Ahad, Oktober 03, 2010

Jasmine Soraya (Gadis Melayu) Jadi Pengacara "Auto"


Bekas peserta Gadis Melayu musim kedua iaitu Sharifah Jasmine Soraya Syed A Jalil Jamalullail,22, dipilih sebagai pengacara program ‘Auto’ di TV3. Ia akan disiarkan mulai Ahad, pukul 5 petang.

Dalam program berkonsepkan info tentang kereta sebanyak 13 episod itu memberikan wanita ini pengalaman baru selepas menyertai program realiti di TV9 itu pada tahun lalu.

“Saya telah menjalani rakaman program ini di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baru. Dalam setiap episod saya akan tampil dengan sebuah kereta.

"Selain memberikan info tentang kereta dan penjagaannya, saya juga berpeluang memandu uji kereta baru dan mewah seperti Porsche Panamera, Nissan Extreme dan Volvo.

“Saya rasa sangat seronok apabila dapat mencuba kereta-kereta tersebut kerana saya memang meminati kereta. Selain itu, banyak pengetahuan yang saya pelajari dalam program ini,” katanya yang mempunyai lesen memandu sejak berusia 17 tahun.

Dalam perkembangan lain, Jasmine juga sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dan Pengurusan Media di Kolej Universiti Taylor dan pada tahun hadapan dia akan menyambung pengajiannya di Australia.

Setakat ini, Jasmine masih mentah dalam bidang pengacaraan dan tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk bergelar pelakon pada suatu masa nanti.

Tetapi biarlah dia menamatkan pengajiannya terlebih dahulu sebelum melangkah ke bidang pekerjaan yang lebih serius.

“Insya-Allah, siapa tahu saya akan berlakon nanti. Tetapi buat masa ini kerja bukanlah keutamaan saya. Saya cuma fikir untuk menghabiskan pengajian sahaja.

“Mana tahu saya hanya bekerja di pejabat sahaja selepas ini seperti dalam bidang perhubungan awam dan dunia korporat,” ujarnya lagi.

- MSTAR

Pulau tenggelam setiap kali bulan mengambang

JAKARTA - Dua buah pulau di Sumenap, Madura, Indonesia akan tenggelam setiap kali bulan mengambang, lapor sebuah akhbar semalam.

Kepulauan Kangean dan Pulau Saobi akan ditenggelami air laut setinggi 20 sentimeter menyebabkan penduduk berasa tidak selesa ekoran situasi itu.

Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD), Badrul Aini menyatakan semua tanah di kedua-dua pulau itu akan ditenggelami air laut apabila bulan mengambang.

"Yang paling buruk terjadi (ditenggelami air laut) pada bulan September sampai November," kata Badrul kepada wartawan di pejabat DPRD Sumenep, Jalan Trunojoyo.

Menurut ahli politik itu yang berasal dari Pulau Kangean, tiada projek untuk menahan kemasukan air laut di kedua-dua pulau tersebut.

Penggalian atau pengambilan pasir secara haram turut berlaku di pulau itu selain tiada projek untuk menanam semula pohon bakau bagi mengelak hakisan.

- Agensi

Sabtu, Oktober 02, 2010

Dia Fadila dan pasangan bernikah


Penyanyi dan Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Dia Fadila, 26, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Redza Abdullah Sanusi, 33, di Masjid Wilayah, di sini, semalam.

Dengan sekali lafaz, penyanyi lagu Andai itu sah bergelar isteri berwali bapanya, Abu Bakar Sudin jam 9.45 pagi. Hadir sama, Imam dan jurunikah masjid terbabit, Hafizan Ibrahim. Tiada dulang hantaran diberikan dan wang hantaran turut dirahsiakan sebaliknya pihak pengantin lelaki menyediakan mas kahwin senaskhah al-Quran, sepasang telekung dan RM2,309.84.

"Selain angka mas kahwin itu yang menjadi simbolik tarikh lahir Dia, hari nikah ini juga dipilih bersamaan dengan jatuhnya hari lahir suami Dia. Kami berdua sepakat untuk tidak berbalas dulang hantaran kerana lebih mementingkan kesederhanaan.
“Selain itu, kami juga mahu lari daripada kebiasaan. Keluarga Dia hanya menyediakan lima bekas sebagai buah tangan berupa manisan dan sebentuk cincin," kata Dia yang kelihatan anggun dalam busana rekaan Bill Keith.

Turut hadir lebih 70 ahli keluarga terdekat kedua-dua mempelai. Pasangan ini juga tidak menolak dikurniakan anak secepat mungkin. Majlis persandingan sebelah pengantin perempuan akan diadakan esok di Dewan Siti Hasmah, Rumah Puspanita, Kuala Lumpur dan seterusnya majlis bertandang sebelah lelaki pada 9 Oktober.

Sementara itu, Redza yang bertugas sebagai pengurus pengiklan di sebuah agensi pengiklanan menyifatkan isterinya itu cukup sempurna dalam pelbagai aspek.

- BERITA HARIAN

Mas Diana tauke bengkel kereta


Jangan pandang wanita sebelah mata. Mungkin itu ungkapan yang sesuai untuk sesetengah individu yang memandang remeh kebolehan wanita yang menggalas tugas yang dimonopoli oleh golongan lelaki.

Bukan tidak percaya, tetapi mereka kurang yakin dengan kebolehan wanita yang lazimnya sesuai dengan kerja-kerja yang melibatkan penelitian.

Namun, kepada pemilik bengkel mengecat kereta, Wan Mas Diana Mezlan, 28, beliau melihat tohmahan dan sikap memandang rendah terhadap kebolehan wanita itu sebagai satu cabaran.

Walaupun tidak ramai golongan wanita yang berani bergelumang dengan kerja-kerja di bengkel kereta, kepada Wan Mas kerjaya itu sudah sebati dengan dirinya.

“Saya sudah biasa dengan pandangan orang tentang kebolehan saya menjalankan perniagaan ini tapi semangat saya kuat untuk meneruskannya.

Kuat semangat

“Buat apa mendengar pandangan orang lain kerana hanya kita yang tahu kebolehan diri dan orang di luar hanya pandai bercakap sedangkan mereka tidak tahu apa-apa,” tegasnya.

Wan Mas Diana menambah, sokongan ahli keluarga juga penting dalam menentukan hala tuju kerjaya anak-anak.

“Ibu bapa saya sendiri pada mulanya sukar nak terima kerjaya pilihan saya ini, namun melihatkan kesungguhan saya lama-kelamaan mereka rasa seronok dan sangat responsif,” katanya yang pernah bercita-cita membuka bengkel membaiki kereta kerana minat yang mendalam pada enjin.

Namun atas beberapa faktor, beliau menjurus kepada bidang mengecat dan mengetuk kereta.

“Mula-mula saya ambil kursus berkaitan automotif di Giat Mara, Jitra, Kedah, namun disebabkan kursus mengenai enjin agak sukar jadi saya beralih kepada bidang mengecat kereta,” katanya.

Beliau juga pernah melanjutkan pelajaran di peringkat sijil setelah tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2000.

Wan Mas Diana yang baru sahaja menamatkan pelajaran dalam bidang Mekanikal Plastik di Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra mengakui mengalami kesukaran mendapat kerja menyebabkannya beliau meneruskan pelajaran di Giat Mara tersebut.

“Setelah tamat pengajian pada tahun 2002, saya sukar mendapat pekerjaan di kilang-kilang kerana kebanyakan majikan tidak menerima juruteknik wanita.

“Saya mengambil keputusan untuk memasuki Giat Mara dan mendalami bidang automotif sebelum terjun ke bidang mengecat,” katanya.

Tambah beliau, sejak mengusahakan bengkel mengecat kenderaan yang disewakan oleh pihak Giat Mara awal tahun lalu, beliau bersama dua orang rakan mendapati permintaan untuk mengecat dan mengimpal kenderaan mendapat sambutan menggalakkan.

Pelanggan puas hati

“Mula-mula ramai pelanggan tidak percaya dengan kemampuan dan kebolehan saya kerana saya seorang perempuan, tapi setelah melihat hasil kerja, mereka berpuas hati malah permintaan mengecat dan mengimpal juga semakin tinggi,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Katanya, ketika menyatakan hasrat untuk menceburi bidang tersebut, beliau mendapat tentangan hebat daripada keluarga, namun mereka akur setelah melihat kemampuannya mengusahakan bengkel sendiri.

“Pada mulanya mereka juga tidak setuju dan sukar untuk terima kerja yang saya buat tapi lama-kelamaan ia jadi perkara biasa,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapat khidmat mengecat dan mengimpal boleh menghubungi Wan Mas Diana di talian 016-4924 842 atau datang terus ke bengkelnya yang terletak di Giat Mara Prima, Kubang Pasu, Jitra, Kedah.

- KOSMO!

Ganjaran tugasan berhemah dikira ibadat jika patuh etika kerja

Setiap mukmin seharusnya patuh dan mengamalkan etika kerja tidak bertentangan dengan kehendak agama kerana Islam membawa dimensi baru dalam membina budaya kerja yang kondusif digarapkan berdasarkan akhlak murni.

Antara etika kerja ialah mengamalkan nilai agama dan moral ketika bekerja selain memanfaatkan masa bekerja sebaik-baiknya.

Tiada istilah buang masa jauh sekali melewat-lewatkan tugasan yang sepatutnya dilaksanakan. Etika kerja Islam merangkumi amalan luhur seperti amanah, dedikasi, bersifat jujur, mengutamakan disiplin yang tinggi dan bersyukur. Nilai teras ini perlu sebati dalam diri setiap Muslim yang bekerja.

Semangat tauhid yang dihayati sepenuhnya akan mempengaruhi sikap, pemikiran dan nilai kerja. Hasilnya dapat dilihat melalui peningkatan produktiviti serta kecekapan melaksanakan tugasan mengikut waktu ditetapkan.

Etika seterusnya yang perlu ada ialah sikap sentiasa berwaspada dan menilai diri supaya tidak melakukan kesilapan ketika bekerja. Melakukan sesuatu tugasan penuh berhemah dan berhati-hati menjadi lambang prihatinnya seseorang itu terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan.

Memahami makna bekerja yang sebenar sebagai ibadat kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya menjadikan seseorang itu takut untuk melakukan sebarang penyeleweng yang melanggar perintah Allah.

Pemahaman konsep tauhid yang kukuh membuatkan seseorang Muslim itu patuh kepada akhlak Islam sebenar. Falsafah tauhid terterap padu dalam jiwa membawa kepada pengamalan budaya kerja yang sihat dan berupaya melahirkan insan yang komited dalam setiap kerja dilakukan.

Justeru, tidak dinafikan hati mempengaruhi etika kerja kerana semuanya bermula daripada hati dan apa yang diniatkan. Bagi hati yang bertakwa kepada Allah, segala usaha kerja akan menjurus kepada landasan yang bertepatan dengan kehendak agama.

Mengamalkan etika kerja Islam memberi motivasi kepada setiap Muslim mengejar ganjaran di dunia dan akhirat kerana kesungguhan bukan semata-mata mencari kekayaan dunia sebaliknya meletakkan matlamat akhirat sebagai keutamaan.

Setiap pekerjaan yang dilakukan mengikut etika Islam dengan niat kerana Allah pasti dikira sebagai satu ibadat. Kita mesti berusaha mengamalkan seberapa daya yang mampu dan berdoa supaya setiap kerja menghasilkan keputusan diharapkan serta menjadi ibadat yang diterima.

- BERITA HARIAN

Kampung Pengantin jadi rebutan 10.10.10


Kini, mengadakan majlis perkahwinan mahupun kenduri-kendara tidak lagi membebankan bagi pihak keluarga mempelai.

Pokok pangkalnya, sediakan saja wang yang mencukupi dan cari perancang atau perunding perkahwinan. Semuanya akan terlaksana tanpa pening kepala.

Sebut sahaja apa konsep perkahwinan yang diingini. Sama ada dalam taman, ala Bollywood, Arabian Nite, fairy tales dan sebagainya, semuanya boleh dikabulkan.

Begitulah pentingnya, tugas mereka yang menjadi perancang kepada majlis perkahwinan yang mempunyai misi dan tanggungjawab tersendiri dalam melaksanakan sesuatu majlis.

Hakikat itu diakui oleh Syed Nahar Syed Hassan, pemilik Kampung Pengantin Kuala Lumpur, - perniagaan perancang dan perunding perkahwinan yang diusahakan sejak 2005.

Menurut Syed Nahar, beliau memulakan perniagaan tersebut atas dasar melihat kesukaran yang dihadapi tuan rumah ketika mengadakan kenduri kendara.

‘‘Kesuntukan masa, ketiadaan tempat sesuai, tiada pengalaman, kurangnya persediaan dan sebagainya adalah faktor utama mengapa pihak yang mengadakan kenduri mencari khidmat perunding perkahwinan.

‘‘Ini kerana mengadakan majlis kenduri-kendara memerlukan komitmen yang bukan sedikit daripada semua ahli keluarga,’’ katanya.

Berkongsi bersama isterinya, Fathin Mohd. Ali, mereka berpadu tenaga mengatur dan mengurus sesebuah majlis perkahwinan dengan harapan majlis itu akan menjadi sesuatu yang dikenangi seumur hidup.

Berbalik kepada industri perunding perkahwinan, Syed Nahar berkata, perniagaan itu mempunyai masa depan yang sangat cerah biarpun mengalami persaingan yang hebat.

Beliau optimis perniagaan itu akan berlanjutan kerana setiap tahun ada sahaja pasangan yang akan mendirikan rumah tangga.

Namun apa yang penting segala pekerjaan yang dilakukan itu perlu didahului dengan minat dan niat.

Sebelum menjadi perunding perkahwinan, Syed Nahar bergiat dengan urusan katering.

Kampung Pengantin Kuala Lumpur yang berupa dewan terbuka boleh memuatkan 1,500 tetamu pada satu-satu masa. Pakej bagi jamuan makan untuk majlis perkahwinan ialah bermula RM35 ke atas untuk seorang.

Namun masih terdapat pakej-pakej lain yang boleh dibuat pilihan sama ada mahukan yang mahal ataupun harga yang berpatutan.

Kampung Pengantin Kuala Lumpur juga menguruskan majlis perkahwinan di luar dari kawasan dan sekarang orang ramai juga boleh menempah jamuan untuk katering sahaja bagi sesuatu majlis.

‘‘Kepada mempelai yang mahu mengadakan jamuan atau majlis perkahwinan, kita minta mereka tempah dalam tempoh enam bulan lebih awal.

‘‘Selalunya akan kami jemput mereka menyaksikan majlis yang terdahulu agar mereka berpuas hati dan kemudian boleh mengenal pasti konsep apa yang dimahukan, makanan dan keperluan dalam majlis perkahwinan nanti,’’ katanya yang merancang untuk membuka cawangan Kampung Pengantin di tempat lain.

Ketika ini Kampung Pengantin juga menjadi rebutan di kalangan bakal pengantin yang mahu mengabadikan hari bersejarah mereka sempena kedatangan tarikh unik 10 Oktober 2010 (10.10.10).

Tambah Syed Nahar, walaupun hingga sekarang ramai yang datang mahu mengadakan majlis pada tarikh tersebut tetapi terpaksa ditolak kerana sudah lama ditempah.

Tahun ini juga merupakan musim kedua Kampung Pengantin Kuala Lumpur menjadi penaja lokasi bagi Peraduan Gerbang Cinta anjuran Mega, akhbar sisipan Utusan Malaysia.

Bagi Syed Nahar, keterujaannya untuk menjadi penaja bagi peraduan untuk musim kedua ialah bagi membantu pasangan mempelai yang mahu mengadakan majlis perkahwinan mereka dengan meriah dan dapat dijadikan kenangan dalam hidup.

‘‘Saya ni sebenarnya suka melihat sesuatu majlis perkahwinan yang dilangsungkan itu berjalan dengan penuh meriah dan selesai dengan sempurna.

‘‘Apatah lagi apabila kita yang menganjurkan majlis itu melihat tuan rumah dan mempelai berasa berpuas hati dengan setiap perkhidmatan yang disediakan,’’ tambahnya.

Apabila ditanya apakah konsep yang akan diilhamkan untuk pemenang pertama bagi Peraduan Gerbang Cinta musim kedua ini, dia berkata, itu masih belum dapat ditentukan lagi kerana ia perlu dibincang bersama bakal pemenang nanti.

Apa pun yang penting, janjinya, mempelai pemenang pertama bagi Peraduan Gerbang Cinta musim kedua ini bakal menyaksikan majlis yang disediakan untuk mereka menjadi kenangan seumur hidup pengantin.

Lokasi Kampung Pengantin Kuala Lumpur ialah di Jalan Usahawan 3/23A, Off, Jalan Genting Klang, 53300 Kuala Lumpur. Talian telefon 03-20219276 atau 016-2518035.

Najib dedah faktor kejayaan


KUALA LUMPUR 1 Okt. - Percaya dan yakin pada diri sendiri merupakan antara faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu berhadapan dengan situasi mencabar sepanjang 35 tahun berada di dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan.

Kata Perdana Menteri, walaupun beliau pernah berasa kecewa dengan beberapa situasi yang berlaku termasuk ketika Pilihan Raya Umum 1999, ia sesekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjaya di dalam hidup.

"Saya percaya jika kita yakin pada diri sendiri kita seharusnya mampu mengatasi kejatuhan atau kekalahan kita. Amat bagus untuk kalah pada mulanya kerana kita akan belajar. Apa yang penting kita berupaya untuk pulih semula.

"Saya sendiri mengalaminya pada 1999 apabila majoriti undi pada pilihan raya umum ketika itu begitu teruk. Saya sendiri tidak faham kenapa ia jadi begitu.

"Ia bukan sebab peribadi, namun saya percaya saya boleh bangkit semula dan pada 2004 saya berjaya mendapat majoriti paling tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tentang jatuh bangunnya dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan pada Bicara Bersama Perdana Menteri di Forum Kepimpinan ASEAN 100 di sini hari ini.

Najib berkata, ketika berhadapan dengan situasi sedemikian, adalah penting baginya untuk perlu sentiasa membuat keputusan yang tepat.

"Sebagai contoh dalam dunia politik, satu perkara yang akan membantu kita jatuh dengan cepat adalah berada di tempat atau kem yang salah," katanya.

Menurut Najib, sebagai seorang pemimpin negara, beliau akan terus komited untuk melaksanakan perubahan demi kebaikan setiap rakyat di negara ini.

"Saya anggap peluang untuk memimpin bukan sebagai satu kedudukan paling tinggi di negara ini, tetapi ia adalah peluang untuk membawa perubahan yang memberi kesan terbaik kepada rakyat.

"Ini adalah keputusan yang saya buat semasa mula-mula menyertai dunia politik selepas bapa saya (Allahyarham Tun Abdul Razak) meninggal dunia. Pada satu tahap kita perlu membuat keputusan tentang hala tuju hidup kita dan saya telah lakukannya," katanya.

- UTUSAN

Wanita penyumbang utama sektor pekerjaan

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Kira-kira 11 juta daripada 13.9 juta penduduk wanita di negara ini menjadi penyumbang utama dalam sektor pekerjaan dengan 45.5 peratus daripadanya terlibat dalam bidang profesional.

Justeru Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu kerajaan sentiasa membantu golongan berkenaan melalui polisi dan program kesamarataan gender.

"Laporan Pembangunan Manusia Asia Pasifik 2010 (UNDP) berkaitan gender menunjukkan pertumbuhan negara kasar mampu meningkat daripada dua peratus kepada empat peratus setiap tahun jika kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan meningkat daripada 47 peratus kepada 70 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam gala sempena ulang tahun ke-50 majalah Her World di sini malam ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Blu Inc. Media Sdn. Bhd., Datin Azliza Ahmad Tajuddin.

Pada majlis tersebut, Shahrizat turut menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang diwakili oleh anaknya, Datuk Paduka Marina Mahathir.

Selain itu, anugerah turut diberikan kepada 50 wanita yang memberi inspirasi kepada negara, antaranya Ketua Cawangan Maklum Balas Kemanusiaan, Tabung Kependudukan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan ahli akademik dan penulis terkenal, Adibah Amin.

Shahrizat berkata, kerajaan sedar tentang kepentingan pembabitan wanita dalam industri pekerjaan, bagaimanapun disebabkan perbezaan gender, wanita sering dikaitkan dengan kerja-kerja rumahtangga dan kebajikan, sedangkan lelaki juga perlu memainkan peranan dalam menjaga rumahtangga dan komuniti.

Beliau berkata, berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh kementeriannya dan UNDP pada 2003, dianggarkan kerja-kerja yang tidak dibayar yang dilakukan oleh wanita bernilai RM75.6 bilion setahun mampu memberi sumbangan dan kesejahteraan kepada negara.

"Melihat kepada perspektif ini, sumbangan wanita kepada negara tidak boleh dinafikan dan seharusnya diberi penghargaan" katanya.

- UTUSAN

Public Bank, Esso lancar kad kredit dan debit


KUALA LUMPUR 1 Okt. - Public Bank Bhd. (Public Bank) dan Esso Malaysia Bhd. (Esso) telah melancarkan kad debit dan kad kredit emas PB-Esso Mobil Visa.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Kad Public Bank, Chong You Lin berkata, kad kredit emas PB-Esso Mobil Visa itu direka untuk menarik minat mereka yang berpendapatan RM18,000 ke atas setahun manakala kad debit PB-Esso Mobil Visa sesuai bagi mereka yang mahu memantau kewangan mereka dengan lebih baik.

Kedua-dua kad itu menawarkan rebat tunai masing-masing sehingga lima peratus dan satu peratus bagi pembelian di stesen-stesen minyak Esso atau Mobil.

Selain itu, pemegang kad juga menikmati rebat tunai 0.5 peratus bagi pembelian runcit yang dibuat di tempat lain. Untuk mendapatkan rebat adalah mudah tanpa memerlukan baki dibawa ke hadapan. Rebat tunai yang diperoleh akan dikreditkan setiap bulan ke dalam akaun kad pemegang kad.

Sempena pelancaran kad-kad baru itu, rebat tunai tambahan sebanyak tiga peratus akan diberi kepada pemegang kad kredit yang menggunakan kad tersebut di stesen servis Esso atau Mobil sepanjang tempoh promosi selama enam bulan mulai 31 Mac 2011.

Kad kredit dan kad debit tersebut juga ditawarkan dengan pengecualian yuran tahunan sepanjang hayat tanpa syarat, menjadikan kedua-duanya kad yang benar-benar mesra pengguna.

- UTUSAN

Perintah menyucikan sifat Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh al-Maraghi berkata: “Rasulullah SAW diperintahkan agar menyucikan sifat-sifat Allah SWT dan mengajarkan kepada umatnya perintah tersebut iaitu bagaimana sifat-sifat Allah SWT itu dapat dikenal sebagaimana yang telah kami sebutkan cara menyucikan-Nya.

“Cara menyucikan sifat Allah SWT tidak dapat dilakukan dengan baik, tanpa mempelajari al-Quran. Maka hal ini yang menjadi dorongan keras kemahuan Rasulullah SAW untuk menghafal ayat-ayat al-Quran.

“Daripada sinilah faktor-faktor Allah SWT menjanjikan kepada nabi untuk membacakan ayat-ayat al-Quran yang berisi penyucian sifat-sifat Allah SWT.

“Ia dengan menjelaskan sifat-sifat Allah SWT dan hukum-hukum-Nya yang wajib diketahui, sebagaimana juga Allah SWT dan hukum-hukum-Nya yang wajib diketahui, sebagaimana juga Allah SWT berjanji kepada nabi-Nya tidak akan menjadikan baginda lupa kepada ayat-ayat al-Quran yang telah dibacakan kepadanya”.

Firman Allah SWT: Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu dengan perantaraan Jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa.

Al-Mawardi berkata: Iaitu al-Quran. Syed Qutub berkata: Dalam ayat ini dan di dalam setiap ayat yang membawa panji yang tegas atau undang-undang yang tetap, Allah iringi dengan satu kenyataan yang membayangkan bahawa kehendaknya tetap mengatasi segalanya.

Ia tidak terikat dengan sebarang ikatan, walaupun ikatan yang terbit dari janji-janji dan undang-undangnya sendiri. Pendeknya kehendak dan masyi’ah Allah sentiasa bebas di sebalik undang-undang-Nya.

Inilah yang selalu ditekankan oleh al-Quran di setiap tempat, dan di antaranya ialah di dalam ayat yang bermaksud: “Kecuali apa yang dikehendaki Allah”.

Firman Allah SWT: Kecuali apa yang dikehendaki Allah Engkau lupakan.

Al-Farra berkata: Allah tidak mengkehendaki Muhammad SAW itu lupa sedikit pun daripada al-Quran yang telah diturunkan itu, kecuali kalau maksud daripada pengecualian itu adalah sebagai keterangan andai kata Tuhan mengkehendaki menjadikan Nabi Muhammad SAW itu lupa, maka Tuhan mampu membuatnya.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi.

Al-Mawardi berkata: Di sini terdapat tiga tafsiran:

i. Allah mengetahui yang nyata dengan maksud apa yang kamu hafaz daripada al-Quran dalam dadamu, sedangkan yang tersembunyi apa yang telah dinasakhkan dari hafazanmu.

ii. Yang terang adalah apa yang telah diketahuinya dan yang tersembunyi, apa yang akan diketahuinya selepas itu. Inilah pendapat Ibn Abbas.

iii. Yang terang apa yang Allah zahirkannya, sedangkan yang tersembunyi apa yang ditinggalkannya daripada ketaatan.

Firman Allah SWT: dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) agama yang mudah diterima oleh akal yang sihat.

Al-Maraghi berkata: Kami mengarahkan engkau kepada agama yang mudah dirasakan oleh setiap orang yang tidak sukar mengertikan.

Al-Busiri berkata dalam sebuah syair: Tuhan tidak uji kami dengan yang memberati akal, tuhan tidak meragui dan menyangkal.

Ayat ini menjelaskan bahawa manusia itu mudah untuk melakukan perbuatan bukan perbuatan itu dipermudahkan bagi manusia. Ertinya, suatu perbuatan itu yang dimudahkan bagi manusia.

Maksudnya, suatu perbuatan tidak akan berhasil sekiranya tidak didukung oleh hasrat yang kuat dan kehendak yang teguh untuk mencapainya, serta disertai restu Allah SWT dalam menempuh jalan yang lurus.

Penutup

Syed Qutub berkata: Alam buana yang teratur dan bergerak dengan lancar dan licin itu merupakan kemudahan dan kelancaran dari ciptaan Allah yang tidak pernah berlanggar dan bergesel antara satu sama lain.

Berjuta-juta bintang dan planet beredar di angkasa Allah dan berlari di dalam lingkungan-lingkungan peredaran masing-masing dengan lancar, teratur, seimbang, saling tarik-menarik, tidak berlanggar, tidak kucar-kacir, dan tidak terumbang-ambing.

Berjuta-juta makhluk yang bernyawa meneruskan hidup mereka menuju matlamat masing-masing sama ada dekat atau jauh dengan teratur rapi. Setiap mereka diberikan kemudahan menuju kepada matlamat yang dijadikan untuknya, dan setiap mereka berjalan dengan lancarnya menuju matlamat ini.

Berjuta-juta gerak geri, peristiwa dan keadaan berkumpul dan berpisah di dalam perjalanan menuju matlamatnya laksana nada-nada bunyian dari sebuah orkestra yang memainkan berbagai alat muzik.

Nada-nada itu berkumpul dalam sebuah lagu yang panjang. Itulah keserasian atau keseimbangan yang sempurna di antara sifat alam buana dengan sifat agama, sifat Rasulullah SAW dan sifat umat Muslimin.

Itulah ciptaan Allah Yang Maha Esa, Maha Pencipta, dan Maha Bijaksana.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita taufik dan hidayah-Nya yang layak untuk kita meneruskan kelangsungan hidup sebagai khalifah Allah di muka bumi. Amin.

- UTUSAN

Khamis, September 30, 2010

Recent Posts