Isnin, November 21, 2011

UNICEF Kenal Pasti 53 Bentuk Diskriminasi Sesama Kanak-Kanak

MENYEDARI kanak-kanak perlu mengetahui terdapat hak orang lain di sekeliling mereka yang perlu dihormati, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) telah mengangkat tema ‘Memupuk Rasa Hormat’ (Teach respect) sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2011 yang disambut pada 20 November 2011.

“Kanak-kanak perlu faham bahawa mereka juga perlu menghormati kanak-kanak lain.

“Memberi gelaran, mengajuk menggunakan mimik muka dan menyisihkan kanak-kanak lain kerana terdapat sesuatu perbezaan, perbuatan ini dilihat akan memberi refleksi dalam proses pembesaran kanak-kanak terbabit dan kanak-kanak itu sendiri,” kata wakil UNICEF ke Malaysia, Hans Olsen kepada Mingguan mStar.

Olsen berkata, sikap tidak menghormati kanak-kanak lain berkemungkinan besar akan berakhir dengan diskriminasi atau sifat prejudis terhadap orang lain pada masa akan datang.

Tambahnya, sikap prejudis juga boleh berlaku kerana pengaruh kehidupan dan melalui golongan prejudis sedia ada.

“Pandangan kanak-kanak dipengaruhi oleh pemikiran, tindakan dan percakapan orang sekeliling mereka.

“Dalam hal ini, walaupun ibu bapa mereka menjadi contoh yang baik, anak-anak mereka masih terdedah dengan golongan yang tidak tahu menghormati orang lain,” katanya.

Menurut Olsen, terdapat banyak situasi yang berlaku dalam masyarakat hari ini yang menggambarkan diskriminasi dan tiadanya sikap hormat-menghormati.

Enggan bergaul dengan golongan yang menghidap HIV, pendatang asing dan pelarian misalnya sudah menjadi salah satu senario biasa yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Kanak-kanak mungkin terdengar individu atau sekumpulan orang dewasa mempersendakan orang miskin atau komuniti orang Asli lalu melakukan perkara yang sama kepada orang lain.

“Ini kerana mereka melihat perbuatan seperti itu popular di kalangan orang dewasa dan berlaku di mana-mana. Akhirnya mereka menganggap perbuatan itu tidak salah,” ujarnya.

Olsen berkata, sehingga kini UNICEF telah mengenal pasti 53 bentuk diskriminasi yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak.

Bentuk diskriminasi tersebut termasuklah perbezaan jantina, bangsa, keupayaan, latar keluarga dan pendapatan, kedudukan geografi, kewarganegaraan dan status HIV.

Jelasnya, diskriminasi di kalangan kanak-kanak biasanya bermula dengan mempersendakan kanak-kanak lain dan tidak mengajak mereka bermain atau menyertai aktiviti bersama-sama dan lama-kelamaan membawa kepada tindakan yang lebih ganas seperti buli, penderaaan dan sebagainya.

Kanak-kanak tak faham tentang diskriminasi

Dalam pada itu, Olsen turut mengakui adalah sangat sukar untuk kanak-kanak memahami tentang diskriminasi, prejudis dan hormat-menghormati jika tidak diterangkan oleh orang dewasa.

“Kanak-kanak perlu diberi peluang untuk faham tentang keperluan mempertahankan hak seorang manusia dengan mengaplikasikannya terhadap kanak-kanak lain atau rakan sebaya.

“Orang dewasa termasuklah ibu bapa, guru dan masyarakat perlulah memupuk kesedaran kanak-kanak dalam hal ini,” katanya.

Olsen berkata, sebagai orang dewasa penting untuk mereka mendidik kanak-kanak supaya lebih peka dan sensitif terhadap perasaan orang lain, bukan sahaja perasaan orang yang lebih tua daripada mereka tetapi juga golongan kanak-kanak.

Tambahnya, kanak-kanak juga perlu diberitahu bahawa sebarang bentuk prejudis dan diskriminasi adalah tidak adil.

“Cuba galakkan mereka berubah ke arah lebih positif. Beri mereka contoh bagaimana untuk bertindak balas jika mereka menjadi mangsa diskriminasi atau melihatnya berlaku di depan mata,” ujarnya.

Mempersendakan rakan bukan perkara biasa

Kebiasaannya, kanak-kanak yang mempunyai imej tidak baik lebih terdedah untuk mempunyai prasangka tidak baik terhadap kanak-kanak lain.

Kelompok kanak-kanak ini mungkin akan cuba memperkukuhkan nilai diri mereka dengan mencari kumpulan kanak-kanak lain yang boleh dipersenda atau dijatuhkan.

“Mereka akan menganggap perbuatan tersebut mungkin tidak baik, tetapi sekurang-kurangnya diri mereka adalah lebih baik berbanding kanak-kanak yang dipermainkan itu.

“Bagi sesetengah kanak-kanak pula, dengan bertindak sebegitu mereka akan berasa diri mereka lebih penting dan berkuasa, berbeza dengan kanak-kanak lain,” katanya.

Olsen berkata, jika sikap dan tanggapan seperti ini dipandang remeh, kanak-kanak akan berterusan menganggap perbuatan menghina atau merendah-rendahkan kanak-kanak lain merupakan lumrah kehidupan.

“Mereka juga akan merasakan bahawa kanak-kanak yang didiskriminasi berhak mendapat layan sedemikian kerana taraf mereka yang rendah dan mempunyai kelemahan.

“Sebab itulah pentingnya kita membangkitkan isu ini kerana ketidaksamaan berlaku di mana-mana selain mahu memberitahu kanak-kanak terdapat idea dan tindakan yang tidak boleh diterima dalam sesebuah negara atau masyarakat,” katanya.

Kempen Pupuk Rasa Hormat Sempena Hari Kanak-Kanak 2011

SEMPENA Hari Kanak-Kanak Sedunia 2011 juga, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) mengadakan kempen bagi memupuk rasa hormat sesama kanak-kanak.

Wakil UNICEF ke Malaysia, Hans Olsen berkata, kempen berbentuk hebahan pesanan khidmat masyarakat (PSA) itu adalah selari dengan tema Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini iaitu ‘Pupuk Rasa Hormat’ (Teach Respect).

“Sebanyak dua jenis hebahan format video selama 30 saat telah disediakan untuk kempen ini dan boleh ditonton melalui dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.

Olsen yang ditemui ketika previu video tersebut kepada pihak media berkata, kempen tersebut dilaksanakan agar ibu bapa, guru dan golongan dewasa dalam masyarakat dapat mendidik anak-anak tentang hormat-menghormati melalui pelajaran dan contoh.

Katanya, bagi merealisasikan kempen ini UNICEF telah mengadakan kerjasama dengan Story Me Studios yang menghasilkan ilustrasi bagaimana kanak-kanak didiskriminasi oleh kanak-kanak lain.

Menerusi dua video ini, masyarakat akan dipertontonkan dengan dua situasi.

“Satu situasi memperlihatkan bagaimana seorang kanak-kanak secara terang-terangan memberitahu gurunya bahawa dia tidak mahu duduk di sebelah rakan sekelas yang menghidap HIV.

“Manakala satu situasi lagi menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki meniru gaya seorang rakannya berjalan menggunakan tongkat,” jelasnya.

- MSTAR

Sabtu, November 19, 2011

Malaysia layak ke perlawanan akhir Bolasepak Sukan SEA bertemu Indonesia pada 21 Nov 2011


Skuad bawah 23 tahun negara mara ke perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA selepas menundukkan Myanmar 1-0, di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Indonesia.

Ahmad Fakri Saarani muncul wira negara selepas menolak masuk gol kemenangan ke gawang Myanmar pada minit ke-85.

Malaysia sekali lagi akan berdepan kegilaan 100,000 penyokong tuan rumah pada perlawanan akhir Isnin ini, 21 November 2011 apabila Indonesia menewaskan Vietnam 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir hasil jaringan Patrich Wanggai dan Titus Bonai.

Indonesia akan bertemu Malaysia pada aksi akhir perlawanan bola sepak Sukan SEA XXVI pukul 8.30 malam di Gelora Bung Karno, Indonesia.

Tiket perlawanan kelayakan Olimpik Malaysia-Syria 23 Nov mula dijual pada 22 Nov

Tiket untuk menyaksikan perlawanan kedua pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 antara skuad Olimpik kebangsaan menentang Syria ditetapkan pada harga RM40 bagi tempat duduk utama dan RM20 bagi tempat duduk terbuka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, tiket berkenaan boleh dibeli di Stadium Shah Alam, Selangor dan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 dan 23 November ini bermula 9 pagi hingga 7 malam.

"Tiket juga boleh dibeli pada hari perlawanan (23 November) bermula 9 pagi sehingga 3 petang di Stadium Shah Alam dan dari 9 pagi sehingga waktu rehat perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil," menurut kenyataan itu.

Tiket berkenaan juga boleh dibeli secara on-line di www.tickethotline.com.my.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 November ini bermula 8.45 malam.

Skuad Olimpik kebangsaan tumpas 0-2 kepada Jepun di Stadium Tosu, Fukuoka pada perlawanan pertama, 21 September lalu.

- BERNAMA

Dasar Guru bekerja 9 jam sehari dimansuhkan - Menteri Pelajaran


Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan projek rintis pengajaran sembilan jam yang sepatutnya bermula di empat negeri, tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketetapan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan guru, selain tidak mahu menambah beban sedia ada.

Katanya, ketetapan itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (Datuk Seri Abu Bakar Abdullah).

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lapangan Terbang Labuan.

- BERNAMA

Borang bantuan khas RM500 diedar secara percuma mulai 1 Disember 2011 - LHDN

Borang program bantuan khas kerajaan RM500 kepada rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2012 akan mula diedarkan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada umum secara percuma pada 1 Disember ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan menggunakan mekanisme itu bagi memastikan setiap isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan berhak menerima bantuan berkenaan.

"Dijangka 3.4 juta individu akan mendaftar melibatkan nilai bantuan keseluruhan berjumlah RM2.6 bilion...untuk itu seramai 2,000 sukarelawan LHDN akan digerakkan ke seluruh negara bagi memudahkan proses pendaftaran,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan RM1.5 juta bagi pembinaan masjid dan penyampaian hadiah Tadika Firdaus, Rancangan Perumahan Tersusun Batu 4 di Ipoh hari ini.

Beliau berkata kementerian berkenaan juga menyediakan bilik gerakan sepanjang proses pendaftaran dan pengagihan wang berkenaan yang dijangka bermula Januari depan.

Katanya pendaftaran akan dibuat melalui LHDN, pejabat daerah atau agensi kerajaan terlibat serta kerajaan akan mengumumkan penerima yang layak melalui media massa.

Ahmad Husni berkata proses pendaftaran adalah sangat penting dan LHDN juga akan buka bilik gerakan dan kesemua sukarelawan akan membantu sepanjang proses pendaftaran termasuk di kawasan pedalaman.

Oleh yang demikian pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dan sentiasa berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengedar borang permohonan palsu.

"Kita tidak mahu ada golongan tertentu yang cuba mengelirukan bakal penerima insentif ini dengan mengedarkan borang palsu bagi mengaut keuntungan,” katanya.

Beliau berkata proses pendaftaran haruslah melalui saluran yang betul dan tidak melalui orang tengah.

"Kita akan menghantar pasukan sukarelawan ini ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk proses pendaftaran,” katanya.

- BERNAMA

Larangan Siar Gambar Sultan Ismail Petra

KOTA BHARU: Jawatankuasa Pemantauan, Keistimewaan dan Keselamatan bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra melarang semua media massa menyiarkan sebarang bentuk gambar baginda berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, merangkap pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim berkata jawatankuasa berpendapat pada masa ini adalah tidak sesuai bagi media massa iaitu televisyen, akhbar-akhbar dan mana-mana penerbitan termasuk secara maya menyiarkan sebarang bentuk gambar-gambar baginda.

"Oleh itu, semua penyiaran sebarang bentuk gambar-gambar baginda adalah dilarang sama sekali dan arahan itu diperkenankan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V," katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Hadir sama pada sidang media itu Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan, doktor pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian Datuk Prof Dr Wan Mohamad Wan Bebakar dan Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Ahmad Mahmood.

Beliau bagaimanapun berkata larangan itu tidak melibatkan berita-berita mengenai baginda yang dianggap boleh memberi kesan positif serta tidak bercanggah dengan etika kewartawanan.

Difahamkan sebelum ini beberapa akhbar tempatan menyiarkan gambar Sultan Ismail Putra yang masih gering di majlis santapan makan malam sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, di sini, Jumaat lepas.

Zainuddin berkata jawatankuasa itu menerima maklum bahawa pada masa ini Sultan Ismail Putra masih lagi menerima rawatan berterusan dan menunjukkan sedikit peningkatan kepada status kesihatan baginda.

Jawatankuasa itu yang dibentuk beberapa tahun lepas turut dianggotai Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Nordianah Hassan, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed.

- BERNAMA

3 juta tong sampah percuma untuk pemillik rumah

Seramai tiga juta pemilik rumah yang menjelaskan cukai pintu mengikut jadual akan dihadiahkan tong sampah beroda, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata tong tersebut disediakan oleh tiga syarikat konsesi yang diberi kontrak memungut sampah dan sisa pepejal di Kedah, Perlis, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Syarikat tersebut ialah Environment Idaman Sdn Bhd (di Kedah dan Perlis), Alam Flora Sdn Bhd (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrayaja, Pahang) dan SWM Environment Sdn Bhd (Negeri Sembilan, Melaka, Johor).

"Pemberian tong secara percuma ini adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Pembersihan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang dikuatkuasakan secara rasmi pada 1 Sept lepas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis penyerahan tong sampah percuma di Taman Lumba Kuda di Alor Setar hari ini.

Pemberian itu akan dilakukan sehingga 31 Ogos 2014 yang bermula di ibu negeri dan diikuti di kawasan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Chee Heung berkata 300,000 unit tong akan diedarkan di Kedah dan 30,000 di Perlis.

Beliau berkata penerima tong sampah itu perlu menjaga tong berkenaan dan melaporkannya kepada polis serta syarikat konsesi jika tong-tong berkenaan yang diletak nombor siri hilang.

Laporan kehilangan atau kerosakan tong boleh juga dibuat melalui talian bebas tol 1-800-88-7472.

- BERNAMA

Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang Dijangka Siap Julai 2017


Rancangan bagi pembinaan laluan MY Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang berjalan lancar dengan laluan berkenaan dijangka beroperasi pada Julai 2017, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation Datuk Azhar Abdul Hamid.

Beliau berkata MRT Corporation akan cuba mengelak daripada pemerolehan tanah selagi boleh terutama memandangkan kos tanah dalam pusat bandar raya Kuala Lumpur agak mahal.

"Perbincangan mengenai isu perundangan berkaitan tanah masih berjalan dan diharapkan kami boleh menyelesaikan isu tanah ini pada akhir tahun atau tahun depan," kata beliau kepada pemberita semasa pelancaran Kiosk Maklumat MRT di Plaza Metro Kajang, pada Sabtu.

Beliau berkata MRT Corporation telah mengambil kira isu-isu berhubung bangunan warisan dan kehidupan di Jalan Sultan.

Dalam usahanya untuk meningkatkan kesedaran awam tentang projek MRT, MRT Corporation melancarkan kiosk maklumat mengenainya di sini.

Selain di Plaza Metro Kajang, syarikat juga mempunyai kiosk maklumat di Tesco Mutiara Damansara.

"Kiosk maklumat yang diadakan baru-baru ini di dua pusat membei-belah yang sibuk di Lembah Klang terbukti mendapat perhatian ramai dengan lebih 12,000 pengunjung pada purata 790 orang sehari sejak bermula pada 1 Nov," katanya.

Azhar berkata syarikat juga akan membuka kiok di lokasi lain termasuk Jusco Maluri, stesen LRT Pasar Seni, Cheras Leisure Mall, The Store Sungai Buloh dan stesen LRT Bangsar.

Kiosk maklumat itu merupakan sebahagian kempen MRT Corporation terhadap penglibatan awam yang lebih luas yang akan melibatkan pameran bergerak serta pusat maklumat tetap yang akan diadakan pada akhir bulan ini.

Unit maklumat MRT mudah alih juga akan diwujudkan yang akan membolehkan MRT Corporation membawa maklumat kepada rakyat.

- BERNAMA

PTPTN Tidak Ambil Tindakan Bangkrap Terhadap Peminjam

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan mengambil tindakan bangkrap terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka, kata Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata pihaknya tidak merancang menjadikan tindakan tersebut sebagai langkah terakhir memungut kembali pinjaman kerana kaedah sedia ada telah menunjukkan perkembangan positif.

"Langkah terakhir ialah menyenarai hitam nama peminjam dengan Jabatan Imigresen yang menyebabkan mereka tidak boleh ke luar negara...ini dilihat berkesan apabila mereka sanggup untuk berunding dan menyelesaikan hutang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Dewan Undangan Negeri Jenderak di Kuala Krau dekat Temerloh, Sabtu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau berkata tindakan bangkrap tersebut juga tidak boleh diambil kerana pinjaman mereka tidak mencapai jumlah RM30,000 seperti yang tertakluk mengikut Akta Kebangkrapan.

Katanya kebanyakan pinjaman berjumlah antara RM15,000 hingga RM25,000.

Sementara itu, Ismail berkata PTPTN meluluskan pinjaman berjumlah RM42.35 bilion kepada 1.9 juta pelajar sehingga Okt lepas.

Katanya bagi tempoh itu, seramai 999,689 orang perlu membayar balik pinjaman membabitkan nilai RM6.27 bilion, namun hanya 730,221 peminjam berbuat demikian melibatkan jumlah RM2.80 bilion.

- BERNAMA

Norashikin Abdul Rahman - Setia walau berjauhan


Rumah tangga yang dibina tanpa adanya sifat saling percaya mempercayai di antara satu sama lain tidak akan membawa kepada kebahagiaan. Sebagai suami atau isteri, seseorang itu harus mempercayai pasangannya bagi mengelakkan timbulnya perselisihan faham.

Banyak perselisihan faham yang kecil boleh merebak menjadi hangat jika hati sentiasa dibakar dengan sikap cemburu.

Bagi suami atau isteri, jangan terlalu mengongkong pasangan kerana ini boleh menyebabkan timbulnya kebosanan dan muak dengan perangai pasangan.

Kadang-kadang pasangan kita memerlukan ruang untuk dirinya sendiri, begitu juga dengan diri kita. Justeru kita harus menghormati perasaan dan memahami pasangan kita.

Inilah pegangan dan prinsip yang diamalkan oleh pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norashikin Abdul Rahman, 40, dan suaminya, Mustapha Kamal Halim, 48, yang bertugas sebagai seorang juruterbang dengan Etihad Airlines, Abu Dhabi.

Norashikin dan Mustapha Kamal cukup bersyukur kerana rumah tangga yang dibina selama 13 tahun tetap bahagia sehingga ke hari ini tanpa diuji dengan masalah atau perselisihan faham.

"Kami berkawan lama sebelum berkahwin iaitu lapan tahun tetapi hubungan kami tidaklah serius, setakat kawan biasa sahaja. Hubungan kami cuma rapat setahun sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga," ujar Norashikin yang ditemui di banglo yang baru tiga bulan didiami di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun pertemuan hari itu tidak dapat disertai oleh Mustapha Kamal kerana sehari sebelum itu beliau perlu kembali bertugas ke Abu Dhabi. Namun sebelum pertemuan tersebut, penulis sempat menitipkan beberapa soalan kepada beliau mengenai rumah tangganya.

Menurut Mustapha Kamal, baik dirinya mahupun Norashikin mempunyai perangai yang sama, iaitu amat memahami, tidak cemburu buta dan tidak mengongkong.

"Susah jika isteri yang terlalu cemburu dan mengongkong kerana kita tidak akan dapat bekerja dengan tenang dan fikiran akan terganggu lebih-lebih lagi bagi kami yang memang berjauhan kerana saya di Abu Dhabi dan isteri di sini.

"Saya benarkan dia bekerja kerana sekurang-kurangnya dia tidak bosan dengan ketiadaan saya. Dalam masa yang sama, saya tahu dia boleh menjaga diri sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak kami, Nur Amanda, 12, dan Adam Salleh, sembilan tahun," kata Mustapha Kamal yang telah enam tahun bertugas di Abu Dhabi.

Sementara itu, kata Norashikin yang juga bekas pramugari MAS, apabila berjauhan, sifat cemburu memang mengganggu fikirannya namun apabila difikirkan dengan waras, dia tidak mahu memperbesarkan perkara remeh-temeh yang boleh mencetuskan pergaduhan.

"Saya tidak suka berprasangka. Asalkan dia baik, tidak mengabaikan tanggungjawabnya dan melayan kami dengan baik, itu sudah cukup bagi saya. Saya tidak mahu benda-benda kecil diperbesarkan kerana ini boleh menjadi punca kepada keretakan rumah tangga.

"Masa mula-mula dia pindah ke sana dulu, terasa susah juga hendak menyesuaikan diri tanpa suami. Namun setelah enam bulan segalanya kembali seperti biasa.

"Bila tidak bertugas, saya sendiri akan menghantar anak-anak ke sekolah di Sekolah Sri Tenby, Setia Alam dan jika ada masa lapang di waktu pagi, saya akan berjogging di kawasan rumah," jelas wanita yang tinggi lampai dan masih jelita ini.

Selain bertugas secara sambilan sebagai pembaca berita, Norashikin turut aktif sebagai pengacara di majlis-majlis.

- Utusan 19 November 2011

Tinjauan Dapati Remaja Perempuan Mudah Diperdaya Melalui Internet & Telefon Bimbit

Satu tinjauan yang dijalankan telah mendapati, remaja perempuan mudah terpedaya dengan orang yang tidak mereka kenali melalui telefon bimbit dan juga internet.

Tinjuan tersebut yang dijalankan oleh Women’s Centre for Change (WCC) mendapati, 80% daripada 100 remaja perempuan berusia antara 15 hingga 17 tahun dengan mudah menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang yang tidak mereka kenali menerusi telefon bimbit sementara 54% lagi telah bersembang melalui internet dengan orang yang tidak mereka kenali sebelum ini.

Pengarah WCC, Dr Prema Devaraj berkata dalam satu sidang akhbar pada Jumaat, tinjauan lapan bulan itu juga mendapati, wanita muda juga kini dengan mudah terdedah kepada orang yang tidak mereka kenali termasuklah mereka yang mempunyai niat jahat.

“Mereka ini tidak sedar akan bahaya yang mereka hadapi dengan berkongsi maklumat peribadi dengan orang yang tidak mereka kenali. “Malah kebanyakkan mereka tidak faham akan bahaya menjalinkan persahabatan dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini melalui cara bersembang dalam talian atau menerusi telefon," katanya.

Menurut Dr Prema, remaja perempuan dan wanita muda ini mungkin berpendapat adalah masih selamat untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini menerusi talian atau sms kerana tidak bertemu muka.

Bagaimanapun tegas Dr Prema, mereka yang berniat jahat akan dengan mudah memperdayakan remaja dan wanita muda ini secara tidak sedar tanpa mangsa mereka merasa suspek apa-apa.

Ini mereka lakukan dengan memperolehi kepercayaan mangsa mereka terlebih dahulu sebelum mula bertindak ke atas mangsa.

"Kita dapati, sesetengah mangsa rogol telah melalui pengalaman seperti ini," katanya.

Mangsa kemudiannya dengan mudah diugut setelah foto mereka melakukan adegan-adegan yang terlarang jatuh ke tangan penjenayah ini.

Dr Prema juga berkata, tinjauan mereka turut mendapati, satu pertiga daripada perempuan remaja telah diminta mengirimkan bahan-bahan yang menghairahkan atau memiliki unsur seks oleh orang yang tidak mereka kenali ini sama ada menerusi internet atau telefon bimbit.

Tinjauan itu yang dijalankan antara Januari hingga Ogos tahun ini di 10 buah sekolah di sini juga mendapati 17.3% daripada remaja perempuan telah menjalin persahabatan dengan orang yang tidak mereka kenali sebelum itu menerusi telefon bimbit.

Katanya lagi, 29.6% responden yang memiliki telefon bimbit telah terdedah kepada sms atau mms berunsur ghairah atau seksual daripada orang yang tidak mereka kenali.

Pada masa yang sama katanya, 36% responden yang berinteraksi menerusi rangkaian sosial seperti Facebook, Friendster dan MySpace, pula telah terdedah kepada pertanyaan berunsur seksual.

“Kita dapati 23% daripada responden telah berkongsi maklumat peribadi seperti nama sebenar, alamat dan umur dengan orang yang tidak dikenali,” kata beliau.

Hasil daripada dapatan tinjauan ini kata Dr Prema, WCC berhasrat untuk melancarkan kempen keselamatan siber demi untuk melindungi remaja perempuan daripada menjadi mangsa penyalahgunaan internet dan juga telefon bimbit.

“Adalah sama penting untuk ibu bapa mengetahui akan bahaya yang sedang menanti anak-anak remaja mereka jika terdedah kepada penyalahgunaan siber ini.

“Oleh yang demikian WCC mengalu-alukan mana-mana syarikat korporat yang ingin terlibat dalam program pertanggungjawaban sosial berganding bahu dengan kami dalam menjalankan kempen untuk melindungi remaja perempuan daripada ancaman ini," ujarnya.

- MSTAR

Rasulullah SAW garis empat tahap pendidikan jadi anak salih

ANAK anugerah dan nikmat terbesar daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Mutiara hati bagi pasangan ibu bapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan berlipat ganda jika mereka dididik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh.

Sebaliknya, jika mereka diabaikan tidak mustahil akan menjadi anak yang terbiar dan pada masa depan menjadi sampah kepada masyarakat serta negara. Justeru, memiliki anak yang salih serta baik budi pekerti menjadi impian setiap ibu bapa dan keluarga.
Contohnya, kisah Nabi Zakaria yang sudah lanjut usia tetapi belum dikurniakan anak untuk menjadi pewaris keturunannya. Lalu Nabi Zakaria memohon dengan berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan anak yang soleh.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali-Imran, ayat 38)

Anak kita sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih daripada sebarang kekotoran zahir ataupun batin. Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan mereka menjadi insan berjaya ataupun tidak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan.” (Hadis riwayat iman Muslim)

Menurut Islam memberi pendidikan kepada anak hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia sebegini segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka.
Ibnu Sina berpesan, katanya: “Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai yang buruk.”

Rasulullah SAW menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak iaitu anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.

Tahap Kedua, anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab. Tahap ketiga (15 hingga 21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan syariat.

Tahap keempat (usia lebih 21 tahun), hendaklah ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat supaya segala tindakan mereka terkawal.

Ibnu Khaldun membahagikan tujuan pendidikan kepada anak dalam tiga bentuk iaitu mempersiapkan anak dari segi keagamaan, akhlak dan pemikiran.

Ibu bapa tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan beranggapan kita sudah menunaikan kewajipan dan hak anak apabila mereka dihantar ke sekolah.
Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan mereka hidup tetapi memastikan mereka mempunyai prinsip teguh dan jati diri yang kuat.

Oleh itu, pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia penting untuk membantu mereka berdepan cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak kita mudah terpengaruh pelbagai pemikiran hingga sanggup menggadai prinsip kehidupan mereka.

Memelihara anggota keluarga daripada ancaman neraka tidak bererti mencegah mereka daripada maksiat. Kita juga mesti bersikap aktif mendidik dan menerapkan nilai murni dalam diri mereka sebagai kubu yang dapat menepis serta menapis pengaruh sekitar yang penuh mencabar.

Cuti sekolah sudah bermula dan ibu bapa hendaklah mengambil peluang ini mengatur program bermanfaat buat anak seperti menghadiri kem ibadah serta motivasi yang dianjurkan pelbagai pihak. Rancanglah sesuatu supaya cuti sekolah dimanfaatkan sebaiknya.

Jangan biarkan mereka sendiri yang menguruskan masa cuti tanpa sebarang pemantauan atau panduan kerana mutiara hati ini sebahagian daripada amanah Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.

- Khutbah Jumaat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)