Selasa, September 02, 2008

Teknologi Gentian Optik


Keupayaan sistem komunikasi terkini dan canggih adalah kunci utama yang mampu menjadi daya penggerak kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam usaha menuju era negara maju berasaskan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT).

Malah, keperluan manusia berkomunikasi tanpa mengira batas waktu dan sempadan negara menyebabkan sistem komunikasi baru perlu terus diterokai.

Ditambah pula sasaran kadar penebusan jalur lebar di kalangan isi rumah di Malaysia kepada 50 peratus pada 2010 di negara ini dijangka meningkat ketika masyarakat menikmati kemudahan terbabit selepas 51 tahun merdeka.

Justeru, penyambungan kabel menggunakan sistem gentian optik dilihat kesinambungan dalam teknologi komunikasi apabila ia mampu membantu kabel tembaga sedia ada bagi memberikan prasarana yang lebih efektif terutama di negara ini.

Gentian optik dibuat daripada benang kaca halus yang digunakan bagi menyalur cahaya digunakan dalam kebanyakan sistem komunikasi terutama di negara Asia maju seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Jepun memandangkan keupayaannya menyalurkan data lebih jitu berbanding kabel tembaga.

Ia menjadi perantara bagi telekomunikasi kerana bersifat mudah lentur dan boleh diikat sebagai kabel walaupun dibuat daripada plastik lut sinar atau kaca.

Cahaya dipancarkan melalui gentian yang disimpan di dalamnya disebabkan pantulan penuh bahan terbabit menjadi ciri penting dalam menyingkirkan isyarat bersilang antara optik dalam kabel seterusnya membenarkan pemasangan kabel dengan kaedah pusingan.

Sistem optik bertindak sebagai pemandu gelombang ini memiliki dua mod pengaliran iaitu mod tunggal menghasilkan prestasi yang tinggi berbanding mod pelbagai membolehkan cahaya dipancarkan dalam mod berlainan tiba pada masa berbeza.

Kabel gentian optik mampu membawa sehingga seribu optik dalam satu kabel bagi menjana prestasi unggul yang mampu memenuhi permintaan untuk jalur lebar berdasarkan pada hujung-ke-hujung dengan mudah.

Pemasangan kabel gentian optik mendapat sambutan menggalakkan membolehkan masyarakat dunia kini bercakap mengenai Gentian ke Rumah (FTTH).

Jika dilihat dari sudut sejarah, penciptaan optik fiber yang pertama direka pada tahun 1970 oleh penyelidik syarikat pembuat kaca Amerika Corning Glass Works iaitu Maurer, Keck, Schultz dan Zimar.

Perbualan mengenai FTTH di peringkat antarabangsa semakin mendapat perhatian memandangkan ia berupaya menghantar lebar lajur tinggi dengan jarak lebih jauh.

FTTH mampu merapatkan jurang rangkaian untuk meningkatkan produktiviti, membentuk kehidupan keluarga yang baru dan selesa, penggunaan tenaga yang bijak dan memberi kemudahan komunikasi tanpa batas.

Presiden dan Pengurus Negara Ericsson Malaysia Sdn Bhd, Krishna Kumar, berkata FTTH memenuhi keperluan pelanggan memandangkan ia mampu menawarkan faedah jangka panjang yang baik untuk penduduk di negara ini.

“FTTH memberikan kos yang baik terutama kepada syarikat telekomunikasi dalam menawarkan harga lebih baik kepada pengguna di samping memberikan perkhidmatan sempurna dalam laluan data,” katanya.

Beliau berkata, suasana akan berubah sebaik FTTH dilaksanakan yang mana pembekal kandungan akan lebih bebas memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.

"Teknologi FTTH akan meningkatkan lebar jalur dan dalam masa yang sama mengurangkan kos keseluruhan menyediakan jalur lebar ke setiap rumah," katanya.

Beliau berkata, terdapat permintaan tinggi terhadap jalur lebar bergerak dan tetap dalam negara dan cabaran sebenarnya ialah memenuhi permintaan dan menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi pada harga mampu milik di kalangan pengguna.

Sementara itu, Ahli Lembaga Majlis FTTH Asia Pasifik, Colin Goodwin, memaklumkan teknologi terbabit berkeupayaan untuk menyediakan kelajuan daripada 100 megabit sesaat kepada setiap pengguna.

Beliau berkata, teknologi FTTH yang dibangunkan Ericsson membabitkan Rangkaian Optik Pasif Gigabit (GPON) kini menjadi popular di kalangan operator telekomunikasi seluruh dunia.

“Ia bukan sekadar berkaitan internet tapi keperluan lain seperti televisyen internet protokol (IPTV) yang memungkinkan kandungan menjadi lebih meluas,” katanya.

Menurutnya, cabaran yang dihadapi kini terletak kepada pertimbangan polisi setiap kerajaan di dunia sama ada mahukan FTTH dilaksanakan sebagai era baru dalam bidang komunikasi.

“Ia juga bukan boleh dipasang dengan pantas kerana memerlukan perhatian lain seperti keadaan geografi atau perancangan dalam sesuatu kawasan,” kata Colin.

Capaian jalur lebar di Malaysia dijangka akan meningkat dengan teknologi FTTH dalam memacu negara untuk mendapat akses multimedia lebih pantas sama ada di rumah atau tempat kerja.

Kebaikan utama teknologi FTTH termasuk membenarkan Internet diakses dengan kelajuan optikal manakala kos operasinya lebih murah selain capaian terbaik dan selamat.

Terdapat fakta menyatakan gentian melalui FTTH adalah teknologi masa depan yang mempunyai jangka hayat sehingga 100 tahun selain kapasiti tanpa had.

Landskap jalur lebar berubah pantas selari peningkatan aplikasi lebar jalur tinggi seperti rakaman video secara langsung, karaoke `online', `webcast', permainan online dan `podcast'.

Permintaan seperti ini meningkatkan permintaan lebar jalur lebih tinggi kerana pengguna mahu fail multimedia lebih berkualiti dan muat turun pantas.

Kebanyakan pengguna mula mencari teknologi baru yang mampu menggantikan penggunaan tembaga sedia ada kerana ia mempunyai kapasiti terhad untuk membawa aplikasi lebar jalur tinggi.

Teknologi gentian turut membolehkan penggunaan aplikasi perkhidmatan video kualiti tinggi seperti televisyen definisi tinggi dan telefoni video menjadi pantas.

Bayangkan teknologi gentian membolehkan muat turun filem berkualiti tinggi dengan fail sebesar 30 gigabait mampu dilakukan dalam masa 40 minit berbanding lapan jam sebelum ini menggunakan teknologi diperbuat daripada tembaga.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts