Buat pertama kalinya, Nas Ahmad memikul tanggungjawab besar yang ternyata menguji kredibilitinya sebagai seorang penerbit.
Baru setahun memegang jawatan penerbit untuk rancangan hiburan sensasi Melodi, Nas memang tidak mampu lagi menyembunyikan kegusaran mengendalikan rancangan popular itu.
Sebelum ini, Jamil Hassan memegang jawatan itu selama lima tahun sebelum Nas mengambil alih tugas itu daripadanya.
Apatah lagi, dia perlu memastikan resipi Melodi terus lengkap dengan segala rencah untuk terus menjadikan Melodi sebagai sebuah rancangan hiburan paling sensasi di negara ini.
Mungkin ramai yang berpendapat pengalamannya selama 11 tahun dalam rancangan Melodi sebagai wartawan penyiaran mampu membantunya melunaskan tanggungjawab sebagai penerbit dengan baik.
Tetapi, bagi diri Nas sendiri menjadi seorang penerbit bukanlah semudah yang disangka kerana dia perlu memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar seperti mana yang telah diaturkan.
Untuk mengendalikan rancangan mingguan Melodi bagi Nas, tidaklah sesukar mana jika hendak dibandingkan dengan penglibatan kali pertamanya mengemudikan Melodi Raya 2009.
"Bayangkan, inilah kali pertama saya menjadi penerbit untuk Melodi Raya dan untuk bercakap tentangnya juga sudah membuatkan saya menggigil.
"Memang menggerunkan menjadi seorang penerbit kerana ia umpama menyerahkan kepala kita sendiri untuk dipenggal," kata Nas membuka bicaranya pada petang itu.
Nas ditemui pada rakaman program Melodi Raya 2009 yang berlangsung di Sunway Lagoon Theme Park, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Menyambung bicara, Nas atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Ahmad memberitahu, dia berdepan dengan risiko yang cukup tinggi dalam memastikan rakaman Melodi Raya berjalan dengan baik.
Apatah lagi, untuk tahun kedua Melodi Raya diadakan di tempat terbuka sama seperti tahun lalu yang sememangnya terdedah dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
"Beberapa hari sebelum berlangsungnya rakaman ini, hujan turun dengan lebatnya dan begitu juga pada pagi hari rakaman berlangsung.
"Saya tidak putus berdoa dan Alhamdulillah, sepanjang rakaman berlangsung cuaca cukup baik dan tidak menjejaskan perjalanan program ini," kata Nas yang diberi jolokan Abang Rambut Kertak ini lagi.
Atas faktor itu juga, besar kemungkinan Melodi Raya akan kembali menjalani rakaman di dewan besar hotel seperti kebiasaannya tahun hadapan.
Berbicara lanjut konsep Melodi Raya 2009 yang membawa tema Simfoni Dalam Sensasi, Nas menjelaskan, dia mahu mengekalkan elemen sensasi dan panas biarpun dalam bulan Syawal yang penuh keberkatan.
Ini kerana katanya, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihaknya, masyarakat dan penonton masih lagi mahukan ciri-ciri asal Melodi.
Tambahnya, pengikut setia rancangan itu akan terasa kehilangan Melodi seandainya format rancangan itu diubah secara mendadak.
"Mereka juga ada mengatakan Melodi akan menjadi sebuah rancangan yang hambar dan tidak menarik seandainya ia diubah.
"Kerana itu, saya dan pasukan saya masih lagi mahu mengekalkan tradisi itu demi kepuasan peminat dan pengikut setia Melodi khususnya," ujarnya penuh optimis.
Bukan itu sahaja, Nas berkata tema 'Simfoni Dalam Sensasi' juga mahu mengimbangi antara kegembiraan dan kedukaan yang dihadapi oleh anak-anak seni yang kurang bernasib baik.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, Melodi Raya tidak meminggirkan mereka yang kurang bernasib baik apabila memberi sumbangan sebanyak RM5,000 untuk meringankan beban mereka.
Tiga personaliti yang dipilih tahun ini adalah penulis lirik terkenal Jamaludin Sulik atau lebih dikenali sebagai Seri Bayu, Abdul Karim Abdul Latif (Karim Latif) dan Nurul Kamal Mohd. Zainuddin (Kamal Pendek).
Selain itu, sumbangan sebanyak RM5,000 juga turut diberikan kepada dua buah rumah kebajikan iaitu Asrama Baitul Ummah dan Pusat Jagaan Titian Kasih yang masing-masing terletak di Kuala Lumpur.
Memandangkan tampuk kepimpinan Melodi sudah bertukar tangan, adakah penonton akan melihat perubahan untuk Melodi Raya tahun ini?
Sambil menganggukkan kepala, Nas menjelaskan, banyak perubahan yang dilakukan olehnya dalam memberikan hiburan terbaik demi kepuasan peminat.
Tidak seperti selalu, kali ini pengisian kandungan Melodi Raya akan dibahagikan sebaik-baiknya untuk mengelakkan penonton berasa bosan.
Untuk episod pertama yang akan bersiaran pada Hari Raya pertama pada 20 September ini, 70 peratus daripada kandungannya akan menampilkan nyanyian daripada artis-artis jemputan.
Selebihnya pula adalah berita-berita panas yang disediakan untuk tatapan peminat dan penonton setia Melodi.
Berbeza dengan episod pertama, bahagian kedua Melodi Raya 2009 yang disiarkan seminggu selepas itu pula hanya akan menampilkan 30 peratus persembahan nyanyian dan selebihnya adalah paparan berita.
"Kami mahu menjadikan Melodi Raya tahun ini sebagai satu rancangan hiburan yang mampu memuaskan hati peminat.
"Adalah menjadi satu kerugian apabila persembahan artis hanya disiarkan sedikit sahaja sedangkan barisan artis yang terpilih bukan calang-calang.
"Bukan itu sahaja, kami turut memperkenalkan muzik live yang dimainkan oleh kumpulan muzik seperti Sweet Charity, Kristal dan Butterfly untuk memberi satu kelainan," ujarnya yang turut memperkenalkan pentas terapung sebagai salah satu kelainan tahun ini.
Selain itu jelas Nas, dia juga mahu menampilkan seleksi lagu-lagu Raya yang sebelum ini jarang sekali diperdengarkan dan mendapat tempat di corong radio.
Antara artis lain yang membuat persembahan ialah Aishah, Amy Mastura, Aizat, Fabulous Cats, One Nation Emcees, Ramlah Ram, Junainah M. Amin, Fazley, Raihan dan Hujan serta kemunculan khas penghibur terkenal, Datuk Shake.
Tidak cukup dengan itu, Melodi Raya 2009 akan menjadi sebuah tontonan yang ditunggu-tunggu Syawal nanti apabila menyaksikan kemunculan semula kesemua bekas pengacara dan penyumbang suara latar Melodi.
Mereka yang hadir memeriahkan rakaman tersebut ialah Datuk Mahadzir Lokman, Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura, Tabah Syazwan dan Adiel Abdul Ghaffar.
Manakala Sheila Rusly, Haliza Misbun, Aznil Nawawi, Saiful Apek dan Faizal Ismail tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Kesemua mereka bergilir mengemudikan Melodi Raya bersama pengacara terbarunya, Fara Fauzana dan Wahid.
Bagi peminat Melodi, pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton Melodi Raya 2009 selama dua minggu berturut-turut bermula pada 20 September pukul 12.30 tengah hari selama sejam hanya di TV3.
- UTUSAN