Isnin, Mei 03, 2010

Ubah cara berniaga

Oleh Rohami Shafie
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia

Ada sesuatu yang tidak kena apabila pelabur dan peniaga masih mengharapkan kos buruh yang rendah sedangkan kos sara hidup pekerja di negara ini semakin tinggi. Oleh sebab kos buruh yang rendah, majikan lebih berminat mengambil pekerja asing berbanding pekerja tempatan sendiri. Ketidakseimbangan ekonomi ini merencatkan agenda negara yang direncanakan melalui Model Ekonomi Baru (MEB).

Kos sara hidup yang tinggi dan tidak bertepatan dengan gaji yang diperoleh menjejaskan kehidupan seharian pekerja tempatan. Selaras dengan itu, Kementerian Sumber Manusia telah mengumumkan kajian menyeluruh mengenai gaji minimum untuk para pekerja terutamanya yang terlibat dengan sektor industri bakal dijalankan.

Sebelum itu, Kementerian Sumber Manusia telah mengumumkan kenaikan gaji pengawal keselamatan yang rata-rata berpendapatan di antara RM500-RM700 sebulan pada masa kini. Dengan gaji yang sebegitu rendah berbanding dengan keperluan semasa, pengumuman tersebut sudah tentu menceriakan para pengawal keselamatan yang kebanyakannya merupakan pesara polis dan tentera.

Namun demikian, ada desakan agar kenaikan gaji pengawal keselamatan ditangguhkan buat sementara waktu kerana majikan masih belum bersedia untuk menyerap kenaikan kos ini.

Inilah satu perkara yang cukup sensitif tidak kiralah kepada para pekerja meskipun kepada majikan. Di mana-mana sahaja di dunia ini, isu gaji merupakan isu yang sering diperjuangkan di kalangan para pekerja. Isu gaji jugalah menyebabkan ramai tenaga mahir dan kurang mahir tempatan mencari peluang pekerjaan di luar negara.

Umpamanya ramai doktor yang bekerja di luar negara seperti Singapura dan United Kingdom kerana mendambakan ganjaran yang cukup lumayan. Ramai yang bermastautin di luar negara semata-mata terpesona dengan gaji yang lebih menarik.

Inilah dilema yang mesti ditangani segera jika kita benar-benar ingin berdaya saing di pentas antarabangsa. Negara memerlukan tenaga mahir dan bukannya lambakan para pekerja asing yang rata-ratanya sanggup bergaji murah.

Hujahnya cukup mudah. Malaysia tidak lagi berdaya saing dari segi kos buruh yang rendah. Banyak negara lain yang boleh menawarkan kos buruh yang rendah.

Ambil contoh negara China, boleh dikatakan banyak barangan yang dipasarkan di seluruh dunia seperti pakaian diperbuat dari China. Adakah kita masih lagi ingin bersaing dengan cara yang sama sedangkan sememangnya diketahui kita akan kalah sebelum bertanding?

Natijahnya, cara berniaga perlu diubah. Tidak boleh lagi menggunakan cara yang sama.

Oleh itu, para majikan mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan kebajikan para pekerja tempatan diutamakan. Kalau setiap tahun mereka mampu mengumumkan keuntungan berjuta-juta ringgit bahkan ada yang sampai berbilion ringgit, apalah sangat jika keuntungan ini disalurkan kepada kebajikan para pekerja.

Perlu dingat, para pekerjalah yang selama ini menyumbang keuntungan kepada syarikat. Di negara Jepun, para pekerjanya cukup setia dengan majikannya. Jasa yang disumbangkan oleh majikan kepada mereka dibalas dengan budaya kerja yang hebat. Ini kerana kebajikan para pekerja dijaga dengan baik.

Gaji mestilah setimpal dengan kerja yang dilakukan dan juga kos sara hidup semasa.

Apabila kebajikan pekerja dijaga dan dihargai, produktiviti mereka juga akan semakin meningkat. Bukan itu sahaja, suasana kerja juga akan lebih kondusif dan seterusnya para pekerja akan termotivasi untuk bekerja secara ikhlas dan jujur bagi memastikan misi dan visi syarikat dapat dicapai.

Tidakkah ini akan memberi kesan yang amat baik kepada syarikat? Sayangnya, masih ada majikan yang mengutamakan keuntungan semata-mata dan tidak nampak tentang kepentingan menjaga kebajikan para pekerja.

Ketamakan sebeginilah yang akhirnya memberi kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara.

Selain gaji dan kebajikan pekerja, produktiviti juga akan meningkat jika gejala rasuah dapat ditangani di kalangan ahli perniagaan. Statistik untuk empat bulan pertama tahun ini menunjukkan golongan kedua tertinggi ditangkap atas kesalahan memberi rasuah adalah kes menggajikan pendatang asing.

Sekali lagi kita dapat lihat tentang budaya perniagaan yang tidak sihat di negara kita. Sudahlah tidak mengutamakan pekerja tempatan, sanggup pula menawarkan rasuah kepada pegawai kerajaan.

Jangan menyalahkan penguat kuasa atau pegawai kerajaan jika punca rasuah bukannya datang dari mereka. Rasuah tidak akan sesekali berlaku jika tiada pihak yang memberi.

Justeru, sokongan penuh mesti diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berusaha bersungguh-sungguh membanteras gejala rasuah.

Kempen membanteras rasuah dan penerangan jelas yang bakal diberikan kepada golongan peniaga mampu mengurangkan gejala jijik ini ke tahap terendah. Jika ini dapat dicapai, suasana perniagaan akan lebih berintegriti dan seterusnya kualiti dan produktiviti akan berjaya dilonjakkan pada tahap tertinggi.

Budaya perniagaan yang bersih tanpa penyelewengan, penipuan dan rasuah akan menjadikan suasana ekonomi negara yang lebih mapan untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia.

- UTUSAN

Sempurnakan Sujudmu!

Hadith :

Dari Anas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Sempurnakanlah sujud mu! Jangan membentangkan dua siku seperti anjing (tidur).”

Huraian:

Sujud ialah meletakkan kepala di bumi. Ketika sujud, fikiran berada lebih rendah dari hati. Ulama’ mengatakan bahawa sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah SWT.

Sebenarnya ketika seseorang manusia itu mengerjakan solat, berpuluh-puluh iblis akan datang menggoda. Sesetengahnya datang pada setiap anggota badan supaya datang perasaan malas, was- was, terlupa bilangan rakaat, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat, hilang khusyuk dengan mata sentiasa menjeling ke kiri ke kanan, telinga sentiasa mendengar orang bercakap serta bunyi-bunyian yang lain.

Malah ada juga iblis yang duduk di belakang badan orang yang solat itu supaya ia tidak dapat sujud lama kerana penat atau sebagainya. Ketika sujud kita digalakkan bertafakur beberapa ketika.

Dari segi kesihatan bersujud boleh mengelak dari penyakit pening atau migrain. Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud.

Ahli-ahli sains telah menemui bahawa terdapat beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah.

Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang berkenaan. Dalam solat, cara sujud mestilah mengikut kaedah yang paling sempurna iaitu turun ke bawah dengan tangan, meletakkan ia ke bawah sebelum lutut.

Kita dilarang meniru cara unta duduk iaitu cara duduk dengan lutut dahulu. Hendaklah jadikan tapak tangan sama aras dengan kedua bahu. Tidak meletakkan (melebarkan) lengan di tanah seperti anjing.

Meletakkan hidung dan dahi di atas bumi. Begitu juga dengan lutut. serta perut jari kaki. Menegakkan kaki dengan tumit berdiri tegak selari.

Semua anggota yang disebutkan tadi dipanggil sebagai anggota sujud yang menentukan sempurna atau tidaknya sujud seseorang yang sedang solat iaitu sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Ahad, Mei 02, 2010

UiTM tawar syarat paling minimum

Apabila Universiti Teknologi Mara ( UiTM) tegas mempertahankan hak institusi itu hanya untuk Bumiputera, ramai pihak kurang senang dan menganggap ia prejudis kepada kaum lain.

Namun, yang nyata, walaupun pelbagai cabaran dihadapi, UiTM tetap teguh dengan nawaitu membantu membela nasib Bumiputera mendapat pendidikan tinggi terbaik di negara ini.

Sejak ditubuhkan pada 1956, dengan nama Dewan Latihan Rida, produk kelahiran UiTM ada di mana-mana sahaja, sama ada sektor kerajaan atau swasta malah ramai yang menerajui dunia korporat hasil produk universiti itu.

Pada usia UiTM menjangkau 54 tahun, angka yang dianggap dalam golongan warga emas, tetapi ia terus melakar pelbagai kejayaan dalam matlamat memartabatkan pendidikan anak bangsa.

Kini, UiTM melangkah setapak lagi dengan program membantu Bumiputera miskin dan gagal mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan untuk meneruskan pengajian.

Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pengenalan program itu antara tanggungjawab terbaru institusi itu membantu Bumiputera mendapat pendidikan tinggi dan peluang kedua kepada golongan sasaran.

Beliau berkata, skim itu membabitkan mereka yang dikategorikan miskin, sama ada di bandar atau luar bandar serta gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tapi berminat menyambung pengajian.

"Atas rasa tanggungjawab itu, kami membuka pintu seluas-luasnya kepada golongan berkenaan dengan syarat dan kelayakan paling minimum.

"Syaratnya mudah, miskin dan mahu belajar. Ia bukan mahu mencari publisiti murah, tetapi memikul amanah membangunkan anak bangsa.

"Tidak salah memberi peluang kedua kepada golongan yang gagal itu kerana universiti bukan medium menyalurkan ilmu akademik semata-mata malah membentuk peribadi," katanya.

Dikenali dengan nama Mengubah Destini Anak Desa, program itu umpama mengembalikan tunjang asas UiTM membantu golongan miskin membina masa depan.

Katanya, dua peluang itu untuk pengajian di peringkat pra atau kursus keusahawanan selama enam bulan bagi yang bekerja.

Menurutnya, jika lulus pengajian pra, mereka berpeluang mengikuti pengajian diploma dan ijazah manakala program keusahawanan mendedahkan mereka ilmu keusahawanan.

"Pilihannya mudah, jika berminat belajar, sambung pengajian dan jika bekerja tapi masih belajar, ambil program kedua. Ia fleksibel dan disesuaikan dengan kehendak masing-masing.

"Untuk melaksanakan usaha ini, kami akan menghantar tenaga kerja UiTM termasuk pensyarah ke luar bandar bagi mengenal pasti golongan sasaran.

"Hasilnya ramai yang mahu (belajar) dan membuktikan mereka ingin membaiki diri," katanya.

Dr Sahol Hamid yakin program itu akan mencapai matlamatnya kerana gagal sekali tidak semestinya gagal untuk selama-lamanya.

"Ada manusia yang bijak gagal masuk universiti, mungkin keluarga miskin atau masalah lain, tetapi mereka tetap tidak berputus asa bekerja dan mengambil kursus luar kampus.

"Ada pula gagal sebab malas belajar tapi kemudiannya timbul kesedaran untuk membaiki diri.

"Justeru, jangan mudah menghukum dan lebih baik memberi mereka peluang kedua," katanya.

Sejak ditubuhkan, UiTM mengeluarkan lebih 400,000 graduan, satu rekod bagi sebuah universiti Bumiputera terbesar di negara ini.

Katanya, walaupun berbangga dengan pelbagai pencapaian di peringkat tempatan dan antarabangsa, UiTM tetap tidak lupa peranannya sebagai institusi pendidikan unggul dengan meneroka bidang baru.

"Semua institusi mempunyai cabarannya sendiri, yang pasti, UiTM berdiri gagah memperkasakan pendidikan kepada anak bangsa.

"Jika bukan UiTM membela nasib mereka, siapa yang boleh membantu?" katanya.

- METRO

Teori makhluk asing - UFO


Perbahasan benar atau tidak kewujudan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO), makhluk asing dan segala misteri berkaitan kejadian itu yang sebelum ini di tahap suam-suam kuku kembali panas dengan pengakuan pakar fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking, bahawa makhluk asing itu berkemungkinan wujud.

benar atau tidak kewujudan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO), makhluk asing dan segala misteri berkaitan kejadian itu yang sebelum ini di tahap suam-suam kuku kembali panas dengan pengakuan pakar fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking, bahawa makhluk asing itu berkemungkinan wujud.
Mengiringi pengakuan yang mengejutkan itu ialah amaran Hawking supaya manusia seharusnya mengelak daripada kemungkinan bertembung dengan makhluk asing yang dikatakan menghuni planet lain di angkasa. Ini kerana, pertembungan sedemikian hanya mengundang padah. Malah, saintis yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya berkerusi roda itu dan pakar matematik, turut menyamakan kesan pertembungan itu dengan apa yang berlaku apabila Christopher Columbus menjejakkan kaki di tanah Amerika Syarikat yang kehadirannya tidak menyenangkan penduduk pribumi.

“Jika makhluk asing melawat kita, hasilnya sama ketika Columbus mendarat di Amerika, yang tidak disenangi golongan pribumi. Kita perlu meneliti diri sendiri untuk melihat bagaimana kehidupan lebih pintar mungkin berkembang menjadi sesuatu yang kita tidak mahu temui.

“Makhluk asing maju seperti itu mungkin menjadi nomad, mencari jajahan dan takluk apa saja planet yang boleh mereka sampai,” kata Hawking kepada rangkaian Discovery Channel.

Temu bual itu bagi siri ‘Into the Universe with Stephen Hawking’ disiarkan Discovery Channel di Amerika Syarikat pada Ahad lalu.
Bagi mempertahankan dakwaannya itu, Hawking turut mengaitkannya dengan teori matematiknya.

“Mengikut teori itu, bilangan angka atau nombor saja sudah cukup menjadikan pemikiran mengenai makhluk asing itu sesuatu yang rasional. Namun, cabaran sebenar ialah apa sebenarnya makhluk asing itu,” katanya yang menyifatkan konsep kewujudan kehidupan asing di tempat lain di alam semesta ini boleh diterima.

Kenyataan Hawking itu, bagaimanapun mengundang reaksi berbeza dengan sebahagian saintis menyangkal pandangan itu secara terbuka, mengkritik ramalan pesimis itu mengenai pertembungan dengan makhluk asing. Sementara beberapa penyelidik lain berdiri teguh di belakangnya, malah memberikan ramalan hampir sama.

Pakar fizik Universiti Manchester, Britain, Profesor Brian Cox, yang menyifatkan bukti bahawa kemungkinan wujudnya hidupan di Planet Marikh semakin nyata.

“Kita cuma akan pasti apabila kapal angkasa baru dilancarkan ke bulan Zuhal dan Marikh dalam dekad akan datang,” katanya.

Hakikatnya, usaha menjejaki makhluk asing dan UFO ini dibuat sejak beberapa dekad lalu. Malah pelbagai cara dilakukan bagi menjejaki asal usul, bentuk, komunikasi dan tamadun yang mungkin wujud itu, termasuk menerusi gelombang radio. Banyak sudah rakaman dan cakera yang turut diletakkan di angkasa lepas selain teleskop radio yang menghantar pelbagai kod misteri.

Saintis organisasi seperti Search For Extra-Terrestrial Intelligence atau SETI, pula berharap hubungan dapat dimulakan dalam masa terdekat. Malah salah satu projek SETI pada 1977, mencatat kejayaan penyelidik Universiti Ohio, Dr Jerry R Ehman, mengesan isyarat 72 saat dalam bentuk kod himpunan angka dan abjad yang dikatakan berasal dari sumber makhluk asing.

Pengarah dokumentari dan filem kreatif, Jose Escamilla, yang menyertai barisan saksi UFO paling terkenal berikutan siri video yang dirakamkan daripada tahun 1994 hingga 1998, percaya tidak ramai makhluk asing yang suka bertindak ganas.

“Berdasarkan pengalaman sendiri merakamkan UFO di siang hari di Roswell, saya boleh nyatakan dengan jelas bahawa seperti juga banyak jenis manusia di kalangan kita, kemungkinan juga sudah ada banyak jenis makhluk asing di kalangan kita. Tiada alasan untuk berasakan yang kita belum dilawati atau mereka tidak membuat hubungan dengan kita. Seperti manusia juga, ada yang jahat, begitu juga dengan makhluk asing. Tiada bezanya,” kata Escamilla.

Namun, pakar fizik juga mahir dalam soal UFO, Dr Steven Greer, mempertikaikan kenyataan Hawking yang dianggapnya menambah kebimbangan dan takut terhadap apa yang digelar makhluk asing.

“Sebagai saintis, dia sepatutnya lebih tahu. Jika makhluk asing berniat jahat, ia sudah jelas sejak kita meletupkan bom atom pertama pada tahun 1945 tetapi sehingga hari ini, bumi belum pernah diceroboh, diserang atau dijajah,” katanya.

Persoalannya, apakah ada rasional di sebalik pandangan negatif Hawking bahawa makhluk asing ini memberi ancaman dan lebih maju daripada peradaban manusia hari ini?

Pengurus laman web Cosmic Conspiracies, Dave Cosnette, yang melabelkan laman itu sebagai Pangkalan Data UFO Terbesar Eropah, mendakwa ia mencatatkan penemuan dan analisis perspektif kepada bukti pertembungan makhluk asing di seluruh dunia.

“Saya sependapat Hawking bahawa makhluk asing mungkin spesis yang memberi ancaman dan mungkin lebih maju daripada kita. Malah dalam banyak keadaan, manusia yang berhubungan dengan makhluk asing dicederakan. Saya teringat satu kes di Brazil yang mana seorang mangsa dibunuh dengan kejam, kulitnya dilapah dan beberapa bahagian tubuhnya dikeluarkan menggunakan laser,” katanya.

Cosnette juga berpendapat, kepelbagaian kehidupan makhluk asing mungkin sudah cukup untuk mereka mewujudkan pelbagai jenis personaliti.

“Dalam kajian setakat ini, saya menyiasat lebih 60 spesis makhluk asing berbeza. Ia cuma sedikit dan sukar dibayangkan kebanyakannya lebih sukakan permusuhan di bumi,” katanya.

Sejarawan di Universiti Temple, David M Jacobs, yang dikenali sebagai pakar UFO paling unggul di dunia turut bersetuju sepenuhnya dengan Hawking.

“Berhubung dengan makhluk asing tidak digalakkan dan perlu dielakkan sama sekali. Semua yang saya lihat sepanjang karier saya membuatkan saya berani merumuskan pertembungan manusia dengan makhluk asing boleh membawa bencana kepada kita semua,” katanya.

Jacobs berkata, penilaian negatif mengenai hubungan manusia dan makhluk asing berdasarkan penyelidikannya mengenai beratus-ratus kisah penculikan.

“Saya sebenarnya berterima kasih kerana Hawkings mengembalikan semula minat dan perhatian kepada subjek itu dan tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan pertembungan dengan makhluk asing selagi komuniti saintifik berasakan ia mengarut,” katanya.

'Roswell bukti kewujudan'

Berbicara mengenai kisah makhluk asing dan UFO, tidak sah rasanya tanpa mengaitkan kejadian di Roswell, New Mexico, pada Julai 1947. Kemalangan membabitkan sebuah UFO tetapi tidak ramai mengetahui maklumat terperinci mengenainya biarpun ia menjadi bukti kukuh kepada pemburu UFO untuk meyakinkan dunia makhluk asing memang wujud.

Dalam kejadian itu, W W Brazel, keluar awal untuk memeriksa ternakannya selepas semalaman dilanda ribut petir. Dia menemui banyak serpihan luar biasa berselerak di ladangnya. Brazel mengambil sebahagian serpihan itu, menunjukkan ia kepada rakan-rakan dan jirannya. Seterusnya dia menghubungi pegawai polis George Wilcox.

Mengesyaki serpihan yang ditemui Brazel mungkin mempunyai kaitan dengan operasi polis, Wilcox memberitahu pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tentera Roswell untuk mendapatkan bantuan.

Pada 8 Julai, akhbar Roswell Daily Record menyiarkan berita mengenai bangkai UFO yang ditemui di sebuah ladang di kawasan berkenaan. Apabila ditanya, Mejar Jesse Marcel, yang terbabit dalam penemuan itu memberitahu bangkai itu sudah dipindahkan dari New Mexico ke ibu pejabat.

Komander ke-59 Unit Bom, Kolonel William Blanchard, membuat kenyataan akhbar menyatakan bangkai UFO yang terhempas itu sudah ditemui. Sementara itu, Pusat Pengebumian Ballard mempunyai kontrak menyediakan ambulans dan khidmat pengebumian untuk tentera di Roswell. Glenn Dennis, yang bekerja dengan pusat itu, menerima beberapa panggilan telefon daripada pegawainya sejurus sebelum mengetahui berita penemuan bangkai pesawat.

Dennis ditanya mengenai keranda kecil dan cadangannya untuk mengawet mayat yang sudah terdedah selama beberapa hari. Semua itu menimbulkan tanda tanya kepada Dennis yang kemudian melawat hospital dan diiringi memasuki bangunan itu. Persoalan itu mendorongnya mengatur pertemuan dengan seorang jururawat yang ada ketika bedah siasat diadakan ke atas beberapa ‘mayat bukan manusia.’

Dennis turut menyimpan lakaran makhluk asing dilukis jururawat berkenaan di atas kain pengalas ketika pertemuan mereka. Pertemuan itu adalah yang terakhir bagi kedua-duanya dan Dennis untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai mayat makhluk asing itu manakala jururawat berkenaan dipindahkan segera ke England dalam masa beberapa hari.

Pada 9 Julai, Roswell Daily Record melaporkan bangkai pesawat itu ditemui di Ladang J B Foster. Beberapa hari berikutnya, semua bukti kemalangan itu dipindahkan segera atau tiba-tiba hilang dari muka bumi yang mencetuskan curiga bahawa ia rahsia kerajaan yang berusaha menyembunyikannya. Beberapa tahun selepas itu, buku, temubual dan artikel daripada beberapa kakitangan tentera, yang terbabit dalam insiden berkenaan, cuma menambah kecurigaan mengenai usaha kerajaan itu.

Pada tahun 1979, Jesse Marcel yang ditemubual mengenai peranannya dalam pencarian bangkai pesawat, berkata: “Bangkai (UFO) itu tidak terbakar. Ia diperbuat daripada bahan yang ringan, amat nipis dan tidak boleh bengkok. Kami cuba membengkokkan ia dengan penukul tetapi gagal.”

INFO: UFO dan makhluk asing

# Objek terbang yang tidak dikenali berlaku hampir di seluruh dunia. Saksi yang melihatnya mengenal pasti objek itu berupa piring terbang dan kapal angkasa dengan pelbagai reka bentuk, malah ada yang mendakwa terserempak dengan makhluk asing.

# Ada pihak berpendapat sebahagian besar kejadian UFO adalah satu imaginasi seperti diakui pakar Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) yang menghentikan penyelidikan pada 1993 kerana menganggap 90 peratus kejadian UFO tidak benar.

# Pada 2008, NASA memainkan lagu Beatles, ‘Across the Universe’ ke ruang angkasa lepas bagi menghantar mesej damai kepada mana-mana makhluk asing yang berada di wilayah Polaris, juga dikenali sebagai North Star.

# Amerika mendapati Pioneer 10 dan 11 yang dilancarkan pada 1972 dan 1973 membawa plak seorang lelaki berbogel dan wanita serta simbol mengenai kedudukan bumi dan matahari.

- BERITA MINGGU

Penggunaan e-filing naik 18.8 peratus

Sejumlah 1.5 juta Borang Penyata Cukai Pendapatan 2009 menggunakan sistem e-Filing dikembalikan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat tarikh akhir penerimaan kelmarin, berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 1.2 juta yang menyaksikan peningkatan sebanyak 18.8 peratus.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Masrun Maslim, berkata peningkatan itu membuktikan sudah wujud kesedaran di kalangan pembayar cukai di negara ini untuk mengguna pakai sistem e-Filing kerana ia lebih mudah dan cepat berbanding menggunakan cara lama iaitu manual.

“Kebanyakan pembayar yang mempunyai lebihan cukai cenderung menggunakan sistem e-Filing kerana kiraan lebih tepat selain memudahkan mereka untuk menuntut lebihan berkenaan dalam tempoh masa singkat berbanding menghantar secara manual.

“Menerusi sistem lama, pembayar cukai perlu melalui sepuluh prosedur ditetapkan sebelum mendapat semula lebihan berkenaan iaitu dalam tempoh 90 hari waktu bekerja manakala menggunakan secara talian hanya mengambil 30 hari melalui tiga langkah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, maklum balas semua cawangan LHDN di seluruh negara mendapati kaunter yang disediakan untuk e-Filing lengang kerana kebanyakan pembayar cukai sudah memahami proses mengisi borang penyata cukai pendapatan dan lebih selesa melakukannya sendiri di rumah atau di pejabat.

“Orang ramai sudah boleh menerima sistem yang diguna pakai itu kerana ia lebih mudah dan cepat berbanding menggunakan cara manual. Malangnya masih ramai yang lambat mengembalikan borang cukai pendapatan sedangkan banyak publisiti sudah dibuat mengenai kemudahan e-Filing,” katanya.
“Bagi mereka yang tidak mengembalikan borang dalam tempoh yang ditetapkan, kita tiada cara lain selain mengenakan penalti kepada mereka bagi berlaku adil kepada pembayar cukai yang mengembalikan borang tepat pada masanya,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah borang yang dikembalikan secara manual, Masrun berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan jumlah sebenar dan ia hanya akan diumumkan dua minggu lagi.

- BERITA MINGGU

Ilmuan Islam: Al-Biruni pakar geologi pertama dedah rupa asal benua India

INDIA dengan pengertian benua kecil yang dikelilingi pergunungan Himalaya di sebelah utara dan Lautan Hindi di selatan tidak terlepas daripada pemerhatian ilmuwan Islam pada zaman keemasan kerajaan Islam abad ke-11 Masihi yakni 10 abad atau 1,000 tahun lalu. Dalam pengamatannya tanah Hind sekarang iaitu Pakistan, India dan Bangladesh awalnya adalah lautan.

“Jika anda melihat tanah India dan mengamati alamnya, sebenarnya daratan India pada awal adalah laut,” katanya. Ini dibuktikan dengan kerang dan fosil di wilayah negeri Hindustan yang menunjukkan kawasan itu adalah lautan yang kemudian meningkat menjadi daratan kering.

Pengamatan ini ditulis dalam Book of Coordinates oleh Abu Raihan Al-Biruni, ilmuwan antara 1017 Masihi dan 1030 Masihi ketika beliau berada di sana selama 13 tahun untuk menimba ilmu.

Beliau mengkaji mengenai selok-belok India sehingga melahirkan indologi (kajian mengenai India). Di negeri Hindustan itu, Al-Biruni mengumpulkan pelbagai bahan bagi penelitian monumental yang dilakukannya. Beliau mengorek dan menghimpun sejarah, kebiasaan, keyakinan atau kepercayaan di subbenua India.

Hasil kajiannya itu dibukukan yang kemudian disampaikan dalam pelbagai pertemuan ilmiah. Penjelajahan al-Biruni bersama Sultan Mahmoud al-Gezna pada masa itu juga menghasilkan pembukaan kawasan India di timur sebagai pusat baru dakwah Islam al-Biruni.

Beliau yang pertama memperkenalkan permainan catur cara India ke negara Islam. Al-Biruni menterjemahkan dua karya India ke dalam bahasa Arab iaitu Sankhya (asal-usul dan kualiti benda yang memiliki kewujudannya) dan Patanial (Yoga Sutra – berhubungan pembebasan jiwa.

Nama al-Biruni ialah Abu Raihan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni dilahirkan pada 362 Hijrah/973 Masihi di Khath iaitu ibu negara Khawarizm, Turkmenistan ( Kiva, Uzbekistan). Beliau meninggal dunia pada usia 75 tahun pada 439 Hijrah/1048 Masihi di Gazna, Afghanistan sekarang.
Al-Biruni ertinya asing kerana ia dinisbahkan kepada wilayah tempat tanah kelahirannya yakni Turkmenistan. Pada masa itu, wilayah ini dikhususkan menjadi pemukiman bagi orang asing.

Dilahirkan dalam keluarga taat beragama, al-Biruni membesar dalam lingkungan yang mencintai ilmu. Meskipun tidak banyak diketahui mengenai masa mudanya termasuk pendidikan formal, ilmuwan yang tawaduk ini amat menyintai ilmu serta gemar membaca dan menulis sejak remaja.

Tidak hairanlah apabila pada usia masih muda beliau sudah tersohor sebagai ahli ilmu antaranya astronomi, ahli fizik, ahli matematik, geologi dan sejarah.

Semua yang dilakukannya dilandaskan pada prinsip Islam serta meletakkan sains sebagai saranan menyingkap rahsia alam. Hasil kajian dan penelitiannya selalu bermuara pada pengakuan keberadaan al-Khaliq, Allah SWT.

Dalam A1-Jamahir fi Ma’rifah al-Jawahir mengenai perlombongan yang ditulis pada 1041 Masihi, al-Biruni menegaskan: “Penglihatan menghubungkan apa yang kita lihat dengan tanda kebijaksanaan Allah dalam ciptaan-Nya. Daripada penciptaan alam kita menyimpulkan kewujudan Allah.” Prinsip ini dipegang teguh dalam setiap penyelidikannya.

Beliau tetap bersifat kritis dan tidak menganggap mutlak metodologi dan hasil penelitiannya. Pandangan al-Biruni ini berbeza dengan saintis Barat moden yang melepaskan sains daripada agama dan berusaha menafikan keberadaan Allah sebagai pencipta.

Al-Biruni juga penulis dan pemikir produktif. Menurut sumber sahih, karya al-Biruni lebih daripada 200 buah, namun hanya 180 yang diketahui. Antara buku tersohornya ialah Al-Atsar al-Baqiyah li al-Qurun al-Khaliyah (Peninggalan Bangsa Kuno) yang ditulisnya pada 998 Masihi dan Tarikh al-Hind (Sejarah India) yang ditulis pada 1030 Masihi. Ia adalah huraian paling lengkap dan terbaik mengenai agama Hindu, sains dan adat istiadat India.

Berdasarkan penemuannya mengenai geologi India, al-Biruni menyatakan bumi berterusan mengembang dan memperkuatkan pandangan Islam yang menyatakan bumi tidak kekal. Al-Biruni menyatakan bumi juga memiliki usia dan ia berakhir dengan kehancuran gunung-ganang seperti gunung Eyjafjallajokull, di Iceland yang baru saja meletus.

Teori bumi tidak kekal yang dilontarkan al-Biruni itu berlawanan dengan keyakinan ilmuwan Yunani Kuno yang berpendapat bumi kekal.

Al-Biruni menyatakan bumi juga memiliki usia dan ia akan berakhir dengan bermulanya kehancuran gunung-ganang seperti gunung Eyjafjallajokull, di Iceland yang baru saja meletus.

- BERITA MINGGU

Detektif Conan mempengaruhi Farah


Ketika kecil, dia dikatakan lambat bercakap dan membaca berbanding kanak-kanak sebaya. Setiap patah perkataan yang diluahkan kurang jelas. Sekiranya inginkan sesuatu, Noor Farah Ezzaty menggunakan bahasa badan atau menunjukkan isyarat.

Namun mencapai usia 9 tahun, Farah semakin petah berbicara. Pertuturannya tidak lagi gagap dan dia boleh membaca mengikut suku kata.

Lebih membanggakan Farah mampu membina ayat standard mengikut nahu bahasa Melayu tanpa bantuan Foziah Abd. Hamid, 40, yang merupakan guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding, Hulu Langat.

Perubahan besar pada diri Farah adalah ketika umurnya memasuki 10 tahun. Anak kedua dari tiga beradik itu sudah boleh berdikari dan menghafal banyak perbendaharaan kata hasil bimbingan guru dan perbualan harian.

Namun ada rahsia lain di sebalik pencapaian Farah iaitu menonton siri kartun Conan di televisyen. Mungkin ia tidak masuk akal tetapi itu hakikatnya. Farah mengalami proses pembelajaran di situ. Watak Detektif Conan berjaya mengembangkan minda untuk mempelajari segala-galanya termasuk menguruskan dirinya sendiri.

''Saya terpengaruh dengan apa sahaja yang dilakukan Detektif Conan. Secara fizikalnya dia kecil tetapi cergas dan kaya dengan idea untuk penyelesaian masalah. Jalan ceritanya juga bukan sahaja mengarah kepada watak animasi dan khayalan tetapi ia mempunyai pengisian tersendiri.

''Sebab itu, saya meminta ibu membelikan komik sebab tidak puas sekadar menonton di televisyen. Saya boleh baca komik berulang-ulang tidak kira di mana tempat dan masa,'' katanya.

Dari situ timbul minat gadis berusia 19 tahun itu untuk mengumpul komik yang diterbitkan kira-kira tiga bulan sekali. Farah beruntung kerana ibunya sangat memahami kehendaknya. Oleh itu tidak hairanlah dia kini memiliki lebih 100 siri komik.

Itu tidak termasuk koleksi komik Jepun genre percintaan dan kisah kehidupan yang sering menemaninya sebelum beradu atau di hujung minggu. Kesemuanya memberi inspirasi dan pengubat tekanan secara tidak langsung.

Justeru, Farah tidak kisah ada kalangan rakan-rakannya menggelarkannya Puteri Conan. Penuntut Diploma Perbankan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jengka Pahang itu tidak marah sebaliknya berterima kasih kepada watak tersebut kerana mengubah hidup menjadi matang.

- MINGGUAN MALAYSIA

Permohonan pengajian ke Timur Tengah ditutup 15 Mei 2010

Pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan pengajian Islam di Mesir, Jordan dan Morocco perlu menghantar permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT berkata tarikh tutup permohonan bagi pengajian di Jordan ialah 15 Mei ini, Mesir (31 Mei) dan Morocco pada 15 Jun ini.

Dalam kenyataan di sini hari ini, KPT berkata borang permohonan bagi melanjutkan pengajian ke negara Timur Tengah itu boleh dimuat turun melalui laman web Jabatan Pengajian Tinggi di http://jpt.mohe.gov.my/menupelajar.php.

Permohonan ke negara Timur Tengah itu mula dibuka pada 11 Mac lalu bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma.

Bagi pengajian bidang perubatan, universiti yang terlibat di Mesir ialah Universiti Ain Shams, Universiti Alexandria, Universiti Cairo, Universiti Al-Azhar, Universiti Tanta dan Universiti Zaqaziq manakala di Jordan pula ialah Jordan University dan Jordan University of Science and Technology.

Bagi pengajian bidang pergigian di Mesir pula melibatkan Universiti Alexandria, Universiti Cairo, Universiti Ain Shams, Universiti Al-Azhar dan Universiti Tanta manakala di Jordan pula ialah Jordan University dan Jordan University of Science and Technology.

Pengajian Islam pula adalah di Universiti Al-Azhar di Mesir, Universiti Mu"tah, Universiti Al-Bayt, Universiti Yarmouk dan Jordan University di Jordan.

Manakala bidang pengajian sama ditawarkan di Universiti Al-Khadi Ayyad, Universiti El-Hassan Sani, Universiti Muhammad Abdillah, Universiti Muhammad Al-Awwal, Universiti Muhammad El-Khamis/Muhammad V dan Universiti Qurayiwiyen di Morocco.

- BERNAMA

Diet tapi masih gemuk

Seringkali mereka yang mengidap obesiti terpaksa berpura pura gembira dengan keadaan diri mereka. Adakalanya golongan itu cuba menunjukkan obesiti adalah jalan hidup pilihan mereka. Cepat-cepat mereka memberi alasan mengapa jadi begitu sambil di hati berazam untuk menjaga diet dan cuba kembali kurus. Namun azam dan diet sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak diikuti dengan usaha gigih dan kaedah yang betul untuk merealisasikan impian.

Tak kurang juga yang sudah enggan melakukan sebarang usaha untuk kurus. Antara alasan yang sering kedengaran:

Lepas bersalin badan naik dan susah nak turun.

# Badan memang tak boleh kurus sebab keturunan.

# Tiada masa untuk bersenam.

# Suami tidak kisah gemuk.

Kitaran menahan makan diikuti dengan patah azam dan gelojoh makan membawa kesan yang tidak baik kepada badan dari segi kesihatan.

Mengapa kitaran lapar dan kenyang berlaku?

Pada otak kita terdapat saraf pusat yang mengawal rasa lapar dan kenyang. Badan seseorang yang menahan lapar akan mengeluarkan hormon dan transmitter dari otak sebagai tindak balas terhadap pengurangan makan. Dengan kata lain otak kita seolah olah menuntut kembali kesedapan yang biasa diperolehi oleh tubuh kita. Ia mahukan jumlah kalori dan gula yang tinggi untuk berasa sedap dan selesa. Ini adalah sistem tubuh yang cuba menghalang lemak daripada digunakan.

Apabila perut tidak diberi makanan yang biasa diperolehi dalam tempoh tertentu, otak akan mengeluarkan signal bahawa ia lapar. Badan akan memberontak dan mengeluarkan enzim dan hormon tertentu. Ini menyebabkan berlakunya keinginan tidak terkawal atau craving terhadap sesuatu makanan. Keinginan tersebut bukan disebabkan oleh nafsu makan tetapi merupakan signal dari otak kita yang tidak mampu dikawal oleh kita sendiri.

Badannya memberontak dan mengeluarkan hormon dan enzim tertentu menyebabkan seseorang itu menjadi ghairah untuk makan. Ia ibarat seekor harimau ganas yang sukar untuk dikalahkan. Berperang dengan nafsu makan boleh menjadikan seseorang resah dan lemah.

Akhirnya dia mengikut kehendak nafsunya. Dia makan tanpa sedar bahawa makanan itu sudah berlebihan. Jadi pusingan berlapar yang diikuti dengan keghairahan untuk makan berterusan sehingga akhirnya menyebabkan seseorang tersepit dan tidak berdaya untuk keluar daripada belenggu obesiti.

Kurus demi kesihatan

Umum mengetahui adalah sangat perlu untuk mengekalkan berat badan yang sepatutnya bukan saja supaya agar kelihatan cantik tetapi juga demi kesihatan.

Kesihatan merupakan sebab yang terpenting agar seseorang memperolehi berat badan yang sesuai dengan ukuran rangka badan iaitu berat badan unggul.

Kebanyakan teknik yang ditawarkan oleh pusat pelangsingan memperlihatkan kejayaan sementara.

Banyak kajian telah membuktikan prinsip-prinsip bagi mengurang berat badan dan mengawal daripada berlakunya pertambahan berat badan bukan hanya dengan berdiet semata mata. Ia perlu mengikut kaedah saintifik dan bukanlah secara paksaan sehingga mendera tubuh badan anda.

Anda perlu menyayangi diri anda dan mendengar bisikan hati nurani anda. Jika anda memberi tubuh anda apa yang ia perlukan ia akan selesa dan anda akan merasa gembira melalui hari-hari berdiet dengan penuh nikmat. Saya akan mengupas persoalan ini sehingga ke hujungnya dan berharap anda mengikuti ruangan saya setiap minggu. Ini kerana setiap artikel akan mengetengahkan konsep penting yang bakal anda guna pakai untuk menguruskan badan.

Apakah BMR

BMR adalah Basal Metabolic Rate. Maksudnya penggunaan tenaga bagi tubuh semasa kita berehat. Tenaga tetap diguna meskipun kita berehat atau tidur kerana pergerakan jantung usus dan lain lain tetap mengguna tenaga. Namun BMR yang rendah membuatkan banyak tenaga dikumpul menjadi lemak.

Mereka yang mempunyai kadar BMR yang rendah perlu menyedari hakikat ini dan mengambil langkah-langkah meningkatkannya. Antara yang boleh dilakukan adalah dengan mengamalkan senaman, mengambil makanan beralkali tinggi dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan makanan yang mempunyai nilai glysemic rendah dan rendah kalori. Contoh-contohnya akan diterangkan pada minggu seterusnya.

Sila jawab soalan berikut. Jika jawapan anda YA maka anda mengalami masalah BMR yang rendah.

# Apabila diet berat tidak turun

# Berat naik mendadak apabila makan lebih

# Sukar senaman kerana berasa terlalu letih bila bersenam

# Gemarkan makanan berkarbohidrat dan manis

# Mudah lapar

# Makan sedikit tetapi cepat gemuk

# Tekak inginkan makanan yang manis

# Lapar pada waktu malam

Punca BMR rendah

# Tidak cukup senaman. Senaman yang dimaksudkan adalah senaman ringkas merenggangkan tubuh badan. Senaman meningkat metabolisma akan diterangkan dalam isu akan datang.

# Hypothyroid. Fenomena ini melanda hampir separuh penduduk dunia. Apabila hypothyroid menyerang, seseorang akan mengalami peningkatan berat badan, berasa malas, keletihan, berat badan tidak turun meskipun berdiet, setiap pergerakan menjadi lambat, rambut juga mudah berkelemumur dan fungus mula menyerang.

# Kekurangan insulin. Insulin merupakan hormon paling penting dalam penukaran gula kepada tenaga. Dalam kes ini lemak yang terhasil cenderung berkumpul pada perut dan belakang badan.

# Kesilapan memilih makanan dengan glycemic indeks tinggi menyebabkan kadar metabolisme menjadi rendah.

- MINGGUAN MALAYSIA

Kembalikan kekuatan

Oleh DR. MOHD RIDHUAN TEE

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang trend pengundian dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Dari awal-awal lagi saya sudah menjangkakan fenomena ini.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa BN kehilangan sokongan bukan Melayu. Trend ini bukanlah suatu yang baru atau pelik, tetapi telah berlaku sejak dahulu lagi. Bila Melayu bertanding di kawasan bukan Melayu, Melayu akan kalah. Manakala bila bukan Melayu bertanding di kawasan Melayu misalnya MCA dan Gerakan, bukan Melayu akan menang. Bila parti dominasi etnik bukan Melayu seperti MCA atau Gerakan bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu, parti ultra kiasu akan menang. Keadaan mungkin sedikit berubah pada Pilihan Raya Umum 2008. Kelihatan seolah-olah bukan Melayu mengundi Melayu dengan kemunculan parti sekutu ultra kiasu. Sebenar tidak, jika sekutu ultra kiasu yang memerintah seperti di Selangor, sebenarnya itulah kemenangan parti ultra kiasu.

Terus terang saya katakan dari segi keterbukaan, orang Melayu tidak ragu-ragu untuk mengundi bukan Melayu. Namun, belum tentu bukan Melayu sanggup mengundi Melayu. Siapakah yang lebih terbuka sebenarnya?

Melayu atau bukan Melayu? Saya tidak katakan semua bukan Melayu bersikap sedemikian. Dengan sebab itu, dalam apa jua aspek berkaitan dengan Melayu, kita gagal untuk memperkasakannya kerana kita tidak mempunyai rakan setia. Rakan kita kadangkala mengambil sikap menikam dari belakang.

Seolah-olah memperlihatkan UMNO diperalatkan untuk mencapai kepentingan tertentu atau mendapatkan lebih lagi apa yang telah dapat. Berterima kasihlah kepada Perdana Menteri kerana telah mengotakan janjinya dalam kempen pilihan raya di Hulu Selangor baru-baru ini. Saya yakin ada orang akan berkata, peruntukan tersebut diambil daripada cukai rakyat, apa yang hendak dihairankan. Saya yakin yang banyak bercakap itupun tidak pernah bayar cukai atau selalu mengelakkan diri daripada dikenakan membayar cukai.

MCA dan Gerakan menuduh Perkasa yang menjadi punca sokongan bukan Melayu beralih arah. Itulah jawapan simplistik barisan kepimpinan baru mereka yang begitu agresif berbanding dengan kepimpinan sebelumnya yang agak berhikmah. Justeru, tidak hairan barisan kepimpinan baru ini dipilih mereka walaupun mempunyai skandal yang sukar untuk diterima oleh norma masyarakat timur. Saya yakin kejayaan mereka mempunyai kaitan rapat dengan sikap ultra kiasu dan pakatan senyap dengan parti ultra kiasu. Pada saya, tidak perlulah kita menuduh orang atau menuding jari untuk menutup kelemahan sendiri. Muhasabah diri sahaja. Apakah kita benar-benar mempunyai semangat setiakawan atau kawan makan kawan?

Kawan sebangsa saya berkata MCA dan Gerakan sudah tidak relevan lagi kepada bukan Melayu kerana dikatakan terlalu mengikut telunjuk UMNO? UMNO dikatakan tidak lagi disukai oleh bukan Melayu? Apakah dakwaan itu benar? Kajian secara intensif perlu dibuat, bersekali dengan perubahan hidup bukan Melayu di bawah pemerintahan UMNO selama 52 tahun. Adakah hidup mereka bertambah baik atau sebaliknya. Lu fikirlah sendiri.

Sebenarnya politik bukan Melayu amat terancang rapi. Kita sahaja sebagai umat Islam yang terlalu akomodatif, kadangkala mudah dipergunakan dan bergaduh sesama sendiri seolah-olah tidak ada lagi hubungan persaudaraan dan keagamaan. Semua orang tahu dan orang bukan Melayu pun lagi tahu, bahawa bandar-bandar tetap akan membangun walaupun siapa juga wakil rakyat sama ada parti yang memerintah kerajaan mahupun pembangkang. Itulah beruntungnya mereka yang berada di bandar, ruginya mereka yang berada di luar bandar. Maknanya, siapapun yang menang, mereka tidak akan rugi sedikitpun. Malah, mereka akan mendapat habuan dengan lebih banyak kerana dapat makan sana sini dan mendesak itu dan ini. Justeru, kesempatan ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya.

Renung balik

Kadang kala tidak boleh salah bukan Melayu juga. Cuba renung balik apa yang kita buat selama ini. Kita sebenarnya jarang bertegas. Kita asyik melayan, mementingkan kuasa dan menjaga jawatan. Kita takut kehilangan kedua-duanya ini, maka kita terus memberi muka. Misalnya, pada hari Selasa lalu saya menghadiri Perbincangan Meja Bulat Memartabatkan Bahasa Melayu 2010 anjuran Kementerian Pelajaran. Sebelum ini saya telah menghadiri berpuluh-puluh seminar dan wacana untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Saya berasa teramat pelik kenapa perbincangan ini perlu dibuat dalam sebuah negara Melayu, pemimpinnya Melayu, rajanya Melayu, bahasa kebangsaannya Melayu dan berbagai lagi Melayu didominasi oleh Melayu. Sepatutnya ia sudah terdaulat, terdarjat atau terangkat secara automatik di buminya sendiri, bukan bumi asing. Namun, tidak sedemikian yang berlaku. Orang Melayu dan bahasa Melayu seolah-olah merempat di bumi sendiri.

- MINGGUAN MALAYSIA

Sabtu, Mei 01, 2010

Kamus al-Quran pertama dalam Bahasa Melayu


Pelbagai usaha dilakukan sarjana Islam bagi mengupas, dan mengkaji segala kandungan yang wujud di dalam al-Quran. Ia bertujuan supaya manusia selalu di bawah naungannya dan mendapat hidayah yang menjamin kehidupan di dunia dan akhirat.

Antara usaha-usaha suci ini adalah melalui pentafsiran dan pentakwilan al-Quran. Ini kerana, tidak semua individu memahami dan mengetahui makna kitab suci itu.

Penerbitan Kamus al-Quran dalam bahasa Melayu adalah antara yang pertama dilakukan bagi memahami isi al-Quran.

Kamus al-Quran itu diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn. Bhd. dan mendapat sambutan ramai.

"Kami melakukan kajian selama tiga tahun untuk menyempurnakan kamus ini. Kami berjaya menggabungkan pelbagai tafsir al-Quran untuk mendapatkan makna paling tepat bagi setiap perkataan.

"Kedudukan dan jumlah perkataan dalam al-Quran juga dianalisis dengan teliti hingga membolehkan pembaca yang buta bahasa Arab memahami perbezaan ataupun persamaan pada lafaz dan ayat yang berbeza," ujar ketua panel penerbitan kamus itu, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dibantu 18 ahli panel dan penyelidik.

Memandangkan ia disusun berdasarkan entri mengikut abjad, pembaca boleh menentukan entri yang ingin dikaji tanpa perlu terikat pada turutan surah atau ayat.

Pembaca hanya perlu mencari perkataan berdasarkan ejaan dalam bahasa arab.

Sebagai contoh untuk mencari makna adiyat pembaca perlu mencari di huruf ('ain) bukan (alif). Ini kerana indeks kamus ini mengikut huruf arab.

"Kamus al-Quran ini bukan sekadar kamus untuk menterjemah dan menerangkan maksud perkataan penting dalam al-Quran, ia sebenarnya adalah tafsir kepada perkataan itu.

"Dalam erti kata lain, ia adalah tafsir perkataan dalam al-Quran atau disebut tafsir al-Quran bertema iaitu berasaskan perkataan," kata Pengurus Penerbitan PTS Islamika Sdn. Bhd., Faris Hasbullah.

Kamus ini disyorkan untuk menambah perbendaharaan kata dan seterusnya memahami perkataan dalam al-Quran.

Juga sesuai untuk aktiviti berkumpulan bagi memahami dan mengkaji setiap perkataan dan berkongsi untuk pemahaman semua.

Lebih menarik, Kamus al-Quran ini juga boleh menjadi rujukan bagi ibu bapa untuk mencari nama kepada anak mereka.

Al-Quran adalah kalam Allah yang penuh dengan 1,001 mukjizat yang tidak dapat ditandingi. Ia adalah sumber ilmu pertama dan utama bagi umat manusia.

Kitab itu mencakupi segala apa yang diinginkan, menjelaskan segala yang samar, menyentuh semua aspek kehidupan, lengkap dan tiada satu perkara pun tertinggal daripada huraiannya.

Allah menegaskan: Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam kitab (al-Quran) ini. (al-An'am: 38)

Tidak keterlaluan jika dikatakan, Kamus al-Quran ini membuka lembaran baru kepada umat Islam di Malaysia untuk memahami kalam Allah itu dengan lebih berkesan.

Belian secara langsung boleh dibuat di www.bookcafe.com.my

Recent Posts