Sabtu, Oktober 02, 2010

Najib dedah faktor kejayaan


KUALA LUMPUR 1 Okt. - Percaya dan yakin pada diri sendiri merupakan antara faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu berhadapan dengan situasi mencabar sepanjang 35 tahun berada di dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan.

Kata Perdana Menteri, walaupun beliau pernah berasa kecewa dengan beberapa situasi yang berlaku termasuk ketika Pilihan Raya Umum 1999, ia sesekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjaya di dalam hidup.

"Saya percaya jika kita yakin pada diri sendiri kita seharusnya mampu mengatasi kejatuhan atau kekalahan kita. Amat bagus untuk kalah pada mulanya kerana kita akan belajar. Apa yang penting kita berupaya untuk pulih semula.

"Saya sendiri mengalaminya pada 1999 apabila majoriti undi pada pilihan raya umum ketika itu begitu teruk. Saya sendiri tidak faham kenapa ia jadi begitu.

"Ia bukan sebab peribadi, namun saya percaya saya boleh bangkit semula dan pada 2004 saya berjaya mendapat majoriti paling tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tentang jatuh bangunnya dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan pada Bicara Bersama Perdana Menteri di Forum Kepimpinan ASEAN 100 di sini hari ini.

Najib berkata, ketika berhadapan dengan situasi sedemikian, adalah penting baginya untuk perlu sentiasa membuat keputusan yang tepat.

"Sebagai contoh dalam dunia politik, satu perkara yang akan membantu kita jatuh dengan cepat adalah berada di tempat atau kem yang salah," katanya.

Menurut Najib, sebagai seorang pemimpin negara, beliau akan terus komited untuk melaksanakan perubahan demi kebaikan setiap rakyat di negara ini.

"Saya anggap peluang untuk memimpin bukan sebagai satu kedudukan paling tinggi di negara ini, tetapi ia adalah peluang untuk membawa perubahan yang memberi kesan terbaik kepada rakyat.

"Ini adalah keputusan yang saya buat semasa mula-mula menyertai dunia politik selepas bapa saya (Allahyarham Tun Abdul Razak) meninggal dunia. Pada satu tahap kita perlu membuat keputusan tentang hala tuju hidup kita dan saya telah lakukannya," katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.