Memaparkan catatan dengan label vaksin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label vaksin. Papar semua catatan

Selasa, Jun 29, 2021

Kombinasi vaksin AstraZeneca dan Pfizer beri perlindungan lebih baik

 

Satu kajian mendapati gabungan vaksin AstraZeneca dan Pfizer mampu memberikan perlindungan lebih baik dalam bagi melawan jangkitan Covid-19, lapor portal berita MailOnline.

Kajian yang disokong kerajaan Britain itu turut mendapati individu yang menerima vaksin Pfizer sebagai suntikan kedua selepas dos AstraZeneca menghasilkan antibodi sembilan kali lebih banyak berbanding sekiranya menerima satu jenis vaksin sahaja.

Menerusi kajian terhadap 830 sukarelawan berumur 50 tahun ke atas itu, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang menerima dua dos vaksin Pfizer, dua dos AstraZeneca dan kombinasi antara kedua-duanya.

Menurut Ketua Penyelidik kajian tersebut, Profesor Matthew Snape, beliau tidak mencadangkan bahawa lebih baik untuk menggabungkan dua vaksin tersebut kerana bimbang melambatkan kempen vaksinasi yang sedang berjalan.

“Pemberian satu jenis vaksin, sama ada Pfizer atau AstraZeneca ternyata berkesan untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid-19 serta varian Delta.

“Jadi, adalah lebih baik untuk kerajaan Britain kekal kepada vaksinasi standard yang dilaksanakan pada ketika ini kerana ia terbukti berkesan dalam kes sebenar,” katanya.

Sumber : Agensi

 

Pelajar ke luar negara boleh mohon vaksinasi awal

 

Pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di luar negara boleh membuat permohonan bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19 lebih awal.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam ciapan di Twitter, berkata permohonan vaksinasi awal boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera.

"Bagi pelajar yang sudah memohon melalui laman vaksincovid.gov.my sebelum ini, permohonan anda juga sah dan akan disemak," katanya dalam kenyataan itu.

Menurut ciapan itu, pelajar yang ingin membuat permohonan vaksinasi awal melalui aplikasi MySejahtera boleh berbuat demikian dengan memilih ikon Helpdesk.

Selepas menu Mula, pemohon akan dibawa ke halaman Janji Temu Vaksinasi serta perlu mengambil pilihan A khusus bagi pelajar yang perlu ke luar negara untuk pengajian.

"Isi maklumat bersama dokumen MySJ ID, nombor kad pengenalan atau pasport dan pilih serta hantar dokumen berkaitan.

"Pastikan maklumat yang dimasukkan adalah betul semasa penghantaran permohonan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Ahad, Jun 27, 2021

Tiada kesan sampingan makan durian, sebelum atau selepas suntik vaksin

 

Makan buah durian sama ada sebelum atau selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 tidak memberi kesan sampingan kepada seseorang individu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata sehubungan itu, tular di media sosial mengenai seorang lelaki didakwa meninggal dunia kerana memakan durian selepas menerima vaksin adalah tidak benar.

"Tidak termaktub dalam buku perubatan tidak boleh makan durian selepas cucuk (vaksin). Ini tidak betul, yang betulnya kita tidak boleh makan benda (makanan) terlalu manis. Itu yang (boleh membawa) masalah kepada kesihatan.

"Jadi, tular (hantaran mendakwa seorang lelaki meninggal dunia kerana makan durian selepas menerima vaksin) adalah tidak benar dan sudah disahkan kematian disebabkan serangan jantung," katanya selepas melakukan lawatan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Merdek.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran mendakwa seorang lelaki meninggal dunia di sebuah restoran kerana makan durian selepas menerima vaksin yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Dr Noor Azmi berkata, hantaran tular seumpama itu boleh menyebabkan berlaku salah faham dan kekeliruan kepada orang ramai. 

"Sekarang pula musim durian. Orang sudah takut nak makan durian, mana yang sepatutnya cucuk (vaksin) dia takut nak pergi sebab dia nak makan durian.

"Kita nasihat orang ramai supaya semak dahulu, pastikan kebenarannya. Jangan teruja mahu menularkan kepada semua dan perkara kontroversi yang kita sendiri tidak pasti. Jangan hantar (sebar), biarlah kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjawabnya dan menjelaskan secara saintifik dan data," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, kematian seorang lelaki yang didakwa meninggal dunia kerana makan durian selepas suntikan vaksin terungkai apabila punca kematiannya disahkan akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat satu kes kematian dilaporkan di sebuah restoran di Taman Sri Bintang, Kuala Lumpur. 

 

 

 

Sabtu, Jun 19, 2021

Lebih 3 juta dos CanSino tiba bulan Julai 2021

 



Malaysia akan menerima sejumlah 3.6 juta vaksin COVID-19 keluaran CanSino, bermula bulan Julai ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, itu berita gembira untuk negara dalam usaha memastikan program vaksinasi berjalan lancar.

"Vaksin CanSino ini vaksin dengan dos tunggal yang sudah diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sebelum ini.

"NPRA juga meluluskan satu lagi vaksin dos tunggal Johnson & Johnson. Ini bermakna kita ada satu lagi calon vaksin dos tunggal, bagi dalam program vaksinasi negara," katanya dalam program bual bicara Bernama TV.

Mengulas mengenai pemberian vaksin kepada kumpulan kanak-kanak, Dr Adham berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 akan meneliti data yang dikeluarkan pengeluar vaksin.

Mengulas mengenai pemberian vaksin kepada kumpulan kanak-kanak, Dr Adham berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 akan meneliti data yang dikeluarkan pengeluar vaksin.

Sumber : Berita Harian

Jumaat, Jun 18, 2021

Calon SPM, STPM dapat vaksin bulan depan

 

Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bakal menerima suntikan vaksin akhir bulan depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah.

"Selepas tiga minggu, mereka akan menerima dos kedua," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Semalam, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) berkata akan memberi keutamaan kepada pelajar bakal menduduki peperiksaan diberi suntikan vaksin.

Ia susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

Mengulas jabatan yang menguruskan senarai pengamal media yang akan menerima suntikan vaksin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, ia diuruskan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

"Jabatan Penerangan sudah memberikan senarai nama dan dihantar kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk penyenaraian kerana ada media yang sudah dapat dan mereka yang belum akan menerimanya dalam masa terdekat," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Khamis, Mei 27, 2021

Lapan juta dos vaksin tiba Jun, Julai 2021

 

Bekalan vaksin COVID-19 negara bakal menyaksikan lonjakan ketara apabila Malaysia dijadualkan menerima kira-kira lapan juta dos vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, pada bulan depan dan Julai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yakin penambahan bekalan itu bakal mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan melonjakkan kapasiti pemberian vaksin kepada 150,000 dos sehari bermula bulan depan.

Beliau berkata, kerajaan menambah pembelian vaksin Pfizer sebanyak 12.8 juta dos, menjadikan jumlah dos vaksin Pfizer yang ditempah Malaysia meningkat kepada 44.8 juta yang mencukupi untuk 70 peratus jumlah penduduk Malaysia.

Katanya, perjanjian penambahan dos vaksin itu ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pada 21 Mei lalu.

"Dengan penambahan ini, Malaysia akan menerima penghantaran lebih 25.68 juta dos vaksin Pfizer pada suku ketiga tahun ini.

"Pada bulan depan, Malaysia akan menerima sejumlah 2.22 juta dos vaksin Pfizer, dengan 444,600 dos akan dihantar setiap minggu bagi tempoh lima minggu berturut-turut.

"Sehubungan itu, jumlah keseluruhan vaksin Pfizer yang telah dan akan diterima Malaysia sehingga akhir Jun adalah sebanyak lebih 4.97 juta dos," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Bagi vaksin Sinovac, Khairy memaklumkan, rundingan terkini di antara kerajaan dengan Sinovac dan Pharmaniaga, memutuskan Malaysia akan menerima semua baki daripada 12 juta dos yang ditempah pada Jun dan dan Julai.

"Ia merangkumi lebih 5.09 dos vaksin Sinovac 'fill and finish' daripada kilang Pharmaniaga di Malaysia serta lebih 6.91 juta dos vaksin produk siap guna daripada kilang Sinovac di Beijing, China," katanya.

Ahad lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata Malaysia dijangka menerima lima juta dos vaksin Sinovac bulan depan, iaitu dua juta dos daripada Pharmaniaga dan tiga juga dos dari China.

Mengulas mengenai bekalan vaksin AstraZeneca, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu memaklumkan, Malaysia dijangka menerima 1.02 juta dos pada Jun dan Julai.

"Kita dijangka terima 610,000 dos pada Jun dan 410,000 pada Julai, tertakluk pada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi pengeluaran vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand.

"Dengan semua penghantaran ini, saya meletakkan sasaran pemberian suntikan 150,000 sehari pada Jun, yang turut membabitkan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Isnin, Mei 24, 2021

Hampir 10,000 penduduk Kelantan tak hadir janji temu vaksin

 


Hampir 10,000 penduduk di Kelantan dengan sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata antara puncanya ialah masalah kesihatan selain menunda tarikh suntikan.

Katanya, ada yang gagal hadir kerana mempunyai masalah peribadi dan ramai juga tidak memberi alasan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Semua yang tidak hadir mendapat suntikan vaksin adalah mereka yang berdaftar bagi fasa kedua.

"Apabila kita mendapat senarai sehari atau dua hari sebelum janji temu, kita akan menghubungi setiap individu untuk mengenal pasti sama ada mereka boleh hadir atau tidak pada masa ditetapkan.

"Bagaimanapun, bukan semua dapat dihubungi kerana terlalu ramai yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

"Ada juga dalam kalangan mereka yang tidak menjawab panggilan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, mereka yang mahu menunda tarikh atau mengubah lokasi PPV perlu menghubungi hotline MySejahtera bagi pertukaran itu.

Katanya, pihaknya akan menghubungi individu lain bagi menggantikan mereka yang tidak dapat hadir untuk pada tarikh asal janji temu sebagai langkah mengelak pembaziran bekalan vaksin.

"Setakat ini, PPV dibuka di Kota Bharu, Pasir Puteh, Jeli, Machang, Kuala Krai dan Bachok.

"Sehingga semalam, lebih 340,000 individu mendaftar melalui MySejahtera tetapi angka berkenaan dilihat masih rendah," katanya. 

Sumber : Berita Harian

 

Jumaat, April 02, 2021

Penerima vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus

 

Pakar kesihatan awam memohon kerajaan meneliti semula cadangan membenarkan penerima dos lengkap vaksin COVID-19 untuk merentas negeri dan mungkin boleh menuju ke negara tertentu.

Ia berikutan, penerima vaksin itu masih berisiko menjadi pembawa virus tidak bergejala, selain berpotensi membawa pulang mutasi baharu virus COVID-19 dari luar negara, yang berisiko menjejaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata cadangan itu akan menjadi galakan untuk orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, penerima vaksin masih berisiko menyebarkan jangkitan, sekali gus mungkin menyebabkan individu lain yang belum menerima vaksin, dijangkiti wabak itu melalui mereka.

"Vaksin COVID-19 berfungsi melindungi penerimanya daripada mendapat penyakit yang serius, namun vaksin ini belum terbukti boleh mencegah penerimanya mendapat dan menyebarkan jangkitan.

"Ertinya, penerima vaksin masih berisiko mendapat virus itu dan menyebarkannya kepada orang lain, sekali gus memberi kesan kepada orang yang belum divaksin.

"Cadangan membenarkan penerima vaksin rentas negeri atau ke luar negara belum sesuai dilaksanakan kerana masih ramai individu belum divaksin, menyebabkan risiko jangkitan kekal tinggi, selain timbul isu ketidakadilan pada yang belum divaksin," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh ke luar negara tertentu, dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.

Sijil pengesahan itu akan diberikan kepada individu sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, sekali gus menjadi 'pasport' untuk mereka bergerak, di samping kerajaan sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat negara ini melakukan perjalanan ke negara terbabit.

Dr Zainal berkata, cadangan membenarkan penerima vaksin ke luar negara, dibimbangi berisiko menyebabkan seseorang individu itu membawa pulang varian baharu virus COVID-19 ke Malaysia, yang bakal memberi impak kepada trend penularan pandemik itu di negara ini.

"Jika penerima vaksin tidak dikuarantin atau dikuarantin dalam tempoh terlalu singkat, dia berisiko dijangkiti dan membawa mutasi baharu. Harap cadangan ini tidak dilaksanakan secara umum, tetapi bersyarat," katanya.

Sementara, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, juga berpandangan penerima vaksin COVID-19 berisiko menjadi pembawa virus tidak bergejala, kerana mereka masih memiliki kebarangkalian dijangkiti virus berkenaan.

Katanya, kerajaan perlu mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu sebelum melaksanakan cadangan berkenaan, khususnya mengenai risiko penerima vaksin menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain.

"Selagi belum ada kajian membuktikan penerima vaksin tidak lagi menjadi pembawa virus itu, maka cadangan ini belum sesuai untuk dilaksanakan dan wajar diteliti lebih lanjut.

"Beberapa isu juga perlu dikaji, seperti rentas negeri membabitkan keluarga. Vaksin hanya diberi kepada individu 18 tahun ke atas, jadi adakah satu keluarga akan dibenarkan rentas negeri atau individu tertentu sahaja," katanya.

Dr Hanafiah turut sependapat dengan pandangan Dr Zainal bahawa mutasi baharu yang dibawa dari luar negara bakal dikhuati memberi kesan negatif kepada pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Banyak negara melaporkan menemui varian baharu COVID-19. Persoalannya, adakah vaksin yang kita miliki boleh melindungi daripada varian baharu ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts