Ahad, Oktober 04, 2009

Tabung Gempa 1Malaysia dilancar

Atas semangat keprihatinan terhadap penderitaan mangsa bencana alam khususnya mangsa gempa bumi di Sumatera Barat, stesen TV kerajaan RTM hari ini bekerjasama dengan badan bantuan kemanusiaan dan pembangunan antarabangsa Islamic Relief Malaysia (IRM) melancarkan Tabung Gempa 1Malaysia Untuk Asia.

Pelancaran tabung itu disempurnakan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam satu majlis di Pusat Media, Jabatan Penerangan bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bagan Pinang di Teluk Kemang di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Rais berkata, RTM menjalinkan kerjasama dengan IRM bagi tabung berkenaan kerana yakin dengan keupayaan badan itu dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pihak yang ditimpa malapetaka.

Dengan rangkaian 100 cawangan Islamic Relief di 40 buah negara di seluruh dunia, termasuk di Sumatera, komitmen badan itu dalam usaha berkenaan tidak dapat dipertikaikan lagi, katanya.

Beliau merayu rakyat Malaysia supaya menyumbang kepada tabung berkenaan secara cek atau tunai melalui akaun Maybank: 5621 4270 8704 atau akaun CIMB: 1259 0000 804 058 atau melayari laman web www.irm.org.my.

Maklumat berkenaan, katanya akan disiarkan oleh RTM dalam bentuk crawler.

Selain itu, peti tabung juga akan diletakkan di tempat-tempat tumpuan orang ramai di seluruh negara bagi membolehkan semua pihak turut menderma.

Rais sendiri menghulurkan sumbangan peribadi ke dalam peti tabung di pusat media berkenaan bagi memulakan derma itu.

- UTUSAN

Pasukan bantuan Malaysia berlepas ke Padang, Indonesia

Malaysia menghantar pasukan perubatannya yang pertama bagi membantu mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia hari ini melibatkan 56 anggota daripada lima agensi.

Pasukan tersebut terdiri daripada dua pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN), 25 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART), 17 anggota Kor Perubatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lapan kakitangan Kementerian Kesihatan dan empat anggota Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Mereka berlepas kira-kira pukul 9 pagi ini di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini dengan tiga pesawat C-130 milik TUDM yang turut membawa dua ambulans, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga tan peralatan perubatan.

Sementara itu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin pada sidang akhbarnya memaklumkan, pasukan bantuan tersebut akan ditempatkan di sekitar kawasan bencana di Padang selama 10 hari.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan satu lagi pasukan perubatan surgeri yang terdiri daripada beberapa pakar bedah dihantar ke Padang dalam masa terdekat.

Katanya, ini memandangkan terdapat keperluan mendesak di kawasan bencana berikutan jumlah mangsa yang memerlukan pembedahan segera adalah terlalu ramai.

''Perdana Menteri menyuarakan kepada kita yang pasukan ini amat diperlukan untuk melakukan pembedahan segera di kawasan bencana kerana ramai yang dilaporkan mengalami kecederaan serius.

''Justeru, pasukan kedua itu dijangka dihantar hari ini atau esok bagi membantu pembedahan mangsa yang cedera,'' katanya.

Setakat hari ini, lebih 715 mangsa disahkan terkorban dan ramai lagi dikhuatiri turut terbunuh dalam kejadian gempa bumi yang berukuran 7.9 skala Richter itu.

Menurut Azizan, pasukan bantuan yang berlepas hari ini merupakan pasukan perubatan yang mampu bergerak sendiri kerana mempunyai kelengkapan sepenuhnya dan juga kenderaan.

Jelasnya, tempoh masa kumpulan itu berada di kawasan bencana mungkin dilanjutkan jika keadaan terus memerlukan dan kemungkinan juga bantuan tambahan akan dihantar bergantung kepada penilaian MKN.

''Malaysia juga turut menghantar bantuan lain terutama makanan, pakaian dan kelengkapan lain yang dilakukan sejak semalam dengan menggunakan empat pesawat.

''Pesawat TUDM diletakkan dalam keadaan bersedia untuk melakukan penerbangan ke Padang jika ada arahan baru dari kerajaan untuk menghantar keperluan lain,'' jelasnya.

- UTUSAN

Melabur Wang Anda

PENGENALAN

Pelaburan adalah sebahagian daripada perancangan kewangan keseluruhan anda. Sekiranya anda mempunyai sedikit simpanan, anda mungkin hendak melabur untuk memaksimumkan pulangan. Buku kecil ini bertujuan untuk memberi anda beberapa panduan tentang perkara yang perlu diambil kira sebelum anda melabur serta perkara yang boleh dilakukan dan yang perlu dielakkan apabila melabur.

PERBEZAAN ANTARA PELABURAN DENGAN SIMPANAN

Pelaburan berbeza daripada simpanan. Dalam simpanan, pada umumnya anda akan mendapat semula simpanan anda, bercampur faedah.Walau bagaimanapun, dalam pelaburan, anda mungkin atau mungkin tidak mendapat semula jumlah yang dilaburkan atau anda mungkin mendapat lebih daripada jumlah awal pelaburan. Potensi untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi ini adalah sebagai ganjaran bagi risiko yang lebih tinggi yang anda telah ambil.

MERANCANG PELABURAN ANDA

Pelaburan yang bijak tidak bergantung pada nasib, tetapi adalah hasil daripada perancangan yang teliti. Apabila anda melabur, anda tidak boleh bergantung pada khabar angin.
Anda perlu meluangkan sedikit masa untuk memahami keadaan pasaran, sama ada melalui penyelidikan atau mendapat khidmat pakar. Berikut adalah beberapa isu yang anda perlu tahu:
Langkah 1: Tahu mengapa anda hendak melabur
Sebelum anda melabur, anda perlu tahu tujuan pelaburan anda, iaitu matlamat dan objektif kewangan anda. Matlamat kewangan anda mungkin untuk:

• Membeli kereta
• Membeli rumah
• Menghantar anak-anak anda untuk pengajian tinggi
• Pergi bercuti
• Merancang persaraan yang selesa untuk masa depan
Objektif pelaburan anda adalah sama ada untuk:
• Mengekal atau memelihara kuasa beli bagi amaun pokok yang dilaburkan
• Mendapat pendapatan daripada pelaburan anda
• Meningkatkan nilai aset bersih anda
• Gabungan mana-mana daripada yang di atas

Anda boleh mencapai matlamat anda dengan melabur simpanan anda berdasarkan jangka masa apabila matlamat kewangan anda boleh dicapai.
Selain itu, adalah penting bagi rancangan pelaburan anda bersesuaian dengan objektif perancangan.

Langkah 2: Tahu isu utama yang perlu diambil kira apabila melabur
Memandangkan pelaburan ialah komitmenjangka panjang, anda perlu mengambil kira kemampuan dan keupayaan anda untuk melabur sebelum anda membuat pelaburan. Antara isu utama yang perlu dipertimbangkan adalah seperti yang berikut:

• Berapa banyakkah wang yang anda punyai untuk komitmen jangka sederhana dan panjang?
• Adakah anda benar-benar memahami produk yang anda hendak laburkan?
• Adakah pelaburan yang dirancang bersesuaian dengan portfolio keseluruhananda?
• Sudahkah anda membandingkan pulangan bagi pelaburan lain yang sama?
• Adakah anda memahami risiko yang terbabit dan adakah anda tahu tahap kerugian yang boleh anda tanggung? (iaitu berapa banyakkah perubahan harga/nilai pelaburan yang anda boleh tanggung)
• Apakah jangkaan anda terhadap pulangan daripada pelaburan anda? (iaitu berapa banyakkah pulangan yang akan memuaskan anda)
• Berapa lamakah tempoh pelaburan anda? (sebagai contoh, 5 tahun, 10 tahun, dsb.)
• Adakah anda mempunyai fleksibiliti untuk mencairkan pelaburan yang berkenaan ketika anda terdesak?
• Bagaimanakah anda boleh memantau prestasi pelaburan anda secara berterusan berbanding dengan keperluan anda yangberubah-ubah?

Langkah 3: Tahu strategi dan konsep melabur Pempelbagaian

Strategi yang sudah terbukti berjaya dalam pelaburan ialah pempelbagaian - iaitu mempelbagaikan pelaburan anda. Pempelbagaian merupakan cara yang berkesan untuk meminimumkan risiko dan melindungi anda daripada volatiliti dalam sesuatu kelas aset atau industri.
Jenis pelaburan yang berbeza terdedah kepada tahap risiko yang berbeza dan dengan pempelbagaian, kerugian dalam sesetengah pelaburan boleh diimbangi oleh perolehan pelaburan lain.

Nilai masa wang

Masa ialah aset yang terbesar bagi sesiapa yang hendak melabur. Lebih awal anda melabur, lebih besar pulangan atas nilai wang anda. Ini disebabkan oleh prinsip faedah kompaun di mana anda memperolehfaedah atas pelaburan asal anda dan atas faedah yang telah anda peroleh daripada pelaburan anda.Walaupun dengan perbezaan satu mata peratusan, kesan dalam jangka panjang boleh menjadi ketara.

Impak Inflasi dan Cukai

Perancangan yang baik serta memastikan kadar pulangan purata yang minimum bagi pelaburan dalam jangka panjang juga penting kerana wang yang anda punyai pada hari ini berkemungkinan tidak lagi mempunyai nilai yang akan membolehkan anda membeli jumlah barangan yang sama pada masa hadapan. Ini disebabkan inflasi menyusutkan nilai wang. Walaupun anda memperoleh pulangan daripada pelaburan, nilai sebenar pelaburan anda mungkin berkurangan disebabkan oleh kesan inflasi.
Matlamat pelaburan adalah untuk menambah wang anda melebihi kadar inflasi. Cukai juga akan mengurangkan pulangan pelaburan melainkan pelaburan anda mendapat pengecualian cukai. Oleh itu, anda perlu melabur dalam aset yang membolehkan anda mendapat pulangan terbaik sesudah mengambil kira kesan pencukaian dan inflasi dalam jangka panjang.

Memaksimumkan Pulangan

Sebagai pelabur, anda akan terus mencuba untuk mendapat pulangan yang tertinggi bagi pelaburan anda. Masa yang diperlukan untuk menggandakan wang anda boleh dikira dengan menggunakan Peraturan 72. Bahagikan 72 dengan peratusan faedah yang anda peroleh daripada simpanan.
Sekiranya pulangan yang dikira tidak memuaskan, anda boleh menimbang pilihan lain yang memberi kadar pulangan yang lebih tinggi.

~ Muhammad Jazli

Apa Itu Cinta?

Ramai yang tahu tentang cinta. Ramai yang tahu menyebut perkataan cinta. Ramai yang tahu bagaimana ingin meluahkan kata-kata cinta. Tetapi adakah anda tahu apa itu cinta yang sebenarnya? Di sini saya ingin berkongsi dengan anda tentang apa itu cinta.

Sifat Cinta

Cinta itu suci, mahal dan tinggi tarafnya. Sifat cinta itu sempurna. Jika tidak, cinta akan cacat. Itulah cinta sebenar cinta.


Cinta Wujud Sejak Dilahirkan

Rasa cinta sedia wujud di dalam jiwa manusia sejak manusia itu lahir ke dunia. Cuma manusia akan melalui tahap-tahap kelahiran cinta bermula dari cinta kepada belaian ibu, membawa kepada cinta kepadakekasih dan akhirnya setelah puas mencari cinta suci, maka akan cinta kepada Tuhan Wujudnya cinta itu tidak dapat dilihat tapi dapat dirasa dan cinta sebenar cinta itu suci murni serta putih bersih.

Cinta Bersedia

Bila sampai masanya di setiap tahap-tahap cinta, maka Tuhan menjadikan manusia itu bersedia menerima cinta itu. Pada mulanya jiwa itu bersedia menerima cinta, lantas sedia pula untuk berkongsi rasa kewujudan dengan dikasihi. Sedia untuk mengikat setia serta saling memahami. Setia untuk dipertanggungjawapkan kerana cinta. Sedia untuk menyerah diri pada yang dicintai.

Cinta Itu Indah

Walaupun kewujudan cinta tidak bisa dilihat, tetapi cinta itu indah dan cantik. Cantiknya itu tulin dan tidak ia bertopeng. Bukan saja ia cantik malah suci murni, bercahaya gemerlap dan putih bersih.

Cinta Itu Mengharap Balasan

Cinta antara manusia itu berkehendak kepada jodoh atau pasangan, dari diri yang punya persamaan, dari diri yang asalnya satu. Bila dapat yang dicari, bermakna cinta itu menganggap telah bertemu yang paling sesuai dan secocok dengan jiwanya, untuk bersatu kembali. Kehendak itu timbal balik sifatnya kerana manusia dalam bercinta tidak hanya menerima tapi juga menerima.

Cinta Itu Menakluki

Sifat cinta itu ingin menguasai. Dia mahu yang dikasihinya itu hanya khusus untuk dirinya. Dia tidak mahu ianya dikongsi dengan orang lain. Sifat ini menuntut hak untuk mencintai dan dicintai. Tapi, dalam pada ingin menakluki, ia juga ingin ditakluki sepenuhnya.

Cinta Itu Mengetahui

Pada asasnya sebenarnya cinta itu mengetahui. Orang yang bercinta tahu siapa yang patut
dicintainya. Cinta tidak perlu bertanya. Manusia boleh jatuh cinta tanpa membaca ilmiah atau novel tentang cinta. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Tapi, cinta cuma tahu bercinta. Ia tidak tahu akan peraturan cinta jika tiada diberikan panduan.

Cinta Itu Hidup

Cinta adalah ibarat manusia, boleh berputik, lalu mekar serta boleh layu dan gugur. Cinta itu punya deria dan perasaan. Cinta mendengar cinta, berkata cinta, melihat cinta. Cinta ada segala-galanya. Sayang, benci, cemburu, gembira, sedih, tenang, tertekan, ketawa dan menangis. Cinta itu hidup sampai satu ketika ia akan menemui mati.Tapi ramai orang berharap agar cinta itu kekal selagi dia masih hidup dan tetap hidup walaupun telah mati.

Cinta Itu Suci

Sebagaimana yang banyak dikatakan orang, cinta itu suci. Sucinya cinta bukan bermakna ia tidak mengharap balasan. Cinta mengharap balasan cinta. Sucinya cinta bermakna ia tidak bernoda dan tidak pula berdosa Itulah sifat asal cinta, ia suci bagaikan anak yang baru lahir. Mereka yang kenal erti cinta akan cuba mengekalkan cinta itu sesuci mungkin. Mengekalkan cinta suci bermakna menjauhkan ia dari godaan nafsu yang tidak ada batasan. Kerana nafsulah cinta suci jadi bernoda dan berdosa.

Cinta Itu Mempesona

Cinta itu bukan saja indah, tapi mempersonakan. Ia bukan kerana cinta itu nakal sifatnya tapi kerana ia suci dan bersih. Ia adalah sebagaimana anda melihat pada anak kecil yang comel dan bersih. Dia senyum pada anda dan merapati anda. Anda terpesona kerana bukan saja ianya comel, tapi kerana dia adalah insan yang tidak berdosa. Kerana sifat cinta yang mempersona ini selalunya manusia itu berbuat silap bila bercinta.

Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya…mempersonakannya dan nampak cantik serta betul walaupun itu adalah satu dosa dan akan menodai cinta itu sendiri. Itulah juga yang menyebabkan orang yang bercinta itu walaupun seorang yang bijaksana, akan menjadi bodoh kerana pesona cinta. Akal itu mampu dikalahkan oleh nafsu. Nafsu itu tidak bisa dikalahkan melainkan jika anda sentiasa ingat kepada Tuhan Maha Pencipta.

Apakah itu Bukti Cinta?

Cinta perlukan bukti. Ramai orang percaya bahawa bukti cinta itu ialah mengorbankan atau menyerahkan apa saja yang kekasih anda mahu. Mereka percaya jika itu tidak berlaku, maka cinta itu tidak tinggi nilainya. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Jika anda beri semua yang dia mahu,apakah yang tinggal pada anda? Benarkah dia cinta pada anda bila dia mahukan pengorbanan anda?Cinta sejati tidak memusnahkan atau merosakkan diri kekasih yang dicintai. Malah ia menjaga agar kekasih tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta itu sendiri.

~ Muhammad Jazli

SPR minta penyokong BN, PAS jangan terlalu emosional

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menasihati penyokong BN dan PAS supaya saling hormat menghormati sepanjang tempoh berkempen dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang - yang bermula selepas penamaan calon hari ini. Hari pengundian ditetapkan pada 11 Oktober depan.

"Masa kempen janganlah keluarkan perkataan yang sangat menyakitkan hati pihak yang lain....mereka kenal satu yang lain. Masa kempen itu juga jangan burukkan peribadi, memalukan seseorang, menjatuhkan maruah orang.....tak elok dan saya harap perkara itu tidak terus dibawa semasa hari pengundian.

"Saya harap pemimpin parti berkenaan, ingatkan pengikut masing-masing... jangan sampai hilang ingatan, jangan terlalu emosional. Kita mesti berfikir secara rasional," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon pilihan raya kecil itu di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, lapor Bernama

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad, berdepan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Noor, yang mewakili BN, meninggal dunia pada 4 September lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Azman menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Sejumlah 13,664 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos, layak mengundi pada pilihan raya kecil ini.

Abdul Aziz juga gembira kerana proses penamaan calon pilihan raya kecil itu berjalan dengan baik.

Katanya penyokong parti yang bertanding diletakkan di dua kawasan berasingan dan berjauhan antara satu dengan lain mengikut laluan berbeza.

"Cuma sebelum mereka mula berhimpun pagi tadi, hujan lebat menyebabkan ramai mereka yang dalam keadaan basah kuyup. Saya dimaklumkan penyokong BN sebanyak 4,000 manakala 5,000 PAS," katanya.

Beliau berkata SPR menerima tiga bantahan iaitu dua bantahan daripada PAS berhubung pekerjaan Mohd Isa dan saksi calon BN tidak berdaftar sebagai pemilih manakala bantahan BN terhadap calon PAS pula adalah kerana ada kes mahkamah.

Bagaimanapun, katanya setelah disemak, ketiga-tiga bantahan itu ditolak dan kedua-dua calon daripada BN dan PAS sah bertanding.

- MALAYSIAKINI

Sabtu, Oktober 03, 2009

DUN Bagan Pinang: Persaingan satu lawan satu BN-PAS

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Kecil, Abdul Wahab Shamsuddin selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 11 pagi tadi..

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima dua borang setelah masa penyerahan borang pencalonan tamat pada pukul 10 pagi tadi.

Pada pilihan raya kecil tersebut, BN diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ketua Umno bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad, manakala PAS diwakili Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohd Omar.

Abdul Wahab berkata Mohd Isa menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.05 pagi manakala Zulkefly berbuat demikian seminit kemudian.

Katanya lagi sehingga tempoh bantahan ditutup, SPR menerima dua bantahan yang dikemukan terhadap pencalonan-pencaloan tersebut.

"Saya telah menerima sebanyak dua bantahan dikemukaan terhadap pencalonan-pencalonan tersebut... namun setelah masa bantahan ditutup, tiada calon yang ditolak kertas penamaannya," katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Dalam pada itu bercakap kepada media selepas pengumuman nama calon dibuat, Mohd Isa yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang berkata, beliau yakin pengundi di DUN Bagan Pinang akan memberi peluang kepadanya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Saya yakin akan dipilih sebagai wakil rakyat mereka... saya juga yakin masih mampu untuk menjalankan tanggungjawa sebagai wakil mereka.

"Saya bekas Menteri Besar di Negeri Sembilan, saya tahu masalah yang mereka hadapi bukan sahaja di Bagan Pinang malah Teluk Kemang dan Negeri Sembila amnya masih saya ingat... setelah saya terpilih, saya akan selesaikan dengan cara yang terbaik," katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan pengundi di DUN Bagan Pinang terhadapnya, beliau berkata sokongan yang diberikan terhadapnya begitu menggalakkan.

"Nampaknya setakat ini sambutan begitu baik... cuma apa yang perlu kita berhati-hati ialah perbetulkan kekeliruan yang dicetuskan oleh pembangkang," katanya.

Sementara itu calon PAS, Zulkefly berkata beliu juga melahirkan keyakinan untuk menang pada pilihan raya kecil di DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada 11 Oktober ini.

"Semua pilihan raya ada pertandingan, kita ada peluang...kita yakin ada peluang untuk menang," katanya.

Malah beliau juga berkeyakinan bahawa gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memberi kelebihan kepadanya.

"Kita dalam Pakatan masih yakin rakyat masih bersama dengan kita," katanya.

- MSTAR

Luasnya syurga!

Hadith : Dari Sahal bin Saad r.a dari Rasulullah s.a.w sabdanya:”Di dalam syurga terdapat sebatang pokok yang naungannya tidak terlewat (tidak terlepas dilalui di bawahnya) oleh seorang pengendara selama seratus tahun.” (Muslim)

Huraian:

Allah berfirman yang maksudnya:"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa" (ali-Imraan:133)

Sememangnya syurga itu sungguh luas dan setiap manusia menginginkan syurga di akhirat. Syurga, di dalam al-Quran, disebut Jannah. Penghuninya adalah orang-orang yang bertaqwa . Maka alangkah bahagianya sekiranya kita dapat membimbing diri kita, anak-anak dan isteri kepada cara hidup yang diredhai Allah sehinggakan semuanya terselamat daripada api neraka. Bahkan sebuah keluarga yang bertakwa itu bukan sahaja akan bersama-sama mengecap kebahagiaan di dunia tetapi di akhirat juga mereka akan berkumpul lagi untuk kehidupan yang selama-lamanya.

Firman Allah S.W.T yang maksudnya:”...syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.” (ar’Ra’d: 23)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Khamis, Oktober 01, 2009

PROGRAM PENEMPATAN PEKERJAAN - OKTOBER 2009

Program Penempatan Pekerjaan 2009
Tarikh : 03.10.2009
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Dewan Suarah Kapit

Program Penempatan Pekerjaan (3P) PTK Butterworth
Tarikh : 03.10.2009
Masa : 9.00 pagi - 4.00 petang
Tempat : Pejabat Tenaga Kerja Butterworth, Bangunan Jabatan Tenaga Kerja, Jalan Bagan Luar, 12000 Butterworth.

Program Penempatan Pekerjaan (3P) PTK Bangi
Tarikh : 10.10.2009
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Pejabat Tenaga Kerja Bangi,No. 709 Blok C Kompleks Diamond, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Program Penempatan Pekerjaan 2009 Sibu, Sarawak
Tarikh : 10-11.10.2009
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Dewan Suarah Sibu.

Program Penempatan Pekerjaan 2009 Sri Aman, Sarawak
Tarikh : 10-11.10.2009
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Dewan Suarah Sri Aman.

Program 3P Pejabat Tenaga Kerja Sitiawan
Tarikh : 31.10.2009
Masa : 9.00 pagi - 4.30 petang
Tempat : Perkarangan Bangunan Persekutuan Sri Manjung,Jalan Kayu Manis, 32040 Perak.

Aktiviti Yang Akan diadakan:

Pendaftaran Pencari Kerja
Ceramah Kerjaya
Temuduga Terbuka
Dan lain-lain

Kekosongan Jawatan :
300 kekosongan pelbagai bidang

Peringatan:
Sila berpakaian kemas, Bawa Sijil-sijil yang berkaitan.