Selasa, Disember 06, 2011

Terengganu sedia pinjaman rakyat bina rumah

KUALA TERENGGANU 5 Dis. - Satu lagi khabar menggembirakan untuk rakyat negeri ini apabila kerajaan negeri mengumumkan penyediaan Dana Pinjaman Perumahan Rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan buat permulaan dalam usaha memberi lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah yang mereka idamkan.

Skim berasaskan syariah yang kini sedang diperhalusi kaedah pelaksanaan dan syarat pinjamannya itu akan membolehkan setiap pemohon meminjam sehingga RM50,000.

"Langkah ini membuktikan kerajaan sangat prihatin terhadap keperluan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri," katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa Ucapan Bajet 2012 pada sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Katanya, kemudahan itu disediakan setelah mengambil kira rakyat yang memiliki tanah tetapi tidak berkemampuan membina rumah di atas tapak berkenaan.

''Ini kerana mereka tidak boleh mendapat pinjaman daripada institusi kewangan disebabkan tidak ada berpendapatan tetap.

''Bagi membantu golongan terbabit yang bakal memenuhi syarat yang ditetapkan kelak, kerajaan negeri setuju diadakan dana pinjaman," ujarnya.

Ia merupakan pendekatan terbaharu kerajaan negeri selain meneruskan program pembangunan perumahan yang menjadi agenda utama memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 10,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun mulai 2008 dan sehingga kini 23 projek rumah kos rumah dan rumah mampu milik melibatkan 6,737 unit telah dilaksanakan dengan kos RM659.73 juta.

''Pada tahun depan, RM80 juta diperuntukkan untuk meneruskan projek-projek sambungan dan memulakan pelaksanaan tujuh projek yang melibatkan pembinaan 2,277 unit rumah," ujarnya.

- UTUSAN

Buku Taking The Bull By The Horns - A Journey Of Cancer Survivors - nukilan pesakit kanser


SETIAP insan ada kisahnya yang tersendiri. Kisah itu pastinya akan diabadikan dalam diri menjadi satu sejarah kenangan silam. Sama ada pahit dan manis, pengalaman itu bergantung kepada kedudukan kisah yang dialami.

Begitupun tidak semua sanggup mengalami pengalaman yang pahit apatah lagi menjadi pesakit kanser payu dara. Sebutlah kepada semua wanita pun, tiada siapa yang mahu menjadi mangsa kepada penyakit ini, namun sekiranya ia telah ditakdirkan kepada diri, apa yang perlu ialah menangani krisis kesihatan ini dengan cara yang positif.

Sewajarnya, apabila pengalaman pahit itu digarap menjadi sebuah buku hasil nukilan daripada bekas-bekas pesakit kanser untuk tatapan pembaca, semangat seperti ini sepatutnya harus diberikan pujian.

Memandangkan hanya mereka yang mengalami detik disahkan sebagai pesakit kanser payu dara sehingga ke jajaran seterusnya, berubat yang mengakibatkan keadaan emosi berlarutan adalah pengalaman yang perlu dibaca dan diambil tahu bukan sahaja oleh pesakit kanser, malah setiap ahli keluarga yang pernah mengalami keadaan ini atau yang sedang menghadapi masalah itu mahupun yang tidak pernah melaluinya.

Justeru dengan adanya buku bertajuk Taking The Bull By The Horns - A Journey Of Cancer Survivors yang ditulis oleh pesakit-pesakit kanser payu dara yang sekarang berada di pasaran sedikit sebanyak membantu insan-insan yang memerlukan sokongan dalam permasalahan ini khususnya.

Menurut Profesor Madya Dr. Halimahton Shaari, 53, buku istimewa itu merupakan himpunan kisah-kisah perit 21 penulis wanita yang terdiri daripada bekas pesakit kanser payu dara.

Jelasnya, hasil tulisan penulis-penulis ini memang bersandarkan dari hati memandangkan mereka yang menulisnya terdiri daripada kisah benar pengalaman individu itu sendiri dalam menangani masalah kanser payu dara sejak mereka didiagnos, bagaimana perasaan mereka, sehinggalah ke proses perubatan, kemoterapi dan sebagainya.

Kata Halimahton, buku nukilan ini seharusnya dibaca oleh semua masyarakat kerana ia berlandaskan kepada pengalaman sebenar pesakit kanser payu dara dalam mengharungi detik-detik kepahitan melawan penyakit berkenaan.

Beliau yang merupakan penulis utama buku berkenaan memberitahu, inisiatif untuk melahirkan buku seperti ini adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran dan maklumat kepada orang ramai mengenai kanser payu dara serta berkongsi maklumat pengalaman sebenar menjadi pesakit kanser berkenaan.

''Apabila kita menerima kanser ini, ia bukanlah penghalang untuk kita hidup. Saya sendiri didiagnos sebagai penghidap kanser payu dara pada tahun 2009 apabila merasa ketulan di payu dara saya.

''Biarpun pada mulanya saya menganggap ia diakibatkan perubahan hormon terutama ketika saya didatangi haid, namun seterusnya saya bertindak melakukan mamogram dan doktor mengesahkan saya menghidap kanser payu dara tahap kedua," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bertugas sebagai seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Komunikasi dan Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Halimahton memberitahu, dia tidak menafikan sebaik menerima khabar daripada doktor yang dirinya didiagnos menghidap kanser payu dara, hanya kematian yang berada di fikirannya.

Ujarnya, di sinilah betapa pentingnya kumpulan sokongan bagi pesakit-pesakit kanser payu dara untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan panduan dan paling penting di saat mereka menghadapi masalah ini, mereka tidak keseorangan.

Jelasnya, pada mulanya projek Buku Taking The Bull By The Horns ini diilhamkan oleh Presiden Pink Unity pada waktu itu, Datin Azura Tan Sri Bahaman yang kemudian direalisasikan oleh para ahli dalam Pink Unity itu sendiri. Kini terdapat kira-kira 250 ahli dalam Pink Unity yang merupakan kumpulan sokongan bagi pesakit kanser payu dara yang bernaung di bawah Persatuan Kanser Kebangsaan.

''Buku setebal 158 muka surat ini dijual dengan harga RM23 sahaja menggunakan bahasa Malaysia dan Inggeris dan semua hasil jualan akan diberikan kepada Pink Unity untuk digunakan sebagai kerja-kerja kebajikan dalam menangani kes-kes kanser payu dara.

''Buku ini telah dilancarkan pada 3 November lalu dan kini telah berada di pasaran," katanya.

Sementara itu rakannya yang juga turut menyumbangkan karyanya untuk buku berkenaan, Mariana Hussein, 49, memberitahu, dia menerima berita yang disahkan sebagai pesakit kanser payu dara tahap ketiga pada tahun 2007.

Sejak itu, Mariana melalui pelbagai proses perubatan sebagaimana pesakit kanser payu dara lain.

''Saya rasa tidak semua orang boleh berhadapan dengan keadaan ini sekiranya tiada sebarang bentuk sokongan kepada pesakit kanser. Di sini perlunya bantuan ahli keluarga dalam memberikan sinaran positif buat pesakit kanser meneruskan kehidupan mereka.

''Memandangkan itu, dengan terbitnya buku seperti ini pastinya sedikit sebanyak membantu ahli keluarga yang mahukan penjelasan mengenai penyakit berkenaan dan bagaimana mengharungi hidup dengan penyakit tersebut," jelas ibu kepada dua cahayamata yang berasal dari Kedah ini.

Menurutnya, antara lain aktiviti Pink Unity ialah mengadakan lawatan ke rumah pesakit kanser, lawatan ke hospital dan melakukan program out reach atau kesedaran mengenai penyakit berkenaan kepada orang ramai.

Kepada mereka yang mahu memiliki buku Taking The Bull By The Horns - A Journey Of Cancer Survivors boleh menghubungi Pink Unity sendiri mahupun talian 012-2105070 (Mariana) atau 016-311 1958 (Halimahton) untuk pertanyaan lanjut.

- UTUSAN

Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 - LPT2 siap 2014


Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang menghubungkan Jabor di Kemaman dengan Gemuruh di sini dekat sini dijangka siap dan boleh digunakan sepenuhnya pada 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, projek pembinaan itu sepatutnya siap lebih awal tetapi terpaksa ditangguhkan beberapa kali ekoran masalah kontraktor yang dilantik.

Bagaimanapun katanya, pembinaan lebuh raya sejauh 183 kilometer itu telah siap 73 peratus dengan melibatkan kos sebanyak RM2.36 bilion.

- KOSMO!

Facebook LPT Fasa 2
http://www.facebook.com/pages/Projek-Lebuhraya-Pantai-Timur-Fasa-2/158561804200620

Daftar i-Akaun mudahkan semak simpanan KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggalakkan lebih ramai ahlinya untuk mendaftar dalam i-Akaun bagi memudahkan mereka menyemak jumlah simpanan masing-masing pada bila-bila masa mulai 1 Januari 2012.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, i-Akaun merupakan akaun peribadi dalam talian untuk ahli dan majikan menjalankan transaksi terpilih melalui laman web myEPF dengan selamat.

"Mendaftar sebagai pengguna i-Akaun melibatkan langkah mudah di mana ahli perlu mendaftar di kios atau cawangan KWSP untuk mendapatkan kod pengaktifan.

"Untuk majikan, mereka perlu mendaftar melalui myEPF sebelum mendapatkan kod pengaktifan di cawangan KWSP pilihan. KWSP menyeru ahli dan majikan yang belum memiliki i-Akaun supaya mendaftar agar dapat melakukan transaksi dengan selesa dari rumah atau pejabat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kemudahan itu diperkenalkan bagi mengurangkan kes ahli yang terlepas pandang untuk mengemas kini penama apabila berlaku perubahan seperti berkahwin, bercerai atau melahirkan anak.

"Kegagalan mengemas kini akan membawa masalah sekiranya ahli meninggal dunia. Ahli juga dinasihatkan supaya menyemak butiran penama seperti ejaan nama, nombor MyKad dan peratusan agihan kepada setiap penama.

"Bagi membolehkan penama dimasukkan dalam penyata 2011, ahli perlu mengisi borang KWSP 4C yang boleh diperolehi Januari depan. Untuk penamaan baru, ahli perlu menyatakan persetujuan mereka dalam borang KWSP 4 yang pelu diserahkan sebelum 30 Januari 2012," katanya.

Selain itu Nik Affendi berkata, ahli juga boleh menyemak dan mencetak penyata KWSP bagi memantau transaksi simpanan serta memastikan caruman yang dibayar tepat pada masanya.

"Kemudahan ini juga disediakan kepada majikan untuk menyemak senarai pekerja yang telah dibayar carumannya selain mendaftarkan pekerja baru.

"Majikan juga boleh menyemak nombor KWSP pekerja, memuat turun borang caruman pra-cetak dan mengira dividen caruman bahagian majikan (untuk majikan kerajaan)," ujarnya.

Laman Web KWSP : http://www.kwsp.gov.my

Makan Gaji Atau Jadi Usahawan?

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

BEKAS Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pernah berkata seseorang itu hanya boleh menjadi kaya-raya atau bergelar jutawan dengan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan bukan dengan makan gaji.

Khaled memahami akan keadaan itu dan kini Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diterajuinya memperkenalkan Teras Pertama Dasar Pembangunan Keusahawanan pada 13 April 2010.

Ia adalah satu penekanan bagi IPT agar melahirkan usahawan di kalangan graduan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara menerusi pembinaan dan pengukuhan keusahawanan dalam Model Baru Ekonomi (MBE).

Ini juga selaras dengan rangka strategi untuk mewujudkan sebuah ‘Entrepreneurial University’ atau universiti keusahawanan, seperti yang dinyatakan oleh Khaled baru-baru ini.

Sebagai contoh, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mewujudkan Pusat Pembangunan Keusahawanan Malaysia (MEDEC) pada tahun 1975.

Peranan UiTM dalam membantu kerajaan menjalankan aktiviti pembangunan keusahawanan terus berkembang menerusi penubuhan unit lain seperti Institut Tunas Mekar (Tunas Mekar) dan Pusat Sokongan Penyelidikan Keusahawanan (ERCS).

Universiti itu telah melantik seorang Penolong Naib Canselor khusus untuk keusahawanan dan menubuhkan Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Keusahawanan (MASMED) pada April tahun lalu.

Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) UiTM, Prof Dr Razmi Chik berkata, MASMED merupakan usaha universiti berkenaan menaikkan taraf pusat keusahawannya kepada sebuah akademi.

“Ia juga adalah sebagai satu induk kepada pembangunan keusahawanan lebih baik menerusi dengan menggabungkan Tunas Mekar dan ERCS.

“MASMED berfungsi untuk melestarikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menjadi pemangkin menerapkan pendidikan keusahawanan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di UiTM,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Aset utama

Dr Razmi berkata, teras bagi KPT adalah untuk melahirkan modal insan, proses pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan keusahawanan.

“Bagaimana untuk kita memulakan ‘perdagangan’ usahawan di universiti? Kita tidak mahu bidang keusahawanan hanya disertai pelajar-pelajar yang mengikuti kursus berkaitan sahaja seperti Fakulti Pengurusan Perniagaan.

“Kita mahu memperluaskannya kepada kursus dan fakulti lain. Saya melihat matlamat ini dapat dilakukan menerusi pendekatan MASMED,” katanya mengenai UiTM tidak perlu menambah subjek keusahawanan tetapi menerapkan elemen berkenaan dalam modul pembelajaran atau pengajaran mereka.

Menurut Razmi, universiti itu mempunyai lebih 580 subjek yang terdiri daripada pelbagai bidang namun MASMED mampu memberi sedikit sentuhan keusahawanan.

“Ini mewujudkan kebolehpasaran graduan apabila mereka mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang boleh digunapakai dalam bidang yang diceburi meskipun bukan menjadi seorang usahawan.

“Penjanaan ciri berkenaan dalam diri mereka akan membentuk satu daya untuk perkembangan kerjaya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menambah, MASMED yang dilancarkan oleh Khaled pada 18 Oktober lalu bukan sekadar melahirkan usahawan di kalangan graduan atau memberi latihan atau kepakaran dalam bidang keusahawan.

“Namun sebaliknya, kita juga menerapkan ciri-ciri keusahawan dalam diri seorang tanpa mereka perlu menjadi seorang usahawan.

“Graduan itu mungkin bekerja makan gaji tetapi dia menjadi seorang yang proaktif, kreatif, inovatif dan berani mengambil risiko serta berdaya tahan mendepani cabaran.

Dr Razmi bagaimanapun menjelaskan bahawa keusahawanan merupakan satu bidang yang dinamik dan sangat peka terhadap perubahan sekeliling.

“Begitu juga dengan mereka yang tidak menjadi usahawan tetapi mempunyai kualiti keusahawanan membantu kepada perkembangan kerjaya dan organisasi.

“Walaupun sekadar makan gaji tetapi menjana kejayaan terhadap syarikat di mana mereka bekerja dan ia memberi kesan kepada keuntungan syarikat,” katanya.

Untuk semua

Skop keusahawanan juga semakin meluas tanpa menampilkan figura usahawan secara streotaip dengan banyak bidang boleh diterapkan dengan nilai-nilai itu.

Sebagai contoh, segelintir masyarakat berpandangan Fakulti Seni Persembahan hanya melahirkan pelakon atau mereka yang bekerja di belakang tabir industri itu.

“Namun sebenarnya fakulti ini juga boleh menjadi graduannya untuk menjadi produser yang terlibat dalam perniagaan menerusi penerbitan karya seni seperti filem.

“Menerusi MASMED, kita membentuk graduan agar berfikiran kreatif dan inovatif tanpa membataskan perkara yang dilihat di hadapan mata sahaja,” katanya.

- MSTAR

Saintis sahkan glasier cair di Himalaya


KATHMANDU, Nepal - Berjuta-juta orang terancam akibat glasier cair di banjaran Himalaya, menurut beberapa saintis yang melakukan kajian menyeluruh mengenai perubahan iklim di rantau berkenaan.

Penemuan yang disiar dalam tiga laporan Pusat Antarabangsa bagi Integrasi Pembangunan Pergunungan (ICIMOD) itu menunjukkan glasier Nepal mengecil sebanyak 21 peratus manakala glasier Bhutan menyusut 22 peratus sejak lebih 30 tahun lalu.

Siri laporan berkenaan yang dibentangkan di mesyuarat iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Durban, Afrika Selatan, kelmarin merupakan pengesahan rasmi pertama mengenai tahap kecairan glasier di Banjaran Himalaya.

Ia menyusul selepas pengumuman beberapa saintis pada 2007 bahawa glasier di rantau berkenaan akan hilang menjelang 2035.

Satu kajian selama tiga tahun yang dibiayai kerajaan Sweden diketuai ICIMOD menunjukkan 10 glasier di rantau itu sedang mengecil dengan penyusutan besar berlaku antara tahun 2002 dan 2005.

Satu kajian lagi mendapati terdapat pengurangan besar dalam jumlah kawasan dilitupi salji di rantau berkenaan dalam tempoh sedekad lalu.

"Laporan-laporan ini menyediakan asas baharu selain maklumat lokasi spesifik untuk memahami perubahan iklim yang berlaku di kawasan ekosistem antara paling rapuh di dunia (banjaran Himalaya)," kata pengerusi panel antarabangsa mengenai perubahan iklim (IPCC), Rajendra Pachauri.

- AFP

Hijrah: Merancang hidup lebih baik

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

SETIAP kali memasuki tahun baharu Islam, umat Islam sepatutnya memiliki semangat baharu untuk merancang dan melaksanakan hidup ini secara yang lebih baik dan terancang.

Ingatlah apa yang diucapkan oleh sahabat Rasulullah SAW, Sa'ad bin Rabi': "Aku adalah penduduk Madinah (Ansar) yang kaya raya."

Ucapan itu ditujukan kepada Abdul Rahman bin 'Auf (Muhajirin). Sa'ad tidak bermaksud menyombongkan dirinya, tetapi hendak meyakinkan Abdul Rahman agar mahu menerima tawarannya.

"Silakan pilih separuh hartaku dan ambillah," tegas Sa'ad. "Semoga Allah memberkati harta anda. Tunjukkan lokasi pasar agar aku dapat berniaga," ujar Abdul Rahman.

Rakaman peristiwa dan dialog antara Sa'ad dan Abdul Rahman itu sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik, ketika Rasulullah SAW mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah.

Sa'ad adalah penduduk Madinah, sedangkan Abdul Rahman termasuk kaum Muhajirin. Sa'ad bukan sahaja seorang kaum Ansar yang menjadi penolong kaum Muhajirin tetapi ramai lagi.

Dengan semangat penghayatan persaudaraan Islam, ketika umat Islam Mekah berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah, umat Islam Madinah dengan sukacita menyambut kedatangan mereka, memberi bantuan dan bersama-sama membangun negeri Islam Madinah.

Keindahan ukhuwah Islamiah kaum Muslimin generasi awal itu, antara Ansar dan Muhajirin, seakan-akan nampak di hadapan mata kita ketika memasuki tahun baharu Hijrah 1433 ini.

Kitapun sayugia bermuhasabah diri menghayati kembali hikmah di sebalik peristiwa hijrah yang dijadikan momentum awal perhitungan tahun hijriah.

Tahun hijriah mulai berlaku pada masa khalifah Umar bin al-Khattab di mana saidina Ali bin Abu Talib yang mencadangkannya, kemudian disetujui oleh para sahabat.

Sebelumnya dipergunakan tarikh tahun Masihi yang diambil dari gelaran Nabi Isa al-Maseh atau messiah ibrani.

Penetapan nama Tahun Hijrah (al-sanah al-hijriah) merupakan kebijaksanaan khalifah Umar.

Seandainya beliau bercita-cita mengabadikan namanya dengan menamakan tarikh itu dengan 'Tahun Umar' sangatlah mudah baginya melakukan hal itu.

Namun Umar tidak mementingkan keharuman namanya atau membangga diri sebagai pencetus idea sistem pentarikhan Islam tersebut.

Sebaliknya, beliau menjadikan pentarikhan itu sebagai zaman baharu pengembangan Islam.

Sebabnya, tarikh itu mengandung makna batiniah dan nilai-nilai sejarah yang amat tinggi harganya bagi agama dan umat Islam.

Dalam buku Kebangkitan Islam dalam Pembahasan (1979), Sidi Gazalba, cendekiawan Islam Malaysia menuliskan: "Dipandang daripada ilmu strategi, hijrah merupakan taktik. Strategi yang hendak dicapai adalah mengembangkan iman dan mempertahankan kaum mukminin."

Hijrah adalah momentum perjalanan menuju daulah islamiah yang membentuk tatanan masyarakat Islam, yang diawali dengan eratnya jalinan solidariti sesama Muslim (ukhuwah Islamiah) antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar.

Jalinan ukhuwah yang menciptakan integrasi umat Islam yang sangat kukuh itu membawa Islam mencapai kejayaan dan mengembangkan sayapnya ke berbagai penjuru bumi.

Kaum Muhajirin-Ansar membuktikan ukhuwah Islamiah boleh membawa umat Islam berjaya dan disegani.

Dapat difahami, umat Islam sekarang yang tidak disegani oleh musuh-musuhnya, menjadi umat yang tertindas, serta menjadi bahan permainan umat lain, antaranya adalah akibat jalinan ukhuwah Islamiah yang tidak seerat kaum Muhajirin-Ansar.

Daripada situlah mengapa konsep dan hikmah hijrah perlu diulang kaji dan diamalkan oleh umat Islam.

Setiap pergantian waktu, hari demi hari, hingga tahun demi tahun, biasanya mewujudkan harapan baharu akan keadaan yang lebih baik.

Membaiki diri

Setiap Muslim dituntut menjadi umat yang lebih baik daripada hari ke hari.

Hadis Rasulullah yang sangat popular menyatakan maksud: "Barang siapa yang hari ini lebih baik dari kelmarin, adalah orang yang beruntung. Bila mana hari ini sama dengan kelmarin, bererti orang yang merugi, dan jika hari ini lebih buruk dari kelmarin, adalah orang yang celaka."

Firman Allah SWT bermaksud: Hendaklah setiap diri memperhatikan (melakukan muhasabah diri) tentang apa-apa yang telah diperbuatnya untuk menghadapi hari esok (akhirat). (al-Hasyr: 18).

Tahun baharu hijriah umat Islam boleh merancang hidup agar lebih baik iaitu mengubah perbuatan dan tingkah laku buruk menjadi baik, melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

"Muhajir adalah orang yang meninggalkan segala larangan Allah," sabda Rasulullah. Bermakna kita mengubah dan mengambil berat terhadap kaum yang lemah dengan semangat zakat, infak, membantu saudara kita, bersedakah dan sebagainya.

Selain itu juga mengubah permusuhan dan konflik sesama Islam menjadi persaudaraan dan kerjasama serta perpaduan ummah. Menolong umat Islam di bumi Palestin, Somalia dan lain-lainnya.

Mengubah pola hidup yang malas menjadi rajin bekerja, mengelak penipuan dan rasuah, mengubah hidup pengangguran menjadi pekerja, dan tidak bergantung pada belas kasihan orang lain.

Lihat bagaimana teladan yang ditunjukkan oleh Abdul Rahman bin 'Auf, dengan semangat usahanya, ia memilih untuk mencari nafkah hidupnya dengan usahawan niaga di pasar daripada menerima tawaran dan belas kasihan orang lain (Sa'ad bin Rabi'), walaupun ditawar dengan harta kekayaan dan wanita untuk dijadikan isteri.

Hikmah hijrah harus menjadi titik perubahan bagi umat Islam, dari permusuhan menjadi persaudaraan dan persahabatan serta perpaduan bangsa dan negara.

Semangat hijrah harus menjadi titik peralihan pilihan dalam era politik dan pemerintahan yang tidak baik kepada yang lebih baik.

Dengan kekuatan iman dan persaudaraan ukhuwah Islamiah seperti kaum Muhajirin dan Ansar, umat Islam boleh menjadi ummatan wasata yang menjadi saksi kepada seluruh umat manusia.

Oleh sebab itu, Allah dan Rasul-Nya serta umat muslimin menjadi saksi atas segala perbuatan kita.

- UTUSAN

Isnin, Disember 05, 2011

Video Cikgu Shida kena godam

PARIT: “Saya tidak sangka ada pihak sanggup menggodam dan memadamkan video miming yang melonjakkan nama saya,” kata ratu ‘miming’, Roshida Abd Aziz atau lebih popular dengan panggilan Cikgu Shida.

Cikgu Shida berkata, penggodam yang berjaya mengesan kata laluan miliknya memadamkan video miming lagu Kalau Berpacaran yang dimuat naik di laman Youtube sehingga mencecah sejuta pengunjung itu.

“Saya kesal dan sedih dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu kerana hasil kerja seni saya terpadam begitu saja.

“Namun saya tidak patah hati dengan kejadian itu yang berlaku dua bulan lalu. Peminat bagaimanapun boleh menyaksikan video itu di blog baru saya iaitu ‘Cikgu Shida Miming Art’ menggantikan ‘Cikgu Shida dari Parit’,” katanya.

Cikgu Shida yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah, dekat sini, berkata melalui blog itu peminat boleh melihat 67 klip video miming nyanyian pelbagai artis popular tanah air, termasuk dari Indonesia.

- HARIAN METRO

Telur tingkatkan ingatan

AYAM dan telurnya sudah lama menjadi antara pilihan diet yang baik dalam menu makanan sihat.

Kajian terbaharu mendapati bahawa seseorang yang mengambil makanan tersebut mampu untuk meningkatkan memori pada otak manusia.

Sekumpulan saintis Universiti Boston, Amerika Syarikat mendapati bahawa, kandungan zat kolin dalam telur didapati boleh melambatkan proses penuaan otak.

Nutrien yang terdapat dalam kumpulan vitamin B itu banyak ditemui dalam makanan seperti ayam, telur, ikan air masin dan kekacang.

"Diet yang kaya kolin dapat membuatkan perbezaan usia pada otak," kata Ketua Penyelidik, Dr. Rhoda Au.

Hasil kajian tersebut mendapati bahawa selain faktor pendidikan, kandungan lemak dan kalori, pengambilan kolin dapat meningkatkan memori seseorang.

Pada umumnya, seorang lelaki memerlukan kira-kira 550 miligram (mg) kolin setiap hari, manakala perempuan perlu mengambil kolin kira-kira 425 mg sehari.

- KOSMO!

Sukan SEA 2011 jadi pilihan utama pengguna Google

Sukan SEA 2011 yang berlangsung di Indonesia mencatat jumlah carian tertinggi di kalangan rakyat tempatan melalui penyedia enjin carian maklumat dan pengiklanan Internet, Google Malaysia (Google) bagi sepanjang November lalu.

Google dalam satu kenyataan semalam mendapati, pengguna di Malaysia tertarik untuk mendapatkan maklumat mengenai Sukan SEA Ke-26 itu mungkin didorong oleh acara bola sepak yang menyaksikan Malaysia berjaya mengekalkan kejuaraan dengan menewaskan Indonesia selain prestasi baik kontinjen negara mengutip 59 pingat emas, 50 perak dan 82 gangsa.

Kenyataan itu menambah, carian mengenai pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie Lavocah pula menduduki tempat kedua manakala pertembungan Harimau Muda dan Indonesia dalam Pertandingan Bola Sepak Sukan SEA 2011 mencatat kedudukan ketiga tertinggi.

- KOSMO!

Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) - Pengiktirafan kepada orang muda

Oleh Ruhaiza Rusmin

AKHIRNYA Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sentiasa hangat dan kontroversi di kalangan mahasiswa dipinda bagi memberi kelonggaran golongan itu berpolitik.

Pindaan itu ibarat satu kemenangan peribadi kepada mahasiswa yang selama ini berjuang mendapat kebebasan berpolitik dan bersuara.

Apakah pindaan ini bakal membawa dimensi baru kepada golongan itu bagi memartabatkan peningkatan minda mahasiswa terhadap perjalanan politik negara atau sebaliknya?

Atau apakah pindaan AUKU mampu mengembalikan kegemilangan zaman mahasiswa era 70-an yang gah dengan pelbagai isu dan perjuangan?

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zaid Ahmad, berkata pindaan itu mencerminkan keprihatinan pihak terbabit mahu melahirkan mahasiswa alaf baru yang peka, rasional, berani dan matang dalam menilai perjalanan politik.


Beliau berkata, meskipun pindaan itu bukan secara keseluruhan, ia cukup memberi kebebasan bersuara dalam menzahirkan sesuatu isu selain kepentingan memberi bimbingan secara betul.

“Pindaan itu ibarat bonus kerana selama ini berada dalam situasi dikongkong dan terikat jika mahu melahirkan pendapat mengenai sesuatu isu politik. Kini, halangan itu tiada menjadikan hak bersuara semakin bebas.

“Meskipun aspek kepartian di kampus masih tetap dilarang, pembaharuan ini permulaan yang baik bagi golongan itu mencerminkan tahap intelektual dalam isu politik berbangkit.

“Ia memberi senario sebenar mengenai politik dari kaca mata mahasiswa, masyarakat dan individu. Namun, lebih penting ia memberi bimbingan kepada golongan itu dengan cara betul dan teratur, “ katanya.

Pindaan itu membolehkan mahasiswa lebih terbuka dalam mengutara atau terbabit dalam perjalanan isu politik negara selain merealisasikan hasrat mereka menjadi sebahagian kelompok masyarakat sebenar.

AUKU yang digubal pada 1971 dijadikan ‘senjata’ untuk mendiamkan mahasiswa daripada terus lantang mengkritik kerajaan atau dijadikan kuda tunggangan golongan berkepentingan.

Akta ini diusulkan selepas kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 bagi mengekang peranan pelajar terutamanya pembabitan mahasiswa dalam pilihan raya 1969.

Ironinya, AUKU sering kali dikaitkan dengan kebangkitan mahasiswa pada era 1960 an yang ketika itu terlalu lantang mengkritik dan berdemonstrasi.

Pada 1940-an, semangat berpolitik berpunca pengalaman mahasiswa dengan suasana Perang Dunia Kedua yang turut ditempuhi Tanah Melayu manakala kelantangan mahasiswa era 1950-an akibat pengalaman era kemerdekaan.

Era 1960-an dan 1970-an pula menyaksikan kebang­kitan mereka didasari pengalaman bekerja sebagai guru pendidik di luar bandar sebelum melanjutkan pengajian di universiti hingga menimbulkan kesedaran nasional.

Ditanya adakah pindahan itu akan menyebabkan perkara sama berlaku, beliau berkata tidak boleh membandingkan senario mahasiswa dulu dan kini kerana mereka berbeza era serta ideologi.

“Dulu, kemungkinan untuk menyuarakan segala pendapat atau isu sangat terhad, hanya melalui medium tertentu saja mereka mampu menyampaikan idealisme.
Masyarakat pada waktu itu mungkin juga tidak terdedah seperti hari ini.

“Keadaan sekarang berbeza, masyarakat lebih terbuka manakala segala sumber maklumat bagaikan berada di hujung jari. Mahasiswa juga sudah semakin matang dan bijak menilai.

“Pendapat saya, apa yang diingini mahasiswa hanyalah pengiktirafan, justifikasi yang betul serta tidak keterlaluan dikongkong kerana mereka juga manusia.
Kongkongan itu hanya menyebabkan keadaan bertambah buruk,” katanya.

Secara amnya, katanya politik boleh dibahagikan kepada dua iaitu politik kuasa dan nilai yang sangat berbeza kepentingannya.

Politik kuasa merujuk kepada kekuasaan manakala nilai pula tidak mementing­kan kemuncak kekuasaan sebaliknya keadilan hak, kebebasan, hak bersuara, hak berkumpul, hak berpersatuan, hak untuk hidup, hak untuk menikmati pembangunan.

“Mahasiswa kebiasaannya lebih tertumpu pada politik nilai kerana tahu di mana tahap kemampuan mereka. Malangnya masyarakat pula tidak tahu dan menganggap, jika terbabit dalam politik bermakna mereka menyebelahi parti tertentu.

“Stigma itu perlu diperbetulkan kerana bertenta­ngan dengan definisi politik sedangkan ia mencakupi makna luas bukan hanya mementingkan kekuasaan, keistimewaan atau kekebalan, sebaliknya pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Merujuk kepada mahasiswa yang disifatkan sebagai bangsa terpelajar, mempu­nyai gagasan pemikiran dan tindakan, beliau berkata, pembabitan dalam politik adalah pembelajaran paling mudah membantu golongan terbabit memahami lebih mendalam proses serta struktur pentadbiran negara.

“Terbabit dengan politik bukan bermakna lantang menolak kepimpinan sedia ada atau menjadi orang te­ngah bagi pihak tertentu, ia turut menjurus kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat dan lebih praktikal.

“Malah, ia lebih baik kerana mereka dapat merasai suasana sebenar. Perkongsian maklumat bersifat akademik dan tidak menggugat keamanan boleh melahirkan generasi cemerlang serta berwibawa pada masa depan.

“Justeru, tidak perlu disekat keterlaluan kerana ini akan ‘membunuh’ nilai kepimpinan mereka. Paling penting, berikanlah mereka bimbingan,” katanya.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Ahmad Muzzammil Muhd Hairi, berkata pindaan itu bakal melonjakkan lagi kewibawaan dan kualiti mahasiswa.

Sebagai golongan intelektual, katanya mereka mahukan kebebasan dalam melahirkan pendapat dan tidak disekat kerana boleh merencatkan pengembangan minda.

“Mahasiswa adalah barisan hadapan yang bakal mengemudi negara, mereka perlukan pengalaman bagaimana menjadi generasi pelapis. Jika semuanya disekat, ia sukar dicapai.

“Sekatan akan menjadikan mereka tambah ekstremis, bukan itu yang diperlukan negara. Pindaan dilakukan diharap mampu melahirkan mahasiswa cemerlang.

“Kami hanya mahu diiktiraf secara adil sebagai pemerhati dan memperjuangkan nilai positif di kalangan masyarakat terutama generasi muda,” katanya.

Bagaimanapun dia berharap pindaan itu bukan gimik semata - mata bagi mengaburi pihak tertentu.

“Kami adalah aset, jika diperkotak katikkan, sama seperti memusnahkan masa depan negara,” katanya.



INFO:
AUKU yang diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan Parlimen pada 17 Mac 1971 sudah beberapa kali dipinda pada tahun berlainan seperti 1971 (Akta 80) , 1975 (Akta A295), 1983 (Akta A550), 1996 (Akta A496).

Bagaimanapun pindaan yang dibuat pada 1975 paling ketara kerana ia melarang sama sekali mahasiswa terbabit dalam politik.

Kali terakhir AUKU dipinda pada 2009.

- HARIAN METRO

Muzium Kapal Selam di Melaka


NEGERI ‘Hang Tuah’ tidak pernah jemu dikunjungi pelancong dari dalam negeri mahupun luar negara.

Kota A’Famosa, bangunan Stadthuys, perigi Hang Tuah dan bermacam-macam lagi. Semua itu tidak pernah membosankan walaupun sudah dilawati berkali-kali.

Kali ini Melaka mahu memberi sesuatu yang baharu. Negeri penuh tinggalan sejarah itu menawarkan tarikan baharu dengan pembukaan Muzium Kapal Selam. Muzium ini diselia Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Muzium kapal selam ini menambah lagi koleksi artifak sejarah negeri ini yang sudah mempunyai 23 muzium.

Terletak di Dataran 1Malaysia, Klebang, pembukaan Muzium Kapal selam SMD Ouessant jenis Agosta 70 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 22 November lalu sudah cukup membuatkan rakyat negara ini terutama rakyat Melaka berbangga.

Selepas menempuh pelayaran selama 31 hari dari pelabuhan Brest, Perancis, kapal selam seberat 1,200 tan tersebut akhirnya tiba di perairan Selat Melaka pada 12 November lalu.

Disebabkan proses untuk mengangkut kapal selam terbabit menelan belanja RM12.6 juta dan pertama kali dilakukan, kerja-kerja mendaratkan memakan masa yang lama apabila ia perlu dilakukan dengan teliti.

Ramai antara kita pernah menyaksikan aksi mencabar seumpama seperti mengangkut kapal atau rumah dari satu tempat menggunakan treler dalam dokumentari Discovery Channel atau National Geographic.

Rekod dunia

Sudah pasti ia antara program yang sangat menyeronokkan.

Jika adapun seperti kapal selam yang dipindahkan ke Surabaya, Indonesia sebenarnya dileraikan kepada dua bahagian sebelum ditempatkan di situ menggunakan kapal laut.

Bagaimanapun, Felda Transport Services Sdn. Bhd. ada cara tersendiri dalam mengangkut kapal selam itu ke Melaka.

Kapal yang beratnya lebih 1,000 tan itu dipindah dan diangkut tanpa dileraikan sekali gus mencipta sejarah dan dipuji pasukan marin Perancis.

Proses itu melibatkan dua buah kren khas yang masing-masing berkeupayaan mengangkat beban 900 tan. Operasi mengalihkan kapal selam dari kapal ‘Jumboship’ ke kapal ponton mengambil masa selama tiga jam.

Ia berukuran 67.57 meter panjang dan tinggi 11.75 meter manakala 6.5 meter lebar. Sesiapa sahaja akan teruja melihat kapal itu kerana ketinggiannya menyamai sebuah bangunan kedai tiga tingkat!

Menyingkap sejarah kapal itu, Agosta 70 digunakan untuk melatih kru pertama kapal selam Malaysia dari 2005 hingga 2009 dan latihan itu dijalankan berikutan kontrak yang ditandatangani Malaysia untuk pemilikan kapal selam Scorpene Perancis pada 2002.

Pada 23 September lalu, Duta Malaysia ke Perancis Tan Sri Abdul Aziz Zainal mewakili kerajaan Malaysia menandatangani satu pemindahan pemilikan kapal selam Agosta 70 dengan wakil Kementerian Pertahanan Perancis, Yves Blanc.

Menariknya, kali terakhir Agosta 70 digunakan oleh TLDM dan Tentera Laut Perancis ialah ketika melakukan pelayaran di Lautan Atlantik pada Julai 2009.

Ketua Pegawai Eksekutif Felda Transport, Zainal Abidin Ujud memberitahu, kerja menaikkan kapal selam itu merupakan pengalaman pertama syarikatnya apabila proses mengalihkan kapal selam itu menggunakan kaedah ‘heavy lift’ yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pihak sebelum ini.

“Kami pada mulanya mahu mencuba kaedah tali balut atau bellishing namun (teknik itu) dianggap tidak sesuai sebelum beralih pada ‘heavy lift’.

“Ini adalah yang pertama di dunia dan kita terpaksa mendapatkan kepakaran jurutera marin dengan melibatkan kajian menyeluruh daripada Universiti Delft, Belanda bagi membuat penilaian mengenai proses mengangkut kapal selam ini.

Trelar 480 tayar

“Ia melibatkan beberapa kepakaran termasuklah ‘salt water Engineering dan Lloyd’ kesemuanya melibatkan kepakaran marin laut,” katanya.

Ujar beliau, meskipun kapal selam itu diperbuat daripada besi, namun ada beberapa bahagian kapal itu rapuh. Petugas pengangkutan perlu berhati-hati ketika operasi mengangkut kapal dilakukan.

“Bayangkanlah kerja itu selesai pukul 6 petang di Pelabuhan Marin Brest, selepas dibawa ke situ dari Rotterdam, pangkalan tentera marin Perancis,” katanya yang turut menyelia dari mula hingga akhir pendaratan di Klebang, Melaka.

Lebih mendebarkan, pukul 9.30 pagi kapal ponton perlu membawa kapal selam terbabit dengan berhati-hati ke jeti sementara di Klebang, Melaka pada 17 November lalu.

Satu lagi cabaran menanti apabila kru terpaksa menempuh perjalanan sejauh 1.8 kilometer untuk ke kawasan lapang Dataran 1Malaysia, Klebang.

Dengan menggunakan treler ‘Multi axle’ yang disewa khas dari Singapura, proses pendaratan penuh mencabar itu selesai dalam tempoh kurang 100 minit.

Kira-kira pukul 12.30 tengah hari, operasi membawa kapal selam berkenaan bergerak ke tapaknya dengan bantuan air pasang kerana air pasang membantu kapal ponton terbabit berada sama paras dengan jeti sebelum kapal selam ditarik ke darat.

“Dalam kedudukan satu kilometer dari pesisir pantai jeti sementara, kami meletakkan kapal selam di atas treler 480 tayar yang berada di atas ‘barge’ atau tongkang sebelum ditarik perlahan ke arah jeti sementara sebelum dipindahkan ke darat menggunakan alat kawalan jauh.

Zainal Abidin memberitahu, bagi melancarkan operasi menaikkan kapal ke darat, beberapa plat keluli diletakkan di atas laluan bagi mengelak tanah menjadi mendap.

“Namun semuanya lancar kerana jeti sementara dan laluan yang diwujudkan khas untuk kapal selam memang kukuh,” jelasnya lagi.

Selepas semua proses selesai, kira-kira pukul 4.40 petang, kapal selam itu akhirnya berjaya diletakkan di posisi yang ditetapkan dengan sokongan dua ‘saddle’ atau besi gergasi pada badannya.

- KOSMO!