Sabtu, Mei 30, 2009

Menghayati sejarah Negeri Sembilan

Promosi ini mempunyai kelainan dalam memperkenalkan keunikan serta bahan sejarah apabila ia turut menampilkan warisan takhta diraja Negeri Sembilan.

Promosi sempena pertabalan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, 60, yang dimasyhur sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11 akan diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Ampang, Kuala Lumpur dari 29 hingga 31 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohd. Razi Kail berkata, promosi itu bertujuan memberi peluang kepada warga kota melihat sendiri sejarah yang dibawa dalam pelbagai bentuk dan adat istiadat Negeri Sembilan.

Kesemua ciri-ciri adat dan istiadat negeri itu akan dipamerkan untuk tatapan pengunjung sepanjang promosi yang berlangsung selama tiga hari itu.

Antaranya melibatkan pameran dan demonstrasi budaya, permainan tradisional, makanan dan persembahan kesenian yang melambangkan adat istiadat Negeri Sembilan.

Promosi anjuran kerajaan Negeri Sembilan itu dikelolakan bersama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) dengan kerjasama Matic, Muzium Negeri dan Unit Penggalakkan Pelancongan Negeri Sembilan.

"Promosi ini mempunyai kelainan dalam memperkenalkan keunikan dan bahan sejarah apabila ia turut menampilkan warisan takhta diraja Negeri Sembilan,'' katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo!.

Antara bahan-bahan yang ditampilkan itu termasuklah salasilah dan warisan takhta diraja Negeri Sembilan daripada keturunan Raja Melewar sehingga Tuanku Muhriz.

Dalam pada itu, Mohd. Razi berkata, promosi itu juga mampu meningkatkan kefahaman orang ramai, di samping memartabatkan khazanah warisan silam negeri Adat Perpatih itu.

Generasi muda yang kebanyakannya berhijrah ke ibu kota harus mengambil peluang mengenali sejarah dan amalan Adat Perpatih menerusi promosi tersebut.

Menurutnya, keunikan Adat Perpatih yang menghimpunkan pelbagai artifak dan pameran ini memenuhi kehendaki pengunjung termasuk pelancong tempatan dan asing.

"Ia bukan sekadar mempamerkan secara kronologi penghijrahan orang Minangkabau di Tanah Melayu pada abad ke-15 secara terperinci, malah pengisian galeri baru itu turut diwarnai dengan pelbagai artifak dan replika berkaitan termasuk rumah Minang," ujarnya.

Menurutnya, dekorasi yang direka khas turut menjadi lambang institusi beraja, selain pelbagai bahan sejarah seperti Undang Yang Empat dan Luak-Luak oleh masyarakat Negeri Sembilan.

Keseluruhan pameran tersebut katanya, menjadi lambang diraja Negeri Sembilan dan sedikit sebanyak ia memberikan maklumat kepada pengunjung yang hadir.

"Warga kota dan anak-anak muda yang berhijrah ke ibu kota, boleh menggunakan peluang ini sebaik mungkin supaya pemahaman khazanah Adat Perpatih dapat diterapkan.

"Harapan saya adalah pameran ini dapat memberi manfaat kepada pengunjung," katanya.

Beliau juga memberitahu, pameran di Matic kelak dapat memberi kepuasan dan memenuhi hasrat pengunjung yang datang untuk mengetahui maklumat sejarah Negeri Sembilan.

"Jika anda seorang pelajar, pensyarah atau pengkaji sejarah yang ingin mendapatkan maklumat tentang Negeri Sembilan, semuanya mampu dirungkaikan dengan mengunjungi pameran ini," katanya.

Menurutnya, majlis prapelancaran pertabalan itu juga bertepatan kerana selepas 41 tahun, Adat Pertabalan Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan akan diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini.

"Apa yang diharapkan, orang ramai mendapat maklumat awal mengenai adat istiadat tersebut yang penuh bersejarah dan gilang gemilang," kata beliau.

Pada masa yang sama, katanya pelbagai program dan aktiviti sama ada dalam bentuk pendidikan, kebudayaan, kesenian, warisan dan adat istiadat akan diadakan khusus untuk pelajar sekolah dalam usaha menggalakkan lebih ramai orang datang ke pameran tersebut.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts