Sabtu, Mei 30, 2009

2 anak ibu tunggal dapat ijazah kelas pertama


Seorang ibu tunggal, Faezah Yaacob, 54, gembira bercampur sedih menyaksikan dua anak perempuannya menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen ke-70 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.

Lebih membanggakan Faezah yang merupakan suri rumah apabila kedua-dua anaknya iaitu Intan Shafinaz Abdul Azim, 29, daripada program Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka dan Intan Natasha, 24, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Percetakan turut menerima Anugerah Naib Canselor selepas masing-masing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.80 dan 3.68.

Faezah yang merupakan balu kepada Kapten Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkalan di Sandakan, Sabah, Abdul Azim Abdul yang meninggal dunia akibat paru-paru berair 14 tahun lalu ketika ditemui berkata, dia bersyukur dan amat berbangga dengan pencapaian kedua-dua anaknya itu.

Walaupun dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran membesar dan mendidik dua anak gadis bersama seorang lagi anak lelaki sulungnya sendirian, namun melihat mereka berjaya mencatatkan keputusan cemerlang adalah saat yang amat mengharukan.

"Saya gembira kerana walaupun berstatus ibu tunggal, saya tetap berjaya membesarkan anak-anak dengan baik.

"Malah, saya bersyukur apabila kejayaan ini bukan sahaja dapat memenuhi impian saya tetapi juga impian dan amanat arwah suami," katanya.

- KOSMO!

Nestle tarik balik perkataan Indon pada mi segera

Nestle Product Sdn. Bhd. (Nestle) bertindak menarik balik perkataan 'Indon' yang tertera pada dua pek makanan segera keluaran syarikat itu ekoran bantahan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dan rakyat Indonesia di negara ini.

Isu itu timbul apabila seorang lelaki dari Jawa Timur yang tinggal di negara ini, Husni Hasan, 26, menemui perkataan 'Mi Goreng Pluz Perencah Asli Pedas Ala Indon' dan 'Mi Goreng Pluz Perencah Asli Ala Indon' pada pek makanan segera itu pada Februari lalu.

Husni kemudian membuat aduan kepada KBRI di sini yang mahu ia ditulis dengan perkataan penuh iaitu 'Indonesia'.

Ekoran aduan tersebut, Kaunselor KBRI, Eka A. Suripto telah menghantar sepucuk surat bantahan kepada Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Nestle.

"Sebenarnya pihak Indonesia dan Malaysia sudah bersetuju untuk tidak menggunakan perkataan tersebut hasil pertemuan tahunan Perundingan Bilateral pada Mei 2007," kata Eka dalam buletin berkala Caraka keluaran KBRI edisi Mei.

Dalam pada itu, Pengurus Eksekutif Perniagaan Nestle, Izham Mohamed dalam jawapan balas kepada KBRI, mengakui telah mengeluarkan produk mi segera menggunakan perkataan Indon.

Nestle kemudian meminta maaf di atas kejadian itu dan bersedia menarik balik semua produk dan menukar perkataan tersebut.

- KOSMO!

Menghayati sejarah Negeri Sembilan

Promosi ini mempunyai kelainan dalam memperkenalkan keunikan serta bahan sejarah apabila ia turut menampilkan warisan takhta diraja Negeri Sembilan.

Promosi sempena pertabalan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, 60, yang dimasyhur sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11 akan diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Ampang, Kuala Lumpur dari 29 hingga 31 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohd. Razi Kail berkata, promosi itu bertujuan memberi peluang kepada warga kota melihat sendiri sejarah yang dibawa dalam pelbagai bentuk dan adat istiadat Negeri Sembilan.

Kesemua ciri-ciri adat dan istiadat negeri itu akan dipamerkan untuk tatapan pengunjung sepanjang promosi yang berlangsung selama tiga hari itu.

Antaranya melibatkan pameran dan demonstrasi budaya, permainan tradisional, makanan dan persembahan kesenian yang melambangkan adat istiadat Negeri Sembilan.

Promosi anjuran kerajaan Negeri Sembilan itu dikelolakan bersama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) dengan kerjasama Matic, Muzium Negeri dan Unit Penggalakkan Pelancongan Negeri Sembilan.

"Promosi ini mempunyai kelainan dalam memperkenalkan keunikan dan bahan sejarah apabila ia turut menampilkan warisan takhta diraja Negeri Sembilan,'' katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo!.

Antara bahan-bahan yang ditampilkan itu termasuklah salasilah dan warisan takhta diraja Negeri Sembilan daripada keturunan Raja Melewar sehingga Tuanku Muhriz.

Dalam pada itu, Mohd. Razi berkata, promosi itu juga mampu meningkatkan kefahaman orang ramai, di samping memartabatkan khazanah warisan silam negeri Adat Perpatih itu.

Generasi muda yang kebanyakannya berhijrah ke ibu kota harus mengambil peluang mengenali sejarah dan amalan Adat Perpatih menerusi promosi tersebut.

Menurutnya, keunikan Adat Perpatih yang menghimpunkan pelbagai artifak dan pameran ini memenuhi kehendaki pengunjung termasuk pelancong tempatan dan asing.

"Ia bukan sekadar mempamerkan secara kronologi penghijrahan orang Minangkabau di Tanah Melayu pada abad ke-15 secara terperinci, malah pengisian galeri baru itu turut diwarnai dengan pelbagai artifak dan replika berkaitan termasuk rumah Minang," ujarnya.

Menurutnya, dekorasi yang direka khas turut menjadi lambang institusi beraja, selain pelbagai bahan sejarah seperti Undang Yang Empat dan Luak-Luak oleh masyarakat Negeri Sembilan.

Keseluruhan pameran tersebut katanya, menjadi lambang diraja Negeri Sembilan dan sedikit sebanyak ia memberikan maklumat kepada pengunjung yang hadir.

"Warga kota dan anak-anak muda yang berhijrah ke ibu kota, boleh menggunakan peluang ini sebaik mungkin supaya pemahaman khazanah Adat Perpatih dapat diterapkan.

"Harapan saya adalah pameran ini dapat memberi manfaat kepada pengunjung," katanya.

Beliau juga memberitahu, pameran di Matic kelak dapat memberi kepuasan dan memenuhi hasrat pengunjung yang datang untuk mengetahui maklumat sejarah Negeri Sembilan.

"Jika anda seorang pelajar, pensyarah atau pengkaji sejarah yang ingin mendapatkan maklumat tentang Negeri Sembilan, semuanya mampu dirungkaikan dengan mengunjungi pameran ini," katanya.

Menurutnya, majlis prapelancaran pertabalan itu juga bertepatan kerana selepas 41 tahun, Adat Pertabalan Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan akan diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini.

"Apa yang diharapkan, orang ramai mendapat maklumat awal mengenai adat istiadat tersebut yang penuh bersejarah dan gilang gemilang," kata beliau.

Pada masa yang sama, katanya pelbagai program dan aktiviti sama ada dalam bentuk pendidikan, kebudayaan, kesenian, warisan dan adat istiadat akan diadakan khusus untuk pelajar sekolah dalam usaha menggalakkan lebih ramai orang datang ke pameran tersebut.

- KOSMO!

Siswi rela bogel


Angkara tuduhan palsu kononnya dia terbabit dalam klip video lucah, seorang pelajar perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) merelakan tubuhnya diperiksa untuk dibandingkan dengan pelakon sebenar.

Malah, gadis berusia 20-an itu juga sanggup membuat ‘akujanji’ menafikan pembabitannya dengan sebarang adegan tidak bermoral bagi mematikan ‘niat kotor’ pihak tertentu yang cuba mengaitkan dia dengan aksi lucah dalam klip video berkenaan.

‘Pemeriksaan tubuh’ lebih setengah jam itu dilakukan pegawai penguat kuasa wanita Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini untuk membandingkan tubuh pelajar terbabit dengan pelakon yang dikaitkan dengannya dalam klip video berkenaan.

Hasil pemeriksaan terperinci itu, Jais mengesahkan pelakon wanita dalam klip video bukan pelajar itu.

Video klip satu minit itu yang dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit memaparkan pelakon wanitanya beraksi lucah oleh dua lelaki yang dipercayai disebarkan di IPT berkenaan dan melalui Internet.

Bagaimanapun, dua waris pelajar terbabit yang turut menerima klip video berkenaan membuat aduan kepada Jais kerana membabitkan maruah keluarga.

Mereka turut mendakwa pelajar terbabit adalah pelakon wanita tanpa seurat benang dalam klip video berkenaan.

Dakwaan menjijikkan itu akhirnya sampai ke pengetahuan pengurusan IPT yang cuba mendapatkan pengesahan mangsa dengan bantuan Jais sebelum tindakan tegas diambil termasuk kemungkinan menyingkir mangsa jika terbukti bersalah.

Mangsa yang bengang dan malu dengan dakwaan itu mengakui pelakon wanita dalam klip video berkenaan mirip wajahnya, tetapi mendakwa dia tidak mengenali dua lelaki berkenaan.

Bagi mendapatkan kepastian, mangsa dirujuk kepada Jais untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Unit Tindakan Khas Jais, Shahrom Maarop, mengakui gadis berkenaan tampil untuk disoal siasat.

Bagi melengkapkan siasatan, katanya, tubuh mangsa turut diperiksa, termasuk mengukur saiz payu dara dan coli yang dipakai.

Pemeriksaan dilakukan beberapa anggota penguat kuasa wanita yang meminta kebenarannya membuka baju.

“Kami mendapati pelakon wanita dalam klip video itu bukan pelajar berkenaan. Malah, dia juga membuat ‘akujanji’ tidak pernah melakukan aksi lucah itu dengan teman lelaki,” katanya.

Beliau berkata, mangsa menafikan terbabit dalam penggambaran klip video itu walaupun mengakui pelakon wanita dalam klip video itu mirip wajahnya.

“Berdasarkan klip video berkenaan, memang pelakon wanita adegan lucah itu seakan-akan wajah gadis berkenaan.

“Siasatan kemudian dijalankan berdasarkan kemungkinan ada pihak cuba memalukan pelajar itu dengan menyebarkan klip video lucah kononnya mangsa turut beraksi,” katanya.

Beliau berkata, klip video itu memaparkan aksi seolah-olah pelakon wanita dirogol dua lelaki walaupun tidak menunjukkan sebarang penentangan terhadap tindakan terbabit.

Namun, berdasarkan siasatan, pelakon wanita bukan dirogol, tetapi merelakan dirinya diperlakukan sedemikian kedua-dua lelaki terbabit.

Menurutnya, Jais menjalankan siasatan apabila dua waris pelajar itu membuat laporan kononnya dia terbabit dalam aksi lucah seperti dipaparkan dalam klip video itu.

“Malah, apa yang mengejutkan, mereka mendakwa pelakon wanita adalah pelajar terbabit berdasarkan jam dan gelang yang dipakai sama dengan dimilikinya.

“Selepas diteliti, mangsa bagaimanapun tidak memiliki jam dan gelang terbabit. Kami akan memanggil waris mangsa berkenaan untuk disoal siasat mengenai dakwaan palsu dibuat,” katanya.

Justeru, Shahrom berkata, pihaknya akan memanggil dua waris mangsa yang membuat tuduhan berkenaan sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Beliau berkata, mangsa juga membuat laporan polis berkaitan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu.

- HARIAN METRO

Penipuan iblis di syurga

IBLIS selalu berikhtiar untuk masuk ke dalam syurga kembali dan menggunakan tipu muslihatnya untuk memperdayakan Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Pada suatu ketika, iblis berjaya masuk ke dalam syurga lalu bertemu dengan Nabi Adam dan isterinya.

Iblis mula menggoda dan memujuk Nabi Adam dengan berkata, "Wahai Adam! Aku datang untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Mahukah engkau aku tunjukkan bahawa di sana itu ada sepohon pokok yang sangat enak dan lazat rasa buahnya?

Apabila buah yang lazat itu engkau makan, maka engkau akan dapat tinggal di dalam syurga ini buat selama-lamanya, dan syurga ini dapat engkau miliki sebagai satu kerajaan yang tidak akan rosak buat selama-lamanya bagi engkau berdua."

Buah

"Buah apakah yang engkau maksudkan itu?' tanya Nabi Adam kepada iblis.

Iblis pun menunjukkan ke arah pokok khuldi yang dilarang oleh Allah untuk memakannya. Melihat isyarat iblis itu, tahulah Nabi Adam bahawa Iblis sudah mulai menggoda dan menyesatkannya. Lalu Nabi Adam berpaling dan menjauhkan dirinya daripada iblis itu.

Namun begitu, iblis masih tidak berputus asa. Ia mengambil kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengan Adam dan isterinya.

Segera ia memujuk dengan mengatakan bahawa Allah melarang makan buah khuldi sekiranya Adam dan isterinya adalah malaikat. Tetapi mereka bukan malaikat, maka bolehlah mereka memakan buah tersebut.

Nabi Adam dan isterinya tidak menghiraukan pujukan halus iblis itu. Malah kedua-duanya berpaling dan menjauhkan diri daripada Iblis itu.

Iblis tetap tidak berputus asa. Walaupun ia gagal dalam usaha pertama dan kedua, tetapi ia tetap berusaha untuk kali ketiga, keempat dan seterusnya sehinggalah dapat menyesatkan dan menggoda Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Iblis tahu bahawa salah satu kelemahan manusia ialah sering lupa. Iblis sentiasa menunggu suatu waktu apabila Adam dan isterinya akan terlupa dan memakan buah yang dilarang itu.

- UTUSAN

Jimak dalam Islam

Sekadar pengetahuan dalam Islam...

Bagi yang bujang tu ... simpan dulu ilmu ni.. Sabda Rasullah s.a.w. Wahai Ali ! Peliharalah wasiatku ini sebagaimana aku telah memeliharanya dari Jibril a.s"

Cara berjimak yang dituntut

1. Berjimak pada malam Isnin. Jika allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang yang berpegang teguh dengan kitab allah dan redha terhadap segala pembahagian allah s.w.t.

2. Pada malam selasa. Jika allah mengurniakan anak ia akan mendapat nikmat mati syahid sesudah syahadah, dan allah tidak akan azabkannya (turun bala) kepadanya bersama-sama orang musyrikin. Mulutnya berbau harum, yang akan melembutkan hati orang, bersih lidahnya daripada mengumpat, berdusta dan mengadu domba.

3. Pada malam Khamis. anak yg bijaksana di kalangan yg bijaksana atau org alim di kalangan orang alim.

4. Sewaktu matahari di tengah langit. Jika allah mengurniakan anak ia tidak dihampiri oleh syaitan sehingga ia tua dan menjadi seorang yang faqih serta allah s.w.t rezekikan kepadanya keselamatan agama dan dunia.

5. Pada malam Jumaat. Jika allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang pemidato yang berwibawa dan petah.

6. Hari Jumaat selepas asar. Jika allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang anak yang terkenal, masyhor dan alim.

7. Malam Jummat selepas Isyak yang akhir. Jika allah mengurniakan anak ia diharapkan menjadi seorang yang terkemuka.

8. Bacalah doa berlindung dari syaitan. Jika allah kurniakan anak ia tidak dimudaratkan oleh syaitan selama-lamanya.

Cara berjimak yang tak sepatutnya

1. Jangan berjimak di bawah pohon kayu yang berbuah. Jika allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang tukang sebat atau ketua yang bengis.

2. Jangan berjimak antara azan dan iqmah. Jika allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang yang suka menumpahka darah.

3. Jangan berjimak jika isteri sedang hamil melainkan kedua-dua suami dan isteri berwuduk. Jika allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang yang buta hati dan bakhil tangan.

4. Jangan berjimak pada pertengahan nifsu syaban. Jika allah mengurniakan anak ia akan mempunyai tanda pada yang jelek pada muka dan rambutnya.

5. Jangan berjimak pada akhir bulan (tinggal 2 hari). Jika dikurniakan anak ia akan menjadi seorang yang suka meminta-minta

6. Jangan berjimak semasa syahwat terhadap saudara perempuan (adik ipar). Jika allah mengurniakan anak ia akan menjadi penolong dan pembantu kepada orang yang zalim,pada tanganya membuat Kebinasaan kepada banyak manusia.

7. Jangan berjimak dengan isterimu di atas loteng. Jika allah mengurniakan anak, nanti anak itu menjadi seorang munafiq,pelampau yang melewati batas.

8. Jangan berjimak dengan isterimu pada malam kamu hendak keluar bermusafir. Jika allah mengurniakan anak ia akan membelanjakan harta Pada jalan yang tidak haq.

9. Jangan berjimak dengan isterimu bila kamu keluar bermusafir.Dalam tempoh tiga hari tiga malam. Jika allah mengurniakan anak ia akan menjadi pembantu kepada setiap orang yang zalim.

10. Jangan berjimak dengan isterimu pada awal malam (sebelum isyak).Jika allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang yang ahli sihir, songlap dan menghendaki dunia daripada akhir.

http://siti-yaya.blogspot.com/

Jumaat, Mei 29, 2009

Kebenaran akan terungkai 2 Jun ini - Waheeda


Nada suaranya kedengaran cukup ceria, tetapi adakalanya, penyanyi dan pelakon Waheeda ini jelas gagal menyembunyikan perasaan sedihnya berdepan dengan kontroversi yang amat hebat dalam dirinya ketika ini.

Benar kata penyanyi yang popular dengan lagu Wassini ini, bukan mudah untuk menjadi 'dirinya'...apa yang ditanggung selama ini cukup berat. Dikecam sebagai perampas suami orang serta pemusnah rumahtangga adalah label yang amat dahsyat diberikan sesetengah pihak yang belum tahu hujung pangkal kebenarannya.

Tetapi, luah wanita berusia 30 tahun ini, biarlah apa saja tanggapan yang singgah terhadap dirinya. Asalkan keluarga dan kenalan rapat mengetahui kisah sebenarnya, itu sudah cukup memadai buat Waheeda walaupun tohmahan buruk akan terus berselingkar di dalam dirinya.

Pendedahan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, iaitu Maizawati Zainal yang mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi itu juga nampaknya semakin 'panas' apatah lagi bila Maizawati dilihat semakin 'berani' mengeluarkan kenyataan kepada media tentang masalah yang melanda rumahtangganya itu sehingga dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Akhil.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Dengan keadaan sekarang yang dilihat semakin 'berapi' ini, tutur Waheeda, biarlah dia terus bersabar dengan apa yang berlaku. Apapun, kesabaran itu tetap ada hadnya, cuma katanya, biarlah masa saja yang menentukan.

Namun, luah Waheeda, dia menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya amat tertekan dengan tindakan Maizawati itu yang terus-menerus mengeluarkan kenyataan. Malah, khabar angin itu turut mengatakan Waheeda juga turut kesal dengan tindakan Akhil yang masih terus mendiamkan diri.

Akibat terlalu tertekan dengan hal ini, Waheeda dikatakan menjerit-jerit seperti orang gila sehinggakan beberapa barang di rumahnya juga habis dihempaskan kerana terlalu geram.

"Tak mengapalah. Biar mereka (Akhil dan Maiza) selesaikan. Kita tunggu saja 2 Jun ini...kebenaran akan terungkai juga," luah Waheeda dalam nada perlahan, sambil enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Katanya, buat masa ini dia lebih memberikan perhatian kepada kesihatannya yang tidak begitu baik sejak kebelakangan ini.

"Sekarang ini saya tengah berubat...penyakit yang sudah lama sebenarnya saya alami. Cuma sekarang ini semakin teruk pula," ujarnya yang tidak mahu bercerita lanjut tentangnya.

Nekad tinggalkan dunia seni

Lebih setahun yang lalu, Waheeda pernah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan karier seninya sebagai penyanyi dan pelakon. Ketika itu, ramai yang merasakan keputusan tersebut dibuat oleh Waheeda gara-gara isu kononnya penyanyi ini telah berkahwin dengan Akhil.

Namun, Waheeda masih lagi dilihat terus aktif dengan aktiviti seninya sehingga hari ini. Katanya ketika itu, dia menunggu album terbarunya dikeluarkan terlebih dahulu sebelum terus berundur. Dan memandangkan pada waktu itu semakin banyak tawaran yang datang, dia tidak menolaknya sementara menantikan albumnya itu siap.

Tetapi, tegasnya, dia tetap menyimpan hasratnya untuk tinggalkan bidang seni satu masa nanti.

Namun, dengan kontroversi hebat yang melanda dirinya ketika ini, kata Waheeda, dia memang nekad untuk 'bersara' dan kemungkinan besar akan terus menghentikan projek penghasilan album terbarunya itu.

"Saya sudah bosan. Dari dulu sampai sekarang macam-macam orang bercakap tentang saya. Kontroversi seperti inilah sebenarnya yang membuatkan saya ingin berhenti ketika itu. Untuk apa saya terus berada di sini sedangkan reputasi dan kredibiliti saya sudah tiada.

"Mungkin dulu saya bercakap seperti ini juga, tetapi saya tetap terus berada di dalam industri. Tetapi kini, saya rasa cukuplah apa yang saya lalui. Saya nekad untuk berhenti terus.

"Tidak guna untuk saya terus berdakwah menerusi bidang ini jika orang akan pertikaikan kredibiliti saya. Ibubapa saya juga menyarankan perkara yang sama kerana mereka tak sanggup melihat saya terus dilanda benda-benda macam ni.

"Sekarang ini saya tengah tunggu untuk selesaikan dulu projek-projek lakonan termasuklah program Cafe Akhil Hayy," kata Waheeda.

Walaupun sedar tindakannya itu tidak bermaksud akan mengakhirkan segala kontroversi yang melanda, namun kata Waheeda, 'at least' kehidupannya selepas ini mungkin akan lebih 'tenang'.

"Saya masih ada banyak benda yang boleh dibuat. Saya ingin terus lakukan kerja-kerja kebajikan. Ketika ini pun saya bertugas sebagai 'facilitator' di Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID).

"Mungkin jika saya ingin siapkan juga album tersebut, saya akan buat 'senyap-senyap' saja tanpa sebarang publisiti. Siapa yang nampak album saya itu di pasaran, itu sajalah...tidak akan ada majlis pelancaran atau sebagainya," kata Waheeda yang akui dia telah merakamkan semua lagu dalam album terbarunya itu.

- MSTAR

Islam lindungi hak isteri

Oleh IDRIS MUSA

Tiada lafaz paling keramat dari lidah seorang lelaki yang bergelar suami, kecuali talak, bahkan dilihat dari satu sudut ia adalah hak eksklusif kaum Adam terhadap kaum Hawa.

Ada benarnya, kerana dalam Islam lafaz talak atau cerai yang keluar dari bibir si isteri tidak diambil kira, walaupun dia melafazkannya berulang kali dengan bersungguh-sungguh, sekali gus menunjukkan kuasa talak hak suami.


Firman Allah bermaksud: "Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya dan hitunglah masa idah itu (dengan betul) serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu..." (al-Quran, surah al-Talaq-65: 1)

Walaupun begitu, seorang suami harus berwaspada.

Sabda Nabi bermaksud: "Allah tidak menjadi sesuatu yang halal, yang lebih dibenci oleh-Nya dari talak."

Dan lagi: "Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak." (Riwayat Abu Dawud)

Seorang suami tidak wajar mempermainkan perkataan cerai kerana sekali ia terlepas dari mulut, mereka mungkin menyesal seumur hidup.

Rasulullah bersabda: "Tiga perkara menjadi serius walaupun dalam keadaan main-main atau serius iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba."

Tetapi, sejauh mana lafaz cerai menjadi hak eksklusif suami? Apakah hak untuk berpisah bagi si isteri terkunci rapat? Jika benar, bukankah ia menzalimi isteri dan tidakkah undang-undang Islam ini menganiayai wanita!

Pensyarah Kanan Institut Islam Toronto, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, berkata dalam Islam, lelaki dan wanita mempunyai hak.

Menurutnya, ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Dan isteri-isteri itu ada hak yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya..." (al-Quran, surah al- Baqarah: 228)

"Hak ini termasuk hak untuk dilayan secara adil dan baik dalam semua keadaan, kedua-duanya dalam kes perkahwinan dan perpisahan," katanya, dalam satu ruangan soal jawab hukum di laman sesawang.

Sebagaimana lelaki mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan, wanita juga ada hak berbuat demikian, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan konflik yang mengakibatkan kekecewaan dan kesengsaraan.

Katanya, Allah memerintahkan lelaki berbuat baik terhadap wanita sepanjang waktu dan sebarang perlakuan tidak adil, menjadikan isteri tahanan penjara dalam perkahwinan.

"...maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik..." (al-Quran, surah al-Baqarah: 231)

"Dengan penjelasan penting al-Quran ini, Islam mengajar kita apabila seorang suami melanggar prinsip terbabit, isteri mempunyai hak mengambil apa-apa tindakan undang-undang bagi membubarkan perkahwinan.

"Ia adalah hak yang diberikan Islam kepadanya dan keputusan mahkamah dalam kes ini benar-benar berdasarkan Islam, bagi dirinya hanya bertindak dalam usaha untuk menghindari penganiayaan dan kecederaan dirinya," katanya.

Beliau berkata, prinsip perundangan Islam menjelaskan, perlindungan mesti diambil bagi mengelak kecederaan dan kerosakan."

Justeru, katanya, jika seorang isteri itu tidak mendapat keselesaan daripada suaminya, dia berhak meminta cerai.

Ulama terkemuka, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya, Halal dan Haram dalam Islam, berkata wanita yang tidak tahan tinggal dengan suaminya ada hak untuk membebaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan, dengan mengembalikan mas kahwin (mahar) kepada suaminya.

Pemberian dari isteri itu katanya, sama ada lebih atau kurang nilainya bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, katanya, seorang suami itu sepatutnya tidak meminta lebih daripada yang diberikannya kepada isteri.

"Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan hukum Allah, maka tidaklah berdosa (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim." (al-Quran, surah al-Baqarah: 229)

Bagaimanapun, menurut al-Qaradhawi, adalah tidak dibenarkan bagi wanita untuk mendapat cerai dari suami kecuali dia diberikan layanan yang teruk atau dalam keadaan itu dia mempunyai sebab munasabah.

Katanya, Nabi bersabda, maksudnya: "Sekiranya mana-mana wanita meminta cerai dari suaminya tanpa sebab yang kukuh, terhalang haruman syurga darinya."(Hadis riwayat Abu Daud)

Dari penjelasan ini, nyata sekali nasib seorang isteri masih terbela di dalam Islam dan dia mempunyai hak untuk bercerai apabila dirasakan perkahwinan sudah tidak memberikan nikmat kepadanya.

Perceraian itu boleh dituntut di Mahkamah Syariah, sama ada dengan cara fasakh (pembubaran perkahwinan) atau tebus talak (cerai yang diucapkan oleh suami dengan pembayaran dari pihak isteri kepada suaminya).

Dalam undang-undang keluarga Islam, perceraian boleh juga berlaku melalui talak taklik, pertukaran agama dan li'an.

Jangan permain sunnah Rasulullah

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

Apabila Rasulullah SAW wafat pada 11 hijrah baginda meninggalkan dua sumber hukum terpenting bagi umat Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Al-Quran merupakan kitabullah yang menjadi sumber hukum pertama dan ia diturunkan kepada Rasulullah melalui Malaikat Jibrail dalam bentuk wahyu.

Manakala as-Sunnah yang merupakan sumber kedua dalam Islam adalah segala yang diriwayatkan daripada Rasulullah berupa perkataan, perbuatan, ketetapan, karakter, akhlak, ataupun perilaku, baik sebelum atau sesudah diangkat menjadi Nabi.

Peranan utama as-Sunnah adalah untuk menjelaskan dan menghuraikan maksud al-Quran, memperkukuh serta memperkuatkan hukum yang terdapat dalam al-Quran selain menentukan hukum yang tidak disebut dalam al-Quran.

Daripada berpakaian, mendirikan rumah tangga, menjaga kebersihan dan amalan-amalan sunat dalam ibadat, kesemuanya dilakukan oleh baginda dengan penuh tertib dan beradab.

Aisyah Radiallahuanha berkata, Rasulullah telah bersabda: "Sepuluh perkara yang terdiri dari fitrah iaitu mengandam misai, menyimpan janggut, bersugi, memasukkan sedikit air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh celahan jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari dan istinjak." (Riwayat Imam Muslim).

Hadis di atas merupakan sebahagian daripada beberapa sunnah yang menjadi amalan Rasulullah. Rasulullah menyebutnya secara khusus di dalam hadis tersebut supaya umatnya selepas zaman baginda dapat menjadikannya sebagai panduan.

Sebagai contoh bersugi. Sugi bertujuan untuk membersihkan gigi dan mulut kerana anggota itu mudah terdedah dengan kekotoran. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

''Sekiranya tidaklah menjadi suatu bebanan kepada umatku nescaya aku menyuruh mereka bersugi setiap kali hendak solat." (Riwayat al-Bukhari dan Imam Muslim).

Menyimpan janggut yang juga salah satu daripada sunnah Rasulullah amat digalakkan. Begitu juga dengan pemakaian serban, ia juga merupakan salah satu sunnah Rasulullah.

Menurut satu hadis dari Abil Malih bin Usamah dari ayahnya telah berkata: Rasulullah telah bersabda: ''Berserbanlah kamu nescaya bertambah sifat Hilman (tenang penyabar)." (Riwayat Imam At Tabrani , Al Hakim dan Ibnu Abbas)

Bagaimanapun dalam zaman serba moden ini terdapat segelintir umat Islam yang sengaja mempersenda sunnah Rasulullah dalam pelbagai bentuk tanpa memikirkan kesannya. Ingatlah setiap sunnah Rasulullah wajib dipertahankan.

Dengan perkataan lain umat Islam dilarang keras mengeluarkan kata-kata, isyarat atau apa jua bentuk yang sengaja memperlekehkan sunnah Rasulullah. Janganlah kita dengan sengaja menyamakan sunnah Rasulullah dengan perbuatan yang boleh merendahkan martabatnya.

Misalnya, menyamakan amalan bersugi dengan menghisap rokok (amalan merokok sebelum sembahyang). Apabila ditegur mereka menyatakan merokok itu umpama bersugi. Insiden ini pernah berlaku dan tidak terfikirkah bahawa mereka telah mengeluarkan satu kenyataan yang merendahkan sunnah Rasulullah walaupun dalam bentuk gurauan.

Sebenarnya, sebarang usaha untuk memperlekehkan sunnah Rasulullah boleh mendorong kepada rosak akidah dan mereka yang telah melakukan perbuatan tersebut wajib bertaubat bagi memohon keampunan daripada Allah SWT.

Umat Islam berhak membuat pilihan sama ada mahu melakukan satu pekerjaan sunnah (selagi ia tidak bertaraf wajib untuk dilaksanakan) atau sebaliknya.

Namun begitu mereka tidak boleh mempermainkannya atau menidakkan pihak lain yang mahu beramal dengannya.

Tinjauan Blog - Sentimen penulis blog terhadap Chin Peng

Isu Chin Peng telah mendapat perhatian ramai di kalangan penulis blog dan kebanyakan mereka menyokong keputusan kerajaan yang tidak membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu dibawa pulang ke tanah air.

Al-Azharri Siddiq Kamunri dalam blog Jentayuabaka (www.jentayuabaka.com) semalam mempersoalkan kenapa Chin Peng ingin kembali ke Malaysia sedangkan beliau percaya dia akan lebih selamat berada di negara China.

Dengan memetik pandangan bekas Pakar Perang Saraf Komunis, mendiang C.C. Loo, penulis itu bersetuju bahawa ideologi dan gerakan PKM masih hidup walaupun pertubuhan itu sudah mati.

"Mendiang C.C. Loo ternyata benar, selepas lebih 20 tahun PKM meletak senjata dalam Perjanjian Hatyai, hari ini ideologi dan gerakan itu masih wujud," tulis beliau.

Katanya, gesaan Gerakan yang mahukan Chin Peng dibenarkan pulang tidak lebih bersifat politik khususnya menarik sokongan Cina kepada parti itu. Parti itu telah silap kerana politik tidak boleh dicampur-aduk dengan pentadbiran kerajaan dan keselamatan negara, katanya.

"Biarkanlah Chin Peng tinggal di Thailand sehingga dia menemui si Pencipta," tulis Jailani Haron pula dalam blog Just Read (justread-whatever.blogspot.com), semalam.

Katanya, membawanya pulang membuatkan sebahagian rakyat akan meletakkan dia sebagai wira terutama mereka yang mahu melihat negara berpecah-belah.

"Hanya satu alasan, nama Chin Peng telah terpahat dalam sejarah... sebagai seorang pembunuh," tulisnya.

Beliau menulis, terlalu banyak memori pedih dan sedih berkaitan PKM termasuk pembunuhan beramai-ramai yang boleh menimbulkan kemarahan terutama di kalangan keluarga mangsa serta pasukan keselamatan negara yang menentang dan gugur di medan perang.

Zainal A. Kassim (c-bok.blogspot.com) turut menyelar sikap sesetengah pihak yang bersimpati dengan Chin Peng dan berharap mereka akur dengan keputusan kerajaan.

"Pihak kerajaan tentu tahu siapa mereka dan Perdana Menteri sendiri telah dengan tegas mengatakan tidak kepada sebarang usaha untuk membawa pulang Chin Peng ke Malaysia.

"Jangan kita musnahkan keamanan yang telah kita bina hanya kerana seorang Chin Peng!," tulisnya.

Katanya, sebarang usaha untuk menyemai rasa tidak puas hati dengan keputusan tersebut akan menyebabkan negara kembali kepada keadaan tidak aman dan huru-hara seperti mana zaman darurat dahulu.

Sementara itu, Shamsul Yunos (marahku.blogspot.com) DAP yang menunggangi Pas dan PKR dalam pakatan pembangkang mahu mengagung-agungkan Chin Peng, seorang pejuang komunis. Malah ada pemimpin PKR turut mengagungkan PKR, katanya.

"Jadi, ketika DAP mendesak supaya Chin Peng dibenarkan pulang, apa pula pendirian orang Melayu terhadap usaha ini?

"Saya turut sedih mendengar ada pemimpin komponen BN yang tidak peka kepada sentimen Melayu," tulisnya.

Kekayaan orang terkaya Malaysia susut 22 peratus

Jumlah kekayaan terkumpul milik 40 orang terkaya Malaysia, menyusut kepada 22 peratus kepada AS$36 bilion (RM126.36 bilion) berbanding AS$46 bilion (RM161.46 bilion) pada tahun lalu.

Menurut kenyataan Forbes Asia Malaysia Rich List, jumlah itu menyusut selari dengan kejatuhan sebanyak 21 peratus dalam Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL).

‘‘Kejatuhan itu bukan merupakan sesuatu yang buruk kerana ringgit Malaysia adalah 10 peratus lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mata wang yang digunakan untuk mengukur jumlah kekayaan tersebut.

‘‘Raja gula, Tan Sri Robert Kuok kekal berada di tangga pertama dengan nilai kekayaan bersih sebanyak AS$9 bilion (RM31.59 bilion) berbanding AS$10 bilion (RM35.1 bilion) pada tahun lalu,’’ kata kenyataan itu.

Katanya, Kuok kekal berada di kedudukan teratas sejak Forbes Asia memperkenalkan senarai 40 rakyat Malaysia terkaya pada 2006.

‘‘Ananda Krishnan berada di tangga kedua dengan jumlah kekayaan bersih sebanyak AS$7 bilion (RM24.57 bilion) berbanding AS$7.2 bilion (RM25.27 bilion) tahun lalu untuk terus mengekalkan kedudukan tersebut.

‘‘Secara bersama, kekayaan Kuok dan Krishnan bernilai AS$16 bilion (RM56.16 bilion) yang merupakan 44 peratus daripada jumlah keseluruhan senarai 40 itu. Mereka juga merupakan dua orang terkaya di Asia Tenggara,’’ jelas kenyataan itu.

Manakala, di kedudukan tempat ketiga adalah Tan Sri Lee Shin Cheng daripada IOI Group, iaitu peneraju perladangan kelapa sawit dengan nilai kekayaan bersih AS$3.2 bilion (RM11.23 bilion) berbanding AS$5.5 bilion (RM19.30 bilion) pada tahun lalu.

Malaysia mempunyai sembilan orang terkaya yang mempunyai harta terkumpul bernilai AS$30 bilion (RM105.3 bilion) atau 84 peratus daripada jumlah keseluruhan kekayaan dalam senarai 40 tersebut.

- BERNAMA

Recent Posts