Rabu, Julai 22, 2009

Perintah solat 5 waktu

Oleh IDRIS MUSA

Israk dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.

Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu.

Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.

Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1)

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.

Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.

Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.

Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.

Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'

Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.

Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.

Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.

Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.

Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.

Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.

Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.

Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.

Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk.

Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.

Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.

Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.

Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.

Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.

Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.

Guru BI luar bandar bakal dapat insentif

Guru bahasa Inggeris yang cemerlang akan diberikan insentif oleh kerajaan untuk berkhidmat di luar bandar apabila strategi memperkukuhkan penguasaan bahasa itu mula dilaksanakan pada tahun 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, insentif berkenaan mencakupi elaun, kebajikan dan sebagainya yang mana mekanismenya akan dibincangkan di peringkat Kementerian Pelajaran sebelum diputuskan oleh Kabinet.

''Insentif yang diberikan ini perkara baru dan akan melihat sejauh mana keberkesanannya, kerana kita mahu menghantar guru yang cemerlang untuk memperkasakan bahasa Inggeris di luar bandar.

''Guru yang terlibat ini bukan lagi mengajar Matematik dan Sains, tetapi bahasa Inggeris dan mereka adalah guru yang berlainan," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia ke-15 dan persidangan perwakilan kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia ke-27 di Klana Resort, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Ruslan Madon.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, persiapan untuk menempatkan guru bahasa Inggeris cemerlang di semua sekolah sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran ketika ini dan ia diuruskan oleh sebuah jawatankuasa yang akan ditubuhkan nanti.

''Dalam aspek ini, perkara utama yang diambil kira ialah tenaga pengajar. Sebab itulah ia perlu dibuat segera dari sekarang.

''Kita mahu mengisi keperluan sebanyak 13,000 guru bahasa Inggeris cemerlang yang akan ditempatkan di seluruh negara dan pastinya ia memerlukan masa untuk dilaksanakan," katanya.

Untuk itu, katanya, beberapa sumber tenaga pengajar dikenal pasti dan ia termasuk dari institut pendidikan guru, mahasiswa yang mengikuti pengajian bahasa Inggeris di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) serta guru yang telah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan baik.

''Kementerian juga akan mengambil 1,000 guru pakar dari luar negara yang akan membimbing guru tempatan memantapkan bahasa Inggeris, selain mereka juga turut mengajar bagi memastikan keberkesanan bahasa berkenaan.

''Semua ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat yang mana kawasan luar bandar akan menjadi keutamaan," ujar beliau.

Ditanya lokasi pusat kecemerlangan guru dalam pembelajaran kaedah pengajaran bahasa Inggeris itu, Muhyiddin menjelaskan, ia akan diadakan di institut pendidikan guru di bawah Kementerian Pelajaran.

''Dari segi kurikulum mengajar, kita akan lihat semula. Kita mahu mereka yang dipilih itu benar-benar layak dan terlatih. Bukan setakat boleh mengajar tetapi cemerlang," katanya.

Muhyiddin juga memberitahu, peningkatan infrastruktur di makmal bahasa akan dilihat semula termasuk menyediakan perisian terkini dan corak pengajaran yang berkesan, selain penggunaan gajet moden dan alat bantuan mengajar.

- UTUSAN

Selangor Juara Liga Super 2009


Selepas menunggu selama lima tahun, Selangor akhirnya berjaya merangkul kejuaraan bola sepak Liga Super, satu-satunya piala yang masih belum pernah diraih mereka sejak format liga ini diperkenalkan pada 2004.

Kejayaan itu disambut lebih awal walaupun mereka masih mempunyai baki satu perlawanan, Sabtu ini dengan mencatat kemenangan kali ke-19 apabila membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 6-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam.

KL PLUS pula menambah kecewa pesaing Selangor di tangga kedua, Perlis dengan menewaskan pasukan pelawat 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menerusi jaringan Irwan Fadzli Idrus dan Fadzli Saari.

Jaringan balas Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-76 tidak memadai untuk mengembalikan saki-baki perjuangan Singa Utara yang kini ketinggalan tujuh mata di tangga kedua sekali gus tidak mampu mengejar Gergasi Merah lagi.

Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, pemain telah memenuhi permintaan pihak pengurusan untuk merangkul dua kejuaraan musim ini iaitu menjulang Piala FA dan mahkota Liga Super.

"Saya rasa pihak pengurusan tentu berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain dengan beraksi konsisten sepanjang musim ini," katanya selepas membantu Selangor muncul juara Piala FA April lalu.

Dalam perlawanan semalam Selangor memperoleh gol pertama seawal minit ketiga melalui Rudie Ramli, sementara gol kedua disumbangkan Nasriq Baharom pada minit ke-29.

Wira perlawanan Pilihan Malaysia dengan Manchester United, Amri Yahyah menambah gol pada minit ke-46 sebelum Razman Roslan dan Amirulhadi Zainal masing-masing melebarkan kedudukan pada minit ke-54 dan 71.

PDRM yang kian parah dengan gol keenam Selangor melalui D. Surendran pada minit ke-75, sempat beroleh gol sagu hati menerusi Khairul Izuan Abdullah, enam minit sebelum tamat tetapi kehilangan pula Nazrul Effendy M. Nor kerana menerima kad merah (64).

Kelantan pula mensia-siakan peluang terbuka untuk terus merebut tempat ketiga Liga Super apabila dihampakan Kedah 1-0 di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu gara-gara jaringan Wan Zaim Wan Azizan pada minit ke-49.

Sang Kenari kian pasti menghuni tempat ketiga tetapi perlu berwaspada dengan Johor FC yang garang membelasah UPB-MyTeam 5-0 di Stadium Petaling Jaya sambil memintas Kelantan dan Terengganu yang tidak bermain semalam.

- UTUSAN

Juara Bintang Asli - Berjaya kerana dorongan ayah


Dalam dunia yang serba moden hari ini, kebanyakan remaja lebih dipengaruhi dan meminati muzik lagu-lagu popular yang dibawakan dari Barat.

Bagaimanapun, tidak semua remaja yang terdorong ke arah itu, sebaliknya ada juga yang sejak dari kecil lagi telah diasuh meminati lagu-lagu tradisional.

Juara Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2009 Kategori Lelaki, Zaharmirzuan Azlan misalnya, amat meminati lagu-lagu Melayu asli sejak dari kecil hasil dorongan bapanya, Azlan Goli.

"Sejak dari kecil saya lebih banyak terdedah dengan lagu-lagu Melayu asli. Apatah lagi, ayah saya juga merupakan penyanyi lagu-lagu Melayu asli.

"Sampai sekarang ayah saya masih menyanyi. Mungkin daripada situlah saya mula meminati lagu-lagu asli," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya pertandingan itu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Menurut remaja berusia 19 tahun ini, selain meminati lagu-lagu tradisional Melayu, beliau juga akan menggunakan kemenangannya itu bagi mengembangkan konsep lagu-lagu tersebut.

Malah, beliau turut menggunakan pertandingan itu bagi mempertingkatkan lagi mutu nyanyiannya selain menimba ilmu serta pengalaman menyanyikan lagu-lagu Melayu asli.

"Saya masuk pertandingan ini pun kerana mahu mencari lebih banyak pengalaman menyanyi. Ini merupakan kali pertama saya ke final pertandingan nyanyian.

"Saya bukan sahaja tidak menduga menjadi juara tetapi turut kagum dengan bakat para peserta yang lain. Ini kerana semua finalis adalah yang terbaik dalam pertandingan ini. Saya pula terbaik sedikit sahaja daripada mereka.

"Kalau boleh, pada masa depan saya mahu mengangkat martabat lagu-lagu tradisional Melayu ke tahap yang lebih tinggi lagi," ujarnya yang bekerja sebagai pembantu pejabat di Kuching, Sarawak.

Dengan kemenangan Zaharmirzuan itu, beliau merangkul hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, trofi dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Ketika ditanya tentang kelebihan yang ada pada dirinya sehingga menambat hati para juri profesional, beliau yang menyanyikan lagu Wak Daeng dan Gambus Ibu itu berkata, mungkin terdapat 'faktor x' pada dirinya.

"Saya rasa, saya ada faktor x pada diri saya. Mungkin gaya nyanyian saya yang high pitch merupakan faktor itu," katanya yang berasal dari Kampung Pinang Jawa, Kuching.

Pada pertandingan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu, panel juri diketuai oleh Datuk Johari Salleh bersama empat lagi juri iaitu Aspalela Abdullah, S. Atan, Andre Goh dan Nassier Wahab.

Naib johan Kategori Lelaki dimenangi oleh Muhammad Hilmi Idris, 21, dari Tanah Merah, Kelantan yang menyanyikan lagu Seri Medan dan Gambus Palembang dengan merangkul wang tunai RM8,000, trofi serta sijil penyertaan.

Tempat ketiga Kategori Lelaki diraih oleh Muhammad Hanizam Azman yang mendendangkan lagu Laila Majnun dan Pantun Dahulu membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, trofi dan sijil.

Sementara itu, juara Kategori Wanita pertandingan itu, Noor Azmira Mohd. Rahim, turut membuktikan bahawa usia muda tidak menghalangnya meminati lagu-lagu Melayu asli.

Pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berusia 20 tahun ini berkata, kerana minatnya itulah dia kini menyambung pengajian dalam jurusan muzik tradisional di akademi tersebut.

"Saya belajar jurusan vokal muzik tradisional di Fakulti Muzik, Aswara peringkat diploma. Saya akan menggunakan wang kemenangan saya ini untuk menyiapkan projek akhir pengajian saya itu. Kalau ada peluang saya mahu menyambung pengajian di peringkat ijazah di Aswara.

"Dengan cara ini, saya bukan sahaja dapat belajar teknik menyanyikan lagu-lagu tradisional tetapi juga mempraktikkan apa yang saya pelajari di Aswara," jelas anak ketujuh daripada sembilan beradik berasal dari Kuala Lumpur ini.

Dengan kemenangan itu, Noor Azmira yang menyanyikan lagu Seri Mahligai dan Air Mata Hati menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, trofi dan sijil.

Pemenang tempat kedua Kategori Wanita diungguli oleh Zarith Syuhada Mohd. Yasin yang mengalunkan lagu Hati Sedih dan Johor Sport Club dengan merangkul hadiah wang tunai RM8,000, trofi dan sijil.

Zarith Syuhada, 18 , dan berasal dari Taman Cheng Jaya, Melaka memperolehi kemenangan berganda apabila diumumkan memenangi kategori Persembahan Terbaik dan meraih hadiah wang tunai RM2,000.

Tempat ketiga Kategori Wanita pula disandang oleh Mardiana Alwi, 21, yang berasal dari Senai, Johor dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, trofi dan sijil.

Mardiana yang juga bekas graduan Aswara dalam jurusan teater membawakan lagu Tudung Saji dan Zapin Pusaka turut meminati lagu-lagu Melayu asli sejak kecil atas dorongan keluarganya.

"Saya mula menyanyikan lagu-lagu Melayu asli ketika berusia sembilan tahun. Sewaktu sekolah, saya pernah mewakili sekolah saya dalam pertandingan nyanyian lagu-lagu asli peringkat Negeri Johor.

"Sampai sekarang saya masih meminati lagu-lagu asli dan akan mengambil tanggungjawab ini bagi mempopularkannya di kalangan remaja. Saya dapati remaja hari ini kurang minat dengan lagu-lagu asli.

"Walau bagaimanapun, saya yakin lagu-lagu Melayu asli akan terus kekal. Contohnya, dalam majlis-majlis makan malam, lagu-lagu Melayu asli masih terus dimainkan untuk para tamu," katanya.

Beliau yang merupakan salah seorang pelakon teater Intan Yang Tercanai arahan A. Wahab Hamzah yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini berkata, dia akan terus menyanyikan lagu-lagu Melayu asli selain berlakon teater.

"Saya akan terus menyanyikan lagu-lagu tradisional walaupun saya merupakan pelajar bidang lakonan teater di Aswara. Ini kerana, bidang lakonan dan nyanyian bagaikan irama dan lagu dalam diri saya," ujarnya lagi.

Selain enam pemenang itu, enam lagi finalis Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2009 ialah Mohd. Imran Kamarudin, Muhd. Fadlullah Abd. Majid, Mohd. Idham Razli, Ermi Sanisha Suran, Hazlifha diahana Rosli dan Norashikin Che Hashim.

Mereka masing-masing menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000, trofi dan sijil. Turut serta pada majlis penyampaian hadiah itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf.

- UTUSAN

Sistem muamalat dan ekonomi Islam

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Islam adalah sebuah agama yang mementingkan keadilan, kebajikan dan tidak menindas umatnya. Jadi, sudah pasti segala sistemnya tidak akan menzalimi sesiapa sama ada dari sistem ekonomi, sosial, politik dan sebagainya.

Semuanya berlandaskan prinsip-prinsip syariah serta selaras dengan kehendak al-Quran dan sunnah.

Secara amnya, Islam mencakupi tiga skop muamalat manusia yang utama iaitu hubungan dengan Tuhannya, dengan dirinya sendiri dan dengan masyarakatnya. Ini sudah cukup menggambarkan bahawa Islam adalah lengkap dan sempurna.

Alangkah indahnya bagi mereka yang dapat menghayati dan mengamalkan Sistem Islam yang syumul (menyeluruh) sifatnya. Mana tidaknya, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya termaktub dalam ajaran Islam.

Di antara cabang dalam Islam itu ialah aspek muamalat. Secara umumnya, konsep muamalat ialah segala aktiviti dan hubungan di antara manusia dengan manusia.

Konsep muamalat ini amat luas skopnya, memadailah pada artikel ringkas ini mengkhususkan sistem ekonomi Islam sebagai satu skop yang dibincangkan.

Hakikatnya, Sistem Ekonomi Islam terasnya adalah akidah yang kuat kerana dengan akidah inilah, sistem ekonomi Islam dapat terlaksana dengan sempurna dan memaksimumkan manfaatnya.

Ini kerana pelaksana kepada sistem ekonomi Islam ini sewajarnya mengetahui segala tindakan yang dibuat mestilah selari dengan kehendak Allah, dan akhirnya akan mendapat keredaan daripada-Nya.

Secara umumnya, ekonomi Islam mementingkan perkara-perkara berikut:

1. Semua aktiviti yang dilaksanakan hendaklah bertepatan dengan syariat Allah kerana dengan berpandukan kepadanya kita akan memperolehi keuntungan duniawi dan ukhrawi.

Usaha ini memerlukan kepada pengetahuan dan pemahaman yang betul berkenaan soal halal dan haram sesuatu aktiviti. Justeru, segala urusan yang dilakukan wajiblah diniatkan semata-mata untuk mendapatkan keredaan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (al-An'am: 162)

2. Mementingkan konsep keadilan dan kepentingan sejagat. Perkara ini sangat penting kerana setiap manusia mempunyai hak-hak tertentu yang perlu dipenuhi dengan saksama.

Tidak kira kaya mahu pun miskin, setiap daripada manusia itu mempunyai haknya yang tersendiri. Jika yang kaya berjaya dalam perniagaannya, dia seharusnya menzakatkan hartanya atau menginfakkan pada orang-orang yang kurang berkemampuan.

Ia selaras dengan maksud firman Allah SWT: (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. (al-Hasy: 7)

3. Keikhlasan dalam memperjuangkan sistem ekonomi Islam. Nilai ini mesti bergerak seiring dengan semua aktiviti agar ia akan membuahkan hasil yang cukup cemerlang dan lumayan yang bersesuaian dengan pandangan syariah Islam. Firman-Nya lagi yang bermaksud: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar. (al-Bayyinah: 5)

Perkara-perkara inilah yang menjadi asas kepada terbinanya Industri Perbankan Islam dan Takaful di Malaysia. Ia merupakan alternatif kepada sistem konvensional yang ada pada hari ini.

Kesannya, masyarakat mula sedar dan tertarik dengan sistem muamalah yang berasaskan Islam. Satu ketika dahulu, apabila disebut Bank Islam atau Bank Muamalat, ia adalah sesuatu yang asing.

Namun, hari ini kita melihat semakin banyak syarikat-syarikat takaful dan bank-bank Islam yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Ia membuktikan bahawa segala usaha yang dimulakan oleh para ulama melalui pembacaan dan penelitian ilmu mereka, diguna dan diaplikasikan pada masa kini.

Ia sekali gus menjadikan sistem ekonomi atau muamalat Islam bukan suatu perkara yang retorik untuk dipraktikkan malah menjadi ikutan dan pilihan masyarakat pada hari ini.

Kita dapat lihat kesedaran di kalangan masyarakat Islam semakin meningkat malah orang bukan Islam juga semakin ramai memilih perkhidmatan perbankan dan perlindungan berasaskan Islam tanpa rasa ragu-ragu.

Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memperjuangkan sistem ekonomi Islam ini sebagai salah satu cabang dalam Muamalat Islam. Ia bukan sekadar membantu golongan yang memerlukan atau meningkatkan taraf hidup umat Islam, malah yang lebih penting, ia adalah sebagai memenuhi tuntutan akidah Islam itu sendiri.

Jika tidak sebagai penggerak pun, memadailah sebagai penyokong dan pengguna. Namun begitu, adakah kita sanggup melihat sebelah pihak sahaja yang bersungguh-sungguh untuk menggerak dan memartabatkan sistem muamalah dan ekonomi Islam? Sudah pasti tidak.

Justeru, jadikan diri kita sebagai salah seorang daripada ribuan mahu pun jutaan umat Islam yang memperjuangkan sistem muamalah dan ekonomi yang berasaskan Islam ini.

Pelatih Institut Perguruan Raja Melewar tiada katil, almari

Anak saya adalah antara 180 orang guru pelatih tahun pertama (Ambilan KPLSPM Julai 2009) yang telah melaporkan diri ke Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan.

Pada 13 Julai 2009, selepas mendaftarkan diri, alangkah sedih dan hampa anak saya apabila ditempatkan ke dalam bilik asrama Blok D yang dihuni oleh dua guru pelatih senior.

Guru-guru pelatih lain yang baru mendaftar juga menghadapi nasib yang sama.

Di bilik tersebut hanya terdapat dua buah katil milik pelatih senior dan pelatih baru terpaksa tidur di atas lantai.

Para pelatih baru juga tiada almari untuk meletak dan menyimpan barangan yang dibawa dari kampung kerana dua buah almari yang sedia adalah milik dua orang senior.

Beg-beg berisi pakaian, barangan keperluan harian dan sebagainya terpaksa diletakkan di ruangan antara dua buah katil yang merupakan ruang kosong tunggal bilik tersebut.

Bilik tersebut hanya ada dua buah meja tulis dan dua kerusi untuk guru pelatih membuat assignment atau tugasan dan sebagainya dan kesemua itu telah dimiliki pelatih senior.

Di manakah para pelatih baru dapat membuat tugasan dan menelaah pelajaran?

Pihak Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) perlu prihatin terhadap kebajikan asas seorang guru pelatih baru.

Adalah menjadi tanggungjawab IPRM untuk menyedia dan membekalkan kemudahan asas seperti sebuah katil, almari dan meja tulis untuk setiap guru pelatih. Itu adalah hak setiap guru pelatih.

Yang paling menyedih dan menghampakan ialah pihak IPRM telah menyatakan bahawa guru-guru pelatih yang baru mendaftar terpaksa akur dengan keadaan sedemikian sehingga bulan November kerana kekurangan bilik.

Pihak IPRM telah memberi alasan yang tidak profesional dan berasas kerana pihak IPRM sudah sedia maklum dengan bilangan pelatih baru sebelum tarikh pendaftaran tetapi tidak membuat persediaan yang sepatutnya.

Keadaan serba kekurangan dan tidak terurus ini telah dan sedang memberi tamparan besar terhadap semangat guru pelatih baru yang datang dari jauh.

HAMBA ALLAH
Negeri Sembilan

- FORUM UTUSAN

Gerhana matahari - 22 Julai 2009

Oleh RAMLI ABDUL SAMAD

Peminat astronomi pastinya gembira menyaksikan fenomena luar biasa gerhana mata hari yang berlaku hari ini, 22 Julai 2009.

Fenomena sekali dalam tempoh beratus-ratus tahun ini bagaimanapun hanya dinikmati oleh sebahagian penduduk dunia sahaja. Gerhana berkenaan hanya melintasi rantau India dan China sahaja.

Ia berbeza dengan gerhana matahari biasa seperti yang berlaku pada 26 Januari lalu. Ketika itu ia dapat dilihat oleh rakyat negara ini walaupun ia lebih jelas di selatan Sarawak yang terasa jalur gerhana tersebut.

Bagaimanapun sebahagian besar kawasan negara ini berada dalam keadaan gelap pada sebelah petang. Lebih 80 peratus permukaan matahari tidak dapat dilihat di Semenanjung sementara di Sabah dan Sarawak, kegelapan adalah 95 peratus.

Gerhana jenis ini digelar gerhana tahunan. Ia berlaku dalam jarak waktu yang pendek, seperti selang satu atau dua tahun, akan muncul gerhana jenis ini.

Apa yang akan berlaku pada pertengahan pagi ini ialah terjadinya gerhana yang agak lama berbanding dengan yang berlaku pada setiap tahun. Gerhana matahari bermakna situasi bulan berada di antara bumi dan matahari. Ketika itu bumi tidak dapat menerima sinarannya kerana saat itu bulan menghalang sinaran matahari sampai ke bumi. Gerhana akan berlaku apabila bayang matahari kelihatan selama 6 minit 39 saat mengikut kiraan ahli astronomi.

Gerhana matahari akan kelihatan saat fajar menyingsing di Teluk Khambhat, utara Mumbai, India. Kemudian bayangan gerhana akan bergerak ke arah timur menyeberangi kawasan India, Nepal, Myanmar, Bangladesh, Bhutan, dan China sebelum berakhir di Samudra Pasifik.

Gerhana ini juga akan melintasi beberapa pulau di wilayah selatan Jepun dan terlihat terakhir kali dari Pulau Nikumaroro yang terletak di Pasifik Selatan. Salah satu daerah yang paling baik untuk menyaksikan peristiwa ini adalah seluruh kota Shanghai dan pulau-pulau di bahagian selatan Jepun yang akan tertutup oleh kegelapan pada siang hari.

Sebelum ini gerhana total matahari pernah terjadi pada bulan Ogos 2008 tetapi tempohnya adalah selama 2 minit dan 27 saat.

Satu lagi peristiwa gerhana penuh di Malaysia akan berlaku pada 20 April 2042 dan hanya Sarawak dan tidak Malaysia Barat akan dapat melihatnya. Kemudian kita kena tunggu 40 tahun lagi selepas tahun 2042 untuk melihat gerhana penuh persisnya pada 24 Ogos 2082.

Itu sebabnya orang mengatakan hanya sekali dalam hayat hidup seseorang itu boleh melihat fenomema gerhana matahari total. Tetapi bagi gerhana total yang begitu lama seperti yang terjadi hari ini, akan berulang semula dalam tempoh beratus tahun lagi sebelum terjadi lintasan bulan antara bumi dan matahari.

Ramai peminat mencari tempat khas bagi menyaksikan fenomena alam semesta unik ini. Bagi para ilmuwan pula mereka akan mengesan data daripada gerhana matahari ini sebagai acuan untuk membantu menjelaskan apa-apa saja struktur dari matahari dan mengapa timbul ledakan di permukaannya. Para ahli astronomi berharap gerhana dapat menyingkap sejumlah petunjuk tentang matahari.

Sayang, kali ini gerhana matahari penuh dan lama ini tidak dapat dilihat sepenuhnya di Malaysia kerana sebahagian saja piringan matahari yang tertutup dek bayangan bulan.

Cuma 45 peratus akan diliputi pada pertengahan pagi. Jutaan rakyat India, China dan Hawaii akan bernasib baik menikmati jalur gerhana sepenuhnya yang berlaku pada abad ke-21 ini.

Ucapan oleh Menteri Pelajaran - Lonjakan berganda mutu pendidikan

Pertama sekali saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya saya dapat bersama warga pendidik dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan pada pagi ini.

Terima kasih kepada tuan-tuan yang sudi meluangkan masa hadir pada majlis ini dan memberi peluang kepada saya untuk membuat penjelasan mengenai beberapa pengumuman yang saya buat baru-baru ini berkaitan dengan dasar pendidikan di negara.

Sejak memegang tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri lebih 100 hari lalu, saya sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul sememangnya amat mencabar. Apatah lagi apabila Kementerian Pelajaran juga merupakan teras utama tugas saya.

Namun, saya juga sedar bahawa tugas paling mencabar yang telah diamanahkan oleh Perdana Menteri ini merupakan satu penghormatan amat tinggi kepada saya. Menerajui sebuah kementerian yang bertanggungjawab dalam menjana modal insan negara sesungguhnya menuntut pewujudan sinergi mantap semua pihak, khasnya di kalangan warga pendidik, untuk bersama-sama meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.

Dalam memastikan sistem pendidikan sesebuah negara sentiasa relevan, kerajaan perlu terus mengkaji dan menilai dasar pendidikan sedia ada. Justeru penggubalan dan pengumuman dasar-dasar dan strategi baru ke arah penambahbaikan sistem pendidikan yang berterusan bagi kepentingan negara dan rakyat perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

Oleh demikian, selaras dengan gagasan yang diketengahkan oleh Perdana Menteri iaitu "Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan", maka beberapa dasar baru diperkenalkan. Antaranya adalah penetapan had 10 mata pelajaran untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pemerkasaan sukan sekolah, cadangan bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus untuk SPM dan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.

Sehubungan itu, adalah amat penting bagi kita khasnya warga pendidik untuk memahami dan menghayati dasar-dasar baru ini. Hanya dengan pemahaman mendalam, barulah kita warga pendidik dapat sebulat suara memberi penjelasan kepada masyarakat agar ia tidak disalah tafsir dan dijadikan isu politik dangkal yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat kepada sistem pendidikan negara.

Adalah lumrah bagi sesetengah ahli masyarakat sukar menerima sesuatu perubahan yang dicadangkan. Malah, sebarang pembaharuan yang diperkenalkan di mana-mana tahap sekalipun akan sentiasa dipertikaikan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan berkenaan beberapa pengumuman saya mengenai dasar dan strategi pendidikan di negara kita baru-baru ini.

n Pertama, penetapan had 10 mata pelajaran bagi peperiksaan SPM bermula pada 2010. Keputusan ini diambil setelah kerajaan mempertimbangkan implikasi trend di kalangan pelajar masa kini untuk mengambil jumlah mata pelajaran yang terlalu banyak dalam SPM. Sebagai contoh, bagi SPM tahun ini, seramai 48,784 atau 11.68 peratus calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran mendaftar lebih daripada 10 mata pelajaran.

Trend ini tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk melakukan anjakan dalam sistem pendidikan kita, iaitu daripada sistem yang berorientasikan peperiksaan kepada sistem yang berorientasikan pentaksiran yang lebih menyeluruh, sejajar dengan amalan di negaranegara maju. Sistem pendidikan di negara kita tidak wajar dijadikan tempat perlumbaan untuk menguji keupayaan pelajar mengutip sebanyak mungkin pangkat A dalam sesuatu peperiksaan sehingga mengabaikan perkembangan potensi mereka secara holistik.

Keputusan mengehadkan 10 mata pelajaran ini adalah selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sementara pencapaian dalam peperiksaan boleh mengukur keupayaan kognitif pelajar, aspek soft-skills yang penting untuk meningkatkan daya kebolehkerjaan (employability) dan kebolehpasaran (marketability) pelajar kita dalam era globalisasi yang lebih kompleks dan kompetitif pada hari ini, hanya boleh dinilai melalui satu sistem pentaksiran yang lebih menyeluruh.

Oleh itu, Kementerian Pelajaran sedang dalam proses memperkenalkan satu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan yang bukan sahaja mengukur aspek keupayaan kognitif pelajar, tetapi juga aspek soft-skills yang bertujuan meningkatkan kualiti bina upaya insan (human capacity building) selaras dengan amalan di negara-negara maju.

Di samping itu, pihak kementerian juga telah membuat penelitian secara terperinci dan mendapati bahawa jumlah 10 mata pelajaran adalah lebih daripada mencukupi untuk menilai potensi dan kemampuan sebenar pelajar untuk menguasai ilmu-ilmu teras yang penting dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Sesungguhnya, keputusan mengehadkan 10 mata pelajaran ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha kita untuk membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020.

Dengan mengehadkan 10 mata pelajaran bagi peperiksaan SPM, kerajaan berharap tekanan peperiksaan yang berlebihan ke atas pelajar akan dapat dikurangkan, di samping memberi ruang kepada pihak sekolah untuk mempergiatkan aktiviti ko-kurikulum dan sukan di luar waktu belajar.

Aktiviti-aktiviti ini adalah penting untuk menggarap soft-skills para pelajar sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan potensi pelajar secara holistik. Sehubungan ini juga, saya telah membuat pengumuman mengenai pemerkasaan semula sukan sekolah dengan mempergiatkan acara sukan peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Jurulatih sukan akan ditempatkan di sekolah-sekolah untuk mengurus acara sukan dan mencungkil bakat-bakat baru yang boleh dilatih untuk menyertai sukan prestasi tinggi. Untuk tujuan ini, satu Institut Pendidikan Guru khusus untuk melatih jurulatih-jurulatih sukan sekolah akan ditubuhkan.

n Kedua, ialah cadangan menetapkan syarat wajib lulus bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM. Saya menerima pelbagai maklum balas sejak melontarkan cadangan ini pada Jun lalu. Pada dasarnya ramai yang bersetuju dengan cadangan ini. Mereka berpandangan bahawa hanya dengan cara ini sahaja kita dapat memastikan pelajar-pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Sekali gus meningkatkan keupayaan untuk bersaing di alam pekerjaan yang mementingkan penguasaan lebih satu bahasa, iaitu bahasa Inggeris selain daripada bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda lain.

Penguasaan bahasa Inggeris yang baik sudah tentu akan memberikan nilai tambah kepada pelajar kita untuk menceburkan diri dalam sektor ekonomi berpendapatan tinggi. Kerajaan juga sedar bahawa mempunyai sumber manusia yang mampu menguasai bahasa Inggeris juga merupakan satu nilai tambah kepada negara dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang lebih kompetitif.

Oleh itu, saya percaya bahawa sudah sampai masanya semua pelajar kita dipastikan dapat menguasai asas-asas bahasa Inggeris yang merupakan bahasa ilmu, bahasa maklumat, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Jika mereka dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, sudah tentulah mereka akan mendapat banyak kelebihan untuk bersaing dalam era globalisasi yang lebih kompetitif pada hari ini.

Dengan meletakkan syarat wajib lulus bahasa Inggeris, kerajaan berharap agar para pelajar akan melonjakkan usaha untuk lebih tekun mempelajari bahasa Inggeris dan berusaha dengan lebih gigih dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Pada masa yang sama, ada juga pihak yang melahirkan kebimbangan jika cadangan ini dilaksanakan sekarang, ramai pelajar terutamanya di luar bandar akan terkandas .

Dalam peperiksaan SPM tahun lalu misalnya, hanya 26.9 peratus calon di luar bandar lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ini bermakna 73.1 peratus pelajar luar bandar akan gagal memperolehi sijil sekiranya syarat wajib lulus bahasa Inggeris dilaksanakan.

Kerajaan sedar bahawa ini adalah satu jumlah yang besar. Dan ia juga menunjukkan bahawa pencapaian bahasa Inggeris pelajar-pelajar di luar bandar adalah amat rendah.

Dalam menghadapi cabaran era globalisasi yang semakin kompetitif pada hari ini, kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang, melayani pandangan kedua dan berhenti daripada melakukan perubahan dan pembaikan. Kita tidak boleh mengambil pendekatan levelling down dalam usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Sebaliknya, kita perlu berani mengambil pendekatan levelling up, iaitu berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan keupayaan pelajar-pelajar yang lemah dalam menguasai sesuatu ilmu, sehingga mereka boleh menguasai ilmu itu dengan baik.

Jika kita yakin bahawa perubahan dan pembaikan adalah penting untuk meningkatkan mutu pendidikan negara, dan sekali gus melonjakkan kemajuan negara pada masa depan, kita perlu berani melakukannya sekarang.

Dalam konteks penguasaan bahasa Inggeris, syarat wajib lulus adalah usaha levelling up yang akan mengangkat upaya pelajar-pelajar kita, terutamanya di luar bandar, untuk menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik. Sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang semakin kompetitif. Walaupun kerajaan masih belum membuat keputusan akhir mengenai perkara ini, usahausaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, terutamanya di luar bandar mesti bermula dari sekarang.

n Perkara ketiga yang ingin saya sentuh pada hari ini ialah keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI pada 2012.

Namun pada masa yang sama, kita turut mengambil langkah-langkah drastik untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Pemansuhan PPSMI ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.

Keputusan ini adalah lambang iltizam dan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan mengambil langkah-langkah yang wajar untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Pada masa yang sama berusaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris.

Dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, kerajaan berhasrat untuk terus meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran ini.

Strategi ini mengambil kira fakta yang disokong oleh kajian-kajian saintifik bahawa peningkatan kefahaman pelajar mengenai konsep-konsep sains dan matematik adalah berkait rapat dengan penggunaan bahasa pengantar yang mudah difahami oleh mereka. Pada masa sama, kita percaya bahawa peningkatan penguasaan bahasa Inggeris boleh dicapai melalui penambahbaikan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Pada kesempatan ini saya ingin mengemukakan data-data emprikal yang menjadi asas kepada keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI.

Pertama, data-data rasmi menunjukkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik merosot semasa pelaksanaan PPSMI. Dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2008, hanya 79.7 peratus pelajar luar bandar lulus mata pelajaran Sains berbanding 83.2 peratus pada 2007. Bagi pelajar bandar pula, peratusan lulus merosot daripada 85.1 peratus pada 2007 kepada 82.5 peratus pada 2008.

Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian lulus murid di bandar merosot daripada 84.8 peratus pada 2007 kepada 80.9 peratus pada 2008. Pencapaian murid di luar bandar juga merosot daripada 80.9 peratus pada 2007 kepada 77 peratus pada tahun 2008.

Ini bermakna hampir 170,000 pelajar gagal bagi kedua-dua mata pelajaran itu di peringkat UPSR semasa PPSMI dilaksanakan.

Kegagalan menguasai Matematik dan Sains di peringkat rendah sudah tentu akan menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar ini dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut di peringkat menengah. Ia sekali gus menjejaskan hasrat kita untuk menjana modal insan yang memiliki ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi, sebagai wahana penting untuk melonjakkan kemajuan negara ke tahap lebih tinggi.

Kedua, kajian dan pemantauan oleh Kementerian Pelajaran dan juga para penyelidik bebas mendapati, pelajar yang memiliki tahap penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana dan lemah menghadapi kesukaran untuk memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Dalam peperiksaan UPSR 2008, 30.6 peratus pelajar luar bandar gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka masih berada di tahap yang lemah. Ini menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Hasil pemantauan Kementerian Pelajaran juga menunjukkan, guru-guru menghadapi masalah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Hanya 8.6 peratus guru menggunakan lebih 90 peratus masa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris adalah jauh lebih rendah bagi sekolah-sekolah di luar bandar dan pedalaman. Ini disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Inggeris yang amat rendah di kalangan pelajar di kedua-dua kawasan itu. Keadaan itu memaksa guru menggunakan dwi-bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Soalan peperiksaan juga terpaksa dibuat dalam dwi-bahasa kerana masalah penguasaan bahasa Inggeris yang rendah di kalangan pelajar. Justeru, apa yang dilaksanakan sejak enam tahun lalu bukanlah PPSMI, tetapi PPSMI/BM. Guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Hanya segelintir pelajar yang dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dengan baik. Mereka ini ialah pelajar-pelajar yang turut menguasai bahasa Inggeris dengan cemerlang.

Berdasarkan pemantauan, kelompok pelajar seperti ini tidak lebih lapan peratus daripada keseluruhan pelajar di negara ini.

Berdasarkan realiti ini, kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami double jeopardy. Kajian saintifik menunjukkan, penguasaan bahasa Inggeris mereka tidak meningkat. Pada masa yang sama mereka juga gagal menguasai konsep-konsep asas Sains dan Matematik.

Sekiranya keadaan ini berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi knowledge deficit di kalangan pelajar. Pelajar-pelajar yang gagal menguasai konsep asas sains dan matematik oleh kerana halangan bahasa, akan menghadapi masalah untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik di peringkat yang lebih tinggi. Keadaan ini tentunya akan mendatangkan kesan negatif kepada pembangunan modal insan di negara kita dalam jangka panjang.

Ketiga, kajian di peringkat antarabangsa, termasuk oleh UNESCO, yang memperakukan bahawa bahasa yang mudah difahami oleh pelajar, seperti bahasa ibunda, adalah bahasa terbaik untuk dijadikan bahasa pengantar, terutamanya di peringkat rendah. Laporan Education for All Global Monitoring Report 2009 yang dikelolakan oleh UNESCO memperakukan kepentingan menyediakan pendidikan dalam bahasa ibunda sebagai kunci kepada kejayaan pendidikan.

Laporan ini memetik satu kajian yang melibatkan 22 negara dan 160 kumpulan linguistik yang mendapati bahawa kehadiran murid ke sekolah meningkat sebanyak 10 peratus bagi sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, khususnya di peringkat pendidikan rendah.

Dapatan ini adalah selari dengan dapatan yang diperolehi oleh kumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendapati bahawa kebanyakan pelajar yang lemah dan sederhana dalam menguasai bahasa Inggeris, terutamanya di kawasan luar bandar, tidak menunjukkan minat untuk mempelajari Matematik dan Sains ketika dasar PPSMI dilaksanakan.

Selain itu, laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 (TIMMS) juga mendapati, negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bagi pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding negara yang tidak menggunakan bahasa ibunda. UNESCO juga memperakukan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda adalah faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian matlamat Education for All, iaitu matlamat untuk menyediakan akses, ekuiti dan kualiti dalam pendidikan kepada semua tanpa mengira bahasa, lokaliti, taraf sosioekonomi dan gender.

Berdasarkan dapatan-dapatan ini, kerajaan yakin, keputusan memansuhkan PPSMI adalah satu keputusan yang tepat dan merupakan langkah ke hadapan dalam menambah baik kualiti pendidikan negara. Keputusan ini sesungguhnya mengambil kira kepentingan pelajar serta matlamat membangunkan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi demi kepentingan negara pada masa depan. Keputusan ini juga selaras dengan amalan pendidikan terbaik di peringkat antarabangsa.

Justeru, ingin saya tegaskan di sini bahawa keputusan memansuhkan PPSMI bukanlah satu keputusan politik, malah ia memerlukan iltizam politik (political will) yang tinggi untuk dilaksanakan.

Pendidikan anak-anak adalah sesuatu yang cukup besar dan bermakna bagi sesebuah negara untuk dipolitikkan. Kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan sekali-kali memperjudikan nasib anak bangsa dan masa depan negara semata-mata untuk meraih keuntungan politik sempit.

Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris. Sebaliknya, penguasaan bahasa Inggeris pelajar akan dipertingkatkan dengan beberapa langkah menambah baik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Saya telah menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar ketika membuat pengumuman mengenai strategi "Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris" (MBMMBI) baru-baru ini.

Ini termasuklah menambah bilangan guru dan waktu belajar bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan, memperkenalkan program sastera kontemporari kanak-kanak untuk mengukuhkan asas penguasaan bahasa Inggeris di peringkat umur yang awal, memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, menekankan komponen tatabahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dan mendedahkan pelajar dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

Pihak Kementerian juga bersetuju untuk mewujudkan lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Inggeris khusus untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris.. Kementerian juga secara dasarnya bersetuju untuk menempatkan guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru yang akan diambil dari luar negara di kawasan luar bandar bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar luar bandar.

Insentif khusus akan diberikan kepada guru bahasa Inggeris yang bersedia untuk berkhidmat di luar bandar. Jawatan pembantu guru bahasa Inggeris juga akan diwujudkan bagi kelas besar, seperti kelas yang melebihi 35 murid, untuk meningkatkan contact-time antara guru dan murid. Dengan mewujudkan jawatan guru pembantu bahasa Inggeris ini, tumpuan yang lebih boleh diberikan kepada pelajar yang lemah penguasaan bahasa Inggeris. Mereka ini boleh dibimbing secara lebih dekat untuk membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.

Dengan melakukan penambahbaikan secara menyeluruh dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, disertai dengan komitmen para guru untuk menggunakan kaedah terbaik dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar, kerajaan menaruh keyakinan bahawa penguasaan para pelajar kita akan meningkat.

Untuk mencapai matlamat ini, warga pendidik perlu melakukan lonjakan berganda untuk menterjemahkan dasar dan strategi pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan. Kita sesungguhnya tidak mempunyai banyak masa untuk mencapai matlamat penting ini. Keupayaan negara untuk melahirkan modal insan yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan kompeten terletak di bahu warga pendidik.

Pemantapan penguasaan bahasa Inggeris perlu bergerak seiring dengan pengukuhan penguasaan bahasa Malaysia. Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas Bahasa Malaysia di kalangan pelajar melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Penekanan juga akan diberikan kepada penghayatan dan apresiasi kesusasteraan Melayu bagi pelajar di peringkat sekolah menengah. Keputusan mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memperkukuh dan memartabatkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara.

Dengan pelaksanaan keputusan ini, komponen Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di Tahap 1 sekolah kebangsaan meningkat daripada 60 peratus kepada 75.6 peratus sementara di Tahap 2, meningkat daripada 60 peratus kepada 80 peratus. Peningkatan yang sama juga berlaku di peringkat sekolah menengah.

Melihat ke hadapan, dasar "Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris" yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bermula pada 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita.

Kementerian Pelajaran pada ketika ini sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada 2012 nanti.

Satu pendekatan soft-landing akan diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar PPSMI tidak akan terjejas.

Pihak Kementerian juga telah membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel dan penerangan.

Insya-Allah, berkat kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat mencapai matlamat menambah baik kualiti pendidikan di negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan negara.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada warga pendidik yang telah menyatakan sokongan padu kepada dasar-dasar dan strategi baru yang telah saya umumkan.

Sesungguhnya, sebagai Menteri Pelajaran, saya amat mengharap dan menghargai sokongan dan dokongan padu warga pendidik untuk merealisasikan wawasan dan gagasan kerajaan dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.

Akhirnya, saya ingin mengajak seluruh warga pendidik untuk bersama-sama mara ke hadapan, memperkukuhkan iltizam dan melakukan lonjakan berganda untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di negara kita.

- UTUSAN

Elaun baru guru Kafa diteliti

Permohonan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menaikkan elaun kira-kira 34,000 guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di seluruh negara sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kenaikan elaun itu harus diteliti terlebih dahulu kerana membabitkan perkara teknikal yang perlu diselaras seperti syarat kemasukan.

Menurutnya, guru-guru Kafa di negara ini masih berada dalam kelompok kemiskinan dengan pembayaran elaun hanya RM500 sebulan meskipun ada daripadanya menjadi guru Kafa secara sambilan.

''Saya melihat perlu ada pendekatan secara serius dan kita mengharapkan pertimbangan sewajarnya diberi untuk memperkasakan institusi Kafa di seluruh negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Multaqa Penyelia dan Guru-Guru Kafa Negeri Sarawak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jamil Khir memberitahu, permohonan menaik taraf status penyelia Kafa kepada Gred S17 telah diluluskan kerajaan dan menunggu proses pelantikan sahaja.

Dengan kelulusan itu, jelasnya, seramai 383 Penyelia Kafa di seluruh negara akan menikmati kenaikan elaun daripada RM750 kepada RM1,400 sebulan.

Tambahnya, Jakim juga akan mengkaji kemungkinan untuk menambah jumlah guru Kafa berikutan pertambahan jumlah penduduk khasnya di kawasan bandar-bandar baru dan kawasan perumahan.

Sementara itu, Jamil Khir semasa ucapannya berkata, sejumlah RM221.6 juta peruntukan tahunan diberikan kepada Jakim dengan 40 peratus darinya untuk pembangunan Kafa.

Beliau menambah, keputusan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun lalu membuktikan pelaksanaan program Kafa menunjukkan kesan baik kepada kanak-kanak setelah 165,407 daripada 165,665 calon lulus ujian itu.

- UTUSAN

Berkahwin selepas jumpa surat cinta


Kalau sudah jodoh tak ke mana. Begitulah yang berlaku pada sepasang kekasih di London, England, yang terpisah lama akhirnya berkahwin gara-gara surat cinta yang dihantar 10 tahun lalu ditemui semula.

Steve Smith dan Carmen Ruiz-Perez, masing-masing berusia 42 tahun, berkahwin selepas 16 tahun berpisah.

Pasangan itu jatuh cinta dan bertunang ketika usia mereka 20-an apabila Carmen berhijrah ke England untuk berlajar.

Bagaimanapun, selepas setahun pasangan itu terpaksa berpisah disebabkan Carmen berpindah balik ke Perancis.

Beberapa tahun kemudian Steve menulis surat kepadanya dalam usaha untuk menyambung percintaan yang terkandas.

Malangnya surat tersebut tidak sampai ke tangan Carmen apabila ia terjatuh dan terselit di tepi tempat pendiangan di rumah Carmen.

Carmen hanya dapat membuka surat cinta itu 10 tahun kemudian selepas ia ditemui apabila tempat pendiangan tersebut, baru-baru ini dirobohkan untuk pengubahsuaian.

Carmen yang masih bujang dan tidak pernah melupakan percintaan pertamanya itu - menerima surat Steve yang antara hanya menyebut: "Saya harap anda sihat. Saya menulis untuk bertanya sama ada anda telah berkahwin atau masih mengingati saya."

Menurut Steve, dia tidak menulis panjang kerana mengagak Carmen sudah berkahwin.

"Tidak pernah terfikir selepas 10 tahun kami dapat bertemu semula," katanya.

Pasangan itu kemudian bertemu di Paris beberapa hari kemudian dan mengambil keputusan berkahwin - 17 tahun selepas jatuh cinta kali pertama.

- AP

Selasa, Julai 21, 2009

Sedia hadapi saman RM105j - Ibu Manohara


“Kami sekeluarga tidak takut disaman berapa banyak pun. Tuhan memihak pada yang benar dan harap berbalik rezeki (menang dalam saman itu) kepada kami,” kata Daisy Fajarina, 44, ibu mentua Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra.

Daisy dihubungi di Indonesia bagi mengulas tindakan saman fitnah berjumlah RM105 juta dikemukakan Tengku Muhammad Fakhry terhadapnya semalam dan anak kedua Daisy, Manohara Odelia Pinot, 17, yang juga isteri Tengku Temenggong Kelantan.

Saman berkenaan difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam melalui peguam, Mohd Haaziq Pillay.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, sebagai plaintif, menamakan ibu mentuanya, Daisy Fajarina sebagai defendan pertama dan isterinya, Manohara Odelia Pinot defendan kedua.

Sebelum ini, pada 5 Julai lalu, putera ketiga Sultan Kelantan itu memfailkan dua saman di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan, bagi menuntut Manohara kembali taat kepadanya dan mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM972,750.

Mengenai kemelut kekeluargaan yang terjadi itu, Daisy berkata, naluri ibu dimilikinya tidak berapa tepat apabila menganggap Tengku Muhammad Fakhry boleh menjaga Manohara dengan baik.

“Saya amat percaya kepadanya (Tengku Muhammad Fakhry) ketika kali pertama bertemu dalam satu majlis makan malam pada 2006 yang turut dihadiri Manohara.

“Beliau datang kepada saya dan dengan sopan meminta kebenaran: ‘Boleh tidak saya berkenalan dengan puteri ibu (Manohara)’. Saya membenarkan kerana I really trust him so much (saya sangat percayakannya)...,” katanya.

Selain Manohara, dia memiliki seorang lagi cahaya mata perempuan iaitu Dewi, 20.

Wartawan cuba mendapatkan ulasan Manohara, tetapi Daisy memberitahu anaknya tiada di rumah kerana berada di lokasi penggambaran filem bertajuk ‘Manohara’.

Menurutnya, Manohara juga sibuk menyiapkan biografi mengenai kisah kehidupan dirinya dan dalam proses mencari penerbit. Manohara bercadang melancarkan buku berkenaan di Amerika Syarikat.

Ditanya persediaannya untuk menghadapi tuntutan saman itu, Daisy memberitahu dia dan anaknya mempunyai peguam bagi menangkis dakwaan Tengku Muhammad Fakhry bahawa dia melakukan fitnah.

“Saya dan anak sudah bersedia ke sana (Malaysia) pada bila-bila masa diperlukan. Dia (Tengku Muhammad Fakhry) harus menanggung segala perbuatan terhadap Manohara.

“Manohara juga sedang dalam perancangan untuk bercerai. Dia tidak akan kembali kepada Tengku Muhammad Fakhry,” katanya.

Tengku Muhammad Fakhry dan Manohara yang memegang gelaran Cik Puan Temenggong Kelantan berkahwin pada 26 Ogos tahun lalu dan menetap di Istana Mahkota, Kubang Kerian.

Selepas sembilan bulan berkahwin, Manohara pulang ke Indonesia dan enggan kembali.

Kisah bekas model itu mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik Indonesia sehingga mengundang pelbagai persepsi negatif.

Berita mengenai Manohara yang melarikan diri daripada suaminya ketika di Singapura, baru-baru ini, mendapat liputan meluas akhbar di Indonesia.

Manohara yang mendakwa didera secara fizikal dan seksual oleh suaminya turut menjadi bahan berita utama 10 stesen televisyen swasta Indonesia yang menyiarkan sidang media dan wawancara dengannya sekembali ke Jakarta.

- HARIAN METRO

JAWATAN KOSONG DI UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1.Pegawai Teknologi Maklumat F41
2.Pegawai Latihan Vokasional J41
3.Penolong Pegawai Latihan Vokasional J29
4.Pembantu Perubatan U29
5.Pembantu Penolong Pegawai Latihan Vokasional J21
6.Pembantu Makmal C17
7.Juruteknik Komputer FT17
8.Pembantu Penolong Pegawai Latihan Vokasional J17

IKLAN JAWATAN KOSONG:
http://onlineapps.ump.edu.my/umpapps/cms/eRecruitment/jawatannonakademik.jsp

CARA MEMOHON
Permohonan hendaklah dibuat secara ON LINE dengan mengisi maklumat pemohon di laman web rasmi UMP iaitu http://www.ump.edu.my. Calon diwajibkan untuk mencetak Surat Pengesahan Permohonan ON LINE (selepas tamat mengisi butiran permohonan melalui web rasmi UMP) dan hantar permohonan beserta dengan salinan sijil akademik dan lain-lain dokumen yang telah disahkan ke alamat yang tertera di bawah. Permohonan yang tidak dibuat secara ON LINE melalui laman web rasmi UMP tidak akan dilayan.

JABATAN PENDAFTAR
UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG,
LEBUHRAYA TUN RAZAK,
26300 GAMBANG, KUANTAN,
PAHANG DARUL MAKMUR.
(U/P : UNIT PERJAWATAN)

BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://onlineapps.ump.edu.my/umpapps/eRecruitment.jsp

MAKLUMAT LANJUT:
http://www.ump.edu.my

Tarikh Tutup : 10 Ogos 2009


JAWATAN KOSONG DI UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
-Penolong Akauntan W27
-Juruteknik J17
-Penolong Pegawai Sains C27
-Pereka B17
-Artis Budaya B17
-Artis Budaya B27
-Penerbit Rancangan B17
-Ahli Fotografi B17
-Ahli Fotografi B21
-Serang A17
-Pegawai Tadbir N41
-Pegawai Perubatan U43
-Pegawai Kewangan W41
-Pegawai Psikologi S41
-Kurator S41
-Pegawai Hal Ehwal Islam S41
-Pengurus Asrama N41
-Pustakawan S41
-Pegawai Belia Dan Sukan S41
-Pembantu Pertanian G17
-Penolong Pegawai Keselamatan KP27
-Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) N17
-Pegawai Khidmat Pelanggan N17
-Penolong Pegawai Tadbir N27
-Penolong Pengurus Asrama N27
-Pembantu Perpustakaan S17
-Pembantu Belia Dan Sukan S17
-Penolong Pegawai Belia Dan Sukan S27
-Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam S27
-Pembantu Akauntan W17
-Penolong Pegawai Teknologi Maklumat F29
-Pembantu Perubatan U29
-Pengawal Keselamatan KP11
-Atendan Kesihatan U3
-Kelasi A1
-Jurumudi A3
-Pegawai Pertanian G41
-Juruaudit W41
-Pegawai Veterinar G41
-Pegawai Sains C41
-Pegawai Kebudayaan B41
-Penerbit Rancangan B41

BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://ejobs.ums.edu.my

MAKLUMAT LANJUT:
http://www.ums.edu.my

Tarikh Tutup : 7 Ogos 2009

Recent Posts