Ahad, Oktober 03, 2010

Dr M dimasuk ke hospital di Melbourne


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Hospital Epworth di Melbourne sejak jam 9 pagi hari ini bagi rawatan jangkitan kuman di dada.

Beliau kini dirawat di wad biasa dan diberikan antibiotik dan menjalani fisioterapi.

"Keadaan Dr Mahathir adalah stabil dan beliau dinasihatkan supaya berehat. Beliau dijangka berada di hospital selama beberapa hari untuk pemantauan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya di Kuala Lumpur.

Diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Dr Mahathir tiba di Melbourne pada hari Khamis untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di Universiti Melbourne pada hari Sabtu.

Beliau dijadual berkongsi pandangan dan pendapatnya mengenai topik "Are We Ready for 1Malaysia: Does Race Still Play A Part?" (Adakah Kita Bersedia Bagi 1Malaysia: Adakah Bangsa Masih Memainkan Peranan).

(1Malaysia ialah prinsip yang digariskan untuk membina sebuah negara yang bersatu dan progresif pada Abad ke-21 melalui pemupukan semangat dan nilai kekitaan tanpa mengira bangsa dan agama.)

Sejurus sebelum seminar itu bermula, juruacara majlis mengumumkan Dr Mahathir tidak dapat hadir di majlis itu yang beliau (Dr Mahathir)
nanti-nantikan dan sedih kerana tidak dapat berbuat demikian.

Beliau telah meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed untuk berucap di seminar itu bagi mewakilinya.

Mustapa, semasa ditemui pada seminar itu berkata keadaan Dr Mahathir adalah baik dan sedang berehat. "Tun perlukan rehat dan keadaan beliau adalah baik," katanya.

Anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dijangka tiba di sini esok untuk menemani bapanya, katanya.

Dr Mahathir, 85, menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur pada Januari 1989 dan menjalani pembedahan kedua di Institut Jantung Negara pada September 2007.

Walaupun sudah berusia, Dr Mahathir, yang merupakan penasihat syarikat pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton dan perbadanan minyak negara Petronas, sering ke luar negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa berikutan beliau terus menjadi pilihan pihak penganjur untuk menyampaikan syarahan di majlis tempatan dan antarabangsa.

- Bernama

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts