Isnin, November 30, 2009

JAWATAN KOSONG DI PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR (PENYELIDIKAN DAN INOVASI), UPM

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1. PENOLONG PEGAWAI TADBIR (1 KEKOSONGAN) N27
2. PEGAWAI KHIDMAT PELANGGAN (1 KEKOSONGAN) N17
3. PEMBANTU TADBIR (PERKERANIAN & OPERASI) (4 KEKOSONGAN) N17
4. PEMBANTU AM PEJABAT (2 KEKOSONGAN) N1

DOWNLOAD BORANG PERMOHONAN:
http://www.ziddu.com/download/5436385/BorangJawatanUPM.pdf.html

Borang permohonan yang lengkap diisi hendaklah disertakan dengan salinan kad pengenalan, sijil kelahiran, salinan sijil-sijil persekolahan yang telah disahkan dan sekeping gambar berukuran passport.

Borang permohonan yang telah lengkap hendaklah dihantar kepada :

Bahagian Pentadbiran
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Menara Idea II, Pusat Teknologi UPM-MTDC,
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor
(u.p. : En. Saiful Azwir bin Ali Akbar)

TARIKH TUTUP : 04 Disember 2009

1,001 kisah sifu Rafflesia


Oleh ADHAM SHADAN

Lebih dua dekad Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamed mengkaji bunga Rafflesia. Justeru, bukanlah menghairankan jika beliau mampu berkongsi banyak maklumat tentang bunga terbesar di dunia itu.

Bunga Rafflesia 'berkembang' di bingkai-bingkai gambar yang menghiasi bilik pejabatnya. Kutub khanah mengenai bunga Rafflesia dan tumbuhan botani pula 'merimbun' di atas meja dan almari di balik dinding. Kedatangan penulis dan jurugambar ke pejabatnya disambut dengan wajah yang ceria.

"Nak bagi kad nama, belum siap lagi," ujar Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamed dengan senyuman lebar sambil menunjukkan beberapa kad namanya yang belum siap dipotong. Kad-kad nama itu turut dicetak dengan gambar bunga Rafflesia.

Nyata bunga Rafflesia atau dikenali juga sebagai pakma amat menarik perhatiannya. Pengalaman bertemu Abdul Latiff, 61, di pejabatnya di Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, mendekatkan diri penulis dengan bunga gergasi itu.

Abdul Latiff cukup arif tentang bunga Rafflesia dan merupakan salah seorang pakar tentang bunga itu di negara ini. Disifatkan sebagai ensiklopedia bergerak tentang biodiversiti di Malaysia, beliau turut menjadi tempat rujukan oleh agensi berita antarabangsa untuk mendapatkan informasi tentang Rafflesia, bunga terbesar di dunia itu. Bunga Rafflesia terbesar yang pernah direkodkan berukuran diameter sepanjang satu meter dan berketinggian 50 sentimeter (cm).

Mengkaji mengenai bunga Rafflesia sejak lebih dua dekad, kali pertama Abdul Latiff menyaksikannya pada tahun 1980 di sebuah hutan di Kelantan telah menerbitkan satu rasa yang sukar digambarkan.

Penyelidikan

"Saya ingat lagi saat kali pertama menemuinya. Bagi saya, ia bunga yang sangat cantik. Rasa seronok pada tahap yang paling tinggi. Saya lantas bergambar dengannya. Yalah, bukan semua orang berpeluang bergambar dengan bunga itu.

"Sejak itu, apabila saya masuk untuk mengajar di kelas, saya selalu bertanya kepada pelajar-pelajar saya, berapa ramai antara anda pernah bergambar dengan bunga Rafflesia? Saya sentiasa rasa teruja untuk berkongsi kegembiraan itu," katanya sambil menjelaskan tanggapan salah orang ramai yang menganggap Rafflesia hanya boleh didapati di hutan pergunungan di Sabah.

"Di negara kita, Rafflesia bukan sahaja boleh didapati di hutan di Borneo, bahkan di Kelantan, Perak dan Pahang," jelas anak kelahiran Kota Bharu itu.

Abdul Latiff amat aktif meredah hutan untuk menemui Rafflesia sekitar tahun 1980-an. Katanya, pantang sahaja diberitahu ada Rafflesia di tempat-tempat tertentu, pasti beliau akan pergi. Kadang-kadang sampai seminggu dua kali melakukan penyelidikan di hutan.

Cuma, apabila tahun 1990-an, beliau sudah mula kurang aktif membuat kerja-kerja penerokaan dan mula melatih pakar-pakar baru dalam kalangan pelajarnya. Pakar bunga Rafflesia seperti Prof. Kamarudin Mat Salleh (kini Allahyarham) yang menulis buku tentang Rafflesia merupakan anak didiknya.

Rasa marah

Bagaimana bunga aneh itu yang mencuri perhatiannya? Abdul Latiff berkata, sebenarnya ada dua faktor yang mendorongnya mengkaji Rafflesia. Yang pasti, ia bukanlah minat yang berakar umbi dari awal.

Pertama, bunga Rafflesia ialah parasit dan hanya menumpang pada satu jenis tumbuhan iaitu anggur liar. Sebenarnya, Abdul Latiff berminat untuk mengkaji tentang anggur liar atau nama saintifiknya, Tetrastigma. Maka, beliau secara tidak langsung mengenali Rafflesia.

"Kedua, sebab saya geram. Dahulu, pakar tentang Rafflesia ialah seorang pengkaji dari Jerman. Pendek kata, di dunia ini hanya dia seorang yang menjadi pakar rujuk tentang Rafflesia. Semasa saya menuntut di Jabatan Botani, Universiti Malaya (UM) pada tahun 1973, saya pernah mengikuti seminar yang dikelolakan oleh pakar dari Jerman itu.

"Saya amat marah apabila di dalam ceramahnya dia mengatakan dengan bangga: "Saya telah menipu seorang Orang Asli (walhal sebenarnya orang Melayu) dengan hanya 50 sen untuk menunjukkan tempat Rafflesia berkembang yang saya kehendaki.

"Ketika itu, saya amat marah dan kesal dengan sikap orang Barat yang masih berfikir secara kolonialisme. Mereka menganggap mereka masih menguasai dan kita bangsa yang boleh diperkotak-katikkan. Adakah kita mahu terus membiarkan mereka mencemari maruah kita? Rafflesia hanya ada di rantau Asia Tenggara iaitu di bumi bertuah Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Filipina, tapi kita membiarkan mereka mendominasi. Bayangkan, nama Rafflesia pun diberi sempena nama penjajah British, Stamford Raffles?" ujarnya yang sejak itu nekad untuk melenyapkan dominasi Barat dalam kajian tentang Rafflesia.

Misteri

Buktinya, Abdul Latiff dan pengkaji di negara ini menamakan spesies-spesies Rafflesia baru dengan nama-nama orang Malaysia misalnya, R. Azlanii dan R. Tengkuadlinii. R. azlanii misalnya diambil sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah apabila Abdul Latiff bersama seorang pengkaji lain menemui spesies baru di Hutan Simpan Temenggor, Perak.

Walaupun kajian mengenai Rafflesia sudah banyak dilakukan namun ada beberapa perkara yang masih misteri tentang tumbuhan itu.

"Rafflesia hanya tumbuh pada anggur liar tapi bunga itu cuma ada di negara kita dan beberapa negara jiran sahaja. Sedangkan tumbuhan anggur liar boleh didapati dari India hingga ke Papua New Guinea. Mengapa? Kami belum ada jawapan pasti. Yang pasti, Rafflesia ialah anugerah buat kita," ujarnya sambil memberitahu kini terdapat juga pakar Rafflesia di Indonesia dan Filipina.

Rafflesia ialah parasit 100 peratus. Ia berlainan dengan bunga-bunga yang lain. Ia cuma bunga dan tidak mempunyai daun, akar dan batang. Ia terpaksa bergantung nutrien daripada tumbuhan lain. Nasibnya amat berisiko.

"Rafflesia juga amat sukar untuk wujud kerana sifat semula jadinya begitu. Bunga jantan dan bunga betinanya berada jauh antara satu sama lain maka menyukarkan proses pendebungaan. Ia bukan seperti bunga lain yang tumbuh berdekatan. Pertumbuhannya juga bergantung kepada bantuan haiwan. Bunga yang telah bertukar menjadi buah, diuraikan oleh haiwan. Biji-bijian buah itu mestilah jatuh pada tumbuhan perumah jika mahu Rafflesia yang baru tumbuh. Kalau jatuh pada tanah, tidak jadi apa," katanya.

Bagaimana Rafflesia menjadi inspirasi hidupnya? Abdul Latiff berkata, Rafflesia sejenis tumbuhan yang mampu untuk hidup walaupun banyak rintangan yang terpaksa dihadapinya untuk wujud di muka bumi. Sifat itulah yang cuba diterapkan pada dirinya dan anak-anak.

"Walau betapa sukar pun rintangan, pasti kita boleh meneruskan hidup," katanya.

Harapan beliau? Abdul Latiff yang layak digelar guru atau 'sifu' dalam penyelidikan Rafflesia itu menyatakan dua perkara.

"Saya berhasrat untuk melahirkan beberapa lagi pakar atau penyelidik Rafflesia untuk lebih mendalami biologi tumbuhan berkenaan. Saya juga berharap kita dapat sama-sama melindungi bunga yang cukup unik ini. Seterusnya, berkongsi anugerah keunikan ini dengan pelancong luar menerusi eko pelancongan," ujarnya.

- KOSMO!

Hajat terakhir Chin Peng


Walaupun Chin Peng begitu sekali ingin pulang ke tanah tempat tumpah darahnya, tetapi bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang berusia kini 85 tahun, bagaimanapun belum bersedia untuk memohon maaf di atas apa yang telah berlaku - tidak seperti yang dilaporkan media minggu lalu.

“Saya tidak ada niat lain selain daripada untuk pulang ke tanahair saya,” katanya.

Kerajaan pula berkeras tidak membenarkan Chin Peng, yang kini tinggal di Thailand, untuk memijak bumi Malaysia, atas alasan kekejaman yang telah dilakukan oleh PKM.

Bercakap kepada media, Chin Peng yang nama sebenarnya Ong Boon Hua, berkata beliau berhasrat menziarahi perkuburan ibubapanya serta menemui semula anggota keluarganya.

Chin Peng berada di bandar di selatan Thailand untuk menyambut ulangtahun Perjanjian Damai Hatyai, yang telah menamatkan perjuangan bersenjata PKM.

Perjanjian damai itu ditandatangani oleh Chin Peng dan Rashid Maidin yang mewakili PKM dan Tan Sri Abdul Rahim Noor dan Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub bagi pihak kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989.

Keinginannya untuk pulang ke tanahair, begitu kuat sekali sehinggakan bekas pemimpin PKM itu sedang menimbang mengambil risiko masuk secara 'rahsia' dan terserahlah kepada pihak kerajaan untuk mengambil apa jua pun tindakan.

"Saya tidak ada niat lain. Saya berharap dapat pulang untuk berdoa untuk ibubapa dan saudara saya yang sudah pergi. Itulah pengharapan saya selagi masa masih ada,” katanya.

Chin Peng berkata beliau bersedia untuk bertemu dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung perkara itu apabila perdana menteri melawat selatan Thai bulan depan.

Bagaimanapun, Chin Peng, yang berasal dari Sitiawan, tidak bersedia untuk memohon maaf di atas perjuangan bersenjatanya.

Ditanya sekiranya beliau sedia menimbang berbuat demikian sebagai 'tiket' untuk pulang, beliau termenung sejenak dan dengan tegas berkata 'Tidak'.

Peguamnya, Leong Cheok Keng, yang menemani Chin Peng sewaktu wawancara tersebut, mengkritik sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung isu 'permohonan maaf' itu.

Dalam wawancara ekseklusif dengan akhbar The Star minggu lalu, Chin Peng dilaporkan telah memohon maaf kepada mangsa dan keluarga yang menjadi mangsa keganasan PKM.

Beliau dipetik sebagai berkata walaupun PKM tidak pernah berniat untuk membunuh orang awam yang tidak berdosa, tetapi beliau mengakui "kami mungkin telah melakukan kesilapan dalam beberapa kes".

Sebaliknya menurut Leong yang turut membawa rakaman wawancara dengan akhbar The Star, Chin Peng berkata beliau sedia memohon sekiranya ada bukti yang menunjukkan anggota PKM telah dengan sengaja membunuh rakyat yang tidak berdosa.

Katanya, adalah tidak adil bagi akhbar tersebut untuk memainkan isu "permohonan maaf" itu kerana ia memberi gambaran yang Chin Penang menyesal atau telah mengaku telah membunuh orang yang tidak berdosa.

- MALAYSIAKINI

Ahad, November 29, 2009

LAPORAN KHAS: Sempena Ulang Tahun Ke-20 Perjanjian Damai Kerajaan Malaysia dan PKM (Bahagian Pertama)

Oleh ROZAID A. RAHMAN

(Menjelang Rabu ini, genaplah 20 tahun Parti Komunis Malaya (PKM) menamatkan perjuangan bersenjata mereka ke atas Kerajaan Malaysia apabila mereka menandatangani Perjanjian Damai yang bersejarah pada 2 Disember 1989 di Hadyai Thailand. Pengarang Bersekutu mStar, ROZAID A. RAHMAN yang ketika itu berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Malaysia adalah sebahagian daripada mereka yang berpeluang menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Beliau mengimbau kembali setiap detik menuju ke jalan damai itu bersama kita dalam siri Laporan Khas ini.)


Pegawai tentera British John Davis (dua dari kiri) mengiringi Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng (kiri), bersama Chin Tian dan Rashid Maidin. Mereka berjalan menuju ke sebuah bangunan sekolah di Baling pada tahun 1955 untuk berunding dengan Tunku Abdul Rahman dan Ketua Menteri Singapura David Marshall. - Foto Ehsan UTUSAN MALAYSIA

HARI SAYA BERTEMU CHIN PENG & RASHID MAIDIN...

MALAM 30 NOVEMBER 1989 adalah malam yang tidak dapat dilupakan oleh para wartawan Malaysia yang dihantar ke Hadyai untuk membuat liputan Majlis Menandatangani Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Malam itu, buat pertama kalinya dalam tempoh 34 tahun iaitu sejak 29 Disember 1955, manusia yang paling digeruni di tanahair, Chin Peng @ Ong Boon Hua muncul di khalayak ramai.

Setiausaha Agung PKM itu kelihatan gemuk dan sihat dengan wajah yang putih kemerah-merahan - tidak sama sekali mengambarkan yang beliau menjalani kehidupan sebagai seorang gerila di dalam hutan.

Tiada siapa yang tahu bagaimana Chin Peng yang pada mulanya memberikan pra syarat yang beliau hanya akan hadir pada majlis perdamaian itu (yang dijadualkan pada 2 Disember) jika beliau tidak ditemubual oleh media tiba-tiba mengubah fikiran dan memanggil satu sidang akhbar di sebuah kem tentera di Hadyai.

Malah Chin Peng dikatakan tidak mahu pihak media menyaksikan upacara perjanjian damai itu dan beliau juga tidak mahu gambarnya diambil semasa beliau menurunkan tandatangannya di atas kertas perjanjian damai.

Nampaknya beliau sudah berubah fikiran dengan memberikan sidang akhbar lebih awal iaitu sehari sebelum berlangsungnya perjanjian damai.

Sebaik sahaja bertemu dengan wartawan, perkataan pertama yang disebut Chin Peng ialah, “Sudah lama saya menanti saat ini...”

Chin Peng yang berpakaian kemas seperti seorang ahli perniagaan juga kelihatan riang tetapi ada sedikit reservation setiap kali ditanya soalan berkaitan masa depannya dan rancangannya selepas selesai perjanjian damai dengan Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun beliau berkata; Saya belum membuat keputusan sama ada hendak pulang ke Malaysia...”

(Hakikatnya ialah 20 tahun selepas itu, beliau masih tidak dapat menjejakkan kakinya di Malaysia).

Dalam sidang akhbar ringkas itu yang diadakan pada jam 8 malam, Chin Peng bertutur dalam bahasa Melayu, Mandarin, Inggeris dan bahasa Thai tentang perjuangannya dalam PKM di masa silam dan betapa dia memerlukan masa untuk memikirkan apa yang hendak dibuatnya selepas itu.

“Walaupun kami akan membubarkan tentera kami (PKM) kami tidak akan sekali-kali membubarkan Parti Komunis Malaya,” katanya.

Chin Peng juga tidak ketinggalan memberi pengiktirafan kepada daya usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Thailand sehingga termeterainya perjanjian damai ini.

Sedang Chin Peng menunggu tibanya jam 10.30 pagi, 2 Disember 1989 di mana akan berlangsungnya majlis bersejarah itu, iaitu perjanjian damai yang dinanti-nantikan oleh seluruh dunia, pesawat yang membawa para perwakilan Malaysia yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar telah mendarat di Hadyai.

Seorang lagi perwakilan Malaysia, Panglima Angkatan Tentera Diraja Malaysia, Tan Sri Hashim Mohd Ali telah tiba lebih awal di Hadyai.

Para wartawan yang berjumlah hampir 200 orang, siang-siang lagi telah berkampung di bandar Selatan Thai ini. Semua hotel besar di Hadyai bukan sahaja dipenuhi oleh para wartawan dan jurugambar tetapi juga anggota-anggota keselamatan, polis, askar, pegawai tinggi kerajaan daripada kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Thailand, anggota-anggota Majlis Keselamatan Negara apatah lagi pegawai-pegawai dari Cawangan Khas (Special Branch).

Dan sungguhpun kehadiran para pemimpin utama PKM ini cuba dirahsiakan, tetapi penduduk tempatan seperti menyedari bahawa Chin Peng dan Rashid Maidin, pemimpin Regimen Ke-10 PKM sudah berada di pekan ini.

Seorang pemandu teksi mendakwa dia tahu di mana Chin Peng tinggal malah sedia memberikan nombor bilik penginapan sekiranya mendapat ‘bayaran’ yang betul.

Perjanjian bersejarah yang akan ditandatangi oleh Chin Peng dan wakil-wakil Kerajaan Malaysia dan Thailand itu akan berlangsung di sebuah ballroom bernama Siam Conference Room di Hotel Lee Garden. Dan sebaik sahaja selesainya proses perdamaian itu, nama ballroom tersebut akan ditukar kepada The Peace Hall.

****

Hampir tengah malam 1 Disember 1989, tidak sampai pun 24 jam lagi sebelum termeterainya perjanjian damai antara Malaysia dan PKM, tiba-tiba Rashid Maidin, Komander Regimen ke-10 PKM dan Pengerusi PKM, Abdullah CD dan Ah Sek, Komander Regimen Ke-12 PKM muncul di coffee house JB Hotel Hadyai di hadapan wartawan-wartawan Utusan yang terdiri daripada Ketua Pengarangnya, Zainuddin Maidin dan Pengarang Berita, Khalid Mohd dan saya sendiri serta V.K Chin dari akhbar The Star yang secara kebetulan berada di tempat yang sama. (Zainuddin Maidin, kini Tan Sri kemudiannya menjadi Menteri Penerangan Malaysia dan Khalid Mohd., sekarang Datuk, kemudiannya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan kini berkhidmat di sebuah Yayasan di Petronas).

Bagaimanapun kehadiran tiga orang utama PKM itu serta isteri Abdullah dan Ah Sek tidak disedari langsung oleh pengunjung-pengunjung yang lain. Mereka tidak diperdulikan sehinggalah ‘diganggu’ oleh wartawan Utusan yang memberanikan diri bangun lalu berjalan menuju ke arah Rashid dan Abdullah sambil memperkenalkan dirinya.

Cara Rashid, Abdullah dan Ah Sek ‘menyusup’ masuk di celah-celah orang-ramai tanpa menarik perhatian umum sangatlah mengkagumkan. Ia umpama satu seni yang telah mereka pelajari dan adaptasikan dengan cemerlang sekali di sepanjang penyamaran mereka di dalam hutan.

Sepertimana Chin Peng pada malam sebelumnya, ini juga adalah kemunculan pertama Rashid dan Abdullah secara terang-terangan di hadapan khalayak ramai - setidak-tidaknya itulah yang telah disaksikan oleh wartawan-wartawan Utusan dan The Star pada malam itu.

Dan malang sungguh bagi Rashid, Abdullah dan Ah Sek kerana kehadiran mereka untuk bersantai di coffee house itu akhirnya telah terganggu oleh kedatangan wartawan ini.

Rashid yang memesan secawan kopi sambil menghisap paip kelihatan tidak senang apabila kehadiran mereka telah dikesan wartawan. Malah tidak lama selepas itu beliau telah berkali-kali meminta rakan-rakannya yang lain supaya segera menghabiskan minuman masing-masing bagi membolehkan mereka beredar dari situ.

Berpeluang buat pertama kalinya untuk menatap wajah Rashid dari dekat, tidak dapat dinafikan, walaupun berusia 73 tahun ketika itu, Rashid bukan sahaja kelihatan sihat tetapi tegap dan gagah seperti seorang yang bersedia untuk ke medan perang. Beliau sentiasa kelihatan serius sepanjang berada di coffee house itu.

Walaupun beberapa kali diajak berbual, Rashid memperlihatkan gerak badan yang keras dan kekok. Rashid berulang kali berkata, beliau tidak berhasrat untuk bercakap dengan seorang wartawan.

Yang lebih mengejutkan ialah Rashid langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila wartawan Utusan memberitahu bahawa pihak media telah menemui keluarganya di Perak.

Bagaimanapun di sebalik keseriusan wajahnya itu, Rashid akhirnya ketawa kecil apabila diberitahu betapa pihak media begitu mengidam untuk merakamkan wajahnya yang terbaru.

(BERSAMBUNG BAHAGIAN KEDUA)

- MSTAR

Pengorbanan Bukan Sekadar Cerita

Oleh DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
www.drmaza.com

Ketika saya menulis artikel ini, saya berada di Bandung, Indonesia. Datang bersama teman-teman berhariraya Adha ke sini serta berpeluang untuk berceramah dan berkhutbah. Nasib baik tiada pihak yang datang menuntut tauliah ketika saya berceramah dan berkhutbah di sini. Nampaknya ruang dakwah itu tetap ada di mana-mana.

Bumi Tuhan ini luas dan insyaAllah ruang dakwah akan tetap terbuka. Dakwah ini bukannya kegiatan sampingan untuk satu kesukaan, atau mencari kekayaan tetapi adalah tanggungjawab dan amanah. Amanah yang menyebabkan pelaksananya berletihan kerananya. Amanah yang akan menyebabkan terkorbannya kerehatan, harta, bahkan nyawa. Amanah yang akan mengheret insan ke lembah ujian.

Namun ia juga amanah yang menyebab insan merasai nikmat kelazatan iman. Amanah yang menyebabkan insan yang melaksanakannya bebas dari ketakutan terhadap makhluk dan hanya takutkan Allah. Firman Allah: (maksudnya)

"Mereka yang menyampaikan risalah-risalah Allah serta mereka takut kepadaNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah, dan cukuplah Allah menjadi penghitung (segala perbuatan makhluk)" (Surah al-Ahzab, ayat 39).

Setiap kali menjelang musim Aidil Adha, maka berceramahlah di sana-sini berbagai penceramah tentang pengorbanan.

Berceritalah tentang Nabi Ibrahim a.s sebagai simbol insan yang berkorban. Pun kita tidak tahu, adakah penceramah yang berbicara tentang pengorbanan itu telah berkorban untuk agamanya, atau sekadar untuk poketnya?!

Apakah ucapan itu lahir dari insan yang telah merasai jerit perit pengorbanan perjuangan, atau sekadar memenuhi jemputan sahaja. Maka jadilah ucapan-ucapan itu kontang dari segi ruhnya dan tandus dari segi realitinya.

Maaf, dalam banyak keadaan kita banyak penceramah atau yang disebut ‘qussas’ namun kita kurang pendakwah yang menjadikan agenda ummat itu sebahagian dari kehidupannya. Qussas tidak mementingkan ketulenan fakta, sebaliknya yang dipentingkan ‘orang suka dengar’ sekalipun tiada terasnya.

Bak kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib:

"Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar.

Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, -mendukacitakan- mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian". (Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr).

Adapun bagi pendakwah, masa depan Islam, penerimaan masyarakat terhadap Islam, kelangsungan mesej Islam dan pandangan baik manusia terhadap agama ini akan menjadi agenda penting dalam kehidupannya.

Bercerita tentang pengorbanan dan menghayati pengorbanan adalah dua perkara yang berbeza. Untuk berbicara amatlah mudah, ramai penceramah boleh lakukannya. Namun untuk menanggung dakwah dan segala tribulasinya amatlah sukar.

Nabi s.a.w dan para sahabah baginda telah merentasi lembah ujian yang perit untuk membawa dakwah ini. Di situlah mereka terpaksa membelanjakan harta, menanggung sengsara dan keperitan hidup, bahkan menggadaikan nyawa. Bukan untuk kepentingan mereka semata, tetapi untuk manusia sejagat.

Di situlah mereka hayati kemanisan iman, kelazatan perjuangan, kenikmatan persahabatan juga kasih-sayang yang sebenar dari lubuk jiwa para pejuang.

Di situ mereka menemui cinta yang sejati kepada Allah dan RasulNya. Ketika dunia kehairanan melihat mereka bagaikan memperjudikan diri untuk membawa risalah Tuhan, padahal mereka sebenarnya tenggelam khusyuk dalam lautan nikmat kecintaan dan tawakal kepada yang Maha Esa.

Mereka sebenarnya, menjual diri dan harta untuk mendapat ganjaran agung yang jauh lebih besar dari kehidupan dunia yang sementara. Firman Allah (maksudnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang pada jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahuinya. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga "Adn". itulah kemenangan yang besar (Surah al-Saff, ayat 10-12).

Namun sebagai insan, seteguh mana pun perasaan, sekental mana pun jiwa akan terselit juga kesedihan dan dukacita apabila ujian itu datang bertalu-talu. Apabila kebaikan dibalas dengan keburukan. Apabila keikhlasan dibalas dengan kesombongan dan hasad dengki.

Untuk itu, Allah mengubat jiwa para pejuang dengan dihidangkan kisah-kisah pengorbanan, keperitan dan kesakitan yang dibaluti kesabaran yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu yang melalui denai dan becak perjuangan ini. Dengan kisah-kisah itu, akan menjadikan pejuang tidak kesepian, atau rasa bersendirian sebaliknya akan sedar inilah realiti sebuah perjalanan perjuangan yang mesti ditempohi dalam memburu cinta Allah dan kasih rasulNya juga syurga yang dijanjikan.

Firman Allah: (maksudnya)

"Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu mendukacitakan engkau (Wahai Muhammad), sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu keras kepada dengan ayat-ayat Allah. Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu juga pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan mendustakan dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu". (Surah al-An’am, ayat 33-34).

Dengar mendengar cerita benar tentang pengorbanan dapatlah meredakan gelora perasaan para pejuang. Ya, mendengar cerita tidaklah dapat mengurang tekanan fizikal yang dihadapi, namun ia dapat mendamaikan perasaan.

Dalam banyak keadaan keperitan itu datang dari dalaman jiwa melebihi apa yang berlaku di luar. Maka al-Quran dan juga sunnah menghidang banyak kisah-kisah pengorbanan untuk menjadi bekalan pejuang dalam meneruskan agenda menyampai Islam ini.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dipilih sempena Aidil Adha untuk mengingatkan umat ini tentang perjuangan dan pengorbanan. Hidup Nabi Ibrahim adalah hidup yang dipenuhi oleh perjuangan dan pengorbanan tanpa henti. Bukanlah sukar untuk meletakkan pisau menyembelih seorang anak. Tetapi yang sukar itu ialah untuk bertarung dengan perasaan, kepentingan dan derita hati dalam melakukan perkara yang demikian.

Allah Yang Maha Penyayang bukan mahu supaya Ibrahim a.s. membunuh anak, sebab itu digantikan dengan haiwan yang sebenar. Allah mahu Ibrahim a.s. memperlihatkan bahawa cintanya kepada Allah mengatasi segala perasaannya. Itu kemuncak seorang nabi, itulah kemuncak seorang da’i dan itulah kemuncak seorang pejuang. Apabila kepentingan diri itu tidak lebih besar dari kepentingan dakwah dan perjuangan yang ditanggung.

Apabila kita melakukan korban mencontohi perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita gersang jiwa dan kefahaman tentang hakikat perjuangan, maka tujuan pensyariatan itu tidak menuju ke sasarannya. Jadilah kadang-kala majlis korban itu majlis bermegah-megah, atau sekadar memberikan daging dan melupai falsafah perjuangan dan perngorbanan di sebaliknya.

Apabila umat ini meninggalkan tanggungjawabnya sebagai penyampai risalah kebenaran, maka banyaklah syariat yang diturunkan itu hanya ada rupa luaran namun tandus isi dalamannya.

Para pejuang itu berkorban haiwan pada hari Aidil Adha, yang bukan pejuang juga melakukan korban. Namun jiwa yang membara, makna yang dihayati dan hakikat yang difahami yang mengalir dalam tubuh setiap mereka tidaklah sama.

Berjuang dan sekadar bercerita tentang perjuangan tidaklah sama. Apabila jiwa tidak sama, rasa pun berbeza. Apabila rasanya berbeza, kelazatan nikmat agama yang dihirup oleh pejuang pastinya tidak sama dengan apa yang dihirup oleh seorang yang bersantai mencerita tentang agama.

Maka, bukan semua yang berkorban binatang pada aidil adha ini dapat menghayati hakikat perjuangan yang disampaikan dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s.

Elakkan Berkata ”Kalau”

Hadith :

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” Riwayat Muslim

Huraian:

1. Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.

2. Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.

3. Ucapan ‘kalau’ tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sejuta keluarga layak subsidi beras

JEMPOL 28 NOV 2009 – Lebih sejuta keluarga yang dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar dijangka menerima kupon subsidi beras melalui Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberitahu, setakat ini 248,000 keluarga yang berdaftar dengan e-Kasih layak menerima kupon itu dan bilangan itu dijangka terus meningkat.

“Kerajaan hanya membelanjakan RM8.6 juta sebulan dari peruntukan RM60 juta. Bagaimanapun hasil maklumat dari ahli parlimen, kita jangka ia akan mencecah sejuta keluarga memandangkan ada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Tetapi apabila borang permohonan diterima, ia bukannya akan diluluskan terus, tetapi akan dinilai oleh pegawai-pegawai kementerian selepas diberikan kursus oleh ICU (Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan) Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Korban Perdana Jempol 2009 di Felda Raja Alias 2 di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jempol yang juga Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Lilah Yassin; Timbalannya, Mohd. Salim Shariff serta Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS), Badrulhisham Abdul Rahman.

November lalu, sistem kupon di bawah program Subur yang sepatutnya dilaksanakan 1 Disember ini ditangguhkan bagi membolehkan senarai penerima dikemas kini.

Perkara itu diputuskan Kabinet baru-baru ini setelah timbul rungutan serta aduan ada golongan miskin yang layak tetapi tidak disenaraikan sebagai penerima.Ini termasuk mereka yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak berpuluh tahun lalu tetapi tidak layak mendapat subsidi beras.

- MINGGUAN MALAYSIA

Rahsia Cantik Berseri Camelia


Halus dan lembut. Siapa yang melihat pasti terpesona dengan kecantikan kulitnya. Istimewa untuk pembaca Mingguan Malaysia, Camelia berkongsi petua untuk menghilangkan parut. Tanpa parut, wanita pasti memiliki kulit badan yang sempurna.

Sama ada parut jerawat atau pun parut akibat luka-luka di badan. Camelia mempunyai petua semula jadi.

“Bahannya sudah tentu daripada sumber alam semulajadi iaitu lidah buaya. Lidah buaya ini memang banyak khasiatnya. Jadi, ambil lidah buaya ini dan buangkan duri. Kemudian, buangkan kulit untuk mengambil lendir lidah buaya ini. Mudah sahaja, hanya sapukan lendir lidah buaya ini pada parut di muka atau badan. Tapi parut itu mestilah parut yang masih baru atau bukan parut yang sudah kering,” ujarnya.

Tatkala ditanya rahsia kejelitaan wajahnya, Camelia mengajak pendengar semua untuk membuat masker (topeng wajah untuk kecantikan) sendiri.

Sambil tersenyum dia berkata, “Bahannya hanya sebiji avokado. Betul. Untuk kulit wajah yang kering, ambil isi daripada sebiji avokado yang masak, lenyek dengan garpu dan sapu pada muka dan biarkan selama 30 minit.”

Camelia menasihatkan mereka yang memiliki kulit normal, tambah acuan tadi dengan putih telur yang dipukul terlebih dahulu. Kemudian, basuh muka dengan air suam atau air mawar dengan menggunakan kapas.

Bagi wanita jelita ini, Avokado mengandungi vitamin A dan agen anti-penuaan yang memberi kesegaran, melicin dan melembapkan kulit serta membuatkan kulit muka kelihatan muda selalu.

Sebagai artis, Camelia sering berhadapan dengan kerja yang banyak. Namun, dia tidak berasa tertekan malah berjaya mengawal keadaan kerja dengan tenang.

“Kalau boleh jangan selalu stres, sebab ia boleh mengakibatkan sakit kepala, letih dan lenguh-lenguh badan. Jadi, cubalah lakukan regangan badan yang ringkas.

Misalnya, lakukan regangan ringkas pada tangan, bahu dan lengan. Di samping itu, cuba tarik dan hembus nafas dengan betul supaya mampu memberi ruang aliran oksigen ke dalam tubuh,” ujarnya.

Camelia berpendapat, apa stres, orang kata kita perlu menenangkan diri dan ciptakan satu suasana baru. Maksudnya, tidaklah hanya memerap di rumah atau 24 jam sehari di pejabat.

“Sekali-sekala, cuba dapatkan urutan di spa seperti refleksiologi atau terapi aroma. Sebenarnya dengan berurut boleh melancarkan lagi peredaran darah dalam badan,” katanya.

Tidak hanya penjagaan kulit wajah dan badan, Camelia juga menitikberatkan penjagaan rambut.

“Bagi menghilangkan kelemumur, campur air perahan limau nipis dengan sedikit air. Kemudian, gosok pada kulit kepala. Selain menggunakan perahan limau nipis, ada tak cara lain untuk mencegah kelemumur. Misalnya, menggunakan pandan,” kata penyanyi yang berasal dari Sarawak ini.

Walaupun Camelia mengamalkan petua tadi, tidak lengkap jika tidak meminum InnerShine Pati Prun setiap hari, sebelum tidur untuk memastikan dalamannya sihat dan raut wajah sentiasa berseri..

- MINGGUAN MALAYSIA

BTN tidak perlu dihentikan - Hishammuddin

KUALA TERENGGANU 28 NOV 2009 - Biro Tata Negara (BTN) tidak perlu dihentikan dan segala tuntutan parti pembangkang berhubung perkara itu tidak seharusnya dilayan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, kursus dan modul yang diperkenalkan dalam BTN sebenarnya masih penting dalam menerap dan memupuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat.

''Ia penting dalam membina sebuah negara yang maju dan utuh. Saya sebenarnya hairan kenapa baru sekarang parti pembangkang menimbulkan tuntutan seperti ini walhal kursus BTN telah lama wujud.

''Ini mungkin berlaku kerana mereka ketandusan isu selain ingin mengalih perhatian daripada masalah dalaman yang mereka hadapi sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Korban Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Masjid Kampung Tok Jembal di Kuala Terengganu hari ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian ketika mengulas gesaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya BTN ditutup terus.

Gesaan terbaru Kit Siang itu dibuat selang tiga hari selepas kerajaan negeri Selangor melarang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan kakitangan awam negeri itu menghadiri kursus BTN.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu dalam mengukuhkan hujahnya mendakwa BTN adalah salah satu punca kegagalan kepada pembinaan negara bangsa Malaysia yang bersatu padu sejak kemerdekaan negara lebih setengah abad lalu.

Hishammuddin berkata, parti pembangkang mungkin 'menyerang' agensi lain seperti BTN dalam usaha menimbulkan isu.

''Perkara sama berlaku ketika Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diperkenalkan. Ramai yang mencemuh, namun selepas sekian lama dilaksanakan, ia tidak lagi menjadi perhatian sebaliknya ia diterima oleh semua pihak," ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan BTN supaya berpegang pada prinsip asal dan menjalankan programnya seperti biasa.

- MINGGUAN MALAYSIA

BTN tiada manfaat, hanya dakyah pesong semata-mata - Exco Selangor

SIJANGKANG, 28 NOV 2009 : Tiada manfaat dan hanya dakyah untuk memesong pemikiran belia-belia semata-mata. Demikian kesimpulan yang dapat dirungkaikan mengenai kursus Biro Tata Negara (BTN).

Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan,Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, amat jelas program BTN merupakan alat Umno dalam menyebarkan dakyah kepada belia-belia yang menyertainya.

"Ramai pemimpin dalam kerajaan negeri kini yang pernah menyertai malah mengendalikan BTN dan daripada maklum balasnya kita yakin tiada manfaat
jelas program sebegitu,"jelasnya semasa ditemui Harakahdaily di lokasi majlis korban di Dun Sijangkang sebentar tadi.

Disebabkan itu katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan 'anak-anak buah'nya menyertai kursus-kursus yang dianjurkan di bawah BTN.

Dalam pada itu, Dr Ahmad juga menjelaskan bahawa, kerajaan negeri sendiri telah memperkenalkan programnya tersendiri dalam memastikan pembinaan modal insan para belia di negeri Selangor melalui program SPIES (Spiritual, Physical, Intellectual,Emotional, Social).

"Kita telah lama wujudkan dan memang terbukti memberikan kesan yang baik berbanding dengan program-program seperti BTN,"katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melarang penyertaan kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya hadir di program anjuran Biro Tatanegara (BTN).

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali,keputusan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri susulan desakan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang mendakwa program kendalian biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu membangkitkan sentimen perkauman.

Empat buah pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri itu: Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kemahiran Yayasan Selangor.

Selain menghentikan penyertaan pelajar, seperti didesak, keputusan itu turut meliputi kakitangan kerajaan negeri dan pegawai semua anak syarikat kerajaan itu, tambahnya.

Dalam satu sidang media di Shah Alam baru-baru ini, Dr Halimah menyifatkan program BTN sebagai "indoktrinasi kerajaan (pusat) BN untuk menimbulkan fenomena yang agak racist (perkauman) seolah-olah ingin memecah belah penduduk pelbagai bangsa dan agama."

"Rata-rata (peserta BTN) termasuk anak saya sendiri, mereka kadang-kadang dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada (pihak) yang dikatakan pembangkang kepada kerajaan Malaysia,” kata wakil rakyat PAS itu.

"Oleh kerana ia tidak memberi satu perkara yang positif, tambahan pula kepada minda yang begitu muda ini, maka kita rasa ia tidak perlu dan menghabiskan wang rakyat."

Minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat muda tiga parti dalam Pakatan menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.

ADUN-ADUN yang terlibat: Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

- HARAKAH DAILY