Dion Bakar baca akhbar, layari Internet sambil terapung


Bolehkah anda melayari Internet selain bercakap menggunakan telefon bimbit dan membaca surat khabar sambil mengapungkan diri tanpa menggunakan pelampung di tengah-tengah laut?

Ia mungkin kedengaran agak ganjil atau pelik dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak.

Mungkin tidak pernah terfikir oleh kita bagaimana seseorang itu boleh terapung tanpa menggunakan pelampung tetapi masih boleh melayari Internet selain bercakap menggunakan telefon bimbit dan membaca akhbar pada masa yang sama.

Itulah gelagat pelik dan menakjubkan ditunjukkan oleh bekas juruterbang pelbagai pesawat selama 40 tahun, Abu Bakar Mohamad, 66, atau lebih dikenali sebagai Dion Bakar.

Bukan sekadar kata-kata sebaliknya Dion membuktikannya apabila dia membuat demonstrasi yang menakjubkan serta memukau orang ramai yang ketika itu berada di pantai Pengkalan Balak, dekat sini.

Rata-rata orang ramai menggeleng-geleng kepala dan tidak kurang pula yang tergamam melihat kebolehannya berbaring di air laut tanpa menggunakan pelampung dan melayari laman web Facebook di Internet.

Hanya menggunakan perut untuk meletakkan komputer riba, beliau melayari Facebook tanpa sebarang masalah kerana komputernya tidak terkena air laut.

"Tidak ada perkara yang tidak boleh dilakukan tanpa usaha dan kegigihan.

"Melayari Internet selain bercakap menggunakan telefon bimbit dan membaca surat khabar sambil mengapungkan diri tanpa pelampung di laut mungkin dianggap sesetengah orang sebagai kerja gila.

"Tetapi inilah keistimewaan yang boleh saya buat dan tidak pernah dilakukan oleh orang lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan demonstrasi hampir sejam bermula kira-kira pukul 11 pagi hari ini.

Malah kata Dion yang merupakan anak jati kelahiran Melaka, dia pernah mengapungkan diri kira-kira 4 batu nautika dari pantai Pengkalan Balak dan pernah melakukan perkara sama di Sungai Pahang.

Dion juga turut mendakwa beliau pernah mengapungkan dirinya selama tiga hari di perairan berhampiran pulau Jawa dan mengakui ia bukan tugas mudah.

Beliau yang mendapat latihan penerbangan di luar negara, pernah berkhidmat sebagai juruterbang pesawat penumpang dan kargo di beberapa negara di Amerika Latin, Perancis, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.

Selain itu, Dion yang berkebolehan bertutur lebih 10 bahasa, adalah bekas pemain sukan polo bagi pasukan kerabat Diraja Pahang.

Menurutnya, beliau memperoleh 'ilmu' mengapungkan diri sewaktu mendapat pendidikan sekolah pondok di Demak, Jawa Tengah ketika berusia 10 tahun.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai 'ilmu' yang dipelajarinya sebaliknya memberitahu: "Inilah keistimewaan yang boleh saya lakukan tetapi tidak pada orang lain."

- MINGGUAN MALAYSIA

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.