Ahad, Ogos 16, 2009

Senaskhah RM175,000

Mungkin ada yang beranggapan tindakan membeli senaskhah akhbar lama berharga RM175,000 tidak masuk akal, namun bagi rakyat Malaysia, Dr Tai Chee How, 34, semangat sayangkan negara melebihi segala-galanya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Green Ocean International Sdn Bhd berkata, tindakannya membeli akhbar Singapore Standard dengan harga sebanyak itu disebabkan ia terbitan 31 Ogos 1957 iaitu pada hari kemerdekaan negara.

Dengan bantuan rakan perniagaan, Jeffrey Cheah, beliau berjaya menjejaki pemilik akhbar berkenaan, dipercayai satu-satunya yang masih ada.

“Saya diberitahu rakan bahawa seorang lelaki dari Ipoh, Perak ada akhbar ini. Saya berminat memilikinya kerana ia nostalgia bukan saja kepada saya, tetapi juga rakyat negara ini.

“Saya menemui lelaki itu dan menawarkan RM87,500 tetapi dia menolak. Tidak putus asa, saya naikkan tawaran sekali ganda dan dia akhirnya setuju,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tai menjelaskan, wang bukan halangan, sebaliknya semangat cintakan negara menyebabkannya nekad membeli akhbar edisi hari kemerdekaan negara itu.

Mungkin ada yang melihat tindakan itu sebagai pembaziran tetapi bagi ahli perniagaan itu, akhbar terbabit lebih bernilai daripada wang ringgit.

Menurutnya, jika tidak disimpan atau dijaga dengan baik, sudah tentu ia musnah begitu saja.

Sehubungan itu, beliau mengambil keputusan untuk menyerahkan akhbar keluaran syarikat Sin Poh (Star News) Amalgamated Ltd, Singapura, itu kepada kerajaan pada 20 Ogos ini.

“Selepas memiliki akhbar ini, saya berhasrat untuk menyerahkannya kepada kerajaan iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Putrajaya, Khamis depan.

“Sebagai rakyat Malaysia, ini saja yang mampu saya lakukan untuk negara, terutama menjelang hari kemerdekaan negara yang ke-52 tahun,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey berkata, dia melawat beberapa perpustakaan, termasuk Arkib Negara, untuk menjejaki akhbar berkenaan, tetapi naskhah 31 Ogos 1957 tiada dalam simpanan.

“Saya sudah ke Pusat Sumber The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Perpustakaan Negara dan Arkib Negara, cuma di Arkib Negara ada naskhah bertarikh 26 Ogos 1957 tetapi dalam warna hitam putih.

“Selepas memberitahu Dr Tai, beliau bersetuju menyerahkan akhbar ini kepada kerajaan iaitu Perdana Menteri dan ia mungkin disimpan di Arkib Negara,” katanya.

Dalam edisi khas pada hari kemerdekaan negara ini, akhbar dengan 47 halaman itu memaparkan pelbagai kejayaan dan situasi sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Muka depan akhbar itu memaparkan wajah bekas Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang digelar Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia.

Selain itu, ada bendera Malaysia dan 11 bendera negeri seperti Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

Turut dipaparkan ialah latar belakang Raja-Raja Melayu ketika itu, antaranya Sultan Kedah, Tunku Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid serta Sultan Kelantan, Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Mohamed IV.

Tidak ketinggalan berita mengenai perjuangan golongan wanita dipaparkan. Dalam satu ruangan, wanita diseru membantu golongan lelaki atau suami dan dituntut lebih agresif mengubah taraf hidup.

Antara yang menarik lain ialah ruangan iklan dan paparan pelbagai foto masyarakat berbilang kaum negara ini dengan tajuk, “The People of Malaya.”

Mengenai iklan, kebanyakannya mengucapkan tahniah di atas kemerdekaan negara, antaranya The Malayan Railway Administration, Boh Tea, The Chartered Bank dan Chung Khiaw Bank.

- METRO AHAD

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.