Penggunaan e-filing naik 18.8 peratus

Sejumlah 1.5 juta Borang Penyata Cukai Pendapatan 2009 menggunakan sistem e-Filing dikembalikan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat tarikh akhir penerimaan kelmarin, berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 1.2 juta yang menyaksikan peningkatan sebanyak 18.8 peratus.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Masrun Maslim, berkata peningkatan itu membuktikan sudah wujud kesedaran di kalangan pembayar cukai di negara ini untuk mengguna pakai sistem e-Filing kerana ia lebih mudah dan cepat berbanding menggunakan cara lama iaitu manual.

“Kebanyakan pembayar yang mempunyai lebihan cukai cenderung menggunakan sistem e-Filing kerana kiraan lebih tepat selain memudahkan mereka untuk menuntut lebihan berkenaan dalam tempoh masa singkat berbanding menghantar secara manual.

“Menerusi sistem lama, pembayar cukai perlu melalui sepuluh prosedur ditetapkan sebelum mendapat semula lebihan berkenaan iaitu dalam tempoh 90 hari waktu bekerja manakala menggunakan secara talian hanya mengambil 30 hari melalui tiga langkah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, maklum balas semua cawangan LHDN di seluruh negara mendapati kaunter yang disediakan untuk e-Filing lengang kerana kebanyakan pembayar cukai sudah memahami proses mengisi borang penyata cukai pendapatan dan lebih selesa melakukannya sendiri di rumah atau di pejabat.

“Orang ramai sudah boleh menerima sistem yang diguna pakai itu kerana ia lebih mudah dan cepat berbanding menggunakan cara manual. Malangnya masih ramai yang lambat mengembalikan borang cukai pendapatan sedangkan banyak publisiti sudah dibuat mengenai kemudahan e-Filing,” katanya.
“Bagi mereka yang tidak mengembalikan borang dalam tempoh yang ditetapkan, kita tiada cara lain selain mengenakan penalti kepada mereka bagi berlaku adil kepada pembayar cukai yang mengembalikan borang tepat pada masanya,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah borang yang dikembalikan secara manual, Masrun berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan jumlah sebenar dan ia hanya akan diumumkan dua minggu lagi.

- BERITA MINGGU Penggunaan e-filing naik 18.8 peratus

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.