Selasa, Julai 19, 2011

RM200 juta saham Bank Rakyat dilanggan, masih dibuka

KUALA LUMPUR 18 Julai - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) yang menawarkan dividen sebanyak 15 peratus sejak 12 tahun berturut-turut, masih membuka langganan kepada individu dan koperasi yang berminat untuk memiliki sahamnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak langganan dibuka Mei lalu, Bank Rakyat sudah menerima langganan bernilai RM200 juta.

''Bank Rakyat memberi peruntukan lebih banyak kepada individu dan mereka yang berminat masih berpeluang untuk melanggannya

''Setiap individu dibenarkan memiliki saham Bank Rakyat sebanyak RM500 seorang dan mereka boleh melanggan lagi kerana tiada tarikh tutup ,'' katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama bank itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim dan Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah membenarkan Bank Rakyat menaikkan modal berbayarnya sebanyak RM1 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3 bilion.

Ismail berkata, Bank Rakyat tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus seperti yang dinikmati sejak 12 tahun berturut-turut.

''Sekiranya prestasi kewangan konsisten, kita tidak ada masalah untuk membayar dividen sebanyak 15 peratus,'' kata beliau.

Beliau juga berkata, Lembaga Pengarah Bank Rakyat telah meluluskan pembukaan lapan lagi cawangan baru pada tahun ini, tidak termasuk empat yang akan dibuka pada tahun ini.

Antara lokasi lapan cawangan yang diluluskan itu ialah Pendang, Gerik, Nusajaya, Kuala Lipis, Kota Kerian dan Serian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, bank itu merancang untuk membuka lima cawangan setiap tahun.

Mengulas mengenai peluasan operasi, Ismail Sabri berkata, bank itu sedang melihat pasaran di Brunei dan Indonesia melalui kerjasama dengan koperasi di negara-negara tersebut.

Bagaimanapun, setakat ini ia dalam peringkat yang terlalu awal.

''Banyak perkara yang perlu dilakukan, melihat dasar-dasar berkaitan dan sehingga kini tiada apa yang boleh diperkatakan,'' ujar beliau.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts