Selasa, September 28, 2010

Abdullah menasihati anak saudaranya

Abdullah bin Mughafal termasuk dalam golongan sahabat Nabi Muhammad. Beliau berpegang teguh pada ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad dan menggunakan ilmu yang disampaikan oleh beliau dalam kehidupan sehariannya.

Pada suatu hari, anak saudara Abdullah bin Mughafal bermain di luar rumah. Semasa anak saudaranya asyik bermain, Abdullah ternampak anak saudaranya cuba melastik seekor burung.

"Siapa yang mengajar anak saudara saya melastik burung ini?" bisik Abdullah bin Mughafal seorang diri.

Anak saudaranya asyik bermain lastik itu. Tidak henti-henti dia melastik burung yang hinggap di atas pokok yang terdapat di kawasan itu.

Kemudian Abdullah datang menghampiri anak saudaranya yang bermain itu. Beliau berkata kepada anak saudaranya, "Berhentilah bermain permainan ini. Carilah permainan yang lebih baik daripada melastik. Nabi Muhammad tidak suka orang yang bermain permainan ini."

Anak saudaranya menjawab, "Salahkah saya bermain permainan ini? Saya suka permainan ini."

"Kamu tidak boleh melastik burung sesuka hati kamu. Burung ini makhluk Allah juga," kata bapa saudaranya itu.

"Kasihanlah kepada burung itu. Ia baru sahaja mendapat anak. Cuba kamu lihat sarang burung itu," kata Abdullah sambil tangannya menunjukkan ke arah sarang burung itu.

"Anak-anak burung itu menunggu ibunya di sarang. Ibunya mencari makanan bagi anak-anaknya. Sekiranya ibu burung itu mati semasa mencari makanan, bagaimanakah anak-anaknya yang masih kecil itu mahu makan? Mahukah kamu lihat anak-anak burung itu mati kelaparan?"

Abdullah bin Mughafal cuba mengalih perhatian anak saudaranya itu daripada terus melastik burung.

Anak saudaranya yang masih kecil tidak mengendahkan kata-kata Abdullah. Dia terus melantunkan batu kecil ke arah burung itu.

Abdulah bin Mughafal berkata lagi, "Nabi Muhammad melarang kita bermain permainan ini. Malah, melastik burung adalah kesalahan. Kamu menyeksa burung itu kerana ia tidak akan mati hanya dengan permainan ini. Sekiranya terkena mata orang lain, matanya boleh jadi buta. Sekiranya terkena gigi orang lain, giginya boleh patah."

Anak kecil itu mendengar penjelasan Abdullah. Oleh kerana takut diperhatikan oleh bapa saudaranya, dia berhenti seketika daripada bermain. kemudian, Abdullah bin Mughafal berlalu meninggalkan anak saudaranya seorang diri.

Nasihat yang diberikan oleh Abdullah bin Mughafal tidak dihiraukan. Dia meneruskan permainannya.

"Bapa saudara saya sudah tiada di sini. Lebih baik saya bermain semula lastik ini. Untung-untung saya dapat melastik burung itu," bisiknya sendirian.

"Siapalah kamu burung. Pasti lantunan saya ini terkena lastik saya ini," kata anak saudaranya yang asyik melastik burung itu.

Kelihatan burung itu berterbangan tidak tentu hala kerana mengelak daripada terkena batu lastik itu. Kedengaran juga bunyi batu terkena dahan pokok itu.

"Tidak kena lagi. Saya mesti melastik burung itu dengan lastik ini. Kali ini burung itu pasti jatuh ke bumi," kata anak kecil yang geram melihat burung itu.

Anak saudaranya tetap bermain permainan itu. Tidak lama kemudian, bapa saudaranya datang semula ke tempat permainannya itu.

"Mengapa kamu masih bermain permainan ini?" tanya Abdullah dengan nada suara yang tinggi.

"Saya...saya... tersekat-sekat suara anak saudaranya menjawab, tetapi disebabkan takut kepada bapa saudaranya, lalu anak saudaranya dia seribu bahasa.

"Bukankah saya memberi amaran kepada kamu mengenai bahayanya permainan ini? Kamu memang tidak mahu mendengar nasihat saya!" kata Abdullah bin Mughafal dengan suara yang tinggi.

Anak saudaranya hanya berdiam diri apabila dimarahi oleh bapa saudaranya itu. Kemudian Abdullah bin Mughafal berkata lagi, "Mulai hari ini, saya tidak mahu menegur atau bercakap dengan kamu lagi. Kamu melanggar suruhan dan perintah yang diajar oleh Nabi Muhammad. Sekiranya kamu sakit atau hendak mati sekalipun, saya tidak akan datang melawat kamu."

Kemarahan Abdullah bin Mughafal tidak dapat dibendung lagi kerana sikapnya yang tidak mahu mendengar nasihatnya itu. Memang permainan melastik ini disukai oleh kanak-kanak. Namun, permainan ini dilarang oleh Nabi Muhammad kerana mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

- UTUSAN

Projek Bakun sejak 60-an, Mula beroperasi Mac 2012


Empangan Hidroelektrik Bakun sebenarnya bukan projek baru. Ia telah bermula pada tahun 1960-an melalui kerja-kerja mengukur tanah dan kajian diteruskan pada tahun 1980-an.

Kajian tersebut merangkumi pelan induk dan upayabina; kajian batuan dan tanah; kajian janaan hidro; reka bentuk empangan; kajian alam sekitar dan sosio-ekonomi dan kajian talian penghantar.

Projek itu telah mulakan pada 1986, tetapi dihentikan pada 1990 berdasarkan unjuran merosot kegunaan elektrik disebabkan kemelut ekonomi 1985 dan keputusan membangunkan dahulu industri gas asli negara.

Projek berkenaan diteruskan semula oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 1993.

Pada Januari 1994, ia diswastakan kepada Bakun Hydroelectric Corporation, iaitu syarikat usahasama Ekran Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Kerajaan Sarawak, Syarikat SESCO Berhad dan Malaysia Mining Corporation Berhad.

Bakun Hydroelectric Corporation telah memberi kontrak elektrikal, mekanikal dan penghantaran kepada ABB. Baberapa pakar runding yang terlibat ialah Snowy Mountain Engineering Corporation, TNB Hydro (anak syarikat Tenaga Nasional Berhad) dan KLIA Consult.

Bagaimanapun, ia terhenti akibat kemelut ekonomi 1997.

Pada Mei 2000, Kerajaan Malaysia telah mengambil alih projek dengan membeli kepentingan Bakun Hydroelectric Corporation dan meneruskan projek melalui syarikat milik kerajaan, Sarawak Hidro Sdn. Bhd. (SHSB).

Hanya pembinaan Empangan Bakun diteruskan dan kerja pembinaan ditawarkan melalui kontrak 'turnkey'. Pembinaan talian penghantar bawah laut tidak akan dilaksanakan.

Kontraktor baru ialah Malaysia-China Hydro JV Consortium, iaitu syarikat usahasama Sime Engineering Berhad, iaitu anak syarikat Sime Darby Berhad dan Sino-Hydro Corporation dari China.

Harga kontrak sivil adalah RM1.8 billion. Kerja elekromekanikal diberi pada satu kontrak kepada IMPSA dari Argentina dan satu kontrak lagi kepada Alstom dari Perancis.

Pembinaan Empangan Bakun turut dikaitkan dengan kerosakan alam sekitar, terutama hutan, sungai, tanah dan hidupan liar.

Empangan Bakun pernah didakwa golongan antiempangan atau antihidroelektrik menjejaskan lebih 800 spesies tumbuhan, termasuk 67 spesies yang dilindungi, 104 spesies ikan, 229 mamalia dan 43 spesies burung dilindungi, memusnahkan 50 juta meter padu pelbagai jenis kayu balak dan menjejaskan lebih 10,000 penduduk di sekitarnya.

Mula beroperasi Mac 2012

Setelah pelbagai halangan dan rintangan, akhirnya Empangan Hidroelektrik Bakun kini hampir 100 peratus siap dan sedia untuk diuji sebelum mampu beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.

Empangan yang terletak di Sarawak, khususnya di Bakun jauhnya dari Bintulu kira-kira 185 kilometer (km) dan jauh dari bandar raya Miri ialah kira-kira 300 km serta dari Long Segaham kira-kira 50 minit menggunakan jalan air.

Empangan yang mengempangi Sungai Balui merupakan empangan batu dilitupi konkrit (CFRD) yang kedua tertinggi di dunia.

Mempunyai ketinggian 205 meter, ia juga adalah kedua terbesar di Asia selepas empangan Shibiyanu China yang setinggi 223 meter.

Dinding empangan tersebut juga direka bentuk untuk bertahan selama 100 tahun dengan menggunakan batu yang disusun berlapis sebanyak 16.9 bilion kubik meter.

Empangan itu sepanjang 643 meter yang dibina di atas kawasan jeram Bakun sesuai dengan namanya.

Malah ia dikuatkan lagi dengan penggunaan lebih 12 juta kilogram simen untuk memastikan ia kukuh.

Empangan itu akan mengumpul air dari kawasan tadahan seluas 14,750 km persegi atau seluas Kelantan yang mengambil keluasan 11 peratus keluasan Sarawak.

Projek Empangan Hidroelektrik Bakun kini sedang menunggu kelulusan kerajaan negeri Sarawak untuk kerja-kerja menakung air bagi tujuan pengujian turbin.

Pengarah Urusan Sarawak Hidro Sdn. Bhd. (SHSB), Ir. Zulkifle Osman berkata, sehubungan itu pihaknya berharap kelulusan diberikan segera sebelum kerja-kerja menakung air dilaksanakan.

Tempoh tujuh bulan diperlukan untuk menakung air bagi mencapai paras minimum untuk menjalankan ujian terhadap turbin nombor lapan yang dipasang pada empangan tersebut.

''Insya-Allah, kita akan tahu keputusan setelah semua maklumat berhubung persediaan kita di serahkan kepada kerajaan negeri," kata Zulkifle pada taklimat dan lawatan media di Projek Empangan Hidroelektrik Bakun baru-baru ini.

Beliau berkata, projek empangan Hidroelektrik Bakun sebenarnya masih belum ditentukan kos secara tepat cuma anggarannya pada RM7 bilion sehingga RM7.3 bilion.

Ini kerana katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membentangkan segala kos kerana ada kos yang boleh dimasukkan dalam jumlah itu dan ada juga yang tidak boleh dimasukkan.

''Kos sebenar kita anggarkan dalam jumlah itu (RM7 bilion hingga RM7.3 bilion) seperti mana yang dilaporkan dalam Parlimen," katanya.

Beliau juga memberitahu projek tersebut tidak mengalami kelewatan namun jika ia beroperasi sepenuhnya pada Mac 2012, maka kosnya akan mencecah RM7.3 bilion.

Pada satu soalan berhubung kadar tarif yang akan dijual, Zulkifle berkata ia masih dalam perbincangan dan besar kemungkinan kadar tersebut akan diketahui pada Disember ini.

SHSB mengambil alih projek tersebut daripada Menteri Kewangan. Diperbadankan dan meneruskan kontrak pembinaan empangan tersebut pada tahun 2003.

Jika empangan Hidroelektrik Bakun beroperasi sepenuhnya, ia yang mempunyai lapan turbin dengan kuasa setiap satu sebanyak 300 Megawatt (MW) mampu menjana bekalan elektrik sebanyak 2,400 MW.

- UTUSAN

Ular pula 'serang' New Delhi


NEW DELHI - Macam-macam hal berlaku di New Delhi yang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2010.

Masalah denggi, kebersihan serta kelewatan menyiapkan venue pertandingan telah mencetuskan kebimbangan di kalangan negara-negara peserta temasya tersebut yang akan berlangsung pada 3 hingga 14 Oktober ini.

Terbaru, beberapa penangkap ular memberitahu bahawa mereka telah berjaya menangkap ular jenis Cobra yang bersembunyi dalam pusat tenis yang baru siap dibina khusus untuk Sukan Komanwel.

Penemuan ular itu dilaporkan selang tujuh hari sebelum berlangsungnya acara tenis Sukan Komanwel yang dijadual bermula minggu depan.

"Kami diminta pihak penganjur Sukan Komanwel untuk membantu menangkap seekor ular yang ditemui bersembunyi dalam Stadium Tenis R.K. Khanna ini.

"Ular itu berjaya ditangkap dan kami membawanya keluar sebelum dipindahkan," kata Ketua Jabatan Pemeliharaan dan Kecemasan Hidupan Liar India, Kartick Satyanarayan semalam.

Ini merupakan ular kedua ditemui sebelum bermulanya Sukan Komanwel.

Ular pertama bagaimanapun tidak berjaya ditangkap tetapi disahkan ditemui dalam satu bilik atlet Afrika Selatan di perkampungan sukan.

Penemuan ular pertama itu didedahkan Pesuruhjaya Tiinggi Afrika Selatan ke India, Harris Mbulelo Mejeke kelmarin.

- AFP

Jiwa Fotografi Muzaffar


Di satu sudut taman, kelihatan dua orang gadis leka membetulkan tudung masing-masing. Seorang memakai tudung berwarna biru, manakala temannya menawan dengan warna kegemaran, merah jambu.

Di hadapan mereka, seorang lelaki berkemeja ungu berbelang putih lengkap dengan ves rona kelabu asyik membetulkan kameranya.

Sebaik menyedari pelanggannya sudah bersedia, tanpa berlengah jarinya pantas menekan picu kamera. Bertalu-talu sebelum berhenti seketika sambil membelek hasil gambar yang dirakamnya.

Sesekali kelihatan lelaki itu tersenyum dan kadangkala mengerutkan dahi. Mungkin kurang berpuas hati dengan hasil kerjanya.

Kemudian, dia meminta dua remaja tersebut menukar gaya dan beraksi secara spontan sebelum menyambung tugasnya dengan penuh semangat.

"Bagi saya fotografi ialah melihat kehidupan di sebalik gambar yang dihasilkan oleh lensa kamera. Apa yang saya lihat saat memetik picu kamera, itu juga yang saya ingin orang lain rasakan apabila melihat gambar yang terhasil," kata jurugambar amatur muda, Tuan Ahmad Muzaffar Tuan Rosdan.

Lebih mesra dengan nama panggilan Epa, pemuda berusia 22 tahun itu memberitahu, minatnya dalam dunia fotografi bermula sejak umurnya 14 tahun.

Ketika itu, dia sentiasa memerhatikan bapanya, Tuan Rosdan Tuan Muda menggunakan kamera SLR Minolta X-700 dengan perasaan teruja.

Namun, perasaan tersebut hanya disimpan dalam hati hinggalah pada suatu hari bapanya secara tiba-tiba memberi peluang pada Epa untuk menggunakan kamera itu.

"Itulah kamera pertama yang saya cuba. Ia menggunakan filem. Abah kemudian memberi ilmu serba sedikit tentang asas fotografi seperti mengajar apa itu aperture, shutter speed, iso, rule of third dan sebagainya.

Kamera Nikon D50

"Saya terus jatuh cinta dalam bidang ini," jelas Epa yang kemudian menyambung pelajaran ke Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Perlis dalam jurusan Diploma Media Digital (Seni Digital) selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus memulakan kehidupan sebagai jurugambar. Menurutnya, pada semester pertama, orang tuanya membelikan sebuah kamera Nikon D50 untuk kegunaan di kampus.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah juga perasaan yang dialami oleh anak kedua daripada 11 adik-beradik itu memandangkan dia sudah lama menanam impian untuk memiliki kamera tersebut.

Sepanjang tiga tahun di politeknik, Epa menunjukkan prestasi akademik yang membanggakan pada setiap semester dengan keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) seperti 3.25, 3.41, 3.46 dan 3.47.

Malah, sewaktu mengikuti latihan industri pada semester empat, dia turut mencatat keputusan cemerlang berdasarkan komitmen yang ditunjukkan anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu.

Di samping itu, kerana cintanya pada arena rakaman di sebalik lensa kamera, penggemar nasi kerabu itu mula menabung semata-mata untuk membeli segala peralatan kamera yang memerlukan wang yang bukan sedikit.

"Saya mula mencari duit poket sendiri dengan menjadi jurugambar amatur. Alhamdulillah, usaha saya tidak sia-sia. Bidang inilah yang menjadi sumber pendapatan saya sepanjang belajar.

"Saya tidak mahu menyusahkan ibu bapa dengan meminta wang daripada mereka. Maklumlah adik-beradik pun ramai.

"Sejak itu, saya menyediakan jadual tugasan sendiri untuk membahagikan masa di antara akademik dan kerja-kerja fotografi. Ia begitu menyeronokkan di samping memberi pengalaman tersendiri," tutur Epa yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam jurusan Teknologi Multimedia dalam Animasi Komputer di Universiti Kuala Lumpur MIIT.

Hingga kini, Epa mengakui sudah menghabiskan lebih daripada RM10,000 untuk membeli peralatan kamera bagi meningkatkan kualiti dan mutu gambar yang dirakam.

Berhabis ribuan ringgit

Antaranya seperti badan kamera Nikon D300 bernilai RM4,000, lensa sudut luas Tokina 11-16mm f2.8 (RM2,300), lensa prime 50mm f1.4 (RM1,200), lensa zoom 80-200mm f2.8 (RM2,000), lensa fisheye Peleng 8mm f3.5 (RM2,000), flash Nikon SB600 (RM850 setiap satu) dan banyak lagi.

"Semua perbelanjaan itu menggunakan duit hasil titik peluh daripada perkhidmatan fotografi mjlis perkahwinan, pertunangan, sambutan hari lahir, konvokesyen dan banyak lagi," ujarnya yang cenderung mengambil gambar landskap, alam alam sekitar dan fotografi seni halus yang mempunyai 1,001 makna untuk ditafsir.

Salah seorang pelanggan, Nazrul Aznan Mohd. Kadri, 27, berkata, dia memilih Epa sebagai jurugambar rasmi majlis perkahwinannya selepas dicadangkan oleh adiknya, Nazrul Izwan, 22.

Bagaimanapun, Nazrul Aznan tidak terburu-buru membuat keputusan berikut. Sebaliknya, dia meneliti terlebih dahulu hasil kerja Epa yang dipaparkan di dalam laman web miliknya.

Ternyata, segala karya yang terdapat di dalamnya menarik minat juruteknik komputer itu untuk menggunakan perkhidmatan Epa.

"Majlis perkahwinan merupakan satu peristiwa penting bagi setiap insan. Jadi, sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk memastikan potret kami bergelar raja sehari dirakam dengan sempurna.

"Meskipun masih muda dan masih belajar, tetapi saya amat berpuas hati dengan hasil kerja Epa. Dia sangat profesional dan sentiasa memenuhi permintaan kami tanpa sebarang rungutan," kata suami kepada Hariani Hamidin, 26, itu. Pasangan tersebut melangsungkan perkahwinan pada 28 Februari lalu.

Pendapat Nazrul Aznan disokong oleh Nur Mastura Azmi, 22, seorang lagi pelanggan yang pernah mendapatkan perkhidmatan Epa untuk merakam gambar potret dirinya.

Mengenali Epa sejak belajar di Perlis, Nur Mastura turut memuji kerja-kerja fotografi sahabatnya itu.

"Dia pandai mengambil hati pelanggan dan tidak jemu melayan permintaan mereka. Saya juga suka dengan gaya kerjanya yang teratur, tidak cerewet dan bayaran yang berpatutan," beritahu pembantu peribadi di Kementerian Kesihatan itu.

Bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan, Epa mempunyai pakej tersendiri bermula dari RM700 hinggalah mencecah RM4,000 bergantung kepada permintaan pelanggan.

Selain itu, dia juga menerima permintaan untuk fotografi konvokesyen yang bermula dari harga RM100 dan ke atas.

Epa turut mengambil tawaran kerja-kerja fotografi untuk majlis hari jadi, majlis rasmi seperti seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan sebagainya.

Epa juga melahirkan cita-citanya untuk menjadi seorang jurugambar profesional yang mampu melebarkan sayap ke luar negara.

"Walaupun ia bukan satu perkara yang mudah, tetapi saya tetap optimis dan akan berusaha untuk merealisasikan impian tersebut," katanya yang mengkagumi karya-karya jurugambar terkemuka dunia iaitu Yuri Arcurs dari Denmark disamping jurugambar tempatan Ariff Budiman.

Untuk melihat karya-karya fotografi Epa, anda boleh layari laman web eppaphotography.blogspot.com

- KOSMO!

Individu gemar tangguh lunaskan hutang dianggap zalim

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) gagal memenuhi sasaran mengutip semula bayaran balik pinjaman berjumlah RM23 bilion yang dikeluarkan sejak 1997 sebaliknya, hanya RM1.8 bilion dapat dikutip berbanding RM3.6 bilion disasarkan, pencapaian tidak sampai 10 peratus.

Kadar kutipan balik pinjaman yang rendah ini menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab peminjam yang diberi kemudahan tetapi liat membayar balik pinjaman.

Sepatutnya, peminjam bersikap lebih positif, berterima kasih kepada PTPTN menyediakan dana besar untuk membiayai pengajian masing-masing. Usahlah jadi kacang lupakan kulit, sebaliknya hargailah inisiatif kerajaan dengan membuat pembayaran balik sebaik tamat pengajian dan berkerjaya.

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, amalan berhutang sudah berlaku. Baginda pernah berhutang seekor unta dan kemudian membayar hutang itu dengan unta yang lebih besar dan lebih baik daripadanya.

Kini, berhutang sudah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat. Malangnya, ramai pula yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak berusaha untuk melangsaikan hutang mengikut perjanjian yang dibuat hingga penjamin terpaksa memikul beban.

Islam menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membuat bayaran balik hutang.

Rasulullah SAW mengingatkan orang berharta yang asyik menangguhkan pembayaran hutang adalah termasuk dalam perbuatan zalim. Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang.
Memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib apabila ia bertujuan memenuhi keperluan mendesak, seperti membantu mereka yang sangat memerlukan, menghadapi musibah, bencana alam dan golongan kurang upaya.

Bagi pihak yang berhutang, Rasulullah SAW mengingatkan mereka akan terus terikat dengan pembayaran balik hutang yang dibuat. Dia mesti menjelaskan hutangnya ketika hidup kerana apabila seseorang berhutang meninggal dunia sewaktu masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehinggalah dijelaskan hutang itu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jiwa orang mukmin itu tergantung dengan hutangnya (iaitu dia belum dihukum, sama ada kebaikannya atau kejahatannya) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Tetapi bagi yang tidak mampu melangsaikan hutang hinggalah ia meninggal dunia, maka soal hutangnya akan menjadi tanggungjawab Baitulmal seperti berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Ada ulama berpendapat hutang tadi berpindah kepada waris simati. Jika anak juga miskin, kemungkinan hutang tadi balik kepada cara yang pertama, iaitu diserahkan kepada kerajaan.

Firman Allah bermaksud: “Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesusahan, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan sedekahkan (sebahagian atau semua) itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” Surah al-Baqarah, ayat 280

Dalam masalah hutang, sunat memberi hutang dalam keadaan biasa tetapi wajib dibayar oleh pengambil hutang jika sampai tempohnya. Jika belum cukup tempoh dijanjikan, pemberi hutang tidak boleh memintanya.

Diceritakan Anas, seorang lelaki antara kami memberi hutang suatu barang kepada temannya. Kemudian orang yang berhutang tadi memberi hadiah kepadanya. Hal ini diceritakannya kepada Rasulullah.

Jawab Baginda: “Apabila salah seorang antara kamu memberi hutang sesuatu kemudian diberi hadiah atau dinaikkan ke atas kenderaannya, maka janganlah diterima hadiah itu dan janganlah naik kenderaan itu, kecuali jika sememangnya antara kedua-duanya itu biasa berlaku demikian sebelum terjadi hutang-piutang itu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

- BERITA HARIAN

Isnin, September 27, 2010

ADUN Galas, Kelantan Meninggal Dunia


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, di Parlimen Gua Musang, Kelantan, Che Hashim Sulaima, 47, meninggal dunia di Hospital Pakar al-Islam, Kampung Baru akibat barah usus kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Maklumat tersebut disahkan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang turut berada di pusat rawatan berkenaan sejak pagi tadi.

"Beliau disahkan meninggal pada pukul 4.30 petang," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Che Hashim dimasukkan ke KBMC sejak lima hari lalu.

Anggota keluaga beliau turut berada di pusat rawatan berkenaan.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS turut menziarahi Che Hashim antaranya Penolong Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar.

Che Hashim disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu apabila batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, China.

Julai lalu beliau sekali lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana Kota Bharu.

Allahyarham memenangi kerusi Galas yang terletak dalam parlimen Gua Musang dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu dengan mengalahkan calon BN, Saufi Deraman.

- MSTAR

Lelaki jatuh cinta apabila..?

Bukan mudah untuk memenangi hati seorang lelaki walaupun dia sudah menjadi kekasih kita.

Seringkali wanita menganggap bahawa hanya dengan kecantikan, keseksian tubuhnya, atau dandanan yang sangat wow 'bisa;' membuat lelaki jatuh cinta dan tertarik. Sedangkan hal itu salah besar. Seandainya anda (wanita) memakai baju yang ketat atau singkat dari paras pinggang, begitu juga seluar yang ketat dan menampakkan bentuk punggung yang menawan memang pasti lelaki akan tertarik, tapi apakah tertarik untuk mencintai anda ?? atau hanya untuk menikmati keindahan dan kecantikan anda saja???

Kebanyakan wanita setiap hari mempercantikkan diri dan memperindah tubuh mereka semata-mata untuk memenangi hati kekasih hatinya ataupun silelaki impiannya. Padahal masih banyak elemen-elemen lain yang harus mereka sedari.

Apa agaknya yang wanita selalu terlepas pandang?

1.Jadilah wanita yang mudah didekati

Maksudnya disini adalah jadi wanita jangan asyik jual mahal (tapi juga jangan jadi wanita murahan). Jikalau anda didekati oleh lelaki janganlah anda "hidung tinggi". Silap haribulan lelaki akan lari semua. Selalu ingat bahawa jumlah wanita lebih banyak daripada lelaki jadi kalau anda terlalu sombong tak semena-mena anda kehabisan lelaki dan kesudahannya jadi anak dara tua.

2. Jangan berdandan dengan berlebihan.

Kalau masalah yang satu ini harus diambil berat. Lelaki lebih suka melihat wanita yang tidak mengenakan make up kerana ianya akan nampak lebih "natural". Bagi mereka itulah wajah yang akan mereka lihat sehingga hari tua kelak. Berdandan boleh tetapi usahlah berlebihan , bukan sahaja membantu wanita berjimat cermat daripada membeli perkakas hiasan yang mahal-mahal bahkan membuatkan wanita lebih disayangi kerana tidak ada "wajah plastik" yang mereka tatapi setiap kali bertemu.

3. Jadilah wanita yang berselera Humor

Perlu ke humor dalam perhubungan? Semestinya perlu ada humor selain daripada hiasan kata-kata cinta. Si lelaki juga akan mudah bosan kalau wanita asyik menghadap pasanganya yang terlalu "skema" dengan ayat-ayat cinta. Letakkanlah bibit-bibit humor dalam perbualan anda.Berceritalah tentang zaman kanak-kanak yang menyeronokkan dan pasti akan membuat si dia tertawa dan lebih memahami anda.

4.Serlahkan kecantikan anda dari dalam hati dan kelakuan anda.

Seperti juga nombor 2 tadi "usah berdandan berlebihan". Maka lihatkanlah kecantikkan wanita anda dari dalam hati dan kelakuan anda.Jagalah perilaku anda di hadapan keluarganya, Bersopan santunlah sepanjang masa dan jagalah hati anda dengan mencintai yang Maha Esa.

Dan jangan sesekali meninggikan suara dihadapan lelaki impian anda kerana si lelaki akan membayangkan dengan suara yang tinggi itulah yang akan dihadapinya apabila kelak "anak-anak" di masa hadapan berbuat salah :)

Wanita yang cantik dan baik budi pekerti amat sukar ditemui tetapi wanita yang cantik, seksi dan menggoda amat mudah ditemui.Si lelaki pasti akan rasa bertuah sepanjang hidupnya jika menjadi milik anda.

5. Jadilah temannya sepanjang masa

Kalau hendak memikat hati lelaki jadilah teman baiknya. Biarkan si dia meluahkan segala perihal kehidupannya kepada anda dan jadilah pendengar yang setia. Percayalah satu hari nanti dia akan menyedari kehadiran anda yang pastinya akan mengukir cinta dihatinya.

Percayalah pada diri dan yakinlah dengan doa anda sebagai seorang wanita yang memerlukan cinta sebenar daripada seorang insan yang bergelar lelaki impian anda.

Semoga Berbahagia!


- Realiti Alam Perkahwinan

Guru sebagai cermin keperibadian murid

Dunia pendidikan sentiasa menjadi tumpuan semua pihak kerana tunjang utama dalam pemerkasaan pembangunan negara dijana melalui keberkesanan sistem pendidikan. Justeru, kualiti pendidik atau guru menjadi pemangkin kepada usaha membina generasi modal insan bertaraf dunia.

Malah, aspek melahirkan modal insan yang berkualiti itu menjadi agenda teras dalam RMK 9 dan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Hal itu menunjukkan betapa seriusnya negara dalam merencanakan barisan pelapis kepemimpinan dan warga kerja yang mampu menjana pembangunan negara ke arah pencapaian Wawasan 2020.


Peranan dan cabaran golongan pendidik pada masa mutakhir ini semakin ‘diasak’ dengan pelbagai isu yang diberikan penekanan dan perhatian wajar. Antaranya ialah gejala kes pelanggaran disiplin seperti ponteng sekolah, kejadian buli khususnya di asrama, biadab terhadap guru, perbuatan vandalisme yang menjijikkan mata memandang, memeras ugut pelajar junior, bergaduh dalam kawasan sekolah dan terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Semua isu ini perlu ditangani secara berkesan oleh sekolah kerana jika dibiarkan berterusan akan menjadi wabak yang membarah dalam kalangan anak muda kita.

Dengan demikian, peranan dan tanggungjawab semua guru mesti menjurus kepada pembinaan sahsiah pelajar yang murni dan bukan setakat menjadi penyampai ilmu pengetahuan saja. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah mengatakan, ‘guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi bertanggungjawab juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai hidup yang dipegang dan budaya yang diterima olehnya.’ (Petikan ucapan beliau pada Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di Ipoh pada 16 Mei 2000 ). Jadi, di sini jelas menunjukkan kepada kita memang menjadi tanggungjawab teras seseorang guru itu membentuk jati diri anak muridnya dengan keluhuran budi pekerti yang tinggi dan terpuji.


Sebenarnya, teras utama dalam aspek pendidikan adalah untuk membimbing dan memberi pendidikan akhlak murni. Jadi, dalam apa jua mata pelajaran yang diajar oleh seseorang guru, penerapan nilai murni itu tidak boleh diabaikan. Ini yang dikatakan ‘nilai merentas kurikulum’. Malah, seseorang guru sepatutnya memahami dan menghayati sedalam-dalamnya tafsiran Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara kita selama ini.

FPK antara lain menyatakan, ‘Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Jika diteliti secara mendalam inti pati FPK itu, memang sudah lengkap dan tepat dalam usaha membina generasi warganegara yang seimbang dan mampu menjana keperkasaan tamadun bangsa serta negara.


Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman yang juga Presiden Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) menggariskan beberapa peranan yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang guru dalam merealisasikan FPK itu. Antaranya ialah guru bertindak sebagai pendakwah. Ini bermaksud guru bukan saja memainkan peranan sebagai pengajar, tetapi seharusnya mendidik anak didiknya dengan nilai akhlak mulia. Guru juga pendidik yang mendidik anak murid secara seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Menurut beliau lagi, seseorang guru adalah pemimpin. Ertinya memimpin dan memandu pelajar menjalankan sesuatu tugasan dengan betul dan berkesan. Seterusnya guru adalah pekerja yang mematuhi segala etika profesion ke arah membina anak muridnya menepati acuan sebagaimana yang termaktub dalam FPK. Guru juga boleh dianggap sebagai seorang pengusaha. Dengan itu untuk memenuhi ciri pengusaha yang dinamik, guru perlu mempunyai kemahiran dan sentiasa berupaya berfikir secara inovatif dan kreatif. Contohnya, bagaimana seseorang guru itu berupaya menarik perhatian pelajar agar sentiasa menerapkan disiplin diri yang unggul dan mematuhi ajaran agama. Selain itu, seseorang guru juga mesti bersikap profesional dalam bekerja dengan menunjuk contoh yang baik dan memiliki sahsiah diri yang terpuji.

Ini penting kerana guru akan menjadi perhatian pelajar dan akan diikuti. Jangan pula seperti ‘ketam mengajar anaknya berjalan betul.’ Selain itu, menurut Dr Abdullah Sudin, seseorang guru mesti menjadi seorang pengikut yang baik. Ini bermaksud guru itu seharusnya taat dan mematuhi arahan ketua dalam melaksanakan sebarang tugasan dengan bersedia berkorban masa dan tenaga semaksimum boleh. Seterusnya guru juga berperanan sebagai seorang pejuang. Apakah maksud pejuang di sini? Tentulah perjuangan dalam menyempurnakan amanah negara dalam memberi pendidikan kepada anak bangsa dengan semangat waja dan tanpa putus asa.

Seseorang pejuang sudah tentu tidak boleh berputus asa apabila berhadapan dengan kesulitan. Begitulah dengan guru. Apapun cabaran dan kekangannya, tugas dan amanah mesti diteruskan dengan efektif. Pejuang juga mesti ikhlas dalam perjuangannya. Demikianlah juga dengan guru, mereka seharusnya ikhlas dalam melaksanakan tugas mendidik anak bangsa. Kata Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni, ‘ciri guru yang cemerlang ialah ikhlas mengajar ilmunya, memiliki tekad yang kuat untuk memberi manfaat yang terbaik untuk anak muridnya dan berusaha kuat menghantarkan mereka pada ketinggian darjat orang yang berilmu.’ Al Imam Al Ghazali pula ada mengatakan: ‘Guru perlu menanamkan niat mereka mengajar demi menyelamatkan anak muridnya daripada kesengsaraan di akhirat kelak.’

Hakikatnya seseorang guru sewajarnya mesti sedar dan insaf bahawa di bahu mereka terletaknya amanah Allah dan harapan negara dalam membina generasi insan yang berwibawa, berintelek tinggi, berakhlak mulia serta bersahsiah ‘towering personality.’ Ingatlah pendidik akan pesanan yang pernah diluahkan oleh Beecher, ‘kanak-kanak adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan kepadanya.’ Demikian juga guru seharusnya menghayati kata-kata daripada Mann Horace ini, ‘seseorang guru yang mengajar tanpa cuba menimbulkan dan menghidupkan keinginan serta semangat belajar dalam kalangan muridnya seperti orang yang menempa besi yang dingin.’ Selamat mendidik anak bangsa.

- HARIAN METRO

Pengaruh besar doa dalam kehidupan

Firman Allah SWT: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.

Doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar Allah.

Allah SWT tidak suka kepada hambanya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya.

Hadis riwayat Tirmizi menyebut bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan.

Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah sesuatu perkara dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.

Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia akan sedar yang kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi meragui doa tidak dimakbul Allah SWT.

Bagaimanapun, riwayat Thabrani menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah memberi panduan kepada seorang sahabat, Saad Abi Waqas bahawasanya: “Wahai Saad, makanlah makanan yang baik (lagi halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doanya selama 40 hari.
Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram maka neraka tempat layak untuknya.

Berdasarkan peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadat kepada Allah.

Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab-adab tertentu di mana berdasarkan rujukan al-Quran dan hadis, antara lain adab berdoa itu ialah:
1. Suci dari hadas besar dan kecil.

2. Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhamad SAW.

3. Berdoa dengan ikhlas, suara yang perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu, dan yakin Allah akan memakbulkan doa sama ada cepat atau lambat.

4. Berdoa terus menerus sama ada ketika senang atau susah, dan tanpa putus asa.

5. Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau menginginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturahim, kerosakan harta benda dan kezaliman sesama umat Islam.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak-anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab.

Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka adalah doa orang yang berpuasa, doa pemerintah yang adil dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa-doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi. (Riwayat Tirmizi)

- HARIAN METRO

Dr Mahathir sedih Melayu berpecah 3 puak

PASIR MAS: Tun Dr Mahathir Mohamad sedih kerana orang Melayu seolah tidak sedar mengenai ancaman dihadapi ketika ada pemimpin tertentu begitu ghairah untuk menguasai kerajaan.

Bekas Perdana Menteri juga sedih kerana orang Melayu sudah berpecah kepada tiga puak, tetapi tiada satu pun boleh memberikan kelebihan atau mempunyai jumlah peratusan yang boleh memberi kemenangan kepada bangsa itu.

“Sebab orang Melayu berpecah sekarang adalah kerana ada orang yang gila-gila nak jadi Perdana Menteri, tak peduli apa pun... dia sokong semua, semua yang bercorak perkauman,” katanya pada majlis Jemputan Terbuka Perhimpunan Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Kelantan dekat Stesen Kereta api Pasir Mas, di sini, semalam.

Hadir sama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali. Ia kunjungan pertama Dr Mahathir selepas insiden disembur cecair di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, empat tahun lalu.

Dr Mahathir juga tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila ada orang Melayu malu mengaku sebagai Melayu, selain sikap PAS yang menghalalkan semua perkara dilakukan rakan dalam pakatan pembangkang semata-mata mahu mendapat sokongan politik dan sanggup membuat peraturan baru semata-mata sehingga sanggup mengetepikan agama dan bangsa.

"Pemimpin mereka (rakan PAS dalam pakatan pembangkang) berkata 'langkah mayat mereka dulu', barulah Nik Aziz (Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat) boleh jadikan Malaysia sebagai negara Islam. Nampaknya sekarang Nik Aziz halalkan segala.

“Kalau nak ternak babi di tepi rumah orang Melayu pun boleh, tak mengapa sebab al-Quran tak pernah menghalang kita untuk tidak ternak babi, yang tak boleh hanya tak makan babi. Kerana nak halalkan juga perkara dibuat (rakan pakatan pembangkang), Nik Aziz sanggup buat peraturan baru berkenaan pantang larang orang Melayu dan orang Islam," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir mahu supaya semua pemimpin parti politik, UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta badan bukan kerajaan (NGO), termasuk PERKASA insaf mengenai bahaya dihadapi orang Melayu dan bangsa itu perlu sedar, tidak berpecah belah serta tamak untuk mendapat jawatan sehingga menggadai kepentingan Melayu.

“Sepatutnya orang Melayu bersatu padu dan sokong apa yang baik bagi kaum mereka, bukan nak tolak kaum lain, bukan nak rampas (hak) kaum lain, hak kaum lain adalah hak mereka, tetapi hak orang Melayu mesti kekal sebagai hak orang Melayu... ini saja yang kita minta," katanya.

- BERITA MINGGU

Persoalan Agama: Pelaksanaan haji, umrah boleh digabung

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Soalan:

SAYA ingin tahu apakah perbezaan haji dan umrah dari segi ibadat?

Jawapan:

DALAM surah al-Baqarah ayat 196, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah...”

Kalangan ulama sepakat dan sudah diketahui umum bahawa haji adalah ibadat yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang berkemampuan.
Umrah sebaliknya dapat dilakukan pada bila-bila saja sepanjang tahun dan berbeza dengan haji yang hanya dilaksanakan pada bulan haji, iaitu Zulhijjah. Kemudian secara khusus, sebahagian amalan haji seperti wukuf di Arafah pula harus dilaksanakan pada 9 Zulhijah.

Sebenarnya ada persamaan di antara haji dan umrah seperti tawaf, sa’i, mencukur serta ditambah lagi secara khusus, umrah boleh dilaksanakan bila-bila saja sepanjang tahun yang menjadikan adanya penggabungan kedua ibadat ini pada musim haji. Berdasarkan pelbagai hadis, ulama memperkenalkan tiga cara pelaksanaan haji iaitu pertama, haji ifrad - mengerjakan haji dulu kemudian umrah. Kedua, haji tamattuk, iaitu mengerjakan umrah kemudian haji dan ketiga qiran iaitu mengerjakan haji dan umrah sekali gus dalam satu niat.

Bagi mereka yang memilih cara kedua dan ketiga, maka dia diwajibkan membayar dam dengan menyembelih seekor kambing. Penggabungan dua ibadat ini berlaku bagi mereka yang berkunjung ke Makkah pada musim pelaksanaan ibadat haji. Kalangan ulama berbeza pendapat mengenai manakah antara tiga cara itu yang paling terbaik. Wujud perbezaan pendapat mengenai cara Rasulullah SAW mengerjakan haji.

Imam Malik menguatkan riwayat daripada isteri Nabi, Aisyah yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW melaksanakan haji dengan cara ifrad. Aisyah mengatakan: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW (pada haji wada’) dan Baginda bersabda: Sesiapa antara kamu semua hendak melaksanakan haji dan umrah, maka silakan. Sesiapa hendak melaksanakan haji saja, silakan. Sesiapa yang hendak melaksanakan umrah saja, silakan juga.”

Aisyah menyatakan, “Rasulullah SAW mengerjakan haji (saja) dan ada beberapa orang bersama Baginda. Ada yang melaksanakan haji dan umrah, ada yang melaksanakan umrah saja. Saya termasuk yang melaksanakan umrah (saja).” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Imam Ahmad pula berkata: “Saya tidak ragu menyatakan haji Rasulullah adalah haji qiran.” Akan tetapi imam ini menyatakan haji yang terbaik adalah haji tamattuk berdasarkan riwayat yang menyatakan bahawa Nabi SAW bersabda: “Seandainya yang sudah lalu dapat aku lakukan pada masa datang, nescaya aku menjadikan (hajiku) umrah dulu (dan baru aku melaksanakan haji).”

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Maka sesiapa yang melakukan tamattuk dengan umrah dan kemudian haji, maka wajiblah ia menyembelih korban (kambing) yang mudah ia peroleh...” Ayat ini membenarkan pelaksanaan umrah dulu kemudian haji yang disebut dalam al-Quran secara tegas.

Jawapan ini bagi mereka yang berkunjung dalam musim haji. Akan tetapi, jika ia berkunjung luar musim haji, iaitu waktu pelaksanaan ibadat haji, sudah tentu yang dapat dilakukan ialah ibadat umrah. Wallahu’alam.

- BERITA MINGGU