Rabu, September 01, 2010

Sumber perundangan Islam

PERBINCANGAN mengenai sumber-sumber perundangan Islam bukanlah sesuatu yang asing di kalangan kebanyakan kita. Namun masih terdapat segelintir yang kurang memahaminya.

Semoga perbincangan kali ini akan memberikan kita kefahaman tentang kewajipan merujuk kepada sumber-sumber perundangan Islam dalam mengatur dan menguruskan kehidupan manusia sejagat.

Secara umumnya, sumber-sumber syariah Islam terbahagi kepada dua. Iaitu sumber-sumber yang disepakati oleh ulama dan sumber-sumber yang tidak disepakati oleh ulama.

Sumber-sumber yang disepakati oleh ulama adalah sumber yang digunapakai oleh ulama bagi mengeluarkan hukum ke atas sesuatu perkara atau permasalahan yang berlaku.

Sumber-sumber ini diterima oleh ulama tanpa sebarang khilaf di kalangan mereka dari sudut turutannya atau kebolehgunaannya.

Terdapat empat sumber hukum yang disepakati jumhur ulama iaitu al-Quran, sunnah, ijma' dan qias. Tertib dan susunan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada sahabat Nabi SAW iaitu Muadz ibnu Jabal ketika diutus ke Yaman. "Daripada Muadz ibnu Jabal ra bahwa Nabi SAW ketika mengutusnya ke Yaman, Nabi bertanya: "Bagaimana kamu jika dihadapkan permasalahan hukum? Ia berkata: "Saya berhukum dengan kitab Allah". Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam kitab Allah?", ia berkata: "Saya berhukum dengan sunnah Rasulullah SAW". Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam sunnah Rasul SAW?" Ia berkata: "Saya akan berijtihad dan tidak berlebih (dalam ijtihad)." Maka Rasul SAW memukul ke dada Muadz dan berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah sepakat dengan utusannya (Muadz) dengan apa yang diredai Rasulullah SAW."(Riwayat Thabrani)

Dengan memahami sumber-sumber yang disepakati oleh ulama yang menjadi rujukan sumber perundangan dalam Islam dapat menjamin masyarakat daripada terkeliru ataupun dikelirukan. Malah dengan berpegang hanya kepada sumber yang diiktiraf oleh syarak dapat menyatukan ummah dan seterusnya menjamin mereka daripada berpecah belah.

Nabi SAW telah memberi jaminan bahawa dengan berpegang kepada al-Quran dan sunnah akan terselamat daripada kesesatan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah nabinya." (riwayat Imam Malik dalam Muwatta')

- UTUSAN

Wujudkan masyarakat demokratik matang

Oleh Saifuddin Abdullah

Pada 8 September ini, genaplah separuh penggal Parlimen ke-12. Untuk muhasabah, kita perlu melihat keadaan dan perkembangan demokrasi di negara kita. Persoalan pokoknya adalah sejauh manakah demokrasi kita matang? Persoalan ini wajar kerana, pertamanya, ia satu daripada cabaran Wawasan 2020, iaitu membangunkan dan mewujudkan masyarakat demokratik yang matang, dan keduanya, ia sesuai dengan realiti politik kontemporari yang dahagakan demokrasi yang matang.

Demokrasi yang matang adalah apabila kita berjaya meluaskan dan meningkatkan partisipasi rakyat, termasuk belia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam struktur dan proses membuat keputusan dalam setiap bidang dan peringkat dengan adil, terbuka dan bertanggungjawab.

Antara realiti politik hari ini ialah kebangkitan kuasa belia. Jumlah pengundi muda berusia antara 21 hingga 35 tahun bakal menentukan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 iaitu seramai 7.36 juta orang atau 49.7 peratus. Jumlah itu lebih besar berbanding hanya 40 peratus pada PRU ke-12.

Justeru, kita perlu menyelami partisipasi politik belia. Menurut Spannring R., Ogris G. dan Gaiser W. (Ed) (2008), dalam bukunya Youth and Political Participation in Europe, ia melibatkan empat keadaan iaitu pertama, hubungan belia dan politik yang bersifat multi- dimensi. Apakah keadaan sosial dan politik semasa dan setempat serta pandangan belia terhadap politik?

Kedua, bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi dalam politik. Apakah caranya belia berpartisipasi dengan aktif dalam politik dan bagaimanakah mereka menilai pelbagai bentuk partisipasi politik?

Ketiga, mengenal pasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik. Apakah peranan dan keberkesanan ibu bapa, rakan sebaya dan pendidikan formal terhadap partisipasi politiknya?

Dan keempat, kesaksamaan gender iaitu dari segi partisipasi belia wanita. Adakah belia wanita mempunyai kefahaman dan amalan politik yang sama atau berbeza dengan belia lelaki?

Antara kumpulan belia yang penting ialah pelajar IPT. Mereka bukan terhad kepada pelajar ijazah pertama sahaja, tetapi juga pelajar pasca-siswazah. Di universiti penyelidikan, jumlah pelajar pasca-siswazah mengatasi jumlah pelajar ijazah pertama.

Apabila saya mencadangkan agar pelajar IPT dibenarkan menganggotai parti politik, ia mempunyai dua matlamat utama, iaitu untuk memenuhi haknya sebagai warganegara yang dijamin oleh Perlembagaan dan untuk mematangkan demokrasi.

Bagi memenuhi hak pelajar IPT yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan), ia bukan bermakna mewajibkan semua pelajar IPT menjadi ahli parti politik. Ia adalah untuk melindungi hak mereka yang ingin memenuhi haknya sahaja. Ini perlu dilakukan kerana sekarang, hak itu dihalang oleh perundangan IPT.

Bagi mematangkan demokrasi pula, ia bersesuaian dengan realiti dan tuntutan semasa. Menurut Russell Dalton (2004), dalam bukunya Democratic Challenges, Democratic Choices, kini terdapat rakyat, terutamanya belia yang menolak, skeptikal dan sinis terhadap pemimpin, parti dan institusi politik. Mujur mereka masih percaya terhadap demokrasi. Tetapi, kepercayaan itu disekalikan dengan gesaan reformasi demokrasi yang melampaui sistem demokrasi yang diamalkan kini.

Dalam demokrasi, konsep partisipasi rakyat merujuk kepada pendekatan normatif yang melihat partisipasi bermatlamat bukan sahaja untuk mempertahankan fungsi institusi demokrasi, tetapi juga untuk memantau perlakuan elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung.

Oleh itu, kita perlu melakukan inovasi demokrasi. Menurut Graham Smith (2009), dalam bukunya Democratic Innovations, ia melibatkan lima teori demokrasi kontemporari tentang peningkatan partisipasi, iaitu pertama, 'demokrasi partisipatif' yang menekankan nilai intrinsik partisipasi itu sendiri. Ia bersifat mendidik dan membina rakyat. Berpartisipasi dengan sendirinya merupakan satu manfaat. Ia meningkatkan kefahaman rakyat tentang minat, kecenderungan, kemahiran, kualiti dan tanggungjawabnya terhadap politik.

Kedua, 'demokrasi deliberatif' yang memberi tumpuan khusus terhadap proses bagaimana sesuatu keputusan dibuat. Ia menekankan tentang keperluan supaya keputusan hendaklah dibuat melalui proses perbincangan sesama rakyat yang menikmati kebebasan dan kesaksamaan.

Ketiga, 'demokrasi langsung' yang menekankan tentang saat membuat keputusan. Legitimasi politik bergantung pada idea bahawa setiap rakyat mempunyai input yang saksama dan efektif dalam membuat keputusan secara kolektif.

Keempat, 'demokrasi kelainan' yang merujuk soal bagaimana kumpulan-kumpulan sosial tertentu yang kurang mampu atau ditekan telah dipinggirkan daripada proses politik. Dalam konteks ini, legitimasi politik bergantung kepada sejauhmana suara dan perspektif yang khusus daripada pelbagai kumpulan sosial itu diiktiraf dan diwakili dalam proses membuat keputusan politik.

Dan kelima, 'demokrasi kosmopolitan' yang mempersoalkan kedudukan legitimasi keputusan yang dibuat oleh kuasa-kuasa politik transnasional, sedangkan keputusan itu dibuat tanpa melibatkan partisipasi aktif penduduk tempatan yang terkesan oleh keputusan tersebut.

Di sinilah relevannya Politik Baru, iaitu judul buku saya (2008) yang dilancarkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Politik baru melibatkan dua komponen utama, iaitu politik integriti dan governans baru.

Politik integriti berasaskan idealisme perjuangan yang melibatkan tiga tunggak iaitu politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti. Governans baru pula berasaskan kerangka yang melibatkan ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil) bersinergi dalam membuat keputusan.

Antara contoh inovasi demokrasi adalah perhimpunan rakyat, contohnya, perhimpunan tahunan melibatkan 16,600 penduduk Porto Alegre, Brazil yang membuat keputusan tentang sebahagian daripada bajet bandar itu; mini Parlimen, contohnya Dewan Rakyat British Columbia melibatkan 160 penduduk mencadangkan sistem pilihan raya baru untuk wilayah itu; legislatif langsung, contohnya rakyat Switzerland mengundi meluluskan kira-kira 10 peratus keputusan kerajaan setiap tahun; dan e-demokrasi menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), contohnya e-forum dan e-undi.

Sebagai Ahli Parlimen Temerloh, saya telah menubuhkan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT) sebagai mini Parlimen yang dianggotai perwakilan ketiga-tiga sektor governans baru, iaitu kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil. Pada 7 September ini, saya akan mempengerusikan persidangan yang keempat. Agenda kali ini adalah penilaian Kad Laporan Separuh Penggal Ahli Parlimen Temerloh (Parlimen Ke-12). Kad laporan ini disiarkan di laman web saya: saifuddinabdullah.com.my.

Demokrasi matang menjanjikan suara dan peranan rakyat dipertingkat, manakala isu- isu rakyat ditangani dengan lebih cepat dan cermat.

- UTUSAN

Provokasi berbaur perkauman

Oleh Muhammad Afifi Abdul Razak
Pensyarah Sains Politik,
Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia

Sejak akhir-akhir ini, beberapa tindakan provokasi berbaur perkauman dan agama oleh segelintir pihak di Malaysia telah dilaporkan oleh kebanyakan akhbar perdana tempatan. Antara contoh-contoh 'benar' dalam hal ini adalah tindakan khatib jemputan di sebuah masjid di Pulau Pinang yang menyebut nama Ketua Menteri yang bukan Islam dalam doa khutbahnya, tindakan ahli jawatankuasa masjid dan surau di sekitar Selangor yang membenarkan ahli politik bukan Islam memasuki ruang solat utama dalam masjid dan surau, serta tindakan berulang kali oleh bekas pelajar Malaysia di sebuah universiti di Taiwan, Namewee mengubahsuai lagu kebangsaan 'Negaraku' yang mengandungi unsur-unsur yang mencemar imej Malaysia serta turut menyentuh sensitiviti peribadi individu tertentu, orang Melayu, dan agama Islam di negara ini.

Sebagaimana biasa, persepsi awal terhadap semua insiden ini sudah boleh dijangka. Khatib jemputan terbabit mempertahankan tindakannya atas alasan bahawa tidak menjadi satu kesalahan besar jika mendoakan seseorang yang bukan Islam supaya diberi petunjuk dan hidayah, walaupun sudah jelas bahawa dalam teks khutbah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang, nama Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam di negeri tersebut mesti disebut dalam setiap sesi khutbah termasuk dalam doa oleh khatib yang bertugas.

Ahli politik bukan Islam pula mempertahankan tindakan mereka dengan alasan bahawa mereka datang untuk memenuhi jemputan oleh ahli jawatankuasa masjid tersebut bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat di kawasan masing-masing. Mereka juga mendakwa bahawa insiden ini sengaja dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.

Manakala Namewee pula mempertahankan tindakan beliau dengan alasan ia hanyalah untuk 'mencipta' sesuatu yang unik dan baru, bertujuan mengembangkan bakat kreatifnya dan supaya dia dikenali ramai. Sememangnya hari ini, Namewee sudah pun dikenali ramai termasuk di Malaysia, khasnya dalam kalangan para pembuat dasar termasuk Ketua Polis Negara, Menteri Penerangan dan Perdana Menteri sendiri.

Apa yang jelas di sini adalah semua tindakan provokasi itu dilakukan atas alasan untuk menggunakan hak dan kebebasan bersuara dalam konteks sistem demokrasi. Kerajaan juga setakat ini tidak mengambil sebarang tindakan susulan walaupun insiden sebegini telah berulang kali berlaku. Antara alasan yang biasa diberikan adalah kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu semua insiden tersebut dan kemudiannya berunding dengan parti-parti bukan Melayu kerana 'pelakunya' ialah orang bukan Melayu, manakala 'mangsanya' pula ialah orang Melayu.

Tetapi kalau 'pelakunya' ialah orang Melayu sendiri, maka sudah tentu 'secepat kilat' tindakan tegas diambil bagi menangani sebarang insiden sedemikian rupa. Apa yang jelas di sini ialah memang agak sukar untuk membuat sebarang keputusan terhadap isu-isu provokatif jika ia membabitkan selain daripada orang Melayu dan Islam.

Ini kerana jika tersalah pertimbangan, orang bukan Melayu, yang selama ini memberi sokongan kepada kerajaan sudah pasti akan 'terasa' pedih hati walaupun dalam sesetengah insiden yang sedemikian, mereka memang bersalah. Apa yang boleh kita lihat, sebarang bentuk tindakan oleh kerajaan pada hari ini dalam menyelesaikan insiden-insiden seperti itu boleh dianggap seperti 'menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, manakala tepung pula tidak berselerak'.

Biasanya, usaha penyelesaian masalah secara 'menarik rambut dalam tepung ini' sangat cerewet dan rumit. Ini mungkin kerana 'rambut' yang ingin 'ditarik' tersebut mungkin sudah 'reput', manakala 'tepung' yang ingin dijaga supaya tidak 'selerak' itu mungkin sebenarnya sudah 'keras'.

Kita tidak menafikan perlunya hidup bertolak ansur dalam konteks masyarakat berbilang kaum tetapi peranan dan tanggungjawab kerajaan selaku 'pemerintah yang tegas dan bijaksana' tidak wajar sekali dipinggirkan. Dalam hal ini, pihak yang benar perlu dibela, manakala pihak yang secara terang-terang melakukan kesalahan mesti dihukum dengan sewajarnya tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

Semua insiden yang disebutkan sebelum ini adalah benar berlaku, manakala 'pelapornya' pula tidak mempunyai sebarang niat yang terselindung.

Masjid dan surau adalah rumah Allah SWT yang suci lagi bersih dan perlu dihormati. Orang bukan Islam, tidak kira dari mana-mana parti politik pun tidak boleh memasuki ruang solat utama masjid dan surau hanya kerana mereka ini 'berhadas besar'. Sebaliknya, mereka boleh memasuki ruang di sekitar kawasan masjid, dan bukannya di ruang utama solat.

Nama ketua agama negeri, sama ada Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Sultan mesti disebut oleh khatib dalam setiap sesi khutbah yang dijalankan.

Tindakan menyebut nama Ketua Menteri yang bukan Islam tidak pernah berlaku sebelum ini, dan orang yang menyebutnya sudah pasti ada maksud 'negatif' yang terselindung walaupun orang itu bergelar 'ustaz' atau 'tok guru'.

Sebagai rakyat Malaysia pula, adalah tidak salah untuk menjadi kreatif dalam pelbagai bidang seni termasuk muzik dan mengubahsuai lagu. Tetapi, apakah dengan tindakan 'memperolok-olokkan' lagu kebangsaan negara sendiri dengan unsur-unsur mencemar imej negara, individu tertentu, orang Melayu dan agama Islam boleh menjadikan seseorang itu kreatif?

Apa yang jelas di sini adalah Namewee ialah seorang yang sangat kreatif, tetapi beliau juga seorang yang sangat tidak beradab sopan terhadap negaranya sendiri.

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas dalam menangani isu-isu provokatif berbaur perkauman dan agama sebagaimana yang sedang 'hangat' melanda negara ketika ini.

Kerajaan tidak seharusnya menunggu sehingga ke saat akhir untuk mengambil tindakan kerana ia dikhuatiri mungkin agak terlewat. Kegagalan kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam hal ini akan memberi gambaran negatif dalam kalangan rakyat terutamanya orang Melayu dan Islam di negara ini bahawa mereka akan terus menjadi punching bag di negara sendiri, manakala bagi orang bukan Melayu pula, adalah tidak mengapa menjadikan orang Melayu dan agama Islam sebagai bahan kreatif dan senda gurau atas alasan hak dan kebebasan bersuara dalam negara demokrasi.

Kita perlu ingat bahawa demokrasi adalah untuk semua, bukan untuk satu golongan sahaja. Hak kebebasan bersuara dan hak untuk kreatif dalam muzik tidak bermakna kita boleh mencemarkan imej negara sendiri.

- UTUSAN

Orang ramai jangan tunggu saat akhir bayar saman ekor

Orang ramai diingatkan tidak menunggu pada saat akhir untuk menjelaskan saman ekor walaupun kerajaan menarik balik tindakan menyenarai hitam pesalah trafik sehingga 28 Februari depan bagi membolehkan mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

Ini kerana, sepanjang satu tahun tempoh penangguhan itu tiada sebarang mata demerit mengikut Sistem Merit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) akan dicaj kepada pesalah trafik malah mereka dibenarkan membuat pembayaran secara ansuran.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata pesalah trafik perlu lebih peka dengan perkara ini dan jangan melengahkan proses pembayaran.

“Saya ingatkan jangan terlalu gembira dengan pengumuman itu. Saman tetap perlu dibayar. Mulai 1 Mac 2011 mereka yang tidak membuat pembayaran akan disenarai hitam sekali lagi malah mereka juga dilarang membuat bayaran secara berkala.

“Gunakan kesempatan ini untuk menjelaskan hutang saman, bayaran secara ansuran juga diterima bagi mengelakkan bebanan,” katanya pada sidang media di Hentian Bas Sementara Bukit Jalil di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Solah berkata, JPJ akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk berkawal di 202 jalan persekutuan sempena Ops
Sikap Aidilfitri ini.

- BERITA HARIAN

Lebih 10,000 penuhi stadium sambut Kemerdekaan ke-53


Ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 semalam disambut meriah, walaupun sambutan kali ini tanpa perbarisan atau pertunjukan bunga api serta konsert kerana bertembung dengan Ramadan.

Sambutan bermula sejak malam semalam dengan pelbagai acara termasuk majlis berbuka puasa, tahlil dan solat Tarawih berjemaah di seluruh negara.

Majlis peringkat nasional diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dengan kehadiran lebih 10,000 orang, walaupun kali pertama diadakan di kawasan tertutup berikutan Ramadan. Malah, sambutan dengan tema 1Malaysia Menjana Transformasi itu dilihat lebih kreatif dan inovasi dari pelbagai aspek.

Acara bermula jam 8 pagi sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, diiringi tiupan nafiri. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta menteri Kabinet yang memakai pakaian batik 1Malaysia, selain dihadiri duta asing dan pemimpin parti politik.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan 940 anggota kontinjen di sepanjang jalan masuk ke Stadium Putra.
Tuanku Mizan kemudian mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, sebelum memeriksa kawalan kehormat utama empat pegawai dan 107 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Acara kemudian diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak nyanyian lagu Negaraku dan 14 das tembakan meriam, diikuti bacaan ikrar oleh 53 orang termasuk wakil pendidik, perkhidmatan awam, swasta, perbadanan bukan kerajaan, seni dan budaya serta orang kurang upaya daripada pelbagai kaum.

Di KUANTAN, kira-kira 3,000 peserta membabitkan 51 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan berhimpun di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA) bagi meraikan sambutan peringkat negeri.

Turut berangkat ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri, Datin Seri Junaini Kassim dan pemimpin kerajaan negeri.

Di MIRI, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhamad Salahuddin Abang Barieng mengetuai sambutan di Stadium Tertutup Miri yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan disertai kira-kira 5,000 warga bandar raya itu.

Di KUALA TERENGGANU, sambutan berlangsung sederhana di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam dan dihadiri lebih 500 orang. Sambutan dimulakan dengan ucapan sempena kemerdekaan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, diikuti tahlil, majlis berbuka puasa, solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan Tarawih.

Di IPOH, lebih 3,000 orang sekitar bandar raya ini tidak melepaskan peluang menyaksikan perarakan yang dihadiri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah; Raja DiHilir, Raja Datuk Seri Jaafar Raja Muda Musa; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan Exco kerajaan negeri.

Di GEORGETOWN, lebih 10,000 orang membanjiri jalan utama Padang Kota untuk menyaksikan sambutan peringkat negeri yang disertai 82 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi.

Di KANGAR, sebanyak 53 merpati bersama sejambak belon berwarna-warni dilepaskan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail ditemani Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, dengan disaksikan lebih 5,000 hadirin di Dataran Merdeka, sebagai simbolik mewakili 53 tahun negara bebas daripada cengkaman penjajah.

Di ALOR SETAR, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam ucapannya menggesa rakyat menghargai institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi payung penyatuan bangsa Malaysia dalam menjamin kesejahteraan dan kemakmuran hidup.

Di MELAKA, lebih 6,000 orang termasuk Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyaksikan sambutan kemerdekaan peringkat negeri di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh.

Di KOTA KINABALU, lebih 3,000 orang menghadiri sambutan yang diadakan secara sederhana di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar menghadiri acara berkenaan, selain Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin serta timbalannya, Datuk Yahya Hussin.

- BERITA HARIAN

Varieti 39 jenis talam


Pengunjung bazar Ramadan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan pasti tertarik dengan deretan kuih-muih yang kemas tersusun dan kelihatan begitu menyelerakan.

Kuih berwarna-warni yang dijual oleh Durah Ibrahim, 26, itu membuatkan pelanggan rambang mata untuk membuat pilihan.

Durah menjual sebanyak 39 jenis kuih-muih seperti kuih talam, seri muka, kuih lapis, puding dan koleh.

Bermula dari pukul 3 petang hingga 6 petang, gadis itu yang ditemani oleh ibunya, Sharifah Anisah Sheikh Abdullah, 53, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah serta dua adiknya, Suraya, 24, dan Atiqah, 16, tidak menang tangan melayan pelanggan.

Sejak hari pertama berniaga di bazar Ramadan sekitar pukul 5 petang, sebahagian daripada kuih-muih itu habis dijual. Reputasi kuih Kak Pah atau Sharifah Home Made Cake yang mempelopori perniagaan kuih talam di Pasar Tani Wakaf Che Yeh meningkat berbanding bulan-bulan biasa.

Kali ini merupakan tahun kedua mereka berniaga di bazar Ramadan. Antara kuih-muih yang sering menjadi pilihan pelanggan termasuklah kuih talam cendol, talam gula merah, talam jagung, talam kacang hijau, seri muka durian, seri muka jagung, seri muka kayu manis dan pelbagai jenis puding.

“Kami sediakan 39 jenis kuih-muih untuk mereka pilih dan kebiasaannya mereka akan mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan sama ada dengan menungan panjang dan perbincangan antara mereka. Malah, ada juga yang tidak melepaskan peluang merakam foto kuih-muih tersebut.

Kualiti rasa

“Lucu juga melihat gelagat pelanggan, tapi sekurang-kurangnya gaya persembahan produk seperti pengusaha donat terkemuka di bandar raya besar dapat kami aplikasi di sini,” jelas Durah ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Durah, keluarganya sangat menitikberatkan kualiti rasa dan keaslian dalam pembuatan kuih-muih yang dijual. Kuih seri muka durian misalnya, menggunakan isi durian asli tanpa menggunakan perisa tiruan.

“Jika kuih yang dijual agak lembik atau pecah di bahagian tepi, kami tidak akan jual kerana mahu menjaga kualiti,” kata Durah bahawa kuih-muih tersebut dijual pada harga RM2 untuk lima ketul.

Sebagai bukti keberkatan mencari rezeki pada bulan puasa, jualan kuih-muih mereka mencatatkan keuntungan di antara RM1,400 hingga RM1,500 sehari. Proses mengadun dan mengukus kuih-muih bermula dari pukul 3 pagi hingga 11 pagi sebelum berniaga pada sebelah petang.

Tahun lalu, hasil jualan mereka mencatat lebih RM25,000 sebulan sepanjang berniaga di bazar Ramadan. Selain kuih-muih, pendapatan tersebut diperoleh hasil jualan lebih 1,000 biji kek coklat.

“Mummy yang jadi mastermind semua ini, saya dan adik-adik mengikut sahaja,” ujarnya yang mempunyai tiga orang kakak yang sudah berkahwin.

Adik Durah, Suraya, yang bertindak sebagai pengawal kewangan memberitahu, setiap hari lebih 24 kilogram (kg) santan digunakan di samping 205 biji telur, 15 kg gula halus, 4.5 kg gula merah, lima tong gas untuk memasak dan 435 buah bekas polisterina untuk mengisi kuih.

Perbelanjaan untuk membuat kek dan kuih pada bulan Ramadan menelan kos di antara RM500 sehingga RM600 sehari.

Suraya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia sebenarnya merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana sejurus tamat pengajian tahun lalu.

“Tetapi pengalaman membantu keluarga berniaga secara serius sejak tahun lalu membantutkan perancangan saya seketika.

“Walaupun letih kerana hanya dapat tidur kurang lima jam sehari tetapi hasilnya cukup berbaloi. Misalnya, tempahan kek hari raya untuk tahun ini sahaja sudah mencecah 300 biji.

“Siapa lagi boleh membantu mummy, rugi jika saya tidak memanfaatkan peluang dan kepakaran yang beliau turunkan pada kami,” katanya yang bertanggungjawab membina laman web http://sharifahhomemakecake.multiply.com bagi memperkenalkan kuih dan kek mereka kepada pelanggan.

Koleksi buku masakan

Keluarga itu baru sahaja pulang ke Kelantan tahun lalu setelah suami Sharifah Anisah, Ibrahim Mohamad, 58, yang berasal dari Tumpat, bersara sebagai jurutera syarikat Telekom Malaysia di Kuala Lumpur.

Sharifah Anisah yang berasal dari Kampung Kubur Kuda, Kota Bharu mengikut suaminya ke Kuala Lumpur sejak tahun 1985. Mereka menetap di sana lebih 25 tahun bersama enam anak perempuan mereka.

Berkahwin pada usia 17 tahun, wanita yang tidak mempunyai sebarang pengalaman secara formal dalam dunia masakan itu sebenarnya mempunyai minat memasak yang amat mendalam.

Ketika di Kuala Lumpur, dia sanggup mencari guru masakan hingga ke Singapura demi untuk mengumpul pelbagai tip masakan. Bahkan, Sharifah Anisah mempunyai lebih 200 koleksi buku masakan.

Sharifah Anisah mula giat menerima tempahan selepas setahun melahirkan anak bongsunya. Ramai kenalan dan penduduk di sekitar kawasan perumahannya di Taman Ehsan, Kepong menempah hidangan dan lauk-pauk tradisi seperti nasi kerabu dan ayam percik atau juadah moden seperti puding dan kek coklat.

Melalui hebahan dari mulut ke mulut, dia mendapat tempahan dengan jualan yang mencecah di antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

Kini, Sharifah Anisah hanya menumpukan kepada tempahan membuat kek dan kuih talam untuk majlis kenduri kahwin, jamuan pejabat dan majlis hari jadi selain berniaga di pasar tani. Istimewanya, sebahagian besar resipi kuihnya diolah dan dicipta sendiri. Bagaimanapun katanya, untuk menghasilkan berpuluh jenis resipi kuih seperti yang disediakan hari ini bukanlah satu perkara mudah. “Sudah berpuluh kilogram adunan tepung yang terbuang dan saya juga sudah puas menangis apabila kuih-kuih yang diadunkan tidak menjadi tetapi saya tidak pernah putus asa.

“Saya suka menjamu orang makan dan melihat mereka tersenyum puas dengan masakan saya. Walaupun hanya belajar sehingga tingkatan tiga, saya bersyukur kerana minat yang mendalam membolehkan saya berkenalan dengan ramai orang dari pelbagai golongan kerana hidangan yang saya hasilkan,” katanya.

Rezeki Sharifah Anisah semakin murah setelah kembali ke negeri kelahirannya. Nekad memperkenalkan kuih talam yang masih kurang peminatnya di negeri Cik Siti Wan Kembang berbanding negeri lain, dia dan anak-anaknya memilih untuk berniaga di Pasar Tani Wakaf Che Yeh yang terletak lima kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Tunjung, Jalan Kuala Krai.

Setiap minggu di pasar tani, tidak kurang 100 biji kek coklat habis dijual di samping 36 dulang kuih yang menjadi produk wajib mereka. Ditambah dengan tempahan daripada individu, pejabat kerajaan, syarikat swasta dan orang kenamaan, secara purata jualan kuih-muihnya mencecah di antara RM7,000 hingga RM12,000 sebulan.

Sharifah Anisah berkata, kejayaan yang diperoleh adalah berkat sokongan daripada suaminya.

Apakah perancangan masa depannya? “Kami lebih selesa beroperasi dan memasak dari rumah, barulah kena dengan nama, namun terserah kepada anak-anak saya jika mereka mempunyai rancangan lain pada masa akan datang,” katanya.

- KOSMO!

Jawatan Kosong di Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UITM) - September 2010

Universiti Teknologi MARA dengan ini mempelawa calon-calon Bumiputera Warganegara Malaysia yang berkelayakan dalam bidang-bidang yang berkaitan untuk mengisi kekosongan jawatan tetap/kontrak di Fakulti Perubatan UiTM Shah Alam / UiTM Kampus Selayang / UiTM Kampus Sg Buloh bagi memenuhi Wawasan 2020 Negara.

JAWATAN
1. PEGAWAI FARMASI U41
2. PEGAWAI PEMULIHAN PERUBATAN U41
3. PEGAWAI OPTOMETRI U41
4. JURURAWAT U41
5. JURURAWAT U32
6. JURURAWAT U29
7. PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN U29
8. PENOLONG PEGAWAI FARMASI U29

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.uitm.edu.my/images/stories/announcements/job_vacancy/IklanJawatan29082010.doc

BORANG PERMOHONAN
http://medicine.uitm.edu.my/images/stories/gallery/Announcement/Job_Vacancy/borangpermohonanjawatan.pdf

Borang Permohonan hendaklah dihantar ke alamat:

KETUA TIMBALAN PENDAFTAR
FAKULTI PERUBATAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
KAMPUS SELAYANG
68100 BATU CAVES
SELANGOR DARUL EHSAN

http://medicine.uitm.edu.my/
http://www.uitm.edu.my

TARIKH TUTUP : 13 SEPTEMBER 2010

Jawatan Kosong di Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) - September 2010

Permohonan adalah dipelawa Warganegara Malaysia dan keutamaan kepada Rakyat Negeri Terengganu yang berumur tidak kurang daripada 18 tahun dari tarikh tutup iklan bagi mengisi kekosongan jawatan-jawatan berikut:

1.PENOLONG PEGAWAI PERANCANG BANDAR DAN DESA J29
2.PENOLONG JURUTERA J29
3.PENOLONG ARKITEK LANDSKAP J29
4.PENOLONG JURUAUDIT W27
5.TUKANG K3 R9
6.PENOLONG PEGAWAI SENIBINA J29

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://mdht.terengganu.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=10350aaa-695e-44dd-94f8-4ecac7f56831&groupId=17465

BORANG PERMOHONAN
http://mdht.terengganu.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=cd46d919-afb1-4acf-8174-bd59452e4439&groupId=17465

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah ditulis nama jawatan di bahagian atas sebelah kiri sampul dan kirim ke alamat berikut:

Yang Dipertua,
Majlis Daerah Hulu Terengganu,
21700 Kuala Berang,
Hulu Terengganu.

http://mdht.terengganu.gov.my

TARIKH TUTUP : 30 SEPTEMBER 2010

Jawatan Kosong di Universiti Malaysia Pahang (UMP) - September 2010

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN BUKAN AKADEMIK (TEKNIKAL)

1. PEGAWAI SAINS
2. PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT
3. PEGAWAI PENYELIDIK
4. PENOLONG PEGAWAI SAINS
5. PEMBANTU MAKMAL
6. JURUTEKNIK KOMPUTER
7. PENJAGA JENTERA ELEKTRIK
8. TUKANG K3

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://onlineapps.ump.edu.my/umpapps/cms/eRecruitment/attachment/Iklan%20jawatan%20kosong%20Teknikal%20UMP%20Siri%206-2010.pdf

JAWATAN BUKAN AKADEMIK (PENTADBIRAN DAN SOKONGAN)

1. PEGAWAI HAL EHWAL ISLAM
2. PEGAWAI BELIA DAN SUKAN

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://onlineapps.ump.edu.my/umpapps/cms/eRecruitment/attachment/Iklan%20jawatan%20kosong%20P&P%20Skgn%20UMP%20Siri%206-2010.pdf

CARA MEMOHON
Permohonan hendaklah dibuat secara online di: http://onlineapps.ump.edu.my/umpapps/eRecruitment.jsp

Calon diwajibkan mencetak Surat Pengesahan Permohonan Online (Selepas tamat mengisi butiran permohonan melalui web rasmi UMP). Sila hantar permohonan beserta dengan salinan-salinan sijil akademik dan lain-lain dokumen berkaitan yang telah disahkan ke alamat:

PENDAFTAR,
UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG,
LEBUHRAYA TUN RAZAK,
26300 GAMBANG, KUANTAN,
PAHANG DARUL MAKMUR
(U/P : UNIT PERJAWATAN & CUTI BELAJAR, BAHAGIAN SUMBER MANUSIA)

http://www.ump.edu.my

TARIKH TUTUP : 17 SEPTEMBER 2010

Jawatan Kosong di Perbadanan Bukit Bendera, Pulau Pinang - September 2010

Permohonan adalah dipelawa daripada warganegara Malaysia yang berkelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan di Perbadanan Bukit Bendera, Pulau Pinang.

JAWATAN
1. Pengurus Besar Gred 52 (Terbuka)
2. Pengurus Operasi Bukir Bendera Gred 48 (Terbuka)
3. Pengurus Pembangunan dan Penyelidikan Gred 48 (Terbuka)
4. Pengurus Pemasaran dan Promosi Gred 48 (Terbuka)
5. Pegawai Tadbir Gred N41
6. Penolong Jurutera (Mekanikal) Gred J29
7. Penolong Akauntan Gred W27
8. Juruteknik (Mekanikal) Gred J17
9. Penjaga Jentera Elektrik Gred R17

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.ziddu.com/download/11464052/IKLANJAWATANKOSONGPERBADANANBUKITBENDERA.PDF.html

BORANG PERMOHONAN
http://www.ziddu.com/download/11464051/BorangMohonJawatanKBB.pdf.html

Permohonan hendaklah dikemukakan dengan mengisi borang yang disediakan dan menyediakan butiran diri (resume) yang lengkap dan salinan sijil berkaitan yang telah disahkan bersama-sama sekeping gambar terbaru bersaiz passport kepada:

Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Tingkat 25, KOMTAR
10503 Pulau Pinang
(u.p. : Bahagian Pengurusan Sumber Manusia)

http://www.penang.gov.my/

TARIKH TUTUP : 6 SEPTEMBER 2010

Jawatan Kosong Fasilitator Schoolnet di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) - September 2010

Pemohon adalah dipelawa daripada Warganegara Malaysia yang berkelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan di sekolah-sekolah yang terlibat di seluruh Malaysia.

JAWATAN : FASILITATOR SCHOOLNET
(Skim Perkhidmatan Singkat [SPS])

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.ziddu.com/download/11463574/FasilitatorSchoolnetSep2010.pdf.html

CARA MEMOHON
Calon yang berminat hendaklah mengemukakan resume beserta salinan kad pengenalan dan transkrip akhir kepada:

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan,
Tingkat 2 Blok F,
Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana,
Jalan Dato’ Onn,
50610 Kuala Lumpur.
(u.p.: Bahagian Pengurusan Sumber Manusia – Fasilitator Schoolnet)
(Tel : 03-2691 1250 / 1209)

Permohonan juga boleh dihantar menerusi emel ke schoolnet@kpkk.gov.my

http://www.kpkk.gov.my/

TARIKH TUTUP : 5 SEPTEMBER 2010

Recent Posts