Selasa, September 02, 2008

Pemakanan semasa berpuasa

Ketibaan bulan puasa, mungkin tidak keterlaluan jika dianggap sebagai sebahagian daripada perayaan, terutamanya apabila dikaitkan dengan makanan.

Pelbagai jenis makanan dan kuih-muih boleh ditemui. Selain itu, kaum lain juga lebih berpeluang untuk mengenali hidangan tradisi masyarakat Melayu yang sukar ditemui melainkan bulan puasa.

‘Pesta makanan’ ini bukan sahaja boleh dilihat di pasar-pasar malam atau bazar Ramadan yang seakan cendawan tumbuh selepas hujan, tetapi juga di hotel-hotel mewah yang menawarkan bufet Ramadan yang tidak terkira banyaknya dan tentunya menyelerakan.

Dalam keseronokan kita memenuhi selera, ramai di kalangan kita yang mengalami masalah gangguan sistem pencernaan disebabkan oleh cara pemakanan yang tidak sihat.

Makan secara berlebihan amat lazim berlaku semasa berbuka puasa. Setelah sehari suntuk berpuasa, sesetengah individu tidak dapat menahan rasa lapar dan makan secara tidak terkawal.

Perbuatan ini bukan sahaja membebankan dan menjejaskan sistem penghadaman, malah mengakibatkan seseorang itu dibelenggu masalah sistem pencernaan, seperti kembung perut, pedih ulu hati, cirit-birit, sembelit dan sebagainya.

Bazar Ramadan atau gerai-gerai makanan di tepi-tepi jalan dengan makanan yang tidak ditutup akan mendedahkan makanan kepada pencemaran, seterusnya mendedahkan pelanggan kepada risiko keracunan makanan.

Terdapat juga di kalangan peniaga yang tidak menitikberatkan aspek kebersihan dalam proses penyediaan makanan.

Pelanggan mungkin mengalami cirit-birit akibat termakan hidangan yang tidak disediakan dengan cara yang bersih. Jenis makanan yang diambil juga merupakan salah satu faktor penting bagi kesihatan sistem pencernaan.

Makanan yang tinggi dengan karbohidrat ringkas dan lemak, tetapi rendah dengan serat boleh mengakibatkan masalah sembelit.

Masalah sembelit biasanya merujuk kepada kesukaran membuang air besar. Kurangnya pengambilan air dan ditambah dengan kurangnya aktiviti fizikal semasa berpuasa akan meningkatkan risiko sembelit.

Selain sembelit, tidak kurang juga yang mengalami masalah kembung perut. Punca utama yang mengakibatkan perut berangin adalah disebabkan oleh penghasilan gas yang berlebihan akibat daripada sistem pencernaan yang kurang baik.

Makanan yang tidak sihat turut menjejaskan sistem penghadaman dan menggalakkan pertumbuhan bakteria berbahaya dalam usus dan seterusnya menghasilkan angin yang berlebihan.

Di samping itu, cara makan yang gelojoh semasa berbuka puasa juga boleh menyumbang kepada masalah ini dengan kemasukan angin yang berlebihan ke dalam perut.

Usus menjadi habitat kepada berjuta-juta mikroorganisma (flora usus) dan ratusan spesiesnya. Kebanyakan daripada bakteria ini terdiri daripada bakteria bermanfaat dan berfungsi dalam proses sintesis vitamin, perangsang sistem imun dan sistem pertahanan badan terhadap virus dan bakteria berbahaya.

Keseimbangan bakteria berbahaya dengan bakteria bermanfaat perlu dikekalkan bagi membolehkan sistem pencernaan berfungsi secara normal.

Namun, keseimbangan ini boleh terganggu disebabkan oleh pemakanan yang tidak sihat, pengambilan ubat-ubatan seperti antibiotik yang kerap, penyakit dan juga peningkatan usia.

Untuk menggalakkan sistem usus yang sihat, probiotik iaitu bakteria hidup yang bermanfaat boleh diamalkan di sepanjang tempoh berpuasa bagi menangani masalah pencernaan dan kesihatan usus secara amnya.

Probiotik dari strain Lactobacillus acidophilus NCFM® dan Bifidobacterium terbukti secara klinikal boleh mengembalikan keseimbangan bakteria usus dengan menambahkan bakteria bermanfaat, sekaligus merangsang sistem pencernaan yang lebih sihat dan mengurangkan masalah cirit-birit, sembelit dan kembung perut.

Dengan sistem usus dan pencernaan yang sihat, daya ketahanan badan akan dipertingkatkan. Antara amalan pemakanan yang boleh diamalkan di sepanjang Ramadan, termasuklah:

* Diet seharusnya lebih ringkas. Ambil makanan yang lambat dicerna seperti bijirin penuh, oat, kekacang dan lentil semasa bersahur.

* Berbuka puasa dengan kurma dan jus buah-buahan untuk tenaga segera.

* Pilihlah makanan yang berserat tinggi seperti sayur-sayuran berdaun hijau dan buah-buahan untuk mencegah sembelit dan memudahkan penyingkiran bahan kumuh.

* Elakkan makanan goreng dan pedas untuk mengelak masalah pencernaan dan iritasi perut.

Petua Menarik Untuk Diikuti

Anda mungkin tidak mempercayainya, tapi merupakan nasihat yang baik untuk dibaca! Anda mungkin mempelajari sesuatu jika membacanya!! !

1) Bersedekahlah kepada orang lain lebih daripada yang mereka perlukan dan lakukanlah dengan penuh kerelaan.

2) Kahwinilah lelaki / wanita yang gemar anda berbicara dengannya, kerana kemahiran berbicara antara satu dengan lain akan menjadi lebih penting pabila usia semakin tua.

3) Usahlah mempercayai segala perkara yang anda dengari. Berbelanjalah sekadar apa yang ada atau tidurlah seberapa lama yang anda perlu

4)Apabila kamu berkata, " Aku Cinta Padamu", maka tunaikanlah.

5) Pabila mengatakan, "Maaf", tenunglah matanya.

6) Bertunanglah sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kamu diijabkabulkan.

7) Percayailah cinta pandang pertama.

8) Usah tertawakan impian orang lain. Manusia tanpa impian tidak memiliki apa-apa.

9) Cintailah seseorang dengan sepenuh hati dan penuh kasih sayang. Sungguhpun anda akan berasa seolah-olah diri anda tersiksa, tapi percayalah itulah satu-satunya untuk melengkapkan kehidupan ini.

10) Jika berlaku perselisihan pendapat, bertengkarlah secara aman. Usahlah menyebut nama sesiapa ketika bertengkar.

11) Usahlah menilai seseorang berdasarkan peribadi keluarga mereka.

12) Berbicaralah dengan tenang dan berfikirlah dengan pantas.

13) Apabila seseorang bertanyakan satu soalan yang tidak anda gemari, lontarkanlah senyuman dan bertanyalah padanya,"Kenapa anda ingin tahu?"

14) Ingatlah bahawa setiap cinta dan pencapaian yang besar akan melibatkan pengorbanan dan risiko yang besar.

15) Ucaplah "Semoga anda diberkati" apabila mendengar seseorang bersin.

16) Apabila anda kerugian, janganlah jadi kurang ajar.

17) Berpeganglah kepada tiga R:
1. Rasa hormat pada diri sendiri;
2. Rasa hormat kepada orang lain;
3. Rasa tanggungjawab terhadap semua tindakan anda

18) Usahlah benarkan pertikaian yang sebesar hama merosakkan sebuah persahabatan yang besar..

19) Apabila menyedari bahawa anda telah melakukan kesalahan, usahlah berlengah untuk perbetulkan kesalahan itu.

20) Tersenyumlah ketika menjawab telefon. Pemanggil akan melihatnya daripada suara yang mereka dengar.

21) Ada ketikanya anda perlu bersendirian.

Teknologi Gentian Optik


Keupayaan sistem komunikasi terkini dan canggih adalah kunci utama yang mampu menjadi daya penggerak kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam usaha menuju era negara maju berasaskan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT).

Malah, keperluan manusia berkomunikasi tanpa mengira batas waktu dan sempadan negara menyebabkan sistem komunikasi baru perlu terus diterokai.

Ditambah pula sasaran kadar penebusan jalur lebar di kalangan isi rumah di Malaysia kepada 50 peratus pada 2010 di negara ini dijangka meningkat ketika masyarakat menikmati kemudahan terbabit selepas 51 tahun merdeka.

Justeru, penyambungan kabel menggunakan sistem gentian optik dilihat kesinambungan dalam teknologi komunikasi apabila ia mampu membantu kabel tembaga sedia ada bagi memberikan prasarana yang lebih efektif terutama di negara ini.

Gentian optik dibuat daripada benang kaca halus yang digunakan bagi menyalur cahaya digunakan dalam kebanyakan sistem komunikasi terutama di negara Asia maju seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Jepun memandangkan keupayaannya menyalurkan data lebih jitu berbanding kabel tembaga.

Ia menjadi perantara bagi telekomunikasi kerana bersifat mudah lentur dan boleh diikat sebagai kabel walaupun dibuat daripada plastik lut sinar atau kaca.

Cahaya dipancarkan melalui gentian yang disimpan di dalamnya disebabkan pantulan penuh bahan terbabit menjadi ciri penting dalam menyingkirkan isyarat bersilang antara optik dalam kabel seterusnya membenarkan pemasangan kabel dengan kaedah pusingan.

Sistem optik bertindak sebagai pemandu gelombang ini memiliki dua mod pengaliran iaitu mod tunggal menghasilkan prestasi yang tinggi berbanding mod pelbagai membolehkan cahaya dipancarkan dalam mod berlainan tiba pada masa berbeza.

Kabel gentian optik mampu membawa sehingga seribu optik dalam satu kabel bagi menjana prestasi unggul yang mampu memenuhi permintaan untuk jalur lebar berdasarkan pada hujung-ke-hujung dengan mudah.

Pemasangan kabel gentian optik mendapat sambutan menggalakkan membolehkan masyarakat dunia kini bercakap mengenai Gentian ke Rumah (FTTH).

Jika dilihat dari sudut sejarah, penciptaan optik fiber yang pertama direka pada tahun 1970 oleh penyelidik syarikat pembuat kaca Amerika Corning Glass Works iaitu Maurer, Keck, Schultz dan Zimar.

Perbualan mengenai FTTH di peringkat antarabangsa semakin mendapat perhatian memandangkan ia berupaya menghantar lebar lajur tinggi dengan jarak lebih jauh.

FTTH mampu merapatkan jurang rangkaian untuk meningkatkan produktiviti, membentuk kehidupan keluarga yang baru dan selesa, penggunaan tenaga yang bijak dan memberi kemudahan komunikasi tanpa batas.

Presiden dan Pengurus Negara Ericsson Malaysia Sdn Bhd, Krishna Kumar, berkata FTTH memenuhi keperluan pelanggan memandangkan ia mampu menawarkan faedah jangka panjang yang baik untuk penduduk di negara ini.

“FTTH memberikan kos yang baik terutama kepada syarikat telekomunikasi dalam menawarkan harga lebih baik kepada pengguna di samping memberikan perkhidmatan sempurna dalam laluan data,” katanya.

Beliau berkata, suasana akan berubah sebaik FTTH dilaksanakan yang mana pembekal kandungan akan lebih bebas memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.

"Teknologi FTTH akan meningkatkan lebar jalur dan dalam masa yang sama mengurangkan kos keseluruhan menyediakan jalur lebar ke setiap rumah," katanya.

Beliau berkata, terdapat permintaan tinggi terhadap jalur lebar bergerak dan tetap dalam negara dan cabaran sebenarnya ialah memenuhi permintaan dan menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi pada harga mampu milik di kalangan pengguna.

Sementara itu, Ahli Lembaga Majlis FTTH Asia Pasifik, Colin Goodwin, memaklumkan teknologi terbabit berkeupayaan untuk menyediakan kelajuan daripada 100 megabit sesaat kepada setiap pengguna.

Beliau berkata, teknologi FTTH yang dibangunkan Ericsson membabitkan Rangkaian Optik Pasif Gigabit (GPON) kini menjadi popular di kalangan operator telekomunikasi seluruh dunia.

“Ia bukan sekadar berkaitan internet tapi keperluan lain seperti televisyen internet protokol (IPTV) yang memungkinkan kandungan menjadi lebih meluas,” katanya.

Menurutnya, cabaran yang dihadapi kini terletak kepada pertimbangan polisi setiap kerajaan di dunia sama ada mahukan FTTH dilaksanakan sebagai era baru dalam bidang komunikasi.

“Ia juga bukan boleh dipasang dengan pantas kerana memerlukan perhatian lain seperti keadaan geografi atau perancangan dalam sesuatu kawasan,” kata Colin.

Capaian jalur lebar di Malaysia dijangka akan meningkat dengan teknologi FTTH dalam memacu negara untuk mendapat akses multimedia lebih pantas sama ada di rumah atau tempat kerja.

Kebaikan utama teknologi FTTH termasuk membenarkan Internet diakses dengan kelajuan optikal manakala kos operasinya lebih murah selain capaian terbaik dan selamat.

Terdapat fakta menyatakan gentian melalui FTTH adalah teknologi masa depan yang mempunyai jangka hayat sehingga 100 tahun selain kapasiti tanpa had.

Landskap jalur lebar berubah pantas selari peningkatan aplikasi lebar jalur tinggi seperti rakaman video secara langsung, karaoke `online', `webcast', permainan online dan `podcast'.

Permintaan seperti ini meningkatkan permintaan lebar jalur lebih tinggi kerana pengguna mahu fail multimedia lebih berkualiti dan muat turun pantas.

Kebanyakan pengguna mula mencari teknologi baru yang mampu menggantikan penggunaan tembaga sedia ada kerana ia mempunyai kapasiti terhad untuk membawa aplikasi lebar jalur tinggi.

Teknologi gentian turut membolehkan penggunaan aplikasi perkhidmatan video kualiti tinggi seperti televisyen definisi tinggi dan telefoni video menjadi pantas.

Bayangkan teknologi gentian membolehkan muat turun filem berkualiti tinggi dengan fail sebesar 30 gigabait mampu dilakukan dalam masa 40 minit berbanding lapan jam sebelum ini menggunakan teknologi diperbuat daripada tembaga.

Raja Thai terkaya di dunia


Disebalik segala larangan dan rahsia yang menyelubungi istana Thailand, kajian ahli akademik baru-baru ini mendapati Raja Bhumibol Adulyadej adalah manusia terkaya di dunia ketika ini.

Pada tahun lalu, majalah bisnes antarabangsa, Forbes, menganggarkan kekayaan Bhumibol berjumlah AS$5 bilion (RM16.94 bilion) dan sesetengah pihak lain mendakwa ia bernilai AS$8 bilion (RM27.1 bilion).

Tahun ini — hasil kajian akademik yang teliti ke atas cabang pelaburan diraja, Biro Hartanah Diraja — kekayaan Bhumibol dikatakan bernilai AS$35 bilion (RM118.56 bilion).

Disenaraikan di tempat kelima tahun lalu, kali ini Bhumibol mengatasi semua tokoh bilionair dunia, termasuk Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed al-Nahyan; pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid al-Maktoum.

Pemilikan pelbagai bangunan dan tanah di Thailand menjadikan Biro Hartanah Diraja seolah-olah tuan tanah terbesar di negara itu. Antara kekayaan dimiliki biro berkenaan ialah memiliki satu pertiga daerah tengah Bangkok yang menjadi pusat aktiviti perniagaan negara berkenaan.

Biro itu turut menguasai 30 peratus saham Siam Cement Group dan 25 peratus ekuiti Siam Commercial Bank.

Pada 2005, istana bertindak ‘luar biasa’ apabila memberi kebenaran kepada sejarawan ekonomi, Porphant Ouyyanont, akses tanpa had mengenai data biro berkenaan.

Porphant — pakar ekonomi Universiti Terbuka Sukhotai Thammatirat — mendedahkan bahawa aset dimiliki Biro Hartanah Diraja bernilai AS$27.4 bilion (RM92.82 bilion) pada penghujung 2005.

Laporan itu diterbitkan Journal of Contemporary Asia di United Kingdom, Februari lalu. Penasihat Biro Hartanah Diraja, Aviruth Wongbuddhapitak, berkata anggaran itu terlalu tinggi tetapi masih boleh diterima akal.

“Kita tahu harga semasa tanah dan modal syarikat dimiliki biro berkenaan. Secara keseluruhan, tiada kesilapan besar dalam laporan itu,” katanya mengenai kajian Porphant itu.

Anggaran berkenaan boleh dipertanggungjawabkan, antara lain disebabkan peningkatan nilai mata wang baht sejak 2005.

Sehingga kini tiada siapa di luar lingkungan biro itu tahu setepatnya di mana lokasi harta dimiliki istana Thailand.

Bagaimanapun, antara pegangan paling bernilai biro itu adalah di bahagian bandar tertua Bangkok, termasuk pelbagai mercu tanda bandar raya itu. Dari Chinatown hingga ke Ratchadamnoen, harta biro itu melebar ke Pulau Ratanakosin dan sepanjang bahagian selatan Sungai Chao Phraya.

Biro itu turut memiliki banyak bangunan kerajaan di kawasan pinggir sungai utama negara itu, berhampiran hotel lima bintang serta tanah komersial di daerah Silom dan Sathorn.

Biro Hartanah Diraja turut memajak tanahnya kepada syarikat gergasi, Siam Paragon dan plaza beli-belah CentralWorld, bangunan Pasaran Saham Thailand, Pusat Konvensyen Ratu Sirikit dan bangunan pejabat Sermit and Sinthorn.

Menurut Aviruth, biro itu menguasai 1,413.6 hektar tanah di tengah Bangkok dan berdasarkan penilaian firma tempatan, ia bernilai AS$31 bilion (RM105 bilion) ketika ini.

Walaupun Biro Hartanah Diraja menyatakan pemilikannya di Bangkok hanya bernilai AS$9 bilion (RM30.5 bilion), Aviruth berkata, nilai itu adalah kos dikeluarkan ketika pembelian dibuat.

“Ia tidak mengambil kira pertambahan nilai hartanah dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut Aviruth, biro itu juga menguasai 5,058.6 hektar tanah di seluruh Thailand. Bagaimanapun, tiada data anggaran didapati sama ada daripada Porphant atau biro itu.

Anggaran dibuat Porphant bagi kekayaan Biro Hartanah Diraja juga tidak menyertakan sama nilai tanah berkenaan.

Hasil penelitian Porphant terhadap rekod sewa dan cukai dikutip pada 2005, Biro Hartanah Diraja menjana pendapatan sebanyak AS$56 juta (RM189.7 juta) dan dianggarkan sebanyak AS$79 juta (RM267.7 juta) mengikut harga pasaran ketika ini.

Porphant menjangkakan, sejak 1999 pendapatan daripada cukai dan sewa itu meningkat sekurang-kurangnya lima kali ganda.

Penulis, Paul Handley, berpendapat biro itu masih mengenakan cukai atau sewa lebih rendah berbanding nilai semasa.

“Tindakan itu dibuat untuk memberi kesan jangka panjang,” katanya.

Pegangan 30 peratus saham dalam Siam Cement Group — syarikat kedua terbesar di Thailand — pula dianggarkan bernilai AS$1.9 bilion (RM6.44 bilion), manakala 25 peratus ekuiti Siam Commercial Bank menjana kekayaan bernilai AS$1.1 bilion (RM3.73 bilion).

Sehingga Julai lalu, Biro Hartanah Diraja turut menguasai keseluruhan syarikat Deves Insurance dengan nilai AS$65 juta, selain kepentingan dalam pelbagai syarikat awam atau persendirian bernilai AS$600 juta.

Porphant mengetepikan nilai pelbagai syarikat pegangan saham lain milik Bhumibol, 80, dalam kajiannya. Ia juga tidak dimasukkan dalam anggaran dibuat Forbes.

Kebanyakan tanah berkenaan diserahkan kepada keluarga diraja dengan niat baik sejak berdekad lalu.

Sesetengahnya oleh petani yang tidak mempunyai waris atau percaya ia akan digunakan untuk kebaikan oleh istana Thailand.

Tanpa maklumat sahih, dipercayai kekayaan diurus Biro Hartanah Diraja itu dimanfaatkan Bhumibol dan isterinya, Permaisuri Sirikit, 76; empat anak, seorang menantu wanita, Puteri Vajiralongkorn dan lima cucu mereka.

Hampir semua 600 kakitangan biro itu bertugas menguruskan hartanah dimiliki dan kurang daripada 10 lagi menguruskan aset kewangan.

Sementara itu, Thailand menganggap laporan majalah Forbes mengenai kekayaan Bhumibol sebagai ‘tidak tepat dan tidak konsisten’.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar, perkiraan dibuat majalah berkenaan salah kerana menganggap pemilikan Biro Hartanah Diraja sebagai kekayaan raja berkenaan.

“Biro Hartanah Diraja adalah institusi ‘dimiliki semua rakyat Thailand’ dan menguruskan aset diraja Thailand,” katanya.

Isnin, September 01, 2008

Ramadan bulan keberkatan

Puasa ialah menahan diri daripada segala yang membatalkannya sepanjang hari, bermula dari terbit fajar hingga tenggelam matahari disertakan dengan niat.

Ia diwajibkan kepada umat Islam pada Ramadan.

Ia difardukan atas umat Islam pada bulan Syaaban, tahun kedua Hijrah. Puasa Ramadan ialah satu daripada rukun Islam yang lima, sebagaimana ditegaskan al-Quran dan hadis, (maksudnya):

“Dari Ibn Umar, r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Islam itu dibina dan ditegakkan di atas lima dasar (lima rukun), iaitu mengucap dua kalimah syahadah (dengan menyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, memberi zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah". (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Puasa Ramadan wajib ditunaikan bagi orang Islam yang mencukupi syaratnya, dengan menahan diri daripada makan minum serta hubungan seksual, malah semua perkara yang boleh membatalkannya sebagai satu amal ibadat kepada Allah s.w.t.

Ibadat itu mampu merapatkan jurang perbezaan di kalangan manusia terutama antara si kaya dan miskin kerana sama-sama berlapar dan menahan dahaga.

Malah, ia menyumbang kepada kesihatan akal dan jasmani seseorang, melatih diri bersabar, menahan kehendak nafsu dan melahirkan sifat lemah-lembut, tolak ansur, belas kasihan dan prihatin terhadap sesama manusia.

Ditinjau dari sudut sejarah, puasa bukan saja dilakukan umat Islam, tetapi turut diamalkan generasi terdahulu.

Al-Quran ada menegaskan, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah: 183)

Nabi Adam dan Hawa manusia pertama berpuasa untuk membersihkan diri daripada keterlanjuran kerana memakan buah khuldi yang menjadi larangan Allah ketika mereka di syurga.

Bahkan, Nabi Adam diperintahkan tidak memakan buah khuldi, ditafsirkan ulama sebagai suatu bentuk puasa pada masa itu. “Dan Kami berfirman: Wahai Adam, diamilah kamu dan isterimu syurga ini dan makanlah makanan yang banyak lagi baik di mana saja kamu suka dan janganlah kamu dekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.” (al-Baqarah: 35)

Nabi Idris, iaitu keturunan keenam Nabi Adam, memberikan beberapa nasihat, antaranya ialah kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kemenangan, orang yang bahagia adalah orang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari Allah dengan amal solehnya dan apabila memohon sesuatu kepada Allah, berdoa dengan mengikhlaskan niat termasuk dengan solat dan puasa.

Putera Nabi Ayub, iaitu Nabi Zulkifli sanggup menerima amanah raja untuk berpuasa pada waktu siang dan beribadat pada malamnya serta sanggup bersabar.

Nabi Musa bersama kaumnya berpuasa selama 40 hari. Dalam surah Maryam, dinyatakan Nabi Zakaria dan Maryam sering mengamalkan puasa.

Nabi Daud pula berpuasa secara selang-seli, iaitu berpuasa secara selang sehari dan puasa baginda diibaratkan Allah sebagai puasa yang amat mulia.

Perkara ini dinyatakan Nabi Muhammad s.a.w melalui sabdanya yang bermaksud: “Puasa yang amat dikasihi Allah adalah puasa Nabi Daud yang berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

Nabi lain yang dikatakan turut berpuasa ialah Nabi Daniel, Nabi Musa, Nabi Isa dan golongan penyokongnya yang dikenali sebagai al-Hawariyun.

Nabi Musa ketika bermunajat kepada Allah di Bukit Tursina selama 40 hari 40 malam, berpuasa daripada memakan roti dan meminum air. Selepas diselamatkan Allah daripada buruan Firaun dan tenteranya, Nabi Musa juga berpuasa bersama kaum Bani Israel.

Nabi Isa diriwayatkan pernah berpuasa selama 40 hari, manakala di kalangan penyokongnya iaitu al-Hawariyun, mereka berpuasa daripada makan daging, ikan, telur dan susu.

Begitupun, cara puasa generasi terdahulu tidak dinyatakan secara jelas dan terperinci baik melalui wahyu Allah atau pernyataan daripada Nabi mahupun ulama melalui penulisan mereka.

Saidatina Aisyah r.a menceritakan, seperti yang diriwayatkan Hisyam bin 'Urwah, bahawa orang Quraisy Arab selalu menjalankan puasa pada bulan Asyura walaupun untuk sehari.

Namun sejak Allah melantik Muhammad sebagai rasul-Nya, puasa dilaksanakan pada Ramadan, manakala puasa pada bulan 'Asyura masih disyariatkan tetapi berada dalam status sunat.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri sebelum diangkat menjadi rasul mengamalkan puasa tiga hari setiap bulan dan turut mengamalkan puasa Asyura (10 Muharram).

Berpuasa pada 10 Muharam sebenarnya turut menjadi amalan orang Yahudi dan Nasrani di Madinah. Amalan berpuasa pada hari itu terus menjadi amalan Rasulullah selepas hijrah Baginda ke Madinah hingga turun ayat kewajipan puasa Ramadan pada tahun kedua hijrah.

Orang Yahudi di Madinah mewarisi amalan puasa daripada Nabi Musa yang diriwayatkan berpuasa bersama-sama kaumnya selepas mereka diselamatkan Allah daripada buruan Firaun dan bala tenteranya.

Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni dalam kitabnya Tafsir Ayat-Ayat Hukum menjelaskan puasa yang difardukan kepada orang Yahudi dan Nasrani juga sebulan, tetapi mereka sengaja menukar waktu dan bilangan harinya yang sepatutnya dilakukan selama sebulan itu hingga menjangkau 50 hari.

Ini kerana ahli kitab kadangkala meminda jumlah hari puasa ketika musim panas atau sejuk dengan alasan terlalu sejuk dan panas, lalu mereka menukar puasa itu pada musim bunga.

Sesetengah ulama mengatakan, puasa pertama kali disyariatkan pada zaman Nabi Nuh a.s dan tetap dilaksanakan sehingga zaman Muhammad. Malah, Ibnu Katsir dalam tafsirnya mengatakan, sejak Nabi Nuh hingga Nabi Isa, puasa diwajibkan selama tiga hari pada setiap bulan.

Tetapi penulis kitab Tafsir Ruh-l-Ma'ani, Syihabuddin al-Alusi , berhujah dengan berdasar hadis Rasulullah yang diriwayatkan Abdullah bin 'Umar lebih percaya puasa Ramadan disyariatkan sejak Adam a.s. Al-Zamakhsari melalui kajiannya juga menegaskan puasa amal ibadah yang sudah lama.

Melihat kepada hadis diriwayatkan Abdullah bin Umar dan beberapa faktor lain seperti proses penurunan syariat yang tidak diawali sebab tertentu serta beberapa hal lain, jelas menunjukkan puasa pada Ramadan memang disyariatkan kepada manusia sejak sekian lama tetapi diselewengkan umat terdahulu.

Ini boleh diterima kerana kerasulan Nabi Muhammad s.a.w untuk membimbing manusia kepada jalan Allah, meluruskan dan memperkuat kembali syariat yang diturunkan-Nya selepas golongan sesat dan perosak menyelewengkan ajaran terbabit sehingga menimbulkan kekeliruan.

Apabila mengetahui puasa juga ibadat generasi terdahulu, sewajarnya umat Islam tidak berasa ibadat itu sesuatu yang membebankan kerana jika orang dahulu boleh berpuasa, mengapa tidak kita hari ini?

Panduan Solat Terawih dan Witir

SOLAT TARAWIH
Solat Tarawih dalam bulan Ramadhan ialah solat Tahajjud atau shalatul lail yang dilakukan pada malam-malam bulan lainnya. Sesudah membaca Al Fatihah pada setiap rakaat, lalu membaca ayat-ayat atau surah dari Al Quran . Bilangan rakaat shalat Tarawih sesuai sunnah Rasulullah s a.w. ialah 11 rakaat; terdiri dari 8 rakaat solat Tarawih dan 3 rakaat solat Witir. Sementara Umar bin Khatab r.a. mengerjakannya 20 rakaat dengan ditambah witir 3 rakaat. Solat tarawih termasuk sunnah muakkad, boleh dikerjakan dengan berjamaah boleh juga sendiri.

Menurut pendapat Al Ghazali, dalam bukunya "Rahasia-rahasia Shalat", walaupun dapat dikerjalan sendiri tanpa berjamaah, solat Tarawih yang dilakukan secara berjama'ah lebih afdhal, sama seperti pendapat Umar r.a., mengingat bahawa sebagian solat nawafil telah disyariatkan dalam jama'ah, maka yang ini pun pantas dimasukkan ke dalam kelompok tersebut. Sedangkan alasan kekhawatiran timbulnya riya bila berjamaah, atau pun kemalasan bila sendirian, sudah jelas menyimpnag dari tujuan keutamaan berkumpul dalam suatu jama'ah. Barangkali, orang yang berpegang pada alasan tersebut ingin berkata bahawa melakukan solat lebih baik daripada meninggalkannya kerana malas, dan bahawa kemalasan (bila sendirian) lebih baik daripada riya (jika solat jamaah). Demikian menurut Al Gazhali.

Cara Mengerjakan

2x4 rakaat + Witir, yaitu setiap 4 rakaat 1 kali salam, ditambah dengan witir 3 rakaat 1 kali salam.

4x2 rakaat + 3 rakaat witir, yaitu setiap 2 rakaat 1 kali salam, ditambah dengan witir 3 rakaat 1 kali salam.

Waktu solat Tarawih ialah sejak selesai solat Isya hingga terbit fajar



Sabda Rasulullah s.a.w :

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يرغب في قيام رمضان من غير أن يأمر فيه بعزيمة فيقول ، من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه .

Maksudnya : “Adalah Rasulullah s.a.w menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadan tetapi tidak mewajibkannya. Baginda bersabda barang siapa bangun pada bulan Ramadan (mengerjakan solat tarawih) dengan rasa iman dan mengharapkan keredhaan Allah maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu”.

Cara yang mengerjakan solat tarawih ialah dengan melakukan 2 rakaat demi 2 rakaat.

NIATNYA

أُصَلِّي سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat Terawih 2 rakaat kerana Allah Taala.




SOLAT WITIR
Jumlah rakaat bagi witir ialah ganjil. Paling sedikit 1 rakaat dan yang paling banyak 11 rakaat. Waktu untuk mengerjakan solat ini ialah selepas solat isyak sehingga terbit fajar.

Hadis yang diriwayatkan dari Aisyah, yang bermaksud :

“Adalah Nabi s.a.w solat di antara solat Isyak dengan terbit fajar sebelas rakaat, Baginda memberi salam tiap-tiap dua rakaat dan yang penghabisannya satu rakaat”

Mafhumnya bahawasanya Rasulullah s.a.w mengerjakan solat witir (sekiranya 11 rakaat) maka bilangan salamnya ialah 6 salam.

NIATNYA

أُصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ/ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat Witir 2 rakaat kerana Allah Taala.

Adapun doa yang dibaca sesudah solat witir ialah :

سُبُّوْحٌ قُدُّوْسٌ رَبُّنَا رَبُّ الْمَلاَئِكَةِ وَالرُّوْحِ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفو ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya : “Yang diucapkan Maha Suci bagiNya, Yang Maha Suci, dan Tuhan kami, malaikat dan roh. Ya Allah ! Sesungguhnya Engkau Pengampun, suka kepada pengampunan, ampunilah akan daku”

Atau bacalah doa ini :

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا دَائِْمًا ، وَنَسْأَلُكَ قَلْبًا خَاشِعًا وَنَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَنَسْأَلُكَ يَقِيْنًا صَادِقًا . وَنَسْأَلُكَ عَمَلاً صَالِحًا ، وَنَسْأَلُكَ دِيْنًا قَيِّمًا ، وَنَسْأَلُكَ خَيًْرا كَثِيْرًا ، وَنَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ ، وَنَسْأَلُكَ تَمَامَ الْعَافِيَةِ ، وَنَسْأَلُكَ الْشُكْرَ عَلَى الْعَافِيَةِ ، وَنَسْأَلُكَ الْغِنَاءَ عَنِ الْنَّاسِ . اللَّهُمَّ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاَتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَتَخَشُّعَنَا وَتَضَرُّعَنَا وَتَعَبُّدَنَا وَتَمِّمْ تَقْصِيْرَنَا يَا الله يَا الله يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْن . وَصَلى اللهُ عَلَى خَيْرِ خَلْقِهِ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ وَالْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

Maksudnya : “Ya Allah ! Ya Tuhan kami, kami memohon kepada-Mu iman yang kekal, kami memohon kepada-Mu hati yang khusyuk, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, kami memohon ditetapkan keyakinan yang benar, kami memohon (dapat melaksanankan) amal yang soleh, kami memohon kepada-Mu tetap dalam agama Islam, kami memohon kepada-Mu kebaikan yang melimpah ruah, kami memohon kepada-Mu keampunan dan kesihatan, kami memohon kepada-Mu kesihatan yang sempurna, kami memohon kepada-Mu kesyukuran di atas kesihatan yang Engkau berikan, dan kami memohon kepada-Mu kecukupan, Ya Allah, Tuhan kami, terimalah daripada kami Solat kami, puasa kami, qiam kami, khusyuk kami, pengabdian kami, sempurnakanlah apa yang kami lakukan selama solat ya Allah, ya Allah, ya Allah Zat Yang Maha Pengasih dan Penyayang.”

Atau baca doa ini :

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفو ، فَاعْفُ عَنِّي ، اللهم إنا نسألك رضاك والجنة ونعوذ بك من سخطك والنار .

Maksudnya : “Ya Allah ! Sesungguhnya Engkau Pengampun, suka kepada pengampunan, ampunilah akan daku, Ya Allah kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga dan kami berlindung dengan-Mu dari kemurkaan-Mu dan neraka”

201 bayi Hari Merdeka

Seramai 201 bayi 'Merdeka' dilahirkan di beberapa di beberapa hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara pada ulang tahun Hari Kebangsaan ke-51, semalam.

Di Lembah Klang, 46 bayi dilahirkan antara jam 12 tengah malam hingga 3 petang dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) merekodkan kelahiran paling ramai dengan 24 kelahiran, iaitu 18 lelaki dan enam perempuan.

Kelahiran terawal direkodkan di HKL pada jam 12.01 tengah malam dengan seorang bayi lelaki seberat 3.69 kilogram (kg)

Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mencatatkan 20 kelahiran iaitu 11 lelaki dan sembilan perempuan, Pusat Perubatan Ampang Puteri (lapan), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) (enam), Pusat Perubatan Pantai Bangsar (empat), Hospital Assunta (tiga) dan Pusat Perubatan Pantai Cheras (seorang).

Seramai 21 bayi, sembilan daripadanya perempuan dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sehingga jam 5 petang semalam dan bayi pertama dilahirkan jam 12.46 pagi.

Di KOTA BHARU, 42 bayi dilahirkan di 10 hospital kerajaan dan swasta, dengan seorang bayi lelaki seberat 3.1 kg adalah bayi terawal dilahirkan pada jam 12.38 pagi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

Tujuh bayi dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZII), lapan di HUSM, Hospital Pasir Mas (enam), masing-masing lima bayi dilahirkan di Hospital Gua Musang dan Tumpat, Hospital Tanah Merah (tiga), Hospital Kuala Krai (dua) serta seorang di Hospital Machang.

Di MELAKA, 25 kelahiran bayi merdeka dicatatkan sehingga jam 12.51 tengah hari semalam iaitu 17 di Hospital Melaka, Hospital Pantai Ayer Keroh (lima), Hospital Jasin (dua) dan seorang di Hospital Pakar Putra.

Di GEORGETOWN, seramai lima bayi, empat lelaki dan seorang perempuan selamat dilahirkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sehingga jam 3 petang semalam.

Di IPOH, sehingga jam dua petang, seramai 14 bayi dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRBP) dan diberi hamper barangan bayi sumbangan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Perak yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang, Dr Mah Hah Soon.

Di JITRA, lima bayi, tiga lelaki dan dua perempuan dilahirkan di Pusat Rawatan Mahsuri, semalam, termasuk bayi pasangan S Marathi, 25 dan suami, C Chut, 28.

Marathi, yang bekerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan sebuah syarikat swasta, berkata dia dan suami merancang dan berharap supaya bayi kedua mereka itu dilahirkan pada Hari Merdeka dan amat gembira hasrat itu dimakbulkan Tuhan.

Di TERENGGANU, 34 bayi, termasuk 10 perempuan dilahirkan di enam hospital di Terengganu pada Hari Kebangsaan, semalam.

Pengarah Jabatan Perubatan dan Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan, berkata Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini mencatatkan jumlah bayi paling ramai iaitu lapan lelaki dan tujuh perempuan.

Di KUANTAN, enam bayi dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hingga jam 5 petang semalam.

Bayi pertama dilahirkan ialah lelaki seberat 3.1 kg pada jam 1.41 pagi iaitu anak kepada pasangan Junaidin Jalil, 33, yang juga seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Zuraida Mat, 30.

Sepasang lagi suami isteri yang menerima kelahiran bayi `Merdeka', semalam, Norarzeliyanna Zenol, 24 dan Shahrul Nazri Shaari, 25, sempat meraikan ketibaan detik 12 tengah malam bersama ribuan pengunjung lain di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 di sini sebelum terpaksa bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebaik perut si isteri mula terasa sakit.

Norarzeliyanna berkata, dia bersyukur bayi lelakinya dilahirkan secara normal tepat jam 6.14 pagi selepas mula dimasukkan ke bilik persalinan HTAA kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Ibu muda yang bekerja sebagai kerani itu berhasrat menamakan anak lelakinya, Shah Irfan Haiqal.

Ramadan bentuk disiplin diri

Ibadat puasa adalah peluang terbaik untuk membentuk keperibadian diri cemerlang baik dari segi kerohanian mahupun aspek kesihatan fizikal. Keagungan ibadat puasa dapat diperhatikan dengan memahami fadilat dan hikmah pensyariatan ibadat mulia ini.

Puasa membentuk insan bertakwa. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Kamu semua diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu semua bertakwa." – (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Makna takwa adalah mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi berpuasa dalam erti kata sebenar termasuk mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, tidak melaga-lagakan sesama umat dan tidak berniaga secara haram.

Selama sebulan Ramadan umat Islam seolah-olah berada dalam sebuah institusi latihan untuk membentuk insan bertakwa. Selepas tamat latihan, dia sepatutnya dapat membantu seseorang mengekalkan ketakwaan sepanjang masa.

Orang berpuasa juga dianugerahkan kedudukan tinggi di sisi Allah yang mana mereka tergolong di kalangan para shiddiqin (orang yang benar) dan syuhada (golongan syahid).

'Amr bin Murrah al-Juhani berkata: "Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Ya Rasulullah. Menurut pendapatmu, aku tergolong dalam golongan mana jika ada bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa pada Ramadan dan solat tarawih pada malam harinya? Baginda menjawab: Golongan shiddiqin dan syuhada." – (Hadis riwayat Ibn Hibban)

Puasa juga perisai yang dapat menghalang kita daripada azab api neraka. Menurut Ibn al-'Arabi: "Puasa dikatakan sebagai perisai api neraka kerana puasa mampu menahan diri daripada syahwat (dorongan untuk melakukan perbuatan mungkar disebabkan hawa nafsu). Sedangkan, neraka dikelilingi oleh syahwat. Apabila seseorang mampu menahan diri daripada syahwat ketika kehidupan di dunia, hal itu menjadi penghalang (perisai) baginya di neraka kelak."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengungkapkan perkataan yang keji dan janganlah sekali-kali berbuat jahil. Justeru itu, jika seseorang diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa sebanyak dua kali." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ibadat puasa juga dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan sebelum ini. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang lalu telah diampuni (oleh Allah)." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Al-Khattabi berkata: "Tambahan pula Ramadan, bulan penuh keberkatan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu rahmat Ilahi menaungi seluruh hamba-Nya yang beriman. Jadi, tidak hairanlah jika Allah akan meluaskan pula pengampunan-Nya terhadap semua hamba-Nya."

Allah menjanjikan ganjaran pahala amat besar bagi hamba-Nya yang berpuasa ikhlas untuk mencapai keredaan-Nya. Berbeza dengan ibadat lain yang telah ditetapkan ganjaran pahalanya dalam gandaan 10 sehingga 700 kali ganda.

Ganjaran pahala untuk ibadat puasa ini ditetapkan oleh Allah tanpa batasan. Dia berhak memberi seberapa banyak ganjaran kepada hamba-Nya menurut kehendak-Nya. Oleh itu, setiap individu perlu merebut peluang itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap amal kebaikan Bani Adam pahalanya (ditulis oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ternyata ganjaran pahala daripada Allah tiada tolok bandingnya untuk hamba yang mengerjakan ibadat puasa. Oleh itu, kerjakanlah dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan. Semoga kita mencapai ganjaran paling maksimum melaluinya.

Kad Kredit Perbankan Islam Maybank

Lambakan pelbagai jenis kad kredit konvensional di pasaran tempatan, sedikit sebanyak mengehadkan pilihan mereka yang mencari kad kredit yang berlandaskan Syariah.

Dengan meningkatnya kesedaran pengguna Islam hari ini mengenai keperluan menjalankan segenap urusan perbankan mengikut cara Islam telah mendorong bank terbesar tempatan mengeluarkan kad kredit Islam pertamanya dikenali Ikhwan, baru-baru ini.

Pelancaran kad kredit Ikhwan oleh anak syarikat perbankan Islam, Malayan Banking Bhd (Maybank) iaitu Maybank Islamic Bhd tentunya akan menyediakan pilihan yang lebih meluas kepada pengguna yang masih tercari-cari kad kredit yang berlandaskan Syariah sepenuhnya.

Kad kredit Ikhwan beroperasi bersandarkan prinsip Bay’ Al ‘Inah yang telah menentukan kemudahan kredit dan tempoh pembayaran semula yang ditetapkan.

Keunikannya adalah tidak terdapat kadar faedah terkumpul dan jumlah maksimum yang boleh dikenakan ke atas pelanggan.

Untuk menunjangi elemen Islam dalam kad kredit itu, Ikhwan menggabungkan lima nilai iaitu, Simpanan (Al-Tawfir), Perkongsian (Musharakah), Perlindungan (Takaful), Kebajikan (Sadaqah) dan Pengembaraan (Ziarah).

Maybank Islamic juga menjadi bank pertama yang mengeluarkan kad kredit menggunakan jenama pembayaran American Express, sekali gus menggabungkan dua jenama terkemuka dalam industri perbankan dan pembayaran.

Presiden dan Ketua Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, ketika melancarkan kad kredit itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, Ikhwan menawarkan beberapa manfaat unik kepada pemegang kad, hampir sama seperti manfaat diterima pemegang kad kredit konvensional Maybank.

“Sebagai kad di bawah kumpulan Maybank, pemegang kad kredit Ikhwan turut menikmati keistimewaan seperti mendapat kelebihan apabila digunakan sebagai kaedah pembayaran bil di Maybank2u.com membabitkan kira-kira 500 organisasi,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Kanan, Ketua Perkhidmatan Rangkaian Global American Express, Kula Kulendran; Pengurus Negara Visa International, Stuart Tomlinson; Naib Presiden Kanan dan Ketua Perbankan Pengguna Maybank, Spencer Lee dan Pemangku Ketua Eksekutif Maybank Islamic, Ibrahim Hassan.

Bagi memohon kad berkenaan, pelanggan perlu mempunyai pendapatan RM30,000 setahun bagi kad Ikhwan Gold dan RM120,000 setahun bagi Ikhwan Platinum.

Antara kelebihan penggunaan kad kredit Ikhwan termasuk mendapat kemudahan pelan pembayaran pendahuluan tanpa faedah EzyPay Maybank, perlindungan Takaful, melakukan pemindahan baki, pembayaran bil secara automatik dan mendapat mata ganjaran TreatsPoints sebanyak tiga kali apabila digunakan untuk membeli produk Etiqa Takaful.

Kota Perfileman - Universal Studios


Universal Studios dikomersialkan pada 1962 menjadi aset penggambaran filem hebat di dunia.

Perjalanan dari tempat penginapan, Hotel The Four Seasons, Doheny Drive, Hollywood ke Universal Studios hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit menaiki teksi, tetapi tambang yang dikenakan mencecah AS$38.00 (RM121.60)

Keluasan Universal Studios Hollywood umpama sebuah daerah, jadi adalah lebih baik penulis memulakan perjalanan seawal mungkin kerana memerlukan sehari suntuk untuk menghabiskan lawatan ke semua lokasi menarik di kawasan itu.

Oleh kerana ketika kunjungan itu Los Angeles mengalami musim panas yang juga cuti musim panas bagi orang Amerika Syarikat, kita dapat saksikan Universal Studio dibanjiri manusia dari serata pelusuk benua Amerika dan dunia.

Universal Studios Hollywood adalah studio perfileman terletak di Universal City, California dengan Woody Woodpecker (karakter kartun terkenal) menjadi maskot rasminya. Walaupun ia adalah studio perfileman paling tua dan terkemuka, ia masih digunakan untuk penggambaran filem secara aktif.

Dengan mengenengahkan tagline rasmi The Entertainment Capital of Los Angeles, lokasi itu juga dikenali sebagai The Coolest Place in Los Angeles ketika musim panas.


Untuk menikmati kemudahan dalam taman tema di Universal Studios Hollywood, sambil mengelakkan daripada letih menunggu dan beratur panjang, penulis terpaksa tutup sebelah mata dengan melabur membeli tiket istimewa berharga AS$129 (RM412).

Yang pasti, pelaburan itu berbaloi kerana tiket yang dibeli membolehkan penulis berada di barisan hadapan semua permainan dalam taman tema berkenaan.

Pada asalnya, taman tema itu dibina untuk menawarkan lawatan bagi memberikan gambaran suasana sebenar set dan soundstages di Universal Studios, kini berkembang pesat sehingga menjadi destinasi pelancongan yang mesti dilawati.

Apa yang menarik, kejayaannya itu membolehkan beberapa lagi taman tema dibina antaranya Taman Tema Universal Studios Florida dan Taman Tema Universal Studios Jepun. Selain itu, Taman Tema Universal Studios Singapura, Taman Tema Universal Studios Dubai dan Taman Tema Universal Studios Korea Selatan akan muncul tidak lama lagi.

Penulis difahamkan semuanya bermula selepas Music Corporation of Amerika (MCA) mengambil alih Universal Pictures pada 1962 dan membuka studio itu untuk dikunjungi pelancong. Kemudian pada 1964, pakej lawatan ke sekitar studio dikembangkan termasuk lawatan ke bilik persalinan, lokasi penggambaran dan persembahan pentas.

Persembahan pentas, demonstrasi lagak ngeri dan permainan berteknologi tinggi menjadi set lawatan paling popular di kalangan pengunjung sehingga menenggelamkan set produksi filem cereka.


Selain taman tema, pengunjung juga boleh menikmati keindahan Universal Hilton & Towers, Sheraton Hotels and Resorts, teater skrin berganda dan Universal CityWalk, yang menawarkan koleksi kedai dan restoran serta Gibson Amphitheatre, lokasi penganjuran konsert yang cukup popular.

Apapun pengalaman paling menarik apabila kita dapat melihat sendiri kawasan lot belakang Universal Studios yang terbakar pada 1 Jun lalu. Dalam kejadian itu Brownstone Street, New York Street, New England Street, permainan King Kong, dan sebahagian struktur bangunan Courthouse Square, set filem War of the Worlds dan Video Vault (tempat penyimpan video salinan) musnah terbakar.

Lebih 40,000 hingga 50,000 arkib video digital dan salinan video serta filem sejak 1920-an termasuk filem Knocked Up dan Atonement, siri terbitan NBC Law & Order, The Office, dan Miami Vice, siri komedi terbitan CBS I Love Lucy, turut musnah dalam kebakaran itu.

INFO

Universal Studios Hollywood



Ditubuhkan oleh Carl Laemmle, seorang berbangsa Jerman yang menetap di Oshkosh, Wisconsin, di mana dia bermula sebagai pengurus kedai pakaian.


Viacom yang dimiliki Paramount Pictures adalah studio rakaman tertua.


Universal Studios adalah studio rakaman Amerika yang kedua paling lama beroperasi di dunia.


Taman tema menjadi tumpuan ialah "Revenge of the Mummy The Ride," "Shrek 4-D," "Jurassic Park® The Ride" dan Studio Tour.


Pembinaan semula Universal Studios membabitkan kos AS$50 juta (RM160 juta)

Keberkatan Sahur Jangan Tinggalkan

Kewajipan beberapa hadis Rasulullah s.a.w., hukum makan sahur adalah sunat. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas r.a., Baginda bersabda: Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu ada berkat.

Dalam riwayat Abdullah bin al-Haris, salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w. telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Nabi, Baginda sedang bersahur lalu bersabda: Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya.

``Sahur ialah makan selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum terbit fajar bagi orang-orang yang hendak berpuasa pada bulan Ramadan atau pada bulan-bulan yang lain.

``Bagaimanapun, waktu yang sesuai ialah selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum masuk waktu imsak, iaitu 10 minit sebelum waktu Subuh,'' jelas Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadot.

Tambah beliau, imsak bererti menahan diri daripada makan dan minum, bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari. Waktu imsak adalah kira-kira 10 minit terakhir sebelum masuk waktu Subuh, iaitu bersamaan dengan bacaan 50 ayat al-Quran.

Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa sahabat yang bernama Zaid bin Tsabit berkata: ``Kami telah bersahur bersama Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas r.a. bertanya:

``Berapakah jarak waktu antara kedua-duanya?'' Zaid menjawab: ``Kadar membaca lima puluh ayat.''

``Namun, seseorang yang makan dalam waktu imsak perlu berhati-hati dan tidak melebihi waktu terbit fajar kerana ia bertujuan sebagai peringatan kepada orang yang bersahur,'' katanya.

Beliau menjelaskan, tidak ada syarat-syarat tertentu untuk bersahur, seperti tidur dahulu dan kemudian bangun untuk bersahur. Begitu juga bersahur sekadar meminum air dan buah kurma. Memadailah jika mendapat berkat daripada amalan bersahur.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda: Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah s.w.t. berselawat ke atas orang-orang yang bersahur. (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Sekiranya terdapat buah kurma, ia adalah makanan sahur bagi orang-orang yang beriman sebagai mana riwayat daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah tamar (kurma). (Hadis riwayat Abu daud)

Dalam riwayat yang lain pula, daripada As-Saib bin Yazid, sabda Rasulullah s.a.w.: Sebaik-baik makanan sahur ialah buah tamar (kurma). Baginda bersabda lagi yang bermaksud: Allah merahmati orang-orang yang bersahur.

``Bagaimanapun, sebagai bekalan tenaga sepanjang hari, disarankan bersahur dengan makanan yang berkhasiat dan berzat supaya dapat menahan diri daripada kelaparan dan mendapat kekuatan,'' jelas beliau lagi.

Hadis riwayat al-Hakim, Rasulullah s.a.w. bersabda: Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperoleh kekuatan berpuasa pada siang hari.

Bangun dan berdoa pada waktu sahur sebenarnya mempunyai barakah yang besar dan merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t. dalam surah az-Zariyat, ayat 18, maksudnya: Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar), mereka selalu beristighfar kepada Allah memohon ampun.

``Bangun awal pagi untuk bersahur juga memberi peluang untuk melakukan amal ibadat seperti berwuduk, berzikir, membaca al-Quran dan menunaikan sunat tahajud dan sunat witir bagi yang belum melakukannya,'' ujarnya mengenai hikmah bersahur.

Surah Ali Imran, ayat 17 pula, Allah menjelaskan waktu yang sesuai untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Firman-Nya: Dan juga orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiaas taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

Sahur juga merupakan salah satu daripada akhlak Rasulullah s.a.w., sebagaimana yang terkandung dalam terjemahan hadis berikut: `'Tiga perkara yang termasuk antara akhlak para rasul ialah bersegera berbuka puasa, melambatkan sahur dan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri ketika dalam sembahyang.

Perbezaan antara puasa orang Islam dengan ahli kitab terkandung dalam hadis riwayat Muslim, sabda Baginda: Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahlul kitab ialah makan sahur.

Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani, pengarang kitab Fath al-Bari dan Imam an-Nawawi di dalam kitab Sahih Muslim, bahawa sahur yang memberi keberkatan ialah memperoleh balasan dan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. dan mengikut sunah Nabi Muhammad s.a.w.

``Sahur juga menghalang perbuatan-perbuatan tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan lapar pada siang hari, selain memberi kekuatan untuk beribadat bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga pada siang hari,'' ujar beliau tentang kelebihan-kelebihan bersahur.

Recent Posts