bagaimana pun, ia perlu dikonfigurasikan dengan baik dan cekap.

Penggunaan pelayar web dengan konfigurasi dan penggunaan yang baik dan betul juga dapat menyumbang kepada pengoptimuman kelajuan capaian Internet.

Di samping itu, sekiranya prestasi komputer yang digunakan untuk melayari internet dapat ditingkatkan, ia juga boleh mempengaruhi kelajuan capaian Internet.

Peningkatan prestasi komputer boleh dilakukan seperti membuat penyelenggaraan yang teratur, kemas kini program-program komputer, mengimbas komputer dengan perisian keselamatan, membuang fail-fail yang tidak diperlukan dan lain-lain.

- UTUSAN

Semakan Keputusan Panggilan Temuduga Kursus Perguruan Lepas Ijazah KPLI jQAF Ambilan Jan 2012

Semakan Keputusan Panggilan Temu Duga KPLI-SR jQAF Ambilan Jan 2012 boleh dibuat di: http://apps1.moe.gov.my/kpli/tdjan2012/

Temuduga dari 12 - 16 Disember 2011. Sila bawa bersama Surat Panggilan Temu Duga , Borang Butiran Diri dan Helaian Penyataan Hasrat yang dicetak melalui Internet yang telah dilengkapi.

Bahagian Pendidikan Guru,
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
http://www.moe.gov.my




Rujukan:
IKLAN PENGAMBILAN KURSUS PERGURUAN LEPAS IJAZAH (KPLI j-QAF) JAN 2012 : http://myadha.blogspot.com/2011/09/pengambilan-kursus-perguruan-lepas.html

Sabtu, Disember 03, 2011

Negara Rugi RM9 Bilion Setahun Akibat Kemalangan Jalan Raya

Negara mengalami kerugian kira-kira RM9 bilion setahun atau dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar bernilai RM528 bilion pada tahun 2010 akibat kes-kes kemalangan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata isu keselamatan jalan raya merupakan isu sejagat dan dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian bagi golongan di bawah umur 16 hingga 25 tahun di dunia.

Menurutnya selain mencari jalan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian, MKJR juga mampu menyumbang sehingga 2 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya masalah kemalangan jalan raya dapat ditangani secara berkesan.

"Pertemuan hari ini merupakan peluang terbaik untuk melihat dan menilai semula isu-isu semasa keselamatan jalan raya termasuk kemajuan pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) Kali Ke-52 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MJKR Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Pengangkutan, Datuk Yap Kin Sian dan Ketua Pengarah JKJR merangkap Setiausaha Agung MKJR, Gerard Leslie Leon.

Kong berkata hasil daripada pelbagai kempen dan program kesedaran yang dijalankan secara berterusan oleh MKJR, kadar kematian jalan raya di negara menunjukkan penurunan.

Beliau berkata berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang Januari hingga September tahun ini, kadar kematian di kalangan pemandu dan penumpang kereta menurun 4.2 peratus berbanding tahun lepas.

"Bagi pejalan kaki pula, ia turun 14.6 peratus, pemandu dan penumpang bas lima peratus, manakala bagi pemandu atau penumpang van berkurangan sebanyak 24.1 peratus," katanya.

Bagaimanapun katanya kadar kematian bagi kategori penunggang dan pembonceng motosikal meningkat 5.4 peratus dan merupakan kategori terbesar yang mencatatkan kematian akibat kemalangan.

"Kadar kematian bagi tempoh Januari hingga September 2011 meningkat 1.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas, iaitu daripada 5,114 kepada 5,175 tahun ini," katanya.

Pada majlis yang sama hari ini, Kong meluluskan peruntukan RM140,000 kepada MKJR iaitu RM10,000 bagi setiap MKJR Negeri untuk membiayai aktiviti peningkatan kesedaran pengguna jalan raya terhadap pelaksanaan 'Automated Enforcement System (AES)' yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

- BERNAMA

Menangi Tiket Kelas Ekonomi MAS Melalui Peraduan

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) - Malaysia Airlines (MAS) memperkenalkan peraduan, "MAS, Fly Me There!" kepada pelanggan-pelanggan di Malaysia, Australia dan United Kingdom.

Untuk menyertai peraduan itu, "like", lembaran Facebook Malaysia Airlines dan klik tab "MAS, Fly Me There!" pada panel kiri laman web.

Kemudian pilih satu atau dua daripada destinasi-destinasi yang ditawarkan yang ingin anda kunjungi. Jika anda tinggal di Malaysia, buat pilihan untuk melawat sahabat handai anda di United Kingdom atau Australia, atau kedua-duanya.

Apabila selesai, peserta perlu meraih undi bagi keluarga dan sahabat mereka yang tinggal di negara-negara yang dipilih, melalui lembaran Facebook.

Seramai 10 peserta yang mendapat undi terbanyak bagi satu daripada dua destinasi berkenaan akan menjadi pemenang.

Setiap pemenang akan menerima dua tiket kelas ekonomi bagi penerbangan pergi balik ke destinasi tersebut, kata MAS dalam satu kenyataan hari ini.

Peraduan itu berakhir pada 18 Dis, 2011, dan pelanggan boleh melayari www.facebook.com/malaysiaairlines untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

- BERNAMA

Gelap mata tengok duit apabila menerima wang pinjaman

Oleh Ruhaiza Rusmin

SEORANG rakan penulis hampir pengsan melihat jumlah pinjaman berjumlah puluhan ribu ringgit yang terpaksa dibayar sepanjang tiga tahun belajar di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.

Senario menimpa rakan penulis itu bukanlah luar biasa kerana sebahagian besar mahasiswa gelap mata apabila menerima wang pinjaman setiap semester.

Biarpun tujuan utama pinjaman itu untuk meringankan bebanan sepanjang pengajian terutama membayar yuran, penginapan dan makanan, ramai tersasar dengan membeli barangan peribadi.

Akibat terlalu boros berbelanja dan mengikut hawa nafsu, ramai yang menderita kerana terpaksa membayar balik pinjaman.


Mahasiswa Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Zalikha Ismail, 22, berkata bukan tidak bijak merancang perbelanjaan namun godaan luar menyebabkan mereka hilang pertimbangan.

Menurutnya, sebagai orang muda, mereka tidak dapat menolak keinginan terhadap sesuatu sehingga gelap mata melihat wang.

“Sikap ini menyebabkan kami terjerumus kepada sikap boros hingga mengabaikan kepentingan sebagai pelajar. Pada masa sama, terlalu banyak sangat godaan yang menarik untuk berbelanja.

“Kami orang muda, sudah tentu mahu kelihatan cantik dan hebat di mata orang lain biarpun terpaksa berhabisan menggunakan pinjaman pendidikan,” katanya.

Bukan isu besar apabila mahasiswa mahu membelanjakan wang diterima namun menjadi sebaliknya jika membazir.

Antara faktor mengapa mereka boros berbelanja kerana pengaruh rakan dan persekitaran selain iklan yang menggoda di media massa.

Disajikan dengan kisah kehebatan, kewajaran dan keistimewaan menyebabkan golongan itu mencuba biarpun kemampuan membeli sangat terbatas.

Selain itu, pujukan atau ‘promosi hebat’ rakan juga pasti menggamit keinginan mahu mencuba biarpun terpaksa membelanjakan pinjaman atau meminta bantuan keluarga.

Dia berkata, meskipun ada kesedaran, sukar menepis godaan kerana tarikan lebih hebat daripada berfikir secara wajar.

“Setiap hari kami disogokkan dengan pelbagai kisah menarik dari pelbagai arah, bukan saja kami boleh kalah, malah orang lain yang mempunyai pendapatan tetap juga kecundang.

“Kekurangannya ialah kerana kami tidak mempunyai pendapatan tetap, itu yang memperlihatkan keburukan lebih ketara berbanding kelompok lain.

“Kami dilabelkan boros biarpun apa yang dibeli itu tidak mahal atau mampu dimiliki bersesuaian dengan bajet kewangan,” katanya mengakui kebanyakan mahasiswa juga sering berhabis untuk membeli keperluan belajar.

“Biarpun memperoleh pinjaman, ada kalanya ia tidak mencukupi terutama membiayai keperluan kursus tertentu. Itu juga salah satu sebab kewangan tidak mencukupi hingga terpaksa meminta dari ibu bapa.

“Namun, adakah masyarakat tahu keperluan kami? Saya percaya hanya sedikit yang memahami sedangkan lain beranggapan kami boros berbelanja dan menghabiskan wang sesuka hati.

“Biarpun mengakui ada yang terlebih boros, bukan semuanya untuk keseronokan semata-mata kerana lebih kepada keperluan pengajian,” katanya.

Adakah ini bermakna masyarakat tidak boleh menegur?

Katanya, mereka perlu lebih bersikap adil dan tidak terlalu prejudis apabila melihat mahasiswa membelanjakan duit.

“Bukanlah masyarakat tidak boleh berbuat demikian namun ada kalanya ia cukup tidak adil dan mengguris hati dengan tanggapan kurang benar.

“Adakah membazir membeli pakaian baru sedangkan ia satu keperluan. Percayalah, sebahagian besar kami tidak akan sewenang-wenangnya menghabiskan duit.

“Kebanyakan hanya membeli jika ia murah namun ada yang terlebih boros semata-mata untuk kepuasan diri atau tidak pandai menghargai duit,” katanya.

Mengenai gender pula, dia mengakui wanita lebih boros berbanding lelaki namun tertumpu pada pembelian tertentu seperti aksesori, tekstil dan kasut.

“Semuanya lebih menjurus untuk kelihatan bergaya dan cantik pada pandangan orang lain. Mungkin tidak kena pada masanya namun ini salah satu cara untuk tampil lebih berkeyakinan.

“ Berbanding lelaki yang sukakan gajet terkini, apa yang dibeli wanita masih berpatutan dan tidak boleh dipersoalkan keterlaluan,” katanya.

Rakannya, Mohd Ilham Ahmad, 23, dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, berkata menyekat kemahuan mahasiswa daripada terus berbelanja pasti tidak berguna kerana mempunyai sikap mahu mencuba dan bersaing.

Menurutnya, biarpun teguran masyarakat berniat baik, segelintir mahasiswa pasti tidak selesa dan menganggapnya sebagai hak individu.

“Duit diperoleh adalah hak masing-masing, justeru hujah mereka kukuh untuk mempertahankan tindakan itu tidak salah biarpun akibatnya buruk bagi jangka panjang.

“Ada kalanya, mentaliti mahasiswa ini dikongkong dengan rasa ego dan beranggapan sudah dewasa untuk mencorakkan kewangan sendiri, jadi tidak mahu masyarakat campur tangan.

“Mereka hanya akan tersedar jika akibatnya sudah buruk, pada masa itulah sedar bahawa nasihat diberikan bertujuan baik,” katanya.

- HARIAN METRO

YouTube perkenal reka bentuk laman baharu


SAN BRUNO, Amerika Syarikat (AS) - Laman perkongsian sosial YouTube memperkenalkan reka bentuk baharu kelmarin dengan paparan gaya program televisyen selain integrasi yang lebih baik dengan laman-laman web Google.

"Kami mencuba sedaya upaya mengabungkan ciri terbaik televisyen dengan ciri terbaik Internet," kata timbalan presiden pembangunan produk YouTube, Shishir Mehrotra di pejabat YouTube di sini.

"Terma video atas talian tidak lagi akan digunakan kerana video boleh ditonton dengan menggunakan pelbagai gajet," tambahnya.

Untuk mengukuhkan kenyataan tersebut, pengurus produk kumpulan YouTube, Shiva Rajaraman melakukan demonstrasi menonton klip video YouTube menerusi konsol permainan video Microsoft, Xbox360 yang disambungkan pada Internet.

Laman utama baharu YouTube menampilkan beberapa saluran yang dihasilkan oleh pelbagai sumber bermula daripada penggemar klip video hingga kepada stesen televisyen profesional atau studio perfileman.

- AFP

Recent Posts