Ahad, Ogos 16, 2009

Ubat bukan halangan berpuasa

Tahun ini, Ramadan 1430 Hijrah jatuh di antara bulan Ogos dan September 2009. Di pertengahannya, kita juga bakal menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52 dalam suasana berpuasa.

Ramadan tahun ini hadir di ketika negara dibelenggu satu ancaman virus baru yang telah meragut berpuluh nyawa warganegara Malaysia, virus Influenza A H1N1.

Namun, kehadiran virus punca selesema babi ini bukan satu-satunya ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat.

Seperti mana yang telah dimaklumkan pihak berwajib, antara mereka yang paling berisiko mengalami komplikasi akibat H1N1 adalah pesakit yang menghidap penyakit kronik.

Pesakit sebegini bukan sahaja bergantung hidup kepada ubat, kesan penyakit dan pengambilan ubat itu sendiri telah meninggalkan kesan sehingga pertahanan badan menjadi lemah.

Penyakit kronik juga kini semakin mengatasi kehadiran penyakit berjangkit memandangkan kesan berpanjangan dan berterusan penyakit-penyakit berkenaan.

Ruji ubat

Bagi kebanyakan pesakit kronik, ubat boleh dikatakan antara makanan ruji bagi mereka, yang perlu diambil sepanjang masa, mengikut keperluan dan tahap kesihatan masing-masing.

Pergantungan kepada ubat bukan sahaja telah merantai pesakit kepada satu cara kehidupan khusus, mereka juga menghadapi kesukaran melakukan perkara biasa yang dianggap remeh oleh individu yang sihat dan kuat.

Ubat yang diambil juga kadangkala meninggalkan kesan negatif ke atas badan tetapi tetap perlu diambil bagi mengawal masalah kesihatan yang dihadapi.

Dalam situasi pergantungan kepada ubat, amalan wajib seperti berpuasa di bulan Ramadan juga menghadapi kesukaran.

Menahan dari lapar dan dahaga antara 10 hingga 13 jam selama 30 hari tidak begitu mudah bagi mereka yang bergantung kepada pengambilan ubat untuk mengawal paras gula darah, tekanan darah, kesakitan kronik mahupun masalah sistem penghadaman.

Sehinggakan ada yang dinasihatkan, mahupun dilarang berpuasa sama sekali!

"Terdapat beberapa kumpulan utama pesakit yang tidak digalakkan atau tidak boleh berpuasa. Yang paling biasa dihebahkan adalah pesakit gastritis (gastrik) yang teruk dan penghidap penyakit kronik yang tidak terkawal.

"Bagaimanapun, pesakit yang perlu mengambil ubat pada masa atau situasi khusus juga tidak terke cuali. Puasa juga tidak digalakkan bagi pesakit yang mungkin membahayakan diri akibat kekurangan air atau nutrien," jelas Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC).

Menurut beliau, pesakit gastrik yang teruk mungkin tidak mampu berpuasa walaupun cuma untuk beberapa jam.

Penghidap penyakit kronik tidak terkawal pula biasanya melibatkan diabetes atau tekanan darah tinggi (hipertensi) yang teruk.

"Penghidap diabetes yang mengambil insulin menjadi contoh pengguna ubat pada masa yang khusus.

"Ini kerana pengambilan insulin kebiasaannya perlu diikuti dengan pengambilan makanan supaya kandungan gula dalam darah tidak terlalu rendah," katanya.

Tambah Dr. Abdul Malik, selain tiga kumpulan tersebut, pesakit yang menghadapi risiko bahaya ke atas kesihatan diri dan nyawa juga perlu menimbangkan pilihan berpuasa atau tidak.

"Sebagai contoh, pesakit yang muntah dan cirit kehilangan banyak air. Pesakit yang dijangkiti denggi dan mereka yang demam juga memerlukan air secukupnya.

"Oleh itu, mereka tidak digalakkan berpuasa sehinggalah penyakit tersebut tidak lagi membahayakan nyawa," tegasnya.

Puasa ubat

Dr. Abdul Malik menerangkan bahawa pengambilan ubat di kalangan pesakit kini lebih ringkas dan mudah berbanding beberapa tahun sebelumnya.

"Kebanyakan syarikat farmasi kini cuba mengurangkan bilangan ubat yang perlu diambil pesakit setiap hari.

"Langkah ini bukan sahaja untuk meringkaskan dan memudahkan pesakit mengambil ubat, malahan dapat meningkatkan kepatuhan pesakit kepada jadual rawatan dan dos ubat yang diperlukan."

Beliau menjelaskan pesakit yang hanya perlu mengambil ubat sekali atau dua kali sehari juga kurang menghadapi masalah untuk berpuasa.

"Golongan ini boleh mengalihkan pengambilan ubat di waktu pagi, ketika sahur, dan malam, ketika berbuka," katanya.

Sementara itu, penghidap penyakit kronik yang dapat mengawal perkembangan penyakit tersebut juga kini mampu berpuasa.

Dr. Abdul Malik menyatakan pesakit diabetes yang terkawal kini boleh mengalihkan waktu pengambilan ubat mereka ke waktu sahur dan berbuka.

"Kebiasaannya pesakit diabetes mengambil dua dos ubat setiap hari, dos besar pada waktu pagi dan dos rendah pada petang atau malam.

"Ketika puasa, pengambilan dos ini boleh diterbalikkan, dos rendah ketika sahur dan dos besar selepas berbuka," ujarnya.

Beliau menjelaskan dos rendah lebih sesuai ketika sahur memandangkan tidak banyak makanan diambil untuk bersahur.

Dos besar pula lebih sesuai ketika berbuka memandangkan kelaziman pengambilan jumlah makanan yang lebih banyak, terutamanya yang manis, ketika berbuka puasa.

Perkembangan semasa juga memungkinkan pesakit diabetes yang bergantung kepada insulin untuk menyesuaikan pengambilannya pada waktu sahur dan berbuka.

Dari segi pengambilan antibiotik pula, Dr. Abdul Malik memaklumkan bahawa hanya tinggal satu atau dua jenis antibiotik yang perlu diambil sehingga empat kali sehari.

"Kebanyakan antibiotik baru hanya memerlukan pengambilan satu atau dua kali sehari, dengan tumpuan kepada pesakit mematuhi arahan pengambilan ubat."

Kesan puasa

"Bila bulan puasa (Ramadan) tiba, (kawalan) gula saya memang cantik."

Itu menjadi antara ayat lazim pesakit yang dimaklumkan kepada Dr. Abdul Malik.

Beliau mengakui paras gula pesakit diabetes biasanya lebih mudah terkawal di bulan puasa (Ramadan), terutamanya jika mereka tidak melahap makanan yang manis dan tinggi karbohidrat ketika berbuka.

"Kekurangan jumlah dan waktu makan turut mengurangkan pergantungan kepada ubat untuk mengawal paras gula pesakit.

"Bagaimanapun, pesakit diabetes perlu berhati-hati ketika berbuka memandangkan menjadi satu kebiasaan pengambilan banyak makanan manis ketika berbuka," tegasnya.

Pelbagai pilihan makanan di bazar Ramadan mungkin akan merambangkan mata. Banyak kuih yang dijual sama ada manis atau tinggi kandungan karbohidrat.

Amalan pemakanan tempatan bagaimanapun menunjukkan kuih yang manis ini menjadi antara hidangan wajib ketika berbuka.

Dr. Abdul Malik menekankan bahaya jika pesakit diabetes mengambil terlalu banyak makan manis ketika berbuka puasa.

"Walaupun pesakit diabetes boleh mengambil ubat selepas berbuka, adalah lebih baik jika mereka mengambil makanan secara sederhana.

"Amalkan mengambil makanan dalam jumlah kecil, sekadar untuk merasa, dan kalau boleh elakkanlah makanan yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah."

Beliau turut menggalakkan pengambilan roti atau nasi bersama sayur segar, di samping buah-buahan segar bagi memastikan tahap kesihatan pesakit terjaga.

"Bersahur amatlah digalakkan untuk penghidap penyakit kronik. Jika tidak berselera, cukuplah dengan memakan sedikit roti bersama ubat.

"Jika bangun cuma untuk makan ubat sahaja juga boleh. Bagaimanapun, pastikan makan sedikit jika mengambil ubat untuk diabetes atau ubat tahan sakit (memberi kesan kepada perut)," katanya.

Selain ubat dan menjaga pemakanan, pesakit juga boleh mengamalkan sedikit senaman ringkas.

"Senaman boleh dilakukan sebelum atau ketika hampir waktu berbuka, senaman ringan seperti aerobik ataupun berjalan.

"Senaman juga boleh dilakukan selepas waktu berbuka, iaitu di waktu malam. Pesakit bagaimanapun tidak digalak melakukan senaman berat kerana dikhuatiri kehilangan banyak air, sehingga menjejaskan badan!"

Patuhi arahan

Walaupun puasa bagi penghidap penyakit kronik bukan semudah untuk individu sihat, perkembangan perubatan kini membolehkan pesakit berpuasa tanpa masalah besar.

Bagaimanapun, Dr. Abdul Malik mengingatkan pesakit supaya tidak mengabaikan pengambilan ubat di bulan puasa.

"Jika terlupa mengambil ubat di waktu berbuka, tidak membawa masalah besar (banyak masa sehingga sahur).

"Tetapi, jika tertinggal ubat di waktu sahur, mungkin ada sedikit masalah (perlu tunggu sehingga waktu berbuka)."

Walaupun kesan terhadap diri pesakit hanya jelas selepas beberapa kali atau beberapa hari tidak mengambil ubat, pesakit tidak sepatutnya terus menerus 'terlupa' pengambilan ubat.

"Pesakit masih boleh berpuasa jika terlupa mengambil ubat sekali, tapi jangan dibuat selalu, jangan jadikan amalan," tegasnya.

Beliau turut menyarankan pesakit yang menghidap gastrik, pada hari biasa atau ketika Ramadan, untuk berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah besar dalam sistem penghadaman.

Jadual pengambilan ubat di bulan puasa juga tidak boleh dibuat sesuka hati. Dr. Abdul Malik menegaskan setiap pesakit perlu mendapatkan pandangan dan nasihat doktor pakar terlebih dahulu sebelum mengatur semula masa dan cara pengambilan ubat untuk berpuasa.

"Sebaik-baiknya, jumpa doktor dahulu untuk bertanya bagaimana mengubah cara pengambilan ubat semasa bulan puasa, mengikut keperluan individu pesakit dan penyakit yang dihadapi."

Perubahan rawatan ketika bulan puasa bukan sahaja melibatkan peralihan waktu mengambil ubat, malahan mungkin melibatkan penukaran jenis ubat.

Doktor mungkin akan memberikan ubat yang tidak perlu diambil dengan kerap, bersesuaian dengan situasi ketika berpuasa.

Tidak kira dari segi pengambilan ubat, pemakanan dan senaman, tujuan utama adalah untuk pesakit terus mengawal situasi kesihatan mereka, di bulan Ramadan atau hari-hari biasa.

Sebarang perubahan negatif bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan dan ketahanan badan, malahan akan mendedahkan pesakit kepada risiko penyakit lain seperti selesema babi.

Ingat, virus H1N1 dan banyak kuman lain lebih mudah menjangkiti dan juga menyebabkan komplikasi di kalangan penghidap penyakit kronik yang mengabaikan kesihatan mereka.

Oleh itu, sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab terhadap rawatan serta tahap kesihatan diri.

Jadikanlah amalan berpuasa satu cara menguat dan memulihkan badan, tanpa mengabaikan sebarang bentuk rawatan dan perlindungan diri, terhadap sebarang ancaman jangkitan dan penyakit lain.

- MINGGUAN MALAYSIA

CSI Bukit Aman - Penjejak bukti


Jika CSI Las Vegas berbangga dengan ketelitian Gil Grissom, CSI: Miami boleh mengharapkan kepakaran Horatio Caine dan Mac Taylor menjadi tonggak kekuatan CSI: NY, Malaysia tidak ketinggalan berada dalam kelas tersendiri dengan wujudnya CSI Bukit Aman atau dikenali secara rasmi sebagai Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2001.

Lebih menarik apabila kakitangan di Makmal Forensik itu tidak perlu menghafal skrip atau mencipta persekitaran jenayah untuk membolehkan unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) bergegas mengumpul bukti kerana saban hari mereka dihidangkan dengan kejadian sebenar yang mencabar kemampuan dan kesungguhan anggota pasukan CSI.

Ia sama sekali berbeza dengan ketiga-tiga siri penyiasatan suka ramai itu yang perlu tampil setiap minggu dengan rekaan kes jenayah menarik serta memasukkan fiksyen bagi menyedapkan cerita demi mencatatkan kadar penonton tertinggi.

Juruanalisis Seksyen Tempat Kejadian Jenayah Makmal Forensik PDRM, Asisten Superintendan Zuraimi Zam Zam, berkata Makmal Forensik itu diwujudkan, pertamanya bagi membantu pegawai penyiasat (IO) menyiasat kejadian jenayah secara saintifik dan lebih bersistematik.

"Sebelum unit ini ditubuhkan, IO yang perlu mengutip bukti dan melakukan siasatan. Dengan ada CSI, mereka boleh memberi tumpuan kepada membuat siasatan ke atas saksi kes, seterusnya mengesan dan menangkap suspek.

"Kedua, ia berfungsi untuk mengumpulkan bahan bukti yang ada kaitan dengan kes dan memastikan bukti itu elok serta tidak tercemar. Tidak guna mengutip banyak benda yang ada di tempat kejadian jenayah tetapi apabila diperiksa ia tidak membawa apa-apa nilai kepada siasatan.

"Oleh itu, anggota CSI tidak boleh terburu-buru terus mengumpulkan bukti. Sebaliknya, mereka perlu merenung dan membayangkan jenayah untuk mendapatkan gambaran bagaimana kemungkinan ia berlaku. Kemudian barulah mula mengumpul bukti yang dirasakan berkaitan. "Selain meneliti keadaan mayat secara luaran, pemeriksaan persekitaran tempat kejadian untuk mendapatkan bahan bukti yang berkualiti, seterusnya membuat rekonstruksi (gambaran semula) kejadian adalah tugasan utama kami," katanya yang sudah berkhidmat di Makmal Forensik itu sejak Mac 2002.

Dalam kes bunuh diri sebagai contoh, beliau berkata, unit CSI akan dipanggil ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan dan jika dalam penelitian mereka mendapati kes itu atau persekitarannya mencurigakan, siasatan akan dibuat sama ada ia kes bunuh diri atau dibunuh.

Beliau berkata, petugas CSI mestilah seorang anggota polis tetapi keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang sains seperti kimia, biologi, fizik dan sains forensik.

"Ia bertujuan menyediakan pegawai yang mempunyai asas dalam bidang sains untuk menjalankan siasatan secara saintifik. PDRM menyediakan kursus untuk anggota dan pegawai CSI dari semasa ke semasa di dalam dan luar negara untuk meningkatkan kecekapan mereka.

"Ketika Makmal Forensik ini mula ditubuhkan, pegawai dihantar menjalani kursus di Australia selama tiga bulan dalam bidang forensik," katanya.

Ketika cara persembahannya berlainan, peralatan yang digunakan di luar dan di dalam skrin televisyen masih sama, malah cara mengumpul dan menjaga bahan bukti juga tidak berbeza.

Zuraimi berkata, bagi unit CSI, menjaga tempat kejadian jenayah adalah perkara paling penting bagi memastikan bukti yang ada tidak tercemar dan tidak dipersoalkan apabila kes dibawa ke mahkamah.

"Sebaik unit CSI sampai, polis biasa pun tidak akan dibenarkan berada dalam kawasan kejadian. Ia menjadi tempat kami. Penting untuk memastikan tempat kejadian tidak tercemar atau bahan bukti tidak berkaitan ada di situ.

"Sebagai contoh, orang lain yang tiada kena mengena dengan kes, menghisap rokok dan membuang puntung di tempat kejadian. Kami mungkin akan mengutipnya sebagai bahan bukti. Setelah analisis dibuat, akhirnya didapati ia tidak berkaitan dan akan menjejaskan kes," katanya.

Namun bagi unit CSI, kemungkinan untuk bukti atau tempat kejadian jenayah tercemar adalah tipis sekiranya pengawalan dilakukan dengan baik.

"Sebagai peringatan kepada orang ramai, saya meminta mereka supaya tidak menjadi `pencemar' di tempat kejadian, dengan berkumpul dan menyaksikan apa yang berlaku seperti melihat suatu pertunjukan," katanya.

Tegas Zuraimi, contoh pencemaran paling mudah ialah apabila jenayah berlaku dalam rumah dan individu yang paling awal sampai tidak begitu peka dengan kepentingan bukti, mungkin menjejaskan bukti sedia ada.

"Contohnya, penemuan lebih daripada satu kesan tapak kasut di tempat kejadian boleh menjejaskan penilaian yang dibuat oleh unit CSI, sedangkan pada hakikatnya kesan itu adalah hasil kecuaian individu yang sampai awal yang tidak peka dengan pengawalan tempat kejadian," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika mangsa masih hidup apabila polis sampai, tanggungjawab utama ialah menyelamatkan mangsa dengan meminimumkan pencemaran di tempat kejadian.

"Sebagai contoh, mangsa yang ditikam atau ditembak mengalami pendarahan teruk. Anggota polis yang paling awal tiba dikehendaki menyelamatkan mangsa walaupun pada masa sama terpaksa memijak darah atau mengalih mangsa atau dengan menghubungi ambulans. Malah dalam sesetengah kes, ambulans dan pasukan paramedik lebih dulu sampai daripada unit CSI.

"Bagaimanapun, pada masa ini, banyak kursus berkaitan fungsi Pegawai Pertama Tempat Kejadian dianjurkan oleh pihak Makmal Forensik PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negeri bagi menambahkan pengetahuan berkaitan pentingnya pengawalan di tempat kejadian.

Menyentuh masa yang diambil untuk memproses tempat kejadian, Zuraimi berkata, ia terpulang kepada bentuk jenayah itu sendiri. Kadangkala siasatan mengambil masa seawal 1 hingga 2 jam dan ada kalanya mengambil masa berhari-hari. Kadangkala tempat kejadian perlu dilawati semula sekiranya IO mendapat petunjuk baru dalam menjalankan sesuatu siasatan.

Dalam satu pasukan CSI, ada lima anggota iaitu ketua pasukan, pelukis rajah kasar, jurufoto, pencatat dan pengumpul barang kes. Sekiranya ada kes yang memerlukan kehadiran pakar, pakar patologi dan Bomb Tech (pakar letupan) akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Mengenai kadar penyelesaian kes jenayah, Zuraimi berkata, ia sukar diukur kerana kebanyakan kes masih dibicarakan. Namun baginya, kemampuan anggota CSI menunjukkan sesuatu bukti dengan positif adalah satu kejayaan.

"Sukar mencatatkan kadar kejayaan kes kerana ia masih dibicarakan tetapi apabila dapat mengaitkan suspek berada di tempat kejadian dengan bukti yang ditemui, bagi saya itu satu kejayaan. Berjaya atau tidak memenangi kes itu pula bergantung kepada faktor lain seperti keterangan saksi dan perkara lain.

"Kadang-kadang kesilapan teknik boleh menggugat kes dan disebabkan itu, anggota CSI amat berhati-hati supaya cara pengumpulan dan pemeriksaan bukti tidak boleh dipertikai," katanya.

Selain kes bunuh, unit CSI turut bertanggungjawab membawa penjenayah kejadian rompakan, samun, pecah rumah dan rogol ke muka pengadilan melalui bukti yang ditinggalkan di tempat kejadian.

- BERITA MINGGU

Perang ideologi ganti fitnah, 'buku lima' pada pilihan raya

Oleh ZAINUL ARIFIN

Kadang-kadang kita susah hati bila ada pilihan raya, terutama pilihan raya kecil di mana seluruh perhatian negara akan tertumpu di sesuatu kawasan.

Kebimbangan ini bukan kerana calon atau parti yang disokong kalah, tetapi kerana kempen yang semakin hari semakin berani. Berani bukan dalam erti kata memperjuangkan ideologi politik, tetapi lebih berani melangkaui ukur adab dan tata susila.

Segala sumber parti-parti politik pun akan tertumpu ke tempat yang selalunya kebanyakan kita tidak pernah dengar pun. Bukit Selambau, Bukit Gantang, Manik Urai, Batang Air dan kini Permatang Pasir akan dipenuhi kenderaan dari luar dan untuk lebih seminggu orang di situ akan ditatang dengan janji dan dihidangkan kata-kata manis.

Adakalanya dalam keghairahan berkempen terlalu banyak cerita yang dikeluarkan, yang mana sahih yang mana tidak sedikit yang tahu.

Hidup kita bukan saja dikawal oleh undang-undang, tetapi lebih penting ialah tata susila dan kebudayaan kita. Undang-undang boleh membuat kita menjadi rakyat yang patuh, tetapi tatasusila dan budi bahasa akan menjadikan kita rakyat yang baik.

Namun bila pilihan raya datang, segalanya dilupakan. Mungkinkah saingan politik yang menyebabkan kita lupa akan budi bahasa kita?

Maknanya, jika dulu kita berdebat menonjolkan dan menjual ideologi kita, kini kita cari jalan mudah dengan memburukkan lawan. Selalu juga diselangi dengan maki hamun dan fitnah.

Jika dulu kita hanya bawa sepanduk kini kita tambah dengan membawa kayu dan batu. Ada yang datang berkempen bukan untuk menaikkan semangat dan menjulang partinya, tetapi sebaliknya mengapi-apikan kemarahan terhadap lawan.

Ini mungkin boleh masuk kategori politik kehancuran, di mana untuk menang apa saja sanggup dilakukan.

Sejak bila pilihan raya kita menjadi ganas dan tegang? Sejak bila orang macam hendak bergaduh saja bila berkempen pilihan raya?

Yang jelas kebanyakan yang terlalu emosional di dalam pilihan raya adalah orang Melayu, yang tahan bas, yang koyak bendera, yang bertumbuk dan yang memaki hamun dan mengejek orang lain. Boleh kata semuanya tabiat orang Melayu yang dikatakan baik, tewas dengan virus demam pilihan raya.

Mungkin sebab orang Melayu lebih ramai, maka kita mungkin nampak hanya orang Melayu yang menunjuk perasaan di jalan raya. Antara beribu-ribu mengiringi calon di hari penamaan, yang menjerit-jerit dan menunjuk buku lima antara satu sama lain adalah orang Melayu.

Pada masa berkempen, yang berarak ke sana-sini bawa bendera dengan motosikal adalah orang Melayu.

Mungkin juga orang Melayu memang suka perkara-perkara macam ini kerana tidak payah banyak berfikir. Dengar saja cakap orang politik, lagi petah pidatonya, mestilah lebih betul isi kandungannya.

Kenapakah, jika bangsa kita dikatakan berbudi bahasa, apabila pilihan raya, segalanya bertukar? Bahasa dan kelakuan yang dianggap tidak sesuai menjadi satu kebiasaan.

Kita perlu berhati-hati supaya yang jarang-jarang tidak menjadi kebiasaan dan yang biasa menjadi lumrah.

Satu fenomena di pilihan raya kini ialah kecenderungan untuk menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Selepas pilihan raya ada saja yang tidak kena dan syak wasangka ditimbulkan terhadap keupayaan dan integriti suruhanjaya.

Tidak kira menang atau kalah, tujuannya seolah-olah ingin mempengaruhi pandangan orang ramai terhadap institusi itu.

Jika menang dikatakan undi mungkin lebih banyak kalau SPR tidak pincang. Jika kalah, sudah tentulah kerja tidak baik SPR.

Bahayanya kenyataan seperti ini ialah ia akan menghancurkan institusi itu di kaca mata rakyat, sedikit demi sedikit. Jadi bila kita ada pilihan raya umum nanti, mungkin kepercayaan rakyat sudah terhakis dan keputusan akan lebih mudah ditolak, sama ada betul atau tidak.

Jika SPR diragui tiada pihak yang untung nanti, baik kerajaan atau pembangkang. Menang kalah mereka akan diragui dan rakyat akan keliru yang mana wakil yang sah dan yang mana yang dianiaya.

Kita ada antara dua hingga tiga tahun untuk menentukan SPR menjadi satu badan yang boleh dianggap sebagai pengadil bebas di dalam perjalanan proses demokrasi kita. Apa yang perlu dilakukan ialah memantapkan SPR dan memperbaiki kelemahan yang ada, serta menaik taraf proses-proses yang ada.

SPR perlu mengadakan satu kempen penerangan di mana ia menjemput semua lapisan melihat bagaimana ia berfungsi. Selak semua langsir yang menutup segala operasinya, buka semua tingkap dan pintu supaya rakyat boleh menjengok bagaimana ia bekerja.

Jemput pengkritiknya yang paling lantang untuk berdialog dan mengkaji operasinya. Besar kemungkinan pengkritik akan enggan datang kerana jika segalanya telus dan teratur, habislah satu modal kempen.

Di dalam dua tiga tahun ini jadikan hubungan awam satu misi utama SPR.

Rasanya, walaupun tidak sedap di hati, kita patut menjemput pemerhati luar untuk mengkaji sistem pilihan raya kita daripada pendaftaran pengundi, kempen dan kepada proses pengundian kita. Segala isu yang berbangkit ketika pilihan raya seperti pengundi hantu, undi pos, media massa, jentera kerajaan harus dibuka untuk tontonan dan kajian semua.

Tugas utama kerajaan ialah meyakinkan rakyat bahawa sistem pemilihan wakil mereka ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah tulus dan adil. Ini penting kerana sudah tentu ada cubaan ingin menimbulkan syak wasangka terhadap institusi pengendalian pilihan raya.

Mula-mula bawa pemerhati ke pilihan raya kecil dan kemudian di pilihan raya umum. Ini penting kerana ia mempunyai dua serampang membuat sistem pemilihan kita lebih mantap dan mengurangkan sangsi dan syak terhadap proses demokrasi kita.

Ini penting kerana bila rakyat yakin tentang proses pilihan raya kita, tidak mudah ia akan dijadikan modal politik. Kita lihat di beberapa negara apabila rakyat tidak yakin, maka kerajaan yang dipilih akan sentiasa diganggu-gugat.

Apabila rakyat yakin juga dengan sistem pilihan raya kita, masa itulah peperangan ideologi akan menggantikan maki hamun dan buku lima di pilihan raya kita.

Maiza tak jangka Akhil-Waheeda bernikah secepat ini


Sukar untuk menelah apa yang sedang bermain di fikiran semua apabila mendapat tahu penceramah bebas dan penyanyi Akhil Hayy kini sudah sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon Waheeda.

Bagi sesetengah pihak, berita perkahwinan mereka ini sekaligus mungkin telah menjawab segala persoalan yang bertamu dalam diri masing-masing.

Tidak kurang juga mungkin yang rasa 'tertipu' apabila mendengar berita ini lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya pernah menafikan cerita mereka sedang bercinta dan mendakwa hubungan mereka sekadar teman biasa.

Namun, ketepikan seketika isu itu kerana baik Akhil mahupun Waheeda mungkin mempunyai alasan tertentu 'merahsiakan' tentang hubungan mereka.

Apapun, cuba menyelami hati bekas isteri Akhil, Maizawati Zainal, yang bercerai dengn penyanyi itu pada 15 Julai lalu, dia sendiri akui memang sudah lama mengetahui tentang hubungan cinta antara bekas suaminya dan penyanyi lagu-lagu ‘World Music’ itu.

Bahkan, Maiza pernah memberitahu yang Akhil pernah meminta izin darinya untuk menikahi Waheeda pada Februari lalu. Namun, selepas itu Akhil dilaporkan terus senyap dan meninggalkan rumah tanpa ada khabarberita untuk berkahwin dengan sang kekasih.

Ditanya kepada Maiza mengenai perkahwinan Akhil dan Waheeda pada hari ini, dalam wajah yang tenang Maiza menjawab dia positif dengan apa yang berlaku.

“Apa pun, saya dah tahu mereka memang mempunyai hubungan sebelum ini dan masyarakat boleh menilai dari awal cerita sehingga hari ini iaitu bermula dari gosip sehingga ke jinjang pelamin.

“Saya tak mahu memberikan komen lanjut tentang hal ini cuma yang saya boleh katakan apa yang digembar-gemburkan selama ini adalah benar,” jawab Maiza ketika melakukan sesi fotografi di Menara Star.

Biar apa pun orang kata, semuanya sudah berlalu dan Maiza sendiri tidak mahu berpaling ke belakang lagi.

Pedih bagaimanapun perasaan yang dirasai sekarang, tidak perlulah dihebahkan kepada semua namun tekadnya lebih untuk menguatkan semangat untuk menghadapi hari muka.

“Saya tak jangka mereka akan bernikah dalam masa terdekat ini. Apa-apapun saya berserah dan berbalik kepada Allah.

“Yang baik itu selalu datang daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan saya sendiri..,” luahnya yang tidak lekang dengan senyuman.

Sekarang, Maiza berkata dia hanya berserah kepada Tuhan untuk menemukan jodohnya dengan sesiapa sahaja.

Dalam perkembangan yang lain, Maiza juga sedang sibuk melakukan perniagaan terbarunya iaitu menjual tudung, jubah abaya dan kek yang semuanya dipasarkan menggunakan nama ‘Myza’.

Ibu kepada enam orang anak ini juga masih lagi mengusahakan perniagaan yang diasaskan olehnya sejak 3 tahun lalu yang menjual barang-barang seperti telekung, sejadah, tudung Myza, songkok dan al-Quran.

Menurut Maiza, bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi ejen jubah abaya dan kek, bolehlah menghubungi Tasya di talian 019-5425363.

- MSTAR

Kemeriahan konvokesyen UTM terjejas akibat H1N1


Kemeriahan Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-43, semalam sedikit terjejas akibat wabak Influenza A (H1N1) apabila kehadiran ibu bapa dan tetamu didapati berkurangan, manakala pengunjung dan jemputan pula dibekalkan topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga.

Canselor UTM, Sultanah Zanariah Almarhum Tuanku Ahmad turut mengingatkan graduan dan ibu bapa supaya menjaga kebersihan berikutan wabak berbahaya yang melanda dunia itu boleh menyebabkan kematian.

"Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah semoga wabak ini tidak terus merebak," titah Sultanah Johor pada majlis konvokesyen berkenaan yang menyaksikan 5,692 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing termasuk 160 graduan antarabangsa dari 20 negara.

Daripada jumlah berkenaan, 39 graduan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana (636), diploma lepas ijazah (1), sarjana muda (3,945) dan diploma (1,442).

Sultanah Zanariah juga menasihatkan semua pihak supaya bersyukur kerana dapat hidup dengan aman damai dan mengingatkan supaya jangan mencalarkan keamanan dengan perkara remeh temeh serta tidak menguntungkan.

Graduan antarabangsa membabitkan 46 orang dari Iran, Indonesia (27), Libya (26), Iraq (16), masing-masing 12 dari Nigeria, Sudan dan Yaman, Kazakhstan (8), Pakistan (4), Arab Saudi (3) serta masing-masing seorang dari Bangladesh, Cameroon, China, Ghana, Kuwait, Sierre Leone, Somalia, Syria, Tanzania, Turki dan Uganda.

Sultanah Zanariah juga menasihatkan semua pihak supaya bersyukur kerana dapat hidup dengan aman damai dan mengingatkan supaya jangan mencalarkan perpaduan dan keamanan dengan perkara remeh temeh serta tidak menguntungkan.

"Kita mengajak semua untuk sama-sama menghargai keamanan yang kita kecapi. Sama-samalah kita membuka ruang dan peluang untuk berjaya dan saling menghargai satu sama lain untuk kemajuan bangsa dan negara atas semangat 1Malaysia," katanya.

Baginda turut menyampaikan watikah kepada bekas Naib Canselor UTM, Datuk Dr Muhammad Ridzuan Mohd Salleh yang dilantik Pro-Canselor ketiga universiti itu selain gelaran Profesor Emeritus kepada dua bekas tokoh akademik UTM, Prof Datuk Wira Ir Dr Mohammad Noor Salleh dan Prof Dr Azman Awang.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Prof Ir Dr Judin Abdul Karim pula dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat, manakala Anugerah Pelajaran Diraja kepada Muhammad Zamir Othman, 21, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia) dan Chin Pui Ling, 24, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Awam).

- BERITA MINGGU

Senaskhah RM175,000

Mungkin ada yang beranggapan tindakan membeli senaskhah akhbar lama berharga RM175,000 tidak masuk akal, namun bagi rakyat Malaysia, Dr Tai Chee How, 34, semangat sayangkan negara melebihi segala-galanya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Green Ocean International Sdn Bhd berkata, tindakannya membeli akhbar Singapore Standard dengan harga sebanyak itu disebabkan ia terbitan 31 Ogos 1957 iaitu pada hari kemerdekaan negara.

Dengan bantuan rakan perniagaan, Jeffrey Cheah, beliau berjaya menjejaki pemilik akhbar berkenaan, dipercayai satu-satunya yang masih ada.

“Saya diberitahu rakan bahawa seorang lelaki dari Ipoh, Perak ada akhbar ini. Saya berminat memilikinya kerana ia nostalgia bukan saja kepada saya, tetapi juga rakyat negara ini.

“Saya menemui lelaki itu dan menawarkan RM87,500 tetapi dia menolak. Tidak putus asa, saya naikkan tawaran sekali ganda dan dia akhirnya setuju,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tai menjelaskan, wang bukan halangan, sebaliknya semangat cintakan negara menyebabkannya nekad membeli akhbar edisi hari kemerdekaan negara itu.

Mungkin ada yang melihat tindakan itu sebagai pembaziran tetapi bagi ahli perniagaan itu, akhbar terbabit lebih bernilai daripada wang ringgit.

Menurutnya, jika tidak disimpan atau dijaga dengan baik, sudah tentu ia musnah begitu saja.

Sehubungan itu, beliau mengambil keputusan untuk menyerahkan akhbar keluaran syarikat Sin Poh (Star News) Amalgamated Ltd, Singapura, itu kepada kerajaan pada 20 Ogos ini.

“Selepas memiliki akhbar ini, saya berhasrat untuk menyerahkannya kepada kerajaan iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Putrajaya, Khamis depan.

“Sebagai rakyat Malaysia, ini saja yang mampu saya lakukan untuk negara, terutama menjelang hari kemerdekaan negara yang ke-52 tahun,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey berkata, dia melawat beberapa perpustakaan, termasuk Arkib Negara, untuk menjejaki akhbar berkenaan, tetapi naskhah 31 Ogos 1957 tiada dalam simpanan.

“Saya sudah ke Pusat Sumber The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Perpustakaan Negara dan Arkib Negara, cuma di Arkib Negara ada naskhah bertarikh 26 Ogos 1957 tetapi dalam warna hitam putih.

“Selepas memberitahu Dr Tai, beliau bersetuju menyerahkan akhbar ini kepada kerajaan iaitu Perdana Menteri dan ia mungkin disimpan di Arkib Negara,” katanya.

Dalam edisi khas pada hari kemerdekaan negara ini, akhbar dengan 47 halaman itu memaparkan pelbagai kejayaan dan situasi sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Muka depan akhbar itu memaparkan wajah bekas Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang digelar Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia.

Selain itu, ada bendera Malaysia dan 11 bendera negeri seperti Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

Turut dipaparkan ialah latar belakang Raja-Raja Melayu ketika itu, antaranya Sultan Kedah, Tunku Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid serta Sultan Kelantan, Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Mohamed IV.

Tidak ketinggalan berita mengenai perjuangan golongan wanita dipaparkan. Dalam satu ruangan, wanita diseru membantu golongan lelaki atau suami dan dituntut lebih agresif mengubah taraf hidup.

Antara yang menarik lain ialah ruangan iklan dan paparan pelbagai foto masyarakat berbilang kaum negara ini dengan tajuk, “The People of Malaya.”

Mengenai iklan, kebanyakannya mengucapkan tahniah di atas kemerdekaan negara, antaranya The Malayan Railway Administration, Boh Tea, The Chartered Bank dan Chung Khiaw Bank.

- METRO AHAD

Janda RM7 juta


Menuntut hak, ambil kesempatan atau tamak? Itulah persoalan yang timbul apabila ada wanita membuat tuntutan hingga jutaan ringgit daripada bekas suami mereka apabila berlaku perceraian.

Sepanjang tahun lalu hingga Ogos tahun ini, tujuh kes perceraian membabitkan pemimpin politik, ahli perniagaan dan artis boleh dianggap paling mahal atau elit apabila jumlah keseluruhan tuntutan mereka melebihi RM7 juta.

Tuntutan paling tinggi dibuat Siti Aishah Chou Abdullah, 24, iaitu bayaran mutaah RM3 juta daripada bekas suaminya, Wan Ismail Wan Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Kelantan.

Ini diikuti bekas pramugari, Nor’aini Md Dom, 48, yang menuntut bayaran mutaah RM2 juta daripada bekas suaminya, Mohamed Rithuan Mohamed Shamsudin, 57, pada November tahun lalu.

Azizah Ali, 47, bekas isteri pemilik syarikat perunding kejuruteraan awam di Kuala Terengganu, Terengganu, turut membuat tuntutan mutaah RM2 juta daripada bekas suaminya.

Apabila ditanya mengenai rasional tuntutan dibuatnya, Siti Aishah berkata, biarpun ada pihak menganggap RM3 juta yang dituntutnya keterlaluan, jumlah itu sebenarnya wajar.

“Saya bukan tamak atau ingin mengaut hartanya tetapi jumlah tuntutan itu wajar kerana dia (bekas suami) tidak tunaikan janji dibuatnya sebelum kami berkahwin selain mengambil kira pengorbanan saya untuk menjadi isterinya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Wanita berasal dari Kemboja itu berkata, tuntutan mutaah RM3 juta itu adalah pampasan perceraiannya kerana dia dan dua anak, Wan Mohd Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, hidup terumbang-ambing selepas bercerai.

“Saya sanggup tinggalkan tanah air sendiri untuk berkahwin dengannya (bekas suami) kerana percaya mampu dapat perlindungan tetapi sebaliknya pula berlaku.

“Sebelum berkahwin, dia (bekas suami) berjanji mahu beri rumah besar (banglo) dan kereta mewah, tetapi semuanya hanya tinggal janji,” katanya.

Menurut Siti Aishah, selepas perceraian mereka disahkan pada 18 November tahun lalu, dia terpaksa pikul semua tanggungjawab mencari nafkah bagi menampung belanja dengan bantuan keluarganya.

Di kalangan artis pula, penyanyi popular 1980-an, Siti Fairuz Sheikh Mohamad, antara yang membuat tuntutan mutaah tertinggi iaitu RM200,000 selain pelakon, Norish Karman yang menuntut nafkah perbelanjaan RM11,000 sebulan daripada bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir.

Siti Fairuz berkata, dia menuntut bayaran RM200,000 daripada bekas suami, Mohamad Zainuddin Kordi, 46, kerana jumlah itu adalah haknya.

“Mungkin ada yang menganggap tuntutan RM200,000 besar dan boleh membuatkan saya hidup mewah tetapi jika diukur daripada tahap ekonomi serta kehidupan sekarang, ia jumlah yang kecil.

“Sepanjang 20 tahun berkeluarga, saya hanya menjadi suri rumah sepenuh masa dan tiada tabungan untuk masa depan. Oleh itu jumlah berkenaan saya tuntut sebagai hak, selain anggaran sepanjang tempoh perkahwinan,” katanya.

Menurut Siti Fairuz, jumlah itu dikira tidak mencukupi untuk dia membeli kediaman dan sebagainya, namun memadai baginya meneruskan kehidupan bersama lima anak di bawah tanggungannya.

“Ia boleh dianggap sagu hati perkahwinan dan saya akan gunakan untuk memulakan perniagaan bagi masa depan anak,” katanya.

Norish pula dalam hujah bertulisnya menyatakan, dia menuntut nafkah sementara RM11,000 sebulan kerana bekas suaminya mampu menyediakan tuntutan itu berdasarkan pendapatan yang dianggarkan sehingga RM20,000 sebulan.

“Permohonan dibuat demi kepentingan dan kebajikan anak supaya mereka dapat hidup selesa, gembira, berjaya dunia dan akhirat, walaupun rumah tangga ibu bapa mereka tidak dapat dipertahankan.”

Demikian antara kandungan hujah bertulis tuntutan Norish yang difailkan melalui peguam, Akbardin Abdul Kader, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 17 Julai lalu.

Hasil perkongsian hidup dengan Hashimuddin, Norish atau nama sebenarnya Nor’ Asikin, 34, dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Haqiem Amany Hashimuddin, 10; Muhammad Hady Amieran Hashimuddin, 6; dan Nur Hanyz Amanda Hashimuddin, 5.

Dua lagi artis yang turut mengemukakan tuntutan nafkah tinggi daripada suami ialah pelakon, Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon dan Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain.

Kes tuntutan nafkah edah, mutaah dan tunggakan nafkah Lydiawati, 43, diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat, Selangor, Mei lalu dan dia menerima bayaran RM36,000 daripada bekas suaminya, Azhar Mohd Zar, 35.

Wan Nor Azlin 41, membuat 14 tuntutan, termasuk nafkah diri dan tiga anaknya berjumlah RM26,000 terhadap suami, Mohd Yazli Yaacob, 39, di Mahkamah Rendah Syariah, 8 April lalu.


JUMLAH TUNTUTAN

1. Siti Aishah Chou Abdullah - RM3 juta (mutaah)
2. Nor’aini Md Dom - RM2 juta (mutaah)
3. Azizah Ali - RM2 juta (mutaah)
4. Siti Fairuz Sheikh Mohamed - RM200,000 (mutaah)
5. Salina Zaimon (Lydiawati) - RM36,000 (nafkah)
6. Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain - RM26,000 (nafkah)
7. Nor’ Asikin Karman (Norish Karman) - RM11,000 sebulan

- METRO AHAD

5 juta berisiko dijangkiti H1N1

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularan virus itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, statistik itu berdasarkan kajian terperinci WHO mengenai impak penularan luar biasa H1N1 terhadap sesebuah negara jika ancaman virus tersebut tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh.

''Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu.

''Jadi semua pihak perlu tampil bersama-sama mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, penularan H1N1 dijangka berlarutan dalam tempoh satu atau setahun setengah lagi dan ia diramal menular lebih cepat pada musim tengkujuh iaitu antara bulan Oktober hingga Disember ini.

Sepanjang tempoh itu katanya, orang ramai turut terdedah dengan penyakit berjangkit lain.

Justeru katanya, setiap lapisan rakyat perlu mengambil serius setiap langkah proaktif termasuk meningkatkan kebersihan diri tanpa mengharapkan program-program pencegahan yang dijalankan kerajaan semata-mata.

''Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam. Tempoh ini amat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah," tambahnya.

Kajian WHO juga katanya, menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda dengan jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus tersebut.

''Ini bermakna jika kita merekodkan 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang. Kajian WHO ini mungkin tidak begitu tepat tapi kita kena beri perhatian sewajarnya," jelasnya.

Tiong Lai berkata, walaupun kajian WHO menunjukkan risiko kematian pesakit yang dijangkiti H1N1 amat rendah iaitu antara 0.1 hingga 0.4 peratus tetapi keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya langkah pencegahan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Sementara itu katanya, tiga lagi kematian akibat H1N1 direkodkan setakat semalam menjadikan jumlah korban akibat penularan virus itu meningkat kepada 59 orang.

Katanya, tiga kematian itu membabitkan dua lelaki berusia 22 dan 29 tahun yang masing-masing menghidap penyakit jantung dan obesiti.

''Seorang lagi mangsa ialah wanita berusia 44 tahun yang menghidap asma dan disahkan meninggal dunia selepas enam hari menerima rawatan," tambahnya.

Lokasi panas tidak praktikal

Langkah mengklasifikasikan sesuatu kawasan sebagai lokasi panas kes selesema babi atau influenza A (H1N1) dianggap tidak praktikal kerana ia banyak memberi kesan negatif.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tahap pengabaian terhadap penjagaan diri di kalangan rakyat akan lebih tinggi jika hanya beberapa kawasan diklasifikasikan sebagai lokasi panas H1N1.

Katanya, langkah itu juga memberi kesan negatif kepada sesuatu kawasan jika ia dikategorikan sebagai lokasi panas.

''Misalnya, jika ada kes H1N1 di Kuantan, kita tidak boleh kata jangan pergi ke Kuantan.

''Orang ramai yang tidak terlibat dalam lokasi panas pula, mereka akan ambil sikap mudah. Itu pun bahaya juga. Jika kita kata tidak ada apa-apa (di sesuatu kawasan), sebenarnya kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan secara serentak bagi UMNO Bahagian Kuantan, Paya Besar dan Indera Mahkota di Stadium Sukpa di Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia semalam berhubung gesaan empat persatuan pengguna yang meminta kerajaan mendedahkan lokasi-lokasi panas kes H1N1 terutama kawasan yang membabitkan kematian atau mempunyai kadar jangkitan tinggi supaya orang ramai lebih berwaspada.

Melalui pendedahan itu, orang ramai boleh mengelak kawasan tersebut sama seperti larangan yang dikenakan kerajaan terhadap lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak itu sebelum ini.

Muhyiddin memberitahu, beliau telah berbincang dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung lokasi panas itu semalam dan memutuskan sukar mengklasifikasikan mana-mana kawasan di negara ini sebagai lokasi panas H1N1 memandangkan wabak itu telah merebak merentasi sempadan.

Jelas beliau, penularan H1N1 tidak boleh disamakan dengan jerebu yang boleh dilihat menerusi tompok-tompok merah berlaku kebakaran di atas peta.

''Saya telah bincang dengan Menteri Kesihatan, ada pelbagai pandangan dalam soal ini tetapi tiada dalam negara ini yang kita buat umumkan sebagai lokasi panas.

''Dalam soal penyakit dan virus, sukar bagi kita beritahu lokasi-lokasi panas yang ada berlaku kematian yang tinggi.

''Ia bukan macam jerebu yang mana kita akan lihat tompok-tompok merah berlaku kebakaran dalam peta. Ini soal virus yang berlaku di banyak negara lain juga. Ia telah merentasi sempadan dan bukan duduk berlegar di satu kawasan sahaja," jelasnya.

Apa yang penting, tegasnya, semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga terutama meningkatkan kebersihan diri dan mengelakkan perkara yang boleh mendedahkan diri kepada H1N1.

''Kita sentiasa memberitahu kes-kes yang berlaku menerusi media, jadi kita perlu jadikan panduan daripada maklumat yang disalurkan kerajaan itu," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan membelanjakan RM40 juta lagi untuk menambah bekalan ubat antivirus Tamiflu untuk dibekalkan kepada semua hospital kerajaan, swasta dan klinik.

''Kita minta bekalan antivirus Tamiflu ditambah lagi daripada 10 peratus kepada 20 peratus di semua hospital dan klinik.

''Kita juga telah membelanjakan sebanyak RM3 juta untuk mengedar penutup mulut dan hidung kepada pelajar sekolah di seluruh negara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengarahkan Kementerian Kesihatan menyusunkan semula waktu menunggu bagi mengatasi masalah kesesakan pesakit di semua hospital kerajaan sejak kes H1N1 semakin serius akhir-akhir ini.

''Jika yang datang ke hospital 100 orang, 20 orang tenat, jururawat boleh buat ujian awal-awal dan asingkan. Mereka ini mesti diberi layanan utama bagi mengelakkan keadaan pesakit bertambah buruk," katanya.

- UTUSAN

Waheeda - Akhil Hayy selamat diijabkabulkan


Setelah lebih dua tahun membiarkan banyak pihak membuat spekulasi dan berteka-teki tentang hubungan mereka, penyanyi serta penceramah bebas, Akhil Hayy, 40, dan penyanyi popular Waheeda, 30, akhirnya telah selamat diijabkabulkan di Masjid Ar Rahimah, Kuala Kubu Baru, hari ini.

Hanya dengan sekali lafaz, Akhil atau nama sebenarnya, Akhil Abdul Hayy sah bergelar suami kepada penyanyi yang popular dengan lagu Wassini itu pada majlis pernikahan mereka yang dihadiri oleh kira-kira 200 tetamu yang rata-ratanya terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Ustaz Zulhairi Jaid.sekitar pukul 12 tengah hari. Pada majlis itu, Waheeda menerima mas kahwin berjumlah RM 80 serta tujuh dulang hantaran berbalas 11 dulang oleh pihaknya.

Kontroversi yang melanda mereka berlarutan sejak lebih dua tahun lalu apabila mereka dikatakan telah berkahwin dan Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab menjadi isteri kedua Akhil. Ketika itu, masing-masing menafikan tentang perkara tersebut dan menegaskan mereka hanya berkawan baik.

Namun, kisah itu semakin panas sekitar Mei lalu apabila isteri Akhil, Maizawati Zainal mengaku tentang pergolakan rumahtangga mereka dan Waheeda turut dikaitkan sebagai punca tersebut.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan Waheeda ketika itu kerana katanya, Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Maizawati kemudiannya mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru. Dia dan Akhil akhirnya sah bercerai dengan talak satu pada 15 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

- MSTAR

Recent Posts