Ahad, Oktober 03, 2010

Kunci sistem imun yang kuat

Kita bergantung kepada sistem pertahanan badan (sistem imun) yang mempertahankan badan kita secara semulajadi daripada dijangkiti kuman (bakteria, virus seperti A H1N1, Avian Flu, SARS dan juga virus demam dan selesema).

Demam atau selesema adalah tanda ketara menunjukkan sistem imun kita gagal untuk menentang kuman. Penyakit lain seperti tuberculosis dan pneumonia boleh juga terjadi kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah. Oleh itu, tidak ada alasan untuk anda mempunyai sistem pertahanan yang lemah yang boleh memberi ruang untuk anda dihidapi penyakit.

Kemodenan Hidup Melemahkan Sistem Pertahanan

Mengekalkan sistem imun yang sihat pada zaman sekarang adalah sangat mencabar. Secara amnya, kita tidak mendapat tidur yang cukup, kurang bersenam, makan makanan yang diproses dan mengalami tekanan hidup. Ini melemahkan sistem pertahanan, membuatkan kita terdedah kepada masalah kesihatan.

"Terdapat banyak penyelidikan menunjukkan yang tekanan hidup daripada segi mental dan fizikal boleh melemahkan sistem imun," kata Don Cox, PhD, Naib Presiden kepada kumpulan kajian dan perkembangan kesihatan di Biothera, Eagan MN. "Sudah tentu tekanan gaya hidup bukan perkara asing lagi kepada pengguna generasi sekarang.

Walaubagaimanapun, penemuan saintifik telah membawa kepada perkembangan ramuan baru yang boleh menyokong fungsi sistem imun.

Tambahan pula, masyarakat sekarang ini telah menjadi taksub kepada kebersihan (sanitized society). Ini membuatkan kita tidak memberikan "alat" yang diperlukan badan untuk menentang pencemaran dengan sendiri.

"Masyarakat moden yang taksub dengan kebersihan sehingga terlampau bersih telah menghapuskan semua antigen (sebatian antibodi) tidak berbahaya yang sepatutnya melatih badan kita untuk tidak bertindak balas dengan melampau.

Oleh itu, kita mudah terkena jangkitan pada masa kini." Kata Larry Robinson, PhD, Naib Presiden Hal Ehwal Saintifik di Embria Health Sciences "dengan itu ramai pengguna mengambil suplemen vitamin untuk sokongan tambahan."

"Whole Glucan Particle" (WGP) - Penambah Imun yang Paling Kuat daripada Alam Semula jadi

Daripada semua sebatian semula jadi yang diketahui boleh mengaktifkan sistem yang terpendam ini, yang paling lengkap didokumentasikan dan juga yang paling berkesan ialah WGP, yang diambil daripada sejenis. Sebenarnya, apabila ahli Jabatan Pertahanan NATO yang terkemuka menilai lebih 300 penggalak imun yang berpotensi, didapati WGP mempunyai markah yang tertinggi.

Bagaimanakah WGP Beta Glucan Berfungsi?

Di samping penyelidikan klinikal yang telah menunjukkan manfaat perlindungan terhadap tekanan dan cabaran kesihatan yang lain (seperti bakteria dan virus), banyak kajian telah menghuraikan mekanisme tindakan WGP dalam badan kita diperingkat sel. Satu kajian penting yang diterbitkan dalam majalah Journal of Immunology, menggunakan WGP yang berlabelkan cahaya kalimantang yang boleh dijejaki dengan mikroskop sambil ia menggerakkan berbagai sel imun dalam badan untuk mewujudkan aktiviti bio. Para penyelidik mendapati WGP diserapi ke dalam badan melalui Peyer's Patches, iaitu bahagian yang khusus dalam usus kecil. Di sini sel imun yang dikenali sebagai makrofaj menyelubungi WGP dan memecahkannya menjadi serpihan kecil yang kemudian membaluti neutrophil, iaitu sel imun yang paling banyak dijumpai dalam badan. Sebaik sahaja serpihan WGP itu membaluti neutrophil, ia akan menggerakkan neutrophil untuk menjadi lebih berkesan dalam kegiatannya membunuh pathogen (iaitu bakteria dan virus-virus).

Banyak kajian klinikal dan pra klinikal menunjukkan WGP dapat mengaktifkan sel imun penting dalam badan manusia, termasuk makrofaj dan neutrophil dengan itu membolehkannya menjadi lebih cepat mengenali unsur asing kemudian membunuhnya. Lebih satu dozen jurnal perubatan dan sains dibawah kajian golongan ini sendiri telah menerbitkan hasil kajian mengenai keselamatan dan keberkesanan WGP sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. WGP mempunyai lebih 40 paten yang diluluskan serta yang sedang menunggu kelulusan.

Terdapat 3 ujian klinikal yang berbentuk double-blind placebo yang dilakukan pada tahun 2007 dan 2008 dengan WGP. Satu kajian melibatkan subjek yang mengalami tekanan fizikal (iaitu para pelari maraton) dan dua kajian yang lain lagi itu melibatkan para pemadam kebakaran dan mereka yang mengalami tekanan tinggi disebabkan oleh gaya hidup dan kerjaya pilihan mereka. Tekanan akan merendahkan daya keimunan dan mereka yang selalu mengalami tekanan menjadi lebih rentan terhadap jangkitan. Dalam kajian itu, didapati WGP mengurangkan kejadian gejala yang dikaitkan dengan jangkitan saluran pernafasan atasan dan pada masa yang sama subjek ini menunjukkan peningkatan kecergasan dan kejernihan mental serta kurang keletihan.

WGP Beta Glucan Sebagai Suplemen Harian

Kita ketahui bahawa jangkitan bakteria dan virus, seperti H1N1, merupakan akibat sama ada secara langsung atau tidak langsung, daripada sistem imun yang berfungsi pada tahap yang kurang optimum. Perbezaannya sama ada kita sebenarnya akan menghidapi jangkitan virus adalah bergantung kepada sama ada kita mempunyai sistem imun yang sihat atau tidak. Dengan mengambil 1 kapsul (200mg) WGP setiap hari boleh membantu mengekalkan sistem imun anda serta anda berada dalam keadaan bersedia untuk menentang sebarang serangan kuman. Sebaik sahaja mendapat tanda-tanda awal jangkitan, anda hendaklah meningkatkan dos kepada 4-6 kapsul sehari. WGP telah terbukti sebagai selamat dan tidak bertoksik walaupun diambil dengan dos-dos yang lebih tinggi.

Adalah jelas sekali bahawa mengekalkan kesihatan dan kekuatan sistem imun seharusnya menjadi keutamaan sekiranya kita ingin mengelak daripada penyakit dan mencapai kesihatan yang optimum. Bagaimana proses penuaan kita dan mutu hidup kita adalah pada sebahagian besarnya bergantung kepada kesihatan sistem imun. Mengambil WGP setiap hari akan memberi kesan yang amat mendalam lagi meluas terhadap kesihatan anda.

- MINGGUAN MALAYSIA

Muda, kaya dan berpengaruh


Menjadi kaya pada usia muda adalah sesuatu yang menjadi impian hampir semua orang walaupun mungkin episod itu telah lama berlalu.

Sememangnya kekayaan menjadi kayu pengukur utama kebanyakan kita dalam menilai kejayaan seseorang.

Dalam erti kata lain harta, kereta yang dipandu, saiz rumah yang diduduki menjadi pengukur status dan kejayaan di mata orang lain.

Namun waima apapun menjadi kaya dan bergelar bilionair pada usia muda adalah saat hidup paling bermakna dan boleh kita kategorikan umpama bulan jatuh ke riba.

Sudahlah muda, kaya, menjadi tumpuan dan dikenali ramai. Bukankah itu antara impian yang pernah diangankan kebanyakan kita ketika masih muda remaja.

Namun hakikat hidup yang sebenar meletakkan kita berada pada kehidupan sekarang dan apabila usia semakin lanjut kita sudah semakin mampu menerima kenyataan bahawa hanya beberapa orang yang terpilih sahaja yang diberikan peluang sedemikian.

Memang kalau diikutkan senarai, ramai di antara orang muda ini disenarai terkaya namun ia bukan hasil dari titik peluh mereka sendiri.

Dilahirkan dalam dulang emas dan dengan kekayaan yang begitu banyak mereka hanya perlu membuat pelaburan bijak untuk terus kekal kaya.

Antara mereka adalah putera raja dari Jerman berusia 26 tahun Prince Albert von Thurn und Taxis yang memiliki kekayaan bernilai AS$2.1 bilion (RM6.7 bilion).

Beliau telah dimasukkan dalam senarai orang terkaya sejak berusia lapan tahun namun hanya benar-benar mewarisi kekayaan ketika berusia 18 tahun.

Selain itu pewaris diraja Abu Dhabi turut membuat penampilan dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$4.9 bilion (RM15.6 bilion). Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahayan, 39, membuat kejutan utama apabila membeli kelab bolasepak Manchester City dua tahun lepas sebelum membeli pemain-pemain terbaik dunia pada peruntukan lebih AS$ 1 bilion.

Dalam majalah Forbes baru-baru ini ada menyenaraikan 400 orang terkaya di Amerika Syarikat (AS). Seperti biasa bekas manusia terkaya dunia Bill Gates yang juga pemilik Microsoft mendahului senarai dengan himpunan kekayaan AS$54 bilion (RM172.8 bilion).

Tempat kedua juga seperti biasa menjadi milik Warren Buffett melalui Berkshire Hathaway Inc. dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$45 bilion (RM144 bilion).

Berdasarkan senarai terbaru orang terkaya di AS, lapan dari mereka adalah orang muda yang berusia di bawah 40 tahun.

Menarik untuk diperkatakan lima dari mereka yang muda dan kaya di AS terlibat dalam perniagaan berkaitan dengan Internet.

Pastinya yang paling menarik perhatian ialah pengasas bersama dan pemilik facebook, Mark Zuckerberg. Beliau juga merupakan bilionair termuda dalam senarai bersama dengan Dustin Moskovitz.

Kedua-dua mereka baru berusia 26 tahun namun jumlah kekayaan Zuckerburg adalah AS$6.9 bilion (RM22 bilion) dan Moskowitz bernilai AS$1.4 bilion (RM4.4 bilion).

Seorang lagi pengasas bersama facebook Eduardo Saverinz turut tersenarai antara bilionair termuda dengan harta berjumlah AS$1.15 bilion (RM3.6 bilion).

Mungkin ada yang bertanya kenapa jumlah kekayaan mereka tidak sama. Ini berlaku akibat dari pegangan saham yang berbeza antara mereka bertiga iaitu Zuckerberg memegang saham dalam facebook bernilai 24 peratus, Moskowitz dengan pegangan enam peratus dan dan Saverinz pula bernilai lima peratus.

Seorang lagi pengasas bersama facebook adalah Chris Hughes. Namun keempat-empat bekas kawan baik ini tidak lagi bersama di dalam syarikat facebook kecuali Zuckerburg. Kisah mengenai kejayaan facebook ini merupakan satu mimpi yang menjadi realiti indah kepada empat sekawan ini.

Facebook mula diperkenalkan dari bilik asrama Zuckerberg ketika menuntut di Universiti Harvard pada empat Februari 2004.

Pada asalnya facebook adalah untuk kegunaan sesama pelajar di universiti berkenaan. Namun kemudian beliau bersama Moskovitz mula menyebar penggunaan facebook ke universiti dan kolej-kolej lain seperti Stanford, Dartmouth, Columbia, New York University, Cornell, Brown dan Yale

Mengambil keputusan tidak menamatkan pengajiannya, Zuckerberg kemudian berpindah ke Palo Alto di California bersama Moskovitz dan beberapa rakan yang lain untuk menyewa sebuah rumah kecil untuk dijadikan pejabat.

Beliau kemudiannya berjumpa dengan Peter Thiel yang membuat pelaburan yang besar dalam syarikat berkenaan.

Pada Julai lepas Zuckerberg membuat pengumuman bahawa pengguna facebook kini telah mencecah 500 juta orang satu kejayaan besar yang turut membantu beliau disenaraikan sebagai bilionair termuda di dunia.

Lumayan

Selain itu bilionair dari Silikon Valley lain yang membuat keuntungan lumayan melalui Internet adalah pengasas dan pemilik Google iaitu Sergey Brin dan Lawrence Page.

Syarikat ini yang bermula sejak tahun 2006 sebagai kajian projek oleh Brin dan Page ketika melanjutkan pengajian di peringkat Phd di Universiti Stanford.

Namun kini ia merupakan sebuah syarikat yang sangat menguntungkan dengan aset dan tunai keseluruhan mencecah AS$80 bilion (RM256 bilion) dan jumlah pekerja sebanyak 21,805 orang.

Sergey Brin dan Larry Page kini mempunyai kekayaan bernilai AS$15 bilion (RM48 bilion) setiap seorang pada usia hanya 37 tahun.

Bagi kategori wanita muda paling kaya pula senarainya tidaklah seramai lelaki namun menunjukkan peningkatan kepada lapan berbanding dua pada 2008.

Namun kebanyakan mereka ini mewarisi kekayaan dari keluarga dan bukannya melalui hasil titik peluh sendiri.

Contoh terbaik adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri. Hind Hariri yang kini berusia 26 tahun mempunyai harta yang diwarisi bernilai AS$1.2 bilion (RM3.8 bilion). Pada tahun lepas beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan Anas Karout.

Selain itu tiga adik beradik bilionair media dari Turki, Aydin Dogan dan isterinya Sema Isil Dogan tersenarai antara wanita muda paling kaya di dunia.

Ketiga-tiga mereka Vuslat Dogan Sabanci, 39, Hanzade Dogan Boyner, 38, dan Begumhan Dogan Faralyali, 33, walaupun dilahirkan dalam dulang emas namun mereka berjaya membuktikan kejayaan adalah hasil dari pendidikan dan kebolehan serta dibantu dengan kekayaan keluarga.

Namun bagi wanita muda yang berjaya menjadi bilionair dengan usaha sendiri, sememangnya pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan menjadi rencah kejayaan mereka sekarang.

Salah seorang ialah Chu Lam Yiu dari Hong Kong yang mencipta kekayaan melalui perniagaan bahan-bahan pewangi dan perisa untuk bahan pencuci, minuman, produk tenusu, kosmetik dan juga rokok.

Beliau yang berusia 39 tahun masih mengetuai perniagaan yang ditubuhkan sejak 12 tahun lepas dan kini mempunyai kekayaan bernilai AS$2.1 bilion (RM6.7 bilion).

Seorang lagi contoh wanita muda yang menjadi kaya hasil dari usaha sendiri adalah Taysha Smith-Valez yang menjadi kaya hasil dari pelbagai cabang perniagaan dalam bidang kecantikan.

Valez yang baru berusia 28 tahun juga mempunyai gedung membeli belah sendiri yang dikenali sebagai H.Couture Beauty.

Selain itu beliau juga memiliki beberapa konglomerat iaitu TSV-HBGgroup Inc, TrimyTAY - Telecom Inc.(IBC), dan TAY-SHA S. Valez de Ames Ltd.

Beliau pernah menerbitkan sebuah buku bertajuk Young Black Millionairess: How to Start a Million Dollar Business, yang diterbitkan pada 2005 selain sebuah majalah paling mahal di dunia iaitu Trillionairess Weekly yang berharga AS$129 senaskah.

Majalah berkenaan yang dikeluarkan dua minggu sekali hanya fokus kepada percutian mewah dan disasarkan kepada orang kaya dan ternama.

Namun tidak banyak maklumat yang diketahui tentang Valez malah jumlah kekayaan juga tidak diketahui kerana beliau lebih senang tidak terlalu menonjol kepada umum.

- MINGGUAN MALAYSIA

Helikopter terlaju di dunia


HELIKOPTER adalah kenderaan udara yang paling hebat ciptaannya kerana kemampuannya bergerak dengan mudah tanpa memerlukan landasan khas.

Ia mampu mendarat dan berlepas daripada apa sahaja permukaan sama ada di atas bangunan, kapal, bukit dan sebagainya, selain boleh berada tetap di udara.

Atas fleksibeliti itulah, kita dapat melihat lebih banyak helikopter di udara berbanding daripada pesawat persendirian dalam menjalankan pelbagai tugasan seperti memantau trafik, membawa eksekutif, membawa barangan, pertahanan udara dan sebagainya.

Bagaimanapun, kelemahan helikopter sudah tentu pada kelajuannya kerana ia tidak mampu menandingi kapal terbang bersayap kerana reka bentuknya lebih difokuskan kepada untuk terbang menegak dan bukannya meluncur laju.

Purata kelajuan sesebuah helikopter biasa adalah kira-kira 160 hingga 230 kilometer sejam (km/j), yang mana ia bergantung kepada sistem enjin dan rotornya.

Secara rasminya, helikopter paling pantas di dunia setakat ini adalah Westland ZB500 Lynx yang telah mampu kelajuan 401 km/j.

Bagaimanapun, salah satu syarikat yang terawal dalam penciptaan helikopter, Sikorsky Aircraft Corporation baru-baru ini telah mencatatkan lagi lagi sejarah dalam dunia penerbangan apabila memecah rekod kelajuan helikopter terlaju di dunia.

Syarikat itu melalui pengasasnya, Igor Sikorsky sebelum ini telah menjadi syarikat pertama di dunia memperkenalkan helikopter untuk pasaran besar-besaran dengan pembinaan 131 helikopter pada 1942.

Kini, syarikat yang juga pembina pesawat Blackhawk itu kembali berusaha mencatat sejarah dalam dunia penerbangan.

Baru-baru ini, helikopter X2 Technology Sikorsky telah berjaya mencapai kelajuan 250 knot (463 km/j), satu rekod baru dalam kelajuan helikopter.

Rekod tidak rasmi itu dicatatkan melalui penerbangan helikopter demonstrasi X2 Tecnology itu pada 15 September lepas.

Dalam penerbangan selama 1.1 jam itu, X2 Technology telah berjaya menewaskan kelajuan Westland ZB500 Lynx yang dicatatkan pada 1986.

Sebelum mencatatkan sejarah kira-kira dua minggu lepas, pada awal tahun ini, pesawat demonstrasi X2 itu telah berjaya mencapai kelajuan 181 knot (335 km/j) dalam penerbangan ujiannya.

Ia merupakan kelajuan yang sudah melebihi kemampuan mana-mana helikopter konvesional di pasaran yang hanya mampu terbang sekitar 160-170 knot.

Untuk rekod terbaru, pesawat X2 Technology yang telah memulakan programnya sejak 2005 itu telah mencapai kelajuan maksimum 250 knotnya dalam penerbangan yang diadakan di Pusat Pembangunan Penerbangan Sikorsky, Florida, Amerika Syarikat.

Dalam penerbangan itu, X2 juga telah berjaya mencapai kelajuan 260 knot (481 km/j) ketika melakukan penerbangan menjunam secara perlahan.

"Industri aeroangkasa kini telah memasuki horizon baru," kata Presiden Sikorsky, Jeffrey P. Pino.

Beliau berkata, pesawat demonstrasi X2 Technology terus membuktikan kemampuannya sebagai ejen perubahan dan Sikorsky Aircraft berbangga kerana terus berada di hadapan dengan teknologi inovatifnya dan meneruskan kehebatan syarikat sebagai pengasas industri.

Pesawat X2 dibina menggunakan pelbagai teknologi bersepadu yang bertujuan meningkatkan kemampuan pusingan coaxial rotor dan juga kestabilan helikopter walaupun digunakan dalam pelbagai keadaan.

Antara teknologi yang digunakan ialah kawalan penerbangan 'fly-by-wire', kipas rotor terkini, penggurangan rasa seretan, kawalan gegaran aktif dan sistem bantuan pendorong.

Helikopter itu boleh bergerak dengan kelajuan 250 knot tanpa masalah dan pada masa yang sama mengekalkan ciri-ciri seperti mudah dikendalikan seperti pada kelajuan rendah, berada tetap di udara serta penukaran kelajuan rendah dan tinggi yang mudah dan lancar.

Dalam penerbangan yang mencatat rekod itu, pesawat itu dikendalikan oleh Kevin Bredenbeck yang juga Pengarah Operasi Penerbangan dan Ketua Juruterbang untuk syarikat itu dan program X2 Technology.

Bredenbeck berkata, pesawat demonstrasi itu menunjukkan prestasi yang baik ketika dikendalikan dan memenuhi prestasi yanng diharapkan serta sentiasa meningkat prestasinya setiap kali dilakuakn penerbangan ujian.

"Parameter penunjuk prestasi utama kami telah dicapai," kata Pengurus Program untuk Program Termaju Sikorsky, Jim Kagdis.

"Kelajuan 25 knot merupakan sasaran yag ditetapkan sejak pesawat demonstrasi ini dibangunkan. Adalah satu kebanggaan untuk mengetahui yang pelanggan kami akan mendapat kemampuan teknologi ini," katanya.

Sememangnya, pembangunan dalam teknologi helikopter terus berkembang dan kita berharap ia juga akan menjadi satu kenderaan yang boleh diperkenalkan untuk kegunaan orang biasa bagi mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di masa depan.

- MINGGUAN MALAYSIA

Memahami isu ‘rasis’ di sebalik fasal 153

Oleh Adam Kadir

Menarik sekali apabila kita mengenangkan begitu banyak pihak yang merujuk Fasal 153 Perlembagaan ketika memperkatakan hal-hal hak keistimewaan orang Melayu dan Pribumi di Sabah dan Sarawak. Sebelum berganjak daripada hakikat ini, elok juga disebutkan bahawa Fasal 153 juga menjamin hak bukan Melayu/Pribumi menghayati apa yang telah mereka hayati selama ini.

Fasal 153 juga boleh diibaratkan seperti serampang dua mata atau pisau yang tajam dua belah. Disamping menjamin hak-hak Melayu/Pribumi secara langsung, ia mempastikan bahawa tiada undang-undang yang boleh dibuat bagi menjejas atau menghakiskan apa yang sudah dihayati oleh bukan Melayu/Pribumi dalam semua lapangan.

Premis ini mencerminkan kesimpulan yang dicapai setelah berlakunya proses tawar menawar dan tolak ansur antara kedua-dua pihak sebelum ianya dimasukkan sebagai satu peruntukan perlembagaan sebelum Tanah Melayu atau Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 ataupun dalam proses melalui tempoh kemerdekaan sehinggalah penubuhan Malaysia dan seterusnya.

Mengkaji Fasal ini membawa kita kepada realiti kehidupan masyarakat majmuk dan segala permasaalahannya dalam sinario sebuah negara. Di suatu peringkat, soal-soal berkenaan kuota peratusan Melayu/Pribumi dalam universiti diperuntukkan, dan di peringkat lain pula kuota dan jumlah permit/lesen Melayu/Pribumi, berbanding dengan etnik lain, dalam pelbagai aspek perniagaan, diberikan jaminan.

Suatu yang menarik dalam Fasal 153 ini ialah ia memberikan hak kepada pihak negeri membuat peruntukan yang sama dalam perlembagaan masing-masing. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah hendak menguatkan lagi maksud dan penguatkuasaan Fasal 153 ini takut kalau-kalau terdapat sebarang lacuna atau halangan kecil dan besar di peringkat negeri atau setempat, baik berbentuk undang-undang atau sebagainya, yang boleh mengakibatkan maksud Fasal 153 ini menghadapi masalah pelaksanaan dan penguatkuasaan.

Peruntukan perlembagaan atau mana-mana undang-undang di seantero dunia kini diberikan interpretasi menurut pertama, bahasa dan pengertian biasa bagaimana sesuatu undang-undang ditulis, dan kedua, sekiranya yang pertama itu masih lagi tidak jelas, konsep teleological dipakai. Teleological atau sinominnya purposive ialah pendekatan yang menekankan apakah maksud asal disebalik sesuatu undang-undang itu dibuat.

Ini dengan sendirinya membawa kita kepada suatu masa dan sinario, mungkin berdekad dan berpuloh tahun dulu, ketika berlakunya sesuatu perkembangan sosial-budaya, ekonomi dan politik yang memungkinkan sesuatu peruntukan undang-undang digubalkan. Undang-undang, seperti juga dalam hal-hal lain, tidak wujud dalam kekosongan. Ia terangkum dalam hukum sebab-akibat yang lebih luas.

Bercakap tentang perlembagaan, adalah relevan disebut bahawa Perlembagaan British sentiasa dirujuk zaman berzaman sebagai tidak bertulis. Sebenarnya ianya bertulis, tetapi bukan dalam bentuk sebuah buku genap seperti Perlembagaan Malaysia.

Mendekati

Sesiapa yang memahami kaedah bahasa Inggeris sedar bahawa pemeriannya, atau expressionnya, sering abstrak untuk menarik naluri ingin tahu agar kita mendekatinya lebih mendalam. Ketika mendekati perlembagaan British, kita akan dapati ianya satu pengumpulan keputusan para hakim atau pemimpin masyarakat, di buat dalam mahkamah atau institusi adat istiadat dari satu masa ke satu masa.

Jelaslah keputusan-keputusan itu mencerminkan percubaan menyelesaikan masalah hidup dari peringkat istana ke peringkat rakyat biasa, dari peringkat hubungan antarabangsa hingga hubungan keluarga dan individu dalam serbi serbi kepelbagaian. Ianya dihimpunkan begitu tebal, jelas sekali ianya tidak dibuat menurut satu inisiatif khas dalam satu jangkawaktu yang ditetapkan.

Justeru itu, wujudlah pemikiran di kalangan pengamal undang-undang, terutama hakim-hakim dan peguam-peguam yang berwibawa di Britain, iaitu membuat interpretasi undang-undang harus jangan lari daripada memahami latar belakang maksud sesebuah undang-undang itu dibuat.

Maka sejarah dan peringkat-peringkat peradaban menjadi faktor rujukan. Memandangkan Britain menjadi negara industri pertama mencapai tahap negara maju melalui Revolusi Industrinya dari abad 18 hingga abad 19, maka banyak peruntukan perlembagaannya mencerminkan masalah dan penyelesaian masalah yang berkaitan dengan kerenah kehidupan dan perdagangan dalam proses penerusan revolusi itu yang memakan masa amat lama.

Sebaliknya di Malaysia, perjalanan negara amat berbeza daripada di Britain. Kita tiada revolusi industri dan revolusi lain. Sebaliknya di sana masalah ras dan hubugan ras amat kecil berbanding dengan apa yang dihadapi Malaysia. Rakyat imigrannya hanya dua peratus daripada jumlah rakyatnya. Maka masalah 'rasisme' tidaklah seberapa. Itupun sebahagian besar imigran hanya terdiri daripada orang India dan Pakistan, ekoran pemisahan dan kemerdekaan India dan Pakistan lebih 60 tahun dulu. Mereka yang bekerja rapat dengan penjajah British diberikan keutamaan berhijrah ke sana.

Disebabkan kecilnya peratusan rakyat imigran, maka perlembagaan Britain tidak begitu genap bagi menampung masalah yang ditimbulkan oleh rakyat imigran. Baru sekarang undang-undang dan perlembagaan hendak dikemaskinikan, tetapi bukan tanpa masalah besar memandangkan semua pihak amat termaklum dan berpendidikan.

Walaupun British mengenakan syarat dan kuota amat ketat, 1 hingga 2 peratus, untuk menerima rakyat imigran, namun untuk Tanah Melayu atau Malaya, British bersikap amat liberal. Ia mengenakan kuota 25 hingga 30 peratus untuk kemasukan imigran dari negara China dan 5 hingga 10 peratus dari India. Semuanya demi sumbangan kepada ekonomi British. Mereka berfungsi di ladang kopi, lombong bijih timah, ladang getah serta cetusannya.

Jika negara-negara jiran yang mempunyai rakyat yang rata-rata satu ras, atau homogenous, menghadapi masalah hubungan kemanusiaan, maka Malaysia yang mempunyai rakyat yang heterogenous (pelbagai ras/etnik) sewajarnya tidak kurang masalahnya. Maka Fasal 153 adalah satu percubaan untuk mengurangkan masalah itu, walaupun mustahil menghapuskannya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Persoalan Agama: Didik diri ketepikan perasaan was-was ketika solat

Soalan

Saya mempunyai penyakit dalam solat iaitu was-was ketika bersolat. Akibatnya, saya membaca lafaz solat berulang-ulang. Begitu juga ketika membaca doa dan ini menyebabkan saya malu kepada diri sendiri. Tolonglah saya ustaz. Bagaimana saya dapat menghilangkan rasa was-was ini.

Jawapan

Allah SWT berfirman dalam surah al-Naas, yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Aku berlindung kepada (Allah SWT) - Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Daripada kejahatan pembisik , penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
Surah ini mengajar kita memohon perlindungan daripada bahaya-bahaya batin, iaitu bahaya perasaan ragu-ragu. Was was atau ragu-ragu adalah suatu perkara yang datangnya dari syaitan. Was-was ditimbulkan oleh syaitan untuk merosakkan aqidah, ibadat dan akhlak seseorang hamba. Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’raf ayat 200 bermaksud: “Dan jika dihasut oleh suatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah (iaitu dengan membaca A’uzu billahi minas syaitanir rajim), sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan akan datang kepada seorang kamu dan berkata: "Siapa yang mencipta ini? Siapa yang mencipta ini?" sehinggalah dia akan bertanya "Siapa yang mencipta Tuhanmu?” Kalau sudah sampai demikian maka hendaklah minta perlindungan dengan Allah SWT dan sudahkan.”

Apabila keraguan atau was-was timbul dari sudut keimanan maka hendaklah ia mengatakan seperti hadis ini iaitu: "Sesiapa yang mendapati was-was maka hendaklah dia berkata “Aku beriman dengan Allah SWT” pada satu riwayat ada tambahan “dan Rasulnya (hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Mungkin saja was-was timbul dalam ibadat seperti solat. Dalam solat sekiranya lupa itu berkaitan dengan sunat Ab’ad, maka hendaklah ia melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam. Sekiranya ia terlupa atau ragu-ragu dalam perkara berkaitan sunat Hai’at, maka ia tidak perlu melakukan sujud sahwi.
Contohnya terlupa untuk duduk tahhiyat awal dan hanya teringat selepas sempurna qiam (berdiri tegak), maka dia tidaklah perlu duduk kembali dan cukup baginya sujud sahwi. Namun, sekiranya dia teringat sebelum separuh bangkit untuk qiam, maka bolehlah dia kembali duduk dan menyempurnakan tahiyyat awal dan tidak perlu sujud sahwi.

Contohnya lagi, terlupa bilangan rakaat kerana tidak meyakini sama ada terlebih atau kurang, umpamanya seseorang ragu sama ada dia di dalam rakaat ketiga atau keempat.

Maka hendaklah ia mengambil yang yakin (iaitu yang tiga) dan cukupkan empat rakaat. Sebelum memberi salam, hendaklah ia melakukan sujud sahwi.

Sujud sahwi adalah sujud dua kali selepas selesai bacaan tahiyyat akhir dan sebelum salam; ia dikerjakan untuk menutup kecacatan dalam pelaksanaan solat kerana terlupa, dan hukumnya adalah sunat.

Apa yang paling penting dalam menunaikan setiap ibadat perlulah dengan ilmu. Ilmu hendaklah sentiasa ditingkatkan agar dapat melaksanakannya sesuatu ibadat dengan penuh keyakinan. Yang kedua, hendaklah dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh. Kerana syaitan tidak mampu memperdayakan mereka yang ikhlas dalam melaksanakan ibadat. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijir ayat 40 yang bermaksud: “Dan aku pasti akan memperdaya mereka semua kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas.” Yang ketiga, jangan dipedulikan was-was yang timbul dari bisikan dan berpeganglah pada yang yakin. Sekiranya bisikan tersebut menimbulkan keraguan mengenai zat Allah, maka cepat-cepatlah menyebut: Aku beriman kepada Allah.”. Sekiranya was-was timbul dalam ibadat solat yang membabitkan sunat Ab’ad, maka hendaklah dilakukan sujud sahwi sebelum salam. Demikianlah. Wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

Stres kerjaya polis perlu rawatan segera

Oleh Akhbar Satar
Pakar kriminologi serta Ketua Pegawai Eksekutif Akhbar & Associates merangkap Pengarah Institute Crime & Criminology HELP University dan Pemeriksa Poligraf Bertauliah.

Tekanan atau stres di kalangan anggota polis bukanlah sesuatu yang asing. Banyak kajian membuktikan kerjaya polis terdedah kepada elemen yang menyumbang kepada stres. Di Malaysia, isu stres kurang diambil berat, sedangkan ia penyumbang utama kepada segala masalah dalam profesyen kepolisan.

Tugas polis sejak dulu lagi begitu luas dan pelbagai, daripada mendaftar kelahiran (satu ketika dulu pendaftaran surat beranak dilakukan oleh polis) sehinggalah merekodkan kematian. Pendek kata dalam bahasa mudah – ‘dari surat beranak sampai surat mati’ - semuanya diuruskan polis.

Hans Selye, seorang penyelidik terkemuka dunia mengenai stres berkata; “Tugas polis adalah tugas yang paling memberi tekanan di Amerika Syarikat (AS), melangkaui tekanan kerja yang dialami pengawal lalu lintas udara.”
Pakar kriminologi membahagikan stres membabitkan anggota penguat kuasa kepada tiga; fizikal, fisiologikal dan psikologikal. Stres fizikal disebabkan faktor luaran seperti mengangkat barang berat, bekerja di bawah panas terik, menyelam mencari bahan bukti dalam air berlumpur, kotor, bernajis dan sebagainya.

Jenis stres kedua pula disebabkan perubahan fisiologikal akibat kecederaan, tekanan, penyakit serta dahaga atau lapar, manakala Stres psikologikal diakibatkan tindak balas terhadap ancaman, kejian dan tekanan masyarakat, harga diri, banyak hutang dan sebagainya.

Kerjaya kepolisan termasuk dalam kategori ‘Psychological Distress and Extra - Role Performance’, iaitu bekerja tidak tentu masa di mana kesannya mengganggu kesihatan dan kehidupan seharian.

Contohnya, pegawai penyiasat akan menghadapi stres jika berdepan ‘role conflict’ apabila orang yang disiasat atau ditangkap itu adalah mereka yang berpengaruh, ahli keluarga atau kawan rapat. Kadangkala jemu bertugas kerana sering dikehendaki melaksanakan tugas luar jangka atau dirujuk sebagai ‘sudden alertness and energy’.
Tekanan dihadapi apabila menerima arahan orang berpengaruh di luar pasukan yang mengatasi etika kerja atau peraturan sehingga menyebabkan suspek terpaksa dilepaskan, siasatan dihentikan atau tiada pendakwaan. Tanggungjawab menjaga nyawa orang lain membahayakan diri sendiri serta keluarga juga menyebabkan polis tertekan.

Anggota polis stres menghadapi masalah sakit jiwa berpanjangan dan dalam situasi ini, senjata adalah alat berbahaya apatah lagi jika perlu membawanya pulang selepas selesai bertugas. Kejadian rakan sekerja membunuh diri juga meningkatkan stres ejen penguat kuasa.

Polis juga banyak mengalami masalah keluarga yang menyebabkan mereka menghadapi stres berpanjangan. Di AS, hasil kajian beberapa universiti mendapati 60 hingga 70 peratus kadar perceraian di sana membabitkan polis kerana stres dalam kerjaya.

Ada juga ‘post traumatic stress disorder’ apabila rakan sekerja mati ditembak, termasuk dalam keadaan menyayat hati seperti dibunuh dengan kejam. Ia boleh menyebabkan mereka mengalami trauma psikologikal selepas kejadian berlaku, kadangkala menyebabkan stres sehingga terpaksa berhenti kerja.

Berdasarkan ‘strain theory’, iaitu teori sosiologikal terkini yang dipelopori Robert Agnew pada 1992, kadangkala mereka yang ketegangan atau stres, menjadi putus asa sehingga terbabit dalam perbuatan tidak beretika, melanggar undang-undang dan melakukan jenayah, semata-mata untuk mengurangkan atau lari daripada stres.

Desakan pihak tertentu supaya siasatan kes disiapkan cepat boleh menyebabkan penyiasat menghadapi stres yang boleh mengganggu dan menjejaskan kualiti kertas siasatan. Tugas penyiasatan memerlukan masa, ketekunan dan bukan semudah seperti ditonjolkan dalam drama di televisyen.

Stres dalam kerjaya kepolisan juga boleh berlaku kerana sering dilabel perasuah. Setiap kali menahan seseorang di tepi jalan untuk pemeriksaan, ada saja prasangka buruk, sedangkan mereka menjalankan tugas. Tidak wajar menuduh seluruh pasukan korup, sedangkan perlakuan negatif hanya membabitkan segelintir.

Tugas polis bukan sekadar menyiasat tetapi juga memberikan keterangan di mahkamah. Penangguhan perbicaraan sesuatu kes akan meningkatkan stres bukan saja kerana menunggu giliran untuk memberi keterangan, malah juga ‘seksa’ apabila berdepan peguam bela yang berpengalaman dan digeruni.

Di Malaysia, masyarakat jarang memuji polis, sedangkan mereka menjaga ketenteraman dan keselamatan sehingga kita selesa untuk bergerak di mana-mana dan pada bila-bila masa. Saya pernah tinggal di Detroit, bandar paling tinggi kadar jenayah di AS dan sepanjang dua tahun di sana, tidak berani bebas berjalan kerana takut disamun.

Polis juga diharap berjaya dalam pendakwaan kes, sedangkan sebenarnya wujud pengasingan kuasa. Tugas polis hanyalah menjalankan siasatan, mengumpul data atau maklumat, manakala pendakwaan dilakukan Pejabat Peguam Negara. Namun, tanggungjawab polis hanya berakhir selepas kes habis dibicarakan di mahkamah.

Ketika saya masih bertugas di Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – SPRM), pihak Peguam Negara menetapkan supaya bukti yang dikumpul perlu mencapai 90 peratus, barulah ‘diizinkan’ untuk proses pendakwaan dan ia meningkatkan stres untuk mencari bukti yang kukuh supaya tidak timbul masalah ketika perbicaraan.

Jika tertuduh orang kaya, berpengaruh dan mampu melantik peguam bela yang handal sehingga menang perbicaraan atau jika kes dibuang kerana saksi berpaling tadah atau bersembunyi, polis atau ejen penguat kuasa seperti SPRM akan stres dan kecewa disebabkan usaha keras mengumpul bukti yang memakan masa dan kos tinggi, berakhir dengan sia-sia.

Kadangkala kurangnya pengalaman pegawai atasan menyebabkan arahan diberi kepada pegawai bawahan tidak relevan dan kurang tepat. Kesannya akan merugikan masa dan meningkatkan lagi stres pegawai bawahan berkenaan, tetapi dalam mana-mana agensi, pegawai atasan sentiasa betul atau 'the boss is always right’.

Ada juga ejen penguat kuasa menjadi mangsa pilih kasih, kurang mendapat sokongan pihak atasan walaupun bekerja bertungkus lumus dan cemerlang. Kadangkala polis juga menghadapi masalah untuk berkembang disebabkan kerenah birokrasi atau ‘red tape’, tiada autono-mi atau dalam sesetengah kes apabila orang tertentu mencampuri siasatan.

Stres juga dihadapi polis kerana kekurangan anggota sedangkan penduduk semakin ramai, masalah dan kes semakin bertambah, gaji yang diterima pula rendah. Ini mungkin antara faktor menyebabkan mereka stres dan mungkin terjerumus ke dalam gejala rasuah atau jenayah lain seperti mencuri atau merompak.

Kelengkapan tidak mencukupi, tidak terkini dan tiada peruntukan menyelenggara dan membaiki peralatan termasuk kenderaan juga menjejaskan tugasan polis, sekali gus meningkatkan stres kerana tidak dapat menyempurnakan tugas dalam tempoh ditetapkan dan memenuhi jangkaan masyarakat yang mahu kes disiapkan dalam tempoh singkat.

Kurang yakin dengan kemampuan diri juga punca stres di kalangan anggota polis, selain menghadapi suspek yang lebih cerdik serta boleh mengancam keselamatan diri dan keluarga pegawai penyiasat. Jika OKT dibebaskan oleh mahkamah, akan timbul rasa kecewa dan takut kerana khuatir disaman oleh pihak yang tidak puas hati.

Bagi mengatasi stres dalam kalangan ejen penguat kuasa, perlu ada khidmat kaunseling dan kaunselor pula hendaklah betul-betul layak dan pakar. Pihak pengurusan harus melebihkan sokongan moral dan berlaku adil kepada anggota bawahan. Kenaikan pangkat harus berdasarkan merit dan kurangkan kerenah birokrasi.

Beri peluang kepada anggota bawahan bukan saja berbincang mengenai hal kerja malah juga keperluan peribadi. Hidupkan kembali tradisi lama bersukan di kalangan anggota, bukan sekadar golf yang hanya disertai pegawai atasan dan yang berkemampuan.

Bagi kerajaan pula, pertimbangkan insentif lain contohnya keutamaan atau diskaun membeli rumah serta lain-lain kemudahan seperti dilaksanakan di Singapura dan Hong Kong sebagai penghargaan kepada agensi penguat kuasa yang banyak berkorban kepada negara.

- BERITA MINGGU

English Premier League (EPL) 2010 / 2011 Result - 02/10/2010 (Saturday) & 03/10/2010 (Sunday)

02/10/2010 (Saturday)

Birmingham 0 – Everton 2 (Johnson 54-gs, Cahill 90)

Stoke 1 (Walters 48) – Blackburn 0

Sunderland 0 – Man Utd 0

Tottenham 2 (Van der Vaart 45, 75) – Aston Villa 1 (Albrighton 16)

West Brom 1 (Morrison 78) – Bolton 1 (Elmander 64)

West Ham 1 (Piquionne 51) – Fulham 1 (Dempsey 33)

Wigan 2 (Gomez 65, Rodallega 85) – Wolves 0


03/10/2010 (Sunday)

Chelsea 2 (Drogba 40, Alex 85) - Arsenal 0

Liverpool 1 (Kyrgiakos 53) - Blackpool 2 (Adam 29-pen, Varney 45)

Manchester City 2 (Tevez 18-pen, Johnson 75) - Newcastle 1 (Gutierrez 24)

Dua wanita dirotan di Aceh


BANDA ACEH, Indonesia - Dua wanita dirotan di wilayah Aceh, Indonesia semalam kerana menjual makanan semasa bulan Ramadan, kata seorang pegawai.

Ratusan orang berhimpun untuk melihat Murni Amris, 27, dirotan sebanyak tiga kali manakala Rukiah Abdullah, 22, menerima dua rotan di sebuah masjid di bandar Jantho, tenggara Banda Aceh.

"Dua wanita itu ditemui menjual nasi di sebuah gerai pada waktu tengahari semasa Ramadan. Undang-undang syariah melarang makanan dijual semasa bulan puasa dalam Ramadan," kata seorang ketua polis syariah, Marzuki Abdullah.

Murni memiliki sebuah gerai makanan manakala Rukiah menjual nasi.

Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatera merupakan antara beberapa wilayah yang melaksanakan undang-undang syariah.

Dalam bulan Ramadan, penganut Islam berpuasa dari awal pagi sehingga senja yang bermula pada Ogos dan berakhir awal September tahun ini.

Turut dirotan ialah Fakhruddun Harun sebanyak lapan kali di pekarangan sebuah masjid di Aceh Besar kerana kesalahan berjudi.

- Agensi

Isteri Lee Kwan Yew Meninggal Dunia


SINGAPURA: Isteri bekas Perdana Menteri pertama Singapura, Kwa Geok Choo meninggal dunia, Sabtu.

Mendiang meninggal dunia pada pukul 5.40 petang di kediamannya di sini.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri republik itu memberitahu, mendiang yang merupakan isteri kepada Lee Kwan Yew dan ibu kepada Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Kwa, 89, menderita serangan angin ahmar pada tahun 2008 dan sejak itu terlantar serta tidak boleh bercakap.

Bersama Lee, mendiang memiliki tiga anak iaitu Hsien Loong, Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling.

Sepanjang pemerintahan suaminya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kanan, Kwa sering mengiringi Lee khususnya dalam lawatan diplomatik dan pertemuan dengan menteri-menteri luar asing.

Mendiang merupakan bekas pelajar Methodist Girls' School dan Universiti Cambridge selain menerima biasiswa Queen Victoria.

Di dalam biografinya, Lee berkata bertemu isterinya itu buat kali pertama pada tahun 1944 pada satu parti dan mula bercinta dua tahun kemudian.

- AFP

Dr M dimasuk ke hospital di Melbourne


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Hospital Epworth di Melbourne sejak jam 9 pagi hari ini bagi rawatan jangkitan kuman di dada.

Beliau kini dirawat di wad biasa dan diberikan antibiotik dan menjalani fisioterapi.

"Keadaan Dr Mahathir adalah stabil dan beliau dinasihatkan supaya berehat. Beliau dijangka berada di hospital selama beberapa hari untuk pemantauan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya di Kuala Lumpur.

Diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Dr Mahathir tiba di Melbourne pada hari Khamis untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di Universiti Melbourne pada hari Sabtu.

Beliau dijadual berkongsi pandangan dan pendapatnya mengenai topik "Are We Ready for 1Malaysia: Does Race Still Play A Part?" (Adakah Kita Bersedia Bagi 1Malaysia: Adakah Bangsa Masih Memainkan Peranan).

(1Malaysia ialah prinsip yang digariskan untuk membina sebuah negara yang bersatu dan progresif pada Abad ke-21 melalui pemupukan semangat dan nilai kekitaan tanpa mengira bangsa dan agama.)

Sejurus sebelum seminar itu bermula, juruacara majlis mengumumkan Dr Mahathir tidak dapat hadir di majlis itu yang beliau (Dr Mahathir)
nanti-nantikan dan sedih kerana tidak dapat berbuat demikian.

Beliau telah meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed untuk berucap di seminar itu bagi mewakilinya.

Mustapa, semasa ditemui pada seminar itu berkata keadaan Dr Mahathir adalah baik dan sedang berehat. "Tun perlukan rehat dan keadaan beliau adalah baik," katanya.

Anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dijangka tiba di sini esok untuk menemani bapanya, katanya.

Dr Mahathir, 85, menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur pada Januari 1989 dan menjalani pembedahan kedua di Institut Jantung Negara pada September 2007.

Walaupun sudah berusia, Dr Mahathir, yang merupakan penasihat syarikat pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton dan perbadanan minyak negara Petronas, sering ke luar negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa berikutan beliau terus menjadi pilihan pihak penganjur untuk menyampaikan syarahan di majlis tempatan dan antarabangsa.

- Bernama

Sultan Ahmad Shah Seru Pelajar Cintai Ilmu

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyeru graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) supaya menghargai dan meningkat ilmu pengetahuan mereka.

Baginda yang juga Pengerusi Lembaga UIAM bertitah ilmu merupakan sumber kepada kejayaan, kekayaan, kuasa dan ramuan untuk menjadi pemimpin yang dapat menjuarai kemanusiaan dan peradaban.

Baginda turut sukacita kerana UIAM menerima ranking teratas di kalangan universiti di negara ini bagi pengajaran dan pembelajarannya.

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian pada majlis konvokesyen ke-26 UIAM di sini hari ini di mana 4,334 graduan menerima ijazah masing-masing.

Tiga orang pelajar kelainan upaya (OKU) adalah antara penerimanya.

Salah seorang daripada mereka ialah Ahmad Zulkahfi Hayat Hussin, 24, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik selepas empat tahun berhempas pulas belajar di kampus Kuantan. Memberitahu pemberita, beliau berkata meskipun terdapat anggota masyarakat yang memandang serong terhadap dirinya yang cacat, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya.

"Walaupun ada orang mengejek dan memperlekehkan insan OKU seperti saya, tetapi semua itu lebih memotivasikan saya untuk lebih berjaya," katanya yang berasal dari Batu Buruk, Terengganu.

Ahmad Zulkahfi mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana.

- BERNAMA