Rabu, Julai 22, 2009

Elaun baru guru Kafa diteliti

Permohonan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menaikkan elaun kira-kira 34,000 guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di seluruh negara sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kenaikan elaun itu harus diteliti terlebih dahulu kerana membabitkan perkara teknikal yang perlu diselaras seperti syarat kemasukan.

Menurutnya, guru-guru Kafa di negara ini masih berada dalam kelompok kemiskinan dengan pembayaran elaun hanya RM500 sebulan meskipun ada daripadanya menjadi guru Kafa secara sambilan.

''Saya melihat perlu ada pendekatan secara serius dan kita mengharapkan pertimbangan sewajarnya diberi untuk memperkasakan institusi Kafa di seluruh negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Multaqa Penyelia dan Guru-Guru Kafa Negeri Sarawak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jamil Khir memberitahu, permohonan menaik taraf status penyelia Kafa kepada Gred S17 telah diluluskan kerajaan dan menunggu proses pelantikan sahaja.

Dengan kelulusan itu, jelasnya, seramai 383 Penyelia Kafa di seluruh negara akan menikmati kenaikan elaun daripada RM750 kepada RM1,400 sebulan.

Tambahnya, Jakim juga akan mengkaji kemungkinan untuk menambah jumlah guru Kafa berikutan pertambahan jumlah penduduk khasnya di kawasan bandar-bandar baru dan kawasan perumahan.

Sementara itu, Jamil Khir semasa ucapannya berkata, sejumlah RM221.6 juta peruntukan tahunan diberikan kepada Jakim dengan 40 peratus darinya untuk pembangunan Kafa.

Beliau menambah, keputusan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun lalu membuktikan pelaksanaan program Kafa menunjukkan kesan baik kepada kanak-kanak setelah 165,407 daripada 165,665 calon lulus ujian itu.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.