Jumaat, November 27, 2009

Lima kesilapan kewangan

Hampir semua orang pernah melakukan kesilapan berhubung isu wang. Ketahuilah beberapa kesilapan yang biasa dilakukan oleh kebanyakan ibu bapa ketika mendidik anak tentang kewangan dan cara membetulkannya. Berikut adalah antara kesilapan yang kerap dilakukan ibu bapa.

1. Menjadi mesin pengeluar wang versi manusia

Menguruskan segala urusan jual beli anak membuatkan anda kelihatan seperti menjadi mesin pengeluar wang versi manusia. Sepatutnya, berikan anak elaun dan ingatkan mereka untuk membuat pembayaran bagi apa-apa yang ingin mereka miliki. Sama ada untuk membeli buku dari kedai atau mendapatkan barangan permainan kegemaran, anak seharusnya bijak membuat pembayaran sendiri. Tindakan itu boleh mengurangkan mereka daripada merungut sekali gus membolehkan mereka mengasah kemahiran mengira atau matematik. Menerusi cara itu juga, anak-anak boleh belajar daripada kesilapan mereka. Dengan membuat pembayaran sendiri, anak-anak akan lebih menghargai barangan yang diperoleh atau dibeli.

2. Terlepas pandang pengajaran harian

Jangan lepaskan peluang untuk berbincang dengan anak tentang isu-isu berkenaan ekonomi yang ringkas dalam persekitaran berbeza setiap hari. Sewaktu membeli-belah, ibu bapa boleh menerangkan mengapa tindakan memilih bungkusan produk berkos lebih rendah lebih baik. Terangkan juga mengapa menambah stok barangan dapur ketika musim jualan murah merupakan satu tindakan yang baik. Berikan penjelasan kepada anak bahawa dengan menjimatkan RM10 setiap minggu, jumlah yang dijimat dalam tempoh sebulan boleh mencecah RM40 atau sekitar RM480 setahun.

3. Tidak melibatkan anak dalam matlamat jangka masa panjang

Pengurusan wang yang kukuh melibatkan dua perkara penting. Pertama, membuat perancangan awal dan kedua, membuat pilihan. Jika anda merancang sebuah percutian, beritahu anak tentang isu bajet yang melibatkan kos tiket penerbangan, hiburan dan penginapan. Andainya terdapat duit kecil, masukkan wang tersebut ke dalam bank dan tunjukkan kepada anak bagaimana duit itu bertambah.

4. Terlepas peluang untuk memberi anak motivasi tentang tabiat menabung

Jika ada peluang, tunjukkan kepada anak bagaimana sesuatu pelan kewangan berfungsi dan mengapa sumbangan atau tabungan wang yang sedikit adalah penting dalam jangka masa panjang.

5. Tidak menerangkan bagaimana kad kredit berfungsi

Seorang pelajar firma pinjaman wang, Nellie Mae pernah menganggarkan, purata hutang yang ditanggung oleh seseorang pelajar universiti ialah sekitar RM5,000. Jumlah tersebut berkemungkinan besar berganda apabila mereka tamat pengajian di menara gading. Dari situlah bermulanya satu masalah sebenar. Anak remaja yang gagal memahami atau menguruskan hutang kad kredit seawal usia 18 tahun, lebih cenderung berdepan dengan masalah besar di kemudian hari. Benarkan anak berlatih menggunakan kad pra-bayar atau kad debit terlebih dahulu. Kad-kad seperti itu menawarkan kemudahan bagi menetapkan had tunai mingguan yang terhad. Ibu bapa juga boleh mendapatkan status penggunaan wang itu menerusi e-mel dan menentukan sama ada perlu atau tidak perbincangan lanjutan untuk mendidik anak agar mereka lebih berhemah ketika berbelanja.

- KOSMO!

Belia dipelawa sertai program Burger Mat Salai


KEPALA BATAS - Syarikat perniagaan berasaskan kios burger, Mat Salai Sdn. Bhd. (Mat Salai) yang beribu pejabat di Kuala Lumpur mempelawa lebih ramai usahawan kecil khususnya di kalangan belia di kawasan utara supaya menceburi perniagaan menjual burger dalam usaha menjana pendapatan yang menguntungkan.

Pengedar Tunggal Mat Salai di kawasan utara, Muhammad Mohd. Ali berkata, program berasaskan mentor mentee ini memberi penekanan daripada aspek menawarkan bimbingan, sesi ceramah sehinggalah kepada menjayakan perniagaan yang diceburi kumpulan berkenaan.

"Terdapat beberapa pakej yang ditawarkan kepada usahawan baru iaitu kios asas (mudah alih) yang berharga RM5,000, kios premium (statik) berharga RM11,000 dan yang terbaru lori bergerak bernilai RM10,000," katanya ketika menyampaikan ceramah kepada peserta Bengkel Usahawan Perniagaan Mat Salai di sini baru-baru ini.

Muhammad menjelaskan sebanyak 50 kios perniagaan tersebut akan dibuka di sekitar Pulau Pinang menjelang bulan depan dan disusuli dengan daerah lain seperti di Perai, Sungai Petani, Kulim, Baling, Langkawi, Jitra, Parit Buntar, Bagan Serai, Selama, Gerik dan Pengkalan Hulu.

Menurutnya, setiap usahawan yang menceburi program berkenaan akan dibekalkan dengan peralatan memasak, pakej promosi dan mereka perlu menghadiri kursus penyediaan makanan termasuk pengurusan perniagaan.

Untuk keterangan lanjut, hubungi : 03-80684995

- KOSMO!

95,826 mohon SBP, tempat cuma 6,600

KUALA LUMPUR - Seramai 95,826 murid yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 memohon untuk mengisi 6,600 kekosongan ke tingkatan satu di 52 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dalam satu kenyataan yang difakskan semalam berkata, SBP terus mendapat tumpuan kerana ramai ibu bapa mahukan anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik.

"Bagaimanapun, matlamat SBP secara dasarnya adalah untuk memberi keutamaan kepada murid-murid cemerlang dari kawasan luar bandar.

"Melalui pendekatan ini, murid-murid dari kawasan luar bandar dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang sempurna dan satu hari nanti dapat meningkatkan taraf hidup keluarga serta masyarakat," katanya.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran juga memberi keutamaan kepada murid-murid dari keluarga yang berpendapatan di bawah paras garis kemiskinan.

"Murid-murid dalam kategori ini akan dibantu dari segi bayaran persekolahan, makanan dan keperluan asrama sepanjang belajar di SBP,'' jelasnya.

- KOSMO!

15 bomba tertipu akibat kentut khinzir


SYDNEY - Seorang penternak membuat panggilan kecemasan bomba setelah terbau 'gas bocor' namun sangkaannya meleset setelah diberitahu ia adalah bau kentut khinzir peliharaannya, kata para pegawai semalam.

Seramai 15 anggota dan dua jentera bomba dikerah ke ladang yang terletak di Axedale, Victoria, kata Perkhidmatan Bomba Negeri Victoria tersebut.

"Kami menjumpai seekor babi betina bersaiz besar dengan anggaran berat 120 kilogram. Kami percaya gas bocor itu datang daripada babi tersebut.

"Walaupun tidak terhidu gas tersebut kami dapat mendengar bunyi kentut keluar dengan jelas, lucu sungguh," kata Kapten Peter Harkins.

Tambahnya, pemilik babi tersebut kelihatan malu manakala petugas bomba mengambil masa untuk menenangkan diri.

"Kami menangani kes itu dengan profesional tetapi kami ketawa terbahak-bahak sebaik tiba di balai," kata Harkins.

- AFP

Polis India rampas kulat seks

SRINAGAR - Pihak polis India di wilayah Kashmir merampas sejumlah kulat nadir bernilai AS$3 juta (RM10.12 juta) yang didakwa mempunyai khasiat setanding Viagra.

Empat lelaki ditahan Isnin lalu selepas didapati membawa bersama 90 kilogram kulat yang dikenali sebagai cendawan ulat bulu, di wilayah bergunung Ladakh, 550 kilometer dari sini.

Seorang pegawai polis, Bhim Sen Tuti berkata, suspek-suspek didakwa cuba menyeludup keluar 'viagra Himalaya' tersebut ke China yang sering digunakan dalam industri perubatan tradisional Cina.

Kulat popular itu dipercayai mampu menaikkan syahwat selain banyak dijadikan sebagai ubat untuk merawat masalah keletihan dan penyakit-penyakit tertentu termasuk barah.

Jika sabit kesalahan, penyeludup kulat Cordyceps sinensis itu boleh dihukum penjara antara tujuh tahun hingga seumur hidup kerana melanggar undang-undang biodiversiti, perhutanan dan hidupan liar.

Ia merupakan kes pertama pihak polis membongkar perdagangan haram kulat tersebut untuk dihantar ke China dari wilayah Kashmir yang turut dituntut oleh Pakistan.

- AP

Haji VIP dapat khemah lima bintang

MEKAH - Beberapa syarikat Arab Saudi dan asing memperkenalkan pakej haji lima bintang bagi menarik jemaah haji kaya raya yang mahukan layanan istimewa bertaraf VIP ketika berada di Mina dan Arafah.

"Perkhidmatan VIP itu pada dasarnya untuk memastikan seseorang jemaah haji dapat melakukan ibadah dalam keadaan tenang tanpa gangguan," kata seorang pembantu haji, Zaki Kamal Hussein.

Menurutnya, syarikat haji tempatan dan asing serta pejabat haji menyasarkan kelompok jemaah haji kaya sebagai pelanggan kerana mereka memberikan keuntungan lumayan.

"Walaupun jumlah mereka kecil, golongan itu perlu diberi tumpuan kerana banyak menyumbang kepada pendapatan kami," jelas Zaki tanpa menyebut kos pakej haji VIP itu.

Ketika ditanya tentang perbezaan di antara pakej haji biasa dan pakej VIP, pembantu haji itu memberitahu, perbezaannya ketara kerana pakej VIP menumpukan pada privasi dan keselesaan pelanggan.

"Ia (pakej VIP) bermakna jemaah haji akan diangkut dengan bas mewah, menerima layanan bertaraf hotel, dihidangkan makanan istimewa menuruti selera mereka selain ditempatkan di dalam khemah yang luas dan mewah serta tandas bersih," ujarnya.

"Kami turut menyediakan taman permainan khusus untuk kanak-kanak yang dipantau tenaga pengajar wanita supaya ibu bapa dapat mengerjakan ibadah haji dengan tenang tanpa bimbang mengenai anak-anak mereka," tambahnya.

Seorang pelabur berketurunan Mesir yang menetap di Britain, Mustapha Rajab berkata, dia memilih pakej haji VIP bagi memastikan mendapat privasi dan keselesaan tanpa gangguan akibat bunyi bising dan pencemaran udara terutama ketika musim haji tahun ini yang berdepan wabak selesema babi.

- Agensi

2.5 juta jemaah haji wukuf


ARAFAH - Sejumlah jemaah haji Iran mengadakan demonstrasi aman semalam ketika hampir 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia berwukuf di Arafah.

Langsung tidak menghiraukan amaran pihak berkuasa Arab Saudi yang melarang aktiviti politik, jemaah-jemaah itu melaungkan slogan ke arah penyatuan ummah dan tentangan terhadap musuh Islam di kem mereka di sini, pinggir Mekah.

"Hapuskan Amerika Syarikat (AS)!, hapuskan Israel!," laung beribu-ribu jemaah Iran di dalam khemah-khemah mereka di sini.

Namun, bantahan yang dipimpin oleh Ayatollah Muhammed Rishari iaitu wakil pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei itu berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini atau campur tangan pihak berkuasa.

"Kita memerlukan semua orang Islam sama ada Sunnah atau Syiah bersatu untuk menghadapi isu-isu penting seperti penaklukan Palestin, krisis Iraq, penaklukan Afghanistan dan perang saudara di Yemen," katanya.

Pada 1987, polis Arab Saudi cuba mematahkan satu bantahan oleh jemaah haji Iran yang mencetuskan rusuhan menyebabkan 402 orang terkorban termasuk 275 jemaah haji Iran.


Sementara itu, jemaah haji tiba dari Mekah dan Mina membanjiri Arafah menjelang subuh untuk berwukuf di kawasan Nabi Muhammad menyampaikan khutbah terakhir pada hari tersebut 1,377 tahun lalu.

"Saya amat gembira berada di Arafah. Kerana Nabi Muhammad bercakap dengan Allah dari tempat ini. Inilah tempat paling suci," kata seorang jemaah Maghribi, Fatima.

Seorang jemaah haji berketurunan Palestin dari Israel, Faisal, 52, pula berharap umat Islam akan bersatu untuk membebaskan masjid Al-Aqsa dan Palestin.

Sukarelawan-sukarelawan turut mengagihkan beribu-ribu makanan percuma di Arafah dan kawasan sekitarnya hasil derma beberapa badan amal dan agensi perniagaan Arab Saudi.

Cuaca juga semakin baik selepas hujan lebat melanda pada hari pertama ibadat haji yang menyebabkan ramai jemaah haji terkandas di jalan-jalan raya serta kesesakan di antara Mekah dan Arafat.

Kesan jangkitan selesema babi pula kekal rendah apabila cuma empat jemaah haji meninggal dunia akibat virus influenza H1N1 di beberapa buah hospital di Arab Saudi sepanjang minggu lalu.

- AFP

Khamis, November 26, 2009

Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha

Solat sunat Aidil Adha hukumnya sunat muakkad (sunat yang dituntut)

Panduan ringkas:

(1) Takbiratul ihram /Niat solat:

Lafaz niat. "Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat kerana Allah Taala" (untuk solat seorang diri).

"Sahaja aku solat sunat Aidil adha dua rakaat makmum kerana Allah Taala" (jika ikut imam).

"Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat jadi imam kerana Allah Taala" (jika jadi imam).

Niat ini hendaklah dilakukan semasa takbiratul ihram iaitu sekadar lintasan di hati lafaz tersebut. Untuk memudahkan niat , sebelum takbitratul ihram kita hendaklah membuat lintasan terlebih dahulu di dalam hati akan lafaz niat itu.

(2) Membaca doa iftitah.

(3) Kemudian takbir 7 kali yang diselangselikan dengan tasbih sebanyak 6 kali.


(4) Membaca fatihah dan surah al-Akla.

(5) Rukuk dan sujud seperti biasa.

(6) Iktidal dan berdiri betul (rakaat kedua) takbir 5 kali yang diselangselikan dengan tasbih 4 kali.

(7) Membaca fatihah dan surah al-Ghasyiyah.

(8) Rukuk, sujud dan membaca tahiyat akhir seperti biasa.

(9) Memberi salam.

(10) Disunatkan takbir dan doa,

(11) Membaca dua Khutbah. (sekiranya bersolat secara berjamaah)


Peringatan:

(a) Kalau imam telah berhenti takbir/bertasbih makmum hendaklah berhenti, begitu juga kalau imam terlebih takbir, makmum tidak perlu ikut sebaliknya menunggu.

(b)Takbir Hari Raya Aidil Adha disunatkan mulai malam hari raya (10hb. Zulhijjah) sehinggalah selepas solat Asar (13hb. Zulhijjah).

(c) Bacaan surah al.Akla dan al.Ghasyiyah boleh diganti dengan surah lain, sekiranya tidak menghafaz ayat tersebut. (tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua )

(d) Orang yang terpaksa bertugas pada hari raya , disyorkan melaksanakan ibadat ini secara bersendirian, jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja kerana ibadat ini hanya dapat dilakukan setahun dua kali sahaja. (Aidil Fitri dan Aidil Adha)

http://www.leewantam.com

JAWATAN KOSONG DI MAJLIS DAERAH HULU SELANGOR (MDHS) SELANGOR

Permohonan adalah dipelawa daripada warganegara Malaysia berumur tidak
kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan. Keutamaan kepada rakyat
Negeri Selangor yang berkelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan berikut:-

1. Penolong Pegawai Perancang Bandar Dan Desa J29
2. Penolong Jurutera J29
3. Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran U29
4. Penolong Pegawai Penilaian W27
5. Penolong Akauntan W27
6. Penolong Pegawai Tadbir N27
7. Juruteknik Landskap J17
8. Juruteknik Perancang Bandar Dan Desa J17
9. Pembantu Akauntan W17
10. Pembantu Tadbir (Perkeranian / Operasi) N17
11. Pembantu Penguatkuasa N17
12. Penghantar Notis N3
13. Pembantu Am Pejabat N1
14. Pekerja Awam R1
15. Penolong Pegawai Penilaian W32
16. Penolong Akauntan W32
17. Penolong Pegawai Penguatkuasa N32
18. Pembantu Tadbir (Perkeranian / Operasi) N22

DOWNLOAD IKLAN:
http://www.mdhs.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=f76e5f3e-7f28-4316-a6c0-693f27fe77c2&groupId=17253

DOWNLOAD BORANG PERMOHONAN:
http://www.mdhs.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=a8a1b63b-45a9-4647-a4d0-71fcae80a02b&groupId=17253

Borang permohonan hendaklah disertakan dengan gambar berukuran
pasport, sesalinan surat beranak, kad pengenalan, sijil-sijil akademik
dan persekolahan yang telah disahkan dari salinan asal.

Semua permohonan hendaklah dialamatkan kepada:

YANG DIPERTUA
MAJLIS DAERAH HULU SELANGOR
JALAN BUKIT KERAJAAN
44000 KUALA KUBU BHARU.
(u.p.: Bahagian Pengurusan Sumber Manusia)

http://www.mdhs.gov.my


TARIKH TUTUP : 30 November 2009

Banjir di Jeddah, hujan di Mekah


JEDDAH - Hujan lebat melanda sehingga menyebabkan beberapa batang jalan raya menuju ke Mekah digenangi air ketika sejumlah besar penganut Islam bersedia untuk mengerjakan haji.

Jemaah-jemaah haji memakai pakaian ihram terpaksa menggunakan payung, sebahagiannya lagi menggunakan topeng muka semasa mengelilingi Kaabah di Mekah.

Namun, berikutan hujan lebat itu, ramai jemaah membuat keputusan untuk tinggal di dalam bangunan penginapan seperti di hotel.

Terdapat juga sebahagian jemaah yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya semasa menuju ke Mekah.

Cuaca hujan itu dianggap jarang berlaku pada permulaan musim haji.

Seorang perunding dari Pusat Untuk Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Atlanda, Georgia, Shahul Ebrahim menyatakan masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa hujan akan memudahkan penyebaran wabak influenza A H1N1 atau selesema babi.

"Hujan akan menyebabkan penularan beberapa penyakit lain seperti selesema,

"Namun, kami masih tidak mengetahui bagaimana ia akan memberi kesan terhadap penyakit selesema babi.

"Kita tidak boleh membuat ramalan," katanya.

Setakat ini hujan telah menyebabkan kesesakan jalan raya di Jeddah. Musim sejuk di Mekah ialah hujan. Namun hujan lebat tidak pernah berlaku di kota suci penganut Islam itu sejak beberapa tahun lalu.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Arab Saudi, Mejar Abdullah al-Harthi berkata, pihaknya bersedia untuk berdepan dengan masalah banjir.

Menurutnya, sebanyak 300 buah bas disediakan untuk menghadapi masalah banjir bagi memindahkan jemaah.

Agensi Saudi Press melaporkan setakat ini tidak ada laporan mengenai kematian dan kesakitan akibat hujan itu.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Amer al-Amer, satu lorong di sebatang jalan raya utama menuju ke Mekah ditutup kerana banjir.

"Ia (jalan itu) tidak dapat menampung kehadiran semua orang dari luar Mekah," katanya.

Dia mengakui, banjir itu menyebabkan perjalanan jemaah akan terjejas.

Amer berkata, jemaah haji pada tahun ini meningkat beberanding tahun lalu dengan anggaran melebihi tiga juta orang.

- AGENSI

Jejambat udara tertinggi di dunia


Oleh SYAH RUL ASWARI ABDULLAH

Ramai warga Malaysia sudah menawan puncak Kinabalu, ada yang sudah sampai ke Taipei 101 dan Menara Eiffel, namun berapa ramai yang sudah menjejakkan kaki ke jejambat udara dua tingkat tertinggi dunia, Skybridge di Menara Berkembar Petronas?

Mungkin kerana terpinga-pinga ditanyakan soalan sama, penulis menerima ajakan untuk mengunjungi tarikan utama di menara berkembar tertinggi dunia itu.

Skybridge yang dipasang di tingkat 41 dan 42 pada ketinggian 170 meter (m), sebenarnya menjadi destinasi popular buat pelancong asing di ibu kota.

Seawal jam 6 pagi, penulis bersama tiga rakan sudah berada di hadapan kaunter untuk mendapatkan pas lawatan yang diberikan secara percuma.

Walaupun kaunter hanya dibuka pada 8.30 pagi, pengunjung termasuk pemandu pelancong sudah datang seawal jam 5.30 pagi, lebih awal daripada kami.

Menjelang jam 8 pagi, barisan sudah melebihi 200 orang. Terdetik dalam hati, mujurlah kami sudah awal-awal ke mari. Sekurang-kurangnya, tidak sia-sialah bangun seawal 5 pagi. Ada yang mengisi masa dengan berborak kosong, menikmati sarapan, membaca novel dan tak kurang melelapkan mata sementara menunggu pintu lawatan dibuka.

Tepat jam 8.30 pagi, kumpulan pertama termasuk penulis dipanggil masuk ke ruang menunggu. Ruangan ini menempatkan bahan pameran interaktif berkaitan dengan Skybridge termasuk membandingkan tinggi pengunjung dengan menara utama dunia. Sebagai contoh, Empire State Tower (381 m) dan Sears (442 m) masing-masing 281 dan 326 kali ganda daripada ketinggian penulis.

Kami kemudian diberikan cermin mata tiga dimensi bagi menyaksikan video pencapaian syarikat multinasional Petronas sehingga pembinaan Menara Berkembar Petronas. Pada ketinggian 452 m, ia menjadi bangunan tertinggi dunia sebelum diambil alih oleh Taipei 101 pada Oktober 2003, dengan kelebihan hanya 56 m.

Pengalaman menarik bermula apabila dibawa menaiki lif pantas yang membawa kami dari tingkat bawah ke tingkat 41 dalam tempoh 41 saat. Ketika dalam lif, stafnya turut memberikan beberapa trivia kepada pelancong. Sebagai contoh, berat Skybridge iaitu 750 tan iaitu kira-kira berat dua pesawat Boeing 737.

Skybridge seperti yang dilihat dari luar kelihatan seperti terowong kaca dengan siling agak tinggi. Ada balkoni kecil di tengah jejambat untuk mereka yang mahu merakamkan panorama Kuala Lumpur terutama bangunan utama di ibu kota. Pada hari cerah, dapat disaksikan kawasan hijau di Taman Tasik Titiwangsa sehingga Setapak dan Cheras.

Tepat jam 9.10 pagi, kami sudah diarahkan untuk memasuki lif ke lobi untuk memberi laluan kepada kumpulan seterusnya. Setibanya di bawah, papan tanda elektronik menunjukkan bahawa pekerja sedang mengeluarkan tiket untuk slot lawatan 4.45 petang. Satu lagi papan tanda pula menunjukkan tiket habis untuk mereka yang baru sampai.

Merasakan terlalu awal untuk pulang selepas beratur hampir tiga jam, kami mengambil kesempatan untuk meninjau barangan dijual di kedai cenderamata termasuk barangan eksklusif F1. Melihatkan khalayak pengunjung, terdetik rasa puas. Sekurang-kurangnya berbaloi melawat ikon negara di negara sendiri, walaupun terpaksa bangun tidur seawal jam 5 pagi.

INFO SKYBRIDGE

>Setiap pelawat dibenarkan mengambil lima tiket, manakala pemandu pelancong berlesen diberikan 40. Anda perlu beratur kerana tempahan awal atau menerusi telefon tidak dilayan. Pengunjung boleh memilih waktu lawatan namun perlu berbaris lebih awal.

>Hanya jejambat tingkat 41 dibuka kepada lawatan, manakala tingkat 42 hanya dikhususkan untuk kegunaan pekerja kedua-dua menara, selain menjadi laluan keluar sekiranya berlaku kecemasan.

>Waktu operasi adalah antara jam 9 pagi hingga 7 malam dan dibuka setiap hari kecuali Isnin. Untuk maklumat lanjut, layari www.petronastwintowers.com.my atau e-mel kepada skybridge@petronas.com.my

- HARIAN METRO