Isnin, September 27, 2010

Banyak jenayah kejam, ganas babit individu 'berpenyakit'

Bersama Prof Dr Azhar Zain

Sejak akhir-akhir ini, perilaku ganas yang membabitkan mangsa dipukul mahupun dibunuh dengan kejam, dilihat makin menjadi-jadi dalam masyarakat. Amarah ini dilihat didorong emosi, perlakuan agresif atau 'hati kering' si pelaku. Apakah ini sebenarnya suatu penyakit dalam konteks psikologi?

Ia bergantung pada kes. Ada kes membabitkan pelaku mengalami penyakit seperti psikosis atau schizophrenia dan ada juga kes yang orang itu tidak berpenyakit. Psikosis sebenarnya ada banyak penyakit, ia satu kumpulan penyakit iaitu seseorang itu tidak boleh membezakan antara realiti dan bukan realiti.

Schizophrenia pula salah satu penyakit di bawah psikosis. Ia antara penyakit paling serius dalam golongan penyakit psikosis yang sering dilihat secara umum berlaku dalam masyarakat. Kebanyakan kes yang kita baca di akhbar membabitkan orang ‘berpenyakit’ yang membunuh ahli keluarga adalah mereka yang menghidap schizophrenia.

Umpamanya kes bunuh membabitkan kepala mangsa dipotong dan dibawa pelaku tanpa risau orang melihatnya. Ini jelas menunjukkan pelaku mengalami penyakit psikiatrik yang teruk sehingga tidak dapat membezakan antara realiti dan bukan realiti. Dia dalam alam khayalan dan dia berpenyakit. Dalam kes yang terancang dan mayat disembunyikan dari pengetahuan umum pula, jelas menunjukkan pelaku adalah normal dan tidak berpenyakit. Kes yang kita baca, iaitu kes polis biasa di mana orang bunuh orang atas perancangan untuk membunuh dan sebagainya.

Dalam kes seperti ini, kita tidak menganggap pelaku menghidap penyakit hingga dia tidak boleh membezakan antara betul dan salah. Dia tahu tindakannya salah, tetapi dia tidak kisah. Jadi kita tidak menganggap dia berpenyakit, sekali gus dia didakwa. Dia tahu membezakan antara salah dan betul, tetapi kurang rasa bersalah, tidak memiliki rasa belas kasihan dan memanipulasi keadaan untuk keuntungan diri sendiri.

Bagaimana si pelaku tergamak melakukan perbuatan kejam terhadap mangsa. Apakah mereka tidak berperasaan seperti manusia normal.?
Pesakit psikosis tidak faham apa yang mereka lakukan itu adalah kejam. Pesalah yang tidak mempunyai psikosis, tetapi ada psikopati tidak mempunyai `conscience’ (suara hati) atau remorse (sesalan) melakukan kekejaman asalkan apa yang dilakukan berfaedah untuk mereka. Apakah punca mereka sanggup menyakiti secara lisan atau mendatangkan kecederaan, malah kematian terhadap mangsa? Apakah mereka ini tidak boleh menerima sebarang bentuk provokasi hingga tergamak melakukan perbuatan jenayah atau perkara di luar batas kemanusiaan.

Puncanya seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tetapi pada mereka yang tidak berpenyakit, puncanya adalah seperti biasa iaitu marah, dengki dan sebagainya. Hanya segelintir saja yang tidak boleh diprovokasi langsung sehingga membunuh dan mereka biasanya tidak ada penyakit psikiatri yang serius.

Bagaimana andai kita berdepan golongan sedemikian, bagaimana mahu mengelak atau melarikan diri daripada mereka.?

Pesakit psikiatri seperti schizophrenia amat mudah dikenali dan mereka biasanya tidak ganas kecuali yang tidak mengambil ubat secara biasa atau tetap. Bagi yang bukan schizophrenia atau ada personaliti psikopatik, mereka mempunyai ciri yang dianggap normal pada kebanyakan orang. Mereka biasanya tidak menunjukkan emosi bimbang atau tertekan. Mereka biasanya memanipulasi dan tiada perasaan bersalah atau menyesal selepas melakukan kesalahan. Jadi bukan mudah untuk mengelak dari mereka yang mempunyai personaliti begini.

Pengurusan sifat marah atau pengurusan tekanan dikatakan formula terbaik mengawal tekanan atau perasaan imarah. Apa yang dimaksudkan dengan proses ini.?

Ini sesuai untuk orang normal yang mempunyai banyak tekanan, tetapi bagi mereka yang mempunyai personaliti psikopatik, tidak akan bersetuju melalui proses ini atau jika ada pun hanya berpura-pura. Rawatan yang mereka perlukan adalah psikoterapi seperti ‘Cognitive Behaviour Therapy’ serta ‘Schema Focused Therapy’. Ini kita gunakan untuk orang yang ada kecelaruan personaliti.

Kita cuba merawat tingkah laku, tetapi kita gabungkan dengan kognitif. Kita cuba ubah kesilapan cara dia berfikir. Dengan cara itu, kita cuba mengubah tingkah laku pesakit, tetapi sesetengah pesakit tiada emosi, belas kasihan dan fokus. Kita cuba cari skema dari segi emosi dan fokus pada rawatan. Jika tiada emosi, kita fokus pada teknik untuk memberi dia emosi. Pengurusan sifat marah tidak akan membawa kesan kerana punca utama adalah personaliti, cara berfikir dan bertindak yang perlu diubah. Kaedah itu lebih sesuai bagi golongan normal di mana ia merujuk kepada cara untuk mengubah atau mengawal kemarahan.

Apakah rentak kehidupan moden yang makin kompleks menyebabkan ramai tertekan lalu mengalami gangguan mental sekarang?

Apabila meningkatnya tekanan, lebih banyak orang mengalami kemurungan dan rasa cemas. Namun, bagi individu yang mengalami keadaan ini, mereka tidak mengganggu orang lain, cuma merosakkan diri sendiri. Kemurungan boleh berakhir dengan tindakan membunuh diri, aspek kedua pula boleh menyebabkan seseorang cepat marah dan tidak mampu bekerja dengan baik. Jika dari segi jenayah, ia tidak ada kaitan.

Cuma orang yang hendak buat jahat ini, dia jadi lebih berani. Dia rasa dia boleh terlepas. Perlu diingat golongan yang mengalami kecelaruan personaliti atau psikopatik punya tahap kepintaran tinggi. Apabila buat sesuatu dan berjaya, dia akan rasa berani untuk membuatnya lagi. Jadi, dia akan jadi lebih berani dari seterusnya. Jadi, itu suatu cara dia menyelesaikan masalah.

- BERITA MINGGU

Lepasan UPSR mungkin dibenar ke aliran vokasional - TPM

MUAR 25 Sept. - Kerajaan akan merombak Sistem Pendidikan Vokasional Negara termasuk kemungkinan membenarkan lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengikuti aliran kemahiran bagi meningkatkan jumlah tenaga mahir dalam pelbagai bidang industri negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu sejajar dengan sasaran Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk memastikan 20 peratus pelajar mengikuti aliran vokasional berbanding 10 peratus pada waktu ini.

Menteri Pelajaran itu berkata, rombakan tersebut dijangka memberi lonjakan besar kepada pendidikan vokasional negara kerana ia mengandungi beberapa elemen penambahbaikan seperti skop dan silibus mata pelajaran, kemudahan infrastruktur, keperluan industri, tenaga pengajar dan penglibatan pihak swasta.

"Pada dasarnya saya bersetuju adalah lebih baik diawalkan pelajar ini memasuki bidang kemahiran, ini memang dalam penelitian kementerian.

"Ini kerana mungkin lebih maka awal lebih panjang mereka berada dalam bidang itu dan kemahiran mereka lebih baik," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Melonjakkan Kecemerlangan Pendidikan Pagoh 2010 anjuran bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran dan Sekreteriat Pendidikan Parlimen Pagoh di Dewan Sri Pekembar di sini hari ini.

Program yang dihadiri kira-kira 1,000 murid tahun lima dan pelajar tingkatan empat itu turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkarnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mat Dom.

Timbalan Perdana Menteri mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang memaparkan cadangan para pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011 yang antara lain meminta kerajaan mengembangkan rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi buruh berkualiti dalam aspek kemahiran.

Dalam blog www.1Malaysia.com.my itu, seorang pembaca yang menamakan dirinya sebgaai Mohamad menyarankan agar lepasan UPSR yang tidak berminat dengan pendidikan secara akademik dihantar ke sekolah kemahiran supara tahap keciciran persekolahan dapat dikurangkan ke paras paling minimum apabila potensi mereka boleh digilap di banyak pusat latihan kemahiran.

Muhyiddin berkata, ketika ini bidang vokasional boleh diambil oleh pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan jumlah pelajar aliran vokasional negara masih kecil berbanding negara lain.

Sedangkan, katanya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun bagi memenuhi keperluan industri negara.

Menurutnya, kebanyakan negara maju dan Eropah termasuk Perancis mempunyai jumlah pelajar vokasional yang tinggi manakala di Indonesia sebanyak 40 peratus pelajar mereka adalah di bidang vokasional manakala Thailand hampir 60 peratus pelajarnya mengikuti aliran kemahiran.

Selepas Perancis, tambahnya, beliau akan ke Sydney, Australia dalam bulan ini untuk bidang vokasional yang diberi perhatian serius dalam sistem pendidikan mereka.

"Dalam awal tahun depan, rakyat boleh diberitahu mengenai transformasi vokasional ini dengan lebih jelas dan pada masa yang sama kita tidak mahu ibu bapa menganggap bahawa bidang vokasional adalah pilihan kedua, ini perlu diperbetulkan," katanya.

Muhyiddin berkata, rombakan itu akan memastikan skop kemahiran yang diajar bersifat praktikal dan bukan hanya teori agar lebih mempunyai hubung kait dengan keperluan industri dan pasaran kerja.

Dalam soal logistik dan infrastruktur, katanya, pihak swasta digalakkan membina sekolah kemahiran yang bersesuaian dengan lokasi seperti sekolah elektronik di kawasan perindustrian elektronik atau sekolah berkaitan pelabuhan di kawasan terdapat pelabuhan.

Beliau berkata, sekolah swasta ini akan mengikut silibus kementerian dan dengan cara itu akan mempercepatkan usaha menghasilkan lebih ramai jumlah pelajar vokasional.

- MINGGUAN MALAYSIA

Rokok tingkat risiko pneumothorax?

AHMAD (bukan nama sebenar) berusia 29 tahun. Menjalani gaya hidup seperti lelaki muda yang lain, pada mata kasar dia kelihatan sihat dengan susuk tubuh kurus (tidak terlalu kurus) dan tiada sebarang penyakit.

Namun anak muda itu merokok. Walaupun begitu, dia tidak pernah lupa bersenam terutama menghabiskan masa bersama teman bermain badminton, futsal dan sebagainya. Dari segi pengambilan makanan, dia tidak cerewet namun tidak juga terlalu berhati-hati.

Suatu hari, secara tiba-tiba Ahmad mengalami kesakitan di bahagian dada yang teramat sangat. Tanpa berlengah, dia terus berjumpa doktor. Ahmad tidak pernah mempunyai sebarang sejarah penyakit berkaitan jantung atau paru-paru. Dia terkejut apabila doktor mengesahkan dia mengalami pneumothorax.

Apa itu pneumothorax?

Jarang berlaku, namun ia bukan sesuatu yang mustahil.

Menurut Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Madya Dr. Mohd. Ramzisham Abdul Rahman, pneumothorax atau masalah pengumpulan udara atau gas di bahagian rongga pleural antara paru-paru dan dinding dada berlaku apabila terdapat kebocoran di antara rangka dada dan paru-paru atau paru-paru itu sendiri.

“Terdapat dua jenis pneumothorax. Yang pertama boleh berlaku secara tiba-tiba atau spontan dan ini dipanggil spontaneous pneumothorax. Masalah ini berlaku kepada mereka yang mempunyai gelembung udara nipis pada paru-paru sejak lahir dan apabila perubahan tekanan antara atmosfera dan rongga torasik berlebihan berlaku, ia akan pecah,” katanya.

Keadaan itu katanya, boleh terjadi kepada lelaki berusia antara 15 hingga 30 tahun dengan bentuk fizikal kurus dan tinggi.

“Sebanyak 10 peratus lelaki muda mengalami masalah ini dan di PPUKM sahaja, boleh dikatakan satu kes akan dirujuk setiap minggu,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, individu merokok meningkatkan lagi risiko pneumothorax.

Dalam sesetengah keadaan, ia berlaku apabila kebocoran udara berterusan dari paru-paru ke rongga dada dan menyebabkan tekanan pada struktur dada termasuk saluran yang membawa darah kembali ke jantung.

Bila keadaan tersebut berlaku, pesakit akan mengalami sesak nafas, sakit dada, batuk-batuk dan mungkin pengsan. Keadaan itu boleh mengundang maut andai tidak dirawat dengan segera.

Jenis kedua pneumothorax pula kata beliau, berlaku disebabkan trauma fizikal seperti kemalangan melibatkan bahagian dinding dada seperti keretakan bahagian rusuk dan sebarang kecederaan tembus dada (tembak atau tikaman).

Selain itu, pneumothorax juga boleh berlaku sebagai kesan penyakit paru-paru, termasuk cystic fibrosis, penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD), kanser paru-paru, asma dan jangkitan paru-paru.

- MINGGUAN MALAYSIA

Sikap prejudis Barat dan Islamophobia

Oleh Mazlan Nordin

Maka akhirnya Paderi Terry Jones membatalkan rancangannya mahu membakar al-Quran pada hari ulang tahun kesembilan peristiwa 11 September setelah menerima kritikan, bantahan dan nasihat dari pelbagai pihak, termasuk Presiden Barack Obama dan para pemimpin Kristian pelbagai mazhab dan agama Yahudi.

“Tidak pada hari ini dan bila-bila masa jua.” Beliau menjelaskan, Jones mengetuai sebuah gereja kecil yang mempunyai kira-kira 20 orang ahli saja, menurut laporan-laporan media Amerika, kerana pada mulanya beliau mengumumkan rancangan tersebut ditunda saja.

Presiden Obama pula menegaskan bahawa Amerika ‘tidak sekali-kali” akan memerangi Islam. Beliau lalu menyeru rakyat Amerika supaya mengamalkan toleransi antara agama.

Namun, mencetuskan sikap prejudis anti Islam ialah rapat-rapat umum di New York, iaitu berkaitan dengan rancangan pembinaan masjid berhampiran kawasan pembinasaan Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Pembinaan masjid dan pusat komuniti Islam dicadangkan oleh Imam Faisal Abdul Rauf dari New York juga. Kerana berlarutan demonstrasi demi demonstrasi itu mencemari imej Islam setelah tiap hari dilaporkan secara besar-besaran oleh pihak media Amerika.

Yang dicetuskan ialah Islamfobia manakala saban hari menjadi bahan berita dan komentar para bloggers. Antara yang menegur reaksi tersebut ialah Louis Farrakhan, warga Afrika-Amerika yang mengetuai Nation of Islam.

Lama sebelum itu, pada tahun 1983 masyarakat Islam di New York merancangkan pembinaan sebuah masjid. Kerana sebelumnya mereka terpaksa menunaikan solat di bilik-bilik persidangan hotel-hotel, bilik-bilik setor dan lain-lain ruang kosong.

Turut memberi sumbangan ketika itu ialah para wakil kira-kira 40 negara Islam bertugas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ada negara-negara Islam yang menderma wang dan peralatan-peralatan masjid, termasuk tikar sembahyang (dari Pakistan dan Turki). Turut membantu ialah Indonesia.

Menurut laporan pembinaan bermula pada tahun 1987, tetapi berkali-kali tergendala. Menurut laporan New York Magazine “rancangan masjid itu tidak menjadi dan memakan masa begitu lama hingga tahun 1991 manakala berlaku Perang Teluk!”

Menimbulkan tanda-tanya berkaitan Islamofobia yang disebar oleh sesetengah pihak ialah betapa warga Islam di Amerika seramai kira-kira tujuh juta boleh menjadi masalah. Bilangan mereka tidak sampai dua peratus dari jumlah besar penduduk Amerika.

Menjelaskan hal ialah laporan dalam The Annals of the American Academy of Political and Social Sciences (2007) berjudul Warga Islam di Amerika. Kepelbagaian luar biasa. Antara lain dicatat:

* Warga Islam telah berada di Amerika lebih 100 tahun lamanya, tetapi mereka berada di pinggir sejarah politik negara.

* Ramai warga Islam ialah dari generasi kedua atau ketiga dan satu pertiga ialah keturunan Afrika.

* Kemasukan agama Islam pada kurun ke-18 - 19 ialah melalui hamba-hamba abdi yang dibawa dari benua Afrika.

* Bilangan warga Islam yang paling ramai di Amerika ialah orang-orang Arab, Selatan Asia, Afrika - Amerika diikuti bilangan-bilangan kecil orang-orang Turki, Iran, Bosnia, Indonesia dan Melayu.

Juga dicatat ialah pelbagai cabaran yang dihadapi. “Pada bulan November 2006, enam orang Imam diperintah keluar dari sebuah kapal terbang setelah penumpang-penumpang lain melihat tiga orang imam menunaikan sembahyang di lapangan terbang”.

Dalam membicarakan rancangan membina masjid di New York ketika ini, molek diambil contoh ialah pembinaan sebuah masjid di Granada, Sepanyol yang pada masa dahulu diperintah oleh pihak Islam selama 800 tahun.

Mengeluh

Laporan mengenainya terbit dalam akhbar New York Times 22 Oktober 2003 bermula dengan ayat-ayat berikut:

“Warga-warga Islam kembali ke kubu lama golongan Moors di Granada, kubu terakhir Islam di Sepanyol sebelum abad ke-15 manakala Emir Boabdil mencium tangan Raja Ferdinand dan mengeluh dengan penuh sedih ketika menyerahkan kota ini.

Tetapi orang-orang Islam yang sujud di Masjid baru kota ini, yang pertama dibina sejak lebih 500 tahun lama, bukan golongan Moors moden, tetapi adalah keturunan orang-orang Eropah.

“Kami datang untuk mengatasi satu-satunya pilihan lain di sini,” kata Haji Abdul Hasib Castieira, seorang warga Sepanyol. Ketika golongan pendatang beransur-ansur menyebarkan Islam ke benua Eropah, maka kegiatan dalam negara Sepanyol sendiri kian meningkat.

Semasa 800 tahun pemerintahan Islam di Sepanyol dahulu, ramai orang-orang Kristian memeluk agama Islam,” Castieira menambah.

Bilangan orang Sepanyol yang kini memeluk agama Islam meningkat hingga puluhan ribu. Castieira sendiri masuk Islam pada tahun 1977. Beliau dan rakan-rakan kemudian diundang bermastautin di Granada.

Mereka selanjutnya merancang pembinaan masjid setelah mendapat sebidang tanah dan menerima sumbangan derma “dari Libya, Maghribi dan juga Malaysia,”. Demikian antara laporan akhbar New York Times.

Andainya nanti masjid dibina di New York sendiri, sumbangan derma boleh dikirim juga dari Malaysia. Semoga demikian adanya. Bersama-sama kita mendoakannya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Ahad, September 26, 2010

Adab jadi biadab dalam Internet

Setiap pagi, nikmat seorang wartawan ialah membaca akhbar harian. Sambil minum teh tarik dan sekeping roti canai di kedai mamak, maka dilahapnya semua akhbar harian yang boleh dibacanya: Utusan Malaysia, Berita Harian, The New Straits Times, The Star, Sinar Harian, Harian Metro, Kosmo, The Sun, The Edge, Financial Daily dan The Malaysian Reserve.

Tiga puluh tahun lalu, akhbar-akbar yang dilahap setiap hari ialah Utusan Malaysia, Utusan Melayu, Berita Harian, The New Straits Times, The Straits Echo, The Malay Mail, Bintang Timur, Warta Teberau dan Business Times.

Sebahagian akhbar itu sudah tidak ada. Tetapi sepanjang 30 tahun lalu, ada akhbar harian yang muncul tetapi tidak dapat bertahan. Mereka ialah Harian Nasional, Harian Kota, Harian Watan, The National Echo dan The Leader.

Walaupun kini banyak anak muda tidak membaca akhbar harian, tetapi mereka memperoleh berita daripada akhbar-akhbar yang sama juga, tetapi dari atas talian: Utusan Online, Berita Harian Online, NST Online, Star Online, MStar, Metro Online, Kosmo Onlie, Sun Online dan The Edge Online. Dua portal berita yang mereka tatap ialah Malaysiakini dan Malaysian Insider.

Selagi akhbar-akhbar itu ditulis dan disunting oleh orang profesional, bermaksud di sini, mereka yang mendapat latihan untuk menulis dan kemudian dibayar gaji untuk menulis atau menyunting, maka penggunaan bahasanya adalah lebih kurang bernada baik, tertib dan bersopan. Maknanya dalam tulisan itu tidak adalah memberi gelaran buruk pada orang, memaki hamun, apatah lagi mencarut atau menggunakan perkataan-perkataan kesat.

Tetapi dengan munculnya Internet dan laman-laman web biasa yang boleh memaparkan apa saja tanpa kekangan media berlesen, maka mulalah orang awam disuap dengan tulisan dan komen-komen yang hanya berisi dengan maki hamun dan sumpah seranah, memberi gelaran buruk, mencarut dan menggunakan kata-kata kesat.

Keadaan ini berlaku kerana banyak orang ramai yang menulis tidak dapat mengungkap pemikiran dan perasaannya. Apabila mereka tidak berupaya mengemukakan hujahnya secara jelas dan teratur, maka apa yang dilakukan hanyalah memaki hamun.

Fenomena ini boleh dikatakan bermula pada tahun 1999 ketika berlakunya krisis ekonomi dan politik di negara ini. Timbul laman-laman web yang menentang kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kerana tidak berupaya untuk berhujah secara jelas dan bersopan, maka mereka sering menggunakan kata-kata kesat. Siapa yang tidak ingat tentang laman web bernama Mahazalim dan Mahafiraun. Tulisan-tulisannya bukan saja dangkal dari segi hujah, atau sarat dengan fitnah dan hasutan, tetapi bahasa yang digunakannya amat kesat dan menghina.

Parah

Dari situ keadaan bertambah parah dengan munculnya blog dan kini laman sosial seperti facebook.

Banyak orang mengalu-alukan perkembangan baru ini dan menyatakan bahawa ruangan siber telah membebaskan suara dan pemikiran rakyat. Maka sebab itulah, kata mereka tarikan kepada akhbar tradisional semakin merosot.

Buat apa orang ramai hendak membaca akhbar kalau mereka boleh mendapat banyak maklumat dan pandangan daripada laman web, portal berita, blog dan laman sosial secara percuma.

Tetapi mungkin penulis adalah tergolong kepada generasi lama, iaitu baby boomers atau generasi yang lahir lepas Perang Dunia Kedua dan bukannya generasi X, Y dan Z, sebab itu, nikmat membaca masih datang daripada bahan- bahan cetak iaitu akhbar, majalah dan buku.

Tetapi sebagai wartawan yang masih bekerja, tentulah penulis sentiasa membaca apa yang dipaparkan dalam alam siber.

Internet membuka dunia yang luas kepada semua orang. Untuk itu penulis dapatlah membaca akhbar-akhbar dunia yang bermutu tinggi seperti The New York Times, Wall Street Journal, The Times of London, The Guardian, The Independent secara atas talian setiap hari.

Tidakkah dunia ini lebih luas berbanding 30 tahun lalu di mana bacaan dalam bahasa Inggeris hanya terhad kepada The New Straits Times dan The Star.

Tetapi apabila membaca bahan bahan-bahan berita dalam alam siber Malaysia yang meliputi portal berita, laman web, blog dan facebook, maka rasa tidak selesa yang amat ketika menatapi komen dan posting daripada orang ramai.

Orang kata bahan bacaan tempatan termasuk di alam siber bermutu rendah berbanding daripada bahan-bahan bacaan dari negara-negara maju.

Tetapi lebih buruk dan bersifat sampah adalah komen-komen pembaca dalam laporan-laporan itu.

Sememangnya ada pembaca yang berupaya mengungkap hujah-hujahnya seperti seorang penulis profesional, tetapi kebanyakan daripada mereka hanya tahu memaki hamun, memberi gelaran pada orang lain, menghina, tidak kira lagi memfitnah dan menuduh melulu. Mencarut dan menggunakan kata-kata kesat adalah lumrah dalam Internet.

Mungkin orang akan kata bahawa inilah harga kebebasan bersuara dan membaca melalui Internet. Apa saja boleh dicurahkan dalam Internet walaupun bagi mereka yang tidak berupaya untuk berhujah.

Berbeza pendapat dan bertukar fikiran adalah penting bagi pembinaan tamadun. Tetapi memaki hamun dan menulis dengan kata-kata kesat hanya menumpulkan minda seseorang. Sebab itulah penulis mengelak diri daripada membaca komen-komen itu bukanlah kerana tidak sanggup untuk membaca pandangan yang berbeza, tetapi jiwa bersih yang bersopan ini tidak sanggup membaca kata-kata buruk dan kesat yang sering orang tulis dalam komen-komen itu.

Cuba bayangkan, dari kecil dididik dalam keluarga dan masyarakat Melayu yang bersopan dan mengelak daripada menggunakan kata-kata kesat, serta dibesarkan dengan akhbar yang berbahasa tertib, tetapi kini tiba-tiba terasa seolah-olah hidup dalam zaman biadab.

- MINGGUAN MALAYSIA

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.

Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.

Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.

Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.

Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.

Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.

Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.

Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.

Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.

Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.

Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.



Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.

Semoga mereka tak tersalah pilih.

Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.

Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.

Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.

Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.

Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...

- Realiti Alam Perkahwinan

Awasi skizofrenia pada ahli keluarga

Tanggapan di atas sangat berbahaya dan masalah ini menyebabkan ahli keluarga terus beranggapan rawatan terbaik adalah menerusi kaedah tradisional.

Lelaki dan wanita memiliki risiko yang sama untuk menghidap penyakit ini tetapi simptom lebih cepat muncul pada lelaki. Pesakit ini juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk membunuh diri berbanding orang lain. Sekitar 10 peratus terutama daripada kalangan lelaki yang masih muda, membunuh diri.

Menurut statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia, risiko keturunan merupakan risiko yang diwarisi daripada keluarga terdekat adalah 10 peratus manakala sekitar 40 peratus lagi boleh menghidap skizofrenia seandainya ibu bapa atau kembar mereka menghidap penyakit ini.

Kebiasaannya simptom melibatkan proses fikiran dan juga kelima-lima deria. Proses fikiran pesakit skizofrenia biasanya terganggu dan ini membuatkan pesakit mempercayai perkara-perkara yang tidak benar, walaupun telah berkali-kali diberi penjelasan.

Kemurungan bukan tanda kelemahan tetapi masalah perubatan. Kebanyakan remaja yang murung boleh dibantu dengan rawatan. Secara tipikal, rawatan kemurungan termasuk kaunseling atau perubatan.

Malangnya, kebanyakan remaja dengan masalah kesihatan mental tidak mendapat pertolongan yang sepatutnya. Apabila kemurungan tidak dirawat, ia akan menjadi semakin teruk, berpanjangan dan menghalang remaja itu menikmati hidupnya, sedangkan kemurungan sebenarnya masalah perubatan yang boleh dirawat dan disembuhkan.

Pakar Perunding Psikologi dari Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh berkata, keluarga perlu prihatin dan mengambil langkah awal jika ada simptom kemurungan atau keganjilan tingkah laku di kalangan ahli keluarga.

"Memang sukar untuk pesakit sendiri mengetahui apa yang sedang berlaku pada diri mereka terutama apabila berkaitan dengan sakit mental.

"Justeru peranan ahli keluarga amat penting, mereka perlu prihatin dan mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan yang dilalui oleh salah seorang ahli keluarga," katanya.

Menurut Dr. Nor Hamidah, antara tanda-tanda skizofrenia ialah pesakit akan merasa seperti ada orang ingin membunuhnya, mengalami halusinasi, delusi, pendek kata dia mengalami kecelaruan tanggapan.

"Orang yang mempunyai simptom skizofrenia ini akan menganggap semua perkara sebagai serius, dia sering menganggap sesuatu yang tidak logik itu sebagai logik, kadang kala dia merasa orang lain boleh baca fikiran dia.

"Skizofrenia di kalangan kanak-kanak memang jarang berlaku namun ia tak mustahil. Lazimnya ia berlaku di peringkat awal baligh hingga dewasa, sebabnya ialah di ketika itu manusia menggunakan keseluruhan otaknya. Bila terlalu banyak perkara yang difikirkannya maka ketika itulah dia akan mengalami breakdown," katanya yang banyak menerima kes di kalangan remaja lelaki berbanding perempuan.

"Apabila kes dirujuk kepada pakar psikiatri, biasanya temu bual akan dijalankan pada pesakit dan dan ahli keluarga bagi memastikan simptom-simptom berkaitan penyakit skizofrenia itu wujud pada pesakit terbabit.

"Biasanya perbualan akan berlangsung selama sejam atau lebih bergantung kepada keperluan. Dari perbualan tersebut, pakar boleh mengesahkan penyakit pesakit tersebut berada pada tahap mana dan akan memberi cadangan rawatan kepada pesakit dan ahli keluarga," jelasnya.

Sebaik pesakit disahkan mengalami skizofrenia, rawatan yang disarankan merangkumi pengambilan ubat-ubatan, kaunseling, terapi dan juga latihan sosial, semua ini bergantung kepada kes.

"Tentang ubat-ubatan juga perbincangan akan dilakukan dengan ahli keluarga pesakit kerana ahli keluarga perlu pastikan pesakit mengambil ubat mereka mengikut masa yang telah ditetapkan doktor," ujarnya.

Dr. Nor Hamidah berkata, stigma kebergantungan kepada pengambilan ubat penenang untuk seumur hidup sering menjadi alasan kepada pesakit dan ahli keluarga pesakit agar tidak merujuk kes kepada pakar psikiatri.

Padahal mereka tidak tahu dengan kemajuan teknologi, saintis telah mencipta ubat-ubat yang lebih berkesan dan kesan sampingan yang amat minimum.

- MINGGUAN MALAYSIA

MRSM buka permohonan kemasukan Isnin ini (27 Sep 2010)

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan membuka pengambilan pelajar Tingkatan Empat sesi 2011 bermula Isnin ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA Ibrahim Ahmad.

Beliau berkata sebanyak 3,232 tempat disediakan di 43 MRSM seluruh negara.

“Permohonan boleh dibuat secara talian dengan percuma,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur semalam.

Ibrahim berkata pemohon perlu mendapatkan nombor PIN daripada semua pejabat Mara atau MRSM berdekatan dengan membawa salinan keputusan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 dan salinan kad pengenalan yang disahkan serta angka giliran PMR.

“Pemohon yang membawa keputusan percubaan PMR mestilah menunjukkan mereka memenuhi syarat iaitu lulus Matematik dan Sains. Bagaimanapun syarat kemasukan masih sama iaitu sekurang-kurangnya pemohon mendapat 6A 2B dan mendapat gred A dalam Matematik dan Sains,” katanya.

Tawaran kemasukan ke MRSM itu bagaimanapun tidak dibuka kepada pelajar yang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI).

Tarikh tutup permohonan menerusi talian ialah pada 21 Oktober ini manakala bagi permohonan melalui borang dan dokumen berkaitan, tarikh tutup ialah pada 26 Oktober.
Pemohon turut dinasihati agar membuat permohonan lebih awal dan tidak menunggu sehingga tarikh tutup bagi mengelak kesesakan talian. Untuk maklumat lanjut pemohon boleh layari laman web MARA di www.mara.gov.my

JPAM Dijangka Miliki 180,000 Anggota Menjelang Akhir Tahun Ini

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dijangka mempunyai 180,000 anggota menjelang akhir tahun ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Halim Abdul Hamid.

Jumlah anggota JPAM di seluruh negara ketika ini adalah seramai 140,000 orang berikutan pendaftaran seramai 60,000 anggota baru pada enam bulan pertama tahun ini, katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri JPAM Perlis di Kangar, Sabtu.

Berikutan penambahan anggota, katanya, pihaknya sedang menubuhkan pejabat di setiap daerah bagi memudahkan sesi latihan untuk anggota baru.

"Setiap daerah mesti ada sekurang-kurangnya sebuah ambulans bagi memudahkan operasi JPAM," ujarnya.

Mengulas pembinaan Pusat Latihan JPAM bernilai RM18 juta di Perlis, beliau berkata ia dijangka siap November ini dan pusat latihan seumpama itu juga akan dibina di Anak Bukit, Kedah dan Beserah, Pahang, tidak lama lagi.

- BERNAMA

Reaksi pembaca Blog Bajet 2011

Bonus kepada kakitangan kerajaan, pengurangan faedah kad kredit dan pinjaman perumahan kerajaan serta pelepasan cukai adalah antara saranan pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011.

Itulah antara cadangan menarik dikemukakan pembaca blog itu terhadap pelawaan Datuk Seri Najib Razak supaya rakyat berkongsi pemikiran melalui entri blog www.1Malaysia.com.my.Belanjawan Negara 2011: Pemikiran daripada Rakyat.

Menurut seorang pembaca yang hanya menamakan dirinya sebagai Mohamad, kerajaan pimpinan Najib perlu mengembangkan rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi buruh berkualiti dalam bidang yang ketika ini dikuasai buruh asing.

Beliau menyarankan agar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang tidak berminat dengan pendidikan secara akademik dihantar ke sekolah kemahiran supaya tahap keciciran persekolahan dapat dikurangkan ke paras paling minimum.

Rosli Musa pula antara lain menyarankan Najib yang juga Menteri Kewangan menghapuskan cukai RM50 untuk setiap kad kredit manakala faedah kad kredit 24 peratus diturunkan kepada 12 peratus setahun.

Satu lagi saranan menarik beliau ialah pinjaman rumah yang belum diambil oleh kakitangan kerajaan ditukar kepada pinjaman peribadi tunai dan dibenarkan dipohon oleh petugas awam yang masih belum mengambilnya.
Katanya pesara kerajaan perlu dinaikkan pencen sebanyak 25 peratus manakala kakitangan kerajaan perlu mendapat rebet jalur lebar internet sebanyak RM30 sebulan dan juga meminta agar cukai jalan kereta diturunkan lagi.

Mohd Amin pula berkata perkara utama yang harus dilakukan dalam menggubal belanjawan kali ini adalah mengkaji semula semua faedah yang dikenakan kepada peminjam yang membeli rumah.

Katanya faedah yang dikenakan tidak logik dan membebankan, contohnya harga rumah RM40,000 tetapi faedahnya sampai 90 peratus manakala ansuran sehingga 30 tahun.

Ini katanya berbeza pula dengan pinjaman untuk membeli kereta pada harga yang sama tetapi faedahnya sehingga 10 peratus dan ansuran selama maksimum sembilan tahun saja.

Pembaca yang menamakan dirinya Liew berkata perbelanjaan untuk ibu bapa yang uzur semakin bertambah dan tanggungjawab ini perlu dipikul oleh anak yang bekerja dan justeru itu mencadangkan potongan pendapatan diberi kepada setiap anak yang memberi sumbangan wang untuk kegunaan mereka.

Sebagai seorang kakitangan kerajaan, beliau mengharapkan bonus tahunan diberi kepada semua petugas awam untuk sebulan gaji atau minimum RM 1,500 pada tahun ini.

Seorang lagi pembaca bernama Mohamad berkata kerajaan boleh memberikan bonus kepada kakitangan kerajaan sekiranya rasuah dan penyelewengan di kalangan kakitangan awam dihapuskan.

– Bernama

Ego dendam punca masalah hati

Pernahkah kita sampai ke tahap langsung tidak merasa bersalah dan menyesal melakukan dosa atau jenayah?

Jika itu yang berlaku, awas kerana semua itu adalah tanda hati terlalu 'berkarat' dan mati.

Hati yang mati itu sama seperti jasad yang tidak bernyawa. Jika dipukul, ditepuk dan dicubit berkali-kali pun, ia tidak akan mendatangkan kesan.

Perjalanan hidup yang diatur hanya mengikut kemahuan syahwat sendiri. Orang yang mati hatinya tidak dapat membezakan perbuatan baik dan buruk.

Bahkan, ada berbangga mereka bercerita perbuatan maksiat yang mereka lakukan seperti rogol-bunuh-bakar, berzina, menipu, rasuah dan berbuat zalim kepada orang lain.

Tidak hairanlah jika ada golongan yang sanggup membunuh sesama manusia, ayah menodai anak kandungnya sendiri, ibu mendera anak sehingga mati serta pelbagai perbuatan terkutuk lain tanpa rasa berdosa.

Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: Ingatlah! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika baik, baiklah seluruh jasadnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat! Itulah hati.

Setiap dosa dan maksiat yang dilakukan maka akan tumbuh satu titik hitam dalam hati mereka.

Perkara itu jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Jelas sekali perwatakan golongan yang hati mati itu melalui sikapnya yang kejam, kasar dan tidak berperikemanusiaan.

Abdullah bin Abbas berkata: "Kebaikan itu mendatangkan sinar pada wajah, cahaya di hati, kelapangan dalam rezeki, kekuatan badan dan perasaan cinta di hati.

"Sedangkan dosa itu mendatangkan kesuraman pada wajah, kegelapan di hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan kebencian di hati manusia".

Sifat pendendam antara punca kepada masalah hati. Mereka sentiasa tidak puas hati ibarat meminum air di lautan; walau banyak yang diminum, ia tetap tidak habis.

Sikap ego yang bersarang dalam hati menjadi ibu sifat mazmumah yang membuatkan seseorang tidak tenang.

Begitu juga dengan rakan atau orang di sekeliling kita. Jika kita berkawan dengan orang soleh, pasti dia membawa kita mengingati Allah manakala orang jahil kepada kesesatan.

'Kematian' hati juga boleh dilihat apabila seseorang itu sedih orang lain mengatasi kehebatannya.

Mereka akan memastikan tidak ada yang boleh lebih daripadanya. Ini menambah sifat dendam yang memalapkan cahaya imannya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati. (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).

Jangan menjadikan ketawa keterlaluan sebagai cara menzahirkan perasaan gembira kerana boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Jika hati mati, syaitan mudah membawa kita ke lembah hina.

Sementara itu, antara mazmumah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah sifat pemarah.

Ego pula membuatkan golongan seperti ini memiliki sifat pantang dicabar. Allah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka ditutup.

Pemilik hati mati pasti menolak kebenaran dari Allah dan suka melakukan kezaliman terhadap sesama makhluk.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah). Mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda kekuasaan Allah). Mereka mempunyai telinga, tetapi tidak gunakan untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al-Araaf ayat 179).

Ketahuilah apabila hati menjadi keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan.

Perunding Motivasi dan penceramah, Mohd Zawawi Yusoh, berkata hati yang mati akan menghilangkan rasa ketuhanan dalam diri seseorang.

"Sebab itu, mereka tergamak melakukan pelbagai jenayah dan salah laku yang bertentangan dengan agama akibat hati yang tidak ada tindak balas terhadap kebaikan.

"Jika terus membiarkan diri bergelumang dengan maksiat ia akan menjadi penghalang utama amalan tidak diterima Allah," katanya.

Mohd Zawawi berkata hati juga mempunyai beberapa sifat antaranya hati keras, degil dan berat untuk melakukan amal kebaikan.

"Hati mati paling dahsyat kerana membuatkan manusia hilang sifat kemanusiaan dan belas ihsan. Tidak hairan ada sanggup merogol anak atau adik sendiri, membunuh dengan kejam atau mendera isteri dan kanak-kanak.

"Rezeki haram menyumbang 'kematian' hati. Ia juga melahirkan individu yang berpenyakit," katanya.

Beliau berkata, makanan hati adalah ilmu. Imam al-Ghazali menyatakan apabila seseorang itu tidak mendengar majlis ilmu selama tujuh hari, hatinya menjadi keras.

"Justeru, didiklah diri supaya cintakan majlis ilmu, istiqamah membaca al-Quran, mengamalkan zikir setiap solat selain berkawan dengan orang beragama yang dapat mendorong kita berada di landasan agama yang benar," katanya.

Beliau berkata, orang yang banyak dosa doa mereka tidak diterima malah akan merosakkan.

"Hati orang yang banyak dosa pasti merasa sempit selain segala masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan," katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22).

Mohd Zawawi berkata, bagi meleburkan hati yang keras, sentiasa bertaubat, bersolat lima waktu secara berjemaah dan kerap melakukan qiamulail.

"Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan," katanya.

- HARIAN METRO

Recent Posts