Sabtu, November 19, 2011

3 juta tong sampah percuma untuk pemillik rumah

Seramai tiga juta pemilik rumah yang menjelaskan cukai pintu mengikut jadual akan dihadiahkan tong sampah beroda, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata tong tersebut disediakan oleh tiga syarikat konsesi yang diberi kontrak memungut sampah dan sisa pepejal di Kedah, Perlis, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Syarikat tersebut ialah Environment Idaman Sdn Bhd (di Kedah dan Perlis), Alam Flora Sdn Bhd (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrayaja, Pahang) dan SWM Environment Sdn Bhd (Negeri Sembilan, Melaka, Johor).

"Pemberian tong secara percuma ini adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Pembersihan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang dikuatkuasakan secara rasmi pada 1 Sept lepas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis penyerahan tong sampah percuma di Taman Lumba Kuda di Alor Setar hari ini.

Pemberian itu akan dilakukan sehingga 31 Ogos 2014 yang bermula di ibu negeri dan diikuti di kawasan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Chee Heung berkata 300,000 unit tong akan diedarkan di Kedah dan 30,000 di Perlis.

Beliau berkata penerima tong sampah itu perlu menjaga tong berkenaan dan melaporkannya kepada polis serta syarikat konsesi jika tong-tong berkenaan yang diletak nombor siri hilang.

Laporan kehilangan atau kerosakan tong boleh juga dibuat melalui talian bebas tol 1-800-88-7472.

- BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts