Rabu, Ogos 12, 2009

Suu Kyi kena 18 bulan


Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi semalam didapati bersalah oleh mahkamah dan ditahan 18 bulan kerana melanggar undang-undang keselamatan dalam negara.

Mahkamah pada mulanya menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Suu Kyi, tetapi tempoh penahanan dikurangkan kepada setahun setengah atas arahan kerajaan tentera, yang akan dijalaninya di rumahnya di Yangon.

Lelaki Amerika yang berenang ke rumahnya, John Yettaw pula dipenjara tujuh tahun dan dikenakan hukuman kerja keras.

Yettaw, 54, dipenjara tiga tahun kerana melanggar undang-undang keselamatan, tiga tahun lagi kerana melanggar undang-undang imigresen dan setahun kerana sabit kesalahan berenang di tempat tidak sepatutnya oleh pihak perbandaran.

Keputusan bersalah itu sememangnya dijangkakan dan didakwa pengkritik sebagai usaha rejim tentera Myanmar untuk menghalang Suu Kyi menjelang pilihan raya umum tahun depan.

Pemimpin pergerakan demokrasi di bekas negara Burma itu sudah menghabiskan 14 daripada 20 tahunnya dalam tahanan.

Perbicaraan Suu Kyi berlangsung di Penjara Insein, Yangon dan dikawal rapi oleh anggota keselamatan, dengan 2,000 anggota keselamatan berada di pekarangan mahkamah, kata saksi.

Semua akhbar kerajaan menyiarkan ulasan sama semalam, yang memberi amaran kepada penyokong Suu Kyi agar tidak melakukan kekacauan dan memberitahu orang luar agar tidak masuk campur dalam urusan Myanmar.

- AFP/Reuters

ISA wajar dipinda selari keadilan diperjuang Islam

Oleh MUSA AWANG
Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
http://www.peguamsyarie.org

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 adalah undang-undang tahanan pencegahan yang berkuat kuasa di negara ini dan mutakhir ini kedengaran desakan oleh pelbagai pihak supaya dimansuhkan.

Menurut akta ini, sesiapa saja boleh ditahan polis 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan atas tindak-tanduk yang dianggap mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.

Seseorang yang ditahan ISA 60 hari pertama tidak dibenarkan berkomunikasi dengan dunia luar. Tambahan pula, peguam dan keluarga tidak dibenar melawat tahanan.

Selepas 60 hari, tahanan boleh ditahan lagi dua tahun jika diluluskan Menteri Dalam Negeri dan sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.

Jika perintah penahanan dua tahun ditandatangani, tahanan dibawa ke Pusat Tahanan Kamunting, Perak untuk tempoh ditetapkan dan baru keluarga dibenarkan melawat.

ISA dirangka RH Hickling dan dijadikan undang-undang pada 1960. Sejak akta itu digunakan, ia dipinda lebih 20 kali. ISA adalah undang-undang tahanan pencegahan.

Dalam masyarakat pelbagai agama dan kaum, undang-undang seperti ini perlu bagi membendung tindak-tanduk yang mengancam atau menggugat keselamatan negara.

Pada 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau mengatakan ISA adalah undang-undang yang perlu dan mengemukakan hujah: "Kami (kerajaan) tidak pernah menyalahgunakan ISA.

"Semua mereka yang ditahan di bawahnya terbukti mengancam masyarakat secara umum."

Dalam keadaan kestabilan kaum di negara ketika ini seperti bom jangka dengan bukan Bumiputera lantang menyuarakan ketidakpuasan hati dan membelakangkan kontrak sosial serta prinsip jus soli, sejarah yang makin dilupakan, apakah jaminan yang boleh memastikan bom itu tidak meletup. Bukankah ISA antara jaminannya?

Perkara 149, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi mencegah kegiatan subversif.

Kuasa menangani kegiatan dan anasir subversif ini terlalu luas sehingga boleh merangkumi apa saja keadaan yang dianggap mengancam ketenteraman awam termasuk yang belum berlaku.

Ada pihak yang mengemukakan hujah penahanan tanpa perbicaraan adalah kezaliman. Nada suara mereka selari dengan perjuangan menegakkan hak asasi manusia yang dipelopori Amerika Syarikat dan Britain.

Realitinya sekarang, Amerika Syarikat dan Britain ada juga undang-undang pencegahan yang hampir sama iaitu Patriot Act dan Terrorist Act di Britain yang membenarkan kerajaan menahan sesiapa saja tanpa perbicaraan jika disyaki menjadi anasir atau penyokong keganasan.

Walaupun ISA diwujudkan untuk membendung unsur komunis selepas merdeka, kita perlu melihat sejarah. Selepas dikuatkuasakan akta ini mengalami 20 pindaan.

Cadangan dan perkara yang perlu dipinda dalam ISA.

# Pindaan kepada Seksyen 73 (1) ISA yang menyatakan sesiapa pun boleh ditahan polis 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.

Tahanan 60 hari adalah tempoh lama dan tidak munasabah. Dalam kes membabitkan keselamatan negara, ia sepatutnya segera disiasat polis dan diberi keutamaan. Adakah adil dan wajar seseorang ditahan tanpa perbicaraan 60 hari sedangkan polis mempunyai bukti dan menjalankan siasatan berlaku tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara, sebelum tangkapan. Tempoh yang mungkin munasabah, paling lama ialah 21 hari.

# Seseorang yang ditahan di bawah ISA juga perlu dibenar mendapatkan khidmat peguam dalam tempoh tahanan itu dan perlu dibenar berjumpa keluarga sesuai dengan kehendak Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan.

# Pindaan juga perlu kepada Seksyen 8 Akta ini yang sebelum ini menyatakan selepas 60 hari, tahanan boleh ditahan dua tahun jika diluluskan Menteri Dalam Negeri sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Seksyen ini perlu dipinda dengan kuasa menahan seseorang oleh mahkamah saja.

Kuasa diberi kepada Menteri Dalam Negeri yang membolehkan beliau menangkap sesiapa pun, tanpa merujuk mahkamah dibatas atau dimansuhkan.

# Peruntukan dimansuhkan pada 1989 yang membolehkan mahkamah menyiasat kuasa menteri di bawah peruntukan ini perlu diadakan semula dengan beberapa pindaan.

Kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara teknikal berkenaan penahanan di bawah ISA, tanpa melihat apakah rasional tangkapan sama ada benar demi keselamatan awam atau bermotifkan politik.

Suatu badan atau suruhanjaya bebas yang terdiri daripada kerajaan, pembangkang, aktivis masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu dibentuk bagi mengkaji apakah ISA sinonim dengan kestabilan dan ketenteraman awam?

Adakah kestabilan negara ini berpunca daripada undang-undang seperti ISA? Suruhanjaya bebas ini juga perlu mengkaji apakah benar penganiayaan di bawah ISA berlaku?

Suatu kajian dari perspektif Islam oleh pakar Islam dan mufti juga perlu dijalankan adakah ISA ini bercanggah atau tidak dengan justifikasi di sisi Islam sebagai agama rasmi negara.

Adakah Islam membenarkan seseorang ditahan sedemikian jika wujud unsur yang disyaki membahayakan Islam dan penganutnya?

Bukankah Islam membenarkan rakyat mengkritik pemerintah? Tetapi bagaimanakah cara kritikan yang boleh dibuat menurut Islam? Mengapa ada pihak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Islam tidak pula ditangkap mengikut ISA?

Malaysia bantu buru Noordin Mat Top

Polis Malaysia dilaporkan ingin terus bekerjasama dan membantu polis Indonesia menjejaki serta menahan Noordin Mat Top selepas lelaki yang ditembak mati Sabtu lalu disahkan bukan suspek pengganas itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis atau keluarga Noordin di Malaysia memang tidak mempunyai maklumat berhubung kedudukan rakan utama Dr Azhari Hussein, pakar bom yang terkorban hujung 2005.

"Namun kita tetap akan membantu dari segi menyalur dan berkongsi maklumat risikan sehingga tertangkapnya Noordin," Musa dipetik berkata selepas majlis penyerahan kutipan derma bagi Tabung Kemanusiaan Untuk Kanak-Kanak Gaza di Bukit Aman hari ini.

Menurut laporan Bernama pula, polis Indonesia mengesahkan bahawa mayat lelaki yang ditembak mati di Temanggung (foto atas) itu seorang pengganas yang dikenali sebagai Ibrohim.

Beliau didakwa terlibat merancang dan mengatur pengoboman di Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton di Jakarta pada 17 Julai lepas.

Dalang pengeboman

Pengesahan identiti Ibrohim, 37, dibuat hasil ujian DNA yang dijalankan ke atas mayat lelaki itu, kata ketua Pusat Pengecaman Identiti Mangsa Bencana Polis Indonesia, Brig Jen Eddy Saparwoko pada sidang media hari ini.

Mayat tersebut sebelum ini pernah dilaporkan kemungkinan sebagai Noordin, suspek pengganas yang paling dikehendaki di republik itu yang dikatakan dalang di sebalik beberapa pengeboman.

Eddy dipetik berkata ujian DNA dengan sampel daripada keluarga Noordin didapati tidak padan tetapi sebaliknya padan dengan sampel daripada keluarga Ibrohim yang tinggal di Kuningan.

Dengan itu mayat berkenaan disahkan sebagai Ibrohim.

Menurut polis, Ibrohim yang bekerja sebagai penata bunga di hotel JW Marriott dan menghilang sejak 17 Julai menjadi buruan kerana disyaki membawa bom dalam tiga kotak masuk ke hotel itu dengan menggunakan van pengangkut bunganya.

Bom dalam tiga kotak itulah yang diletupkan oleh dua orang pengebom berani mati pada pagi Jumaat itu, yang meragut sembilan nyawa (termasuk dua pengebom) dan mencederakan lebih 50 orang yang lain.

Mati dihujani peluru

Ketua perhubungan awam Markas Besar Polis Indonesia, Nanan Soekarna pula berkata polis tidak pernah memberi keterangan sebelum ini bahawa lelaki itu adalah Noordin, pengganas yang menjadi buruan di Indonesia sejak sembilan tahun lepas.

Ujian DNA ke atas mayat lelaki yang mati setelah dihujani peluru ketika bersembunyi di sebuah rumah di Desa Kedu, Temanggung, diuji dengan sampel DNA keluarga Noordin dari Johor Bahru dan sampel keluarganya yang lain di Cilacap dan Klaten, Indonesia.

"Namun hasilnya tidak cocok (padan) semuanya," kata Eddy dan menambah, namun ujian menggunakan sampel daripada seorang anak lelaki dan perempuan Ibrohim, kemudiannya didapati seratus peratus padan.

Pada sidang media itu juga polis mengumumkan hasil ujian DNA ke atas Dani Permana, yang berasal dari Bogor, yang disahkan sebagai pengebom di Hotel JW Marriott.

Hasil ujian DNA ke atas lelaki yang dipercayai juga pengebom di Ritz
Carlton pula, Nana Ichwan Maulana, dari Banten, masih belum selesai dilakukan.

Noordin motivasi suspek

Dua ujian DNA yang sudah selesai dijalankan juga mengesahkan bahawa pengganas yang ditembak mati dalam satu lagi operasi di Bekasi pada 8 Ogos lalu di mana polis turut menjumpai 500 kilogram bahan peledak, ialah Aher Setiawan, 28, dan Eko Joko Santoso, 27.

Menurut Nanan, Aher juga terlibat dalam pengeboman di kedutaan Australia pada 2003 sementara Eko merupakan pembuat bom yang digunakan dalam letupan di kedua-dua hotel mewah tersebut.

"Dalam kejadian ini, Noordin merupakan perancang utama yang hadir dalam beberapa pertemuan kelompok pengganas termasuk di Mampang di sini dan Jati Asih di Bekasi.

"Walaupun dia tidak terlibat secara langsung di lapangan tetapi dialah yang merancang dan memotivasi suspek lain untuk beraksi," katanya dan menambah masih terdapat antara tiga hingga lima orang dalam kumpulan itu yang sedang diburu.

Beliau berkata tiga lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian pengebomam di kedua-dua buah hotel di kawasan Mega Kuningan itu telah juga ditangkap.

Mereka ialah Amir Abdillah yang menjadi penjaga rumah persembunyian pengganas di Bekasi, Aris serta Hendra, penduduk Temanggung yang menyembunyikan Ibrohim dan Noordin.

Bom dalam kotak bunga

Nanan bagaimanapun enggan mengulas mengenai rancangan untuk memburu Noordin dan anggota kumpulan pengganasnya, tetapi berkata beliau percaya Noordin masih berada di Indonesia.

"Sekarang fokus polis bukan terhadap Noordin sahaja kerana dia merupakan mastermind (dalang) tetapi juga merangkumi orang lain yang direkrut olehnya," kata beliau.

Beliau berkata dari siasatan ke atas mereka yang ditangkap, polis mendapati rancangan untuk mengebom kedua-dua buah hotel itu sudah dibuat oleh kumpulan pengganas tersebut sejak April lalu.

Pada sidang media itu juga, polis turut menayangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua hotel itu, yang menunjukkan pergerakan Ibrohim pada 8 Julai sedang melakukan tinjauan lokasi dengan Nana Maulana dan pada 16 Julai, Ibrohim memasukkan bom dalam kotak bunga melalui pintu masuk barang di JW Marriott.

Visual pada 17 Julai pula menunjukkan Ibrohim membawa masuk Nana Maulana ke hotel Ritz Carlton melalui pintu masuk pekerja pada pukul 6.15 pagi, kira-kira 90 minit sebelum letupan berlaku.

Sementara itu di Hospital Pusat Polis Dr Sukamto di Keramat Jati di Jakarta, beberapa keluarga sudah menuntut mayat pengganas yang terbunuh itu.

- MALAYSIAKINI

Selesema babi di tahap darurat?

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini bahawa influenza A (H1N1) atau selesema babi adalah ancaman serius kepada negara, wajar diberikan perhatian serius.

Adakah ia bermakna virus tersebut merupakan ancaman keselamatan negara dan bukan lagi ancaman keselamatan insan (human security)?

Adakah kerajaan akan mengisytiharkan ia merupakan ancaman keselamatan negara seperti ancaman dadah?

Juga adakah langkah-langkah keselamatan seperti pengisytiharan darurat perlu dilakukan bagi membendung wabak ini? Apakah kita gagal membendung kemasukan penyakit import ini disebabkan kealpaan kita? Adakah virus ini merupakan serangan biologi dari negara barat? Adakah kita mempunyai statistik mereka yang mempunyai potensi dijangkiti H1N1 seperti kanak-kanak, pesakit diabetis dan sebagainya.

Musim perayaan akan tiba tidak berapa lama lagi dan sudah tentu virus ini akan terus merebak. Banyak lagi persoalan yang menjadi tanda tanya.

Jika dilihat daripada segi sejarah, wabak pandemik seperti ini telah wujud sejak awal abad ke-20 lagi. Pada 1918, dunia dikejutkan dengan Spanish Flu yang melibatkan 20 hingga 40 juta kes, diikuti dengan Asian Flu pada 1957 melibatkan sejuta kes. Hong Kong Flu pada 1968 pula melibatkan 700 ribu kes.

Virus selesema babi yang bermula pada 4 April di Mexico kini telah merebak serata dunia sehingga kawasan pedalaman. Maka benarlah bahawa globalisasi menyebabkan dunia tanpa sempadan. Sehingga kini, ia telah meragut lebih daripada 30 nyawa rakyat Malaysia dan mungkin akan meningkat lagi.

Wabak ini boleh dibendung dari awal jika kita mempunyai kesedaran yang tinggi. Kebanyakan kes berpunca daripada virus import dan yang menjadi mangsa, mereka yang tidak langsung mempunyai kemampuan ke luar negeri.

Bagi yang berkemampuan, mereka boleh mendapatkan rawatan awal di hospital swasta. Bagaimana pula mereka yang tinggal di kampung dan kawasan pedalaman? Berapa ramaikah yang mati terdiri daripada mereka yang berada?

Walaupun beberapa langkah diambil seperti pemantauan di pintu masuk utama negara, penutupan sekolah dan sebagainya, ia tidak mampu menangani wabak sepenuhnya. Ini kerana mereka yang mengidap influenza H1N1 tersebut mungkin masuk melalui jalan haram. Penutupan sekolah pula hanya menyelamatkan sekolah tetapi bukan kawasan perumahan atau kampung yang diduduki oleh pelajar yang terdedah dengan virus tersebut. Ini menyebabkan ia semakin merebak.

Mungkin pengisytiharan darurat langkah terakhir untuk membendungnya walaupun mempunyai implikasi kepada ekonomi negara.

Kerajaan perlu mengambil tindakan wajar sepeti berikut:

*Memastikan apa yang diarahkan Kementerian Kesihatan dilaksanakan dan bukan sekadar kenyataan politik sahaja. Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Pengarah dan Pengarah Kesihatan serta semua yang terlibat perlu turun ke hospital atau klinik bagi membuat lawatan atau pemeriksaan.

*Meningkatkan mutu perkhidmatan di hospital dan klinik kerajaan bagi merawat pesakit H1N1 yang sudah tentu bimbang dengan kesihatan mereka. Juga memastikan hospital dan klinik swasta juga memberikan khidmat yang sama dengan caj yang berpatutan.

*Memastikan bekalan topeng muka yang mencukupi dan membuat pemeriksaan serta penguatkuasaan ke atas harga topeng muka yang dijual di farmasi, kedai dan sebagainya yang mungkin dijual dengan harga yang tinggi.

*Jika perlu, mengisytihar wabak H1N1 sebagai ancaman keselamatan negara dan langkah-langkah keselamatan perlu dilaksanakan. Perkara ini perlu dikaji dengan mendalam oleh Majlis Keselamatan Negara. Jika perlu, pengisytiharan darurat setempat perlu dilaksanakan.

Semua pihak perlu berganding bahu bagi menangani ancaman yang datangnya bukan dari negara tapi daripada virus yang bermula daripada haiwan. Kesihatan rakyat didahulukan, baru negara mencapai kejayaan.

Di manakah suara ulama?

Oleh AZNAN BAKAR

Ketika kedudukan Islam dan syariatnya di negara ini diasak dan dikritik secara terbuka oleh bukan Islam, ramai tertanya-tanya kenapa tidak ada suara ulama yang tampil memberi penjelasan dan mempertahankannya.

Ketika ini segala yang berkaitan dengan Islam dilihat serba tidak kena. Hampir setiap hari ada sahaja laporan dan tulisan mengenai komen-komen pemimpin bukan Islam terhadap hal atau isu yang berkaitan dengan agama Islam.

Itu belum diambil kira kandungan dalam blog yang secara terbuka dan terang-terangan menghentam Islam. Tidak mungkin mereka yang bergelar atau menggelar diri sebagai ulama tidak sedar tentang perkara ini.

Tidak mungkin mereka tidak sedar mengenai tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang bertindak memulangkan arak yang dirampas. Diikuti pula dengan kenyataan bahawa bir bukannya arak.

Sedangkan dalam Islam, apa juga minuman yang mengandungi alkohol walau setitik dan memabukkan adalah haram.

Lagi pula arak yang dirampas itu dijual di kawasan yang majoriti penduduknya berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Namun tidak ada ulama yang tampil memberi penjelasan berkenaan isu itu apatah lagi mempertahankan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Yang tampil ke depan mengkritik dan meminta tindakan dikenakan terhadap Liu hanya beberapa kerat sahaja termasuk Exco Selangor dari Pas, Datuk Dr. Hassan Ali. Itupun beliau tidak mendapat sokongan jitu daripada rakan-rakannya dalam Pas sendiri.

Belum selesai isu arak di Selangor, timbul pula kenyataan oleh seorang lagi wakil rakyat DAP berhubung dengan Islam.

Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi mengkritik pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) dengan mengaitkannya sebagai ekstremis.

Kenyataan itu dibuat semata-mata kerana Ooi tidak berpuas hati dengan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd. Razali Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga ahli JIM.

Sama ada semua perbuatan dan kenyataan itu disengajakan atau dirancang bagi menguji kesabaran umat Islam di negara ini tidak siapa yang tahu.

Beberapa hari lalu muncul pula kenyataan dalam blog Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook yang mengkritik pendakwah Islam, umat Islam dan Islam.

Biar pun ia ditujukan kepada pendakwah Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, namun komen-komen yang dibuat oleh pembaca blog itu jelas cukup keterlaluan dan menghina Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Di sebalik segala serangan itu, golongan ulama dan tokoh agama di negara ini kelihatan hanya bersikap berdiam diri. Tidak ada kenyataan-kenyataan balas daripada mereka berhubung isu-isu yang dibangkitkan itu terutama berkaitan dengan arak di Selangor.

Ini bukan bermaksud mereka perlu tampil bersemuka atau bergaduh tetapi cukup sekadar memberi penjelasan atau mengeluarkan amaran supaya bukan Islam tidak sewenangwenangnya bercakap atau mencabar kedudukan Islam.

Teguran atau pandangan daripada golongan ulama sudah tentu dapat memberi sedikit tekanan kepada kumpulan yang dilihat sudah melebihi batas itu.

Mungkin golongan ulama di negara ini berdiam diri kerana berpegang kepada prinsip "sabar itu separuh daripada iman".

Atau mungkin ada juga yang melihat ia hanya sebagai serangan kepada kerajaan atau pemimpin Barisan Nasional (BN) dan bukan kepada Islam secara langsung.

Satu lagi kemungkinan ialah mereka tidak sedar atau tidak tahu akan kenyataan-kenyataan nista dan menghina Islam itu.

Sepatutnya inilah ketikanya untuk golongan itu ke depan menghadapi dan membetulkan tuduhan-tuduhan berniat jahat yang dilemparkan kepada Islam dan umat Islam di negara ini.

Sikap berdiam diri mereka seolah-olah menggambarkan apa segala tuduhan, tindakan dan kenyataan golongan bukan Islam itu betul dan umat Islam di negara ini berada di pihak yang salah.

Apakah usaha memartabatkan Islam seperti yang dilakukan di Selangor dan yang diperjuangkan oleh JIM itu salah?

Mereka bertindak daripada segi aspek Islam dan melibatkan penduduk yang beragama Islam sahaja.

Jadi campur tangan oleh pemimpin bukan Islam melalui kenyataan-kenyataan yang tidak sewajarnya tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.

Tetapi apa yang dikesalkan, hanya seorang dua tokoh dan ulama sahaja yang berani tampil untuk bersuara mempertahankan Islam dalam isu ini.

Bayangkan jika isu yang dibangkitkan oleh Liu, Ooi dan Siew Fook itu berlaku di negara Islam lain. Sudah tentu para ulama secara berani akan bersemuka dengan mereka sekurang-kurangnya untuk membetulkan persepsi negatif terhadap Islam yang dilemparkan oleh golongan itu.

Tetapi ulama di negara ini lebih suka mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Ini bukan bermakna mereka diminta berkonfrantasi, tetapi berilah sedikit pandangan untuk mempertahankan Islam.

Lagi pula apabila ulama bersuara, ia tentu menimbulkan 'kegerunan' kepada pihak-pihak yang cuba memperkecil-kecilkan dan menghina kesucian Islam.

Atau sekurang-kurangnya apabila mereka bersuara, ia akan lebih memberi pemahaman kepada rakan-rakan bukan Islam.

Ini kerana apa yang berlaku mungkin disebabkan kedangkalan pengetahuan segelintir individu tertentu terhadap Islam walaupun setiap hari kehidupan mereka dikelilingi masyarakat Melayu dan Islam.

Kita tentu faham jika golongan ulama bersikap membisu sekiranya apa yang ditimbulkan lebih bersifat serangan politik. Tetapi apabila ia membabitkan akidah umat Islam seperti arak dan serangan ke atas pendakwah, tentu suara-suara daripada mereka yang arif dan golongan yang digelar pemimpin agama penting.

Suara ulama dalam masyarakat Islam sememangnya penting, lebih-lebih dalam keadaan dan ketika akidah dan syariat dicabar.

Jika perbezaan politik yang menjadi penghalang, sepatutnya ia diketepikan seketika. Ini bukan soal kena keluar ke jalan raya untuk berdemonstrasi atau berkonfrantasi. Tetapi cukup dengan menerang dan menjelaskan mengenai akidah serta syariat Islam kepada para pengkritik dan penghinanya.

Terangkan kepada mereka bagaimana Islam melarang sebarang bentuk kejian dan penghinaan terhadap agama lain. Sebaliknya ia mementingkan soal toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira batas kaum dan agama.

Adakah apabila golongan ulama hanya berdiam diri bermakna mereka menganggap kenyataan-kenyataan menghina, mengherdik dan mencaci Islam itu tidak serius?

Atau ia tidak memerlukan campur tangan golongan ulama dan pemimpin agama? Atau takut untuk mengguris hati orang bukan Islam?

JAWATAN KOSONG DI ANGKATAN KOPERASI KEBANGSAAN MALAYSIA (ANGKASA)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

Jawatan :

1. Pemberita (Ibu Pejabat)
2. Pembantu Am (Perak dan Sabah)

Individu yang berkelayakan di pelawa memohon dengan mengemukakan surat permohonan beserta butiran terperinci (resume / c.v) yang mengandungi maklumat kelayakan akademik, pengalaman , kemahiran, kualiti peribadi, gaji semasa, gaji dipohon serta salinan sijil-sijil akademik / berkaitan dan gambar terkini berukuran pasport kepada:

Pengurus Umum
ANGKATAN KOPERASI KEBANGSAAN MALAYSIA BERHAD
Peti Surat 8797,
Pejabat Pos Kelana Jaya,
46798 Petaling Jaya Selangor

atau email : sumber@angkasa.coop

Tarikh Tutup : 18 Ogos 2009


JAWATAN KOSONG DI TELEKOM MALAYSIA (TM)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1. MANAGER POLICY
2. ASSISTANT MANAGER COMPLIANCE
3. EXECUTIVE SECURITY ANALYST
4. KERANI DATA
5. PEMBANTU PEGAWAI TEKNIK
6. PEMBANTU PEGAWAI PENTADBIRAN
7. JURUTEKNIK (INTEGRATED MAINTENANCE)
8. JURUTEKNIK (MEKANIKAL)
9. JURUTEKNIK (PROPERTY)
10. JURUTEKNIK (SIVIL)
11. PRODUCT SPECIALIST
12. EXECUTIVE SERVICE ASSURANCE FULFILLMENT
13. EXECUTIVE SECURITY SERVICE PROVIDER ADMINISTRATOR
14. HEAD, PREMIUM ACCOUNT 2
15. HEAD, PROGRAMME MANAGEMENT OFFICE

CARA MEMOHON :
Calon yang berminat hendaklah mengemukakan permohonan secara on-line di:
http://www.tmcareer.com.my

Tarikh Tutup : 23 Ogos 2009

JAWATAN KOSONG DI JABATAN PERTANIAN MALAYSIA

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia

Jawatan : JURUTEKNIK KOMPUTER FT 17 (SAMBILAN)

Tangga gaji : Gaji RM 43.60 X Sehari

Syarat Lantikan :
Calon-calon bagi lantikan hendaklah memiliki kelayakan seperti berikut :-
i. Terdiri daripada Warganegara Malaysia.
ii. Berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan dan sihat tubuh badan.
iii. Berpelajaran di peringkat Sekolah Menengah bantuan penuh kerajaan dengan memiliki kelulusan Sijil Kemahiran komputer
atau setaraf dengannya dari pusat-pusat latihan dibawah kelolaan kerajaan atau mendapat pengiktirafan Majlis Latihan Vokasional kebangsaan (MLVK) dan memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dengan mendapat sekurang-kurangnya lulus Bahasa Malaysia.

BORANG PERMOHONAN :
Borang permohonan boleh didapati dari Seksyen Teknologi dan Pengurusan Maklumat, Aras 15, Blok 4G2, Wisma Tani, Presint 4, 62632 Putrajaya.

Borang permohonan yang telah lengkap dengan menyertakan salinan kad pengenalan, sijil-sijil yang diperlukan dan telah disahkan hendaklah dialamatkan kepada :-

PENGARAH
BAHAGIAN PERANCANGAN, TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI
SEKSYEN TEKNOLOGI DAN PENGURUSAN MAKLUMAT
ARAS 15 BLOK 4G2, WISMA TANI
PRESINT 4, 62632 WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

Tarikh Tutup : 15 Ogos 2009

JAWATAN KOSONG DI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)

Majlis Agama Islam Selangor mempelawa anak Negeri Selangor yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan seperti berikut :

a) Pegawai Syariah (LS41)

b) Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (S27)

c) Pembantu Hal Ehwal Islam (S17)

d) Pembantu Penilaian (W17)

e) Pembantu Tadbir Kewangan (W17)

f) Pembantu Juruaudit (W17)

g) Juruteknik (J17)

h) Juruteknik Perancang Bandar Dan Desa (J17)

i) Pembantu Tadbir (Perkeranian / Operasi) (N17)

MAKLUMAT LANJUT & BORANG PERMOHONAN :
http://www.mais.gov.my

Tarikh Tutup : 24 Ogos 2009

JAWATAN KOSONG DI JABATAN KEMAJUAN MASYARAKAT (KEMAS)

PERMOHONAN UNTUK JAWATAN KONTRAK

Warganegara Malaysia yang berkelayakan adalah dipelawa untuk memohon jawatan berikut:-

JAWATAN :
PENOLONG PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT GRED S27 (PEMAJU MASYARAKAT TASKA)

DOWNLOAD IKLAN
http://www.kemas.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=7ba3ea2d-7c58-4732-94b4-e013c6c12343&groupId=22843

CARA MEMOHON

Pemohon dikehendaki menggunakan Borang KEMAS 1 Pin. 2005 yang boleh di dapati di Pejabat KEMAS Negeri atau Pejabat KEMAS Daerah/Parlimen. Alamat Pejabat KEMAS Negeri adalah seperti di alamat berikut;

1. Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Perlis
Tingkat Bawah
Bangunan Persekutuan Lama
01000 Kangar, Perlis
Tel : 04-9761023

2.Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Kedah
Tingkat 6, Wisma Persekutuan
Jalan Kampung Baru
05000 Alor Setar, Kedah
Tel : 04-7322966

3.Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Pulau Pinang
Aras 2, Kompleks Sempilai Jaya
Jalan Sempilai
13700 Seberang Jaya
Pulau Pinang
Tel : 04-3981992/04-3998027

4. Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Perak
Blok C, Tingkat 2-3
Bangunan Persekutuan Guna sama
Jalan Dato’ Seri Ahmad Said
30450 Ipoh, Perak
Tel : 05-2535322

5. Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Selangor
Lot 03-40, Tingkat 3, Kompleks PKNS
Persiaran Tasik
40505 Shah Alam, Selangor
Tel : 03-55193044

6. Pengarah Kemajuan Masyarakat
Wilayah Persekutuan
Tingkat 28, Menara TH Perdana
Jalan Sultan Ismail
55250 Kuala Lumpur
Tel : 03-26988080

7.Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Melaka
Tingkat 5, Wisma Persekutuan
Jalan Hang Tuah
75300 Melaka
Tel : 06-2823987

8. Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Sembilan
Tingkat 6, Wisma Persekutuan
Jalan Dato’ Abdul Kadir
70000 Seremban, Negeri Sembilan
Tel : 06-7638114

9.Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Johor
Tingkat 5, Blok A, Wisma Persekutuan
Jalan Air Molek
80000 Johor Bahru, Johor
Tel : 07- 2278941

10.Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Pahang
Tingkat 5, Wisma Persekutuan
Jalan Gambut
25000 Kuantan, Pahang
Tel : 09-5161636

11. Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Kelantan
Tingkat 9, Wisma Persekutuan
Jalan Bayam
15517 Kota Bharu, Kelantan
Tel : 09-7441051

12. Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Terengganu
Tingkat 10, Wisma Persekutuan
Jalan Sultan Ismail
20200 Kuala Terengganu, Terengganu
Tel : 09-6221321

13. Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Sabah
Aras 5, Blok A
Kompleks Kerajaan Persekutuan Sabah
Jalan UMS-Sulaman Likas
Peti Surat 11281
88800 Kota Kinabalu, Sabah
Tel : 088-488406/088-488407

14. Pengarah Kemajuan Masyarakat
Negeri Sarawak
Tingkat 6, Bangunan Sultan Iskandar
Jalan Simpang Tiga
93300 Kuching, Sarawak
Tel : 082-251420/082-256227

Borang permohonan yang lengkap beserta dengan resume, salinan Kad Pengenalan, sekeping gambar berukuran pasport, salinan Diploma Pendidikan Awal kanak-kanak atau kelayakan yang diikhtiraf setaraf dengannya, salinan sijil-sijil persekolahan, salinan Sijil Lahir, salinan Sijil Berhenti Sekolah dan salinan Sijil Kegiatan Luar yang telah disahkan hendaklah dihantar ke Pejabat KEMAS Negeri yang dipohon.
Sila catatkan nama jawatan yang dipohon di sebelah kiri sampul surat permohonan.

Tarikh Tutup : 21 Ogos 2009

Selasa, Ogos 11, 2009

Dr Asri: Replika Najib juga tidak patut didirikan

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengulangi pendirian bahawa replika Perdana Menteri Datuk Seri Najib tidak patut didirikan sepertimana juga dalam pendiriannya yang sama sebelum ini terhadap replika Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Dr. Asri, beliau konsisten dalam pendirianya berhubung dengan perkara itu dan mahu pihak yang mempertahankan perkara ini satu masa dahulu turut konsisten dengan pendirian mereka.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini meminta Dr. Asri menyatakan pendiriannya mengenai replika Najib yang didirikan di perkarangan kuil Batu Caves.

"Saya konsisten menyatakan seperti mana replika Anwar tidak patut didirikan, maka begitu juga replika Najib.

"Apabila saya menegaskan konsistensi saya dalam perkara ini, saya juga ingin melihat sejauh mana konsistensi pihak (PKR) yang membolehkannya dahulu," kata Dr. Asri.

Dr. Asri menyatakan perbuatan itu berunsur pemujaan pemimpin secara berlebihan dan ia tidak akan menguatkan kedudukan politik seseorang.

Tegas beliau, seorang pemimpin bukan dinilai pada besar kecil saiz patutungnya sebaliknya pemimpin dinilai pada pemikiran, sikap dan kerjayanya.

Dalam pada itu Dr. Asri menegur sikap PKR yang sering berubah pendirian apabila hanya membolehkan pemimpin mereka yang mendirikan replika.

"Haram itu untuk musuh, halal itu untuk diri sendiri, musuh semua salah, diri sendiri semua betul.

"Sepatutnya mereka yang mempertahankan untuk Anwar, mereka juga kena mempertahankan untuk Najib kali ini," ujar beliau lagi.

Sebelum ini Adun Batu Caves, Amirudin Shari menjadi kontroversi ekoran replika penasihat PKR yang didirikan akhir tahun lalu.

- MSTAR

Amalkan sikap membelai pasangan

Oleh ZUHAYATI YAZID

PERKAHWINAN adalah manifestasi cinta antara pasangan kekasih. Namun ironinya cinta di alam rumahtangga bukan sandaran yang kukuh untuk satu hubungan yang kekal hingga ke hujung nyawa.

Ia menagih begitu banyak pengorbanan, pengertian serta yang paling utama ialah kejujuran.

Dalam usaha memberi kefahaman itu kepada pasangan suami isteri seharusnya sikap kerjasama dan tolak ansur adalah penting dalam melayari hubungan rumah tangga.

Selain aspek kasih sayang, tanggungjawab, kewangan dan hubungan seksual juga mempengaruhi kebahagiaan hidup rumah tangga

"Setiap perhubungan mesti ada kerjasama, baru hidup berkekalan.

''Malah sikap terbuka dalam hubungan termasuk seks amat penting untuk mengekalkan hubungan."

Demikian menurut Perunding Psikologi dan Klinikal dan ahli fakulti Northwestern University Feinberg School of Medicine, Amerika Syarikat, Dr. Huang Wei Jen semasa memberi ceramah mengenai keintiman dan kebahagiaan pasangan dalam melayari rumahtangga.

Katanya, masalah intim dapat dilihat menerusi pelbagai aspek. Ia mungkin di sebabkan oleh masalah psikologi, rohaniah dan kebatinan serta tindak balas fizikal yang membuatkan kita memerlukan hubungan intim dalam perhubungan.

Jelasnya, intim di sini bukan bermaksud melakukan hubungan seksual, tetapi cara berinteraksi dan tindak balas dalam sesebuah perhubungan.

''Yang paling utama kita sebagai pasangan perlulah berkongsi hidup sama ada dari segi intelektual, sosial, emosional, kerohanian dan kebatinan serta fizikal.

Begitu juga dalam memenuhi kehendak seksual, suami harus memainkan peranan dalam memastikan hubungan itu saling memberi kepuasan bagi kedua-dua pihak.

"Jadi, dalam mendapatkan kenikmatan itu, suami isteri harus bersama-sama bertanggungjawab memberi kepuasan," katanya.

Menurut Wei Jen, seks merupakan salah satu kehendak manusia yang perlu bagi tujuan murni iaitu meneruskan kesinambungan zuriat dan untuk pasangan menikmati hubungan manis dalam satu ikatan yang sah.

''Namun jangan jadikan seks segala-galanya dalam perkahwinan semata-mata tetapi suami harus memberi keutamaan dalam perkara yang lain dalam meneruskan bahtera tersebut.

Bercerita tentang tanggungjawab, suami sebenarnya mempunyai kuasa yang cukup besar, tidak semata-mata memberi nafkah batin, tetapi sebagai ketua atau pemimpin dalam sebuah keluarga.

Tanggungjawab kepimpinan dalam sebuah rumahtangga ada kaitan dengan pemberian nafkah batin dan zahir, sifat kekuatan jasmaniah, azam, keberanian, kesabaran dan berpandangan jauh dalam sebuah rumahtangga.

Katanya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang psikologi klinikal, dalam melayari sebuah rumah tangga, pasangan digalakkan supaya sentiasa menjalin hubungan mesra, saling faham memahami dan sentiasa berbincang antara satu sama lain.

Lebih menarik, dalam meneruskan hubungan, sikap membelai-belai antara satu sama lain perlu diamalkan dalam hubungan suami isteri.

Malah pasangan juga digalakkan untuk berterus terang mengenai semua perkara.

''Sememangnya kita tidak mahu badai besar merempuh rumah tangga kita, oleh itu hanya melalui sikap berterus terang dan bersemuka adalah cara yang paling tepat.

''Berterus teranglah dengan pasangan kita, malah jadikan pasangan kita sebagai kawan karib kita yang boleh berkongsi suka dan duka yang berlaku pada diri kita.

''Apa jua krisis yang dihadapi, harungilah sebagai satu unit dan bukan secara individu,'' katanya.

Malah akuinya lagi, buatlah keputusan bersama dalam meneruskan bahtera perkahwinan.

Tambah Wei Jen, prinsip ini pernah memberi impak yang tinggi dalam rumahtangganya sendiri.

Komitmen yang mempersetujui sesuatu keputusan akan memaksa pasangan untuk bercerita secara mendalam dengan pasangan.

Namun jelasnya, ketidakupayaan suami isteri berkomunikasi secara efektif adalah punca menyebabkan timbul pelbagai masalah seperti buruk sangka di antara satu sama lain.

''Oleh itu, kurangkan sikap sering bergaduh, saling tidak mempercayai dan salah sangka antara pasangan,'' ujarnya.

"Sebenarnya komunikasi antara suami isteri merupakan satu proses yang bermula dari dalam diri individu itu sendiri.

"Melalui komunikasi, suami isteri boleh menyampaikan segala maklumat terpendam, impian, hasrat dan harapan.

''Malah dengan cara ini, ia akan mengurangkan perasaan salah sangka dan dendam yang boleh menghancurkan hati.

''Komunikasi berkesan akan melahirkan rasa intim antara suami isteri dan perasaan ini boleh mencetuskan rasa bahagia,'' tambahnya.

Jelasnya, hanya melalui perkongsiaan bersama, ia mampu menyelesaikan permasalahan.

''Cuba amalkan sebelum tidur, bercerita dan berkongsi dengan pasangan mengenai kejadian yang berlaku pada diri anda hari ini.

''Pastinya ada komen dan juga pandangan antara satu sama lain, malah ia juga boleh menghangatkan lagi perhubungan tersebut,'' akhiri ceramahnya pada hari itu.

Haramkan jualan arak di kawasan penduduk Islam - Hasan Ali

PAS Selangor mahu segala jenis minuman arak yang diharamkan penjualan dan pembeliannya melalui Enakmen Jenayah Syariah tidak lagi dijual di kawasan majoriti penduduk Islam di negeri Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato Dr Hasan Mohd Ali dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily memaklumkan bahawa isu jualan arak ini diharapkan tidak lagi dijadikan kontroversi dan diputar-belitkan oleh mana-mana pihak samada individu atau mereka yang mewakili pertubuhan termasuklah pihak Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Dalam hal ini melalui satu Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Ahad lepas, PAS Selangor telah menyambut baik segala maklum balas dan pandangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak khasnya dari kalangan masyarakat Melayu/ Islam di negeri ini berhubung isu tersebut.

"PAS merakamkan ucapan ribuan terima kasih serta sangat menghargai segala bentuk sokongan dan galakkan serta pandangan yang positif yang telah mereka tunjukkan itu yang mencerminkan keprihatinan rakyat terhadap isu ini,"jelasnya.

Selain itu, dalam perkembangan lain beliau menegaskan bahawa PAS tidak pernah menyarankan kepada ahli-ahlinya untuk menganjurkan sebarang 'road show' bersama dengan Umno/BN kerana PAS Selangor yakin yang ia memiliki kekuatan sendiri untuk membawa dan mempertahankan isu ini.

Beliau juga menegaskan bahawa tuntutan itu bukannya ke arah 'total ban' atau larangan menyeluruh ke atas penjualannya seluruh Selangor tetapi sebaliknya hanya di kawasan majoriti Melayu/Islam sahaja demi membentuk sebuah masyarakat yang sihat dari gejala buruk akibat peminuman arak ini.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa PAS Selangor tidak pernah sekali-kali menuntut agar YB Exco Kerajaan Tempatan Selangor,Ronnie Liu digugurkan dari barisan Exco kerajaan negeri. Sebaliknya apa yang dituntut adalah perubahan jawatan itu dari penyandangnya kepada YAB Dato' Menteri Besar sendiri atau mana-mana EXCO lain yang Menteri Besar fikirkan sesuai.

"Selain itu PAS Selangor kini sedang meneliti cadangan yang diberikan oleh YAB Menteri Besar berhubung kawalan kendiri atau 'self regulation' terhadap penjualan arak ini dan memohon agar Menteri Besar memberikan penerangan lanjut berhubung kaedah kawalan beliau itu beserta mekanismanya.

"Jika dalam tempoh sebulan ini kaedah tersebut didapati gagal atau tidak berjaya maka PAS Selangor akan mengemukakan cadangan-cadangan yang difikirkannya wajar untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah ini,"tegasnya.

- HARAKAH

Recent Posts