Selasa, Julai 19, 2011

e-Disiplin ke 10,000 sekolah

PUTRAJAYA 18 Julai - Kementerian Pelajaran akan memperluaskan penggunaan Sistem Kawalan Disiplin Murid (e-Disiplin) ke 10,000 buah sekolah seluruh negara sebagai program pembangunan pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, sistem e-Disiplin itu dapat membantu pihak kementerian memantau kes-kes disiplin dan memantapkan pengurusan disiplin sekolah.

Menurutnya, melalui sistem itu, guru disiplin sekolah akan bertanggungjawab merekodkan setiap kesalahan yang berlaku di sekolah.

"Setelah rekod itu dimasukkan, ia akan dapat dilihat oleh pihak kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah.

"Seterusnya melalui rekod-rekod tersebut, langkah-langkah intervensi akan dapat dirancang dan dilaksanakan di sekolah yang bermasalah," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan e-Disiplin di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 97 sekolah menengah dalam kawasan Felda mendapat sebuah komputer riba yang dilengkapi sistem tersebut.

Abdul Ghafar berkata, sistem e-Disiplin diaplikasi secara dalam talian di 317 buah sekolah sebagai projek rintis sejak 2009 hingga sekarang.

"Penggunaannya mendapat maklum balas positif daripada guru-guru dengan catatan penurunan masalah disiplin yang begitu signifikan sehingga 22 peratus," katanya.

Menurut beliau, sistem pengurusan secara profesional dan berteknologi itu dapat membantu guru-guru menilai, memantau dan mengurus disiplin pelajar dengan lebih berkesan.

- UTUSAN

Pekerja Bukan Hamba

Hadith:

DARI Khaitsamah r.a katanya: "Ketika kami sedang duduk (belajar) dengan Abdullah bin Umar tiba-tiba datang bendaharanya, lalu dia masuk ke dalam majlis.

Kata Abdullah kepadanya:"Sudahkah kamu memberi makan kepada para hamba sahaya? Jawab bendahara:"Belum tuanku!

"Kata Abdullah selanjutnya:"Bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:"Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) terhadap orang yang menjadi tanggungjawabnya."

Riwayat al-Bukhari

Huraian Hadith:

1. Islam datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah SWT di mana kedatangan Islam telah berjaya menghapuskan perhambaan dengan cara yang sangat halus.

Islam tidak terus melarang perhambaan, tetapi Islam menghapuskan amalan hamba abdi ini secara beransur-ansur. Banyak hadith Rasulullah SAW yang berkaitan dengan amalan perhambaan; ada amalan-amalan yang dikaitkan pahalanya sama seperti membebaskan hamba abdi dan ada denda-denda terhadap sesuatu perbuatan yang melibatkan pembebasan hamba abdi.

2. Pada zaman ini perhambaan tidak lagi wujud. Ini bermakna bahawa perhambaan sudah dimansuhkan oleh dunia seluruhnya. Tiada manusia yang boleh memperhambakan sesiapa juga dalam kehidupan mereka termasuk pembantu rumah, pekerja serta mereka yang lemah.

3. Memberi peluang pekerjaan kepada manusia lain untuk mencari rezeki tanpa menjatuhkan martabat kemanusiaannya adalah perkara yang dituntut oleh Islam. Malah Islam menetapkan bahawa di antara majikan dan pekerja terdapat batas-batas yang tertentu yang harus dijaga.

Majikan tidak boleh menganiaya para pekerjanya manakala pekerja tidak boleh bersikap buruk terhadap majikan. Masing-masing mestilah mempunyai rasa tanggungjawab, bertolak-ansur, baik sangka dan tolong menolong.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Telefon pintar beri kesan buruk?

SUATU ketika dulu, agak mudah untuk kita menyapa mereka yang tidak dikenali kerana pada masa itu masyarakat lebih mesra dan mudah bertegur sapa.

Tetapi kini, orang ramai lebih gemar 'membayar' untuk menghubungi kenalan yang jauh walaupun ada orang yang lebih dekat untuk dijadikan teman berbicara.

Pada masa lalu, makan bersama keluarga adalah satu situasi yang mana ibu menunjukkan kebolehannya memasak manakala abang akan bangga bercerita tentang perlawanan bola sepak di sekolahnya.

Ketika itu jugalah si adik akan 'menyambar' ketulan ayam goreng di pinggan kakaknya.

Itulah gambaran kemesraan dalam satu keluarga.

Kini, 'masa berkualiti' bersama keluarga makin pudar kerana keriuhan waktu makan menjadi sepi dan dingin kerana masing-masing lebih gemar memberi perhatian kepada peralatan komunikasi canggih milik mereka.

Jika dulu, barang kemas dan perhiasan badan seperti emas dan batu permata dijadikan ukuran simbol kekayaan seseorang, perkara itu bukanlah lagi satu-satunya kayu pengukur di masa sekarang.

Kini peralatan komunikasi canggih seperti Blackberry, telefon Android, iPhone, iPad dan komputer peribadi adalah simbol status individu di dalam masyarakat.

Walau terdapat berita positif tentang bagaimana peralatan canggih ini dapat meningkatkan produktiviti, persoalan yang masih tidak terjawab tetap timbul tentang impak daripada gajet-gajet ini terhadap rentak hidup sosial masyarakat.

Semakin popular

Penggunaan telefon pintar sudah semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Suatu masa dulu ia hanya mampu diguna oleh warga korporat dan ahli perniagaan tetapi kini gajet ini mampu dimiliki kebanyakan orang.

Telefon kini menjadi semakin 'pintar' setiap hari. Setiap model peralatan ini disesuaikan dengan keperluan komunikasi, kerja serta hiburan.

Pelbagai e-mel serentak juga boleh diterima oleh gajet ini. Perisian seperti MS Office dan PDF reader juga boleh dimasukkan ke dalam telefon pintar untuk kegunaan semasa.

Satu kajian pada tahun 2007 dijalankan oleh Research In Motion (RIM) mendapati pengguna biasa Blackberry boleh memberi satu jam dari masa muat turun mereka untuk keperluan produktif setiap hari dan ini meningkatkan darjah efisien sebanyak 30 peratus.

Elemen hiburan merupakan satu lagi faktor yang membuatkan telefon pintar hangat di pasaran. Keupayaan menyimpan serta memainkan video/filem, video YouTube dan juga hubungan dengan situs jaringan sosial selain pelbagai permainan yang menarik merupakan satu lagi aspek yang perlu 'dipunyai' oleh generasi masa kini.

Sehingga kini terdapat lebih 350,000 aplikasi iPhone dan sehingga bulan Januari tahun ini sebanyak 10 bilion aplikasi dimuat turun sejak produk ini memasuki pasaran pada tahun 2008.

Dibandingkan dengan 10 tahun dulu, mereka yang menggunakan gajet itu kini boleh mencipta aplikasi telefon mereka sendiri dan menjadikan satu peralatan serba boleh. Antaranya bertindak sebagai sebuah e-buku, menjadi 'terminal' permainan sehinggakan ada juga yang menjadi penghalau nyamuk.

Debat tentang kesan telefon pintar terhadap kehidupan penggunanya tetap berterusan.

Bagi kebanyakan badan korporat, mereka mahukan komunikasi 24 jam untuk mempertingkat kecekapan dan produktiviti. Tetapi adakah ini adil bagi pekerja mereka?

Bila difikirkan, situasi jaringan sosial yang membuatkan pengguna menggunakan gajet tangan mereka secara berterusan. Sekilas pandang ini boleh memberi kemudaratan.

Bila individu dapat 'diheret' dari kehidupan mereka untuk bekerja (luar dari masa bekerja) sudah cukup buruk, mengeluarkan mereka dari suasana sekeliling akan lagi memburukkan keadaan.

Adakah kita akan bergantung kepada teknologi untuk berhubung dengan orang lain walaupun beliau berada tidak jauh dari diri kita?

Inilah aspek di mana imbangan perlu wujud. Tak akan ada sesiapa yang mahu ke stadium dan dikelilingi oleh penonton yang bersorak bagi satu gol yang dijaringkan sedangkan pada masa yang sama mereka juga sibuk menghantar teks laporan kerja kepada majikan.

Menguruskan gajet anda

Gajet-gajet ini dicipta dengan niat yang baik iaitu menyenangkan komunikasi antara satu sama lain. Seperti juga makanan, terlebih penggunaan akan membawa kepada kemudaratan.

Memilih keutamaan pada masa yang sesuai adalah kunci bagi penggunaan telefon pintar. Seseorang itu mesti bertindak bijak bergantung pada situasi.

Bila seseorang itu hadir di majlis pengkebumian, adakah beliau perlu menjawab e-mel atau hantaran Twitter.

Kalau berbuat sedemikian sudah tentu beliau akan dianggap tidak sensitif dan tidak hormat terhadap keluarga simati. Tambah buruk lagi, ini akan mendatangkan kemarahan ahli keluarga individu yang meninggal dunia itu.

Tetapi pada seminar di mana penceramahnya membuatkan anda 'mengantuk', jelingan terhadap perkara terkini yang muncul di telefon anda akan membuat hari anda lebih 'ceria'.

Belajar menjauhkan diri dari gajet anda juga merupakan satu pendekatan yang baik. Seseorang itu harus belajar 'menyimpan' gajet kesayangannya ketika melakukan aktiviti seperti senaman, menunaikan ibadat serta keperluan agama ataupun ketika makan bersama keluarga.

Berikan masa bagi telefon kesayangan anda untuk 'berehat' . Ini akan membolehkan anda memberi tumpuan kepada kerja-kerja lain yang juga memerlukan perhatian sepenuhnya.

Juga cuba elak daripada bertindak membalas dan memberi respons untuk e-mel yang diterima berkaitan dengan kerja sebelum masuk tidur. Kalau anda berbuat demikian, ia akan memberi impak yang signifikan terhadap kesihatan fizikal dan juga mental kerana ini akan mengurangkan masa rehat.

Cabaran berterusan

Perkembangan teknologi akan terus rancak. Begitu juga permintaan untuknya. Ini akan membawa cabaran baru bagi setiap individu.

Keupayaan menimbang serta membuat keputusan yang baik bagi mencapai imbangan kerja dan kehidupan sememangnya diperlukan. Ini memerlukan perubahan sikap selain dari proses pembelajaran dan percubaan.

Tetapi perkara ini adalah sesuatu yang mesti dan memang perlu dilakukan. Sememangnya hidup ini adalah lebih bermakna daripada hanya menjawab e-mel dan melayari laman Facebook.

- Bernama

Public Mutual lancar dua dana Islam

KUALA LUMPUR 18 Julai - Anak syarikat milik penuh Public Bank Bhd. (Public Bank), Public Mutual Bhd. (Public Mutual) melancarkan dua dana Islam baru, Public Dana Islamic Treasures Growth (PITGF) dan Public Dana Sukuk (PSKF) pada hari ini.

PITGF merupakan sebuah dana ekuiti Islam yang bermatlamat mencapai pertumbuhan modal dalam jangka masa sederhana hingga panjang dengan melabur dalam syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana yang mematuhi Syariah.

PSKF pula merupakan sebuah dana bon Islam yang menyediakan pendapatan tahunan melalui pelaburan dalam sukuk dan instrumen pasaran kewangan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual, Yeoh Kim Hong berkata, PITGF menawarkan pelabur peluang untuk melabur dalam syarikat-syarikat yang berpotensi untuk tumbuh dengan memfokuskan pelaburannya dalam saham bermodal kecil hingga sederhana yang mematuhi Syariah.

Jelasnya, saham-saham bermodal kecil hingga sederhana secara umumnya menawarkan peluang pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding dengan saham-saham bersaiz lebih besar kerana asas perolehan mereka lebih kecil.

Beliau menambah, potensi pertumbuhan adalah cerah bagi saham-saham yang mematuhi Syariah kerana terdapat lebih kurang 796[1] saham bermodal kecil dan sederhana patuh Syariah yang kini tersenarai di Bursa Malaysia.

''PITFG memfokuskan pelaburan terutamanya dalam pasaran domestik, memanfaatkan peluang yang ada daripada prospek pertumbuhan ekonomi berdaya tahan Malaysia dalam jangka masa sederhana hingga yang panjang.

''Bagi mempelbagaikan pelaburan, dana ini boleh melabur sehingga 30 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dalam pasaran-pasaran luar negara terpilih.

''Pasaran-pasaran terpilih yang dimaksudkan seperti Korea Selatan, China, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Filipina, Thai, Indonesia, Australia, Luxembourg dan pasaran-pasaran lain yang diluluskan,'' katanya.

Pendedahan ekuiti PITGF adalah di antara 75 peratus hingga 98 peratus daripada NAB dana.

Tambah kenyataan Public Mutual, PITGF adalah sesuai bagi pelabur-pelabur agresif yang ingin mengambil bahagian dalam potensi pertumbuhan jangka panjang syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana yang patuh Syariah.

Sementara itu, jelas kenyataan itu, PSKF adalah pelaburan dalam sebuah portfolio pelbagai sukuk yang terdiri daripada sukuk korporat bagi menghasilkan pulangan yang secara amnya lebih baik daripada deposit pasaran wang Islam.

PSKF akan melabur sekurang-kurangnya 75 peratus daripada NAB dalam portfolio sukuk seperti sukuk berdaulat dan sukuk korporat (tersenarai dan tidak tersenarai) yang mempunyai pelbagai tempoh matang dengan bakinya dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam.

''Untuk mencapai kepelbagaian pelaburan, dana ini boleh melabur sehingga 30 peratus daripada NABnya dalam sukuk luar negara.

''Pasaran-pasaran luar negara yang boleh dilabur oleh dana tersebut termasuk Singapura, Jepun, Hong Kong, Australia, United Kingdom dan pasaran-pasaran lain yang diluluskan,'' ujar kenyataan Public Mutual.

Harga terbitan permulaan PITGF dan PSKF ialah sebanyak RM0.2500 seunit dan RM1.00 seunit masing- masing di sepanjang tempoh tawaran permulaan selama 21 hari dari 19 Julai hingga 8 Ogos 2011.

Pelaburan permulaan minimum bagi kedua-dua dana ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100.

Sepanjang tempoh tawaran tersebut, bayaran perkhidmatan promosi istimewa serendah 5 peratus daripada harga terbitan permulaan seunit ditawarkan ke atas pembelian unit PITGF oleh para pelabur.

Para pelabur yang memilih untuk melabur dalam PITGF dengan menggunakan Arahan Debit Terus semasa tempoh tawaran juga akan menikmati bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.25% NAB seunit selagi Debit Terus itu masih aktif. Tertakluk kepada syarat dan peraturan.

- UTUSAN

Apendiks ibarat bom jangka

JANGAN salahkan keturunan, gaya hidup mahupun apa yang dimakan apabila tiba-tiba anda didiagnosis dengan penyakit apendiks.

Menurut Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Peh Kiam Heng, penyakit tersebut ibarat bom jangka yang boleh berlaku pada sesiapa sahaja, tanpa mengira gaya hidup atau apa jua faktor lain.

Jelas beliau, ia sebenarnya bermula dari bahagian abdomen atau perut.

"Bila kita makan, makanan akan masuk ke salur pemakanan dari perut ke usus kecil dan akan ke usus besar.

"Makanan yang kita kunyah akan dihadam, kemudian dicerna dengan sebaiknya oleh organ penghadaman.

"Makanan tersebut akan bertukar menjadi bentuk serbuk dan usus besar menyerap air. Apabila menjadi bentuk ini, ia senang masuk dan sekali gus menyumbat satu ruangan kecil yang diberi nama apendiks," jelasnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Menurut beliau, apendiks kalau tersumbat pasti menyebabkan perjalanan dan bekalan darah seseorang terganggu.

Apabila terganggu, mudah jangkitan berlaku menyebabkan apendiks tersebut membengkak dan menimbulkan kesakitan.

"Apabila bercakap tentang penyakit apendiks, kita sering mencari punca mengapa boleh terkena penyakit ini. Sebenarnya, bukanlah disebabkan tabiat pemakanan, atau genetik.

"Sesiapa yang mengalaminya boleh dikategorikan sebagai kurang bernasib baik kerana apendiks bukanlah disebabkan anda seorang pemakan cili padi tegar atau bagi masyarakat Cina tabiat terus berlari lepas makan.

"Kesemuanya tidak ada kena mengena. Tiada kajian yang membuktikan perkara tersebut puncanya. Ia memang ibarat bom jangka," jelasnya.

Beliau menjelaskan, salah satu simptom sakit apendiks adalah kesakitan pada bahagian sebelah kanan bawah pusat hingga kadang kala menyebabkan pesakit demam, rasa memulas, loya dan muntah-muntah.

Namun, ada juga simptom yang tidak klasikal, contohnya perut rasa tidak selesa selepas makan dan berlanjutan hingga berhari-hari.

"Ada juga yang terasa kelainan di dalam perut. Namun, pesakit tidak pasti sakit di bahagian mana.

"Kalau kes yang sebegini, kita akan tahan pesakit di wad untuk pantau keadaan seterusnya.

"Cara diagnosis apendiks adalah mengikut prosedur klinikal sepenuhnya yang mana ia bergantung pada pengalaman doktor memeriksa keadaan pesakit dan ujian darah.

"Bila pesakit disyaki menghidap apendiks, biasanya langkah pertama kita akan ambil darah untuk melihat sama ada sel darah putihnya meningkat atau sebaliknya.

"Selepas itu barulah kita ambil sampel air kencing.

"Memang ada pesakit yang akan bertanya kenapa perlu ambil air kencing. Prosedur ini perlu dilakukan untuk mengenal pasti penyakit secara tepat kerana penyakit kencing kotor juga mempunyai simptom yang sama.

"Jadi untuk mengelakkan salah diagnosis dan rawatan sebaiknya, ujian dijalankan terlebih dahulu," ujarnya.

Sepanjang bergelar pakar, Dr. Peh mengakui perubahan corak pesakit yang dirujuk kepadanya.

"Pesakit zaman ini ramai yang berpendidikan tinggi, mereka rajin mencari maklumat tentang penyakit di Internet.

"Seperkara lagi, mereka memang sangat prihatin dengan tahap kesihatan diri masing-masing. Kebanyakan pesakit saya di hospital swasta ini selalunya sudah dirawat di peringkat awal.

"Berbeza dengan kebanyakan kes yang saya terima ketika berkhidmat di hospital kerajaan dulu ada di antara kes yang apendiksnya pecah dan terpaksa dirawat di ICU," katanya.

Beliau juga meminta pesakit apendiks agar tidak takut dengan pembedahan.

"Prosedurnya seperti pembedahan konvensional lain. Namun, kini terdapat cara moden iaitu laparoskopi iaitu potongan kecil dilakukan untuk kamera, manakala dua lubang lagi untuk peralatan umpama guna penyepit untuk menyingkirkan apendiks.

"Selepas pembedahan, pesakit biasanya tinggal di wad selama tiga hari," jelasnya.

- UTUSAN

Karamat para sahabat

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KEISTIMEWAAN Rasulullah SAW dan karamat para wali adalah jenis yang sama dari aspek hukum dan naqal (periwayatannya), yakni kita tidak perlu bersikap ketat dan tegas dalam meriwayatkannya sebagaimana yang dilakukan dalam soal hukum halal dan haram.

Keistimewaan dan karamat hanya berkisar di sekitar manaqib (biografi) seseorang dan kelebihannya.

Oleh sebab itu, pendirian Sheikh Ibnu Taimiyyah mengenai karamat para wali, sama dengan pendiriannya tentang keistimewaan Nabi Muhammad. Bahkan, beliau juga mengutip dan menaqalkan di dalam kitab-kitabnya, sejumlah contoh karamat para wali dan perkara-perkara yang mencarik adat yang pernah terjadi pada permulaan Islam (zaman sahabat r.a).

Jika kita mengkaji tentang darjat hadis-hadis yang menyebut mengenai perkara tersebut, sanad-sanad dan jalan-jalan penetapannya, nescaya kita akan mendapati antara hadis-hadis itu ada yang sahih, hasan dan daif; dan ada pula yang maqbul (diterima) dan mardud (ditolak) bahkan, ada pula yang munkar dan syaz (ganjil).

Kesemua darjat hadis seperti itu, diterima dalam bab ini. Antaranya, perkataan Ibnu Taimiyyah mengenai karamat sebahagian sahabat.

1) Ummu Aiman pernah keluar untuk berhijrah. Dia berangkat tanpa membawa sebarang bekalan, bahkan tanpa membawa air. Dia hampir mati kerana kehausan. Tetapi, ketika waktu berbuka dan dia berpuasa dalam perjalanannya, dia mendengar suara di atas kepalanya.

Ketika mengangkat kepala, dia melihat ada sebuah timba tergantung. Dia pun minum sampai kenyang. Setelah kejadian itu, dia tidak pernah kehausan lagi sepanjang hayatnya.

2) Safinah, pembantu Rasulullah SAW, memberitahu kepada seekor singa bahawa dia adalah utusan Rasulullah SAW. Safinah r.a kemudian berjalan dengan ditemani oleh singa tersebut hingga sampai ke destinasinya.

3) Al-Bara' ibn Malik termasuk orang yang jika bersumpah atas nama Allah, sumpahnya (doanya) sering dimakbulkan. Ketika berhadapan dengan peperangan yang begitu menekan kaum Muslimin, mereka kerap mengatakan: "Wahai Bara'! Bersumpahlah dengan nama Tuhanmu! (Mintalah kepada Tuhanmu!)".

Maka, dia pun mengucapkan: "Wahai Tuhan! Aku bersumpah dengan (nama)Mu, supaya Engkau mengurniakan kemenangan kepada kita." Musuh pun akhirnya kalah. Ketika Peperangan Qadisiyah, dia berkata: "Aku bersumpah kepada-Mu, wahai Tuhanku, kerana Engkau telah memberikan bahu-bahu mereka kepada kita (kemenangan), maka jadikanlah aku orang yang pertama syahid."

Maka mereka pun akhirnya 'memberikan bahu mereka' (menyerah kalah), dan Al-Bara' akhirnya gugur sebagai syahid.

4) Khalid ibn Walid, pahlawan kaum Muslimin yang terkenal, telah mengepung benteng musuh yang kukuh. Maka mereka berkata: "Kita tidak akan masuk Islam kecuali jika kamu berani meminum racun".

Khalid pun meminumnya. Ternyata, racun itu tidak memudaratkannya.

5) Ketika mengutus pasukan tentera, Umar ibn al Khattab melantik seorang lelaki bernama Sariyah sebagai pemimpin. Ketika Umar sedang berpidato di atas mimbar, tiba-tiba dia berteriak dari mimbar seraya berkata: "Wahai Sariyah! (Pergilah menuju ke) gunung! Wahai Sariyah! Gunung!"

Maka pada suatu hari, pemimpin tentera itu menemui Umar dan bertanya kepadanya. Dia berkata: "Wahai Amir al Mukminin! Ketika kita bertempur dengan musuh, kita telah dikalahkan. Tiba-tiba ada suatu suara yang kuat berteriak "Wahai Sariyah! (Pergilah menuju ke) gunung!" Lalu kita berlindung di balik gunung. Ternyata, Allah telah mengalahkan mereka (musuh-musuh)."

6) Perkara istimewa juga terjadi kepada al-'Ala' ibn al-Hadhrami. Beliau adalah gabenor Rasulullah yang dihantar untuk memerintah Bahrain. Dalam doanya, antara lain dia mengatakan: "Wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui! Wahai Tuhan Yang Maha Penyantun! Wahai Tuhan Yang Maha Tinggi! Wahai Tuhan Yang Maha Agung!" Maka Allah memperkenankan doanya.

Dia juga pernah memohon kepada Allah agar diberikan air supaya dapat berwuduk ketika mereka kehabisan air dan sebagai pengairan untuk orang-orang selepas mereka.

Ternyata doanya dikabulkan Allah. Bahkan, dia juga pernah berdoa kepada Allah ketika mereka perlu menyeberangi lautan, tetapi tidak dapat melaluinya bersama kuda mereka. Berkat doanya, mereka akhirnya dapat menyeberangi lautan itu.

Bahkan, mereka berjalan di atas air, dan tidak ada satu pelana pun yang dibasahi air. Dia juga pernah berdoa supaya orang tidak melihat jasadnya jika dia mati dan ternyata mereka tidak menemui jasadnya dalam liang lahad.

7) Hal yang istimewa juga terjadi kepada Abu Muslim al Khaulani yang pernah dilemparkan ke dalam api. Abu Muslim dicari oleh al-Aswad al-'Unsiy yang pernah mengaku menjadi nabi.

Al-Aswad berkata kepadanya: "Apakah engkau menyaksikan bahawa aku adalah Rasulullah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengar (hal itu)".

Al-Aswad bertanya lagi: "Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad utusan Allah?" Dia menjawab: "Ya."

Lalu al-Aswad memerintahkan supaya dinyalakan api yang besar, kemudian Abu Muslim dilemparkan ke dalamnya. Anehnya, mereka mendapati Abu Muslim bersolat dalam api yang marak itu. Api itu menjadi dingin dan menyelamatkannya.

Dia juga pernah datang ke Madinah setelah kewafatan Nabi Muhammad. Umar ibn al Khattab mendudukkannya antara beliau dan Abu Bakar al Siddiq kepadanya. Saidina Umar berkata: "Segala puji bagi Allah yang masih belum mematikan aku sehingga aku sempat melihat di antara umat Muhammad orang yang Dia perlakukan seperti yang pernah dilakukan-Nya terhadap Nabi Ibrahim Khalil Allah."

8) Sa'id ibn al Musayyib pada masa pertelingkahan di antara penduduk Madinah dan tentera Yazid ibn Muawiyah tahun 63 Hijrah, mendengar azan dari makam Rasulullah pada waktu-waktu solat, padahal masjid kosong dan tiada sesiapa selain dia di dalamnya.

9) 'Amru ibn Uqbah ibn Farqad pernah melakukan solat ketika cuaca panas terik, lalu awan menaunginya. Dia juga pernah dilindungi oleh singa ketika menggembala kuda sahabat-sahabatnya.

10) Mutrif ibn Abdullah ibn al-Syikhkhir apabila memasuki rumahnya, perkakas rumahnya bertasbih bersamanya. Dia pernah berjalan bersama sahabatnya di dalam kegelapan malam. Maka, mereka disuluh cahaya yang terpancar daripada hujung cemetinya.

Inilah antara karamat para sahabat r.a yang dinukilkan oleh Ibnu Taimiyyah di dalam al-Fatawa al-Kubra. (Jilid 11, ms. 281).

Kita menyebutnya di sini kerana Ibnu Taymiyyah adalah antara tokoh yang sering diidolakan oleh aliran yang menjadikan khususiyyat Nabi SAW ataupun keramat para auliya' punca sikap menuduh sesat sesama Islam.

- UTUSAN

Hina, cerca Agong boleh didakwa

Undang-Undang Kanun Keseksaan boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang menghina atau mencerca Yang di-Pertuan Agong, kata pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Menurutnya, mencaci Seri Paduka merupakan satu kesalahan tetapi kategori kerakyatan yang tertakluk kepada tindakan perlucutan kerakyatan ialah kerakyatan jenis pendaftaran dan tidak terhadap kerakyatan melalui operasi undang-undang.

Misalnya, kata beliau, mereka yang lahir di Malaysia tidak boleh dibuang negeri justeru kalau menghina atau mencaci Agong atau merancang menentang baginda.

Namun, tegas Rais, mereka yang lahir di Malaysia tetapi memperoleh status kewarganegaraan negara asing juga boleh dilucutkan kewarganegaraannya lantaran perbuatan itu sudah cukup sebagai ‘tidak lagi mencurahkan taat setianya kepada Agong’.

“Yang menjadi persoalan hari ini ialah penguatkuasaan yang agak lemah dan teragak-agak. Perbuatan yang menghina Agong adalah sama seperti menghina negara.

“Lumrah ini ketara sejak bercambahnya media sosial di Internet yang rata-rata telah menukar budaya ketimuran dan nilai-nilai murni kita.

“Melucutkan kerakyatan hanya boleh dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri jika seseorang itu telah menunjukkan tidak lagi menumpahkan taat setia kepada Malaysia,” kata beliau.

- UTUSAN

RM200 juta saham Bank Rakyat dilanggan, masih dibuka

KUALA LUMPUR 18 Julai - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) yang menawarkan dividen sebanyak 15 peratus sejak 12 tahun berturut-turut, masih membuka langganan kepada individu dan koperasi yang berminat untuk memiliki sahamnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak langganan dibuka Mei lalu, Bank Rakyat sudah menerima langganan bernilai RM200 juta.

''Bank Rakyat memberi peruntukan lebih banyak kepada individu dan mereka yang berminat masih berpeluang untuk melanggannya

''Setiap individu dibenarkan memiliki saham Bank Rakyat sebanyak RM500 seorang dan mereka boleh melanggan lagi kerana tiada tarikh tutup ,'' katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama bank itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim dan Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah membenarkan Bank Rakyat menaikkan modal berbayarnya sebanyak RM1 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3 bilion.

Ismail berkata, Bank Rakyat tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus seperti yang dinikmati sejak 12 tahun berturut-turut.

''Sekiranya prestasi kewangan konsisten, kita tidak ada masalah untuk membayar dividen sebanyak 15 peratus,'' kata beliau.

Beliau juga berkata, Lembaga Pengarah Bank Rakyat telah meluluskan pembukaan lapan lagi cawangan baru pada tahun ini, tidak termasuk empat yang akan dibuka pada tahun ini.

Antara lokasi lapan cawangan yang diluluskan itu ialah Pendang, Gerik, Nusajaya, Kuala Lipis, Kota Kerian dan Serian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, bank itu merancang untuk membuka lima cawangan setiap tahun.

Mengulas mengenai peluasan operasi, Ismail Sabri berkata, bank itu sedang melihat pasaran di Brunei dan Indonesia melalui kerjasama dengan koperasi di negara-negara tersebut.

Bagaimanapun, setakat ini ia dalam peringkat yang terlalu awal.

''Banyak perkara yang perlu dilakukan, melihat dasar-dasar berkaitan dan sehingga kini tiada apa yang boleh diperkatakan,'' ujar beliau.

- UTUSAN

Isnin, Julai 18, 2011

Ahli Parlimen PAS - Titiwangsa Dr Lo' Lo' meninggal dunia


Ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo Lo' Mohd Ghazali meninggal dunia pada jam 10.13 malam ini di Hospital Selayang Hospital di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun.

Berita kematian Allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Siang tadi Dr Lo' Lo' berada dalam keadaan kritikal daripada penyakit barah yang dialaminya.

Dr Lo' Lo' adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Beliau sangat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Bagaimanapun, pilihan raya kecil tidak akan diadakan kerana tempoh parlimen sudah melepasi tiga tahun.

Kerusi Titiwangsa hanya akan diisi apabila pilihan raya umum diadakan.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, anak Allahyarhamah, Muhd Fawwaz, memberitahu jenazah ibunya diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.

- MALAYSIAKINI

Ramadhan: Kedah gugur larangan atas pusat hiburan

Kerajaan Kedah pimpinan PAS telah menggugurkan rancangannya untuk menguatkuasakan enakmen negeri 1997 yang memerlukan bar, disko dan kelab karaoke ditutup pada bulan Ramadan yang akan datang, kata seorang pegawai kerajaan negeri kepada AFP hari ini.

Negeri itu memutuskan Mei lalu untuk menguatkuasakan penutupan semua pusat hiburan pada bulan suci Islam itu, seperti yang ditetapkan dalam undang-undang negeri yang diluluskan oleh pentadbiran BN sebelumnya.

Bagaimanapun, rancangan itu mendapat bantahan pengendali tempat
hiburan, serta lain-lain parti komponen Pakatan Rakyat yang bimbang larangan menyeluruh itu akan menjejaskan sokongan pengundi bukan Islam.

Yang paling vokal mengkritiknya ialah pengerusi DAP, Karpal Singh, yang semalam mendesak supaya larangan itu dibatalkan.

Pengendali pusat hiburan juga memberi amaran bahawa larangan tersebut boleh menyebabkan lebih 6,000 pekerja dipecat.

Pegawai kerajaan negeri memberitahu AFP bahawa kontroversi tersebut telah diselesaikan selepas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak bertemu pengendali premis hiburan hari ini, dan bersetuju mereka beroperasi selagi mereka memastikan tidak ada orang Islam memasuki premis mereka pada bulan puasa.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar di Ampang hari ini, rce the shut down.setiausaha politik Azizan, Mohd Sanusi Md Nor memberitahu pemberita bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk tidak menguatkuasakan penutupan premis hiburan sepanjang bulan Ramadhan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas pengendali berkenaan secara sukarela bersetuju lesen mereka dibatalkan jika umat Islam ditemui di premis hiburan mereka dalam bulan Ramadan.

Menurutnya, jumlah sebenar operator pusat hiburan terbabit mungkin lebih rendah daripada yang dipetik.

Sebelum ini, pertelagahan antara PAS dan DAP - rakannya dalam Pakatan - berhubung isu ternakan babi dan larangan minum arak, mengancam menggagalkan Pakatan dan peluang untuk menjatuhkan BN, yang telah memerintah negara lebih daripada 50 tahun.

Sementara itu, dalam reaksinya, penganalisis politik dan pakar undang-undang, Abdul Aziz Bari menegur PAS dalam mengendalikan perkara itu.

Katanya, tempoh yang singkat, Kedah terpaksa menangani dua insiden yang tidak seharusnya berlaku: pertama sekatan demonstrasi pelajar di kolej KUIN dan kini larangan terhadap pusat hiburan dalam bulan Ramadhan.

"Benar, mereka boleh berhujah di segi teknikal seperti pengharaman itu hanya menguatkuasa peruntukan undang-undang yang diluluskan oleh BN (dan pada bila-bila masa dengan sokongan MCA dan Gerakan).

Bagaimanapun, katanya, mereka terlepas pandang soal yang lebih penting; iaitu kerajaan Pakatan perlu berbeza daripada BN, terutamanya pendekatan atas-ke-bawah.

Katanya, apa yang Kedah buat mungkin baik untuk parti itu di negeri tersebut, terutamanya dalam usaha mereka untuk membendung kebangkitan semula Umno.

Bagaimanapun, tambah Abdul Aziz, langkah seumpama itu mungkin tidak baik untuk peluang PAS - dan Pakatan Rakyat - di negeri-negeri lain dan ia juga boleh menjejaskan kedudukan parti itu di peringkat nasional.

- MALAYSIAKINI

Jangan Pakai Baju Kuning Dengan Lambang Bersih - Polis

Tidak salah bagi sesiapa pun memakai baju berwarna kuning tetapi diingatkan supaya tidak memakai baju kuning yang mengguna lambang Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kerana ia adalah satu pertubuhan haram, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata buat masa ini Bersih telah disahkan sebagai sebuah pertubuhan haram dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuat pengumuman itu baru-baru ini.

"Apabila pengumuman itu telah dibuat, tanggungjawab polis adalah untuk menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan sesuatu pertubuhan haram. Jadi, polis cuma menguatkuasakan undang-undang yang ada berkaitan dengan pengistiharan bahawa Bersih itu adalah satu pertubuhan yang haram.

"Itu sebabnya kita tangkap mereka yang memakai baju kuning yang menggunakan lambang Bersih. Tak salah pakai baju kuning...tak salah, pakailah baju kuning, stoking kuning atau topi kuning...cuma yang tidak boleh adalah apa juga logo yang menyokong pertubuhan haram Bersih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Skim Kepolisian Masyarakat dan 'Crime Awareness Team' (CAT)di Dataran Nilai di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan timbalannya Datuk Abd Manan Mohd Hassan.

Khalid berkata jika ada pihak yang tidak puas hati dengan larangan itu, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah untuk diputuskan.

"Jadi, bila mahkamah telah putuskan kita (polis) akan ikut. Kita akan melaksanakan apa juga perintah mahkamah itu mengikut undang-undang," katanya.

Mengenai penubuhan CAT, beliau berkata ia adalah program di bawah pencegahan jenayah bagi mengembeleng tenaga golongan muda ke arah membantu polis dalam agenda menurunkan kadar jenayah dan menghapuskan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah.

Katanya kerjasama dan penglibatan golongan muda dalam program masyarakat seperti CAT di bawah kawal selia Jabatan Belia dan Sukan sebagai aktiviti Rakan Muda, membolehkan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah dapat dianjurkan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya tampil membantu polis dalam pencegahan jenayah.

- BERNAMA

Recent Posts