Rabu, Mac 10, 2010

PNB lancar AMB Dana Aqeel


KUALA LUMPUR 9 Mac - Amanah Mutual Bhd. (AMB) milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini melancarkan produk terbarunya AMB Dana Aqeel, dana pelindungan modal Islam dengan saiz permulaan 300 juta unit.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, AMB Dana Aqeel, sebuah dana tertutup, diperkenalkan sebagai mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan para pelabur untuk melabur di dalam produk seumpama itu.

"Kami berpendapat sekarang masa yang tepat untuk memperkenalkan produk seumpama ini secara beransur-ansur kerana terdapat permintaan daripada negara-negara seperti Singapura, Hong Kong, Perancis dan Korea yang menyedari potensinya," katanya dalam temu bual sempena pelancaran dana tersebut di sini.

AMB Dana Aqeel bernilai 50 sen seunit, merupakan pelaburan yang mempunyai tempoh matang selama tiga tahun iaitu sehingga 22 April 2010.

Unit-unit dana dibuka untuk langganan individu tempatan dan asing termasuk pelabur institusi, selama 45 hari mulai hari ini dengan AMB mempunyai pilihan untuk menerbitkan lagi dana berjumlah 150 juta unit jika dana awal dilanggan sepenuhnya.

Pelaburan minimum adalah RM1,000 untuk pelabur individu dan RM5,000 untuk institusi dan koporat.

Penanda aras dana itu ditetapkan berdasarkan kadar 12 bulan Akaun Pelaburan Am bank-bank komersial yang kini pada kadar 2.74 peratus.

Hamad Kama Piah berkata, AMB akan melancarkan lebih banyak produk Islam sejajar dengan hala tuju masa depan PNB membangunkan lebih banyak perniagaan kewangan Islam untuk anak-anak syarikat,

Beliau yakin AMB Dana Aqeel bakal mendapat sambutan baik daripada para pelabur yang berminat untuk memiliki dana pelindungan modal Islam di dalam portfolio pelaburan mereka.

"Kami mengkaji terlebih dahulu melalui perbincangan dengan pelbagai pengurus dan pengedar pelaburan tentang jenis dana yang paling menarik untuk pelabur.

"Ketika ini apabila kebanyakan pelabur menghadapi halangan berikutan krisis kredit global, dana Islam yang melindungi modal adalah paling sesuai untuk kebanyakan portfolio pelabur," ujarnya.

Dana berkenaan mematuhi empat prinsip Syariah untuk pelaburan Islam iaitu bukan pelaburan yang Gharar (tidak telus), riba dan urus niaga yang mempunyai akad dan aset ketara sebagai subjek pelaburan.

Katanya, ''Dana baru ini akan melabur sekurang-kurangnya 85 peratus daripada portfolionya di dalam Sukuk manakala baki 15 peratus lagi dalam ekuiti pelbagai Syariah yang setara tunai".

''Dana Aqeel sesuai untuk para pelabur yang mahu melabur dalam instrumen berisiko rendah dan sederhana dengan pulangan munasabah yang boleh didapati menerusi pelaburan dalam sekuriti berasaskan Syariah," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada majlis pelancaran dana itu berkata, unit amanah berlandaskan Syariah menyaksikan pertumbuhan signifikan dalam industri pengurusan dana dan unit amanah serta pasaran modal Islam secara amnya.

Pertumbuhan produk dalam industri tersebut tumbuh secara luar biasa iaitu daripada 17 produk pada 2000 tetapi kini bertambah kepada 144 produk dalam kategori ekuiti dan bon atau 26.6 peratus daripada 548 produk yang ditawarkan oleh 39 syarikat pengurusan unit amanah sehingga 31 Disember lalu.

Nilai aset bersih produk berkenaan mencecah RM22 bilion daripada jumlah keseluruhan RM200 bilion membabitkan 56.8 peratus bilion unit daripada 278.8 bilion unit dalam industri yang mewakili 1.781 juta akaun.

''Sejak 10 tahun atau lebih, unit amanah berlandaskan Syariah meningkat kira-kira 38 peratus manakala perkembangan unit amanah industri secara keseluruhan berkembang kira-kira 18 peratus,'' kata beliau lagi.

- UTUSAN

Guru patut bergilir ke luar bandar

Para guru perlu menganggap penempatan di kawasan luar bandar sebagai khidmat negara, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng hari ini.

Dengan perubahan paradigma ini, tempoh perkhidmatan mereka di kawasan luar bandar akan lebih bermanfaat dan berhasil kerana mereka akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh minat, katanya.

Melalui sistem itu, NUTP berharap kerajaan akan membenarkan guru terbabit dipindahkan selepas mereka mengajar dua hingga tiga tahun di sekolah luar bandar.

"Apa yang berlaku sekarang ialah sebaik sahaja guru berkenaan ditempatkan untuk mengajar di kawasan luar bandar, mereka dilupakan dan dibiarkan di situ selama bertahun-tahun lamanya," katanya.

"Ini yang kami mahu elakkan dan akan menggesa Kementerian Pelajaran merumuskan sistem giliran yang adil dan saksama di mana semua guru baru diberi peluang mengajar di sekolah di luar bandar," katanya.

Katanya, NUTP yang mewakili 160,000 guru "menyokong penuh langkah kerajaan untuk mewajibkan guru baru ditempatkan di sekolah luar bandar."

Bagaimanapun, kesatuan itu berharap kementerian akan membincangkan butiran terperinci mengenai cadangan itu dengan pelbagai wakil dan persatuan guru.

Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk mewajibkan guru mengajar sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun di sekolah luar bandar dan pedalaman.

Kerajaan menawarkan ganjaran dan insentif lain untuk menarik guru supaya mengajar di kawasan luar bandar.

Pada ketika ini, guru yang mengajar di luar bandar dibayar elaun bertugas di pedalaman antara RM500 hingga RM1,500.

- Bernama

Ipad - Revolusi atau kegagalan?


IKA memperkatakan mengenai revolusi komputer terutama dari segi reka bentuk, nama Apple Inc. tidak mungkin dapat dipisahkan. Sebut sahaja produk-produk seperti Machintosh, iMac, MacBook (dulu iBook), iPod dan iPhone, semuanya didatangkan dengan pakej yang menarik perhatian ramai.

Bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan iPad yang dilancarkan akhir bulan lepas. Produk itu sememangnya menjadi perhatian umum tetapi bukan hanya kerana kehebatannya tetapi juga dikritik kerana didakwa mempunyai beberapa kelemahan.

Walaupun kekurangan itu mungkin tidak terlalu besar tetapi ia tetap hangat diperkatakan peminat gajet di seluruh dunia.

Ipad diperkenalkan Apple sebagai komputer tablet bersaiz tapak tangan dengan skrin 9.7 inci (pepenjuru) dan akan dipasarkan dengan harga permulaan AS$499 (RM1,696) untuk pakej asas.

Produk ini sememangnya kelihatan agak seksi, menarik dan mampat tetapi sejak dilancarkan, sambutan terhadap produk ini tidaklah sehebat mana seperti yang pernah diterima Apple ketika memperkenalkan iPhone dan produk-produk sebelumnya.

Malahan menurut satu kajian, tahap keinginan untuk memiliki iPad telah menurun sebaik sahaja ia dilancarkan, berbanding ketika digembar-gemburkan sebelum ini.

Kajian yang dijalankan Retrevo, sebuah kedai elektronik di Internet, mendapati tahap mereka yang tidak ingin membeli produk itu telah meningkat kepada 50 peratus berbanding 25 peratus sebelum ia dilancarkan.

Ada juga yang berpendapat bahawa iPad tidak lebih daripada iPod touch yang bersaiz lebih besar.

Malahan Ketua pegawai eksekutif Apple Inc., Steve Jobs sendiri ketika melancarkan produk itu menyatakan pengguna mungkin juga meletakkan produk ini di antara dua kategori iaitu tidak ‘semudah alih’ seperti iPhone atau tidak selasak untuk menjadi pengganti komputer buku.

Bagaimanapun menurut Jobs, iPad boleh memainkan peranannya sebagai netbook yang mampu berfungsi seperti iPhone kerana pengguna kini tidak lagi perlu membawa sebuah netbook dan juga telefon bimbit untuk membolehkannya mengakses Internet melalui rangkaian 3G.

Apple juga menyatakan produk ini mampu menjadi alat terbaik untuk membaca buku elektronik atau e-buku, satu aplikasi yang masih belum dapat diterima masyarakat.

Dari segi kekurangan lain pula, iPad juga dikatakan tidak mampu melakukan ‘multitasking’ yang mana anda harus membuka sesuatu aplikasi sahaja pada satu-satu masa.

Tanpa kamera terbina dalam, sudah tentu ia akan mengecewakan para peminat yang seakan mewajibkan ciri tersebut dalam setiap gajet terbaru mereka.

iPad atau iPhone?

Untuk memperkatakan mengenai iPad tanpa menyentuh mengenai iPhone, ia suatu yang sukar kerana kedua-duanya mempunyai beberapa persamaan terutama dari segi penggunaan aplikasi.

Melayari Internet, e-mel, foto, peta interaktif, menonton video dan sebagainya merupakan aplikasi utama yang akan menjadi daya penarik untuk pengguna memilih salah satu daripada gajet itu.

Memandangkan iPad bersaiz lebih besar, sudah tentu kelebihan akan memihak kepadanya jika anda hendakkan sedikit kepuasan dalam melayari Internet, melihat gambar atau menonton video berbanding melakukannya di iPhone.

Bagaimanapun, disebabkan saiznya yang kecil juga, iPhone boleh menjadi pilihan kepada mereka yang inginkan produk yang mudah dibawa dengan hanya memasukkannya ke dalam poket.

Bagaimanapun, iPad sememangnya mampu menggantikan komputer buku yang lebih besar dan berat.

Selain daripada bertanding dengan produk sendiri seperti iPhone atau iPod, iPad yang akan memasuki pasaran dalam masa sebulan lagi juga akan mendapat tentangan sengit daripada produk-produk lain yang menggunakan sistem operasi (OS) Android dari Google atau Windows 7 mobile dari Microsoft.

Bagaimanapun, kekurangan yang terdapat dalam Ipad tidak seharusnya mengulangi kegagalan yang pernah ditempuhi Apple ketika memperkenalkan alat pembantu peribadi (PDA) Newton dan juga Apple TV suatu ketika dahulu.

- UTUSAN

Kawal kencing manis elak CKD

Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada 12 Mac setiap tahun di seluruh dunia merupakan kempen kesedaran kesihatan peringkat global yang memberi tumpuan kepada kesedaran tentang kepentingan penjagaan buah pinggang.

Ini kerana lebih daripada 500 juta individu di seluruh dunia menderita akibat masalah organ terpenting itu dan meninggal dunia sebelum waktunya disebabkan penyakit kardiovaskular yang dikaitkan dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Punca utama CKD adalah kencing manis dan tekanan darah tinggi yang gagal dikawal dengan baik.

Apabila CKD semakin merosot pesakit mungkin tidak ada pilihan kecuali bergantung kepada rawatan dialisis sepanjang hayat mereka.

Berlandaskan faktor tersebut juga, negara memilih tema Kawal Kencing Manis - Lindungi Buah Pinggang Anda bagi sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010 yang dianjurkan dengan kerjasama antara Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF), Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pemeriksaan awal

Pemilihan tema tersebut diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran tentang pentingnya melakukan pemeriksaan awal dan komprehensif, khususnya di kalangan mereka dalam kategori berisiko tinggi seperti penghidap kencing manis dan darah tinggi.

Pengerusi Lembaga Pengurus NKF, Datuk Dr. Zaki Morad Mohd. Zaher berkata, masyarakat perlu mempunyai kesedaran tinggi tentang pentingnya memiliki buah pinggang yang sihat untuk berfungsi menapis dan membersih 200 liter darah setiap hari. Sekali gus bagi mengawal tekanan darah yang merupakan antara penyebab utama CKD.

"Kira-kira lima liter darah mengalir di dalam badan kita. Buah pinggang kita menapis dan membersih kuantiti darah ini sebanyak 40 kali setiap hari.

"Ini bersamaan dengan 200 liter darah iaitu sejumlah yang boleh diisi ke dalam 200 botol," katanya.

Selain itu menurut Dr. Zaki, organ tersebut juga menghasilkan hormon penting yang merangsang sumsum tulang bagi membentuk sel-sel darah merah, mengawal tekanan darah dan memastikan tulang sihat dan kuat.

Penyakit buah pinggang menjadi kronik apabila ia mula hilang kemampuan untuk berfungsi secara beransur-ansur.

Penyakit ini merupakan sejenis penyakit yang menyerang secara senyap dan sering tidak disedari kewujudannya kerana ia tidak boleh dirasai.

Biarpun kadar kelaziman CKD agak tinggi dan berbahaya ia sebenarnya masih mempunyai peluang untuk dirawat.

Katanya, CKD lazimnya berlaku apabila seseorang individu mengalami masalah albumin berlebihan dalam air kencing atau berlaku penurunan mendadak pada fungsi buah pinggang.

Apabila CKD tidak dikawal pada peringkat awal ia akan mengakibatkan kerosakan buah pinggang, maka proses berikutnya adalah dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Bagaimanapun tegasnya, pelbagai rintangan dan kesukaran dalam mendapatkan buah pinggang baru .

''Hal ini akan menyebabkan ramai pesakit memilih untuk kaedah rawatan hemodialisis atau dialisis peritoneal,'' katanya lagi.

Di Malaysia katanya, terdapat hampir 20,000 orang pesakit yang memerlukan rawatan dialisis.

Disebabkan kos rawatan dialisis agak tinggi, kerajaan telah memberi subsidi kepada pesakit yang miskin dan kurang berkemampuan.

"Pihak yayasan giat membantu Kementerian Kesihatan dalam mengenal pasti pesakit yang benar-benar memerlukan bantuan bagi menanggung kos rawatan dialisis yang semakin meningkat dari masa ke semasa," katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai NKF, Dr. Zaki memberitahu, yayasan tesebut kini mempunyai 23 buah pusat dialisis dan bertindak sebagai pembekal perkhidmatan dialisis utama di negara ini.

''Namun dewasa ini, tumpuan kami tidak terbatas kepada penyediaan perkhidmatan dialisis semata-mata,'' katanya.

Jelasnya lagi, di negara ini hampir 55 peratus daripada pesakit dialisis baru adalah penghidap kencing manis dan hasil dialisis adalah kritikal bagi mereka yang menghidap kencing manis.

Malangnya, penyakit kencing manis jenis dua ini tidak dapat dikesan untuk selama bertahun-tahun.

''Pada ketika itu, pengambilan gula berlebihan tanpa kawalan boleh mengakibatkan kerosakan tisu dan organ pada badan seperti saluran darah, mata dan buah pinggang,'' ujarnya.

Maka dengan itu saringan kesihatan, khususnya ujian air kencing dan juga pemeriksaan darah, adalah perlu bagi rakyat Malaysia.

Pemeriksaan ini bertujuan bagi memupuk kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang bahaya penyakit kencing manis serta kaedah pencegahannya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010, NKF akan melancarkan kempen pemeriksaan kesihatan di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya pada 14 Mac ini.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung termasuk demonstrasi memasak oleh Datuk Chef Wan dan diikuti oleh aktiviti jalan kaki Amazing Kidneys Walk Hunt yang terbuka untuk penyertaan kepada pengunjung, termasuk pesakit dialisis dan ahli keluarga mereka.

Acara jalan kaki ini dianjurkan untuk tujuan mengutip dana bagi pesakit-pesakit yang miskin dan amat memerlukan bantuan.

Bagi mereka yang ingin memperoleh maklumat yang lebih terperinci berhubung dengan aktiviti sambutan WKD 2010 ini, sila hubungi talian bebas tol NKF di 1300-88-3110 atau layari laman sesawang www.nkf.org.my

Hawwa isteri yang sabar

Hawwa binti Yazid adalah wanita yang awal memeluk Islam. Dia anak saudara Saad bin Muaz. Dia berkahwin dengan Qais bin al-Khatim al-Aus. Mereka mendapat dua orang anak lelaki iaitu Yazid dan Sabit.

Hawwa adalah seorang wanita yang tabah dan sabar. Suaminya seorang penyair yang sangat terkenal. Semasa Hawwa memeluk agama Islam, suaminya masih menganut agama nenek moyangnya. Berita keislaman Hawwa sampai ke pengetahuan suaminya.

"Saya tidak suka awak menganut agama Islam. Berani awak mempermainkan agama nenek moyang kita," kata suaminya.

Hawwa dengan tegas berkata: "Saya sudah bertekad dengan agama Islam. Allah adalah tuhan saya. Allah Yang Maha Esa. Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah".

"Berani awak melawan cakap saya," kata Qais dengan nada tinggi lalu menampar muka isterinya.

"Biar apa pun yang awak lakukan terhadap saya, saya tidak takut dan gentar," jelas isterinya yang kesakitan menahan tamparan di pipinya.

Sejak Hawwa memeluk agama Islam, suaminya sering menyiksa dan menyakitinya. Anak-anaknya juga masuk Islam. Yazid dan Sabit merupakan sahabat Nabi Muhammad. Yazid pernah menyertai Perang Uhud.

Berita penyiksaan Hawwa oleh suaminya telah sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad.

"Wahai Nabi Muhammad, saya dengar Qais bin al-Khatim menyiksa isterinya, Hawwa yang sudah memeluk agama Islam. Dia kini tinggal di Madinah," kata seorang lelaki kepada Nabi Muhammad.

Pada ketika itu Nabi Muhammad masih berada di Mekah. Nabi Muhammad belum berhijrah ke Madinah. Sejak Islam bertapak di Madinah, ramai penduduk yang tertarik dan masuk Islam.

Mendengar berita penyiksaan Hawwa, Nabi Muhammad berasa simpati lalu berkata: "Saya akan bantu dan menyelamatkan Hawwa dari terus diseksa oleh suaminya".

Pada suatu hari, Qais berjumpa dengan Nabi Muhammad di sebuah pasar iaitu Dzi al-Majaz yang terdapat di Mekah. Pasar itu merupakan pasar orang Arab yang sangat terkenal pada zaman jahiliah.

"Apa khabar Qais," tanya Nabi Muhammad.

"Saya sihat sejahtera," jawab Qais.

Lalu Nabi Muhammad berkata lagi: "Wahai Qais, saya menyeru awak supaya ikut jejak langkah isteri awak memeluk agama Islam".

"Maafkan saya. Pelawaan tuan itu bagus tetapi saya tidak berniat menukar agama. Saya tidak berminat untuk memeluk agama Islam. Tambahan pula pada masa sekarang ini saya sibuk dengan perang," kata Qais.

Pada masa itu telah berlaku perang saudara antara kabilah Aus dan Khazraj. Perang tersebut hampir memusnahkan kedua-dua belah pihak. Akhirnya perang tersebut tamat di Bu'ats yang terletak berhampiran dengan kota Madinah.

Berkali-kali Nabi Muhammad mengajak Qais memeluk Islam. Qais tetap dengan pendiriannya dengan menolak ajakan Nabi Muhammad.

Sebentar kemudian, Nabi Muhammad berkata pula, "Wahai Qais, saya telah menerima khabar bahawa awak sering menyiksa dan menyakiti isteri awak. Sejak isteri awak masuk Islam, awak layan dia dengan kejam. Kasihanilah kepada isteri awak. Takutlah kepada Allah. Jaga isteri awak baik-baik. Jangan awak sakitinya lagi. Saya berharap awak dapat berbuat baik terhadapnya".

Qais tersentuh hatinya apabila mendengar kata-kata Nabi Muhammad. Kemudian dia berkata, "Baik, sebagai menghormati awak saya berjanji tidak akan menyeksa dan menyakiti isteri saya lagi".

Qais pulang ke Madinah dan berjumpa dengan isterinya. Lalu dia berkata: "Semasa saya berada di Mekah saya telah berjumpa dengan Nabi Muhammad. Saya telah berjanji tidak akan menyeksa dan menyakiti awak lagi".

Hawwa gembira lalu bertanya: "Benarkah?"

"Ya. Mulai pada hari ini saya tidak akan mengganggu urusan awak," jelas Qais lagi.

"Terima kasih Muhammad kerana membantu saya menyedarkan suami saya akan perbuatan kejamnya terhadap saya. Terima kasih ya Allah kerana telah membuka hati suami saya. Selepas ini saya akan lebih tenang melakukan ibadah kepada-Mu," bisik Hawwa sendirian.

Hawwa gembira kerana dapat melakukan amal ibadah dengan tenang tanpa sebarang gangguan dari suaminya.

- UTUSAN

Audit syariah dalam kewangan Islam

Sistem Kewangan Islam bukan lagi sebagai alternatif kepada sistem konvensional sebaliknya sekarang ini sistem yang bertunjangkan al-Quran dan sunnah ini telah diterima menjadi satu kemestian dan kewajipan.

Perkembangan yang sihat ini akhirnya mendorong kepada institusi-institusi kewangan Islam khususnya bank Islam dan takaful berlumba-lumba untuk mengeluarkan produk dan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan pengguna.

Namun, dalam keghairahan mengetengahkan produk dan servis terbaik kepada masyarakat, kadang-kadang institusi kewangan Islam terlepas pandang banyak perkara yang akhirnya menjejaskan sifat patuh syariah yang sepatutnya menjadi elemen utama yang perlu dipelihara. Di sinilah bermulanya kepentingan audit syariah.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Abdul Aziz dalam ucapannya di Persidangan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam Yang Kedua bertajuk 'Peningkatan dan Keberkesanan Tadbir Urus Korporat dalam Industri Perkhidmatan Kewangan Islam' berkata: "Ciri utama sistem kewangan Islam terletak pada nilai etika yang tinggi yang menyokong tadbir urus dan operasi perniagaan kewangan Islam.

"Dengan perkembangan industri tersebut yang sangat pesat dan dengan persekitaran yang menjadi semakin kompleks dan lebih mencabar, merealisasikan sistem kewangan yang mantap dan berdaya tahan memerlukan wujudnya satu struktur tadbir urus yang kukuh bagi institusi kewangan Islam.

"Pada asasnya, cabaran yang dihadapi adalah untuk mengembangkan strategi yang akan menggalakkan pelaksanaan amalan tadbir urus korporat yang mantap dan efektif yang juga menyokong inovasi dan operasi perniagaan. "Perkara penting dalam visi bersama ini adalah untuk mewujudkan rangka kerja tadbir urus yang komprehensif bagi institusi kewangan dan untuk merangka strategi pelaksanaan Islam yang sesuai yang mampu memenuhi keperluan industri yang dinamik di samping meningkatkan keyakinan dan kestabilan dalam sistem kewangan Islam".

Majlis Pengawasan Syariah (MPS) adalah entiti yang sangat penting dalam proses membuat keputusan pengeluaran produk di institusi kewangan Islam. MPS diberi mandat dan kuasa untuk meluluskan sesuatu produk itu sebelum dipasarkan.

Biasanya, MPS akan membuat analisis terhadap kontrak yang digunapakai, rukun-rukun dan syarat-syarat yang diperlukan untuk menyempurnakan kontrak berkenaan.

MPS juga akan melihat sejauh mana produk berkenaan menepati maqasid syariah (objektif Syariah) dan boleh mendatangkan maslahah dan menolak kemudaratan.

Namun begitu, persoalannya adalah bagaimana MPS dapat memastikan syarat-syarat dan prosedur yang ditetapkan dapat dipatuhi sepenuhnya oleh pengurusan syarikat dan warga kerjanya? Penyelesaian yang paling tepat adalah dengan mengaplikasikan audit syariah.

Audit didefinisikan sebagai pemeriksaan dan pengesahan kira-kira manakala syariah adalah hukum Islam (rujuk Kamus Dewan). Pengauditan pula adalah proses di mana individu yang kompeten, bebas mengumpul dan menilai segala bukti mengenai maklumat yang berhubung rapat dengan entiti ekonomi yang spesifik.

Ia bertujuan mengenal pasti dan seterusnya melaporkan tahap pertalian antara maklumat yang dikenal pasti dan kriteria yang ditetapkan.

Syarikah al-Rajhi al-Masrafiyyah lil Istismar mendefinisikan audit syariah sebagai "Pihak yang memastikan sejauh mana sesebuah institusi kewangan Islam mematuhi syariah Islam berdasarkan keputusan yang dibuat oleh MPS institusi terbabit.

"Justeru, audit syariah adalah satu proses untuk menganalisis, menyemak dan memeriksa operasi dan urus tadbir sesebuah institusi kewangan Islam itu bertepatan dengan prinsip dan garis panduan syariah".

Sebagaimana yang digambarkan sebelum ini, institusi kewangan Islam perlu berusaha memastikan segala urus tadbir dan operasi syarikat bertepatan dengan syariah. Keputusan MPS sangat diperlukan di samping bimbingan dan garis panduan untuk mengeluarkan sesuatu produk.

Justeru, fungsi audit syariah yang pertama adalah untuk memastikan semua garis panduan dan keputusan yang dikeluarkan oleh MPS dan dipersetujui bersama tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Secara umumnya, audit syariah ini diperlukan untuk memastikan semua aktiviti yang berlaku di sesebuah institusi kewangan Islam itu sah dan menepati kehendak syariah. Di samping itu, ia untuk memastikan sesebuah institusi kewangan Islam itu memenuhi objektif dan tanggungjawabnya sebagai sebuah entiti perniagaan Islam.

Tanpa audit syariah yang mantap sesebuah institusi kewangan Islam itu terdedah kepada berlakunya ketidakpatuhan syariah. Hal ini perlu dipandang serius kerana impak tidak mematuhi syariah sangat besar. Di antaranya, melanggar perintah Allah yang memerintah supaya sesuatu aktiviti yang hendak dilakukan mestilah mengikut syariah.

Ketidakpatuhan kepada syariah boleh menyebabkan hilangnya berkat daripada Allah SWT. Malah ia akan merosakkan reputasi baik sesebuah institusi kewangan Islam. Dan akhirnya, apabila menjalankan aktiviti atau transaksi yang tidak mematuhi syariah boleh membawa kepada penjanaan pendapatan yang tidak halal.

Audit syariah juga berperanan mengenal pasti kesilapan dan kesalahan yang berlaku dalam urus tadbir syarikat. Justeru, ia tidak boleh hanya dalam ruang lingkup berkaitan produk sahaja, tetapi secara menyeluruh meliputi proses pengeluaran, pemasaran, pentadbiran dan sebagainya.

Sebagai contoh, di syarikat takaful, audit syariah perlu terlibat mengaudit proses pengunderaitan, pembangunan produk, kelulusan produk, pemasaran, tuntutan dan sebagainya.

Ia untuk memastikan semua perjalanan syarikat takaful tidak mempunyai sebarang unsur yang bercanggah dengan syariah di samping tidak menjejaskan kepentingan semua pihak termasuk para pemegang saham.

Disiplin ilmu

Oleh sebab itu, seorang juruaudit syariah bukan sahaja perlu memahami perjalanan dan operasi syarikat yang diaudit secara keseluruhannya, bahkan dia juga perlu menguasai beberapa disiplin ilmu berkaitan syariah seperti fiqh dan usul fiqh.

Ini sangat penting kerana terdapat proses ataupun prosedur yang bertepatan dengan garis panduan yang dikeluarkan syarikat, namun bercanggah dengan prinsip dan nilai-nilai syariah.

Ini kerana, di samping mengenalpasti sebarang kesilapan dan kesalahan, juruaudit syariah juga perlu berfungsi dalam menyediakan cadangan penambahbaikan kepada syarikat berkenaan. Ini juga menuntut juruaudit tersebut mengetahui aplikasi sistem dan operasi syarikat-syarikat lain dalam pasaran untuk dibuat perbandingan dan penilaian.

Bertitik tolak dari sini, maka juruaudit syariah akan membuat persediaan terlebih dahulu sebelum melakukan proses audit.

Di samping itu, juruaudit syariah perlu bebas dan telus dalam melakukan proses audit. Proses pengauditan perlu dielakkan dari unsur-unsur yang boleh menyebabkan dapatan-dapatan yang dihasilkan tidak telus dan berat sebelah.

Ini bagi memastikan laporan audit yang dikeluarkan pada akhir proses nanti mempunyai kualiti dan dapat digunakan oleh pihak syarikat untuk membuat pemulihan dan penambahbaikan.

Pihak syarikat juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada juruaudit dalam melaksanakan proses pengauditan dengan memberikan ruang masa yang mencukupi, tempat yang kondusif untuk menyimpan bahan, sampel dan data yang ditemui.

Justeru, sebelum proses pengauditan bermula, adalah menjadi kemestian kepada pihak pengurusan syarikat untuk mengetahui kehendak dan keperluan juruaudit sepanjang proses pengauditan.

Mereka juga perlu membuat persefahaman tentang masa, tempoh dan metodologi yang dilaksanakan. Ini untuk mengelakkan sebarang masalah dari berlaku sewaktu pengauditan berlangsung.

Bagi memastikan audit syariah berlaku dengan lancar dan fokus, maka juruaudit syariah perlu memahami terlebih dahulu keputusan-keputusan MPS yang telah dibuat. Juruaudit boleh meminta bantuan sekretariat atau jabatan syariah menyediakan kompilasi keputusan MPS dan bahan-bahan lain yang boleh menjadi sumber rujukan untuk juruaudit seperti manual syariah, syariah checklist, laporan audit syariah pada tahun lepas dan sebagainya.

Audit syariah tidak boleh bersifat terlalu spesifik atau sempit kepada pengeluaran produk semata-mata. Ia perlu selari dengan konsep Islam yang menyeluruh dan merangkumi segenap aspek dan operasi syarikat.

Ini termasuklah hal ehwal pengurusan dan penerapan nilai-nilai Islam dalam semua aspek. Ia bagi memastikan institusi berkenaan bukan sahaja Islam dari sudut produk, tetapi juga merangkumi juga aspek-aspek yang lain.

Rujukan utama untuk merealisasikannya adalah al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.

Audit syariah hendaklah diwujudkan sebagai satu aspek dan ciri yang perlu dalam struktur tadbir urus institusi kewangan Islam. Ini penting kerana ia bukan sahaja dapat menanam keyakinan orang ramai terhadap kesucian operasi institusi kewangan Islam malah yang lebih penting daripada itu mendapat keberkatan Allah SWT.

Institusi kewangan Islam perlu memastikan audit syariah dilaksanakan di syarikat masing-masing supaya semua urus tadbir dan operasi syarikat menepati prinsip-prinsip syariah. Sekali gus dapat memberikan gambaran yang jelas bahawa sistem muamalat Islam adalah yang terbaik sesuai dengan maksud hadis riwayat al-Baihaqi: "Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada Islam".

Isu-isu akhbar cina

UiTM dan keistimewaan bumiputera

Seorang penulis, Khoo Yuang Loong menulis mengenai keistimewaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dibuka hanya kepada kaum bumiputera dan orang Melayu.

Artikel itu disiarkan menerusi ruangan perbincangan umum di akhbar China Press bertarikh 9 Mac lalu.

Menurut beliau, UiTM boleh dikatakan universiti ‘misteri’ kerana ia tidak dibuka kepada mana-mana pelajar kaum lain. Orang ramai juga tidak tahu apa yang di dalamnya dan bagaimana ia berfungsi.

Kita hanya mendengar universiti ini mempunyai peralatan canggih dan tenaga pengajar yang berpengalaman. Di situlah benteng dan kubu kuat melahirkan intelek Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UiTM adalah kebanggaan orang Melayu, ia adalah aset penting bangsa dan tidak boleh dibuka kepada kaum lain.

‘‘Setiap hari Perdana Menteri mempromosikan konsep 1Malaysia, menekanka sumber negara diberi sama rata kepada rakyat. Tetapi apabila ia tidak dibuka kepada orang lain, ia menunjukkan betapa pentingnya universiti itu kepada orang Melayu. Kaum lain langsung tidak berpeluang memasuki universiti itu bagi mengecapi sumber yang dikatakan dibahagi sama rata itu,” tulis Yuan Loong.

Beliau menulis lagi, dalam masa setahun setengah, enam buah lagi kampus UiTM akan dibuka dan menempatkan kira-kira 200,000 orang pelajar. Universiti awam ketika ini memuatkan kira-kira 60 peratus pelajar bumiputera.

Dengan penambahan kampus UiTM, dalam beberapa tahun akan menambah lambakan graduan Melayu di pasaran. Kaum bukan bumiputera yang tidak dapat memasuki universiti ini, ke mana mereka akan ditempatkan dan pergi?

UMNO-Perkasa-Pembangkang

Akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 6 Mac lalu pula menyiarkan sebuah artikel yang menyentuh mengenai isu UMNO, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan pembangkang. Artikel bertajuk “Rombak tetapi tidak berubah, berubah tapi tidak bereformasi” itu ditulis oleh penulis yang menggunakan nama samaran, Mai Siang.

Menurut beliau, Perkasa sejak dulu lagi tidak sebulu dengan UMNO. Mereka mejadi pertubuhan luaran dan jika mahu dimasukkan ke dalam UMNO pula, ia hanya akan menjadi perbalahan dalam pasukan.

Memang ada kemajuan jika perkara ini benar-benar berlaku tetapi ia masih di takuk yang lama. Masih berpusing-pusing di takuk fikiran yang lama. Jika UMNO tidak dapat melemahkan kuasa pembangkang, adakah UMNO boleh berkuasa secara berdikari?

Tetapi jika Perkasa menjadi ahli UMNO, akan berlaku banyak pertubuhan Melayu turut menyertai UMNO. Jika pertubuhan ini tidak dilayan dengan baik, ia bukan sahaja boleh menggugat ahli parti bukan Melayu dalam BN, malah mungkin tidak dapat terus bertahan dan terancam kerana pertubuhan itu pasti akan berjuang mengenai isu-isu keadilan dan hak sama rata.

Selepas pilihan raya umum pada Mac 2008, satu aliran kuasa untuk membuat perubahan muncul dan menjadi slogan kepada pembangkang. Elit-elit UMNO sendiri turut terkena tempias itu.

Tetapi berapa banyak perkara yang sudah diubah? Konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan pada permukaannya memang indah. Tetapi pelaksanaannya sangat pahit dan wajah slogan itu sendiri boleh menjadi tidak keruan.

Turun padang dan sokongan rakyat

Tradisi turun padang termasuk yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini mendapat perhatian seorang penulis, Chen Li Hien.

Beliau mengulas mengenai perkara itu menerusi sebuah artikel yang disiarkan oleh akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 3 Mac lalu. Menurut penulis ini, ahli politik mengambil kesempatan daripada lawatan ke rumah-rumah rakyat untuk meningkatkan imej mereka. Ia adalah perkara yang biasa berlaku.

‘‘Tetapi jika Najib hanya membuang masa untuk aktiviti seperti itu, saya langsung tidak nampak apa yang akan terjadi kepada masa depan kita,” tulisnya.

Dari sudut strategi politik, polisi mesra rakyat dan laungan kuat konsep 1Malaysia hanya akan menaikkan imej baik beliau sendiri. MCA dan Gerakan yang semakin lemah kerana perbalahan, juga mendapat suntikan semangat kerana melihat ia merupakan satu aktiviti BN.

Tetapi dengan perubahan itu, bolehkah Najib selamatkan kegusaran BN? Adakah pengundi Cina kembali menyokong BN daripada apa yang dilakukan oleh Najib itu?

‘‘Pada hemat saya, rancangan dan strategi Najib itu tidak semestinya berjaya kerana dalam arena politik negara, Najib bukanlah orang baru,” tulis beliau.

Perkara utama ialah masyarakat Cina melihat prestasi BN kepada negara. Mereka selama ini tidak puas hati terhadap kerajaan, maka apakah yang dilakukan oleh Najib selama ini dapat merubah pandangan mereka?

Penulis itu menambah, beliau percaya apa yang ditonjolkan oleh rakyat tentang sokongan kepada BN hanyalah di permukaan sahaja.

Ketika Najib mendekati dan memenangi hati rakyat, pada masa sama ramai di kalangan ahli Kabinet beliau melaksanakan tindakan yang tidak mesra rakyat.

‘‘Secara jelas saya ingin memberitahu, saya langsung dan tidak sedikit pun merasakan ia mesra rakyat,'' tulis beliau.

- UTUSAN

PM - Memeta wawasan melaksana amanah

Teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-11 (MAPPA XI) pada Selasa, 9 Mac 2010 jam 9.30 pagi di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin bin Mohd. Yassin,

Timbalan Perdana Menteri Malaysia,

Y.B. Menteri-Menteri,

Y.A.B. Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri,

Y.B. Timbalan-Timbalan Menteri,

Y.Bhg. Tan Sri Mohd Sidek bin Hj. Hassan,

Ketua Setiausaha Negara,

Y.Bhg. Tan Sri Ismail Adam,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia,

Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato'-Dato', Datin-Datin, Dif-dif Kehormat,

Tuan-tuan dan puan-puan para penjawat awam yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua telah memungkinkan saya bertemu muka dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) buat kali yang ke-sebelas ini. Sesungguhnya interaksi dengan pegawai kanan pelbagai sektor dalam perkhidmatan awam seumpama ini amat wajar untuk membolehkan gagasan, hasrat dan jangkaan Kerajaan dapat dikongsi secara terus dan tulus.

2. Justeru, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Y.Bhg. Tan Sri Mohd. Sidek Hj. Hassan, Ketua Setiausaha Negara, juga kepada Y.Bhg. Tan Sri Ismail Adam selaku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang telah mengaturkan ru ang dan kesempatan ini untuk saya menyampaikan pan dangan dan pesanan sebagai panduan kepada kita semua dalam menggalas tanggungjawab selaku anggota pentadbiran dan penjawat awam.

3. Terutamanya juga saya ingin mengucapkan penghargaan yang tinggi kepada seluruh anggota perkhidmatan awam atas komitmen dan pencapaian cemerlang yang dicatatkan se panjang tahun 2009. Apa yang lebih mustahak, saya dapati adalah, kesungguhan para pegawai awam untuk terus me mahami dan mendokong hasrat Kerajaan ke arah kemak muran negara serta kesejahteraan rakyat.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

4. Para bijak pandai menyebut, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lantaran, di peringkat perencanaan saya menyaksikan sendiri iltizam luar biasa penjawat awam semasa sessi percambahan idea makmal NKRA yang telah berlarutan sehingga awal pagi. Di sudut lain, di peringkat perlaksanaan, rangkaian Klinik 1Malaysia yang saya kemukakan semasa Bajet pada bulan Oktober tahun lalu, Alhamdulillah telah pun menjadi realiti pada minggu pertama tahun ini apabila hampir 50 buah klinik telah mula beroperasi. Hakikat ini telah berjaya menyuntik kepercayaan tinggi rakyat terhadap per khidmatan awam dan juga membuktikan bahawa jika ada tumpuan, ketanggungan dan motivasi tinggi, sebarang kerja dan cita-cita dapat dilunaskan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

5. Di persimpangan ini, satu persoalan pokok yang perlu ditanya dan diperoleh jawapannya untuk terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara ialah, apakah sebenarnya sebuah kerajaaan yang baik? Nyatanya, kerajaan secara asas adalah mekanisma kolektif rakyat, bagi melaksanakan aspirasi yang tidak dapat dilakukan dengan berkesan secara ber sendirian seperti memelihara keselamatan, memastikan ke bajikan dan mencipta kemakmuran. Pada dasarnya lagi, kerajaan berdaya maju adalah kerajaan yang terus berusaha untuk menyediakan eko sistem terbaik agar setiap warga dapat mengembangkan potensi dan bakat mereka secara optima.

6. Oleh yang demikian, saya ingin perjelaskan dua prinsip penting kepada pentadbiran ini. Pertamanya, saya mahukan kehidupan rakyat hari ini lebih baik daripada hari semalam dan kehidupan mereka pada masa depan akan lebih baik lagi daripada hari ini. Ke arah matlamat tersebut, kerajaan perlu terus mengkhidmati rakyat dengan memakmurkan kehi dupan serta memelihara kebajikan mereka.

7. Sekalipun kerajaan tidak mempunyai jawapan terhadap semua persoalan, namun dalam konteks sejarah Negara Malaysia telah terbukti selama ini kerajaan yang memerintah berjaya menangani aspirasi rakyat terbanyak. Sejak sekian lama, kerajaan bersungguh untuk mewujudkan eko sistem terbaik bagi merealisasikan hasrat menjadi sebuah negara maju serta berpendapatan tinggi.

8. Keduanya pula, adalah untuk menggerakkan ekonomi negara dan meletakkannya kembali atas landasan pertum buhan yang sihat serta mapan. Matlamat ini telah menemui kejayaan awal yang memberangsangkan apabila kesan dua pakej stimulus fiskal telah mengembalikan pertumbuhan ekonomi negara kepada daerah positif, bermula suku ke-4 tahun 2009 daripada penguncupan tiga suku berturut-turut sebelumnya.

9. Di kesempatan ini, sayugia saya merakamkan peng hargaan kepada para penjawat awam yang telah menjayakan kedua-dua pakej stimulus ini dengan tindakan yang pantas dan berkesan. Syabas dan Tahniah. Mustahaknya, kejayaan ini perlu dipertahan dan diperkukuhkan lagi bagi menetapkan kita berada di garis yang betul dalam merealisasikan wawasan nasional.

10. Secara keseluruhannya, harus barang diingat, dalam konteks aspirasi nasional untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi ini, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan dan perubahan secara lonjakan berganda, bu kan lagi secara berdikit-dikit tanpa pula, mengenepikan agen da keadilan sosial.

11. Meniti di atas dua prinsip yang saya nyatakan itu, sebagai satu pentadbiran bersifat objektif, jelas dan berhalatuju, kerajaan telah menukilkan 4 Tiang Utama: Pertama, satu falsafah induk sebagai panduan yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan yakni 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pen capaian Diutamakan; Kedua, satu prakarsa teras peranan kerajaan yakni Program Transformasi Kerajaan dan dua inisiatif ekonomi bagi memeta hala tuju jangka panjang, sederhana juga jangka pendek negara yakni Model Baru Ekonomi serta Rancangan Malaysia ke-10.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

12. Tiang Utama Pertama : Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah satu falsafah induk yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan kerana matlamat gagasan 1Malaysia adalah perpaduan nasional. Inilah matlamat yang menjadi cita-cita dan aspirasi semua warga Malaysia semenjak dahulu lagi.

13. Samada suka ataupun tidak, sebagai sebuah negara majmuk tanpa dipacu perpaduan nasional, apa pun cita-cita kebangsaan yang lain seperti usaha mencapai taraf hidup yang lebih baik untuk setiap warga akan hanya tinggal angan-angan kosong. Terbukti, tanpa perpaduan nasional tidak mungkin wujud kestabilan politik yang menjadi teras kepada sega la-galanya.

14. Jelasnya, merealisasikan perpaduan nasional bukannya kerja sehari, seminggu, sebulan, setahun mahupun sedekad. Ia adalah usaha berterusan semenjak negara mencapai kemer dekaan lebih lima dasawarsa yang lalu. Ia akan terus menjadi perjuangan yang akan diwariskan dari generasi ke generasi. Oleh itu, menjadi amanah kepada semua untuk terus mem bugar dan membajainya.

15. Tugas ini perlu dilaksana dengan kesedaran bahawa, pemupukan perpaduan nasional tidak berlaku dalam situasi yang bersifat utopia, ataupun segalanya sempurna. Ini pas tinya menjadi cabaran kepada sebuah kerajaan yang ber tanggungjawab untuk mengekalkan keseimbangan agar per paduan nasional mampu terus tumbuh dan mekar.

16. Syukurlah, bapa-bapa kita telahpun menunjukkan jalan dan meletakkan asas yang kukuh bagi pencapaian perpaduan nasional ini, melalui dua faktor pemersatu yakni, dengan penggubalan undang-undang tertinggi negara dalam bentuk Perlembagaan Persekutuan dan juga Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan.

17. Kendati begitu, peraturan dan undang-undang tidak mungkin melenyapkan segala kebimbangan dan merung kaikan segala permasalahan. Untuk bergerak ke hadapan, rakyat Malaysia perlu berubah dari mendefinasikan diri mereka berasaskan perbezaan yang wujud kepada mencari kesamaan yang ada. Bukankah kita semua manusia biasa, yang hanya menumpang lalu di bumi Tuhan ini buat sementara waktu? Bukankah kita semua mendambakan perkara yang sama, iaitu kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak kita pada masa depan? Bukankah kita ini hamba-Nya menghirup udara yang sama di maya pada ciptaan-Nya?

18. Hakikatnya, Gagasan 1Malaysia tidak akan berjaya jika tidak didokong oleh prinsip Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Perpaduan pula tidak akan bermakna jika aspirasi, kebimbangan dan kepentingan setiap warga Malaysia tidak diambilkira. Perpaduan akan hanya menjadi retorik kosong jika pencapaian tidak diutamakan. Makanya, marilah kita menilai sesama kita bukan kerana warna kulitnya tetapi nilailah berasaskan keikhlasan dan integritinya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

19. Tiang Utama Kedua: Kerajaan menyedari bahawa segala apa yang diaspirasikan tidak akan terjelma dan menjadi realiti tanpa pelaksanaan yang pantas, tepat dan berkesan. Inilah tugas para penjawat awam dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.

20. Melalui Program Transformasi, kita mahukan Kerajaan menjadi lebih responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat. Seperti yang sering disebut, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir. Jadinya, kerajaan perlu bersifat sebagai pemudahcara dan bukannya "absolute arbiter of wisdom".

21. Melalui enam bidang keberhasilan utama atau NKRA dan Indeks Petunjuk Prestasi atau NKPI pula, matlamat serta keberkesanan kerajaan akan bersifat lebih telus dan kuan titatif. Rakyat bukan sahaja akan dapat mengetahui apakah matlamat kerajaan dan kaedah pelaksanaanya tetapi juga turut memainkan peranan dalam menggubalnya.

22. Seterusnya, Tiang Utama Ketiga dan Keempat adalah dua prakarsa penting ekonomi yakni Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh. Di sini, untuk mencapai cita-cita nasional bagi menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, memerlukan kita keluar dari perang kap atau kepompong paradigma serta struktur negara ber pendapatan sederhana. Ia bukan satu tugas yang mudah, namun, ia tidak juga sesuatu yang mustahil. Jika ditinjau susurgalur sejarah ekonomi negara maka kita akan dapat menyaksikan bagaimana setiap cabaran era baru berjaya kita tangani hasil kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan melalui pendekatan berhemah yang sentiasa berada di ha dapan keluk bersifat sistematik lagi pragmatik.

23. Hasilnya, dari sebuah ekonomi pertanian berpenda patan rendah yang bergantung kepada eksport komoditi, kita telah berjaya meningkat menjadi sebuah ekonomi perin dustrian berpendapatan sederhana tinggi dan merupakan antara 20 negara pengeksport terbesar di dunia. Ketahuilah bahawa ini bukan satu pencapaian yang mudah mahupun bersifat biasa. Bersyukurlah, kerana bukan semua negara mampu mencapai apa yang berjaya kita kecapi.

24. Namun hari ini, cabaran yang kita hadapi amat berbeza iaitu bagaimana untuk meningkatkan taraf ekonomi negara daripada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi ke pada negara berpendapatan tinggi. Apabila saya menggu nakan istilah negara berpendapatan tinggi bukanlah maksud saya kita beraspirasi untuk menjadi seperti sesetengah negara yang pernah saya lawati di mana kos hidupnya begitu tinggi sehingga kualiti hidup dikompromi dan lumpuh nilai ma nusiawinya.

25. Apa yang kita inginkan ialah peningkatan selari di antara pendapatan dan kualiti kehidupan. Peningkatan pendapatan harus berkadar terus, bukan berkadar songsang dengan pe ningkatan mutu hidup. Tidak ada gunanya pendapatan yang tinggi jika, "we cannot afford to spend quality time with our families and be able to take the time to smell the roses''.

26. Lalu, bagi mencapai matlamat ini, iktisad negara perlu meningkat dalam rantaian nilai ekonomi. Kita mesti melabur dan menarik pelaburan dalam sektor yang mampu menjana pulangan yang besar. Hari ini, bidang ekonomi yang terbabit bergantung kepada input kreativiti, inovasi dan nilai tambah yang tinggi.

27. Pokoknya, realiti semasa membuatkan kita tidak boleh lagi alpa berenang di lautan merah sebagai sebuah ekonomi yang hanya mampu menarik pelaburan dalam sektor-sektor yang bernilai rendah. Ketagihan kepada buruh murah ber kemahiran rendah serta sumber asli akan hanya menum pulkan daya saing ekonomi negara dan seterusnya dalam jangka panjang menjejaskan taraf hidup rakyat Malaysia.

28. Kebergantungan dan kegianan, seperti saya sebutkan di atas akan hanya menjadi faktor penolakan yang mengaki batkan penghijrahan keluar tenaga mahir tempatan. Ini kerana, rakyat tempatan berkemahiran tinggi sudah tentu akan gagal mendapat pekerjaan yang sesuai dengan ke mahiran mereka. Sayang sekali, akhirnya kemahiran yang mereka miliki akan tertumpah khidmatnya di bumi asing dan rugilah kita.

29. Tambahan lagi, dengan fenomena ketirisan pekerja berkemahiran tinggi, lengkaplah putaran yang akan me lemaskan kita dalam perangkap pendapatan pertengahan. Beringatlah bahawa, di celah-celah era globalisasi ini ''our loss is always somebody elses gain''. Jika gejala ini terus berlaku dan tidak ada sebarang usaha untuk merubahnya, maka, cita-cita negara untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi hanya akan tinggal impian.

30. Selanjutnya, dalam waktu terdekat kerajaan akan men zahirkan Rancangan Malaysia Ke-10 sebagai siri mutakhir rancangan pembangunan lima tahun negara. Ia merupakan blok binaan pertama kepada "road map" Model Baru Eko nomi. Ia akan menjadi jendela sulung kita ke arah Wawasan 2020. RMK-10 ini yang akan berjalan dari tahun 2011 hingga 2015 akan diikuti kemudiannya oleh jendela kedua dalam bentuk Rancangan Malaysia Ke-11. Tempoh ini merangkumi tahun-tahun 2016 hingga 2020. Sesungguhnya, Kedua-dua rancangan Malaysia ini adalah penting demi masa depan rakyat dan kemakmuran negara.

31. Oleh sebab itu, kita tidak boleh takut mahupun bimbang untuk melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan kerana jika kita mengambil sikap suka melewatkan apa yang perlu diubati dengan segera hanya kerana kita khuatir ter hadap kesakitan yang bakal ditempuhi dek kerana rawatan tersebut, maka kita sebenarnya sedang mendedahkan diri untuk ditimpa bencana yang lebih serius.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

32. Sepanjang tempoh pentadbiran, pelbagai inisiatif, pe rubahan dan penambahbaikan sedang, serta telah dilak sanakan bagi meningkatkan motivasi kerja serta produktiviti perkhidmatan awam. Baru-baru ini, kerajaan telah melak sanakan perubahan skim perkhidmatan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis serta Konstabel yang melibatkan jumlah seramai hampir 99,000 anggota. Perubahan skim perkhidmatan ini adalah berlandaskan prinsip taraf kema sukan yang telah dinaikkan. Berdasarkan prinsip ini juga pihak kerajaan telah meluluskan kenaikan gaji bagi pangkat Inspektor, Penolong Penguasa Polis dan Timbalan Penguasa Polis. Ini hakikatnya adalah kesinambungan kenaikan kepada lain-lain pangkat yang telah dilaksanakan pada masa lalu.

33. Lantas, saya ingin menegaskan bahawa kenaikan ini seharusnya disyukuri dan menjadi pemangkin kepada pe ningkatan produktiviti. Mudah-mudahan ia akan membantu membendung pelbagai hambatan negatif terutama sekali godaan rasuah.

34. Selain itu, kerajaan juga komited untuk menyediakan prasarana kesihatan yang terbaik dan berkemampuan untuk rakyat. Kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan pe nambahbaikan laluan kerjaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia secara komprehensif dari gred lantikan hingga ke Gred 54 dengan peluang peningkatan dalam tempoh yang lebih wajar.

35. Semua usaha ini akan membabitkan tambahan per belanjaan kerajaan yang dianggarkan sejumlah RM 200 juta setahun. Oleh yang demikian, kerajaan berharap Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi di KKM akan terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

36. Dalam usaha mengukuhkan khidmat sektor awam lagi, kerajaan telah menggerakkan inovasi dengan memperke nalkan sistem kemasukan pelbagai peringkat yang bertujuan menarik bakat-bakat terbaik di luar pasaran Perkhidmatan Awam. Bagi menggapai hasrat kepimpinan global ini, di antara formula baru yang telah diterokai dan dilaksanakan ialah kemasukan pelbagai gred terhadap pegawai-pegawai secara inter-skim perkhidmatan.

37. Sebenarnya, terdapat 31 skim perkhidmatan dalam sektor awam memperuntukkan Kelayakan Masuk Pelbagai di mana, gaji permulaan yang lebih tinggi akan diberi ber dasarkan kelayakan akademik, kelayakan professional serta kompetensi-kompetensi lain yang berkaitan.

38. Nampaknya, hasrat dan kesungguhan Kerajaan untuk memperkukuh dan memodenisasikan perkhidmatan awam dengan menarik bakat terbaik melalui Program Cross Fer tilization telah membuahkan hasil dan sudah mula me nambat hati generasi muda untuk menabur jasa kepada negara. Kerajaan akan meneruskan program-program Cross Fertilization ini dengan beberapa pihak lain seperti agensi antarabangsa, syarikat multinasional, Pejabat Perwakilan Ma laysia di luar negara, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Johor.

39. Di sini, saya berterima kasih kepada Y.Bhg Tan Sri Ketua Setiausaha Negara kerana mengambil ownership ke atas program Cross fertilization di mana saya difahamkan Y.Bhg Tan Sri KSN telah mengadakan perjumpaan berkala dengan peserta PCF setiap 2 bulan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung dari mereka. Impak yang ditunjukkan sangat memberangsangkan. Melalui program sebegini, Kerajaan per caya bahawa, matlamat untuk membangunkan pemimpin generasi baru yang berpotensi dan berprestasi tinggi di sektor awam akan tercapai akhirnya dan meletakkan Malaysia se tanding dengan negara-negara maju di dunia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

40. Salah satu lagi agenda nasional bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang ber pendapatan tinggi ialah pengeluaran modal insan yang ber kualiti. Untuk itu kita mahukan institusi pengajian tinggi awam mempunyai murabbi yakni tenaga pengajar dan pe nyelidik yang terbaik dan bermotivasi. Kerana itulah, kerajaan akan mengkaji skim perkhidmatan pensyarah IPTA dan pensyarah Institut Perguruan. Hari ini contohnya, seorang profesor di IPTA hanya boleh mencapai Gred Khas A. Kita akan mengkaji semula untuk membenarkan Profesor di IPTA naik hingga peringkat tertinggi Turus tanpa perlu memegang sebarang jawatan pentadbiran di IPTA terbabit.

41. Untuk itu satu mekanisme khas akan diwujudkan pada peringkat nasional yang akan melibatkan elemen panel ber kecuali dan "peer review'' bagi memastikan penilaian yang adil diberi terhadap proses kenaikan gred ini. Kenaikan tersebut, hendaklah berdasarkan meritokrasi kerana negara memerlukan yang terbaik. Mahu tidak mahu, dalam apa jua bidang dan lapangan, kita tidak boleh bertolak ansur dengan tahap mediokriti atau budaya kecincaian. Pokok pangkalnya, kita mahukan IPTA di Malaysia menjadi ''paragon of excel lence''.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

42. Dalam pada itu, ingin saya nyatakan di sini bahawa saya mendengar bisikan dan suara hati para penjawat awam. Saya tahu dan saya peduli. Jangan berasa gundah gulana dan menganggap saya tidak prihatin atau tidak peka walaupun bisikan itu datang secara perlahan dan bersifat sayup-sayup kedengaran.

43. Oleh itu, saya telahpun mengarahkan satu kajian komprehensif terhadap penggunaan sistem "pool'' yang wu jud sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum. Dalam kata lain, elemen ''natural justice'' iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlulah menjadi sebahagian daripada prosedur.

44. Di penjuru yang lain, kerajaan juga akan mengkaji konsep "closed service". Kita tidak mahu penjawat awam menjadi jumud oleh kerana sudah terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing akibat tidak dapat lagi meningkat dalam karier masing-masing.

45. Saya mahukan JPA memberi lebih perhatian kepada ehwal ''continuing education'', ''skills upgrading", "succession planning" dan ''career advancement'' para penjawat awam. Penjawat-penjawat awam muda terutamanya yang terlibat dengan tugas-tugas diplomasi dan rundingan antarabangsa perlulah didedahkan dengan pengalaman yang secukupnya.

46. Melentur buluh kata orang, biarlah dari rebungnya. Janganlah melihat sebagai satu kerugian untuk menghantar pegawai-pegawai muda ini untuk terlibat dengan rundi ngan-rundingan antarabangsa kerana dengan cara ini sa hajalah mereka dapat menimba pengalaman. Sehubungan itu, para penjawat awam hendaklah dari masa ke semasa memahirkan diri dengan menguasai pelbagai bahasa.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

47. Bagi menyangga, empat tiang utama yang telah saya kumandangkan tadi, perlu didokong pula oleh empat nilai asas pelengkap; Pertama: Membudayakan Kreativiti dan Ino vasi. Mahu tidak mahu para penjawat awam mesti berfikir di luar lingkungan kotak. Saya tidak mahu budaya "automation'' menjadi satu hakikat kehidupan dalam sektor awam. Kita seharusnya berfikiran kritis dan konstruktif dalam menu naikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari pe nyelesaian-penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kela ziman.

48. Kedua : Mementingkan Kepantasan bertindak dan membuat keputusan. Janganlah kita melengahkan apa yang mampu kita laksanakan hari ini kepada hari esok atau lusa. Mengambil petua orang tua-tua, kerja bertangguh tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan. Dalam konteks ini janganlah kita lambatkan apa yang kita boleh selesaikan saat ini kepada detik, minit, jam, hari, minggu, bulan mahupun tahun yang berikutnya. Sememangnya kepantasan bertindak dan membuat keputusan akan menyebabkan keyakinan ra kyat bertambah kepada kerajaan.

49. Kerajaan perlu dilihat pantas mengotakan janji. Contoh terbaik adalah, apabila saya mengumumkan Klinik 1Malaysia dalam ucapan bajet tahun lalu, lebih kurang dua bulan kemudian ia sudah menjadi realiti. Begitulah juga imbuhan tetap bulanan kepada Johan Qari dan Qariah Tilawah An tarabangsa, telah kita tunaikan tidak sampai 3 minggu setelah diumumkan.

50. Kepantasan bertindak dan membuat keputusan seperti ini akan juga meningkatkan "velocity of money'' atau halaju kitaran wang dalam sistem ekonomi negara. Keputusan cepat, pantas dan tanpa bertangguh perlu dibuat terutamanya yang melibatkan kelulusan urus niaga, pemberian lesen, deve lopment order, tender, kontrak, sebut harga, pembayaran kerja dan lain-lain perkara yang melibatkan implikasi ke wangan kerana ia mampu merangsang pertumbuhan eko nomi negara seterusnya menambah kekayaan nasional. Hal ini tidak lain tidak bukan, pada analisa akhirnya akan menguntungkan negara dan rakyat. Jelas sekali, budaya me lambat-lambatkan sesuatu keputusan akan hanya merugikan rakyat dan negara.

51. Ketiga : Nilai untuk Wang atau "Value for money''. Dalam aspek ini, pembaziran, penyelewengan dan gejala salah urus hendaklah dihapuskan daripada pengurusan kewangan awam. Sesungguhnya, setiap ringgit dan sen perbelanjaan hendaklah mendapat pulangan nilai paling maksima kepada kerajaan dan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan perlu ber hemah dalam perbelanjaannya.

52. Untuk mencapai matlamat nilai untuk wang, maka kaedah pengurusan nilai atau "value management" perlulah diterapkan dalam semua pengurusan projek-projek kerajaan bermula dari peringkat awal lagi. Pengurusan nilai perlu menjadi wahana yakni alat pengurusan atau "management tool" untuk mencapai nilai untuk wang. Dengan kaedah ini diharapkan dapat mengubah cara kita merancang dan melihat sesuatu projek. Kita perlu menyoal assumption atau andaian yang ada, adakah terdapat kaedah atau cara yang lebih baik untuk mendapat pulangan optimum kepada perbelanjaan kerajaan.

53. Ada banyak contoh di mana perbelanjaan kerajaan berjaya dijimatkan dengan pengurusan nilai. Ia seharusnya merangkumi pra dan pasca projek termasuklah pemilihan lokasi, rekayasa dan reka bentuk sehingga pemilihan bahan pembinaan yang bersesuaian. Kita perlu mengambil kira "total life cycle cost'' atau kos keseluruhan kitar hayat sesuatu projek. Sekiranya kita tidak mengambil kira kos-kos yang tersembunyi termasuk kos penyelenggaraan, maka, ia mung kin mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan kewa ngan kerajaan kemudian hari nanti.

54. Sehubungan itu, sukacita saya mengesyorkan bahawa ganjaran istimewa akan diberikan kepada mana-mana pe gawai atau kumpulan pegawai yang berjaya mendatangkan penjimatan yang besar kepada pihak kerajaan. Pendek kata, kita mahu para penjawat awam sentiasa mencari kaedah pelaksanaan yang berkesan dan efektif melibatkan penji matan. Ertinya dengan jumlah kos yang sama tetapi kita berupaya mendapat kualiti yang lebih baik.

55. Keempat : Nilai Integriti. Sememangnya, transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga ke majuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani. Fokus terpenting bagi pembangunan sedemikian ialah peningkatan dan pemantapan etika dan integriti yang perlu menjadi budaya masyarakat. Ringkasnya, tanpa integriti maka segalanya tidak akan bermakna.

56. Sesungguhnya, penjawat awam adalah khadam pe melihara kepentingan awam atau "Custodian of the public interest". Jika tuan-tuan dan puan-puan sekalian tidak me miliki integriti maka kepercayaan dan keyakinan rakyat akan hilang. Kata pepatah lama, harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Kita boleh mencari kuasa, kekayaan, kedudukan dan ilmu pengetahuan tetapi tanpa integriti kita tidak akan mempunyai nama yang baik sedangkan nama yang baik amatlah mustahak. Inilah yang akan dikenang oleh rakyat dan dicatat dalam sejarah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

57. Kesimpulannya, empat tiang utama dan empat nilai asas sebagai pelengkap ini merupakan lapan tonggak perdana pentadbiran saya. Setiap satu saling melengkapi antara satu sama lain. InsyaAllah jika lapan tonggak perdana ini di junjung dan dipegang erat, ia akan memandu para penjawat awam, rakyat dan negara ke arah masa depan yang kita cita-citakan bersama.

58. Di atas semuanya, para penjawat awam perlu mendakap realiti berkhidmat untuk rakyat sebagai satu keluarga besar. Maksud saya, janganlah ada budaya dan mentaliti keter pisahan antara penjawat awam dan rakyat yang selama ini hanya dianggap kelayan atau pelanggan. Saya mahukan penjawat awam dan rakyat yang dikhidmati menjadi sebagai satu keluarga besar. Dalam erti kata lain, khidmat yang diberi hendaklah mencerminkan kesungguhan seperti mana kita ingin memberi yang terbaik kepada keluarga sendiri. Pastinya nanti laungan Rakyat Didahulukan tiba pada maknanya.

59. Kita juga tidak mahu ada mentaliti silo dalam per khidmatan di mana masing-masing penjawat awam melihat kepentingan terhad kepada jabatan, agensi dan kementerian mereka sahaja. Sepatutnya, budaya bekerja sebagai satu pa sukan dan saf yang kukuh hendaklah merentasi silo atau kokun masing-masing demi kepentingan rakyat. Barulah nanti kerajaan akan dapat menunaikan amanahnya meng khidmati rakyat secara tuntas.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

60. Mendasari segalanya adalah kesetiaan para penjawat awam adalah sine qua non kepada kewujudan pentadbiran. Jumlah penjawat awam terkini melebihi sejuta orang. Ke satuan fikiran dan kesatuan tindakan adalah prasyarat kepada kejayaan yang kita idamkan. Kesetiaan adalah nilai paling mustahak yang menunjang budaya sepasukan. Kesetiaan yang saya maksudkan di sini adalah kesetiaan kepada negara berlandaskan kesetiaan kepada perlembagaan. Dalam kata lain, satu bentuk kesetiaan yang penuh profesional oleh para penjawat awam.

61. Dalam situasi ini, moleklah kita mengambil mafhum dan pedoman daripada Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat 59: Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta 'Ulil-Amri' yakni para pemerintah dan orang-orang yang berkuasa daripada kalangan kamu. Pendek kata, apapun kecenderungan peribadi atau siapapun yang diidolakan, bila bekerja hendaklah taat setia kepada mandat amanah rakyat yakni pentadbiran negara yang telah dipilih. Nescaya, Allah S.W.T akan memberkati kita.

62. Pepatah Arab menyebut, "Siapa yang bersungguh-sung guh, maka dialah yang mendapat". Mengakhiri kalam, saya mahukan nilai-nilai kerja bermutu tinggi, kehebatan ber tindak, kesungguhan, ketabahan, proaktif dan komitmen jitu sebagai satu pasukan terus disemai, tumbuh, kembang dan mewangi dalam perkhidmatan awam.

63. Itulah tonggak peradaban bangsa yang mampu men capai kecemerlangan seperti terakam dan tergambar dalam Sejarah Melayu "Belum diseru sudah menyahut, belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah pergi". Mu dah-mudahan, tahun 2010 ini dan dekad seterusnya men janjikan pelbagai lagi kejayaan buat kita semua.

Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufiq Walhidayah Was salamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

- UTUSAN

Selasa, Mac 09, 2010

SEMAKAN PANGGILAN UJIAN MTEST - KPLI AMBILAN JUN 2010

Semakan Keputusan Panggilan MTeST Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Ambilan Jun 2010 boleh dibuat di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
http://apps.emoe.gov.my/kpli/mtest/index.cfm

Ujian MTEST akan diadakan serentak di Seluruh Malaysia pada 13 MAC 2010 (SABTU) mulai jam 9.00 pagi.

Unit Pengambilan dan Penempatan Pelajar
Bahagian Pendidikan Guru,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Paras 3, Blok E13, Parcel E

Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62604 Putrajaya

03-88841233 / 03-88841245 / 03-88841254

http://www.moe.gov.my

Isnin, Mac 08, 2010

Jawatan Kosong Kerajaan Negeri Terengganu - Mac 2010

Terbuka kepada Rakyat Negeri Terengganu sahaja.

JAWATAN:
- PEGAWAI HAL EHWAL ISLAM S41
- RENJER HUTAN G17
- PENGAWAS HUTAN G11
- PEMBANTU SYARIAH LS17
- PENOLONG PEGAWAI VETERINAR G27

CARA MEMOHON:
Permohonan hendaklah dibuat secara online (Borang SPNTRe):
http://spn.terengganu.gov.my

TARIKH TUTUP : 31 MAC 2010

Jawatan Kosong di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Mac 2010

Pemohon-Pemohon daripada warganegara Malaysia yang berkelayakan adalah dipelawa untuk mengisi kekosongan jawatan-jawatan berikut di dalam perkhidmatan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda:

JAWATAN:
1.JURUAUDIT GRED W41
2.PEMBANTU PERTANIAN GRED G17
3.JURUTEKNIK (AWAM) GRED J17

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.ziddu.com/download/8875961/nKosongdiLembagaKemajuanPertanianMudaMADAMac2010.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/27997889/iklan-jawatan-kosong-di-lembaga-kemajuan-pertanian-muda-mada-mac-2010

BORANG PERMOHONAN
http://www.ziddu.com/download/8875962/ermohonanJawatanLembagaKemajuanPertanianMudaMADA.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/27997893/borang-permohonan-jawatan-lembaga-kemajuan-pertanian-muda-mada

Semua permohonan hendaklah dikemukakan kepada:

Pengurus Besar,
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda,
Bahagian Khidmat Pengurusan,
Ibu Pejabat MADA,
Ampang Jajar,
05990 ALOR SETAR.
(u.p.: Cawangan Pengurusan Sumber Manusia)

http://www.mada.gov.my

TARIKH TUTUP : 15 MAC 2010

Jawatan Kosong di Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) Mac 2010

Warganegara Malaysia yang berkelayakan, komited dan berdedikasi adalah dipelawa untuk berkhidmat di Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia bagi jawatan-jawatan seperti berikut:

JAWATAN:
1.PEGAWAI EHWAL EKONOMI
2.PENOLONG PEGAWAI EHWAL EKONOMI
3.PENOLONG AKUANTAN
4.PEMBANTU EHWAL EKONOMI
5.PEMBANTU TADBIR (KEWANGAN)
6.PEMBANTU MAKMAL

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.ziddu.com/download/8875397/ngdiLembagaPerindustrianNanasMalaysiaMPIBMac2010.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/27995323/iklan-jawatan-kosong-di-lembaga-perindustrian-nanas-malaysia-mpib-mac-2010

BORANG PERMOHONAN
http://www.ziddu.com/download/8875398/onanJawatanLembagaPerindustrianNanasMalaysiaMPIB.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/27995325/borang-permohonan-jawatan-lembaga-perindustrian-nanas-malaysia-mpib

Borang Permohonan hendaklah dihantar kepada alamat:

KETUA PENGARAH
LEMBAGA PERINDUSTRIAN NANAS MALAYSIA
NO. 5, WISMA NANAS,
JALAN PADI MAHSURI,
81200 JOHOR BAHRU,
JOHOR DARUL TAKZIM
(u/p: Bahagian Khidmat Pengurusan)

http://www.mpib.gov.my

TARIKH TUTUP : 22 MAC 2010

Pengambilan Pegawai Pendidikan Tugas Ikhtisas dalam Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mac 2010

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempelawa graduan warganegara Malaysia Lelaki dan Wanita yang berkelayakan untuk berkhidmat di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM):

JAWATAN:
- Pegawai Pendidikan Tugas Ikhtisas dalam Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan)

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.ziddu.com/download/8875028/anTugasIkhtisasAngkatanTenteraMalaysiaATMMac2010.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/27993930/iklan-pengambilan-pegawai-pendidikan-tugas-ikhtisas-angkatan-tentera-malaysia-atm-mac-2010

CARA MEMOHON
http://www.ziddu.com/download/8875027/endidikanTugasIkhtisasAngkatanTenteraMalaysiaATM.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/27993972/cara-memohon-pengambilan-pegawai-pendidikan-tugas-ikhtisas-angkatan-tentera-malaysia-atm

TARIKH TUTUP : 19 MAC 2010

Ahad, Mac 07, 2010

Pusat tamadun, monumen tertua di Asia Tenggara ditemui di Sungai Batu

SUNGAI PETANI 6 Mac - Sekumpulan ahli arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui sebuah pusat tamadun yang dilengkapi monumen dan batu bersurat berusia lebih 1,900 tahun di Sungai Batu, Merbok dekat sini baru-baru ini.

Misi penyelidikan yang diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin itu membuktikan adanya kehidupan sebuah komuniti manusia prasejarah yang serba lengkap dengan konsep sosioekonomi dan perdagangan.

Penyelidikan di kawasan seluas 3 kilometer persegi di sebuah ladang sawit di tepi Jalan Lencongan Merbok itu turut meletakkan ia sebagai pusat tamadun sejarah terawal di Asia Tenggara mengatasi Angkor Wat di Kemboja dan Borobodur, Indonesia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, hasil penemuan itu amat menakjubkan kerana ia berjaya mengubah perspektif sejarah negara dan meletakkan Malaysia sebagai pusat wujudnya tamadun manusia tertua di Asia Tenggara setakat ini.

"Penemuan di kawasan Sungai Batu ini berbeza dengan artifak terdahulu.

"Sebelum ini pakar-pakar arkeologi hanya temui bangunan berciri-ciri candi purba.

''Namun, daripada kajian terbaru ia telah mendedahkan kepada kita bahawa terdapat kawasan tapak dengan batu-bata dan monumen yang berfungsi sebagai pusat penempatan, kilang besi dan dewan keramaian. Tarikh yang disahkan wujudnya kawasan ini ialah pada tahun 110 Masehi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada lawatan kerja ke Tapak Penyelidikan Arkeologi Sungai Batu dekat sini hari ini.

Hadir bersama ialah Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid; Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain dan Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din.

Menurut Rais, selain monumen, pakar arkeologi turut menemui satu tulisan berbahasa Sanskrit Palawa pada satu batu bersurat yang berkisar tentang puisi, mantera serta kehidupan masyarakat purba.

"Penemuan monumen dan kawasan purba ini dianggap lengkap dengan adanya tulisan yang memaparkan kisah serta kepercayaan masyarakat lampau," jelasnya.

Katanya, ekoran penemuan terbaru itu, beliau akan membentangkan laporan lengkap kepada Kabinet dalam tempoh terdekat untuk mewartakan kawasan terbabit sebagai Taman Sejarah Negara.

- MINGGUAN MALAYSIA

Dion Bakar baca akhbar, layari Internet sambil terapung


Bolehkah anda melayari Internet selain bercakap menggunakan telefon bimbit dan membaca surat khabar sambil mengapungkan diri tanpa menggunakan pelampung di tengah-tengah laut?

Ia mungkin kedengaran agak ganjil atau pelik dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak.

Mungkin tidak pernah terfikir oleh kita bagaimana seseorang itu boleh terapung tanpa menggunakan pelampung tetapi masih boleh melayari Internet selain bercakap menggunakan telefon bimbit dan membaca akhbar pada masa yang sama.

Itulah gelagat pelik dan menakjubkan ditunjukkan oleh bekas juruterbang pelbagai pesawat selama 40 tahun, Abu Bakar Mohamad, 66, atau lebih dikenali sebagai Dion Bakar.

Bukan sekadar kata-kata sebaliknya Dion membuktikannya apabila dia membuat demonstrasi yang menakjubkan serta memukau orang ramai yang ketika itu berada di pantai Pengkalan Balak, dekat sini.

Rata-rata orang ramai menggeleng-geleng kepala dan tidak kurang pula yang tergamam melihat kebolehannya berbaring di air laut tanpa menggunakan pelampung dan melayari laman web Facebook di Internet.

Hanya menggunakan perut untuk meletakkan komputer riba, beliau melayari Facebook tanpa sebarang masalah kerana komputernya tidak terkena air laut.

"Tidak ada perkara yang tidak boleh dilakukan tanpa usaha dan kegigihan.

"Melayari Internet selain bercakap menggunakan telefon bimbit dan membaca surat khabar sambil mengapungkan diri tanpa pelampung di laut mungkin dianggap sesetengah orang sebagai kerja gila.

"Tetapi inilah keistimewaan yang boleh saya buat dan tidak pernah dilakukan oleh orang lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan demonstrasi hampir sejam bermula kira-kira pukul 11 pagi hari ini.

Malah kata Dion yang merupakan anak jati kelahiran Melaka, dia pernah mengapungkan diri kira-kira 4 batu nautika dari pantai Pengkalan Balak dan pernah melakukan perkara sama di Sungai Pahang.

Dion juga turut mendakwa beliau pernah mengapungkan dirinya selama tiga hari di perairan berhampiran pulau Jawa dan mengakui ia bukan tugas mudah.

Beliau yang mendapat latihan penerbangan di luar negara, pernah berkhidmat sebagai juruterbang pesawat penumpang dan kargo di beberapa negara di Amerika Latin, Perancis, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.

Selain itu, Dion yang berkebolehan bertutur lebih 10 bahasa, adalah bekas pemain sukan polo bagi pasukan kerabat Diraja Pahang.

Menurutnya, beliau memperoleh 'ilmu' mengapungkan diri sewaktu mendapat pendidikan sekolah pondok di Demak, Jawa Tengah ketika berusia 10 tahun.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai 'ilmu' yang dipelajarinya sebaliknya memberitahu: "Inilah keistimewaan yang boleh saya lakukan tetapi tidak pada orang lain."

- MINGGUAN MALAYSIA

Recent Posts