Selasa, September 29, 2009

JAWATAN KOSONG DI MAJLIS PERBANDARAN KUANTAN (MPK) PAHANG

Permohonan adalah dipelawa daripada Warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan bertaraf Tetap bagi jawatan-jawatan berikut.
Keutamaan akan diberi kepada rakyat negeri Pahang Darul Makmur

JAWATAN:
1. JURUTERA J41
2. PENOLONG PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN U29
3. PEMBANTU UNDANG-UNDANG L29
4. PENOLONG AKAUNTAN W27
5. JURUTEKNIK (MEKANIKAL) J17
6. JURUTEKNIK J17
7. JURUTEKNIK PERANCANG BANDAR DAN DESA J17
8. PEMBANTU KESIHATAN AWAM U17
9. TUKANG K2 (JURUGEGAS) R11
10. TUKANG K3 R9
11. PEKERJA AWAM R1
12. PENYELAMAT N1

DOWNLOAD IKLAN
http://www.mpk.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=8f1ee124-5dc8-4a1a-98e7-4ad262ada3dd&groupId=36727

DOWNLOAD BORANG PERMOHONAN
http://www.mpk.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=59d316cd-17ff-4783-ab4e-03fb817ecc59&groupId=36727

LAMAN WEB:
http://www.mpk.gov.my

Borang yang telah lengkap hendaklah dihantar ke alamat berikut:

MAJLIS PERBANDARAN KUANTAN
JALAN TANAH PUTIH,
25100 KUANTAN, PAHANG DARUL MAKMUR.

Tarikh Tutup : 12 Oktober 2009

JAWATAN KOSONG DI FAKULTI KEJURUTERAAN, UPM

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
-PENOLONG JURUTERA (AWAM) J29

DOWNLOAD IKLAN
http://www.eng.upm.edu.my/temp/Pen%20Jurutera.pdf

DOWNLOAD BORANG PERMOHONAN
http://webed.eng.upm.edu.my/develop/files/pend.bum.br01.jawatan02.pdf

Borang lengkap hendaklah dikembalikan di alamat di bawah

Dekan, Fakulti Kejuruteraan
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan

Tarikh Tutup : 9 Oktober 2009


JAWATAN KOSONG DI KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH (KUIN)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
- PEGAWAI TADBIR N41

CARA MEMOHON:
Permohonan hendaklah dibuat secara bertulis, dengan mengemukakan maklumat diri (resume) beserta sekeping gambar berukuran pasport, salinan kad pengenalan, salinan sijil lahir dan salinan sijil-sijil akademik dan ko-kurikulum serta semua sijil-sijil yang berkaitan kepada:

Pendaftar Kolej Universiti Insaniah (KUIN),
Lebuhraya Sultanah Bahiyah,
05350 Alor Star, Kedah Darul Aman.
(u.p : Bhg. Pengurusan Sumber Manusia)

Tarikh Tutup : 15 Oktober 2009

TIP & RAHSIA KECANTIKAN UNTUK MENINGKATKAN IMEJ DIRI

Diciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Anda sebenarnya cantik. Tambahkan kecantikan anda dengan meningkatkan imej diri. saya akan berkongsi teknik-teknik bagi menambahkan kecantikan yang sedia ada pada diri anda. Caranya adalah mudah dan memberikan kesan yang amat luarbiasa.

Kecantikan kulit dan rupa paras.

Kecantikan kulit dan paras muka akan terserlah jika ianya dipancarkan dari kecantikan dalaman. Kecantikan dalaman adalah rasa ketenangan yang dimiliki oleh seseorang.Kegelisahan menyebabkan kesan yang muram pada wajah anda. Wajah yang mencerut dan seperti mencuka menjadikan diri anda tidak elok. Wajah dan tenang dan santai amat senang dipandang orang untuk ditatapi.Orang yang selalu gelisah dan berdukacita akan menyebabkan masalah pada kulit iaitu mudah berkedut dan mudah mendapat penyakit kulit seperti panau, kurap dan alahan pada kulit.

Hanya dengan memperbanyakkan mengingati Allah hati akan jadi tenang tenteram. Inilah wajah ahli syurga yang bersinar-sinar akan terpancar di wajah anda .Ketaatan pada Allah dengan melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya akan memancarkan sinar pada wajah anda dengan begitu bersinar. Ianya dapat menambahkan rupa paras kecantikan anda.

a) Sentiasa kekal gembira kerana rasa bersyukur atas nikmat yang dikurniakan. Keredhaan anda menjadikan anda begitu gembira kerana kesediaan menerima apa yang telah ditetapkan pada anda. Untuk anda gembira maka anda juga hendaklah sentiasa mengembirakan orang lain. Wajah orang gembira sungguh menawan dan dikagumi. Lihatlah bagaimana penghibur perlu menunjukkan wajah gembira untuk membuat anda gembira.

b) Berfikiran positif akan menguatkan pendirian anda dan membolehkan anda mengawal perasaan anda dari gelisah dan dukacita. Orang yang optimis memiliki wajah yang gemilang dan cantik. Darah semangatnya mengalir lalu memancarkan pada wajah mereka. Stabilkan emosi anda. Jauhi dari sikap busuk hati, dengki, sombong. Miliki sifat mahmudah untuk mencantikkan dalaman diri anda. Orang yang hati baik memang dipandang cantik pada wajahya.

Bagi kebersihan luaran pula ialah sentiasa menjaga kebersihan diri tubuh badan, mulut, gigi, rambut. Kecantikan juga terletak pada bauan. Jika badan dan pakaian bersih, tambah pula dengan haruman dan wangian maka akan melengkapkan kecantikan anda. Berwangianlah terutama berada di rumah kerana kecantikan ahli syurga adalah kerana mereka sentiasa bersalut sentiasa dengan haruman syurga.

c) Kawal perasaan marah. Orang yang selalu marah akan menyebabkan kehodohan pada wajahnya. Ianya juga akan merosakkan sistem badan seperti jantung dan hati.

d) Selalu tersenyum dan bercakap dengan iringan senyuman akan menyerlahkan kecantikan anda. Kita akan sering tertarik pada seseorang yang bercakap dengan wajah yang tersenyum. Ini menunjukkan mereka suka dengan kita. Senyuman akan mencantikkan wajah seseorang 100 kali ganda.

e) Jaga kesihatan anda. Dengan pemakanan yang betul dan tabiat bersenam akan menyegarkan tubuh badan anda. Kesegaran akan sentiasa menyerlahkan kecantikan anda. Jika anda sering sakit ianya akan memberikan kesan pada penampilan diri anda.

F) Banyakkan makan buah-buah, sayuran dan air meneral juga air beralkali. Kita terdiri daripada 70% air. Badan kita selalu kehilangan air yang akan menjejaskan kesegaran sel dan kulit. Minum air 8 gelas atau lebih untuk mengekalkan kesegaran anda. Kurangkan minuman dan makanan yang masam kerana ianya akan menyebabkan anda cepat tua. Kekalkan keremajaan anda dengan bahan-bahan yang beralkali seperti sayuran hijau dan buah-buahan. Vitamin untuk kecantikan adalah seperti E , D ,C dan B.

g) Kekalkan tubuh badan ikut kesesuaian ketinggian anda Gunakan sistem BMI iaitu ukuran yang telah ditetapkan oleh sumber kesihatan iaitu berat unggul yang sesuai. Berat unggul akan menambahkan kecantikan fizikal anda.

h) Memakai pakaian yang sesuai iaitu tidak terlalu ketat dan terlalu longgar.

i) Jaga adab diri. Bercakap dengan tutur kata yang lemah lembut dan tidak bercakap kuat dan kasar dan berperangai sopan akan menyerlahkan kecantikan personaliti anda. Orang yang berakhlak mulia memang cantik dipandang. Inilah yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. Baginda adalah orang yag cantik kerana akhlaknya amat mulia. Diri anda akan dipandang cantik jika anda seorang yang berakhlak mulia.

j) Postur yang betul sewaktu berdiri hendaklah sentiasa tegak, anggun dan berjalanlah dengan gaya yang sopan. Begitu juga cara anda menampilkan mimik muka, pergerakan tangan dan badan yang menarik.

POTENSI MINDA
http://mindataqwa.blogspot.com

Isnin, September 28, 2009

Nicol menang gelaran juara terbuka dunia kali keempat

Ratu skuasy negara yang kini pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David berjaya muncul juara Kejohanan Terbuka Dunia Wanita (WWO), selepas menumpaskan Natalie Grinham hari ini.

Natalie merupakan pilihan kedua kejohanan berasal dari Australia, yang kemudiannya menukar kerakyatan pada 2008 selepas berpindah ke Amsterdam untuk beberapa tahun dan berkahwin dengan bekas pemain nombor satu Belanda, Tommy Berden.

Menurut laman web rasmi kejohanan www.womenworldopen.com, Nicol tewas 311 pada set pertama dalam perlawanan akhir hari ini, yang berlangsung di gelanggang kaca Frans Otten Stadion in Amsterdam.

Bagaimanapun Nicol kemudiannya bangkit untuk memenangi set berikutnya dan meraih kemenangan dengan 116, 113 dan 118.

Perlawanan itu merupakan pertemuan kedua mereka dalam kejohanan terbuka dunia.

Pada tahun 2006 semasa kejohanan di Belfast, Ireland, Nicol berentap selama 98 minit dengan Natalie di perlawanan akhir.

Nicol amat gembira dengan kemenangannya itu selepas tewas pada Terbuka British dua minggu lepas.

"Untuk bangkit semula daripada kekalahan minggu lepas, kemenangan minggu ini amat menggembirakan saya. Saya masih tidak mempercayainya. Empat gelaran juara," katanya seperti dipetik daripada laman web itu.

"Berhadapan dengan Natalie adalah sesuatu yang amat sukar. Kami telah banyak kali bertemu, dia terlalu inginkannya (juara) dan begitu juga saya.

"Menang permainan pertama memberikan keyakinan kepadanya dan bagi saya, ialah ia dijadikan perangsang," katanya.

Bagi Natalie pula walaupun hampa dengan kekalahan itu, berpuas hati kerana mampu bersaing di peringkat itu selepas sembuh daripada kecederaan awal tahun ini.

"Saya rasa dia (Nicol) bermula dengan sedikit tekanan, dan kembali tenang selepas itu, dan bagi saya ia terbalik. Telah lama saya tidak mengalahkannya, jadi saya masuk gelanggang tanpa tekanan dan tenang sepenuhnya dan selepas itu saya mula memikirkan banyak perkara mengenai apa yang saya buat dan mula tertekan," kata Natalie.

- BERNAMA

Anak pelakon Norlia Ghani maut jatuh pangsapuri


Anak pelakon veteran, Norlia Ghani, Edi Rizal Ramli, 32, maut apabila terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Jalan Gurney di sini selepas bertindak nekad memanjat balkoni bagi membantu menangkap pencuri yang dipercayai memecah masuk rumah jirannya, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Edi yang juga adik pelakon Rusdi Ramli, bergegas ke tingkat tujuh Pangsapuri Pangsa Murni Titiwangsa sebaik diberitahu seorang pencuri bersembunyi dalam sebuah rumah kosong di situ selepas memecah masuk kediaman lain di tingkat lapan.

Menurut saksi kejadian itu, Edi sambil memegang kayu hoki memanjat balkoni rumah itu apabila mendapati pintunya berkunci, tetapi tergelincir sebelum terjatuh. Dalam keadaan kelam kabut itu, pencuri itu pula dikatakan melarikan diri.

Edi yang cedera teruk di kepala dan beberapa bahagian badan dikejarkan beberapa jirannya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi meninggal dunia tidak lama selepas mendapat rawatan.

Norlia, 61, ketika dihubungi Berita Harian, menganggap kematian anak ketiganya daripada empat beradik itu tragedi besar buat keluarganya kerana ia berlaku dalam suasana Aidilfitri.

"Arwah meninggal dunia genap seminggu Hari Raya. Yang membuatkan saya terkilan, niatnya cukup baik... mahu menangkap pencuri yang menceroboh rumah jiran tetapi dia sendiri yang kehilangan nyawa," katanya.

Norlia berkata, kes kecurian dan pecah rumah memang sering berlaku di pangsapuri itu kerana banyak rumah belum didiami.

"Sebab itu, arwah dan beberapa jiran selalu melakukan rondaan di kawasan sekitar. Ketika itulah, arwah diberitahu ada rumah kena pecah masuk di tingkat lapan dan pencurinya bersembunyi di tingkat tujuh," katanya.

Rusdi, 39, pula ketika ditemui di perkarangan bilik mayat HKL, berkata beliau sedang bersiap untuk ke rumah ibunya apabila menerima panggilan telefon daripada adik bongsunya yang memaklumkan Edi terjatuh bangunan ketika mengejar pencuri.

"Ketika bergegas keluar rumah, adik saya sekali lagi menelefon memberitahu Edi sudah tiada dan meminta kami terus ke hospital," katanya.

Beliau berkata, jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat sebaik urusan bedah siasat selesai.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika dihubungi berkata kematian Edi diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, tetapi tiada laporan polis dibuat mengenai kes pecah rumah di pangsapuri itu.

- BERITA HARIAN

Petrol RON 95 tidak jejas prestasi enjin

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menolak dakwaan sesetengah pihak yang menganggap penggunaan petrol RON 95 menjejaskan prestasi enjin kenderaan serta kurang berkualiti berbanding petrol RON 97.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan sudah membuat kajian terhadap penggunaan petrol RON 95 sebelum memperkenalkannya di pasaran selain mendapat pandangan pakar dan profesional yang turut membuat kajian serta ujian terhadap petrol terbabit.

Beliau berkata, petrol RON 95 membantu mengurangkan pencemaran berbanding RON 97 yang dijual pada harga RM2.05 se liter, manakala petrol V-power (RM2.25).

Katanya, RON 95 dijual pada harga RM1.80 seliter adalah pilihan terbaik untuk semua enjin kenderaan malah lebih menjimatkan.

"Bagaimanapun, bagi kenderaan yang berkapasiti enjin 3,000cc dan ke atas atau dikategorikan sebagai kenderaan berkuasa tinggi memerlukan petrol RON 97 manakala bagi kenderaan di bawah 3,000cc adalah lebih praktikal untuk menggunakan RON 95," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Bera, yang dihadiri lebih 25,000 pengunjung di Dataran Bera, di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, pihaknya menyedari terdapat beberapa aduan di akhbar berkenaan petrol RON 95 yang didakwa berkualiti rendah, bagaimanapun pihak pengadu dinasihatkan untuk mendapat pandangan daripada pakar berkaitan untuk informasi yang lebih tepat dan jelas.

"Pandangan dan hasil kajian pakar profesional berkaitan enjin dan automotif menjadi garis panduan dan rujukan kerajaan sebelum memutuskan untuk memperkenalkan RON 95.

"RON 95 memang tiada masalah dan prestasinya bukan seperti apa yang didakwa, mungkin pihak terbabit perlu membuat pemeriksaan enjin kende-raan mereka terlebih dulu sebe-lum menyalahkan jenis petrol yang mereka gunakan untuk kenderaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, RON 95 juga digunakan dengan sangat meluas kebanyakan negara di Eropah kerana ia sudah terbukti baik untuk alam sekitar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kawalan harga barangan yang dilaksanakan kementeriannya ketika musim perayaan dilihat memberi impak positif, berikutan rakyat tidak berdepan dengan masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan.

Beliau berkata, bagi tempoh sepanjang sambutan Aidilfitri itu, pihaknya tidak menerima sebarang aduan sama ada mengenai kenaikan harga ataupun barangan keperluan yang tidak mencukupi.

"Apabila KPDNKK menguatkuasakan kawalan harga terhadap 18 jenis barangan dan bekalan barangan selama dua minggu sejak 13 September sehingga 27 September, kita mendapati semua pihak mematuhi arahan berkenaan

"Selain pihak industri, peniaga juga tidak menyorok barangan yang menjadi keperluan semasa musim perayaan malah mereka turut menjual barangan terbabit di bawah harga siling,'' katanya.

Ismail Sabri berkata, kawalan yang dilakukan itu berjaya membantu rakyat terutamanya umat Islam negara ini mendapatkan bekalan barangan yang mencukupi semasa Ramadan dan Aidilfitri.

- BERITA HARIAN

Fokus: Lemah bahasa Inggeris

Walaupun pelbagai pendekatan dilakukan bagi meningkatkan penguasaan mata pelajaran bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu, namun tiada peningkatan ketara dilihat setiap tahun dalam peratusan keputusan tiga peperiksaan umum peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

Malah, kerajaan sudah membelanjakan banyak wang untuk tujuan itu termasuklah memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Walaupun dasar berkenaan akan dimansuhkan, usaha pengukuhan bahasa Inggeris diteruskan melalui Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris.

Persoalannya, adakah pelajar Melayu sudah bersedia mengubah sikap acuh tak acuh mereka dalam mempelajari bahasa yang menjadi medium masyarakat antarabangsa itu?

Dekan Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara , Prof Madya Datin Dr Hajibah Osman, berkata persekitaran yang menggalakkan pertuturan bahasa Inggeris perlu diwujudkan dan pelajar tidak hanya menggunakan bahasa itu pada saat akhir sebelum menghadiri temu duga saja.

“Saya pernah bertanya beberapa pelajar, jika mereka bermimpi dalam bahasa apa? Mereka jawab, sudah tentu bahasa Melayu.


“Jadi, saya selalu ingatkan mereka, jika mahu menguasai bahasa berkenaan, mereka perlu sampai ke tahap bermimpi pun dalam bahasa global itu.

“Mungkin sesetengah pelajar menganggap menghadiri kelas mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai membuang masa kerana tidak begitu relevan dengan bidang teras masing-masing, malah ada yang menyatakan mengapa tidak fokus kepada mata pelajaran teras saja.

“Kesedaran mengenai pentingnya penguasaan bahasa Inggeris perlu dipupuk sejak awal bagi memastikan mereka lebih terbuka untuk menerima mata pelajaran itu,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Bolehkah kita hidup hanya dengan menggunakan bahasa kita? “Saya sangat patriotik serta percaya dengan bahasa ibunda kita namun saya juga percaya pada bahasa lain.

“Nampaknya bahasa Inggeris masih dominan sehingga kini. Apa salahnya kita menguasai lebih daripada satu bahasa kerana ia tidak membuatkan kita kurang berbudaya Melayu.

Beliau berkata, selain minat, faktor berkesan meningkatkan penguasaan bahasa antarabangsa itu adalah kaedah pengajaran guru.

Katanya, pendekatan itu perlu dipertingkat dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian kerana bahasa Inggeris tidak boleh diajar menggunakan bahasa lain dan kualiti tenaga pengajar serta teknik pengajarannya bermula di peringkat sekolah rendah lagi.

“Ia harus bermula daripada kreativiti guru. Jika golongan itu dapat menguasai serta menyampaikan pengajaran dengan berkesan, pelajar dapat meneruskan kesinambungan hingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Banyak aktiviti boleh dilaksanakan untuk menarik minat pelajar, contohnya dengan mengadakan minggu bahasa Inggeris, pertandingan debat, drama dan bercerita.

“Ketika zaman saya belajar dulu, guru hanya ‘mengasah’ kami dengan tatabahasa pada peringkat sekolah menengah kerana penguasaan kami sudah bermula sejak sekolah rendah,” katanya.

Hajibah berkata, ketika di peringkat sekolah menengah dan universiti, pelajar perlu didedahkan dengan program bertaraf antarabangsa sebagai usaha membantu memajukan diri mereka.

“Sekarang, bukan saja pelajar luar bandar sukar menguasai bahasa Inggeris, malah di peringkat institusi pengajian tinggi mereka masih tergagap-gagap untuk bertutur dalam bahasa itu.

“Faktor demografi bukan penentu segala-galanya, saya hanya belajar di sekolah kampung, namun atas usaha dengan lima rakan lain bertutur dalam bahasa Inggeris kami berjaya melangkah ke sekolah di bandar.

“Walaupun usaha itu agak lambat (pada darjah enam), namun aktiviti yang kami lakukan banyak membantu dan ia adalah salah satu faktor saya boleh menguasai bahasa Inggeris,” katanya.

Katanya, pelajar tidak perlu mendapatkan pengajian di luar negara, malah di dalam negara pun sudah cukup untuk menguasai bahasa Inggeris dengan berkualiti.

“Tidak semestinya jika anda belajar di luar negara, anda akan fasih berbahasa inggeris... ramai graduan dari luar negara balik ke Malaysia bertutur lebih banyak bahasa Melayu daripada rakan mereka yang sedia ada di sini.

Hajibah berkata, sama ada kita suka atau tidak, bahasa Inggeris juga adalah bahasa perniagaan peringkat antarabangsa.

“Jika kita menghantar emel kertas cadangan menggunakan bahasa Inggeris yang teruk, orang luar tidak akan berkeyakinan untuk mengadakan kerjasama walaupun sebenarnya produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan berkualiti, bukan setakat itu saja, mereka akan mentertawakan kita.

“Negara seperti Perancis, Jerman dan China yang dulunya tidak mahu menggunakan bahasa Inggeris, kini sudah mula sedar mengenai kepentingannya. Sebelum Olimpik di Beijing tahun lalu, China membelanjakan berjuta dolar Amerika Syarikat bagi melatih mereka yang terbabit dengan olimpik untuk mengikuti kursus intensif bahasa Inggeris.

“Jika kesedaran itu datang lebih awal, mereka tidak perlu mengeluarkan banyak wang untuk tujuan itu kerana bahasa adalah kunci perhubungan dunia, dengannya kita mampu pergi jauh,” katanya.

- BERITA HARIAN

Manusia tidak berhak untuk berlaku sombong, paling berkuasa

Oleh Ibrahim Abdullah

SYIRIK adalah suatu sifat yang kebanyakan manusia tidak menyedarinya apabila menyekutukan Allah SWT. Tidak sedikit orang yang mengira bahawa syirik adalah menyekutukan Allah dengan menyembah berhala, atau mengakui dirinya sebagai Tuhan seperti yang dilakukan Firaun.

Menurut agama, menyekutukan Allah mencakupi dimensi yang sangat luas dan merata. Dari gaya hidup Firaun yang mengaku sebagai Tuhan sampai cara berfikir bahawa wang adalah segala-galanya.

Orang yang menganggap batu cincin yang dipakainya berkhasiat melariskan jualan dengannya, termasuk syirik. Meminta atau memohon keselamatan pada dukun atau bomoh, memohon perlindungan dari jin, dan bahkan bekerjasama dengan jin atau makhluk halus untuk tujuan tertentu, juga termasuk bentuk syirik.

Dalam hal ini, orang berkenaan tidak hanya musyrik kerana menganggap jin dan makhluk halus boleh diminta pertolongan tetap juga mencampuri wilayah ghaib yang juga hak dan urusan Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan" (Fatihah: 5).

Lebih jauh al-Quran memperingatkan mengenai bentuk kemusyrikan yang berada di hati manusia dengan pertanyaan: "Pernahkah engkau melihat orang-orang yang bertuhankan hawa nafsunya? (al-Jathiyah: 45).

Dari ayat ini, nampak jelas siapa saja yang orientasi perbuatannya untuk kepentingan hawa nafsunya, bererti ia menjadi musyrik.

Kesombongan, misalnya, termasuk salah satu bentuk kemusyrikan. Ini kerana manusia tidak berhak untuk sombong diri. Rasulullah SAW menjelaskan, "Tidak ada setitik kesombongan dalam hati manusia, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga."

Mendewakan hawa nafsu, sombong, dan merasa paling berkuasa adalah tiga bentuk kemusyrikan yang sering tidak disedari manusia. Nafsu ingin kaya dan berkuasa dengan menghalalkan semua cara, seperti rasuah, manipulasi, dan lain-lain penyelewengan, termasuk bentuk kemusyrikan.

Merasa dirinya lebih daripada orang lain sehingga ia merasa berhak untuk bercekak pinggang, juga termasuk bentuk kemusyrikan. Merasa dirinya paling berkuasa sehingga tidak mahu menerima kritik dan saranan orang lain, itu pun termasuk bentuk kemusyrikan. Sebab hanya Allah yang punya kekuasaan mutlak tanpa cacat.

Begitu juga dengan sifat takabur. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jauhilah sifat takabur. Sesungguhnya seseorang hamba yang selalu bersifat takabur lambat laun Allah memerintahkan pada malaikat-Nya: Tulislah hamba-Ku ini dalam golongan orang-orang yang zalim." (Hadis riwayat Ibnu 'Adi dari Abi Umamah).

Sifat takabur adalah sifat yang amat dicela dan dikecam agama. Baik dalam hadis mahupun dalam al-Quran terdapat berbagai keterangan yang menganjurkan setiap orang agar menjauhi sifat itu.

Ciri sifat takabur ialah, lupakan hakikat diri sendiri sebagai makhluk amat daif, lupakan kekuasaan Allah, memandang rendah kepada orang lain, enggan menerima kebenaran, memandang dirinya saja sempurna, benar dan kuat.

Orang takabur tidak dapat meletakkan perasaan simpati dan timbang rasa terhadap orang lain. Tidak dapat mengenal rendah diri, berbudi bahasa, hidung tinggi dan ketuanan, tidak dapat mengawal dirinya daripada perasaan hasad dengki dan iri hati. Ia mudah terdedah kepada perasaan tersinggung, marah dan dendam terhadap siapa saja yang mencabarnya. Ia memandang penting kepada hukum Allah dan tidak bersedia menerima kebenaran.

Akibat gejala kelakuan yang sedemikian buruk, itulah orang-orang yang bersifat takabur dikutuk Allah, dibenci manusia, dan dimasukkan ke dalam kumpulan orang zalim, yang akan menerima balasan pedih pada hari akhirat.

Ragam takabur itu, meliputi dengan kekuasaan, pangkat dan darjat, harta kekayaan, ilmu pengetahuan, kepemimpinan, kecantikan dan sebagainya. Kerana sifat takabur juga, iblis tidak mahu sujud kepada Adam sehingga ia dikutuk Allah. Semua ciri yang disebutkan itu termasuk dimensi yang menyebabkan kemusyrikan manusia.

Saidina Ali menyatakan: "Kemusyrikan itu bagaikan semut hitam yang merayap di ranting hitam di tengah hutan lebat pada malam gelap gelita."

Mari kita selidiki secara cermat, apakah dalam hati kita juga bersemayam kemusyrikan yang demikian. Pertanyaan ini wajar diajukan pada hati nurani kita sendiri.

Apakah kita termasuk majikan yang tidak menyediakan hak pekerjanya, apakah kita termasuk pemimpin yang menghilangkan hak rakyat yang diwakilinya. Apakah kita termasuk penguasa yang menutup hak rakyat untuk mengkritik, apakah kita termasuk orang yang memiliki jin dan makhluk halus untuk melindungi perniagaan kita? Jika itu terjadi pada diri kita, mari beristighfar dan bertaubat.

Justeru semua itu adalah bentuk kemusyrikan yang samar dan tersembunyi. Jika tidak bertaubat, Allah akan menimpakan kebinasaan dan azab kepada kita di dunia mahupun akhirat.

Penyenaraian semula Maxis kukuhkan pasaran

Harga tawaran awam permulaan (IPO) saham Maxis Bhd sempena penyenaraian semula syarikat telekomunikasi terkemuka tempatan itu di Bursa Malaysia, dianggarkan di antara RM4.95 hingga RM5.50 sesaham.

Penyenaraian semula Maxis yang dijangka menjelang hujung tahun ini, akan menyaksikan syarikat yang dikuasai tokoh perniagaan terkemuka, T Ananda Krishnan, itu menawarkan sejumlah 2.25 bilion saham kepada pelabur institusi dan runcit.

Penganalisis OSK Research Sdn Bhd, Jeffrey Tan, berkata walaupun harga tawaran rasmi belum dimuktamadkan, anggaran awal itu dibuat berdasarkan maklum balas daripada pelabur institusi yang dijemput untuk membeli saham syarikat itu.

“Kami telah mengumpul maklumat daripada beberapa pelabur institusi yang dijemput untuk menyatakan minat membeli blok saham Maxis. Harga awal bagi institusi adalah RM5.50 sesaham.

“Jika itu adalah harga buku, maka harga tawaran runcit adalah RM4.95, iaitu 90 peratus daripada harga buku,” kata Tan dalam laporan penyelidikan ekuiti OSK Research baru-baru ini.

Harga berkenaan juga, kata Tan, menggambarkan permodalan pasaran sebanyak RM37.1 bilion atau nisbah harga perolehan (PER) tahunan sebanyak 16.3 kali pendapatan bagi separuh pertama 2009.

Penilaian PER itu adalah setara dengan harga saham semasa pesaingnya iaitu DiGi.Com Bhd pada 16.2 kali dan Axiata Bhd pada 14.5 kali pendapatan tahun kewangan 2010.

Sehingga akhir Jun lalu, Maxis menguasai 39.9 peratus pasaran pelanggan telefon mudah alih, mendahului Celcom (M) Bhd dengan 34.4 peratus dan DiGi dengan 25.7 peratus, sementara itu bakinya dikuasai oleh pengendali perkhidmatan baru seperti U Mobile Sdn Bhd.

Minggu lalu, Maxis telah mendedahkan draf prospektus IPO menerusi laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mendapat maklum balas orang awam sehingga 12 Oktober ini, sekali gus mengesahkan cadangan penyenaraian semula syarikat berkenaan.

Maxis tidak akan menerbitkan saham baru bagi tawaran IPO berkenaan, tetapi sebaliknya menawar untuk menjual 30 peratus daripada saham sedia ada syarikat itu.

“Berdasarkan draf cadangan IPO itu, Maxis menawarkan jualan sejumlah 2.25 bilion saham biasa sedia ada, membabitkan tawaran institusi sebanyak 2.075 bilion saham dan tawaran runcit sebanyak 174.8 juta saham,” kata Tan.

Susulan pelaksanaan IPO itu, pegangan saham syarikat induk, Maxis Communications Bhd akan berkurangan kepada 70 peratus.

Ketika ini, Usaha Tegas Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Ananda Krishnan menguasai 75 peratus pegangan dalam Maxis, sementara itu bakinya dipegang oleh Saudi Telecom.

“Kami menjangka Maxis akan disenaraikan menjelang akhir suku keempat 2009, dengan pemerolehan kelulusan menjelang akhir Oktober atau awal November. Penyenaraian semula syarikat berkenaan bakal menjadi yang terbesar bagi pasaran tempatan pada tahun ini,” katanya.

Menurut Tan, berdasarkan draf prospektus cadang IPO itu juga, Maxis akan disenaraikan semula sebagai sebuah entiti ‘bersih’, iaitu tanpa beberapa syarikat yang menjana kerugian di peringkat luar negara.

Pegangan dalam syarikat seperti PT Natrindo Telepon Selular (NTS) dan Aircel yang masing-masing dimiliki 44 peratus dan 74 peratus ekuiti oleh Maxis akan dipindahkan kepada syarikat induknya iaitu Maxis Communications yang sebelum ini disenaraikan di pasaran saham.

Pemindahan pegangan itu akan dilaksanakan menerusi penyusunan semula yang akan dibuat sebelum ia disenaraikan yang lebih menumpukan kepada perniagaan domestik sebagai aktiviti terasnya.

Tan berkata, Maxis akan menjadi perhatian kerana ia termasuk dalam kategori kaunter kukuh khususnya dari segi pemberian dividen.

“Bermula tahun kewangan 2010, kami menjangka Maxis akan membuat pembayaran dividen sebanyak 75 peratus daripada keuntungan bersih. Anggaran itu dibuat berdasarkan rekod syarikat berkenaan sebelum ia dinyah senarai pada 2007.

“Ia juga disokong aliran tunai yang mantap bagi operasi di Malaysia iaitu antara RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun,” jelasnya.

- BERITA HARIAN