Isnin, Ogos 17, 2009

Tingkat sistem imun

Sistem ketahanan (imun) tubuh mungkin kurang diberi perhatian oleh sesetengah orang, sedangkan ia penting untuk membantu seseorang itu menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit khususnya dalam situasi penularan wabak Influenza A (H1N1) kini.

Sekiranya ragu-ragu dengan pelbagai jenis ubat berkaitan, pakar perubatan di seluruh dunia menyarankan pelbagai kaedah mudah yang boleh diamalkan seharian. Antaranya :

# Pengambilan minuman teh yang boleh membantu merangsang ketahanan tubuh. Bahan kimia dalam teh iaitu L-theanine, ditukar kepada ethylamine di dalam hati yang membantu dalam proses pertahanan tubuh daripada jangkitan.

# Pastikan minum air dengan banyak sama ada air sejuk atau suam, sekurang-kurangnya tujuh gelas setiap hari.

#


# Pengambilan makanan berkhasiat tidak seharusnya dipandang mudah. Antara yang baik untuk kesihatan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, cendawan (perlu dimasak terlebih dulu), bijian penuh, kekacang dan ikan.

Tambahkan herba dan rempah ratus dalam makanan kerana bahan terbabit boleh membunuh mikrob.

Lebihkan makanan mengandungi sumber semula jadi antioksidan yang boleh meningkatkan ketahanan tubuh termasuk buah kiwi.

Buah kiwi mengandungi lebih vitamin C berbanding oren. Pilihan lain termasuk kobis Cina yang menyediakan sumber vitamin A yang tinggi serta buah avokado yang menyediakan karbohidrat, protein dan vitamin E.

Makanan kaya dengan vitamin B6 yang merangsang pengeluaran antibodi untuk melawan jangkitan juga pilihan yang baik. Antara makanan berkenaan termasuk pisang, lobak merah, tuna dan biji bunga matahari.



# Pengambilan dadih boleh membantu dari segi kesihatan sistem penghadaman serta tahap kesihatan secara keseluruhan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan bakteria baik yang ada dalam dadih membantu merangsang sistem ketahanan tubuh selain membekalkan lebih kalsium.



# Utamakan tidur kerana kajian mendapati kurang tidur boleh menjejaskan sistem ketahanan tubuh sekali gus berisiko untuk dijangkiti pelbagai penyakit termasuk selesema. Sekurang-kurangnya, dapatkan tujuh jam tidur setiap malam.

Tidur mencukupi boleh mengurangkan tekanan dan kemurungan malah kurang tidur boleh mendedahkan seseorang dijangkiti penyakit.



# Bertenang, usah terlalu tertekan. Pelbagai kesan negatif dikenal pasti apabila seseorang itu tertekan termasuk menjejaskan sistem ketahanan tubuh. Cara mudah untuk menangani rasa tertekan adalah dengan menarik nafas yang panjang.

Jika gemar melukis, berkebun atau mendengar muzik, luangkan waktu untuk melakukan perkara digemari untuk membuatkan diri tenang dan gembira.

Jangan lupa ketawa. Ketawa bukan sekadar penawar duka kerana fakta sains mendapati, setiap sel di dalam tubuh dipengaruhi perasaan kita.



# Jika masih malas bersenam, tiba masa untuk melakukan sesuatu. Mulakan senaman mudah seperti berjalan 10 minit setiap hari dan perlahan-lahan, tingkatkan tempoh berjalan itu.

Senaman boleh meningkatkan hormon yang merangsang fungsi ketahanan tubuh.

- HARIAN METRO

H1N1 kini tahap tenat

Darurat kesihatan tidak boleh diisytihar sewenang-wenangnya walaupun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini dijangkiti virus selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya mengakui situasi wabak itu di negara ini adalah tenat, tetapi untuk mengisytihar negara sebagai darurat ia perlu mengambil kira banyak faktor dan kriteria lain.

Katanya, ia termasuk melibatkan pelbagai pihak lain seperti orang awam, kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini tidak bermakna kerajaan tidak serius dalam menangani penularan H1N1, malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Pengerusi kepada Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak H1N1,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malaysia hari ini mencatatkan tiga lagi kematian akibat virus H1N1 menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 62 orang manakala sebanyak 283 kes baru dilaporkan di seluruh negara dengan jumlah kes terkumpul H1N1 meningkat kepada 3,857 kes.

Semalam Tiong Lai berkata, WHO menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularan virus itu.

Statistik itu berdasarkan kajian terperinci WHO mengenai kesan penularan luar biasa H1N1 terhadap sesebuah negara jika ancaman virus tersebut tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh.

Tiong Lai berkata, buat masa sekarang, Kementerian Kesihatan akan memfokuskan kepada aspek pencegahan dan rawatan khususnya terhadap pesakit-pesakit H1N1 yang terdiri daripada golongan berisiko tinggi.

“Kita akan terus mempergiatkan usaha menghebahkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan H1N1 di media massa seperti mengadakan sesi forum dengan orang ramai bagi meningkatkan tahap pengetahuan serta kesedaran mereka,” ujar beliau.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan mahu mengambil langkah yang praktikal dalam mencegah penularan wabak H1N1 di negara ini termasuk meminta orang ramai memberi kerjasama bersepadu kepada kerajaan dalam perkara tersebut.

“Saya yakin keadaan akan bertambah pulih sekiranya orang ramai mempunyai tanggungjawab yang tinggi dan tidak memandang remeh penularan wabak H1N1,” jelas beliau.

Beliau seterusnya menegaskan, individu-individu yang mempunyai gejala penyakit serupa influenza (ILI) seperti demam panas, selesema dan batuk perlu segera mendapatkan rawatan di hospital demi kesihatan diri.

“Mereka juga perlu prihatin dengan keselamatan orang lain dengan tidak menghadiri majlis-majlis terbuka dan berehat di rumah supaya virus penyakit tidak menjangkiti individu yang tidak berkenaan,” katanya.

- UTUSAN

Astro tawan penonton Melayu

Stesen berbayar terulung negara, Astro sentiasa hadir dengan pembaharuan yang kreatif dalam menjaga hati pelanggan setianya. Baru-baru ini, Astro hadir dengan pakej baru iaitu pakej Mustika demi memenuhi permintaan pelanggan Melayu yang kian bertambah.

Langkah ini ternyata memberi impak positif apabila melalui penyelidikan yang dibuat oleh AGB Nielsen Media Research baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, Astro baru-baru ini mencapai kenaikan peratusan mendadak dimana kini sebanyak 46 peratus daripada jumlah kediaman di Malaysia yang memiliki televisyen melanggan Astro sehingga Jun 2009.

Pelanggan Astro juga terus berkembang menjadi 2.73 juta langganan dan lebih 12.3 juta jumlah penonton.

"Penonton Melayu kini tidak lagi hanya menonton kepada satu siaran sahaja dimana sekarang mereka bertukar ke pelbagai saluran yang lebih khusus untuk genre kegemaran masing-masing.

"Kurang dari dua bulan selepas Astro melancarkan Pakej Mustika yang mengandungi saluran Astro Citra, Astro Warna dan B4U, sebanyak 200 ribu buah rumah telah melanggan pakej itu.

"Pada asalnya, kami menyasarkan sebanyak 300 ribu buah rumah mengambil Pakej Mustika sebelum akhir tahun ini tetapi kini kami percaya mampu mencapainya sebelum Hari Raya Aidilfitri," ujar Henry ketika majlis Pratonton Gempak Universe di Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, kajian AGB Nielsen Media Research mendapati lapan buah saluran-saluran Melayu Astro telah mendominasi jumlah penonton di kalangan penonton-penonton TV Melayu.

"Perkembangan ini membawa berita baik buat kami semua apabila mendapati sebahagian besar daripada statistik itu disumbang oleh penonton-penonton drama dan program realiti terbitan sendiri yang ditayangkan di Astro." ujar Khairul.

Menurut Khairul, rancangan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7)baru-baru ini meraih purata lebih dari 1 juta penonton pada setiap konsert mingguan.

Program realiti mencari bakat pelawak pula iaitu Raja Lawak meraih jumlah penonton seramai 1.3 juta orang pada episod akhir musim ketiga.

Program Jangan Lupa Lirik pula meraih penonton seramai 3.5 juta orang dan Sehati Berdansa pula berjaya meraih lebih daripada 2 juta penonton daripada kalangan penonton Melayu.

"Bukan itu sahaja, slot tayangan drama iaitu Primawara di Astro Prima, Mertua vs Menantu, berjaya meraih purata 2.7 juta penonton pada setiap minggu dan episod akhir drama ini merupakan program yang paling banyak ditonton di platform Astro," tambah Khairul.

Untuk penggal yang akan datang lebih banyak program-program baru disusun di saluran-saluran Melayu Astro terpilih yang bakal menawan hati setiap pelanggan.

Di antara program-program baru itu yang dijangka memberi impak kepada statistik dan kenaikan jumlah penonton ialah sebuah drama bersiri muzikal ala High School Musical iaitu Kau Dan Aku.

Drama bersiri yang disasarkan kepada penonton remaja ini bakal menyaksikan sekumpulan anak-anak remaja mempersembahkan lagu dan tarian hebat.

Ia dibintangi oleh Mila AF5 dan Akim AF7 serta beberapa orang bintang AF yang lain dan bakal menemui penonton pada September nanti.

Selain itu, tajuk-tajuk baru seperti Belalang, Segunung Harapan, Cinta Sempurna, Senja Heights dan siri animasi baru, Mat Kacau, adalah di antara tajuk-tajuk yang akan berselang-seli menyinari saluran-saluran Melayu terpilih tidak lama lagi.

Tambah Khairul, dia berharap dengan program-program baru sempena bulan Ramadan dan Syawal yang telah disusun akan terus menarik minat penonton untuk terus setia dengan Astro.

- UTUSAN

Tip menghangatkan kasih sayang dengan suami

Dalam perkahwinan, keintiman antara pasangan adalah perkara asas dalam membentuk keharmonian rumah tangga.

Keintiman akan hadir jika kita sama-sama saling mengambil berat dan bertolak ansur antara satu sama lain. Lantas, ia membina kekuatan dan keteguhan dalam sesebuah ikatan perkahwinan.

Selain itu, kepercayaan memainkan peranan penting dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Isteri haruslah mempercayai tentang kebolehan dan usaha pasangan dalam melakukan sesuatu perkara serta jangan menolak pandangan pasangan jika ada rasionalnya.

Biarpun anda dan pasangan masing-masing sibuk dengan tugasan, namun cubalah mencuri masa untuk bersemuka. Setidak-tidaknya berilah masa selama 20 minit untuk bersembang dengannya. Cara ini membolehkan anda memahami perasaan dan hati budi masing-masing.

Di sini terdapat 15 tip mudah untuk menyatakan "Aku cinta padamu" untuk tujuan mengeratkan lagi hubungan suami isteri walaupun dalam keadaan yang sibuk.

1. Belai pasangan anda dengan ciuman manja sebagai tanda penghargaan diri anda kepada dirinya, malah senyuman juga memain peranan penting dalam meneruskan perjalanan awal untuk mencipta hubungan antara pasangan. Biarkan mata anda berkelip-kelip manja sebagai tanda anda terlalu merindui dirinya.

2. Hangatkan hubungan cinta anda dengan si dia dengan memberi kejutan ciuman di lehernya semasa si dia membuat kerja-kerja di meja komputer ketika sedang berehat di rumah.

3. Sesekali ketika bersantai di rumah bersama si dia, apa salahnya, berikan urutan kepadanya, lagipun bukan untuk orang lain tetapi kepada insan yang kita disayangi. Berikan ciuman romantik atau tunjukkan mesej melalui isyarat badan terhadap si dia.

Pada ketika itu berbual bersama-sama. Biarpun masing-masing sibuk dengan tugasan, cubalah mencuri masa untuk bersemuka dengan berkongsi cerita bersama. Cara ini membolehkan anda memahami perasaan dan hati budi si dia .

4. Walaupun telah berkahwin dan memiliki anak, tidak salah untuk menyatakan ucapan cinta dan sesekali apa salahnya tinggalkan pesanan ringkas pada si dia, mungkin ia boleh mengimbau kembali zaman percintaan anda suatu ketika dulu.

5. Luahkan kata-kata cinta anda kepada si dia untuk menghangat keintiman hubungan anda.

6. Buktikan kasih sayang anda kepada si dia, tulislah surat dengan menyatakan anda berbangga dengan pencapaian dirinya. Ini kerana kebanyakan lelaki gemarkan pujian daripada seseorang lebih-lebih lagi daripada isterinya.

Atau anda boleh menulis kepadanya menyatakan sesuatu tentang kelebihan dirinya. Letakkan ayat-ayat 'cinta ' itu di dalam dompet tangan atau beg kerja untuk memberi kejutan pada dirinya.

7. Buktikan perasaan cinta anda pada si dia, berikan dia satu ciuman romantik diikuti dengan pelukan sebagai tanda penghargaan diri. Setiap pasangan sentiasa inginkan dirinya dibelai dan disayangi.

8. Usah malu dengan si dia, peluklah si dia dengan pelukan erat, luahkan kata-kata cinta kepadanya dan berikan ciuman romantik untuknya.

9. Kebanyakan lelaki gemarkan pujian daripada seseorang, lebih-lebih lagi daripada isterinya. Sambil itu si isteri bolehlah menepuk bahu si suami sebagai tanda memuji kehebatan dirinya.

10. Luahkan pada pasangan anda, bahawa anda bangga dengan kehebatan si dia, tunjukkan rasa hormat anda terhadap si dia agar ikatan percintaan menjadi lebih intim.

Sebagai contoh, anda mungkin berkata, ''Anda seorang yang hebat'' atau "Saya sungguh menghargai bagaimana susahnya kerja dalam memberi kesempurnaan kepada keluarga kita".

11. Apabila membeli barang, belikan sesuatu kepada si dia sebagai tanda anda mencintai dirinya.

12. Dapatkan persetujuan bersama ketika membuat keputusan bersama si dia. Kadang-kadang si dia akan berasa marah dan tidak suka sikap si isteri cuba menukar sesuatu jadual mahupun kehendaknya.

Ini boleh membangkitkan kemarahan si dia, dalam hal ini si isteri perlu bersabar dengan kemahuan si dia.

13. Isteri haruslah menunjukkan rasa hormat terhadap suami, jangan sesekali melakukan perkara-perkara negatif, ketika membeli-belah contohnya, cuba dapatkan pandangannya.

Contohnya ketika membeli kad ucapan untuk kad hari jadi, cubalah minta pandangan si dia untuk membuat pilihan. Hal ini akan membuatkan si dia merasakan dia mempunyai hak terhadap diri anda.

14. Ketika masa lapang, gunakan bahan-bahan terbuang untuk melukis bentuk dua keping hati disambungkan bersama dengan nama-nama anda pada hati itu dan menulis "aku cinta padamu" terhadap si dia.

15. Cuba hasilkan sajak-sajak cinta kepada si dia untuk menyatakan isi hati anda.

Dakwah secara rahsia

Safiyyu Al Rahman Al Mubarakfuri yang bukunya Sirah Nabawiyyah SAW yang menjadi rujukan utama penulis bagi mengisi ruang rencana ini mungkin mempunyai kisah yang tersendiri bagi menentukan pemuda mana yang pertama memeluk Islam selepas Siti Khadijah, isteri Rasulullah.

Menurutnya, di hari pertama, tidak sahaja isteri baginda malah sepupu Nabi, Ali bin Abi Thalib bersama-sama anak angkat, Zaid bin Harithah dan sahabat baik baginda sendiri, Abu Bakar Al Siddiq, sekali gus memeluk Islam ketika baginda mula melancarkan dakwah.

Jika Abu Bakar turut termasuk dalam senarai paling awal ini, perkara ini bukan sesuatu yang menghairankan. Ini kerana baginda dan Abu Bakar seperti yang kita ketahui, mereka adalah sahabat karib!

Maka seorang sahabat akan menuruti jejak langkah sahabat karibnya terutama dalam perkara-perkara kebaikan dan tentunya risalah nabi dapat diterima baik oleh Abu Bakar.

Bagi menjayakan misi sahabat baiknya itu, Abu Bakar kemudiannya membantu Rasulullah menyebarkan Islam. Beliau dapat menjalankan tugas itu dengan baik kerana tidak sahaja beliau lahir daripada kalangan bangsawan Arab.

Namun yang ketara, beliau juga mempunyai akhlak yang mulia dan disenangi oleh semua orang.

Dalam hal membuat kebajikan dan membantu mereka yang dalam kesusahan beliau juga orangnya yang paling terkehadapan. Kesemua ini menyebabkan ramai yang menyukai Abu Bakar atau nama sebenarnya Abdullah bin Abi Qahafah itu.

Seorang ahli perniagaan yang berjaya, Abu Bakar yang juga sering digelar dengan panggilan Atiq telah berjaya membawa beberapa orang sahabat menganut Islam. Ini termasuklah Uthman bin Affan Al Umawi, Al Zubair bin Al Awwam Al Asadi, Abdul Rahman bin Auf@Awf Al Zuhri, Saad bin Abi Waqas al Zuhri dan Talhah bin Ubaidullah al Taymi.

Pengikut terawal

Menurut al Mubarakfuri, mereka berlapan ini mendahului orang lain dalam menerima Islam dan merekalah kumpulan pengikut terawal dan terkehadapan dalam perkembangan syiar dan dakwah Islam.

Di kalangan golongan terawal memeluk Islam ini termasuklan Bilal bin Rabbah al Habshiy. Diikuti Ubaydah Amir bin al Jarrah, Abu Salamah bin Abdul Al Asad Al Makhzumi, Al Arqam bin Abi Al Arqam Al Makhzumi, Uthman bin Mazun dan dua adik-beradiknya Qudamah dan Abdullah, Ubaydah bin Al Harith bin al Al Muttalib bin Abdul Manaf, Said bin Zayd Al Adawi dan isterinya Fatimah al Khattab Al Adawiyyah (adik perempuan Umar bin al Khattab), Khabbah bin Al Aratt, Abdullah bin Masud al Hudhaliy dan ramai lagi.

Kesemua mereka tergolong dalam kalangan Al Sabiqun Al Awwalun yang rata-rata daripada kabilah Quraish yang sebenarnya dikatakan bilangannya melebihi 40 orang.

Ibnu Ishaq dalam riwayatnya menyebut, beberapa orang lelaki dan wanita kemudiannya berturut-turut memeluk Islam sehingga tersebar berita mengenai perkembangan agama itu di Mekah dan mula menjadi bualan orang ramai.

Namun kesemua mereka ini memeluk Islam secara rahsia atau bersembunyi. Ini bukan sahaja kerana atas permintaan baginda, tetapi rata-rata mahu menyembunyikan anutan agama baru itu kerana bimbang akan ditentang oleh kaum keluarga dan pembesar-pembesar Quraish yang kebanyakannya begitu kuat menyembah berhala.

Dakwah secara bersembunyi itu menyaksikan tidak sahaja baginda mengajarkan mengenai Islam itu secara tertutup malah termasuk untuk melakukan ibadat solat itu sendiri, ibadat itu juga terpaksa dilakukan jauh daripada pandangan orang ramai.

Ini kerana solat jemaah itu menjanjikan fadilat dan pahala yang tinggi, lalu baginda terpaksa mengajak para pengikutnya melakukan ibadat itu secara rahsia dengan berselindung di sebalik celah-celah bukit atau di tengah-tengah padang pasir.

Pergerakan dakwah Islam yang senyap namun semakin tersebar luas ini sebenarnya masih tidak dianggap sebagai satu ancaman kepada kalangan kafir Quraisy. Mereka mengambil sikap tidak peduli malah terus tenggelam dengan amalan tradisi menyembah berhala itu.

Sebagaimana Al Mubarakfuri memetik kata-kata Muhammad al Ghazali dalam Fiqh Al Sirah. "Berita-berita Nabi Muhammad menyebarkan Islam akhirnya sampai juga ke pengetahuan golongan Quraish.

"Tetapi mereka tidak ambil peduli. Boleh jadi mereka menyangka Muhammad (Rasulullah) adalah sama seperti golongan pengkaji agama yang sering berbicara mengenai ketuhanan dan hak-hak ketuhanan seperti yang dilakukan oleh beberapa individu lain di Kota Mekah itu.

"Ini termasuklah Umayyah bin Abi al Sult, Qiss bin Saadah, Amru bin Nufayl.

"Dalam pada begitu, secara diam-diam mereka tetap memerhatikan berita yang tersebar ini dan melihat sejauh mana kebenaran dan kesannya terhadap kepercayaan daripada nenek moyang yang mesti dipertahankan.

"Lalu mereka tidak sahaja mengintip malah sentiasa mencuri-curi telinga untuk mengetahui hasil dan dakwah baginda itu".

Begitulah suasananya ketika itu. Di saat penyembahan terhadap patung-patung berhala masih rancak diamalkan yang turut bererti kuatnya iktikad yang dimiliki oleh penyembah berhala.

Namun semua itu tidak lagi menjadi penghalang kepada baginda.

Baginda tahu, berhala-berhala tersebut tidak mampu berbuat apa-apa, apatah lagi mempunyai sebarang kuasa dan sumpahan yang menyebabkan baginda menjadi lemah, takut dan menarik balik niat dan usaha untuk menyebarkan Islam.

Namun kita menyedari apa yang dilakukan oleh baginda umpama satu kejayaan kepada misi yang mustahil (untuk berjaya).

Ini apabila Islam dapat disebarkan di luar lingkungan keluarga Rasulullah walaupun secara rahsia. Ia adalah kejayaan yang cukup bermakna buat baginda. Ini kerana berdakwah terhadap ahli keluarga mungkin mudah. Ini berikutan kewibawaan baginda sebagai ketua keluarga.

Tetapi kepada para jiran, sahabat dan masyarakat sekitar, ia umpama usaha untuk menembusi tembok-tembok yang tebal kerana tebalnya iman mereka terhadap ratusan patung berhala pelbagai bentuk.

Namun inilah era yang ditempuhi oleh baginda setelah bimbang mengenai kemampuannya sendiri untuk menembusi tembok tersebut. Namun dengan bantuan ayat-ayat al-Quran yang menitahkan baginda supaya mula memberikan peringatan supaya baginda keluar daripada lingkungan keluarga dan sahabat yang rapat, ini memberikan kekuatan kepada baginda.

Dakwah secara rahsia dan senyap-senyap ini berlangsung selama tiga tahun. Satu waktu, yang tumpuannya supaya manusia percaya wujudnya tuhan yang sebenar. Yang tidak perlu dicipta melalui tangan untuk tujuan penyembahan tetapi tuhan yang benar-benar wujud dan menganugerahkan Islam sebagai nikmat mempercayai-Nya

Dalam hal ini, Rasulullah mengungkapkan tugas dalam satu perumpamaan yang sangat menarik. Dari Jabir sabda Rasulullah yang bermaksud: Perumpamaan aku dan para Nabi seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah, maka dia sempurnakan dan mencantikkannya, kecuali sebuah bata. Maka sesiapa yang memasukinya dan melihatnya akan berkata: Alangkah cantiknya rumah ini kecuali sebuah bata itu! (riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara lain Rasulullah bermaksud jika hanya terdapat bata sahaja tetapi tidak dijadikan asas kepada pembinaan sebuah rumah, maka ia umpama Islam itu hanya ada pada nama sahaja!

- UTUSAN

Undang-undang Islam sering diperlekeh

Negara kita mengamalkan dwisistem perundangan iaitu sistem undang-undang sivil dan sistem undang-undang syariah. Kedua-dua sistem ini hendaklah menjadi pelengkap antara satu sama lain dalam menyusun atur masyarakat pelbagai kaum dan agama. Kedua-dua sistem ini mempunyai fungsinya tersendiri dan perlu dihormati.

Sistem undang-undang sivil sudah diterima pakai masyarakat namun kesedaran mematuhi undang-undang syariah masih pada tahap rendah sama ada di kalangan orang Islam apatah lagi bukan Islam. Undang-undang Islam masih lagi dianggap seolah-olah 'undang-undang kelas kedua' yang tidak memberi kesan apabila tidak mematuhinya. Institusi perundangan syariah sering kali ditohmah tanpa siasatan yang wajar malah tidak keterlaluan jika dikatakan kejayaan institusi agama langsung tidak dapat membuka mata golongan ini.

Malah kebanyakan tindakan institusi agama menjadi daya kritikan pihak tertentu. Umpamanya perintah sah yang dikeluarkan mahkamah syariah tidak dipatuhi malah diperlekehkan atas pelbagai alasan. Sering kali juga bidang kuasa mahkamah syariah dipersoalkan walaupun sudah jelas ia terletak di dalam bidangnya melalui keputusan yang dibuat mahkamah sivil.

Penulis mengambil perbandingan satu isu yang hangat diperkatakan di mahkamah syariah baru-baru ini iaitu isu sebatan. Apabila Mahkamah Tinggi Syariah Pahang menjatuhkan hukuman sebatan kepada seorang peminum arak, maka pelbagai rungutan dan kritikan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu. Ada yang mengatakan hukuman itu salah, ada pula yang mengherdik mahkamah syariah kerana tidak berperikemanusiaan dan tidak kurang juga yang memperlekehkan keputusan itu tanpa terlebih dulu mengkaji apakah sebenarnya hukuman yang dijatuhkan.

Namun apabila mahkamah sivil menjatuhkan hukuman sebatan, hampir tidak kedengaran suara yang sama menangisi hukuman yang dijatuhkan itu walaupun hakikatnya sebatan sivil jauh lebih dahsyat kesannya berbanding sebatan syariah. Kenapa perbezaan sebegini berlaku? Mungkin persepsi yang diambil ialah apa saja yang dikeluarkan dari sebuah institusi Islam, ia pasti tidak baik. Persepsi inilah yang perlu diperbetulkan kerana mahkamah syariah mempunyai jurisprudennya yang tersendiri. Segala tindakan yang dilakukan tidaklah lari dari apa yang diperuntukkan oleh hukum syarak.

Kesedaran mematuhi undang-undang syariah ini amat rendah kerana masih ada pihak berkuasa sendiri yang tidak menyedari ada undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam masih belum dilaksanakan sepenuhnya kerana kewujudan enakmen ini hanya 'disedari' baru-baru ini saja. Namun pelaksanaannya sehingga kini masih menjadi tanda tanya!

Begitu juga kesalahan tidak mematuhi perintah mahkamah syariah. Atas apa juga alasan, kesalahan ini amat kurang didakwa di mahkamah syariah yang menyebabkan suami atau bapa umpamanya mengambil kesempatan untuk tidak membayar nafkah isteri atau anak. Begitu juga isteri atau ibu yang tidak mematuhi terma perintah hadhanah anak.

Sebenarnya memang ada golongan yang tidak berapa takut mengingkari perintah mahkamah syariah kerana tidak merasai akibat keingkarannya. Tambahan pula kesalahan di mahkamah syariah hanya membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan gagal memberi pengajaran kepada orang Islam.

Sudah sampai masanya Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 (Pindaan 1984) itu dipinda bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang bagi kesalahan syariah lain supaya hukuman kesalahan dikenakan hukuman lebih berat. Tindakan ini boleh menyuntik keinsafan ke arah penghayatan dan pematuhan undang-undang syariah di dalam negara.

Mahkamah syariah sebagaimana mahkamah sivil tidak mengaplikasikan logik akal semata-mata. Tatkala mahkamah sivil terikat dengan prosedur dan undang-undang, mahkamah syariah pula dipandu nas dari hukum syarak. Hakim mahkamah syariah tidak teruja dengan kemampuan akal semata-mata, tetapi memberi penekanan berat kepada nas yang diterima pakai. Umat Islam tidak mempunyai pilihan selain menerima hukum yang ditetapkan secara qatie. Inilah keunikan mahkamah syariah yang perlu diinsafi masyarakat tanpa mengira sama ada mereka itu Islam atau sebaliknya.

- BERITA HARIAN

Tune Talk bakal lancar mudahalih prabayar


Tune Talk Sdn. Bhd. (Tune Talk) akhirnya mencapai hasrat untuk melancarkan perkhidmatan mudah alih prabayar pada 19 Ogos ini, setelah hampir dua tahun bertapak di Malaysia.

Sebelum ini, perkhidmatan itu dijadual pelancaran komersialnya pada akhir 2007 tetapi tertangguh akibat perundingan yang belum selesai dengan Celcom (M) Bhd., berikutan cadangan nyah gabung Telekom Malaysia Bhd. (TM), kata Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo.

Celcom, kini berada di bawah Axiata Group Bhd., sebuah entiti yang sebelumnya milik TM tetapi kini beroperasi berasingan selepas berlaku nyah gabung.

Menurut Lo, perkhidmatan prabayar yang ditawarkan bersandarkan rangkaian 2.5G dan pihaknya tidak akan bersaing dengan pengendali telekomunikasi yang menyediakan produk berasaskan platform 3G.

‘‘Tumpuan kami menjadi peneraju yang menawarkan satu kadar tetap terendah dalam pasaran segmen prabayar.

“Pengguna hanya perlu membeli kad SIM yang dijual pada harga bermula RM5 yang memberikan masa ke udara bernilai RM5 secara percuma dan mereka juga boleh memilih nombor pilihan di 10,000 rangkaian pengedar di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

- UTUSAN

Graduan digesa jangan salah guna ilmu dipelajari


Graduan universiti mesti sentiasa memberi sumbangan terbaik sama ada dari segi etika kerja, buah fikiran dan pengurusan untuk membawa kejayaan kepada organisasi tempat mereka bertugas.

Bekas Perdana Menteri yang juga Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pendidikan universiti memberi graduan kehidupan yang selesa dan mereka patut membalas budi itu dengan menjaga nama baik institusi yang mendidik mereka.

Beliau berkata, graduan tidak patut menggunakan ilmu dan kecekapan mereka untuk mencari kelemahan pihak lain dan mengaut keuntungan peribadi serta mengakibatkan orang lain menjadi mangsa.

"Jika anda dituduh menipu, orang lain akan bercakap, 'Oh! Dia dari UTP. Ini tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam ucapan khas selepas menyampaikan ijazah kepada kira-kira 500 graduan dalam Konvokesyen Kesembilan UTP di sini, semalam.

Hadir sama Pro-Canselor UTP, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Rektor UTP, Datuk Dr Zainal Abidin Kasim dan isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir berkata, salah satu punca krisis ekonomi global sekarang disebabkan golongan terpelajar yang menggunakan kecekapan mereka untuk mencari kelemahan sistem kewangan dan perbankan bagi mengaut keuntungan peribadi.

Beliau mengambil contoh Bernard Madoff yang menawarkan pelaburan skim Ponzi di Amerika Syarikat dan mengaut keuntungan berbilion dolar tetapi pada masa sama menyebabkan orang lain kehilangan semua wang milik mereka..

"Hari ini, ekonomi dunia runtuh kerana golongan terpelajar, iaitu graduan dari universiti terbaik dunia mencipta formula matematik atau sistem lain untuk mengaut keuntungan peribadi.

"Mereka cemerlang dalam aspek menyalahgunakan sistem. Contohnya, dalam sistem perbankan, mereka melihat peluang untuk mendapat dana untuk pelaburan, walaupun dana ini tidak disokong oleh apa-apa instrumen kewangan," katanya.

- BERITA HARIAN

Pesawat terhempas, juruterbang maut di Taiping


Seorang pesara tentera tergamam apabila dia ternampak sebuah pesawat diuji pandu tiba-tiba terhempas, meletup dan terbakar kira-kira 50 meter dari tempat beliau berdiri berhampiran Lapangan Terbang Tekah dekat Taiping, Perak semalam.

Halim Hamid, 50, berkata, semasa kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, beliau sedang mencari anak udang untuk ikan peliharaannya di sebuah lombong yang terletak tidak jauh dari lapangan terbang itu.

"Kami penduduk di sini sudah tahu ada sebuah pesawat yang dipasang sejak seminggu lalu di sebuah bengkel dekat Lapangan Terbang Tekah akan diuji pandu hari ini (semalam)," kata beliau semasa ditemui di sini semalam.

Akibat kemalangan itu, juruterbang pesawat itu, Michael Robert Dacre, 53, warga Britain, terkorban kerana cedera parah dan melecur.

Halim memberitahu, sebelum tragedi, beliau nampak sudah tiga kali juruterbang itu cuba menerbangkan pesawat tersebut tetapi gagal.

"Dalam cubaan keempat, pesawat itu melonjak naik namun ketika berada kira-kira 200 meter di udara, pesawat itu tiba-tiba mencodak ke langit tetapi beberapa saat kemudian ia membelok ke kiri dan terus menjunam ke bawah," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

- KOSMO!

Dengki dan irihati biarlah pada tempatnya

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain”.

(Riwayat Hadith al-Bukhari) Huraian

1. Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati melainkan kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan Sahaja.

2. Islam tidak membenarkan orang yang mengeluarkan hukum tanpa terlebih dahulu merujuk kepada al-Quran dan Hadith, sebaliknya melayani tekanan hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri semata-mata.

3. Islam melarang umatnya berperasaan cemburu buta dan iri hati terhadap sesama manusia melainkan didalam dua perkara:

i) Merasa iri hati terhadap orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya serta mengajarkannya pula kepada orang lain.

ii) Orang yang dikurniakan harta dan membelanjakan hartanya itu dijalan yang diredhai oleh Allah.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia