Selasa, Mac 30, 2010

Jawatan Kosong di Jabatan Perangkaan Malaysia - Mac 2010

Permohonan adalah dipelawa kepada semua Warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan berikut:

JAWATAN : PEMBANCI
TARAF JAWATAN : SAMBILAN
KUMPULAN : PERKHIDMATAN SOKONGAN
GAJI : GAJI HARI/RM 35.73 SEHARI
ELAUN KHIDMAT AWAM : RM 5.00 SEHARI
ELAUN SARA HIDUP : RM13.04 SEHARI

TEMPOH PERKHIDMATAN :
28 Jun 2010 – 22 Ogos 2010 (8 minggu)

JAWATAN : PENYELIA
TARAF JAWATAN : SAMBILAN
KUMPULAN : PERKHIDMATAN SOKONGAN
GAJI : GAJI HARI/RM 52.37 SEHARI
ELAUN KHIDMAT AWAM : RM 6.96 SEHARI
ELAUN SARA HIDUP : RM13.04 SEHARI

TEMPOH PERKHIDMATAN :
14 Jun 2010 – 10 September 2010 (17 minggu)

IKLAN JAWATAN:
http://static.jobsmalaysia.gov.my/html/jcs-resources/jawkosong_perangkaan.pdf

CARA MEMOHON:
http://static.jobsmalaysia.gov.my/html/jcs-resources/caramohon_perangkaan.pdf

Permohonan hendaklah dibuat secara online di: http://www.jobsmalaysia.gov.my

TARIKH TUTUP : 30 APRIL 2010

Jawatan Kosong Kerajaan Negeri Perak - Mac 2010

Permohonan adalah dipelawa dari Rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan untuk memohon jawatan-jawatan berikut:

JAWATAN:
1. PEMBANTU PEMBANGUNAN MASYARAKAT (Gred S17)
2. PELUKIS PELAN (Gred J17)
3. PEMBANTU TADBIR (PENYELENGGARA STOR) (Gred N17)
4. PEMBANTU TADBIR (P/O) (Gred N17)
5. PEMBANTU TADBIR (KEW) (Gred W17)
6. PEMBANTU VETERINAR (Gred G17)
7. PEKERJA AWAM (Gred R1)

IKLAN JAWATAN:
http://spa.perak.gov.my/images/iklan.pdf

CARA MEMOHON:
http://spa.perak.gov.my/images/manual.pdf

Permohonan adalah secara ONLINE layari http://spaperak.gov.my/spaonline

TARIKH TUTUP : 9 APRIL 2010

Jawatan Kosong di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Mac 2010

Kami memerlukan Warganegara Malaysia yang berkelayakan, komited dan berdedikasi untuk berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia bagi jawatan-jawatan seperti berikut:

JAWATAN:
- PEGAWAI BELIA & SUKAN S41

Permohonan hendaklah dibuat secara online di: http://www.ukm.my/ejob

TARIKH TUTUP : 8 APRIL 2010

MyTuition, inovasi basmi kemiskinan


Tidak semua individu bernasib baik dilahirkan dalam keluarga yang senang dan berkemampuan. Bagi yang berhadapan dengan masalah kemiskinan, situasi itu mungkin membataskan mereka untuk memperolehi keperluan hidup yang sempurna.

Antara kekurangan yang sering dihadapi adalah dari segi keperluan utama seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian.

Berpendapatan rendah dan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan juga pastinya akan memberi kesan terhadap keperluan pendidikan di kalangan anak-anak mereka.

Dalam usaha menyokong golongan ini memperbaiki taraf hidup mereka, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan secara lebih produktif.

Banyak infrastruktur moden telah dibangunkan demi kemudahan rakyat selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan.

Tidak terhenti setakat itu, kerajaan turut memberi fokus kepada perkembangan keperluan pendidikan kerana yakin ia merupakan komponen penting dalam melestarikan model insan untuk generasi akan datang.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, pendekatan membasmi kemiskinan melalui inovasi pendidikan telah diperkenalkan menerusi perkhidmatan yang dikenali sebagai MyTuition.

Dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Ogos tahun lalu, ia merupakan pusat pembelajaran disediakan khusus untuk golongan pelajar yang kurang berkemampuan.

Apa yang menarik, pelaksanaan MyTuition memberi fokus kepada penilaian kendiri para pelajar menggunakan pendekatan teknologi maklumat, multimedia interaktif dan Internet secara percuma.

Projek MyTuition telah dilaksanakan di bawah inisiatif Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama sebuah syarikat teknologi tempatan, Digital Technologies Sdn. Bhd. (DTech) dan mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran.

Menurut Pensyarah Fakulti Informasi Sains dan Teknologi, Prof. Datuk Dr. Halimah Badioze Zaman, projek berkenaan menyasarkan golongan pelajar di kawasan kemiskinan bandar di bandar-bandar bagi memenuhi keperluan pendidikan mereka.

"Peranan yang dimainkan oleh universiti ini diharap dapat membantu dan memenuhi keperluan pendidikan di kalangan masyarakat kurang berkemampuan.

"MyTuition hadir tepat pada masanya dengan objektif menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajar yang lemah, memperkukuhkan pelajar pintar serta membantu mereka yang mempunyai pencapaian rendah.

"Selain kos yang murah, pendekatan aplikasi teknologi yang diketengahkan juga dilihat mampu merapatkan jurang digital inovasi di kalangan mereka,'' katanya ketika ditemui di Pusat MyTuition di Taman Bukit Antarabangsa, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pusat tersebut memberi fokus kepada pembelajaran mata pelajaran Matematik, Sains, bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia bermula daripada tahun satu sehingga tingkatan lima mengikut modul kurikulum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Kemudahan

Melihat kepada perkhidmatan MyTution di Kampung Kerinchi itu, bangunan yang asalnya merupakan pusat komuniti setempat telah diubah suai menjadi kelas pendidikan dengan suasana kondusif dan menarik.

Ia mempunyai ruang pembelajaran yang luas, bilik perbincangan dan bilik tutorial lengkap dengan penyaman udara untuk keselesaan para pelajar.

Dari segi kemudahan infrastruktur pula, pusat tersebut dilengkapi 50 buah komputer yang disokong perisian pendidikan CMA Mental Arithmertic bagi kemudahan pelayaran portal pembelajaran secara dalam talian serta pemantauan pencapaian para pelajar.

Untuk kelengkapan lain, MyTuition turut mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat korporat seperti komputer peribadi daripada Lenovo, dua buah pelayan daripada IBM serta kelengkapan lain daripada DTech.

Seramai tiga orang guru pendidik disediakan di pusat berkenaan untuk membantu para pelajar menjalankan aktiviti berkaitan subjek sains dengan integrasi bersama keunikan bidang seni.

Setakat ini, pusat itu menerima sambutan cukup menggalakkan daripada penduduk-penduduk kawasan perumahan rakyat di sekitar Kampung Kerichi, Pantai Dalam dan juga Abdullah Hukum.

Seramai lebih 1,000 pelajar telah mendaftar dan memperoleh nama pengguna serta kata laluan masing-masing untuk kemudahan mengakses MyTuition.

"Kebanyakan mereka mengunjungi pusat ini selepas waktu sekolah. Ia merupakan satu perkembangan yang baik kerana daripada melepak melakukan perkara tidak berfaedah, lebih baik mereka menghabiskan masa terluang mengulangkaji pelajaran di sini.

"Ibu bapa juga tidak perlu bimbang kerana pusat ini menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat untuk anak-anak mereka belajar.

"Kanak-kanak yang tidak bersekolah akibat kemiskinan jua datang dengan inisiatif sendiri untuk belajar di sini dan lebih membanggakan mereka berjaya menunjukkan prestasi dan pencapaian cukup cemerlang,'' jelasnya.

Selain itu, tinjauan yang dilakukan juga mendapati para pelajar yang sering mengunjungi MyTuition telah memperolehi peningkatan dalam keputusan peperiksaan di sekolah mereka.

Bagi menawarkan lebih keseronokan dalam pembelajaran matematik di kalangan pelajar sekolah menengah, pusat tersebut turut mengaplikasi perisian pembelajaran interaktif dikenali sebagai ME2 yang dibangunkan sendiri oleh pihak UKM.

Kelas-kelas MyTuition dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan jadual waktu yang telah ditentukan mengikut peringkat pendidikan sekolah rendah dan juga menengah.

Aktiviti

Selain mengulangkaji pelajaran secara sendiri, Mytuition turut mewujudkan pelbagai aktiviti yang menyeluruh untuk para pelajar.

Ia merangkumi kelas pembelajaran untuk penguasaan sesebuah subjek, kelas tambahan untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) serta mewujudkan bank soalan berdasarkan kertas peperiksaan tahun-tahun terdahulu.

Di samping itu, terdapat juga aktiviti tambahan yang diadakan ketika musim cuti sekolah iaitu lawatan ke tempat-tempat ilmu seperti Pusat Sains Negara dan Muzium Negara.

Dalam usaha memperbanyakkan aktiviti, UKM sedang dalam strategi merangka lebih banyak program pembangunan kepada ibu bapa serta para pelajar sendiri.

Antaranya adalah seperti menganjurkan bengkel kaunseling, program mentor mentee selain menyediakan aktiviti motivasi kepada ibu bapa untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan dan keperluan pendidikan di kalangan anak-anak mereka.

"UKM juga berharap agar lebih ramai sukarelawan dapat tampil membantu kami menjayakan projek MyTuition ini," katanya.

Melihat manfaat pusat tersebut dari sudut lain pula, ia secara tidak langsung dapat membantu para pelajar membangunkan kemahiran berkomunikasi, bersosial dan juga kepimpinan.

Pusat MyTuition dijangka diperluas ke kawasan-kawasan terpilih di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Dengan kewujudan pusat ini, adalah diharapkan para penduduk di kawasan kemiskinan urban dapat melihat ia sebagai peluang untuk mengubah cara hidup generasi akan datang ke satu peringkat yang lebih baik.

- UTUSAN

Isnin, Mac 29, 2010

Dana RM60j lahir usahawan siswazah, PUNB bantu graduan mulakan perniagaan

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan RM60 juta bagi membantu melahirkan usahawan baru daripada kalangan siswazah, termasuk menyediakan bantuan kewangan kepada golongan terbabit untuk memulakan perniagaan.

Ketua Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata daripada jumlah itu, RM50 juta adalah peruntukan disediakan kerajaan menerusi pakej rangsangan kedua bagi melatih 2,000 siswazah di bawah Program Siswazah Perantis, manakala RM10 juta lagi untuk Skim Prosper Siswazah.

Katanya, satu daripada tumpuan PUNB tahun ini adalah menggiatkan usaha untuk melahirkan usahawan baru daripada kalangan lepasan ijazah menerusi insentif dana tambahan RM50 juta yang disediakan kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi.

Beliau berkata, dalam tempoh lapan bulan dari Mei hingga akhir tahun lalu, seramai 1,059 usahawan baru sudah dilatih dan program berkenaan akan diteruskan tahun ini.

“Selain menambah bilangan perantis yang akan diberi latihan, kami juga anggarkan kira-kira 20 peratus atau 400 perantis yang sudah mengikuti latihan akan memulakan perniagaan sendiri menerusi sokongan PUNB bersama rakan niaga kami,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program Siswazah Perantis PUNB adalah program latihan sangkut yang dimulakan Mei 2009, bertujuan menggalakkan penyertaan siswazah dalam bidang peruncitan dan pengedaran, pada masa sama mengurangkan pengangguran.

Menerusi program itu, perantis ditempatkan di syarikat di bawah seliaan dan usahawan PUNB bagi menjalani latihan keusahawanan.

“Apabila tamat latihan, kami berharap perantis terbabit menceburi bidang perniagaan dan mendapatkan pembiayaan di bawah skim Prosper Siswazah yang diperkenalkan sejak 2005,” kata Mohd Nasir.

Jadual latihan boleh dirujuk menerusi laman web www.punb.com.my

Langkah pemeriksaan kenderaan sebelum perbaharui cukai wajar

Tiga juta bukan angka kecil. Angka itu mewakili 25 peratus keseluruhan jumlah kenderaan persendirian yang masih aktif dipandu sekali gus menunjukkan betapa banyaknya kenderaan yang melebihi usia 15 tahun masih digunakan di jalan raya negara ini.

Buktinya, statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyebut 12.8 juta kenderaan aktif (memperbaharui cukai jalan setiap tahun) digunakan di jalan raya. Daripada jumlah itu, 3.2 juta kenderaan layak digelar ‘kuda tua’. Memang, 15 tahun bukan satu gambaran sebenar mendefinisikan sesebuah kenderaan sebagai tua tetapi merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, kereta yang dibuat sebelum 1995 menggunakan teknologi lama dan dianggap kurang selamat.

Kurang selamat itu pula merujuk kepada kemampuan kenderaan menghadapi situasi kemalangan atau sejauh mana impak akibat sesuatu kemalangan. Pelbagai aspek disentuh termasuk sistem brek yang tidak berupaya memberhentikan kenderaan tepat masanya dan tiada sistem beg udara yang ada dalam semua kereta keluaran terkini. Kenderaan lama juga dikatakan tidak mampu menyerap hentakan ketika kemalangan, sekali gus boleh menyebabkan pemandu atau penumpang terpelanting jauh - lantas menyebabkan risiko kematian lebih tinggi.

Memang benar, bukan semua kereta baru itu elok jika tidak diselenggara dengan sempurna. Namun sekurang-kurangnya ia masih mempunyai sistem keselamatan yang berupaya melindungi pemandu atau penumpang daripada sebarang kemungkinan yang boleh berlaku tanpa diduga.

Justeru, menjadi kemestian dan tiada kompromi dalam menangani isu ini iaitu langkah segera perlu diambil dengan mewujudkan peraturan pemeriksaan kenderaan sebelum cukai jalan boleh diperbaharui terutama membabitkan kenderaan lama. Sekurang-kurangnya, ia disahkan selamat sebelum dibenarkan bergerak di jalan raya.
Lalu, apabila cadangan ini dibangkitkan, sudah ada sebelum ini rungutan mengaitkan kenderaan lama kebanyakan bertumpu di luar bandar. Ini diakui Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, yang mengatakan agak sukar melaksanakannya kerana banyak kenderaan lama digunakan ‘orang kampung’ dan ‘orang Felda’.

Namun, jika merujuk kepada statistik JPJ, lebih 600,000 daripada tiga juta kenderaan lama yang aktif digunakan berada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang (346,000), Johor (381,000) dan Selangor (431,000) sekali gus menunjukkan banyak kereta lama sebenarnya berada di bandar besar.

Justeru, tidakkah ia sebenarnya lebih menimbulkan permasalahan jika tidak diselenggara kerana kesan yang dibawa kenderaan lama di bandar lebih tinggi terutama jika secara tiba-tiba rosak di tengah jalan utama, contoh Jalan Loke Yew, apatah lagi ketika hari hujan.

Penduduk di Kuala Lumpur tidak sanggup lagi berdepan kesesakan jalan raya. Biasanya kesesakan bertambah teruk jika ada kenderaan tersadai di tengah atau tepi jalan. Memang kenderaan baru juga boleh rosak tetapi bukankah risikonya lebih kepada kenderaan lama?

Malah, lebih mengejutkan apabila statistik itu juga menunjukkan ada 150,000 kenderaan berusia lebih 25 tahun (keluaran sebelum 1985) masih dipandu secara aktif di Kuala Lumpur. Isunya, adakah ia cukup sempurna dan diselenggara sebaiknya kerana sering kali juga pemandu di Kuala Lumpur terserempak dengan kereta yang hanya layak dihantar ke kedai besi buruk memecut laju di Lebuh Raya Persekutuan.

Merujuk kepada statistik Miros pula mengenai kemalangan kenderaan pada 2008, didapati ada 46 kemalangan membabitkan kenderaan buatan 1970 yang mengakibatkan tiga kematian manakala keseluruhan kemalangan membabitkan kenderaan melebihi usia 15 tahun pula adalah sebanyak 18,045 (879 kematian).

Peratusan itu mungkin kecil berbanding 192,000 kemalangan keseluruhan tahun itu tetapi menurut Ahmad Farhan, hasil kajian Miros, impak dan kesan kemalangan membabitkan kenderaan lama itu lebih tinggi serta berisiko menyebabkan kematian.
Kenderaan di Malaysia juga terus bertambah saban hari. Setakat ini lebih 19 juta kenderaan didaftarkan meskipun hanya 12.8 juta aktif di jalan raya. Berdasarkan statistik, lebih 80,000 kenderaan baru didaftarkan setiap bulan atau purata lebih 2,600 sehari.

Pertambahan kenderaan di jalan raya juga menuntut sistem aliran trafik yang lancar terutama di Kuala Lumpur yang mempunyai pertambahan kenderaan melebihi suku juta setiap tahun. Lambakan kenderaan lama yang tidak diselenggara akan menambah sengsara pengguna lain.

Justeru, suka atau tidak, semua pihak perlu akur, perlunya kaedah atau mekanisme khusus diwujudkan untuk memastikan semua kenderaan di jalan raya selamat dan mampu digunakan dengan sempurna. Cadangan JPJ untuk memeriksa kenderaan melebihi tempoh tertentu tiap kali mahu memperbaharui cukai jalan perlu dipandang sebagai satu cadangan terbaik menangani isu ini.

Namun, sekali lagi ia berbalik kepada kemampuan dan kesediaan kerajaan menyediakan kemudahan secukupnya untuk membolehkan orang ramai menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa. Tidak salah rasanya jika membuka ruang kepada bengkel terpilih menjalankan peranan itu dengan tidak sekadar memberi monopoli sepenuhnya kepada Puspakom yang hanya ada di beberapa lokasi saja di seluruh negara.

Seperti kata Fomca dan Miros, jangan ada kompromi dalam soal keselamatan. Laksana tetap kena laksana, cuma apa yang kurang perlu ditambah baik. Jangan kerap sangat batal itu dan ini lantaran desakan orang ramai meskipun sudahnya jalan raya negara menjadi lapangan besi buruk bergerak.

- BERITA HARIAN

Pendidikan agama atasi gejala sosial

Pendidikan agama dan kekeluargaan merupakan elemen terpenting dalam menangani gejala sosial yang semakin membimbangkan, termasuk meningkatnya kejadian mengandung anak luar nikah serta membuang bayi.

Penasihat Islamic Relief Malaysia (IRM), Mejar Jeneral (B) Datuk Megat Mohd. Yusof Megat Mahmud berkata, pelaksanaan kempen Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Karyawan serta Astro perlu memberi perhatian kepada isu tersebut.

Beliau berkata, dua elemen penting dalam masyarakat iaitu pendidikan agama dan kekeluargaan merupakan perkara yang sangat penting.

“Dua elemen tersebut jika dilaksanakan berupaya memberi kesedaran kepada masyarakat. Saya harap melalui kempen ini masyarakat lebih terarah untuk sama-sama melibatkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Megat Mohd. Yusof, sebagai sebuah NGO yang sentiasa terlibat dengan program amal dan kemasyarakatan, pihaknya sentiasa memberi sokongan padu kepada Utusan Malaysia dalam menjayakan kempen tersebut.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC), Raja Ratinam berkata, kebanyakan gejala sosial di kalangan generasi muda berlaku disebabkan kurangnya komunikasi dalam institusi kekeluargaan.

Menurutnya, kempen Kami Prihatin boleh dijadikan landasan untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya institusi keluarga diperkukuhkan.

“Golongan belia mudah terpengaruh dengan masalah sosial yang menyumbang kepada gejala seks bebas dan sebagainya jika tiada komunikasi antara mereka dengan golongan tua.

“Komunikasi memainkan peranan penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan dan masyarakat kerana tanpanya golongan muda seolah-olah hilang panduan dan mudah terdorong untuk melakukan gejala negatif,” katanya.

Menurutnya, MIYC akan memberi sokongan dan membantu menjayakan kempen itu menerusi program Lingkaran Prihatin Komuniti.

“Program ini telah empat tahun MIYC laksanakan dan ia berkonsepkan anak angkat.

“Tumpuan utama program ini adalah golongan belia dan tujuan program ini adalah supaya golongan ini sentiasa mempamerkan nilai-nilai baik,” katanya.

- UTUSAN

Tinjauan Blog - Calon di Hulu Selangor dan Haron Din

Kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor ekoran kematian wakilnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad mendapat banyak maklum balas daripada penulis blog terutama berhubung calon yang akan ditandingi pada pilihan raya kecil itu nanti, baik penulis prokerajaan mahupun pembangkang.

Tidak kurang hebat adalah kemelut dalam Pas berhubung kedudukan Haron Din yang masih kekal dalam Ahli Majlis Syura sehingga tidak disenangi kalangan penulis pro-Pas.

Dr. Novandri Hassan Basri dalam Minda Intelek Melayu (novandri.blogspot.com) berkata, pilihan raya kecil Hulu Selangor akan menjadi kayu pengukur sebenar Samy Vellu dan MIC setelah dimalukan pada pilihan raya umum lalu.

Tulis beliau, Samy boleh menjadikan Hulu Selangor sebagai gelanggang bagi menebus maruah beliau yang sudah tercalar teruk.

"Selain meletakkan jawatan, Samy sudah tiada cara lain untuk menaikkan imej beliau dan MIC dalam masa terdekat ini kecuali beliau sendiri menjadi calon BN (Barisan Nasional), mengetuai jentera pilihan raya MIC di Hulu Selangor dan menang pilihan raya tersebut!

"Apakah Samy berani dan cukup jantan untuk menyahut cabaran ini?" tulis beliau.

Nada serupa disuarakan oleh Norizan Shariff dalam Bicara Nobisha (nobisha.com) yang berkata, Samy hanya menginginkan Datuk G. Palanivel menjadi calon di Hulu Selangor.

Sedangkan, katanya, BN mahu mengekalkan momentum kemenangan di Bagan Pinang ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu membuktikan penghijrahan ramai wakil rakyat mereka menjadi Bebas tidak memberi kesan kepada parti.

"Memang dari segi pengagihan, kerusi ini milik MIC. Saya difahamkan itulah persefahaman dalam BN. Namun, saya fikir adalah agak kurang matang untuk Samy mengumumkan nama calon yang akan dicadangkan oleh parti itu melalui media.

"Inilah politik lebih sudu dari mangkuk dalam MIC yang menyebabkan rakyat menolak parti itu," katanya.

Norizan berkata, BN harus keluar dari pemikiran lama yang mengekalkan agihan kerusi seperti sebelumnya dan perlu mengambil pendekatan pemasaran politik berdasarkan kehendak pasaran.

"Sekiranya Samy bersungguh-sungguh ingin tunjuk hebat di Hulu Selangor, apa kata dia sendiri bertanding di situ? Lagipun, 'Singa Vellu' telah kecundang di Sungai Siput!," katanya.

Hambali Abd. Latiff dalam Rakyat Malaysia (hambali1.blogspot.com) pula berkata, melihat kedudukan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Hulu Selangor yang kesemuanya dimenangi oleh BN pada pilihan raya umum lalu, adalah wajar UMNO meletakkan calonnya kali ini.

"Palanivel pernah menang empat penggal. Kenapa untuk menjadi wakil rakyat penggal kelima beliau ditolak? Apa sentimen rakyat di Hulu Selangor?," katanya.

Sementara itu, penulis Tulang Besi dalam Malaysia Waves (www.malaysiawaves.com) begitu hairan apabila Datuk Haron Din yang telah didapati melanggar keputusan rasmi Pas berhubung isu 'kalimah Allah' masih dikekalkan sebagai Ahli Majlis Syura.

Katanya, Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang yang patuh dengan keputusan parti serta tidak pernah melanggar disiplin parti, sebaliknya telah dipecat daripada menganggotai majlis tersebut.

"Ini bermakna, keputusan parti tidak penting untuk ahli Pas mengikutinya. Sesiapa sahaja boleh melanggarnya kerana tetap akan diberikan jawatan.

"Sesiapa yang mengikut dan menjadi penyokong 'Geng Perpaduang' (kumpulan perpaduan) akan terlepas dari apa-apa tindakan disiplin," katanya.

Penulis ini berkata, Presiden Pas jelas tiada maruah apabila keputusan parti yang dibuat atas nama beliau sendiri telah tidak dihormati oleh Harun manakala penggantungan Khalid Samad adalah salah satu tindakan membersihkan mereka yang menentang agenda perpaduan dalam Pas.

"Kalau TGNA (Nik Abdul Aziz Nik Mat) tidak dilantik sebagai Mursyidul Am, usaha membawa Pas kepada UMNO akan lebih rancak lagi selepas ini," katanya.

- UTUSAN

PANDUAN, CONTOH SOALAN & TIPS UJIAN PTD & PEPERIKSAAN SPA GRED 41

Anda pernah GAGAL Ujian SPA?

Anda tak tahu BAGAIMANA nak LULUS?

Anda KECEWA dengan keputusan Tahun Lepas?

Saya ada berita baik untuk anda, anda
tak perlu GAGAL lagi!

Anda GAGAL kerana;
- anda tak tahu format soalan
- soalan-soalan begitu banyak dan anda tergamam
- anda tak cukup persediaan
- anda tak tahu bagaimana nak bersedia
- anda tak tahu apa yang perlu dibaca
- anda tak tahu di mana rujukan tepat
- anda tak pernah buat contoh soalan
- .. atau mungkin anda anggap yang ianya bukan
rezeki anda..

Sebenarnya, masalah UTAMA untuk
kebanyakan calon peperiksaan bertulis SPA ialah
tak ada satu rujukan khusus untuk membantu dan
menunjuk cara tentang bagaimana nak bersedia,
apa yang ditanya, bagaimana bentuk soalan,
apa seksyen dan penilaian sebenar atau secara
umumnya, calon tak tahu apa sebenarnya yang
bakal mereka lalui.

Secara umumnya, format peperiksaan tahun ini
merangkumi 2 bahagian;

==================
Bahagian 1
==================
Seksyen A;
Pengetahuan Am mengenai Malaysia dan Alam Sekeliling

Seksyen B:
Daya Menyelesaikan Masalah

Seksyen C:
Kefahaman Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

Seksyen D:
Esei Bahasa Melayu

Seksyen E:
Esei Bahasa Inggeris

==================
Bahagian 2
==================
Seksyen A: Ujiah Sahsiah
Merangkumi 200 soalan Ujian Sahsiah

Seksyen B: Minat
Merangkumi 227 soalan

Sebenarnya format ini adalah FORMAT LAMA untuk
Ujian Bertulis M41 PTD, tetapi hanya ada sikit
perubahan pada seksyen C dan tambahan Ujian
Sahsiah. Yang lain semuanya sama dan saranan
saya untuk anda ialah, cuba cari kawan
yang pernah menduduki peperiksaan PTD, dan
dapatkan pengalaman diaorang kerana format
dan soalan adalah hampir sama!

Tapi jika anda buat edikit rujukan di
internet mengenai Pegawai Tadbir Diplomatik,
anda mesti pernah terjumpa 'Team Tips PTD' yang
sememangnya banyak membantu ramai calon untuk
berjaya menjawat jawatan PTD. Baru-baru ini
mereka telah menyusun satu rujukan yang begitu
komprehensif khas untuk peperiksaan bertulis
Gred 41. Antara komponen yang ada dalam Pakej tersebut ialah;

===============================
Komponen 1: Diskripsi Prima
===============================
- Ianya adalah ebook utama 64 mukasurat

- Menerangkan secara terperinci setiap seksyen yang bakal ditanya

- Merangkumi analisis setiap seksyen hasil kajian kepada kertas-kertas peperiksaan yang lepas

- Mengandungi lebih 90 contoh soalan keseluruhannya merangkumi setiap seksyen

- Setiap seksyen dibahagikan kepada beberapa pecahan dengan huraian melebihi apa yang dikeluarkan untuk sebaran umum pihak SPA sendri. Jadi ianya lebih komprehensif!

- Mengandungi strategi bagaimana nak buat persediaan dan link-link rujukan utama turut disediakan

- banyak lagi untuk diceritakan disini!


====================================
Komponen 2: Soal Jawab Inkuiri PTD
====================================
- mengandungi soalan-soalan lazim yang ditanya oleh calon PTD

- himpunan soalan-soalan dan jawapan yang tepat untuk setiap soalan

- ianya adalah soalan yang pernah ditanya oleh 'senior' anda yang membaca blog tipsptd sebelum ini

- kebanyakan soalan yang ditanya adalah bertindih dan mereka simpulkan semuanya untuk anda, jadi anda tak perlu bertanya lagi dan meraba-raba mencari jawapan kepada soalan anda kerana semuanya pernah ditanya dahulu!

============================================
Komponen 3, 4, 5, 6:
Nota Esei (Isu Alam Sekitar, Isu Nasional, Isu Kesihatan, Isu Ekonomi)
============================================
- mengandungi pelbagai maklumat isu semasa yang dirangkum dalam 4 blok utama seperi yang disebut di atas

- anda tak perlu pening kepala lagi nak cari semua maklumat dengan menyelak akhbar, membaca majalah dan lain-lain

- semuanya telah dikumpulkan untuk memudahkan persediaan anda dan bayangkan berapa banyak masa yang boleh anda jimat

- NKRA, H1N1, KPI dan lain-lain, anda tahu semua ini? Ianya disusunkan untuk anda dalam susunan yang ringkas dan kemas!

dan banyak lagi.. Anda boleh lihat kandungan keseluruhan Pakej Rujukan tersebut di;

http://www.tipsptd.com/hop.php?ref=my

yang paling menarik ialah,format
nya sudah diselaraskan dengan 'Peperiksaan
Memasuki Perkhidmatan Awam 2010' yang merangkum
13 jawatan Perkhidmatan Awam.

http://www.tipsptd.com/hop.php?ref=my



p/s Untuk membeli di internet, anda harus kenal
siapa mereka dan 'Team Tips PTD' adalah rujukan
prima dan ber'authority' dalam rujukan PTD dan
anda tak harus ragu lagi untuk memilikinya!

http://www.tipsptd.com/hop.php?ref=my



Soi Lek presiden baru MCA



Bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memenangi jawatan Presiden parti dengan majoriti tipis 68 undi, mengetepikan bekas pemimpin nombor satu, Tan Sri Ong Ka Ting dan penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Keat dalam pemilihan parti di sini hari ini.

Soi Lek, 62, memperoleh 901 undi berbanding Ka Ting meraih 833 undi manakala Tee Keat di tempat tercorot dengan 578 undi.

Speaker, Datuk Yip Phooi Hong mengumumkan keputusan tersebut kira-kira pukul 6.45 petang yang disusuli sorakan bergema penyokong Soi Lek.

Dengan keputusan tersebut, Soi Lek mempunyai tugas berat dalam usaha menyatukan semula kepimpinan MCA selepas parti berkenaan melalui fasa krisis kepimpinan sejak dua tahun lalu.

Malah pemilihan Soi Lek itu turut memberi satu mesej jelas bahawa kepimpinannya diperlukan untuk mengembalikan semula kepercayaan ahli-ahli parti serta masyarakat Cina keseluruhannya kepada MCA.

Walaupun kemenangan Soi Lek sudah diduga tetapi agak memeranjatkan apabila jumlah undi yang diperoleh Tee Keat paling sedikit dan jurangnya agak jauh berbanding dua calon lain memandangkan beliau merupakan penyandang jawatan.

Semua yang terpilih hari ini akan memegang jawatan sehingga Oktober 2011.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menang tipis apabila majoriti yang diperolehnya hanya 65 undi sahaja.

Tiong Lai berjaya memperoleh 1,171 manakala lawannya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bekas Naib Presiden memperoleh 1,106 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen, Datuk Donald Lim Siang Chai; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dan Ahli Jawatankuasa Pusat (CC), Gan Ping Sieu.

Bagi perebutan 25 jawatan dalam CC, Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong mendapat undi paling tinggi.

Seramai 86 calon bertanding dengan jumlah perwakilan yang membuang undi hari ini mencatat angka paling tinggi iaitu 2,315 orang. Tiga perwakilan tidak mengambil kertas undi sebaik sahaja proses pemilihan diadakan.

- UTUSAN

Abdul Rahman - Janjikan yang terbaik



Hasrat hatinya mahu berehat setelah lapan tahun berkecimpung dalam dunia korporat tempatan. Apatah lagi surat peletakan jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd. telah diserahkan.
Namun panggilan ‘khidmat negara’ yang diterima menyebabkan Datuk Abdul Rahman Ahmad sukar untuk menolaknya, biarpun beliau sebenarnya mempunyai ‘misi’ lain yang mahu disempurnakan dalam hidupnya.

Menyedari dirinya adalah hasil produk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Abdul Rahman menyambut baik pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) yang ditubuhkan untuk meningkatkan lagi penguasaan bumiputera dalam kek ekonomi negara menggunakan pendekatan lain.

‘‘Sebenarnya, tanpa biasiswa kerajaan yang disediakan di bawah DEB, saya tidak mungkin mampu melanjutkan pengajian ke luar negara kerana keluarga saya sememangnya tidak mampu’’ kata Abdul Rahman.

‘‘Pelantikan ini diterima sebagai membalas jasa dan peluang yang diberikan kerajaan,’’ kata beliau dalam temu bual dengan Utusan Malaysia di sini. Sambil mengakui cabaran dan tanggungjawab besar yang perlu digalas, Abdul Rahman berkongsi tentang perkembangan semasa dan rancangan masa depan Ekuinas dengan wartawan Utusan Malaysia, AINUL ASNIERA AHSAN di Kuala Lumpur.

UTUSAN: Ekuinas ketika dibentuk tahun lalu disasarkan untuk melabur dalam syarikat bumiputera tetapi kenapa perkara sebaliknya berlaku?

ABDUL RAHMAN: Saya akui ketika pengumuman penubuhan Ekuinas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan Ekuinas ditubuhkan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam ekonomi dan pelaburan di buat dalam syarikat bumiputera. Tetapi, ia sebenarnya tidak terhad di situ sahaja. Ini kerana, pada masa itu konsep Ekuinas masih belum dibentuk. Selepas meneliti dan mendalami objektif penubuhan Ekuinas, kami melihat cara terbaik untuk meningkatkan ekonomi menerusi tiga cara pelaburan iaitu pelaburan dalam syarikat bumiputera, bukan bumiputera dan syarikat-syarikat milik Malaysia.

Perlukah pendekatan sedemikian?

Kita tidak melupakan objektif asas penubuhan Ekuinas untuk melabur dalam syarikat bumiputera yang bagus, mantap dan memerlukan modal serta kepakaran untuk berdaya maju pada masa depan. Tetapi, pada masa sama kita turut merumus dan melihat kejayaan agensi-agensi terdahulu. Sebelum ini, kerajaan telah mewujudkan pelbagai institusi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) dan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS). Kami juga melihat kejayaan kerajaan dalam ekonomi pada tahun 1980 dengan pengwujudan Pernas dan PNB, yang membuat pelaburan, bukan sahaja terhad kepada syarikat-syarikat tempatan tetapi juga syarikat-syarikat pelabur asing. Ketika itu, pegangan ekuiti bumiputera adalah antara empat hingga tujuh peratus sahaja. Melalui institusi pelaburan terbabit, kerajaan membeli dan melabur dalam syarikat-syarikat berkenaan sehingga kita berjaya menguasai syarikat-syarikat seperti Sime Darby Bhd. dan Guthrie. Dengan itu, kami berpendapat sekiranya kita hanya melabur dalam syarikat-syarikat bumiputera, kesannya terhad, jadi kita perlu meningkatkan pegangan dan membeli syarikat-syarikat di Malaysia, barulah boleh meningkatkan pegangan dalam institusi bumiputera dalam negara ini. Dan, kalau Ekuinas cuma membeli daripada pemegang bumiputera, kita sebenarnya tidak meningkatkan penglibatan kaum itu.

Jadi tumpuan Ekuinas dalam pelaburan?

Bagi Ekuinas, kita perlu untuk membuat pelaburan dalam syarikat bumiputera dan bukan bumiputera serta dalam syarikat di Malaysia di mana-mana sahaja. Paling ditekankan oleh Perdana Menteri, Ekuinas perlu mengadakan kerjasama tulen. Ini penting kerana jika kita tiada pemilikan dalam syarikat-syarikat tersebut, bagaimana kerjasama boleh dilaksanakan? Kami juga mahu membeli anak syarikat bukan teras yang dipunyai oleh syarikat awam (PLC), syarikat milik kerajaan (GLC) atau syarikat multinasional (MNC). Kalau syarikat-syarikat ini hendak dijual oleh PLC, GLC dan MNC, Ekuinas boleh membantu mereka dan membuat pembelian pengurusan. Kalau hendak tunggu mereka (pengurusan) mencari duit, mungkin sukar. Kalau dulu, mereka mungkin terpaksa meminjam duit tetapi syarikat begini kerap kali mengalami masalah terutama ketika berlaku kemelesetan ekonomi. Oleh itu, Ekuinas akan membeli bersama pengurusan dan sekiranya berjaya menguruskan syarikat, pengurusan akan diberikan ekuiti secara percuma. Dengan ini, Ekuinas bukan sahaja terhad untuk para usahawan tetapi profesional yang berjaya dan mempunyai peluang untuk membeli syarikat bukan teras, seterusnya meningkatkan pegangan dalam ekuiti. Itulah rasional tiga cara pengurusan pelaburan Ekuinas dan bukan satu.

Adakah Ekuinas menetapkan sebarang nisbah pegangan pelaburan yang akan dibuat?

Kita tidak menetapkan nisbah yang spesifik tetapi sekiranya boleh mahu pelaburan yang dibuat itu setara iaitu satu pertiga bagi setiap satu pelaburan. Cuma mungkin nilai pelaburannya adalah berbeza. Komitmen kami pada tahun pertama adalah melabur dalam setiap kategori. Pada tahun ini, kami menyasarkan untuk membuat tiga pelaburan dan setiap pelaburan itu mewakili tiga jenis pelaburan tersebut.

Setelah hampir tujuh bulan beroperasi, apakah maklum balas yang diterima?

Maklum balasnya sangat bagus. Sejumlah 50 peratus daripada kertas cadangan yang diterima Ekuinas datangnya dari syarikat-syarikat bumiputera. Kita juga melakukan kerja-kerja pemasaran secara sendirian dengan mencari syarikat-syarikat berpotensi. Berdasarkan pengalaman dilalui setakat ini, saya sebenarnya amat berbangga kerana ada syarikat bumiputera yang baik dan mempunyai masa depan cukup cerah apabila ditawarkan pelaburan oleh Ekuinas, menolak bantuan kami. Banyak syarikat bumiputera menyatakan mereka tidak memerlukan bantuan kerana memiliki modal yang cukup. Kebanyakan syarikat ini adalah milik keluarga. Saya berbangga dengan kejayaan syarikat-syarikat bumiputera ini, cuma saya mengharapkan kejayaan yang dicapai ini tidak terhenti setakat itu. Kalau kita tengok syarikat-syarikat begini di luar negara, mereka begitu ghairah untuk membesar dan terus membesar.

Kenapa selepas enam bulan beroperasi hanya satu pelaburan sahaja dicatatkan?

Ini satu pencapaian membanggakan. Tidak banyak syarikat ekuiti persendirian mampu membuat keputusan pelaburan dalam tempoh sesingkat itu kerana kebiasaannya, ia mengambil masa 12 hingga 15 bulan.

Banyak pihak yang bertanya kenapa Alliance Cosmetics Group (Alliance Cosmetics) diumum sebagai pilihan pelaburan Ekuinas?

Syarikat ini sebenarnya memenuhi semua kriteria Ekuinas. Kami tiada agenda lain sebaliknya. Malah, Ekuinas menerima maklum balas positif selepas membuat pengumuman itu. Kami sebenarnya menetapkan beberapa kriteria penting apabila melabur dalam sesebuah syarikat iaitu pelaburan dibuat dalam syarikat yang mantap sekurang-kurangnya beroperasi satu hingga tiga tahun dan memerlukan pelaburan sekurang-kurangnya RM30 juta. Syarikat yang dilabur juga boleh menerima Ekuinas sebagai pemegang saham aktif serta berpotensi yang sangat besar.

Sesetengah pihak mengharapkan sebuah syarikat besar yang terkenal dan bukannya syarikat kosmetik?

Alliance Cosmetics mempunyai potensi besar untuk ke luar negara. Ia merupakan antara syarikat kosmetik utama di Malaysia dan harapan kami adalah membawa syarikat ini ke pasaran ASEAN. Alliance Cosmetics memenuhi kriteria pelaburan Ekuinas, trek rekod baik, keuntungan yang positif dan mampu berkembang, jadi kami memilihnya. Tiada isu-isu khusus.

Sebenarnya untuk mendapatkan pelaburan yang memenuhi kriteria, pemegang sahamnya pula bersedia menjual dan bekerjasama selepas Ekuinas membuat suntikan, ia bukanlah satu kerja yang mudah. Selepas ini, kami akan membuat pelaburan dalam syarikat bumiputera dan syarikat bukan teras GLC. Ia akan diumumkan pada separuh pertama dan suku ketiga tahun ini.

Tadi, Datuk ada menyatakan bahawa Ekuinas menerima banyak permohonan pelaburan, adakah ia memenuhi kriteria yang ditetapkan?

Tidak, tetapi kami melihatnya sebagai perkara biasa. Bagaimanapun, pada masa yang sama, kami cuba memahami apa sebenarnya keperluan syarikat-syarikat itu. Ada syarikat yang mendatangi kami hanya mahu memohon bantuan sebanyak RM1.5 juta sahaja. Jadi, kami membantu dengan memperkenalkan mereka kepada agensi-agensi kerajaan yang lain seperti PNS dan PUNB. Kami mempunyai unit yang khusus membantu pemohon untuk memahami apa sebenarnya yang diperlukan mereka.

Berapa banyak dana yang diberi kerajaan kepada Ekuinas?

Untuk tahun ini, kami mendapat RM500 juta dan menaruh harapan di bawah Rancangan Malaysia ke-10, Ekuinas diberi RM4.5 bilion bagi menjadikan jumlahnya RM5 bilion untuk tempoh lima tahun ke hadapan.

Apakah tumpuan Ekuinas dalam jangka sederhana dan panjang?

Saya lebih selesa bercakap untuk jangka sederhana kerana tempoh pelaburan Ekuinas adalah untuk jangka masa tiga hingga lima tahun. Kalau kita lihat firma ekuiti persendirian ini kebanyakannya menetapkan tempoh pelaburan sehingga tujuh, lapan tahun. Tetapi, untuk Ekuinas kami cuba pendekkan tempoh dengan harapan supaya berupaya membuat pelaburan lain. Pada masa sama, kami juga memenuhi kriteria pulangan minimum yang ditetapkan iaitu 12 peratus hingga 20 peratus setahun. Dan, kami juga ingin memastikan objektif usaha mempertingkatkan ekonomi bumiputera tercapai melalui empat cara iaitu penambahan ekuiti bumiputera oleh syarikat bumiputera dan Ekuinas sendiri, meningkatkan, pengurusan bumiputera, pekerja dan rantaian bekalan bumiputera. Masalah sesetengah bumiputera dalam industri adalah kekurangan rantaian bekalan. Saya juga menemui banyak agensi sosial antarabangsa yang turut mengendalikan agensi seperti Ekuinas. Penekanan dan nasihat mereka adalah memilih syarikat yang berpotensi besar dan memastikan kejayaan syarikat pelaburan tersebut. Sekiranya dua perkara ini mampu dilakukan, empat objektif sosial tadi pasti berjaya atau sebaliknya. Nasihat itu sebenarnya dibuat berdasarkan pengalaman kerana mereka telah melabur di merata tempat termasuk Afrika, kerana objektif agensi global ini bukan sekadar pulangan tetapi meningkatkan taraf hidup negara yang dilabur itu.

Datuk menyatakan Ekuinas akan melabur dalam tiga lagi syarikat pada tahun ini, adakah ia sudah dimuktamadkan?

Perkara itu belum lagi dimuktamad dan masih dalam pertimbangan kerana bukan mudah untuk membuat satu-satu keputusan pelaburan yang memenuhi kriteria kami.

Boleh Datuk jelaskan, apakah kaedah yang diguna pakai Ekuinas dalam mengenal pasti syarikat-syarikat berpotensi?

Kami mempunyai dua cara iaitu melalui permohonan daripada mereka yang berminat dan keluar sendiri mencari syarikat-syarikat ini di mana kami akan pergi menemui mereka. Ekuinas memberi fokus kepada enam industri iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan, barangan pengguna, runcit, perkhidmatan serta minyak dan gas. Saya berpendapat sektor industri minyak dan gas di bawah program vendor Petronas telah berjaya dan boleh dibesarkan. Oleh itu, kami melihat sektor ini sebagai teras dalam industri. Begitupun, kami juga melihat kepada industri yang lain, asalkan bukan hartanah, pembinaan dan industri yang tidak halal.

Masyarakat bumiputera meletakkan harapan yang tinggi terhadap kejayaan Ekuinas. Bagaimana reaksi Datuk?

Saya faham dan sedar. Itupun yang selalu saya katakan kepada kakitangan Ekuinas. Bagaimanapun, saya perlu terus terang bahawa Ekuinas hanya salah satu instrumen dan bukan satu-satunya agensi yang kerajaan tubuhkan. Cuma secara kebetulan, penubuhan Ekuinas ditukarkan dengan pemansuhan Jawatankuasa Pelaburan Asing. Kerajaan mempunyai agensi-agensi lain dan Ekuinas hanya boleh tumpukan kepada peranan dan polisi yang ditentukan. Yang penting, kami tahu komitmen kami dan saya berikrar akan bekerja bertungkus lumus untuk memastikannya seperti mana jangkaan rakyat dan kerajaan. Saya juga memberi jaminan bahawa pelaburan yang dibuat adalah telus meskipun adalah mustahil kesemua pelaburan yang dibuat akan mendatangkan hasil seperti diharapkan. Berdasarkan rekod pencapaian pelaburan ekuiti persendirian terbesar dan terbaik, hanya 65 hingga 70 peratus pelaburan mereka yang berjaya. Maknanya, 30 hingga 40 peratus mungkin tidak berjaya. Insya-Allah, komitmen pelaburan yang kami buat adalah secara telus dan tidak mempunyai sebarang agensi. Berjaya atau tidak, itu kuasa Allah. Kami mencuba yang terbaik.

Bilakah pelaburan Ekuinas boleh dilihat hasilnya?

Kami menetapkan tempoh selama lima tahun. Pada akhir tahun kelima, kami berharap dapat menunjukkan rekod yang baik. Tapi perlu ingat idea penubuhan Ekuinas adalah membuat pelaburan terus, sebarang pulangan yang diterima akan dilabur semula. Saya berpendapat dalam tempoh 10 tahun, kita akan melihat hasil pelaburan cemerlang. Untuk membuat pengiraan ini, kita perlu lihat pulangan kuantitatif minimum sebanyak 12 peratus dan maksimum 20 peratus serta kejayaan objektif sosial, barulah kita boleh mengukur peningkatan penyertaan bumiputera dalam ekonomi, pengurusan, pekerja dan rantaian bekalan.

Bagaimana pula pencapaian daripada segi pulangan?

Kalau kita mengambil kira pulangan minimum 12 peratus dalam pelaburan, kita berharap dapat meraih hasil sebanyak RM3.5 bilion. Dalam aspek sosial objektif, kita perlu lihat kepada keseluruhan syarikat.

- UTUSAN

Recent Posts