Sumber perundangan Islam

PERBINCANGAN mengenai sumber-sumber perundangan Islam bukanlah sesuatu yang asing di kalangan kebanyakan kita. Namun masih terdapat segelintir yang kurang memahaminya.

Semoga perbincangan kali ini akan memberikan kita kefahaman tentang kewajipan merujuk kepada sumber-sumber perundangan Islam dalam mengatur dan menguruskan kehidupan manusia sejagat.

Secara umumnya, sumber-sumber syariah Islam terbahagi kepada dua. Iaitu sumber-sumber yang disepakati oleh ulama dan sumber-sumber yang tidak disepakati oleh ulama.

Sumber-sumber yang disepakati oleh ulama adalah sumber yang digunapakai oleh ulama bagi mengeluarkan hukum ke atas sesuatu perkara atau permasalahan yang berlaku.

Sumber-sumber ini diterima oleh ulama tanpa sebarang khilaf di kalangan mereka dari sudut turutannya atau kebolehgunaannya.

Terdapat empat sumber hukum yang disepakati jumhur ulama iaitu al-Quran, sunnah, ijma' dan qias. Tertib dan susunan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada sahabat Nabi SAW iaitu Muadz ibnu Jabal ketika diutus ke Yaman. "Daripada Muadz ibnu Jabal ra bahwa Nabi SAW ketika mengutusnya ke Yaman, Nabi bertanya: "Bagaimana kamu jika dihadapkan permasalahan hukum? Ia berkata: "Saya berhukum dengan kitab Allah". Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam kitab Allah?", ia berkata: "Saya berhukum dengan sunnah Rasulullah SAW". Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam sunnah Rasul SAW?" Ia berkata: "Saya akan berijtihad dan tidak berlebih (dalam ijtihad)." Maka Rasul SAW memukul ke dada Muadz dan berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah sepakat dengan utusannya (Muadz) dengan apa yang diredai Rasulullah SAW."(Riwayat Thabrani)

Dengan memahami sumber-sumber yang disepakati oleh ulama yang menjadi rujukan sumber perundangan dalam Islam dapat menjamin masyarakat daripada terkeliru ataupun dikelirukan. Malah dengan berpegang hanya kepada sumber yang diiktiraf oleh syarak dapat menyatukan ummah dan seterusnya menjamin mereka daripada berpecah belah.

Nabi SAW telah memberi jaminan bahawa dengan berpegang kepada al-Quran dan sunnah akan terselamat daripada kesesatan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah nabinya." (riwayat Imam Malik dalam Muwatta')

- UTUSAN Sumber perundangan Islam

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.