Ahad, September 26, 2010

Bukan sengaja malas


Anda seorang pemalas? Atau anda seorang bos yang kecewa dengan sikap pekerja-pekerja anda yang malas dan lembap dalam melaksanakan tindakan? Jangan marah-marah. Mungkin anda perlu melihat malas dalam horizon yang lebih luas.

Selain melihat malas lebih kepada masalah psikologi atau sikap individu, malas juga boleh dilihat dari sudut kesihatan. Seseorang itu mungkin malas kerana mempunyai penyakit yang bersimptom kemalasan atau melibatkan hormon.

Menurut pakar kesihatan pekerjaan, Hospital Pakar An-Nur, Dr. Azrul Rozaiman Datuk Abdullah, malas bukan sekadar keengganan untuk melakukan sesuatu aktiviti tetapi ia adalah koleksi sifat-sifat buruk merangkumi sikap gemar bertangguh, tidak menepati waktu, tidak pandai mengurus masa dan lemah untuk mengenal pasti apa yang perlu diutamakan.

Dalam konteks kesihatan pekerjaan, Azrul yang mempunyai kepakaran dalam bidang penyakit pekerja atau risiko penyakit yang boleh didapati pekerja daripada penggunaan bahan kimia serta psikologi, menyifatkan malas diistilahkan sebagai kurang produktiviti.

Subjektif

Tapi, ujarnya, malas juga bersifat subjektif kerana ia bergantung kepada perspektif individu.

Misalnya, jika seorang itu boleh menghasilkan 10 bahan dalam seminggu sedangkan rakannya boleh menghasilkan 100 bahan dalam tempoh yang sama, dia mungkin dianggap malas.

Tetapi dia mungkin tidak dianggap malas oleh bosnya sekiranya bosnya sendiri hanya mampu menghasilkan lima kerja dalam seminggu. Begitulah penjelasan Azrul bagaimana kayu ukur malas boleh berubah.

Jelasnya, daripada konteks kesihatan, malas boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu malas yang merupakan simptom kepada sesuatu penyakit atau malas kerana kesan sampingan ubat-ubatan.

Azrul memberitahu, memang terdapat beberapa penyakit yang boleh menjurus kepada sifat malas seperti penyakit hipotiroid yang disebabkan oleh kekurangan hormon tiroid.

“Apabila hormon tiroid kurang dalam diri seseorang individu, maka ia biasanya akan memperlihatkan simptom malas seperti mentalnya lambat memproses maklumat, lesu, pergerakan turut menjadi lambat dan aktiviti metabolisme badan menjadi perlahan,” ujarnya.

Hormon tiroid dikeluarkan oleh kelenjar tiroid yang terletak di bahagian leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan.

Hormon tiroid berkurangan boleh jadi disebabkan oleh kekurangan pengambilan makanan beriodin seperti ikan.

Beban kerja

Jelas Azrul, penyakit ini hanya boleh dikenal pasti doktor dengan membuat ujian darah. Rawatannya ialah dengan memberi ubat yang boleh meningkatkan kembali paras hormon tiroid dalam diri.

Selain daripada itu, kesan sampingan daripada pengambilan ubat juga boleh membawa kepada rasa malas.

Menurut Azrul, kurang daripada lima peratus pengambil sejenis ubat darah tinggi atau hipertensi boleh mengalami kesan sampingan seperti kelembapan mental dan fizikal.

Depresi atau stres juga boleh mendorong kepada rasa malas.

Berkenaan stres atau depresi jika disebabkan beban kerja yang terlalu banyak melepasi batasan kemampuan diri, Azrul menyarankan supaya wujudnya interaksi antara bos dan pekerja.

“Dalam hal ini, pekerja itu dilihat seperti malas tapi sebenarnya bukan malas.

“Dia mungkin tertekan ekoran beban kerja yang melampaui kemampuan dirinya atau beban kerja yang tidak seimbang antara pekerja-pekerja. Interaksi antara bos dan pekerja mungkin boleh memperbaiki keadaan,” ujarnya.

Dari sudut psikologi, malas boleh jadi disebabkan oleh cara individu dibesarkan, pengaruh sekeliling dan kekurangan pengetahuan.

Amalan bertangguh-tangguh atau melengah-lengahkan kerja juga menjadi penyakit masyarakat moden kerana tekanan hambatan masa.

Menurut sebuah majalah kesihatan, kajian terbaru mendapati 20 hingga 25 peratus daripada manusia hari ini adalah seorang yang gemar bertangguh berbanding hanya lima peratus pada tahun 1978.

“Seorang itu menjadi pemalas mungkin juga kerana cara dia dibesarkan yang mana semua yang dikehendaki tersedia untuknya.

Minat

“Seseorang itu juga mungkin menjadi malas kerana ia dipengaruhi oleh orang sekelilingnya yang suka bermalas-malasan.

“Persekitaran turut mempengaruhi seseorang itu menjadi malas,” ujarnya sambil menjelaskan terdapat dua kategori malas, iaitu malas pada perkara tertentu dan malas pada melakukan banyak perkara.

“Ada sesetengah orang itu kita lihat dia rajin di rumah tapi di pejabat dia malas dan begitu juga sebaliknya. Mengapa ini berlaku?

“Ia mungkin kerana minat terhadap aktiviti berkenaan kurang kerana kekurangan pendedahan atau pengetahuan,” katanya.

Justeru, untuk mengatasi masalah malas ialah dengan mendapatkan pengetahuan secukupnya terhadap apa yang perlu dibuat.

“Para bos misalnya perlu peka dengan kondisi pekerja. Mungkin mereka malas dan tidak produktif kerana mereka tidak tahu atau jelas tentang kerja yang perlu dilakukan,” katanya.

Memberikan motivasi juga merupakan salah satu cara untuk menyingkirkan sifat malas. Sebab itulah pengkaji-pengkaji dari Australia pernah menyifatkan malas yang ekstrem sebagai motivational deficiency disorder.

“Motivasi boleh datang daripada dalam diri individu itu sendiri dan boleh diperoleh daripada dorongan motivasi orang lain. Motivasi bagi diri sendiri boleh diperoleh dengan menetapkan matlamat yang khusus,” ujarnya.

Selain daripada itu, bagi keadaan tertentu dan tujuan yang baik, Azrul berkata, untuk menambah minat seseorang melakukan perkara itu boleh juga menerusi paksaan.

“Adakalanya penyakit malas perlu diubati dengan paksaan. Bukankah dalam hidup kita ada perkara yang kita pada awalnya tidak berminat tetapi berubah minat apabila didorong atau dipaksa untuk melakukannya?

“Seperti juga yang diajarkan dalam agama tentang hal solat. Islam mendidik umatnya agar menyuruh anak sembahyang pada umur tujuh tahun.

“Jika umur 10 tahun, mereka tidak sembahyang, mereka perlu dipukul. Apabila mereka sudah biasa melakukannya, ia boleh mendatangkan minat dan mereka membesar menjadi seorang yang tidak malas untuk menunaikan solat,” katanya.

- KOSMO!

Cecacing siber paling bahaya - Stuxnet

TEHERAN - Selepas berjaya menyerang tujuh buah negara, Iran kelmarin menjadi mangsa terbaru apabila pakar-pakar komputer di republik Islam itu mengesan kemunculan cecacing siber paling berbahaya, Stuxnet.

Agensi berita rasmi ISNA melaporkan, sekumpulan pakar nuklear turut menyertai mesyuarat kecemasan semalam bagi menangani virus maya itu yang dipercayai boleh mengambil alih sistem kawalan tenaga elektrik kawasan industri.

Sehingga kini, cecacing itu yang dikesan di Jerman sejak Jun lalu telah menjangkiti lebih 45,000 sistem kawalan industri di India, Pakistan, Indonesia, Kanada dan Amerika Syarikat (AS) sebelum merebak ke Iran minggu lalu.

- KOSMO!

Rakyat China takut umur tua

BEIJING - Satu tinjauan umum sebuah badan penjagaan kesihatan ternama British mendapati, rakyat China antara yang paling bimbang apabila usia mereka sudah meningkat tua, lapor akhbar China Daily semalam.

Kajian meliputi 12 buah negara itu menunjukkan 28 peratus warga China tertekan memikirkan umur sudah bertambah malah lebih separuh daripada responden berusia 45 tahun menganggap diri mereka sebagai orang tua.

Namun, apa yang menarik menerusi kajian yang dijalankan pada Jun dan Julai lalu mendapati, 72 peratus daripada responden yang berusia 65 tahun ke atas tidak berasa umur mereka sebagai sudah lanjut.

Tinjauan itu juga menunjukkan satu pertiga rakyat China tidak membuat tabungan ketika umur muda bagi menghadapi usia persaraan manakala 46 peratus tidak mengambil insurans sebagai persediaan apabila tua.

- Agensi

Sabtu, September 25, 2010

Hak Anda Jika Di Tahan Oleh Polis

1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Tidak Berpakaian Seragam, Minta Pengenalan Diri

Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan

pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”

1.2 Kad Kuasa Polis

Merah : Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada

kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda.

Anda boleh berlalu dari situ.

Lain-lain Warna :

• Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.

• Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.

• Putih : Polis Simpanan

Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam

Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis

Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda

berkenaan.

2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 PengenaIan Diri

Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain

Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"

2.3 Adakah anda sedang ditangkap

Anda sedang ditangkap jika Polis:

• menjawab "ya";

• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke

Balai Polis; atau

• menggari anda.

Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk

mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda

berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan

daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).

3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Pernyataan 112

Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu

kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan

tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan

mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi

Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda

memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda,

anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan

bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak

untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara

bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis)

mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi

Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau

bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh

memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap

anda mendesak anda supaya bekerjasama.

3.3 Membuat Pernyataan 112

Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk

menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin

mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.

• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).

• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.

• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.

• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan di

dalam Nota Peribadi anda.

• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.

• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda

Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua

soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.

• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota

Peribadi anda.

• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan

tersebut sebelum ditandatangani.

• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir

Pernyataan anda.

4. POLIS MENANGKAP ANDA

4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"

Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan

tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap

Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah

semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"

Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera

membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap

Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:

1. Keluarga atau rakan; dan/atau

2. Seorang peguam.

Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).

Maklumkan kepada mereka:

• yang anda telah ditangkap;

• masa, tempat dan alasan ditangkap;

• Balai Polis di mana anda dibawa.

4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap

Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:

• Di Balai Polis, atau

• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.

5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN

5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam

Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda

mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai

Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang

munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan

berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun

boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda

boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan

bahaya kepada pihak lain.

5.2 Pakaian

Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda

semasa di dalam lokap.

5.3 Barangan peribadi

Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan

meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda

mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.

5.4 Kebajikan

Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda

berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda

sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan

secukupnya semasa dalam tahanan.

5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda

Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk

siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan

dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak

Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam,

Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk

mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh

penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).

6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM

6.1 Siapakah Majistret

Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa

untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada

24 jam.

6.2 Tujuan Perintah Reman

Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan

penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk

mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh

memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan

daripada anda.

6.3 Berapa lamakah Perintah Reman

Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret

untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan

alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam.

Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati

alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.

Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:

• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya

melepaskan anda; atau

• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih

pendek daripada yang dipohon oleh pihak Polis.

Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah

Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis

kesalahan yang sedang disiasat.

Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya

Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah

Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari

bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.

6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapan

seorang Majistret untuk proses reman

Maklumkan kepada Majistret:

• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu

menghubungi peguam, pusat bantuan guaman dan keluarga anda;

• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau

telah dipukul;

• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa

dalam tahanan;

• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau

perubatan yang wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;

• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;

• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan

semasa anda dalam tahanan.

6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat

Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon

tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak

Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama

dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila

masa dan tidak akan melarikan diri" dll).

7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN

7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan

Jika anda berada di satu-satu tempat (contohnya: disko/karaoke/

pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk

mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan

memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau

sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu.

Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis

berpangkat Inspektor dan ke atas.

7.2 Apa yang perlu dilakukan

• Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya

ke dalam pakaian anda atau kocek/saku anda.

• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu

persatu, setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.

• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/

saku/beg anda.

7.3 Hak-hak anda

• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional

dan sopan.

• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang

Pegawai Polis wanita.

• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:

1. Bantah;

2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan

3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.

8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU

8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian

• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai

bukti/keterangan berhubung kesalahan yang disyaki.

• Anda ditangkap.

• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda

mempunyai hak untuk diperiksa badan di tempat tertutup.

8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan

Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis

pemeriksaan badan o

1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah

- pemeriksaan pakaian luaran.

2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang

terlarang atau senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran

seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.

3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung

and telinga. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai

berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.

4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek

dll. di dalam badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran

Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang

Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan.

8.3 Hak anda

• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan

sopan.

• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda

semasa pemeriksaan dilakukan.

• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang

Pegawai Polis wanita.

9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP

9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda

Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.

9.2 Hak anda untuk berdiam diri

Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya:

bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya

perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda

(Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi,

anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda

tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda

memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak

saya untuk berdiam diri."

9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan

Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan

kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh

mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda

diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap

Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.

9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti

Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis

semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti

kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah,

sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta

Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda boleh

menggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda

semasa perbicaraan.

PUSAT BANTUAN GUAMAN / LEGAL AID CENTRES (LAC)

• Kuala Lumpur : 03-2691 3005 / 03-2693 2072

• Selangor : 03-5510 7007 / 03-3281 2428

• Negeri Sembilan : 06-6013 844

• Melaka : 06-2845 519 / 06-2864 514

• Johor : 07-2235 698

• Perak : 05-2550 523

• Kedah & Perlis : 04-7333 467

• Kelantan : 04-7448 660

• Pahang : 09-5159 244 / 09-2969 410

• Pulau Pinang : 04-2617 451/ 04-3108 451

POLIS DAN HAK-HAK ASAS ANDA

Diterbitkan dengan kerjasama TANGKAP (Tindakan Anti PenyalahGunaan KuAsa Polis) www.malaysianbar.org.my

PKNP lancar portal 'Invest in Pahang'

Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) melancarkan portal rasmi, 'Invest in Pahang' sebagai pusat sehenti serta rujukan utama bagi pelabur asing dan tempatan mendapatkan maklumat mengenai peluang pelaburan di Pahang.

Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Lias Mohd Noor, berkata portal dengan laman web PKNP turut berfungsi sebagai penyebar maklumat mengenai buletin industri, ekonomi dan perkara berkaitan pelaburan di Pahang.

Beliau berkata, menerusi portal berkenaan, pelabur boleh mendapat maklumat mengenai kemudahan infrastruktur termasuk pelabuhan, kawasan perindustrian serta pelbagai insentif ditawarkan kerajaan Pahang dalam usaha menjana pertumbuhan ekonomi di negeri itu.

“Portal ini boleh dilayari di www.investinpahang.gov.my juga menawarkan aplikasi dalam talian seperti e-borang, e-pendaftaran dan muat turun risalah selain direktori jabatan teknikal dan agensi terbabit dalam proses mendapatkan kelulusan projek perindustrian.

“Portal ini turut menyediakan ruang berinteraksi dengan petugas pelaburan bagi mendapatkan khidmat nasihat seperti perundingan mengenai prestasi sektor perindustrian,” katanya pada majlis sambutan Aidilfiti Kumpulan PKNP dan Pelancaran Laman Web ‘One Stop Agency’ PKNP oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi PKNP, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kompleks Dagangan Mahkota Indera Mahkota, Kuantan, kelmarin.

Lias berkata, pelabur boleh mendapatkan maklumat mengenai pelbagai sektor perindustrian sedia ada seperti industri minyak dan gas, kimia, petrokimia dan industri berasaskan makanan halal.

Katanya, ia juga menyediakan maklumat mengenai bidang bio- teknologi dan industri sel stem yang dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru negara.
“Sebagai pemacu ekonomi, sektor perindustrian mempunyai sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Justeru, ia memerlukan iklim pelaburan yang kondusif bagi menarik pelabur baru dan pelancaran laman web ini memberi peluang kepada mereka meninjau perkembangan pelbagai sektor perindustrian di Pahang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan pula berkata, PKNP akan memberi bonus kepada 160 kakitangannya selepas selesai menjelaskan semua bon berjumlah RM511 juta selepas 2012.

- BERITA HARIAN

Soal Jawab Agama: Kadar fidyah tinggal puasa berganda jika tertangguh

Soalan:

Ibu saya terlantar sakit pada Ramadan lalu. Bagaimanakah cara untuk menggantikan puasa yang tidak ditunaikan? Ada juga yang tidak dapat mengingati tahun dan bilangan hari puasa yang ditinggalkan, apakah perlu digandakan? Minta pencerahan hukum juga bagi yang mampu menggantikan puasa tertinggal. Terima kasih.

Jawapan:

Fidyah adalah bayaran denda dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasa Ramadan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya Ramadan berikutnya. Hukum membayar fidyah adalah wajib.
Membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu mengqada puasa kerana puasa tetap wajib diganti mengikut bilangan hari ditinggalkan. Jika bilangan hari itu sudah melangkau tahun, maka kadar fidyah bagi hari yang ditinggalkan itu akan digandakan jumlahnya.

Allah berfirman bermaksud: “Dan wajib atas mereka yang tidak terdaya untuk berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu dengan memberi makan fakir miskin dan sesiapa yang sukarela memberi kebajikan (bersedekah dan sebagainya) lebih dari yang ditentukan, maka itu adalah suatu kebaikan baginya.” (Surah al-Baqarah: 184).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Bagi lelaki ataupun perempuan yang sudah tua dan bagi orang yang tidak mampu berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan setiap hari seorang miskin (mengikut jumlah hari puasa yang ditinggalkannya).” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Bagi mereka yang tidak pasti berapa hari ditinggalkan puasanya kerana terlalu lama masa berlalu, maka hendaklah membuat andaian dan mengambil hari terbanyak.

Contohnya jika 11 tahun, kenalah didarabkan 10 tahun yang berulang tadi. Jadi, bererti anda dikenakan membayar fidyah sebanyak 3,600 cupak makanan sebagai fidyah untuk dibahagikan kepada fakir miskin.

Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) sebanyak 1 cupak (1 mud) bersamaan 175 gram bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kadar itu berubah mengikut harga ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras atau wang hendaklah diberi kepada fakir dan miskin.

Bagi yang meninggalkan puasa kerana uzur seperti ibu saudari, maka hendaklah dibayar fidyah dan mengqada puasanya jika termampu. Begitu juga bagi mereka yang mengandung kerana khuatir akan anak dalam kandungan.

- BERITA HARIAN

Kontinjen Malaysia tetap beraksi di Sukan Komanwel India 2010


Kontinjen Malaysia tidak akan menarik diri pada temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India yang bakal bermula 3 hingga 14 Oktober depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menegaskan, keputusan untuk menarik diri daripada temasya tersebut adalah bukan suatu pilihan buat kontinjen Malaysia.

Beliau berkata, jika kontinjen Malaysia menarik diri daripada kejohanan yang melibatkan negara-negara bekas jajahan British itu, ia bakal menimbulkan implikasi yang besar kepada atlet negara.

“Soal tarik diri daripada Sukan Komanwel adalah bukan satu pilihan bagi kita.

“Tetapi saya tetap menasihatkan pegawai-pegawai dan juga atlet-atlet kita supaya bersedia dan berjaga-jaga ketika berada di sana (India) nanti,” kata Shabery pada sidang akhbar ketika Majlis Rumah Terbuka Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Isu keselamatan para atlet di India mula menjadi persoalan apabila beberapa insiden tidak diingini berlaku ketika kurang dua minggu lagi temasya itu berlangsung.

Selasa lalu, sebuah jambatan pejalan kaki yang dalam pembinaan berhampiran Stadium Utama Jawaharlal Nehru dilaporkan runtuh sehingga menyebabkan 20 pekerja pembinaan cedera.

Sebelum itu, dua pelancong Taiwan cedera selepas ditembak dua lelaki tempa- tan berhampiran Masjid Jama di New Delhi.

Dua insiden tersebut telah menimbulkan kerisauan beberapa negara peserta seperti New Zealand, England dan Australia dan ramai atlet mereka mengambil keputusan menarik diri daripada beraksi di New Delhi.

Begitupun, Shabery memberi jaminan bahawa semua atlet negara yang akan berjuang pada temasya itu nanti tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan di India, sebaliknya perlu memberi tumpuan yang penuh terhadap misi menghadiahkan kilau- an emas buat kontinjen Malaysia.

“Saya berani beri jaminan keselamatan kepada atlet kita, bukan saja pada Sukan Komanwel di New Delhi, bahkan pada Sukan Asia di Guangzhou, China.

“Malaysia sebenarnya bukanlah sasaran bagi pengganas atau puak pemisah di sana tetapi ia tidak bermakna kita tidak mungkin diancam bahaya.

“Tetapi saya yakin dengan tahap keselamatan di sana. Kementerian Dalam Negeri juga sedia membantu dengan menghantar pegawai keselamatan memantau keadaan di sana dan akan memberi nasihat sepanjang temasya itu berlangsung,” ujarnya.

- KOSMO!

Mas Selamat Dibebaskan Dari ISA

Anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, seorang warga Singapura telah dibebaskan dari tahanan dan akan diusir dari negara ini.

Pengarah Pasukan Petugas Khas Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun berkata perintah tahanan ke atas Mas Selamat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dibatalkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bermula hari ini.

Beliau berkata dalam satu kenyataan di sini hari ini bahawa Mas Selamat telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia hari ini untuk tindakan pengusiran.

Anggota kumpulan militan itu bersembunyi di Johor sejak Mac 2008 setelah berjaya melarikan diri dari pusat tahanan Whitley Road, Singapura pada 27 Feb 2008.Beliau bagaimanapun berjaya ditahan pada 1 April, 2009 di Johor.

Sebelum ini, Mas Selamat melarikan diri dari Singapura pada bulan Disember 2001 selepas kerajaan Singapura melancarkan satu operasi keselamatan bagi membanteras JI.Menurut kerajaan Singapura sebelum ini, dia adalah antara mereka yang merancang serangan balas terhadap Singapura kerana menahan dan menangkap rakan anggota JI.

Dia turut merancang untuk merampas sebuah kapal terbang dan merempuh Lapangan Terbang Changi tetapi melarikan diri ke Indonesia untuk mengelak dari ditahan.

Mas Selamat, yang dikenal pasti sebagai pemimpin rangkaian JI tempatan Singapura, ditahan oleh pihak berkuasan Indonesia pada Februari 2003 kerana kesalahan memiliki dokumen pengenalan palsu.

Beliau kemudiannya dipenjara 18 bulan atas kesalahan imigresen sebelum ditahan di bawah ISA oleh kerajaan Singapura pada 2006.

- BERNAMA

Adab berziarah

Amalan ziarah-menziarahi sememangnya dituntut oleh agama. Bukan sekadar menziarah kaum keluarga atau sanak saudara bahkan jiran-jiran terdekat hatta individu yang tidak pernah dikenali sebelum ini.

Tujuan kunjung mengunjung adalah untuk merapatkan silaturahim dan saling bermaafan. Bukan bertujuan untuk mendapatkan duit raya, memperaga baju raya paling cantik, mahal ataupun melihat setiap hiasan atau susun atur rumah yang kita kunjungi.

Islam memperincikan beberapa syarat atau adab yang perlu diamalkan ketika seseorang Muslim berhasrat untuk menziarah jiran atau sanak saudara, bukan sahaja pada hari raya malah ketika hari-hari biasa.

Adab-adab tersebut diperincikan bermula daripada sebelum berziarah, semasa menziarah, selepas menziarah dan perkara-perkara yang perlu dihindarkan ketika berziarah.

Adab-adab sebelum berziarah

*Memilih masa yang sesuai

*Memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat

*Berniat pertemuan dan perpisahan adalah kerana Allah

Masa yang sesuai dikira berdasarkan keselesaan pihak yang anda kunjungi, bukan keselesaan pihak anda.

Sebagai contoh, kunjungan ke rumah seseorang tanpa perkhabaran terlebih dahulu, melebihi pukul 10 malam kerana masa tersebut dikira sebagai masa rehat, bukanlah masa yang sesuai. Jalan terbaik, khabarkan terlebih dahulu kepada tuan rumah mengenai kunjungan anda.

Adab semasa menziarah

*Memberi salam dan bersalaman

*Meminta izin untuk masuk

*Memendekkan tempoh ziarah

*Mengawal pandangan

*Merendahkan suara

Memendekkan tempoh ziarah bermaksud tidak bersenang-senang di rumah tersebut untuk jangka masa yang lama.

Seseorang dikira sebagai tetamu hanya di dalam tempoh tiga hari ziarah. Walaupun begitu, anda perlu peka dengan keadaan dan situasi tuan rumah, agar kunjungan anda tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka.

Mengawal pandangan pula termasuklah mata anda tidak meliar atau merayau-rayau ke segenap ceruk rumah meneliti setiap hiasan atau susun atur kelengkapan rumah yang anda kunjungi.

Adab selepas menziarah

*Meminta izin apabila hendak beredar

*Memberi salam dan bersalaman sebelum beredar

Perkara yang perlu dihindarkan semasa menziarah

*Enggan memberi salam

*Masa yang tidak bersesuaian

*Mengaibkan tuan rumah

*Mengumpat

Satu perkara yang perlu diingat adalah memberi salam kepada tuan rumah turut mempunyai syarat yang tertentu.

Jika pintu rumah terbuka, jangan berdiri di depan muka pintu dan memberi salam. Anda perlu berdiri agak jauh dari muka pintu, anggaran tidak dapat melihat isi rumah termasuk tuan rumah, bimbang terdedah aurat tuan rumah atau apa-apa sahaja yang mungkin tidak mahu diperlihatkan oleh tuan rumah.

Mungkin nampak mudah dan agak remeh namun jika tidak diberi perhatian, kunjungan anda mungkin boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan. Salam Aidilfitiri dan ziarahlah dengan hati yang suci.

- KOSMO!

Gates paling kaya di Amerika Syarikat


NEW YORK - Pengasas firma Microsoft, Bill Gates (gambar) kekal menjadi individu paling kaya di Amerika Syarikat (AS) untuk tahun ke-17 berturut-turut dengan anggaran kekayaan AS$54 bilion (RM167 bilion).

Senarai terbaru 400 individu terkaya di AS yang diterbitkan majalah Forbes kelmarin menunjukkan anggaran kekayaan Gates, 54, meningkat AS$4 bilion (RM12.4 bilion) daripada tahun lalu.

Paras minimum kekayaan untuk seseorang individu menyertai senarai 400 orang kaya itu pada tahun ini kembali kepada syarat AS$1 bilion (RM3.1 bilion) berbanding hanya AS$950 juta (RM2.9 bilion) yang ditetapkan untuk tahun lalu.

Berada di tempat kedua ialah pelabur Warren Buffett yang mempunyai anggaran kekayaan berjumlah AS$45 bilion (RM139.29 bilion) meningkat sebanyak AS$5 bilion (RM15.47 bilion).

Pengasas Oracle yang merupakan pengasas syarikat perisian komputer, Larry Ellison berada di tangga ketiga dengan anggaran kekayaan AS$27 bilion (RM83.57 bilion).

Pewaris rangkaian pasar raya Walmart, Christy Walton menduduki tempat keempat dengan anggaran kekayaan AS$24 bilion (RM74.29 bilion).

- Reuters

Kampus baru UIAM di Pagoh dijangka ambil pelajar 2012

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan membina kampus di Pagoh, Johor dan beroperasi pada 2012, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Pagoh sememangnya dibangunkan sebagai hab pendidikan dan pembukaan kampus baru UIAM di kawasan itu mampu menjadikannya sebagai sebuah pusat pengajian terkemuka.

Saya sangat gembira kerana difahamkan UIAM sudah menubuhkan dua lembaga kajian bagi melihat kursus pengajian kejuruteraan untuk ditawarkan kampus baru di Pagoh nanti.
Apa pun saya berharap kampus baru UIAM Pagoh akan dapat memulakan operasinya menjelang 2012. Kerajaan akan memberi sepenuh sokongan bagi penubuhan kampus UIAM di Pagoh, katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang juga Presiden UIAM, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Muhyiddin meluangkan masa lebih satu jam bagi beramah mesra dengan lebih 3,000 pelajar dan kakitangan UIAM yang menghadiri majlis berkenaan serta menyampaikan duit raya kepada 40 penghuni Asrama Damai Anak Yatim Kuang, Selangor.

Selain kampus induk di Gombak, UIAM mempunyai cawangan di Kuantan, Pahang; Damansara, Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Nilai.

UIAM kini mempunyai kira-kira 22,000 pelajar dengan 5,000 ialah pelajar ijazah lanjutan. Daripada jumlah itu, kira-kira 4,600 ialah pelajar asing dari lebih 90 negara
Sementara itu Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain kursus kejuruteraan, kampus Pagoh itu bakal memiliki fakulti Bahasa Moden dan Pertanian.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menggesa orang ramai termasuk pelajar supaya mengamalkan budaya taaruf bagi memahami antara satu sama lain serta menghormati kepelbagaian serta mengamalkan toleransi.

Budaya ta'aruf yang dipandu oleh prinsip toleransi dan kesederhanaan seperti terkandung dalam al-Quran, akan menjadikan kita sebagai masyarakat yang hidup penuh harmoni dengan kepelbagaian (kaum dan agama) sebagai sumber kekuatan kita," katanya.

- BERITA HARIAN