Sabtu, Disember 03, 2011

Negara Rugi RM9 Bilion Setahun Akibat Kemalangan Jalan Raya

Negara mengalami kerugian kira-kira RM9 bilion setahun atau dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar bernilai RM528 bilion pada tahun 2010 akibat kes-kes kemalangan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata isu keselamatan jalan raya merupakan isu sejagat dan dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian bagi golongan di bawah umur 16 hingga 25 tahun di dunia.

Menurutnya selain mencari jalan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian, MKJR juga mampu menyumbang sehingga 2 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya masalah kemalangan jalan raya dapat ditangani secara berkesan.

"Pertemuan hari ini merupakan peluang terbaik untuk melihat dan menilai semula isu-isu semasa keselamatan jalan raya termasuk kemajuan pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) Kali Ke-52 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MJKR Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Pengangkutan, Datuk Yap Kin Sian dan Ketua Pengarah JKJR merangkap Setiausaha Agung MKJR, Gerard Leslie Leon.

Kong berkata hasil daripada pelbagai kempen dan program kesedaran yang dijalankan secara berterusan oleh MKJR, kadar kematian jalan raya di negara menunjukkan penurunan.

Beliau berkata berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang Januari hingga September tahun ini, kadar kematian di kalangan pemandu dan penumpang kereta menurun 4.2 peratus berbanding tahun lepas.

"Bagi pejalan kaki pula, ia turun 14.6 peratus, pemandu dan penumpang bas lima peratus, manakala bagi pemandu atau penumpang van berkurangan sebanyak 24.1 peratus," katanya.

Bagaimanapun katanya kadar kematian bagi kategori penunggang dan pembonceng motosikal meningkat 5.4 peratus dan merupakan kategori terbesar yang mencatatkan kematian akibat kemalangan.

"Kadar kematian bagi tempoh Januari hingga September 2011 meningkat 1.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas, iaitu daripada 5,114 kepada 5,175 tahun ini," katanya.

Pada majlis yang sama hari ini, Kong meluluskan peruntukan RM140,000 kepada MKJR iaitu RM10,000 bagi setiap MKJR Negeri untuk membiayai aktiviti peningkatan kesedaran pengguna jalan raya terhadap pelaksanaan 'Automated Enforcement System (AES)' yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

- BERNAMA

1 ulasan:

  1. jadilah pemandu yang berhemah, ingatlah orang tersayang kan?
    hehe

    http://pinkbubblegumprincess.blogspot.com/

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.