Rabu, November 23, 2011

Buku : Jejak Bisnes Rasul


oleh Aizuddinur Hj Zakaria, Mohamed Sulaiman Ph.D

Harga: RM 29.00 / RM 32.00
ISBN-13: 978-967-5226-85-4
Tarikh Terbit: 2 Feb 2010
Kategori: Bisnes & Pengurusan, Keusahawanan
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn Bhd

Nabi Daud pakar bertukang besi. Nabi Sulaiman terkenal dengan kerajaan dan pemerintahannya. Nabi Nuh hebat membangun kapal. Manakala Nabi Isa pula pandai ilmu perubatan. Siapa sangka nabi dan rasul utusan terakhir merupakan insan paling unggul dalam pengurusan bisnes, Muhammad bin Abdullah SAW. Berketurunan Quraisy yang bermaksud ‘hartawan’.

Jejak Bisnes Rasul, mengajak kita meneropong sejarah tinggalan Muhammad SAW melalui dimensi bisnes. Kita boleh merenung semula cara mengurus manusia dan bisnes yang klasik dan malar segar sepanjang zaman.

ISI KANDUNGAN

Prakata
Resume Muhammad bin Abdullah

BAHAGIAN 1 Segalanya Bermula Di Sini
Jejak 1. Pembinaan Diri Nabi Sebagai Usahawan
Jejak 2. Bagaimana Nabi Membangun Prospek

BAHAGIAN 2 Pengurusan Cara Nabi
Jejak 3. Pengurusan Strategik Rasulullah
Jejak 4. Bagaimana Nabi Mengurus Mesyuarat
Jejak 5. Mengurus Masa Optimum
Jejak 6. Strategi Perjanjian Hudaibiyah

Jejak 7. Pengurusan Hutang Menurut Islam
Jejak 8. Nabi Mengurus Risiko
Jejak 9. Strategi Penjimatan Semasa Krisis
Jejak 10. Nabi Mengurus Tekanan Perasaan (Stress) dan Kesihatan

BAHAGIAN 3. Perhubungan Awam (PR) Gaya Rasulullah
Jejak 11. Nabi Mencipta Pengaruh
Jejak 12. Komunikasi Mesra Nabi
Jejak 13. Nabi Mengurus Perhubungan Awam (PR)

BAHAGIAN 4. Pemasaran Muhammad
Jejak 14. Konsep Pemasaran
Jejak 15. Segmentasi Pasaran
Jejak 16. Berlainan Menurut Islam
Jejak 17. Promosi Ala Rasulullah
Jejak 18. Nabi Memilih Strategi Menyerang (Offensive Strategy)
Jejak 19. Nabi Membina Pertahanan (Defensive Strategy)
Jejak 20. Pemasaran Internet
Jejak 21. Jualan Kombat (Combating Sale)
Jejak 22. Strategi Perang Khalid Al-Walid
Jejak 23. Pasaran Global

BAHAGIAN 5. Persaingan Zaman Nabi
Jejak 24. Kompetensi Zaman Nabi
Jejak 25. Nabi Memilih antara Dua Umar
Jejak 26. Khidmat Pelanggan
Jejak 27. Nabi Memimpin Inovasi

BAHAGIAN 6. Penjenamaan Menurut Sunah
Jejak 28. Muhammad dalam Melakukan Positioning Jenama
Jejak 29. Nabi Melakukan Positioning Pemimpin
Jejak 30. Penjenamaan Global

BAHAGIAN 7. Nabi dan Sumber Manusia
Jejak 31. Nabi Mengurus sumber Manusia
Jejak 32. Strategi Penetapan Gaji
Jejak 33. Mencipta Identiti dan Budaya Kerja
Jejak 34. Memahami Kepelbagaian Budaya

BAHAGIAN 8. Rakan Strategik Pilihan Nabi
Jejak 35. Outsourcing cara Rasulullah
Jejak 36. Strategi Memilih Rakan Niaga

BAHAGIAN 9. Tanggungjawab Sosial (Corporate Social Responsibility-CSR)
Jejak 37. Harta yang Wajib dibelanjakan
Jejak 38. Kuasa Seribu Dinar
Jejak 39. Halal dan Haram dalam Bisnes
Jejak 40. Al-Quran Memerangi Riba

Buku ini boleh diperolehi secara online di: http://www.bookcafe.com.my/en/bisnes-and-pengurusan/keusahawanan/jejak-bisnes-rasul.html

Google Malaysia sasar tarik 50,000 PKS sertai GMBO

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Google Malaysia sasar 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengadakan laman web dan bergiat dalam talian dalam tempoh setahun melalui programnya, “Get Malaysian Business Online (GMBO)”.

Pengurus Negaranya, Sajith Sivanandan, berkata menarik 50,000 PKS menceburi perniagan dalam talian bukan satu masalah dan “apa yang kami mahu ialah menarik setiap PKS yang belum menjalankan perniagaan dalam talian untuk mengambil bahagian dalam program ini.” Setakat ini, hanya 100,000 daripada 700,000 PKS mempunyai laman web, katanya.

Sajith yakin syarikat itu boleh mencapai sasaran menarik kalangan perniagaan bergiat dalam talian kerana ia memberikan banyak faedah kepada PKS. Antara faedah-faedahnya ialah 10,000 PKS pertama akan ditubuhkan dalam talian dengan percuma dan satu kupon AdWords percuma bernilai RM200 akan ditawarkan kepada 50,000 pendaftaran pertama, katanya kepada pemberita selepas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim melancarkan program itu.

GMBO adalah satu inisiatif seluruh negara oleh Google Malaysia yang dilancarkan dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, .my Domain Registry dan ITrain Malaysia Sdn Bhd untuk membantu PKS memulakan perniagaan dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif ITrain, Bikesh Lakhminchand, perkata 1,000 PKS pertama yang mendaftar bagi program itu akan diberikan latihan percuma tentang cara-cara memulakan laman web dan selepas itu peserta latihan tersebut akan diberikan subsidi dengan bayaran dikurangkan kepada RM80 bagi setiap PKS.

Pembaharuan tahunan .com.my domain diberikan diskaun besar dan bayaran dikenakan hanyalah RM23. Malaysia adalah negara pertama di rantau Asia Pasifik yang mendapat capaian kepada kemudahan GMBO.

- Bernama

Pemohon kerja kurang kualiti - Jobstreet.com

Terdapat banyak kekosongan jawatan dalam negara, namun kekurangan kualiti pemohon terutama berkomunikasi dalam bahasa Inggeris masih menjadi faktor utama mengapa pencari kerja tidak diambil bekerja.

Pengurus Pemasaran Produk Jobstreet.com Sdn. Bhd. Roslinda A Ghani berkata, anggapan bahawa jumlah graduan baru tidak berpadanan dengan kekosongan jawatan dalam negara ini adalah tidak benar.

"Kami sendiri mempunyai kira-kira 24,000 kekosongan jawatan dalam pangkalan data kami sekarang. Jadi peluang pekerjaan di negara ini tidak terbatas, tetapi hanya pemohon tidak mempunyai kualiti yang diperlukan majikan.

"Itu sebabnya sesetengah daripada mereka masih menganggur,” katanya ketika ditemui pada Pameran Kerja Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra.

- BERNAMA

Benarkan mahasiswa berpolitik

Oleh Ruhaiza Rusmin

AKTA Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kembali menjadi perbualan hangat serta menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat, baru-baru ini.

Semuanya gara-gara keputusan mahkamah rayuan menolak keputusan bersalah empat mahasiswa kerana terbabit dalam perhimpunan politik sekali gus menjadikan AUKU subjek perbincangan mahupun perdebatan.

Biarpun AUKU merangkumi aspek luas, namun hanya seksyen 15 (5) menjadi tumpuan utama kerana termaktub larangan membenarkan mahasiswa terbabit dalam politik.

Seiring kontroversi, ada menganggap AUKU sudah tidak relevan dalam dunia mahasiswa alaf baru tetapi ada pihak lain berpendapat masih perlu bagi tujuan memastikan mahasiswa tidak tergelincir daripada landasan pengajian sebenar.


Persoalannya, benarkah AUKU masih relevan untuk diguna pakai pada masa kini atau sudah menjadi lapuk kerana mentaliti mahasiswa kian jauh berubah?


Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Idzuafi Hadi Kamilan berkata, menyekat mahasiswa daripada terbabit dengan politik hanya menimbulkan masalah atau konflik tidak berkesudahan.

Menurutnya, walaupun masih belajar, tidak bermakna tahap pemikiran atau pengetahuan mereka hanya berlegar di persekitaran kampus sebaliknya sentiasa mencari ruang untuk melontarkan pendapat.

“Ini bagi membuktikan mereka adalah golongan intelek, jika dihalang samalah seperti mempertikai atau memperkotak-katikkan keupayaan mereka sebagai kelompok terpelajar.

“Dengan kata lain, mengunci mulut daripada memperkatakan mengenai sesuatu isu yang mungkin boleh membangkitkan satu masalah lain pula.

“Pendapat saya, tidak usah disekat keterlaluan keinginan mereka bersuara kerana politik juga antara cara untuk menimba ilmu dan pengalaman. Cara ini lebih baik daripada mahasiswa berkenaan menjadi golongan buta ilmu atau pasif di menara gading,” katanya.

Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar membuatkan AUKU diperkenalkan pada 1971.

Pada 1975, ia digubal dengan peruntukan lebih ketat menyaksikan mahasiswa tidak boleh lagi terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan politik yang menunjukkan sokongan atau bangkangan terhadap mana-mana parti.

Pada 2009, AUKU sekali lagi dipinda dengan kelonggaran boleh terbabit dalam badan bukan kerajaan yang berdaftar di negara ini sementara parti politik masih tidak dibenarkan.

Menurutnya, sangat tidak relevan mahasiswa alaf baru disekat daripada bersuara hanya kerana segelintir pihak takut pada bayang-bayang sendiri.

“Mengapa perlu disekat padahal hak bersuara adalah milik semua? Asalkan tidak mengganggu sensitiviti yang boleh menggugat keselamatan awam, tiada salahnya.

“Golongan ini hanya ingin melontarkan pendapat mengenai perjalanan arus politik negara berdasarkan kedudukan mereka sebagai pemerhati luar dan berkecuali.
Mereka berhak menyuarakan pendapat.

“Cuma jangan biarkan mereka memegang sebarang jawatan dalam politik. Itu penting untuk menyelamatkan mereka daripada dipergunakan orang lain demi kepentingan peribadi,” katanya.

Mengulas rasionalnya berbuat demikian adalah untuk mengelakkan golongan ini dijadikan ‘topeng’ yang berperanan sebagai pelajar ataupun mewakili parti politik tertentu.

“Takut mereka keliru mengenai peranan dan tanggungjawab sebenar selain mempengaruhi orang lain dengan kedudukan dipegang. Ini boleh menggugat ketenteraman warga kampus.

“Jika sekadar melontarkan pendapat atau jadi pemerhati, bukanlah masalah besar malah ia boleh dijadikan pengalaman berguna atau memperkukuhkan kemahiran individu melalui proses pembelajaran praktikal,” katanya.

Mengapa AUKU sering menimbulkan polemik tersendiri, dia berkata ketidakfahaman menyebabkan akta berkenaan dimanipulasikan pihak tertentu.

“AUKU merangkumi aspek luas termasuk pentadbiran universiti. Paling menonjol apabila pemahaman masyarakat hanya mengaitkannya dengan larangan berpolitik.

“Pemahaman salah menyebabkan akta ini dipandang serong dan pemahaman betul pula boleh menyelamatkan keadaan,” katanya berpendapat sudah tidak relevan menghalang mahasiswa daripada berpolitik kerana mereka mempunyai banyak saluran memperoleh kebenaran.

Menurutnya, dulu mungkin relevan disebabkan hanya mendapat maklumat melalui sumber terhad, namun dengan perkembangan dan kecanggihan dunia teknologi hari ini, semua yang cuba disorokkan akan tersingkap.

“Masyarakat dan institusi perlu memberi kepercayaan kepada mahasiswa untuk mengemudi hala tuju mereka mengenai politik. Tidak perlu lagi memegang prinsip ‘in loco parentis’ (kerajaan atau institusi mengambil alih tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak belajar).

“Bukankah mereka sudah besar, tahu berfikir serta pandai membuat keputusan.

“Menjejakkan kaki di institusi pengajian tinggi bermakna sudah matang dan tahu setiap risiko, hanya berikan saja pedoman yang baik dan berguna sebagai panduan,” katanya.

Menyekat atau menghalang juga, katanya, bukan saja menyebabkan golongan itu ‘memberontak’ malah boleh menimbulkan masalah lain seperti diperguna atau dimanipulasi pihak yang menangguk di air keruh.

“Mereka hanya mahukan pengiktirafan positif daripada masyarakat dan aspek kepercayaan adalah asas penting yang boleh mewujudkan suasana harmoni.
Masalahnya, masih ada menganggap mereka ‘seperti budak kecil’.

“Sudahlah dikongkong, dilayan pula seperti budak-budak, apakah kesannya untuk jangka panjang? Padahal mereka juga yang bakal meneruskan legasi kepemimpinan negara pada masa depan.

“Tidak perlu melakukan sekatan keterlaluan kerana semakin disekat atau dihalang, mereka berusaha mencari alternatif lain untuk mencari jawapan. Ini lebih berbahaya,” katanya.

Pelajar yang berminat dengan politik hanya segelintir, jadi mengapa mesti menjadikannya isu besar seolah-olah golongan ini mampu menimbulkan kekacauan atau menjatuhkan negara?

“Barisan mahasiswa kita cukup cemerlang akademik, sahsiah dan peribadi bukan seperti di negara lain yang bakal bangkit secara semberono.

“Mereka hanya akan berdebat mengenai sesuatu isu jika pihak tertentu tidak memberi justifikasi yang baik. Meskipun ada pihak berpendapat kuasa mahasiswa boleh menjatuhkan, di negara ini mereka bukanlah ancaman,” katanya.



INFO:

AUKU diwartakan pada 24 Februari 1971, diluluskan Parlimen pada 17 Mac 1971 dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 29 April 1971.

Kebangkitan mahasiswa pada 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan AUKU. Pindaan itu dikuatkuasakan pada 12 Mei 1975.

AUKU diusulkan selepas kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 mengekang peranan pelajar terutamanya pembabitan mahasiswa dalam pilihan raya 1969.

- HARIAN METRO

UPSR: Aplikasi amalan baik sekolah cemerlang

PUTRAJAYA 21 Nov. – Kementerian Pelajaran akan mengaplikasikan amalan-amalan baik yang dipraktiskan oleh sekolah-sekolah biasa sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keupayaan guru di sekolah terbabit memimpin pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang harus dimanfaatkan.

‘‘Kalau dapat kenal pasti amalan-amalan baik itu kita akan terapkan di semua sekolah supaya yang kurang baik dapat ditingkatkan jadi baik.

‘‘Ini kerana yang membezakan sekolah itu dengan sekolah lain saya fikir bukan infrastruktur tetapi soal kepimpinan guru di sekolah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sesi wawancara khas bersama pengacara Syed Munawar Syed Munawar Syed Arabi Idid pada majlis memperkenalkan buku berjudul Sudut Pandangan Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, keupayaan sekolah-sekolah biasa melonjakkan keputusan semasa peperiksaan UPSR sehingga diangkat sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) harus diberi pengiktirafan kerana membantu meningkatkan kecemerlangan murid.

Bagi tujuan itu, kata beliau, warga pendidik perlu lebih bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk cabaran dalam mendidik para pelajar menjadi manusia berguna.

‘‘Guru-guru perlu mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna untuk menghadapi cabaran dunia yang luas, bersikap holistik dan mampu memenuhi tuntutan semasa.

‘‘Kita tak boleh kompromi dalam hal ini kerana isu pendidikan harus ke depan, mahu tak mahu guru perlu mengikut arus untuk menghadapi cabaran mendatang,” katanya.

Justeru, kata beliau, kerajaan mengambil pelbagai langkah secara berterusan seperti menganjurkan program latihan dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru agar lebih bertanggungjawab dalam melahirkan generasi cemerlang.

- UTUSAN

PTPTN tak paksa penganggur

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan memaksa peminjam yang masih belum mendapat pekerjaan membuat pembayaran balik pinjaman mereka.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan sentiasa berusaha meringankan bebanan pelajar termasuk membantu jika mereka belum mendapat pekerjaan.

“Kerajaan faham dengan kesukaran dihadapi pelajar. Jika mereka disenaraihitamkan, kita juga akan membantu jika mempunyai alasan munasabah, " katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai pendirian kerajaan terhadap peminjam PTPTN yang masih belum mendapat pekerjaan.

Selain itu, katanya, kerajaan belum bercadang untuk meluaskan pinjaman pendidikan PTPTN kepada kursus profesional yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berikutan kekangan kewangan dihadapi agensi itu.

“Pada masa ini, PTPTN hanya memberi pinjaman kepada kursus profesional khususnya bidang perakaunan di 13 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), " katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang meminda dasar pemberian pinjaman PTPTN kepada kursus profesional yang ditawarkan di IPTS.

Menjawab soalan Matulidi Jusoh (BN-Dungun) mengenai pelajar yang ditawarkan yuran percuma, Saifuddin berkata, setakat ini IPTA setakat ini IPTA tidak menawarkannya terutama bagi pelajar Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Bagaimanapun, katanya, kerajaan menawarkan penajaan untuk penuntut yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan PhD di IPTA dan IPT swasta terpilih di bawah program MyBrain15 dengan yuran pengajian dibiayai maksimum RM10,000 (Sarjana) dan RM24,000 bagi PhD.

“Sehingga 17 November lalu 5,481 orang diluluskan untuk program tajaan MyBrain15 bagi mengikuti program Ijazah Sarjana dan 1,201 orang untuk program PhD," katanya.

- BERITA HARIAN

Awan debu setinggi lima kilometer


BANDAR RAYA MEXICO - Gunung berapi Popocatepetl di Mexico mengeluarkan awan debu setinggi lima kilometer ke udara kelmarin selepas ia memuntahkan laharnya.

Pusat Pencegahan Bencana Kebangsaan Mexico menyatakan, letusan kuat kelmarin menyusul selepas beberapa letusan sederhana dikesan beberapa hari lalu.

Gunung berapi setinggi 5,450 meter itu terletak 65 kilometer ke tenggara ibu negara Mexico di sini.

Setakat ini, tiada laporan awan debu itu menimpa komuniti yang tinggal di sekitar gunung berapi berkenaan.

Gunung berapi Popocatepetl meletus berulang kali sejak Disember 1994.

- Agensi

Risiko kanser perokok pasif


APAKAH perasaan anda bila doktor memberitahu bahawa anda disahkan menghidap kanser paru-paru? Tambah memeritkan, kanser paru-paru anda kini berada di tahap empat - peringkat akhir di mana sel kanser dari tempat asal tumor telah merebak ke bahagian lain badan.

Mungkin ia sesuatu yang tidak menghairankan sekira anda adalah seorang perokok tegar. Penyakit berkenaan sememangnya dikenalpasti mudah dihidapi oleh mereka yang gemar merokok.

Namun, bagi mereka yang tidak merokok atau daripada komuniti perokok pasif, ia sesuatu yang agak mengejutkan.

Itulah yang dialami oleh Goh Sai Wah yang tidak pernah merokok seumur hidupnya. Namun, wanita berusia 58 tahun itu begitu terperanjat bila dikesan menghidap penyakit itu di tahap empat pada tahun lepas.

"Kanser paru-paru selalunya dihidapi oleh orang yang suka merokok. Tetapi, ini tidak bermakna mereka yang tidak merokok boleh selamat daripada penyakit ini (kanser paru-paru)," kata Pengarah Perubatan Pusat Perubatan Antarabangsa Mahameru, Dr. Beh Chor Khim kepada Bernama baru-baru ini.

Tidak kenal siapa

Ia adalah antara punca utama kematian dalam kalangan penduduk di seluruh dunia, dianggarkan 221,130 kes baru kanser paru-paru setiap tahun dengan angka kematian 156,940 di Amerika Syarikat pada tahun ini mengikut laman sesawang http://www.cancer.gov.

Manakala, statistik di negara ini pula menunjukkan penyakit berkenaan menjadi kanser yang paling kerap berlaku dan menyebabkan jumlah kematian paling ramai kira-kira 12 peratus daripada kesemua penyakit kanser dalam negara.

Ini berdasarkan maklumat yang dipetik daripada www.infosihat.gov.my.

Ini jelas menunjukkan penyakit ini tidak boleh dipandang ringan termasuklah bagi golongan perokok pasif.

Biarpun tidak merokok, tetapi kebarangkalian mereka mendapat penyakit berkenaan tidak dapat dinafikan terutama bagi individu yang tinggal di kawasan yang mempunyai tahap kualiti udara yang rendah.

Malah, dipetik dalam satu sumber berita individu berkenaan dilihat 20 peratus lebih berisiko diserang penyakit kanser paru-paru berbanding mereka yang tinggal di kawasan udara bersih.

Ini dapat dilihat apabila dianggarkan 3,000 kematian akibat kanser paru-paru dalam kalangan perokok pasif berlaku setiap tahun di Amerika Syarikat.

Senario ini jelas menunjukkan kanser paru-paru yang secara amnya terbahagi kepada dua jenis utama, kanser sel kecil paru-paru dan kanser sel bukan-kecil paru-paru, berupaya menyerang sesiapa sahaja.

Mengakui tabiat merokok sebagai faktor utama, Dr. Beh berkata pencemaran alam sekitar turut menyumbang kepada risiko penyakit berkenaan.

Ini kerana, mereka yang terhidu asap yang mengandungi asbestos (satu daripada enam mineral silikat digunakan secara komersial kerana ciri fizikalnya) menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat kanser paru-paru dan ia dikenali sebagai mesothelioma.

Selain asbestos, individu yang terdedah kepada persekitaran radon (gas radioaktif) juga berisiko mendapat serangan penyakit berkenaan.

Di samping itu, Dr. Beh berkata mereka yang lahir dari keluarga yang pernah menghidap penyakit berkenaan turut mempunyai risiko mendapat kanser paru-paru.

"Terdapat kemungkinan sebanyak 30 peratus golongan yang tidak merokok mempunyai risiko untuk mendapat kanser paru-paru.

"Antara faktornya adalah seperti tekanan, cara pemakanan yang tidak sihat, penyakit jangkitan virus serta mereka yang terdedah kepada kesan radiasi," katanya.

Gejala

Mengakui agak sukar mengesan kanser paru-paru dengan lebih awal, kata Dr. Beh, kebanyakan yang datang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selalunya berada di tahap empat .

Bagaimanapun, seseorang itu boleh mengambil langkah pencegahan awal dengan melakukan pemeriksaan kesihatan komprehensif apabila mengalami batuk berpanjangan, kesesakan nafas, sakit dada, belakang, bahu, bengkak muka dan suara garau.

Tidak sekadar itu, gejala seperti sakit tulang, lemah atau kebas di kawasan tangan dan kaki, hilang selera makan, penurunan berat badan, lemah dan kekurangan tenaga juga perlu diambil perhatian.

Atas faktor itu, Dr. Beh menegaskan pemeriksaan kesihatan secara komprehensif amat penting dan bukan sekadar bergantung kepada ujian darah sahaja.

"Ujian darah sahaja tidak berkesan untuk mengesan sel-sel kanser. Disebabkan itu, perlu ada pemeriksaan menyeluruh seperti x-ray, ataupun menggunakan kaedah endoskopi untuk memeriksa bahagian dalam tubuh seseorang.

"Goh menjalani pemeriksaan darah secara rutin yang menunjukkan peningkatan petunjuk kanser dan beliau membuat keputusan menjalani PET CT yang menunjukkan beliau mengalami kanser pada peringkat empat," kata Dr. Beh.

Dr. Beh juga berkata, adalah lebih baik bagi seseorang individu itu melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh sekali bagi setiap tiga tahun apabila umur mereka menjangkaui 40 tahun.

Bila berada di tahap empat, selalunya dikatakan sudah terlambat untuk merawat kanser paru-paru.

Bagaimanapun, keadaan Goh berubah apabila wanita ini menjalani terapi Human Initiated Therapeutic Vaccine (HITV) di Jepun tahun lepas.

"Saya diberitahu tentang terapi HITV melalui Dr. Beh, dan kami pergi ke Tokyo untuk mencubanya," cerita Goh

Mengulas mengenai rawatan ini, Dr. Beh berkata, keputusan yang diperoleh amat mengejutkan apabila mendapat tahu bahawa kesemua sel kanser dalam badan wanita itu telah hilang.

— BERNAMA

Wanita Islam haram sertai semua jenis pertandingan ratu cantik

Wanita Islam diharamkan menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kata beliau, perkara tersebut telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1997, namun perlu diwartakan di peringkat Majlis Fatwa negeri bagi penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

"Majlis Fatwa Kebangsaan telah memberi ingatan bahawa wanita Islam tidak dibenarkan menyertai sebarang pertandingan ratu cantik.

"Namun penguatkuasaan fatwa adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri kerana pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Peringkat Parlimen Pendang di Pendang, hari ini.

Beliau mengulas tentang penyertaan lima wanita Islam dalam pertandingan Miss Borneo 2011 di Sarawak baru-baru ini.

Kata Jamil Khir, sesetengah negeri bagaimanapun belum lagi mewartakan fatwa tersebut, sekali gus menyukarkan sebarang tindakan diambil ke atas mereka yang melanggarnya.

"Kerajaan negeri perlu memainkan peranan untuk mewartakan fatwa tersebut bagi mengelak sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain mengugat sensitiviti umat Islam.

"Setiap fatwa tidak akan berstatus undang-undang sehingga diwartakan di negeri masing-masing, sekali gus membolehkan penguatkuasaan ke atas mereka yang melanggar fatwa tersebut," katanya.

Selain itu, tambah beliau, pihak lain yang terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur perlu memikul tanggungjawab melarang penyertaan orang Islam dalam sebarang pertandingan seumpama itu.

"Kerajaan memandang serius perkara ini kerana ia memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam.

"Kita akan tengok apakah ruang kekurangannya sehingga berlaku kes seperti di Sarawak ini. Kita akan tangani perkara ini agar ia tidak berulang termasuk sebarang tindakan berkaitan terhadap mereka yang terlibat," katanya.

- UTUSAN

Selasa, November 22, 2011

Baghdad bekas pusat ilmu Islam


Disediakan oleh BAHAGIAN ANALISA dan PENYELIDIKAN, YAYASAN DAKWAH ISLAM MALAYSIA

DAHULU, wilayah Iraq disebut Mesopotamia, salah satu tempat lahirnya peradaban paling tua. Nama Mesopotamia berasal daripada sebutan orang Yunani bagi wilayah itu.

Di negara itu pernah bertapak kerajaan besar seperti Assyria, Babylon dan Parsi. Setelah ditakluki oleh orang Islam, kawasan itu menjadi tempat pendudukan kekhalifahan Abbasiah (750-1258) sebelum jatuh ke tangan orang Mongol, Turki dan Inggeris.

Ketika Iraq di bawah kekuasaan Abbasiah, ia mengalami kemajuan yang cukup pesat seperti dalam bidang ekonomi, ilmu pengetahuan, pembinaan dan teknologi, kesenian, sastera serta politik.

Kemajuan dalam bidang ekonomi dan perdagangan membawa kesan kepada kemajuan ilmu pengetahuan, falsafah dan kebudayaan Islam.

Arab dan Kurdis

Penduduk Iraq terdiri daripada beberapa kumpulan etnik. Antara kumpulan etnik terbesar termasuklah Arab (75 peratus-80 peratus) dan Kurdis (15 peratus-20 peratus). Kumpulan etnik kecil lain seperti Tukorman dan Assyria.

Selain bahasa Arab (bahasa rasmi), penduduk Iraq juga menggunakan bahasa Turki Kurdis, Parsi, Assyria dan Armenia. Kira-kira 25 peratus daripada penduduk Iraq tinggal di kawasan perkampungan sebagai petani.

Syiah dan ahli sunnah

Sebanyak 97 peratus rakyat Iraq menganut agama Islam, 60-65 peratus daripadanya berfahaman Syiah, 32-37 peratus lagi ahli sunnah, tiga peratus menganut agama Kristian dan lain-lainnya.

Dahulu, agama menjadi punca keretakan hubungan. Konflik sering terjadi antara aliran Ahli Sunnah dengan Syiah. Laungan yang mengungkap luapan perasaan dalam upacara keagamaan boleh memanaskan suasana, bahkan perarakan dapat mencetuskan rusuhan.

Namun pada masa ini, permusuhan antara golongan Syiah dengan ahli sunnah telah berkurangan. Hubungan persahabatan antara kedua-dua kumpulan semakin baik.

Pemerintahan

Iraq adalah sebuah negara republik. Pemerintahannya diketuai oleh seorang presiden. Presiden menjadi panglima tertinggi angkatan bersenjata dan ketua Majlis Revolusi.

Dewan itu terdiri daripada para pimpinan dewan. Setiap wilayah dipimpin oleh gabenor yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri.

Di samping kehakiman umum, terdapat juga kehakiman agama yang menangani masalah status perseorangan dan masalah agama berdasarkan hukum Islam tradisional.

Selain itu, terdapat kehakiman agama bagi penganut Kristian dan Yahudi.

Pada zaman Bani Abbasiyah, Baghdad merupakan salah satu pusat ilmu yang banyak melahirkan ulama. Wilayah Iraq ditakluki tentera Arab Islam pada 633-637. Mereka membawa ajaran Islam dan bahasa Arab.

Musanna bin Harithah

Penaklukan Iraq pertama kali berlaku pada zaman Khalifah Abu Bakar al- Siddiq melalui angkatan yang dipimpin oleh Musanna bin Harithah. Tentera Islam di bawah kepimpinannya menakluki wilayah barat Sungai Furat.

Kemudian Abu Bakar sekali lagi mengirim tentera yang jumlahnya lebih besar di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid. Khalid yang menyerang dari arah utara dan menguasai kota Hirah dan pelabuhan al-Ubullah di Teluk Arab.

Sa'ad bin Abi Waqqas

Penaklukan kedua dan ketiga ke wilayah Iraq berlaku pada zaman Khalifah Umar bin al- Khattab. Semasa penaklukan kedua, serangan diarahkan ke utara Baghdad yang disebut Ard al-Sawad. Pertempuran itu disertai banyak panglima tentera Islam terbaik, antara lain Sa'ad bin Abi Waqqas (panglima paling berjaya dan paling luas taklukannya).

Semasa penaklukan ketiga, tentera Islam dipimpin oleh Iyad bin Ganam yang menyerang daerah yang dikuasai oleh bangsa Rom, yang disebut Ard al-Jazirah (tempat pertempuran antara tentera Parsi dengan Rom).

Ketika itu, tentera Islam menguasai kota-kota penting, seperti al-Raqqahdan al-Ruha. Setelah itu, mereka menyerang wilayah Armenia dan sekitarnya.

Pengembangan ilmu pengetahuan

Ketika Bani Abbasiah memerintah Iraq, wilayah itu mengalami kemajuan dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Hal itu memberikan kesan kepada pengembangan ilmu pengetahuan.

Pengembangan ilmu pengetahuan di Iraq dilakukan dengan beberapa cara. Cara pertama adalah penterjemahan buku-buku Yunani, Parsi, Syria, India dan Qibti ke bahasa Arab.

Selepas itu, para sarjana Islam membuat ulasan terhadap buku-buku yang diterjemahkan itu. Cara selanjutnya adalah menubuhkan pusat pendidikan dari peringkat dasar hingga peringkat tinggi, seperti Madrasah Nizamiyah.

- UTUSAN

Jawatan Kosong di Maktab Koperasi Malaysia (MKM) - Nov 2011

JAWATAN:
1. Pegawai Latihan
2. Penolong Pegawai Tadbir
3. Pembantu Tadbir (P/O)
4. Pemandu
5. Pegawai Latihan
6. Pembantu Perpustakaan
7. Pembantu Perpustakaan

IKLAN JAWATAN
- SEMENANJUNG MALAYSIA
http://www.mkm.edu.my/c/document_library/get_file?uuid=456658ab-c9c4-4f56-bdf9-eb0d9ae55e2e&groupId=280152

- SABAH SARAWAK
http://www.mkm.edu.my/c/document_library/get_file?uuid=bcdcb7d0-85a9-4556-9d81-0a4857cbe5a6&groupId=280152

BORANG PERMOHONAN
http://www.mkm.edu.my/pusatmuatturun?p_p_state=maximized&_20_folderId=140825&tabs1=my-documents&p_p_lifecycle=0&p_p_id=20&_20_struts_action=%2Fdocument_library%2Fview&p_p_mode=view


Tarikh Tutup : 30 November 2011