Isnin, November 21, 2011

Ezylnn bergelar isteri


KUALA LUMPUR - Tempoh pertunangan penyanyi dan pelakon Ezylnn yang terkenal dengan lagu Hai Hai Bye Bye mungkin antara yang terpendek di dunia.

Penyanyi itu selamat bertunang dengan pengurusnya sendiri, Adam Fahmy Shamsudin, 35, di Roof Garden, Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara di sini pada pukul 3.45 petang semalam.

Sejam 15 minit selepas itu, Ezylnn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 30, selamat diijabkabulkan dengan Adam oleh bapanya sendiri, Ariffin Alang Ahmad pada pukul 5 petang.

Majlis pernikahan itu disaksikan oleh jurunikah Masjid Sungai Penchala, Muhammad Ridwan Mohd. Yunus.

"Saya akui gemuruh sebelum majlis bermula dan Alhamdullilah selepas bercinta selama tiga tahun, hari ini (semalam) merupakan hari paling gembira buat saya kerana telah selamat bergelar isteri.

"Saya memilih Adam sebagai suami kerana tertarik dengan sifat bertanggungjawab dan mementingkan kesempurnaan yang ada pada dirinya," ujar Ezlynn.

Ezlynn menerima wang hantaran sebanyak RM20,020.20 sebagai simbolik kepada tarikh lamaran yang dibuat oleh Adam kepadanya pada 20 Januari 2010 serta tarikh lahir Adam pada 20 Januari di samping mas kahwin sebanyak RM80.

Ezlynn dan suami merancang untuk berbulan madu di Eropah selepas majlis resepsi yang akan diadakan pada bulan Januari tahun depan.

- KOSMO!

Berprasangka buruk, hina pesalah bukan akhlak Islam sebenar

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

MEMANG sudah lumrah manusia, pantang melihat kesalahan orang lain, maka akan dihebohkan dan diperbesarkan. Amalan itu bertentangan dengan etika Islam kerana Islam mengajar kaedah lebih berhemah dalam berkomunikasi antara individu secara harmoni.

Untuk memudahkan kita semua memahami berkenaan hal ini, di sini ada satu kisah yang jelas menggambarkan Islam mengajar umatnya berhadapan dengan orang yang melakukan kesalahan.
Umar al-Khattab melaporkan, pada masa hayat Rasulullah SAW ada seorang lelaki bernama Abdullah yang digelar sebagai Himar atau keldai dan sering membuatkan Baginda Nabi tertawa. Rasulullah SAW menghukumnya atas kesalahan meminum arak.
Pada suatu hari, lelaki itu dibawa kepada Rasulullah SAW dan Baginda mengarahkan supaya dia disebat dengan cemeti. Ada seorang yang hadir waktu hukuman dilakukan berkata: “Ya Allah, hukum-lah dia! Banyak kali sudah dia dibawa untuk menerima hukuman kerana arak.”

Mendengarkan lelaki itu berkata demikian, lantas Rasulullah SAW berkata: “Jangan menghinanya kerana demi Allah, apa yang aku tahu dia cintakan Allah dan juga Pesuruh-Nya.”

Demikian halus akhlak Rasulullah SAW mendidik umatnya. Meskipun ada yang bersalah dan diberikan hukuman tetapi masih menegah orang lain mengutuk atau berdoa buruk terhadapnya. Inilah akhlak Islam sebenar.

Namun berlainan situasi semasa dalam zaman mutakhir ini. Yang bersalah akan dikutuk habis-habisan, bukannya diperbetulkan atau didoakan supaya Allah memberikan cahaya hidayah kepada si pesalah itu.
Abu Hurairah menceritakan satu kisah yang mempunyai persamaan dengan isu sama. Kata Abu Hurairah: “Seorang pemabuk dibawa kepada Rasulullah SAW dan kemudiannya Baginda mengarahkan orang itu dihukum pukul, lalu sebahagian kami menyahut arahan Rasulullah SAW lalu memukul dengan tangan. Ada juga yang memukulnya dengan kasut dan kain. Apabila orang bersalah itu pergi selepas menerima hukuman, ada seorang lelaki berkata: Semoga Allah memberi malu kepadanya. Mendengar yang demikian, maka Rasulullah SAW segera menegurnya: Jangan membantu syaitan terhadap saudara kamu.”

Apa yang boleh kita teladani daripada peristiwa itu ialah apabila ada seorang Muslim melakukan dosa, pada prinsipnya dia tetap seorang Muslim dan haknya sebagai seorang Muslim seharusnya dihormati.

Kita dilarang sama sekali mengutuk, mencaci maki hingga sampai ke tahap mendoakan keburukan terhadapnya. Ini diharamkan dalam Islam.

Sangat sedikit yang mampu bertindak seperti ditunjukkan Rasulullah SAW sebaliknya, pantang ada sahabat atau sesiapa saja melakukan kesalahan, kita akan memandangnya penuh hina dan kebencian.

Lihat saja kepada penagih dadah. Berapa banyak antara kita yang tidak berusaha membetulkan keadaan sebaliknya terus memencilkan mereka. Malah ada kalangan bekas penagih dadah terpaksa berdepan sikap penolakan masyarakat terhadap mereka.

Mereka yang sudah insaf dan kembali ke pangkal jalan pun terpaksa menghadapi sikap sinis masyarakat yang memandang jijik serta berprasangka buruk.

Kisah diceritakan Abu Hurairah dan Umar boleh dicontohi pendidik untuk menegur murid yang mengejek rakan yang dikenakan denda terhadap kesalahan dilakukan mereka. Didiklah anak murid secara berhemah supaya mengambil iktibar daripada keterlanjuran rakan mereka.

Selama ini masyarakat sudah sekian lama berpegang kepada hipotesis bertentangan kehendak Islam iaitu apabila ada orang melakukan kesalahan maka dia akan dicop sebagai sampah masyarakat dan dipencilkan. Malah, dalam sesetengah kes, ibu bapa pesalah turut dihina.

Ini bukan cara menangani mereka yang melakukan kesilapan yang ditunjukkan Rasulullah SAW kerana Islam mempunyai teori dan praktikal tersendiri untuk membentuk masyarakat bertamadun kukuh dengan nilai menjaga hubungan sesama manusia.

Teorinya ialah sentiasa bersangka baik, hatta kepada yang pernah melakukan kesalahan. Jangan terus-terusan bersangka buruk terhadap orang itu hanya kerana dia pernah melakukan kesalahan, maka selamanya dianggap sebagai seorang berperibadi buruk.

Daripada perspektif praktikal pula, Islam menggalakkan umatnya menggunakan pendekatan nasihat dan doa. Nasihat-menasihati dalam usaha membetulkan sebarang kesalahan sesama mukmin termasuk dalam amalan salih yang diberi ganjaran pahala.

Selama ini mungkin kita hanya berdoa untuk kebaikan diri sendiri dan ahli keluarga saja. Apa salahnya kita membiasakan budaya membaca doa untuk saudara kita yang sering melakukan kesilapan.

Moga-moga dengan kesungguhan dan keberkatan doa kita, Allah akan membuka pintu hati saudara itu untuk bertaubat dan seterusnya kembali menjalani kehidupan sebagai seorang mukmin menepati kehendak agama.

- BERITA HARIAN

Perokok belanja RM15 juta sehari

Lebih lima juta perokok tegar di negara ini, termasuk mereka yang merokok sejak bangku sekolah membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari untuk membeli bahan itu bagi melepaskan ketagihan.

Perangkaan itu didedahkan Pakar Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof Zulkfli Ahmad, menerusi syarahan umum sempena pelantikannya sebagai Profesor yang menjalankan kajian berhubung Pengawalan Tembakau di Malaysia: Antara Ekonomi, Politik, Agama dan Kesihatan sejak 1986.

“Pertambahan bilangan perokok remaja dan lelaki dewasa serta wanita di seluruh negara menunjukkan budaya merokok masih sukar dibuang meskipun pelbagai kempen dilancarkan Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Jumlah perokok di negara ini juga berada pada tahap membimbangkan, malah kira-kira 10,000 kematian setahun dikesan akibat daripada tabiat merokok dicatatkan hasil kajian ini, malah ini menunjukkan sikap rakyat negara ini masih memandang remeh terhadap kesan ketagihan rokok dan kempen antimerokok dijalankan kementerian,” katanya selepas membuat syarahan umum berhubung hasil kajiannya itu, di sini, semalam.

Pada syarahan umum itu, seorang lagi pakar perubatan PPSP USM, turut dilantik sebagai Profesor yang berjaya menjalankan kajian berhubung ‘Statistik Dalam Penyelidikan Perubatan dan Sains Kesihatan: Dahulu, Kini dan Akan Datang’ iaitu Prof Syed Hatim Noor Syed Kassim Noor.

Zulkifli berkata, beliau juga terkilan apabila hasil kajiannya itu mendapati bilangan perokok tegar semakin meningkat, sekali gus kempen mengenai bahaya merokok dilihat kurang memberi kesan.
“Bilangan perokok masih gagal dikurangkan, malah lebih membimbangkan apabila budaya merokok itu mula mempengaruhi remaja yang masih bersekolah,” katanya.

Katanya, tabiat merokok itu memberi kesan buruk terhadap kesihatan, persekitaran dan memberi kesan sampingan kepada masalah ekonomi keluarga, sosial selain mengganggu perancangan masa depan remaja itu sendiri.

Beliau berkata, kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati kira-kira enam juta kematian dikesan akibat rokok setahun.

- BERITA HARIAN

Pengetua potong wang RM100 kena tindakan

Sekolah yang masih berdegil memotong wang bantuan khas RM100 yang diberikan kepada ibu bapa pelajar untuk membeli kelengkapan persekolahan bakal dikenakan tindakan tegas, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, pekeliling yang diedarkan kepada sekolah jelas menyatakan wang berkenaan hanya untuk meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak untuk sesi persekolahan akan datang.

“Sekolah yang gagal mematuhi arahan itu bukan saja diberi amaran, malah tindakan tegas akan diambil terhadap guru besar dan pengetua sekolah terbabit.
“Saya minta Ketua Pengarah Pelajaran buat siasatan menyeluruh berhubung perkara ini dan ambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Ketua Pengarah Pelajaran juga diminta memberi arahan lebih jelas kepada pihak sekolah melalui jabatan dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) supaya tidak lagi timbul kekeliruan atau salah faham sekali gus menjaga kepentingan pelajar,” katanya, semalam.

Berita Harian semalam melaporkan bapa seorang pelajar Azman Salleh, 38, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.
Puad berkata tindakan seumpama ini tidak wajar dan bukan cara terbaik meminta pelajar menyelesaikan sebarang bayaran tertunggak.

Di JOHOR BAHRU: Pengurusan sekolah seluruh negeri itu diberi amaran supaya memberikan wang bantuan persekolahan RM100 oleh kerajaan kepada ibu bapa pelajar dan jika masih ada hutang tertentu, ia perlu dikutip mengikut tatacara kewangan ditetapkan dan bukan melalui pemotongan bantuan wang itu.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani, berkata peringatan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sudah jelas dan tidak sepatutnya timbul masalah berkaitan pemberian wang bantuan itu membabitkan oleh ibu bapa dan pengurusan sekolah.

Beliau berkata, Jabatan Pelajaran Negeri juga sudah memberikan taklimat kepada pihak berkaitan termasuk Pejabat Pelajaran Daerah, guru besar dan pengetua sekolah mengenai penyaluran wang bantuan terbabit kepada ibu bapa, sebelum dilaksanakan pada 14 November lalu.

“Tatacara pembahagian wang bantuan persekolahan RM100 ini sudah dikeluarkan dan pihak sekolah perlu ikut arahan dikeluarkan kementerian.

“Jika ada hutang, sekolah perlu ikut tatacara kewangan iaitu sekiranya ibu bapa berhutang, pengurusan (sekolah) perlu menulis surat rasmi kepada mereka dan memohon pembayaran hutang. Bukan memotong bantuan RM100 ini,” katanya ketika dihubungi, semalam .

- BERITA HARIAN

Soal Jawab Agama : Memahami zakat perniagaan

SOALAN:

Apakah jenis-jenis perniagaan yang diwajibkan zakat dan adakah perniagaan yang rugi masih wajib membayar zakat?

JAWAPAN:

Terima kasih kerana bertanya. Sesungguhnya Islam amat meraikan kalangan peniaga. Untuk itu, demi kesejahteraan mereka, Islam telah menyediakan satu bentuk penyucian bagi mereka, yakni kebersihan harta dan kesucian jiwa dengan berzakat.

Zakat hakikatnya membersihkan harta daripada elemen haram (kerana percampuran hak manusia lain di dalam harta tersebut) dan pada masa yang sama menyuburkan harta dan perniagaan.

Zakat juga adalah pembersihan jiwa dan juga penyuburan rohani untuk lebih dekat dengan Allah SWT.

Firman Allah SWT: Ada pun orang yang memberikan apa yang ada padanya pada jalan kebaikan dan bertakwa, serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami (Allah) akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). Sebaliknya orang yang bakhil dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta dia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami (Allah) akan memudahkannya untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan. (al-Lail: 5-10)

Amat luas

Sahabat Nabi SAW menyatakan: "Dahulu Nabi Muhammad SAW memerintahkan kepada kami untuk mengeluarkan zakat terhadap harta kekayaan yang disiapkan untuk dijual". (riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

Oleh itu, zakat perniagaan adalah zakat yang dikenakan ke atas segala jenis barang-barang yang diniagakan bagi mendapat keuntungan, merangkumi barangan fizikal mahupun caj perkhidmatan dan sewaan.

Barang-barang ini termasuklah hasil pertanian, haiwan ternakan, emas, perak, perkilangan, perlombongan, perkapalan, pembekalan dan seumpamanya.

Zakat juga dikenakan ke atas semua bentuk perniagaan sama ada persendirian atau perkongsian dengan peniaga Islam dan bukan Islam, koperasi, perniagaan saham dan lain-lain.

Oleh itu, amat luas sekali skop zakat perniagaan ini. Apa yang perlu kita fahami, selagi mana barangan itu halal di sisi syariat dan ia memang diniatkan untuk diniagakan, maka tunduklah ia kepada zakat perniagaan.

Misalnya, jika seseorang meniaga emas dan perak, maka ia dikenakan zakat perniagaan dan bukannya zakat emas dan zakat perak.

Jika seseorang menternak lembu dan kambing untuk diniagakan, maka ia dikenakan zakat perniagaan dan bukannya zakat ternakan.

Berdasarkan hadis di atas juga, iaitu Rasulullah SAW berpesan kepada sahabat-sahabatnya untuk menzakatkan harta perniagaan yang disiapkan untuk dijual, maka ia bermakna zakat perniagaan tidak semestinya hanya dikenakan apabila sesebuah perniagaan itu mencipta keuntungan.

Apabila perniagaan itu rugi, tetapi harta atau modalnya masih lagi berada di atas paras nisab, maka perniagaan itu masih wajib dizakatkan.

Oleh itu, apabila sesebuah perniagaan itu telah mencapai tempoh setahun, maka si peniaga perlulah mengira aset perniagaannya, ditambah dengan keuntungan dan perlulah pula ditolak hutang-piutangnya dengan orang lain dan menambah hutang orang kepadanya yang diyakini akan dibayar.

Sekiranya keseluruhan harta perniagaan itu mencapai atau melebihi nisab semasa, maka perlu dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus.

Walau bagaimanapun, hari ini perniagaan lebih kompleks dan pengiraannya juga tidaklah semudah seperti mana yang dinyatakan, iaitu 'keuntungan ditambah modal' sahaja.

Maka, bagi memudahkan pengiraan zakat, pusat-pusat zakat telah pun mengemukakan dua kaedah moden bagi mengira zakat perniagaan iaitu:


Kaedah Model Berkembang (Growth Model)

Kaedah ini mengambil kira ekuiti pemilik perniagaan tersebut, sumber-sumber pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Dalam istilah yang lebih ringkas adalah modal dicampur dengan keuntungan.

lKaedah Model Modal Kerja (Working Capital Model)

Melalui kaedah ini, zakat perniagaan dikira dengan mengambil kira kedudukan harta semasa perniagaan dan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan serta dibuat pelarasan terhadap item-item yang telah dikenal pasti.

Oleh itu, semua peniaga sama ada perniagaan kecil-kecilan mahu pun berskala besar, hendaklah sentiasa memastikan perniagaan mereka dizakatkan.

Zakat boleh menjadi punca kepada datangnya keuntungan dalam perniagaan di dunia ini, bahkan apa yang lebih utama, keuntungan itu akan disertai keberkatan.

Bagi muslim, perniagaan yang disertai dengan zakat, bukan sahaja menyebabkan keuntungan di dunia, bahkan menjamin keselamatan yang abadi di akhirat nanti.

Untung di dunia, untung di akhirat juga, itulah yang kita cari. Wallahu a'lam.

- UTUSAN

Jangan pinggirkan yang tidak cemerlang UPSR

Oleh Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

SEMUA orang merasa teruja apabila melihat gelagat murid-murid melalui media massa yang melonjak kegembiraan apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Ada juga di antara mereka yang kelihatan terharu dan menangis kegembiraan kerana mendapat keputusan yang baik walaupun ia tidak diduga.

Kegembiraan tidak sahaja kelihatan pada wajah murid-murid yang mendapat keputusan cemerlang tetapi turut dikongsi bersama oleh ibu bapa, guru besar dan guru-guru di sekolah berkenaan. Walau apa pun ucapan tahniah dan syabas kepada 46,021 orang murid yang telah mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Sementara itu di satu pihak lain yang tidak mendapat keputusan cemerlang atau yang hanya mencapai keputusan Baik (Minimum C) berjumlah seramai 269,021 orang murid daripada hampir setengah juta calon yang menduduki peperiksaan mungkin hanya dapat tersenyum sinis melihat slip keputusan UPSR mereka.

Lebih malang lagi murid yang hanya mendapat D atau E dalam semua mata pelajaran akan merasa hampa, kecewa, putus asa dan jika tidak dibantu akan diselubungi rasa rendah diri yang berpanjangan. Apa tidaknya rakan-rakan yang mendapat keputusan cemerlang akan dijulang serta mendapat sanjungan dan pujian ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan.

Tetapi bagi kumpulan yang tidak menyerlah itu seolah-olah tidak diberi perhatian atau dianggap sebagai murid yang tidak ada harapan. Lebih menyedihkan lagi apabila balik ke rumah ibu bapa tidak habis-habis berleter atau memarahi mereka dan sengaja menyindir serta membandingkan dengan anak-anak jiran yang lebih cemerlang.

Kadang-kadang jika difikirkan dengan mendalam matlamat diadakan peperiksaan UPSR atau Ujian Penilaian Sekolah Rendah telah tersasar daripada tujuan asal. Sebenarnya peperiksaan UPSR diadakan bertujuan untuk menilai sejauh mana penguasaan pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran berasaskan lingkungan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan.

Jika murid mendapat keputusan A, B atau C bermakna mereka telah menguasai pengetahuan yang telah diajar kepada mereka. Tetapi jika mendapat keputusan D atau E bermakna murid berkenaan tidak dapat menguasai kandungan silibus atau tidak memahami maklumat dan pengetahuan yang telah mereka pelajari.

Di sinilah sepatutnya peranan guru dan ibu bapa untuk membantu anak-anak ini sekiranya didapati mereka tidak dapat menguasai pelajaran yang telah diajar kepada mereka. Pada dasarnya pelajar yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu bukan bermakna mereka akan menghadapi kegagalan sepanjang masa. Masih banyak lagi ujian dan peperiksaan yang akan dilalui sebelum mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

Banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan untuk melihat mengapa murid tidak mendapat keputusan cemerlang dalam sesuatu peperiksaan. Di antaranya ialah faktor lewat berkembang atau late development di mana ada di kalangan murid yang mempunyai kecerdasan yang baik tetapi agak lambat pacuannya.

Ada kalanya murid sebegini akan memperolehi pencapaian cemerlang apabila mereka sampai ke peringkat lebih tinggi mungkin semasa berada di sekolah menengah atau pusat pengajian tinggi. Di samping itu terdapat juga murid yang menghadapi masalah kesihatan yang tidak serius seperti rabun jauh atau kurang pendengaran. Kadang-kadang mereka tidak memaklumkan masalah ini kepada guru atau ibu bapa.

Faktor latar belakang keluarga juga turut memberi kesan kepada pencapaian pendidikan murid. Mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah mungkin tidak dapat menyediakan kemudahan yang banyak di rumah seperti tempat belajar yang selesa, gangguan kebisingan, kurang kemudahan peralatan tambahan pembelajaran atau peluang menghadiri kelas tuisyen berbayar.

Selain dari itu ada juga pengkaji yang mendapati bahawa di kalangan murid yang pintar atau gifted tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam ujian atau peperiksaan kerana mereka merasai kebosanan akibat terlalu lama berada di sekolah rendah. Murid pintar ini kadang kala merasa pengajaran guru adalah terlalu mudah, kurang cabaran dan mengetahui lebih banyak maklumat jika dibandingkan dengan apa yang dipelajari di sekolah. Akhirnya mereka tidak memberi perhatian yang serius terhadap pengajaran guru dan kurang membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan.

Tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan kadang kala disebabkan juga faktor kesihatan pada hari peperiksaan dijalankan seperti mengalami deman, sakit perut atau pening kepala. Akibatnya keputusan peperiksaan mereka tidak menyerlah seperti yang sepatutnya.

Persoalannya adakah matlamat pendidikan hanya bertujuan untuk memastikan murid mencapai pencapaian cemerlang dalam peperiksaan?

Sesungguhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan murid yang berketrampilan dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta mempunyai sifat kreatif dan inovatif yang akhirnya mereka akan menjadi warga negara yang berguna untuk membangunkan negara.

Oleh itu pendidikan kita mestilah juga berupaya untuk melahirkan manusia yang mempunyai sikap berani mencuba, jujur, akhlak yang tinggi, jati diri yang kental, sentiasa cergas dan sihat, tidak takut gagal, rajin, melakukan sesuatu secara bersungguh-sungguh dan tidak ada istilah berputus asa.

Untuk melahirkan murid yang sedemikian maka sudah tentu kita tidak berupaya untuk menilai perkara-perkara dinyatakan itu hanya melalui keputusan peperiksaan UPSR. Namun demikian inilah sebenarnya perkara yang perlu diterapkan dalam diri setiap murid sekiranya kita benar-benar ingin menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dengan yang demikian kepada murid yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR perlulah memuhasabah diri untuk menilai kembali di manakah kelemahan diri dan mula berusaha supaya kelemahan itu dapat diatasi terutama bagi persediaan untuk memasuki sekolah menengah pada awal tahun hadapan.

- UTUSAN

Soal Jawab Komputer : Masalah fail tidak dijumpai

SOALAN:

SETIAP kali saya membuka PC, akan keluar pop up Problem starting C:/Users/user/cnmss. The specified module could not be found. Apa yang perlu saya lakukan?

JAWAPAN:

KENAPA ia berlaku?

Secara umumnya, masalah ini berlaku kerana fail atau direktori (folder) tersebut tidak dijumpai oleh sistem komputer atau ia tidak wujud dalam komputer.

Sekiranya ia wujud, fail atau direktori tersebut tidak boleh dibuang kerana ia sedang digunakan oleh sistem komputer.

Jadi, ketika program Windows mula dilarikan dan ia mencari fail atau direktori tersebut tetapi tidak menemuinya.

Simptomnya adalah seperti yang terdapat dalam gambar rajah.

Antara simptom-simptom yang lain adalah terdapat mesej ralat yang mempunyai ayat-ayat berikut iaitu "Cannot find...", "Cannot start...", "Cannot load...", "Could not run...", Cannot run", "Error loading..." atau "specific module could not be found".

Perkara ini boleh disebabkan oleh beberapa perkara iaitu;

Proses pembuangan sesebuah program komputer dibuat secara tidak lengkap atau proses pembuangannya bermasalah.

Fail tersebut berada dalam senarai fungsi Startup Windows tetapi ia sudah tiada dalam komputer.

Berlaku masalah gangguan terhadap sistem komputer Windows yang normal disebabkan oleh ada fail sistem Windows yang dibuang atau dijangkiti virus dan Malware.

Biasanya fail yang berkaitan dengan nama cnmss adalah kepunyaan sesebuah program komputer yang dihasilkan oleh pihak Canon seperti program pemacu pencetak Canon dan sebagainya.

Cara untuk mengatasinya?

Perkara pertama sekali yang perlu dilakukan adalah, sila kemas kini program Windows dan perisian anti-virus yang digunakan. Kemudian, boleh laksanakan mana-mana cara yang akan dibincangkan seterusnya.

Imbas keseluruhan komputer dengan perisian anti-virus yang telah dikemas kini. Sekiranya ada virus, sila kenal pasti jenis virus dan ikuti langkah-langkah pembuangannya atau baik pulih.

Sila membuat pembuangan program atau aplikasi komputer yang berkaitan secara bersih dan teratur.

Sekiranya perlu, boleh dimuat turun aplikasi komputer yang digunakan untuk membuang mana-mana program komputer secara teratur dan bersih.

Seterusnya, larikan program komputer tersebut dalam komputer.

Fail atau direktori yang dikatakan hilang itu boleh dibuang secara manual dengan membuangnya dalam persekitaran mod selamat Windows atau Safe Mode.

Ini sekiranya fail atau direktori tersebut masih ada dalam komputer.

Sila buang fail atau direktori tersebut daripada konfigurasi senarai fail dalam Startup Windows.

Ia boleh dilakukan secara manual dalam program msconfig pada tab Startup atau secara automatik dengan menggunakan aplikasi komputer tertentu seperti Autoruns dan lain-lain.

Ia juga boleh dibuang secara manual menerusi program Regedit dengan melaksanakan pencarian fail terlebih dahulu.

Pastikan program Regedit itu dibuat salinan pendua terlebih dahulu.

Program Autoruns dihasilkan secara percuma oleh pihak Microsoft. Ia boleh dimuat turun menerusi alamat URL, HYPERLINK "http://technet.microsoft.com/en-us/sysinternals/bb963902.aspx" \t "_blank"http://technet.microsoft.com/en-us/sysinternals/bb963902.aspx.

Sekiranya ia disebabkan oleh virus atau malware, proses pengimbasan komputer boleh dilaksanakan dalam mod selamat. Pastikan juga komputer tersebut bebas daripada rangkaian dan internet.

Akhir sekali, sila kemas kini sekali lagi program Windows dan perisian anti-virus yang digunakan. Seterusnya, imbas kembali komputer yang bermasalah itu dengan perisian anti-virus.

- UTUSAN

Elak penyakit semasa melancong

KEBANYAKAN pelancong tidak menyedari perancangan pelancongan bukan sekadar menempah tiket dan tempat tinggal serta memastikan pasport anda dikemaskini," kata Bekas Presiden dan Ahli Majlis Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia (MSIDC), Profesor Datin Dr. Hamimah Hassan.

Dengan penerbangan udara pada masa kini lebih mudah dan menawarkan harga tiket murah, lebih ramai orang memilih destinasi antarabangsa.

Berdasarkan statistik daripada Pertubuhan Pelancongan Sedunia (WTO), ketibaan pelancong antarabangsa di seluruh dunia pada tahun 2009 atas tujuan perniagaan, bercuti dan urusan lain berjumlah 880 juta .

Ketibaan antarabangsa dijangka mencecah satu bilion pada 2010 dan 1.6 bilion menjelang 2020. Di Malaysia, sebuah kajian menunjukkan bahawa 31 peratus rakyat Malaysia telah melancong ke luar negara untuk tujuan bercuti dalam 12 bulan lepas .

Bergantung kepada jenis pengangkutan, kesihatan pelancong, gaya hidup yang diingini dan epidemiologi penyakit berjangkit di negara destinasi, melancong di luar negara mendedahkan pelancong kepada risiko kesihatan. Bukan sahaja pelancong mudah dijangkiti penyakit berkaitan melancong, tetapi pelancong mungkin menjadi pembawa bagi penyakit tersebut, seterusnya mendedahkan masyarakat sekeliling kepada risiko jangkitan.

Penyakit

Penyakit berkaitan melancong yang umum termasuklah hepatitis, demam kepialu dan influenza yang boleh disebarkan melalui makanan serta minuman tercemar, amalan seksual yang tidak selamat atau melalui pemindahan titisan semasa batuk, bersin atau bercakap .

Pelancong dari negara maju yang tidak dilindungi telah merekodkan kadar insiden bulanan jangkitan hepatitis A di antara 300 hingga 2,000 bagi 100,000 pelancong apabila melawat negara membangun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut melaporkan hampir dua bilion orang di dunia telah dijangkiti virus hepatitis B dan hampir 350 juta hidup dengan jangkitan kronik akibat virus ini. Tambahan pula, 600,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat daripada hepatitis B akut atau kronik .

Vaksinasi

Berdasarkan penemuan ini, cara terbaik untuk meminimumkan dan mencegah akibat-akibat tersebut adalah dengan mendapat perlindungan daripada awal dalam bentuk vaksinasi.

"Kepentingan membuat rancangan untuk kesihatan sebelum melancong bagi membolehkan masa mencukupi supaya jadual imunisasi boleh dilengkapi. Masa yang disyorkan untuk menemui doktor anda adalah sekurang-kurangnya empat hingga lapan minggu sebelum melancong. Namun, tidaklah terlambat untuk menemui doktor anda walaupun anda mempunyai masa kurang daripada empat minggu sebelum bertolak," ujar Dr. Hamimah

Bagi memberi panduan kepada anda yang bakal bercuti di luar negara, anda boleh melayari laman web Fit-to-Fly (www.fit2fly.com.my) yang menyediakan panduan pelancongan dan risiko kesihatan yang perlu diketahui para pelancong. Disediakan khas untuk rakyat Malaysia, laman web tersebut turut menyediakan maklumat berkenaan imunisasi yang disyorkan, dibahagikan mengikut negara yang bakal dilawati.

"Secara ringkas, perancangan, kaedah pencegahan dan langkah berjaga-jaga yang sesuai boleh melindungi kesihatan seseorang dan meminimumkan risiko mendapat penyakit berjangkit semasa melancong," ujar Dr. Hamimah.

- UTUSAN

Hati-hati provokasi Indonesia - Hamidin

JAKARTA - Pengurus Harimau Muda, Datuk Hamidin Mohd. Amin menuntut barisan pemainnya fokus sepanjang aksi final menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno malam ini.

Menurut Hamidin, skuad kendalian Ong Kim Swee tidak harus terikut-ikut dengan sebarang provokasi melampau daripada ribuan penyokong Sang Garuda Muda itu.

Bagi Hamidin, barisan pemain negara harus berjuang habis-habisan bagi memburu pingat emas, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada Sukan SEA 2009 di Vientianne, Laos.

"Saya rasa pemain-pemain sudah cukup arif dan faham dengan apa yang akan mereka hadapi (malam ini). Ini bukan kali pertama mereka beraksi di hadapan ribuan penyokong Indonesia.

"Sebelum ini di peringkat kumpulan, para pemain telah mengharungi situasi yang sama, tidak kira ketika menentang Indonesia atau pasukan lain. Jadi, situasi yang sama akan hadapi (malam ini).

"Jadi saya berharap para pemain tidak terlalu mengikut emosi sekiranya mereka diejek oleh penyokong Indonesia. Yang penting mereka fokus sepanjang perlawanan berlangsung," kata Hamidin kepada Kosmo! semalam.

Dalam masa yang sama, Hamidin tidak menolak kemungkinan skuad Harimau Muda dijangka sekali lagi menaiki Barracuda selepas tamat perlawanan untuk pulang ke hotel penginapan rasmi mereka di Hotel Sultan, kira-kira 1 kilometer dari Stadium Gelora Bung Karno.

Katanya, mereka akan berada di hotel tersebut untuk mengemas beg pakaian dan barangan masing-masing sebelum dibawa ke lapangan terbang dan menaiki pesawat khas pulang ke tanah air.

- KOSMO!

Cityliner henti khidmat di enam negeri

KOTA BHARU - Konsortium Transnasional Bhd. (KTB) mungkin menghentikan sepenuhnya perkhidmatan bas henti-hentinya, Cityliner, di enam negeri bulan depan sekiranya tidak ada pihak dapat membantu menyelesaikan masalah syarikat itu yang mengalami kerugian.

Pemberhentian perkhidmatan itu dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang melibatkan 80 laluan dan 400 buah bas.

Pengarah Eksekutif KTB, Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, dengan kerugian kira-kira RM300 juta yang ditanggung kini, syarikat tersebut terpaksa mengambil tindakan itu bagi mengelak terus menanggung kerugian setiap tahun.

"Kami juga belum menerima sebarang hitam putih daripada pihak-pihak yang dikatakan berjanji mahu membantu menyelesaikan isu ini termasuk kerajaan-kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)," katanya di sini semalam.

Tengku Hasmadi berkata, pihaknya akan berunding dengan kerajaan Negeri Sembilan hari ini dalam usaha membantu pihak syarikat menyelesaikan isu itu.

"Begitu juga dengan kerajaan negeri Kelantan yang belum ada tindakan proaktif diambil walaupun mereka pada dasarnya bersetuju membantu meringankan kerugian syarikat," katanya.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan RM100,000 sebulan selama empat bulan kepada anak syarikat KTB, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) yang mengendalikan perkhidmatan Cityliner di negeri itu bagi mengurangkan beban kos operasi.

- Bernama

Rawat diabetes lebih awal

Oleh DR L.Y. KAM

DIABETES bukanlah sejenis penyakit yang asing bagi masyarakat kita. Setiap hari tanpa disedari, kita mungkin berhadapan atau berdiri ataupun makan di sebelah seorang pesakit diabetes. Setiap satu dalam tujuh orang dewasa di Malaysia menghidapi diabetes. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga 2006 menunjukkan prevalen bagi diabetes di kalangan penduduk negara ini yang berumur 30 tahun ke atas meningkat kepada 14.9 peratus berbanding hanya 8.3 peratus pada 1996.

Bagaimana boleh berlaku peningkatan sebegini? Terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada penyakit diabetes seperti masalah berat badan, pengambilan makanan tinggi lemak dan kurang serat, keturunan atau sejarah keluarga (diabetes ada hubungkait kuat dalam keluarga). Begitu juga peningkatan umur, kurang bersenam dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif - ciri yang ada pada kebanyakan masyarakat kita. Wanita yang mengalami masalah diabetes ketika hamil mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit ini.

Diabetes boleh dibahagikan kepada dua jenis/kategori iaitu:

I. Diabetes Mellitus yang bergantung kepada Insulin (IDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis I;

II. Diabetes Mellitus yang tidak bergantung kepada Insulin (NIDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis II. Jenis yang paling banyak dialami adalah diabetes jenis II.

Jika anda mengalami gejala seperti luka yang lambat sembuh, jangkitan pada sistem pembuangan air kencing dan kemaluan, kebas kaki, dahaga, kerap buang air kecil dalam kuantiti yang banyak, letih dan lesu serta berat badan menurun tanpa sebab, anda disarankan menjalani ujian untuk diabetes.

Bagaimana diabetes dikesan? Kebanyakan orang tidak sedar mereka menghidap diabetes. Di Malaysia, pakar perubatan menganggarkan kebanyakan pesakit sudah menghidap diabetes bertahun-tahun lamanya sebelum penyakit mereka dikesan. Inilah sebabnya kita perlu mengetahui paras gula darah kita dengan kerap menjalani pemeriksaan. Diabetes boleh dikesan melalui ujian darah di mana-mana klinik atau makmal seperti Pathlab iaitu:

"Ujian paras gula ketika berpuasa - Ujian ini biasanya dijalankan pada waktu pagi selepas berpuasa selama lapan jam. Ini bermakna seseorang yang ingin menjalani ujian ini tidak boleh makan atau minum (kecuali air masak) selama lapan jam sebelum ujian.

"Ujian paras gula secara rambang - Ujian ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak perlu berpuasa.

"Ujian oral toleransi glukosa - Dalam ujian ini seseorang akan diberi minum air yang dibancuh dengan 75 gram glukosa. Tahap gula dalam darah akan diperiksa semasa puasa dan selepas dua jam pengambilan 75g glukosa.

Secara lazimnya ujian ini untuk wanita hamil yang disyaki menghidap diabetes di klinik kerajaan. Ramai wanita menghidap diabetes ketika hamil sedangkan mereka tidak pernah mengalami masalah itu. Keadaan ini dipanggil diabetes gestasi yang hanya berlaku ketika hamil. Wanita yang ada masalah ini mempunyai risiko mengalami pradiabetes dan diabetes jenis II kelak.

Biasanya ujian ini bertujuan mengetahui risiko menghidap diabetes gestasi ketika kehamilan memasuki minggu ke-24 hingga 28. Untuk mengesannya, wanita dikehendaki berpuasa selama lapan jam, dan akan diberikan air glukosa (ujian oral toleransi glukosa). Ujian ini sangat penting kerana diabetes gestasi boleh memberi kesan kepada kandungan; antara risikonya ialah badan bayi menjadi besar daripada normal (makrosomia), tahap gula dalam darah bayi terlalu rendah (hipoglisemia), bayi boleh mengalami demam kuning atau bayi boleh mengalami sindrom sesak nafas.

Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, dengan kawalan yang baik, iaitu dengan mengawal paras gula darah, mengamalkan pemakanan sihat, bersenam dan mengekalkan berat badan seimbang; wanita boleh melahirkan bayi yang sihat.

Ada lagi satu perkara penting yang perlu diketahui khususnya bagi pesakit diabetes iaitu ujian untuk mengetahui paras HbA1c. Ini adalah ujian bagi menunjukkan purata gula dalam sel darah merah dalam tempoh tiga bulan. Ia juga menunjukkan sama ada diabetes anda terkawal atau sebaliknya.

Dalam ujian ini, sampel darah pesakit akan diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis. Keputusan anda normal jika HbA1c berada pada tahap 6 peratus atau kurang. Tahap HbA1c yang digunakan untuk diagnosis diabetes ialah kurang dari 5.7 peratus (normal), 5.7 hingga 6.4 peratus (pra diabetes) dan 6.5 peratus atau lebih (diabetes). Jika anda menghidap diabetes, anda perlu memastikan paras HbA1c di bawah 7 peratus dan berbincang dengan doktor tahap yang sesuai untuk anda.

Diabetes tidak terkawal boleh mencetuskan pelbagai komplikasi yang membabitkan banyak organ seperti menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada mata (boleh mengakibatkan buta), saraf (kebas atau hilang deria rasa di tangan dan kaki boleh cedera tanpa disedari), otak (strok), buah pinggang (kegagalan buah pinggang) dan jantung (serangan jantung).

Jangan perjudikan kesihatan dan segeralah jalani pemeriksaan kesihatan am untuk mengetahui tahap kesihatan anda. Sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri, seharusnya datang untuk menjalankan saringan pemeriksaannya kerana umur yang panjang tidak bermakna jika kita tidak sihat. Ujian saringan kesihatan am boleh dilakukan di mana-mana klinik atau 50 cawangan makmal Pathlab di seluruh Malaysia.

- MINGGUAN MALAYSIA

Rahsia khusyuk dalam solat

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

SOLAT adalah komunikasi antara seorang hamba dengan Allah SWT yang seharusnya terjadi dengan suasana penuh mesra dan bahagia. Solat yang benar-benar diterima mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.

Solat yang sempurna juga melahirkan natijah kejayaan hidup di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dalam firman-Nya; Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. (al-Mukminun: 1-2)

Walaupun kita menunaikan solat setiap hari namun, sejauhmana keyakinan kita dalam melakukan amalan ibadah yang diperintahkan kepada kita dalam rukun Islam kedua itu dengan sempurna dan diterima oleh Allah. Atau mungkin sekadar mendatangkan penat dan letih sahaja.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya, Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud, "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." (riwayat an-Nasaie)

Untuk memperoleh solat yang sempurna perlu disertai dengan persediaan dari segi rohani dan juga jasmani.

Solat perlu dilakukan keadaan yang selesa di samping menumpukan sepenuh perhatian serta menghadirkan hati kepada Allah SWT sebagai persediaan rohani.

Daripada segi jasmani pula, solat adalah perbuatan anggota tubuh dan bacaan yang sempurna.

Justeru, untuk memperoleh solat yang sempurna yang menjanjikan ketenangan serta kebahagiaan hidup, maka amat penting kepada kita untuk menunaikan solat dengan penuh rasa khusyuk dengan memahami dan menghayati setiap patah perkataan yang diucapkan.

Maka proses komunikasi antara seorang hamba dan Penciptanya akan lebih bermakna dan memberikan kesan yang terbaik.

Berikutan pentingnya untuk mengecapi khusyuk dalam solat itu, Profesor Emeritus Datuk Isahak Haron bersama Ibrahim Hashim mengambil inisiatif menerbitkan buku Fahami bacaan dalam solatmu.

Ia menghimpunkan bacaan-bacaan dalam solat bersama terjemahan dengan penyampaian yang ringkas dan padat serta mudah untuk difahami.

Isahak berkata, buku tersebut dihasilkan daripada kajian beliau di beberapa sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) mendapati kurang daripada 10 peratus murid atau responden yang memahami bacaan al-Fatihah dan ayat lain dalam solat masing-masing.

"Pelajar sama ada di sekolah atau di institusi hanya didedahkan dengan bacaan solat dengan menghafal setiap ayat yang perlu dibaca semasa solat. Namun, mereka tidak ditekankan memahami bacaan ayat tersebut.

"Tinjauan peribadi saya juga mendapati, buku atau penulisan mengenai terjemahan bacaan dalam solat adalah sangat kurang diterbitkan oleh mana-mana organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerangkan buku Fahami bacaan dalam solatmu di Rumah Universiti, Universiti Malaya baru-baru ini.

Kajian tersebut memberi ilham kepada Isahak untuk menerbitkan sebuah buku sebagai panduan kepada masyarakat terutamanya orang yang baru memeluk Islam sebagai rujukan untuk menunaikan solat dengan sempurna dan menerima ganjaran penuh daripada Allah SWT.

Sebagaimana sabda Nabi SAW, "Seseorang hamba itu bersolat dan hanya mendapat satu persepuluh daripada solatnya, atau satu persembilan, atau satu perlapan, atau satu pertujuh, atau satu perenam, atau satu perlima, atau satu perempat, atau satu pertiga atau separuh". (riwayat Abu Dawud, Ahmad)

Buku ini mengandungi 13 bab bermula dengan bacaan wuduk sehingga bacaan tahiyat akhir. Di samping itu, buku itu juga menyediakan latihan tambahan untuk menambah kefahaman dan menguji meningkatkan daya ingatan serta hafalan.

Bagi pemahaman pembaca, penulis juga menyediakan ilustrasi bergambar sebagai panduan menunaikan solat dengan kaedah yang betul serta terjemahan lengkap secara per-kata bagi setiap ayat dan perkataan yang dibaca semasa solat.

Dengan menggunakan bahasa yang mudah dan penerangan ringkas, buku ini sesuai digunakan oleh segenap lapisan masyarakat bagi membantu meningkatkan rasa khusyuk dalam solat.

Ia sesuai dijadikan bacaan peribadi atau sebagai panduan dalam kelas pengajian untuk masyarakat umum.

Oleh itu, pembaca dapat memahami setiap bacaan yang dituturkan dalam solat dan menghayati ibadah yang dilakukan dengan sebaik-baiknya.

Buku itu juga secara tidak langsung mengajar pembaca untuk memahami dan mempelajari bahasa Arab yang merupakan bahasa syurga itu.

- MINGGUAN MALAYSIA

Recent Posts