Sabtu, Ogos 01, 2009

Berakhirnya ujian kepada Nabi Ayub

ALLAH ingin menjadikan Nabi Ayub sebagai seorang hamba-Nya yang benar-benar teguh keimanannya, tabah, sabar, tetap bersyukur dan sentiasa memuji Allah.

Oleh itu, Allah menguji Nabi Ayub dengan pelbagai ujian termasuklah kehilangan harta benda dan anak-anaknya. Ujian yang paling besar diterima oleh Nabi Ayub ialah ditimpa penyakit kulit yang sangat teruk.

Allah membenarkan iblis untuk menjalankan tipu muslihatnya. Tujuan Allah membenarkan iblis berbuat sedemikian adalah untuk menguji keimanan Nabi Ayub.

Namun begitu, Allah mengetahui bahawa Nabi Ayub mempunyai keimanan dan kesabaran yang tinggi walaupun diberikan pelbagai ujian dan dugaan.

Penyakit kulit yang dihadapi oleh Nabi Ayub sungguh teruk sekali hinggakan baginda tidak berdaya untuk bangun daripada pembaringannya. Semakin hari, badannya semakin kurus dan baginda tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan. Mukanya menjadi pucat dan matanya cengkung.

Walaupun Allah mengujinya dengan penyakit yang begitu teruk, tetapi Nabi Ayub tetap beriman dan memuji kebesaran Allah. Penyakit yang dihadapinya memakan masa hingga bertahun-tahun lamanya.

Baginda disisihkan oleh masyarakat dan tidak ada sesiapapun yang sudi menjenguknya kecuali isterinya, Rahmah yang setia menemani, menghibur dan menguruskan keperluannya selama ini.

Walaupun Nabi Ayub diuji dengan penyakit yang begitu teruk, namun iblis masih tidak berpuas hati. Iblis telah menghasut Rahmah, isteri Nabi Ayub supaya bosan dan benci kepada Nabi Ayub.

Pada suatu hari, Rahmah berkata kepada Nabi Ayub, "Sampai mati Allah akan menyeksamu, wahai Ayub? Ke mana perginya anak-anak dan teman-teman kita? Ke mana tubuhmu yang gagah dan sihat itu?"

Alangkah terkejutnya Nabi Ayub apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Ternyata isterinya itu juga sudah berubah hati. Baginda berasa sedih kerana isterinya yang dikasihi sanggup berkata begitu kepadanya.

Sejak hari itu Nabi Ayub tidak lagi memandang isterinya. Makan minum yang disediakan oleh isterinya juga tidak disentuh dan dimakan. Nabi Ayub telah bersumpah sekiranya baginda sembuh daripada penyakit, baginda akan memukul isterinya sebanyak 100 kali sebagai hukuman.

Kini tinggallah Nabi Ayub seorang diri menghadapi penyakit yang ditanggungnya itu. Badannya semakin lemah dan tidak berdaya lagi. Lalu Allah menurunkan wahyu-Nya kepada Nabi Ayub supaya menggerakkan kakinya sehingga keluar air. Air itu hendaklah diminum dan digunakan untuk mandi oleh baginda. Nabi Ayub pun menurutinya.

Maka dengan keizinan Allah badannya kembali kuat dan segar. Hilang segala penyakit yang ditanggungnya, malah baginda lebih kuat dan gagah dari dahulu.

Pada masa yang sama, isteri beliau telah melihatnya lalu terus kembali kepadanya. Nabi Ayub teringat akan sumpahnya bahawa baginda akan memukul isterinya apabila sakitnya sembuh. Isterinya itu pernah lalai menguruskan sewaktu baginda masih sakit. Akan tetapi timbul dalam hatinya rasa hiba dan sayang kepada isterinya sehingga baginda tidak dapat memenuhi sumpahnya.

Oleh sebab itu, turunlah perintah Allah supaya baginda melaksanakan sumpahnya dengan tidak menyakiti isterinya iaitu memukul dengan menggunakan seikat rumput yang terdiri 100 helai rumput sahaja.

- UTUSAN

Masa untuk masuk pasaran saham?

Oleh DATO' SALLEH MAJID
Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Ada tiga perkara penting yang berlaku minggu ini. Pertama, berita penguasaan 31 peratus saham Bernas oleh sebuah syarikat Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd. Ramai yang melahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana satu-satunya syarikat terpenting di negara kita boleh dikuasai oleh sebuah syarikat asing.

Seperti kata Datuk Dr. Zainal Aznam, ahli Majlis Ekonomi Negara, apa sebenar motif sebuah syarikat Hong Kong memiliki sebuah syarikat pengeluar beras. Kita semua tahu beras adalah makanan penting kepada rakyat Malaysia dan Bernas bermonopoli dalam perniagaan beras.

Kita lihat sesiapa yang memiliki Bernas turut memiliki beberapa anak syarikatnya yang lain seperti Edaran Bernas Nasional Sdn. Bhd.(80 peratus), Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (61 peratus), Era Bayam Kota Sdn. Bhd. (60 peratus), Syarikat Faiza Sdn. Bhd. (51 peratus) dan YHL Holding Sdn. Bhd. (51 peratus). Kesemuanya Bernas memiliki saham majoriti dalam anak-anak syarikat ini.

Bagaimana pihak Padi Beras Nasional Bhd (Bernas) tidak sedar yang ada syarikat asing yang sudah mengumpul sebegitu banyak milik saham dan dengar cerita yang menjual ini sebuah agensi kerajaan juga dan individu Melayu.

Kalau ya pun agensi kerajaan itu hendak menjual, kenapa tidak dilakukan di luar pasaran terbuka secara married deal hanya kepada agensi kerajaan yang lain.

Setahu saya agensi tersebut tidaklah sesak duit kerana mampu miliki dua tiga bangunan dan dia tak tahu ke yang dijualnya itu suatu syarikat yang strategik.

Semasa saya di Amanah Saham Nasional dulu bila ada mesyuarat agung syarikat yang mana agensi kerajaan ada kepentingan, agensi kerajaan berkenaan buat tak kisah hendak menghadiri mesyuarat tersebut.

Pada hal banyak perkara penting yang wajar dibangkitkan dalam mesyuarat terutama dari segi dasar syarikat dan amalan terhadap perniagaan Bumiputera. Kadang-kadang saya merasakan mereka ini tidak ambil pusing pasal kepentingan Bumiputera sejak dulu.

Bila saya bangkitkan macam-macam perkara janggal dengan sebuah syarikat yang Amanah Saham Nasional Bhd. ada kepentingan berdasarkan maklumat yang saya terima daripada orang dalam, syarikat itu mengadu kepada pengerusi saya, Allahyarham Tun Ismail Ali dan saya ditegah untuk menghadiri mana-mana mesyuarat agung syarikat-syarikat yang ASN ada kepentingan.

Orang yang mengadu itu orang Melayu juga. Saya pernah cakap kepada syarikat yang dimiliki sahamnya oleh PNB atau ASN, mereka yang berasa megah kerana dapat organisasi terpenting negara menjadi pemilik saham mereka, bukannya PNB atau ASN yang berasa megah.

Kalau kita milik sebahagian syarikat, lepas itu kita tidak ambil tahu apa yang dilakukan oleh syarikat yang mungkin bertentangan dengan aspirasi PNB atau ASN atau mana-mana agensi kerajaan, siapa lagi yang hendak menjaga kepentingan rakyat? Bukankah duit pelaburan agensi kerajaan itu duit rakyat?

Kita tidak nafikan, apabila sesebuah syarikat itu disenaraikan di bursa saham, siapa saja boleh beli sahamnya tetapi ada syarikat-syarikat tertentu yang perlu menyedari hakikat bahawa ia mungkin tergulung dalam kategori syarikat strategik kepada negara.

Kenapa, misalnya Tun Mahathir dulu tidak membenarkan Singtel, syarikat telekomunikasi Singapura memiliki saham Telekom Malaysia? Habislah kita.

Bila berita pembelian saham oleh syarikat Hong Kong ini timbul dan ramai yang merungut, cepat-cepat kata saham itu akan dibeli balik.

Beli balik mungkin boleh tetapi dengan harga yang lebih tinggi daripada dijual dulu. Itu pun kalau dia orang hendak jual. Kalau dia orang tak mahu, kita tak boleh juga buat apa. Lembu dah terlepas baru kita nak tutup pagar.

Kedua, suatu pertemuan ketua-ketua kumpulan di bawah Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) bertemu pada hari Rabu 29 Julai lalu membincangkan "Cabaran dan Hala Tuju Usahawan Bumiputera." Banyaklah perkara yang dibangkitkan hari itu.

Antaranya perbezaan beberapa golongan orang Melayu, di bandar dan di luar bandar. Tekanan hidup mereka yang berpendapatan rendah di bandar dan perbezaan antara mereka yang dalam golongan kelas menengah dan mereka yang masih lagi kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.

Sementara itu, mereka yang berpendapatan rendah ini melihat beberapa langkah keterbukaan yang bakal memberikan saingan yang lebih sengit kepada usahawan Melayu.

Ada juga persoalan ditimbulkan tentang kenapa Kementerian Pembanguan Usahawan dan Koperasi dimansuhkan sedangkan menterinya yang dulu Datuk Noh Omar melakukan pelbagai usaha untuk memajukan golongan usahawan Bumiputera.

Kini dipecahkan kepada lapan kementerian sehingga peranan menyelaras 60 agensi yang terbabit dengan pembangunan usahawan Bumiputera ibarat kumbang putus tali.

Hakikat sebenar yang ekonomi negara akan berubah untuk meningkatkan daya saing perlu diterima oleh usahawan sekarang.

Menurut Tan Sri Rahim Thamby Chik, rakyat perlu bersatu di bawah konsep 1 Malaysia kerana dokumen penting yang menjadi rujukan utama ialah Perlembagaan Negara. Satu Malaysia bukannya suatu yang baru tetapi mengingatkan kepada sesuatu yang sudah lama termaktub.

Ketiga, suatu seminar tentang pasaran saham diadakan pada hari Khamis 30 Julai. Tajuknya, "Adakah pasaran saham akan naik atau tidak?" Menurut Ahmad Abdullah, seorang pengarah eksekutif syarikat broker yang berpengalaman lebih 20 tahun menyatakan dua perkara penting.

Pertama katanya, ramai orang menyangka ada kaitan pasaran saham New York dengan pasaran saham kita. Sebenarnya tiada dan Ahmad membuktikannya dengan pergerakan tertinggi dan terendah Standard and Poors 500 (suatu ukuran pergerakan pasaran).

Jadi, jangan sibuklah menganalisis pasaran New York. Setiap pasaran saham ada kitaran dan gegarannya sendiri.

Kedua, Ahmad telah mencatat pergerakan purata 200 hari pasaran saham dan mendapati sejak April 2009, pasaran telah mula naik dan akan kekal naik selama lima tahun. Ada juga yang tidak bersetuju dengan Ahmad, tetapi dia mengatakan anak muridnya sudah untung sejak membeli pada Mei lalu.

Wakil syarikat broker saham daripada CLSA Securities, San Choo menyatakan bahawa pasaran saham kita tinggi penilaiannya berbanding dengan lain-lain pasaran. Nisbah purata harga-pendapatan kita lebih tinggi daripada orang lain.

Ertinya, berdasarkan kadar pendapatan kita, syarikat-syarikat kita dengan harga pasaran mereka, seseorang itu terpaksa menunggu lebih lama mendapatkan pulangan pelaburannya.

Ditanya tentang sama ada pelabur asing sudah memasuki pasaran sejak Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih dan memperkenalkan pelbagai perubahan, katanya, mereka ingin melihat pelaksanaan perubahan-perubahan yang diperkenalkan.

Mereka hanya meletakkan kewajaran sebanyak empat peratus sahaja kepada pasaran saham kita.

Begitulah putaran dunia. Ada masa kita menjadi pujaan, ada masa kita diketepikan.

Kenapa takut ISA?

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Kebanyakan peranan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam melindungi keselamatan negara sebelum ini hanya dilihat sebagai kes-kes sampingan dan tidak begitu diberi perhatian.

Sehinggalah apabila ISA digunakan ke atas individu tertentu terutamanya ahli politik, maka ia disensasikan dan dinilai tidak berperikemanusiaan.

Polemik inilah yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak terutamanya mereka yang tidak sealiran dengan kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Lebih malang, ISA dituduh melanggar hak asasi manusia dan dijadikan kambing hitam untuk memperlihatkan seolah-olah kerajaan bertindak kejam.

Sentimen sama turut menggerakkan kemungkinan terjadinya demonstrasi membantah ISA yang dirancang oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini.

Apa yang mencetuskan kebimbangan ialah demonstrasi itu pula bakal ditentang oleh kumpulan penyokong ISA. Antaranya Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) yang akan disertai oleh 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang lain.

Lautan manusia yang berbeza kepentingan dan emosi ini akan berarak menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bayangkan sekiranya kumpulan ini gagal dikawal oleh pihak berkuasa, tidak mustahil demonstrasi itu akan bertukar kepada situasi yang tegang. Kerana itu juga orang ramai berharap apa yang dirancang, baik oleh kumpulan penyokong atau penentang ISA itu tidak menjadi kenyataan.

Sesungguhnya kita mempunyai saluran untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara, dan di jalanan bukanlah caranya.

Tidak tepat seandainya dikatakan kerajaan hanya memekakkan telinga dalam memberi reaksi terhadap polemik mengenai ISA ini.

Hakikatnya Malaysia tidak bersendirian dalam pelaksanaan akta seperti ISA ini. Contoh paling dekat ialah Singapura yang semestinya lebih maju dan moden, masih melihat akta seperti ini perlu dilaksanakan. Akta itu di Singapura dikenali sebagai Internal Security Act of Singapore 1960.

India juga pernah lama mengamalkan akta seperti ISA iaitu Maintenance of Internal Security Act (MISA) yang diperkenalkan oleh Parlimen negara itu pada 1973 ketika era Indira Gandhi. Tetapi akta yang hampir sama iaitu Terrorism and Disruptive Activities (Prevention) Act dan Prevention of Terrorism Act kekal digunakan sehingga ke hari ini.

Ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa akta ini diperlukan sama ada di negara yang sering diancam keganasan seperti India, waima negara yang maju dan moden seperti Singapura.

Perkara yang sama turut dikongsi oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian. Malah beliau turut memberikan satu senario untuk dibandingkan.

Menurut Pandian, kebanyakan negara ketika ini sedang berdepan dengan keadaan yang mana tidak ada peruntukan perundangan yang membolehkan dakwaan dan tangkapan dilakukan.

Ini kerana undang-undang sedia ada tidak memberi akses sepenuhnya dalam mencari kebenaran. Senario itu dengan sendirinya menjawab mengapa ISA masih lagi dilihat relevan untuk dipertahankan.

ISA juga dilihat sesuai dalam konteks kemajmukan ahli masyarakat dan proses modenisasi yang dikecapi negara hari ini. Ini kerana dalam proses pembangunan negara, tidak bermakna masyarakat kita semakin matang dalam menangani isu yang bersifat ekstremis dan radikal.

Pandian turut mengambil contoh Amerika Syarikat (AS) yang memperkenalkan akta mirip ISA sebagai pengajaran daripada peristiwa serangan 11 September 2001.

Adakah apabila ia digunakan secara meluas oleh negara Barat maka akta seperti itu akan dianggap tidak bertentangan dengan nilai kemanusiaan?

Atau rakyat negara ini perlu berdepan dengan ancaman pengganas seperti serangan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York itu atau letupan bom seperti di Jakarta untuk memberi keabsahan kepada ISA?

Kerana itu bagi Pandian, jika kesemua aspek dalam kehidupan masyarakat termasuk aspek perundangan dan peraturan dipolitikkan, maka masyarakat akan hidup dalam lingkaran yang palsu. Iaitu menggunakan undang-undang hanya mengikut keselesaan sendiri.

"Tetapi sekiranya undang-undang itu bertentangan dengan prinsip, maka ia akan dianggap tidak demokratik," ujar beliau.

Bagaimanapun tidak dinafikan, tanggapan masyarakat hari ini sudah banyak berubah.

Dalam dahagakan amalan demokratik, ISA tidak boleh mengelak daripada dilabel sebagai mengancam nilai kemanusiaan.

Atas alasan itu juga ISA memerlukan penambahbaikan untuk disesuaikan dengan keadaan dan suasana semasa. ISA perlu merangkumi satu sifat menyeluruh dalam mempertahankan hak seseorang individu.

Pada masa yang sama, ia membolehkan penjaga keselamatan mempunyai satu peruntukan untuk memelihara keselamatan. Ia bermaksud, ISA turut diimbangi dengan dengan nilai-nilai keselamatan.

Dalam konteks masyarakat hari ini, ISA dipersoal kerana dikatakan tidak relevan dan disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan kuasa dan kedudukan.

Justeru, dalam meminda undang-undang tersebut, perlu ada mekanisme yang konkrit agar kepercayaan semula ke atas akta itu dapat dipulihkan.

Perlunya penambahbaikan itu jelas Pandian, bertujuan memastikan penerimaan yang menyeluruh dari setiap lapisan masyarakat terhadap ISA.

Begitu juga dengan kuasa yang diberikan kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) yang menjadi pertikaian. Barangkali dalam merungkai rasa tidak puas hati berkenaan bidang kuasa itu, sudah tiba masanya ia diserahkan kepada badan bebas lain, Parlimen atau kepada Yang di-Pertuan Agong.

Namun sekali lagi dalam mempertahankan ISA, soal hak asasi manusia sejagat tidak boleh dikompromi.

Hakikatnya ketika ini, walaupun masyarakat melihat penahanan tanpa bicara itu mengikut peruntukan undang-undang, namun ia gagal menghapus tanggapan bahawa penahanan itu hanyalah bersifat luaran.

Pandangan serupa turut dikongsi oleh pensyarah Jabatan Antropologi dan Soisologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad. Dalam konteks politik misalnya, ISA lebih banyak dilihat digunakan terhadap pembangkang.

Kes penahanan 10 individu yang berkait dengan sebuah parti politik pembangkang baru-baru ini sehingga menimbulkan kemarahan rakyat seharusnya boleh dijadikan iktibar. Penahanan mereka dianggap sebagai pencabulan hak asasi dengan alasan-alasan tertentu.

Antaranya dari sudut penahanan suspek, tiada laluan untuk mendapatkan khidmat guaman, kaedah penahanan yang tidak betul, keadaan semasa dalam tahanan, layanan yang kasar dan tidak berperikemanusiaan serta banyak lagi.

Meskipun semua dakwaan itu tidak pernah disahkan kebenarannya, namun ia dimainkan dengan sangat berjaya oleh pihak tertentu sehingga melekat pada tanggapan rakyat.

Tambah Noor Sulastry, apa yang sewajarnya menjadi perhatian kerajaan juga ialah akta ini tidak hanya tertakluk kepada pesalah ISA. Tetapi turut melibatkan kesengsaraan terhadap keluarga mereka.

''Malah, semacam timbul satu psikologi budaya takut akibat pelaksanaan ISA ini," ujar beliau.

Persoalan-persoalan itu bagi Noor Sulastry sudah cukup untuk menjawab apa yang perlu diubah dan diperbaiki dalam ISA. Tidak salah tambah beliau, sekiranya pandangan rakyat itu didengar bagi menjamin hak asasi manusia sejagat demi kemajuan negara.

Sekiranya persoalan itu berjaya ditangani, tidak mustahil ISA pada masa depan akan menjadi lebih ketat dan tegas. "Persoalannya, sejauh mana kerajaan bersungguh-sungguh menuju ke arah itu?," tuntas beliau.

RM1.6b tingkat mutu perkhidmatan Maxis


Maxis Communications Bhd. (Maxis) yakin pelaburan RM1.6 bilion bagi meningkatkan mutu rangkaian mereka mampu menampung penggunaan rangkaian yang lebih besar.

Ketua Jalur Lebarnya, Afizulazha Abdullah berkata, ia termasuk kemampuan syarikat telekomunikasi itu menyediakan rangkaian iPhone 3GS yang baru dilancarkan pada hari ini.

''Semasa melancarkan iPhone 3G lalu, kami tidak mempunyai sebarang masalah rangkaian dan dengan pelancaran iPhone 3GS ini diharap akan lebih baik dan rangkaian akan terus kukuh pada masa hadapan.

''Setakat ini, Lembah Klang telah mengalami perubahan peningkatan rangkaian dan akan diikuti dengan Pulau Pinang, Johor serta Pantai Timur sebelum seluruh negara pada akhir tahun ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran iPhone 3GS di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden dan Ketua Pemasaran Pengguna, Tan Lay Han serta Pengurus Besar Kanan dan Ketua Pembangunan Produk, T. Kugan.

Afizulazha berkata, dalam beberapa bulan akan datang syarikat akan meneruskan usaha meningkatkan program perkembangan secara komprehensif termasuk meningkatkan prestasi kepantasan 3G dan rangkaian data Maxis.

Terdahulu, Maxis melancarkan iPhone 3GS yang merupakan telefon pintar berteknologi tinggi dengan aplikasi baru yang menawarkan prestasi serta kelajuan lebih baik berbanding iPhone 3G.

Lay Han berkata, Maxis berbangga menjadi antara yang pertama melancarkan iPhone 3GS di rantau Asia Tenggara.

''Sejak Maxis memperkenalkan iPhone 3G di Malaysia pada Mac lalu, membolehkan pelanggan kami berhubung antara satu sama lain serta menghubungkan mereka dengan aplikasi kegemaran.

''Maxis juga akan memudahkan pelanggan untuk membuat tempahan iPhone 3GS di pusat pengagihan kami termasuk pengedar Hotlink dan 201 Maxis, sementara itu telefon pintar ini juga boleh didapati di 28 pusat Maxis bermula hari ini,'' katanya.

Antara keistimewaan aplikasi iPhone 3GS adalah kamera berkualiti tinggi 3 megapixel, penggunaan video yang mudah serta kawalan suara.

Maxis akan menawarkan iPhone 3GS 16 gigabit (GB) pada harga RM1,290 dan iPhone 3G pada harga RM790 dengan pelan iValue 2 yang memerlukan komitmen bulanan sebanyak RM155 sebulan menerusi kontrak selama 24 bulan.

Selain itu, Maxis turut menyediakan skim pembayaran mudah kepada pelanggan untuk memiliki iPhone 3G dengan bayaran bulanan tanpa faedah bagi tempoh 12 bulan atau 24 bulan.

''Bagi tempoh 24 bulan pelanggan yang ingin memiliki iPhone 3G 8GB serendah RM60 sebulan, iPhone 3GS 16GB serendah RM80 sebulan dan iPhone 3GS 32GB serendah RM100 sebulan.

''Tawaran tersebut dibuka kepada pelanggan Visa dan MasterCard Maybank, HSBC, Citibank dan Public Bank serta rakan eksklusif Maxis,'' jelasnya.

Bagi pelanggan iPhone 3G akan menerima rebat RM500 sekiranya ingin mendapatkan iPhone 3GS.

Maxis juga akan mengadakan pameran bergerak untuk memperkenalkan iPhone 3GS di The Garden Mid Valley, di sini bermula 30 Julai hingga 9 Ogos ini.

- UTUSAN

50,000 pelajar IPTA dapat 100 unit percuma Amanah Saham 1Malaysia (AS1M)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak 100 unit percuma Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) kepada hampir 50,000 pelajar tahun satu peringkat ijazah pertama di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009.

Peruntukan yang membabit sejumlah RM5 juta disumbangkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank, RHB Bank dan Pos Malaysia.

Pengumuman khas itu dibuat sempena pelancaran AS1M dengan jumlah dana sebanyak RM10 bilion, saiz terbesar unit amanah yang pernah ditawarkan PNB setakat ini.

AS1M yang dibuka kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas adalah dana berharga tetap pada RM1 seunit yang dibuka untuk langganan dalam tempoh tawaran awal selama 30 hari mulai 5 Ogos hingga 3 September.

Pelancaran AS1M itu mengotakan janji Najib kepada rakyat yang dibuat semasa ucapan 100 hari pentadbirannya tiga minggu lalu.

Najib berkata, sebagai pewaris negara, kerajaan mahu melihat golongan muda yang mendapat pendidikan peringkat ijazah menjadi warganegara berwawasan dan progresif serta bijak dalam bidang pelaburan dan perancangan kewangan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus diperuntukkan untuk bumiputera, 30 peratus Cina, 15 peratus India dan selebihnya untuk kaum-kaum lain.

''Penetapan peruntukan ini dibuat berdasarkan pola kependudukan rakyat Malaysia.

''Selepas tamat tempoh tersebut, unit-unit AS1M yang masih ada akan dibuka untuk langganan semua rakyat Malaysia.

''Saya berpendapat cara ini adalah yang paling adil dan telus untuk PNB mendapatkan pelabur-pelabur yang benar-benar berminat, sementara rakyat Malaysia semua mempunyai peluang yang sama untuk melabur,'' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran AS1M di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Dana amanah terbaru itu boleh dilanggan dengan jumlah pelaburan permulaan minimum 100 unit dan pelaburan tambahan minimum pula sebanyak satu unit.

Bagi memastikan penyertaan menyeluruh daripada rakyat Malaysia, had langganan maksimum bagi AS1M ditetapkan pada 50,000 unit bagi setiap pelabur berumur 18 tahun hingga 55 tahun.

Had langganan maksimum bagi mereka yang berumur melebihi 55 tahun pula 100,000 unit dengan tujuan memberi pilihan kepada golongan itu mempelbagaikan pelaburan bagi merancang keperluan persaraan mereka.

Perdana Menteri berkata, pelancaran AS1M akan memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia, sekali gus mencapai sasaran tebaran pelabur yang lebih luas dan saksama.

Tambahnya, agihan yang besar diberikan kepada warga emas sebagai anugerah sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi selama ini.

Beliau berkata, selain itu pelancaran dana tersebut dapat meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat melalui pemegangan dana amanah serta membantu merangsang ekonomi negara melalui pelaburan dalam pasaran saham dan instrumen-instrumen lain.

''Dengan adanya tabung yang menawarkan saiz dana terbesar ini, ia bukan sahaja memberi suntikan kepada pasaran ekuiti sebaliknya menjadi kepada pemangkin pertumbuhan negara.

''Malah, dengan adanya dana ini, PNB berupaya melabur dalam syarikat-syarikat tertentu yang kukuh dan membentuk syarikat-syarikat baru.

''Akhirnya rakyat juga yang akan mendapat faedah,'' ujar beliau.

Dalam ucapannya, Najib berkata, meskipun PNB sudah membuktikan kejaguhannya di negara sendiri tetapi kerajaan berharap kejayaan itu dapat dilebarkan ke peringkat antarabangsa.

Hamad Kama Piah dalam satu sidang akhbar berasingan berkata, langganan AS1M boleh dibuat di semua pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan Pos Malaysia mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Manakala urus niaga dengan ejen-ejen ASNB seperti Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank pula pada pukul 9.15 pagi hingga 4.30 petang, bergantung kepada waktu urus niaga masing-masing.

- UTUSAN

Kelebihan Syaaban

Oleh IDRIS MUSA

Saiditina Aishah r.a ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka, juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Sesungguhnya mereka dalam keadaan kenyang, tidak lapar dan tidak haus."

Bulan yang dinyatakan dalam hadis terbabit adalah antara yang disebut-sebut banyak kelebihan, sehingga hadis berkenaan menyatakan mereka yang berpuasa tidak akan lapar dan haus pada hari kiamat kelak.

Dalam memberikan penjelasan berkaitan tiga bulan yang berturut-turut itu, ada pihak membuat perumpamaan tahun dengan pohon, iaitu Rejab umpama waktu keluarnya daun, Syaaban diumpamakan keluarnya bunga dan Ramadan umpama buahnya.

Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab bulan Allah dan Syaaban itu bulanku, manakala Ramadan itu bulan umatku." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Ketiga tiga bulan disebut Nabi s.a.w itu adalah bulan rahmat, kasih sayang dan kesejahteraan. Bulan yang penuh keberkatan dan keampunan.

Sesetengah ulama menyatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa manakala bulan Syaaban untuk memperbaiki diri daripada

segala macam cela dan Ramadan adalah waktu menyucikan hati dan jiwa.

Syaaban bermaksud berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana pada bulan itu masyarakat Arab dulu bertempiaran ke serata tempat untuk mencari air, sehingga ada yang mencarinya sampai ke gua.

Ia juga diertikan demikian kerana menjadi 'bulan pemisah' iaitu memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan.

Nabi s.a.w menjelaskan Syaaban mengandungi keutamaan dan kebaikan yang banyak, dengan nilai berganda bagi mereka melaksanakan kebaikan dan ibadat dengan ikhlas dan bersungguh.

Baginda bertanya kepada sahabat, maksudnya: "Tahukah kamu sekalian mengapa bulan ini dinamakan Syaaban?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih

mengetahui."

Baginda menjawab: "Kerana pada bulan ini bercabang banyak kebaikan."

Dengan keutamaan yang ada pada Syaaban ini, Baginda memanfaatkan kesempatan untuk meningkatkan prestasi ibadat dan amal kebaikan sehingga seolah-olah Baginda tidak pernah melakukan sedemikian pada bulan lain.

Nabi s.a.w sendiri sering berpuasa pada bulan ini.

Daripada Saidatina Aishah, beliau berkata maksudnya: "Adalah Rasulullah s.a.w sering berpuasa hingga kami menyangka yang Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka yang Rasulullah akan berbuka seterusnya.

"Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak di bulan Syaaban." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan kepada umat Islam sekalian, Syaaban memang bulan sangat digalakkan beramal ibadat selain bulan lain, sesuai dengan statusnya sebagai gerbang Ramadan.

Rasulullah s.a.w pernah mengumpamakan bulan Syaaban dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi lain.

Sabda Baginda bermaksud: "Keutamaan Syaaban ke atas bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi lain sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."

Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban ialah memperbanyakkan ibadat sunat termasuk puasa, doa, zikir, selawat dan bertaubat daripada kesalahan yang dilakukan.

Walaupun amalan ini sukar, ganjaran yang menanti adalah berganda. Ibadat sunat pada Syaaban juga sebagai persediaan untuk lebih cergas beribadat siang dan malam pada Ramadan.

Syaaban juga adalah bulan di mana setiap doa orang beriman akan dimakbulkan Allah, sebagaimana dinyatakan Abdullah Umar dalam riwayatnya mengenai hadis Nabi iaitu Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Antara solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah sewaktu malam Jumaat, pada malam 10 Muharam, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha."

Rasulullah s.a.w bersabda: "Itulah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa." (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam sejarah umat Islam, bulan Syaaban juga menyaksikan beberapa peristiwa penting seperti perubahan arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram di Makkah.

Pada bulan ini juga berlaku peperangan Bani Mustaliq iaitu pada Isnin hari kedua Syaaban tahun ke-5 Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustaliq.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memuliakan Syaaban, bertakwa kepada Allah dan taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkan dia pada satu tahun itu daripada semua bencana dan penyakit."

Amelina berang barang disita


Operasi mengeluarkan barang peribadi milik bekas ratu dangdut, Amelina dari rumah sewanya di Kota Kemuning di sini semalam kecoh seketika apabila penyanyi itu mempersoalkan tindakan pemilik rumah sambil mendakwa perbuatan itu tidak berperikemanusiaan serta cuba menjatuhkan maruahnya.

Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin, 35, berkata pertikaian mengenai masalah sewa banglo berkenaan sepatutnya selesai kerana dia sudah menjelaskan semua pembayaran dan berhasrat memindahkan kes itu dari mahkamah rendah ke mahkamah tinggi.

Dia yang ditemani suami, Reduan Mahamood, mendakwa sudah membayar bailif lebih RM4,000 dan diberitahu peguamnya selepas pembayaran itu, tindakan melelong barangnya di banglo berkenaan tertangguh sehingga mereka membuat tuntutan pada 5 Ogos ini.

“Tapi, selepas saya buat pembayaran pada 17 Julai, timbul cerita lain...kononnya itu untuk bayaran lain.

“Pemilik rumah sengaja nak malukan kami, ini perbuatan zalim kerana kami ada writ menghalang tindakan ini,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, pasangan itu gagal menunjukkan bukti kewujudan writ berkenaan selepas diminta Bailif Mahkamah Majistret, Noor Azmi Taupek, yang hadir bagi memastikan pelaksanaan perintah untuk pecah masuk dan menjual barang yang disita serta mengambil alih semula banglo berkembar dua tingkat itu.

Amelina mendakwa, kira-kira jam 3 petang pada 28 Julai lalu, dia ke rumah berkenaan dengan membawa bersama sebuah lori untuk mengambil semua barangnya.

“Tapi apabila sampai, kami lihat rumah itu dikunci dan mangga dulu dipecah sebelum mereka masuk.

“Jadi atas nasihat peguam, kami rantai (rumah) dan peristiwa itu kami rakam,” katanya yang mempersoalkan tindakan penyewa terbabit.

Ditanya punca sebenar masalah itu, Amelina berkata, dia menyewa banglo berkenaan RM2,700 sebulan dan sempat tinggal di situ dua bulan.

Katanya, pada bulan pertama tinggal di situ, pelbagai masalah timbul termasuk kebocoran dan apabila diadukan, pemilik rumah langsung tidak memberikan reaksi.

“Selepas itu, berlaku lagi masalah selepas kami terima bil elektrik melalui pos. Bilnya hampir RM1,000 dan kami mengadu kepada TNB (Tenaga Nasional Berhad) sebelum mereka buat siasatan.

“Lepas siasatan dibuat, pihak TNB beritahu meter elektrik tidak ada masalah dan apa yang berlaku ialah disebabkan ada ‘kebocoran elektrik’ yang dilakukan pemilik rumah,” katanya mendakwa pemilik asal turut mengambil balik wang deposit kepada TNB sebelum bekalan elektrik ke rumah itu dipotong walaupun ketika itu dia masih menyewa rumah berkenaan.

Amelina berkata, dia menyewa banglo terbabit dua bulan iaitu pada April dan Mei lalu.

Penyanyi itu mendakwa, tindakan penyewa mengeluarkan semua barang miliknya semalam bertujuan memalukan keluarganya.

“Saya dah bagi kerjasama. Pada 28 Julai lalu saya datang, tapi berkunci...sekarang macam mana dan nak salahkan siapa?

“Jadi saya harap mereka yang berwajib tu buka mata. Setiap kali kami minta keadilan, ia seolah-olah tidak berpihak kepada kami dan sekarang jadi macam ni,” katanya.

- HARIAN METRO

Filem Yasmin: 11 pencalonan di FFM22

Filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad mendominasi pencalonan Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) apabila menerima 11 pencalonan pada festival itu yang akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, 8 Ogos ini.

Yasmin dicalonkan sebagai finalis dalam Top 5 kategori Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik menerusi filem terbitan Primeworks Studios Sdn. Bhd. dan Chilli Pepper Films Sdn. Bhd. itu.

Talentime turut menerima pencalonan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik dengan kesemuanya merupakan Anugerah Perdana dalam festival tersebut.

Bagi kategori Anugerah Cipta FFM22 pula, Talentime dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita.

Festival anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Kerajaan Negeri Sabah itu menyaksikan Talentime antara filem yang menerima pencalonan terbanyak dalam sejarah penganjuran FFM22 sejak 29 tahun lalu.

Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, selain menerima pencalonan terbanyak, FFM22 yang bakal berlangsung di Universiti Malaysia Sabah itu akan memaparkan satu segmen khas sebagai mengenang pembabitan Allahyarham dalam bidang perfileman.

"Kita akan adakan segmen khas selama dua hingga tiga minit dengan menayangkan klip video pembabitan Allahyarham sebagai pembikin filem. Idea itu tercetus selepas beliau meninggal dunia pada 25 Julai lalu.

"Segmen itu tiada kena mengena dengan jumlah pencalonan yang diterima Talentime dalam FFM22 kerana keputusan finalis dalam festival ini baru sahaja kami ketahui. Ia secara kebetulan sahaja," katanya pada sidang akhbar FFM22 di Pawagam Mini P. Ramlee di Finas hari ini.

Sementara itu, filem Papadom arahan Afdlin Shauki pula menjadi pesaing terdekat Talentime apabila menerima sembilan pencalonan bagi Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.

FFM22 yang bertemakan Filem Malaysia Ke Persada Dunia secara keseluruhannya menyediakan 15 Anugerah Perdana, 10 Anugerah Cipta dan lima Anugerah Khas Juri serta Filem Terbaik yang kesemuanya menawarkan hadiah wang tunai dan trofi.

- UTUSAN

SPR Umum Tarikh Pilihan Raya Kecil Selewat-lewatnya 10 Ogos

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir selewat-lewatnya 10 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dan SPR masih menunggu surat makluman kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir itu daripada Speaker (DUN) Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

"Kami jangka surat makluman itu akan diterima selewat-lewatnya Isnin ini dan selepas itu satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan soal tarikh hari penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Mohd Hamdan, yang mewakili kawasan Permatang Pasir selama tiga penggal merupakan satu-satunya Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Pulau Pinang dan beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini kerana sakit jantung.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini, selepas Asar.

Sementara itu Abdul Halim ketika dihubungi berkata beliau masih menunggu sijil kematian Mohd Hamdan sebelum menyerahkan surat makluman kekosongan DUN Permatang Pasir kepada SPR Pulau Pinang.

Beliau berkata Dewan Undangan Negeri akan bersidang selama dua hari mulai 10 Ogos ini dan Allahyarham sudah mengemukan beberapa soalan bertulis untuk sesi kali ini.

- BERNAMA

32,221 dapat pekerjaan - TPM

Pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan sejak awal tahun ini berjaya membantu seramai 32,221 rakyat negara ini mendapat pekerjaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan beberapa inisiatif utama untuk membantu rakyat mendapat pekerjaan termasuk Program Latihan dan Penempatan Semula serta penubuhan Pusat JobsMalaysia di seluruh negara.

"Sehingga Rabu lalu, kerajaan meluluskan sebanyak 31,484 peluang latihan di bawah Program Latihan dan Penempatan Semula. Ini bermakna, lebih 31,000 peluang pekerjaan menanti untuk direbut oleh orang ramai.

"Setakat ini, sejumlah 11,368 pelatih yang terdiri daripada pekerja yang diberhentikan, siswazah dan belia menganggur serta peserta daripada program penciptaan kerja yang lain sedang menjalani latihan di bawah Program Latihan dan Penempatan Semula," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Kerjaya Antarabangsa 2009 (ICC '09) di Pusat Pameran Mid Valley di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

ICC '09 anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tema 'Peluang-peluang Global untuk Tenaga Kerja Kompetitif' itu berlangsung selama tiga hari.

Muhyiddin berkata, kerajaan yang sentiasa mahu rakyat didahulukan mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu mengurangkan beban mereka ketika tempoh sukar pada masa ini.

"Mereka yang terjejas teruk berikutan krisis ekonomi dunia ialah golongan pekerja terutama yang telah diberhentikan dan pencari-pencari kerja baru. Kita mahu membantu mereka mendapat pekerjaan," katanya.

Menurut beliau, Malaysia harus membangunkan modal insan yang bersifat kompetitif, kreatif, inovatif dan holistik dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah berasaskan pengetahuan.

"Sehubungan itu, sistem pendidikan yang memberi penekanan kepada budaya inovasi dan kreativiti adalah prasyarat utama untuk kita mencapai matlamat tersebut dengan berjaya," katanya.

"Dunia hari ini tidak lagi mengamalkan model lama yang mana pekerjaan 'diberi' dan 'sedia ada' untuk mereka.

"Justeru, sangat mustahak bagi para siswazah mengambil inisiatif untuk memahami permintaan pasaran kerja sekarang kerana pelbagai pihak menaruh harapan tinggi terhadap mereka," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, terdapat keperluan untuk menjalin aspirasi pembangunan kerjaya antara golongan siswazah dan para profesional di seluruh dunia dengan permintaan sumber manusia dalam pasaran kerja antarabangsa.

- UTUSAN

Nonis, Rosman selamat diijab kabul

Hanya dengan sekali lafaz sahaja, dramatis terkenal, Noniswara Baharudin, 39, malam ini sah menjadi isteri kepada seorang tokoh korporat dalam bidang telekomunikasi iaitu Pengerusi U Mobile, Datuk Rosman Ridzwan, 50.

Ini merupakan perkahwinan kedua buat Noniswara atau lebih mesra dengan panggilan Nonis dan Rosman selepas hampir dua tahun berkenalan.

Nonis yang merupakan anak kepada pelukis terkenal Baharuddin M.Y kelihatan tenang sebaik sahaja akad nikah selesai dilafazkan oleh Rosman dalam majlis ringkas yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini malam ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Abdul Malik Salleh dengan mas kahwin RM317 tunai dengan berwalikan adik Nonis, Bani Uzair Baharudin.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Nonis yang kini bergelar Datin Noniswara Baharudin hanya mampu tersenyum puas apabila apa yang dirancangkan sebelum ini berjalan dengan lancar.

“Sebelum majlis ini, saya memang berdebar-debar. Walaupun ini merupakan perkahwinan kedua saya, perasaan itu tetap ada. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan saya akan melunaskan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri dengan sebaik mungkin,” katanya yang anggun mengenakan kebaya moden putih.

Dalam majlis itu, Nonis telah menerima tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada kasut, tas tangan, wangian dan kosmetik, cincin, sirih junjung, coklat dan kek.

Sebagai balasan, pihak pengantin lelaki pula menerima sembilan dulang hantaran di antaranya kasut, kemeja, kek, cincin, wangian dan coklat.

Mengenai cahaya mata pula, baik Nonis mahupun Rosman seboleh-bolehnya mahukan sekurang-kurangnya dua orang anak.

“Tetapi, semua itu bergantung kepada rezeki dan takdir. Kami menerima dengan hati yang terbuka,” ujar Rosman.

Menerusi perkahwinan pertama mereka dulu, Nonis dan Rosman masing-masing memiliki tiga dan lima orang anak.

Nonis dan Rosman merancang untuk berbulan madu di Eropah selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti.

Majlis resepsi kedua mempelai akan diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini dengan kehadiran lebih daripada 1,000 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, teman-teman rapat dan juga rakan artis yang lain.

- UTUSAN

Recent Posts